Kampung Tasek dekat sini bakal berubah wajah apabila landasan Sungai Rambai dinaik taraf menjadi lapangan terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, melalui projek menaik taraf landasan itu yang ditukar nama kepada Sungai Rambai Aerodrome, ia akan memberi banyak faedah kepada penduduk di kampung berkenaan. Menurutnya, projek menaik taraf lapangan terbang itu yang menelan kos sebanyak RM5 juta bukan sahaja membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat malah lebih penting lebih banyak kawasan perumahan akan dibuka di situ. ''Saya yakin Kampung Tasek akan berubah wajah daripada sebuah kawasan yang sepi dan terpinggir, kampung ini akan kembali menjadi tumpuan dan tarikan. ''Sungai Rambai Aerodrome akan menjadi tempat persinggahan pesawat-pesawat kecil termasuk jet memuatkan enam hingga lapan penumpang kerana pelbagai kemudahan disediakan di sini. ''Antara kemudahan itu ialah pusat menyelenggara pesawat dan lebih penting ada tempat untuk mengisi minyak. Ini sudah pasti pesawat kecil menghala ke selatan akan menjadikan Sungai Rambai Aerodrome sebagai tempat persinggahan," katanya ketika dihubungi hari ini. Hasan Rahman berkata, Airport Standard, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah memberikan pengiktirafan kepada Sungai Rambai Aerodrome sebagai lapangan terbang sokongan kepada LTAM.
-UTUSAN
“Sungai Rambai Aerodrome” adalah nama yang bakal tersohor kelak.. Landasan ini juga di bina untuk memudahkan pasawat ringan mendarat sekaligus pastinya mudah untuk mereka ini datang ke Melaka.. Berkemungkinan pembinaan landasan untuk pesawat ringan ini mempunyai manfaat yang tinggi pada ekonomi Melaka pada masa akan datang seperti kita tahu sebelum ini ianya dijadikan tempat pertunjukkan pesawat ringan membuat akrobatik..Di situlah nanti, pasti ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri serta pengunjung asing pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan pertunjukkan itu kelak..
|