|
|
JKM belanja RM12.3 juta bagi pengurusan bencana di Sarawak sepanjang 2025: Nancy
Januari 15, 2026, Khamis - 4:11pm

Nancy (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu dan masyarakat yang hadir sempena Program Kampung Angkat MADANI 2025 di Kampung Buntal, Santubong hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
SANTUBONG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan sejumlah RM12.3 juta bagi pengurusan bencana di Sarawak sepanjang tahun 2025, demikian menurut Dato Sri Nancy Shukri.
Bagi seluruh negara pula, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM) itu memberitahu jumlah perbelanjaan yang direkodkan untuk bantuan bencana untuk tempoh sama adalah sebanyak RM49.1 juta.
"Sehubungan itu, saya bagi pihak kementerian, menjangkakan perbelanjaan bagi tahun 2026 mungkin meningkat sehingga 11 hingga 15 peratus berikutan kesan berterusan bencana yang berlarutan dari tahun sebelumnya, selain ketidaktentuan keadaan cuaca," ujarnya.
Biarpun begitu, Nancy berharap kesan bencana dapat diminimumkan dengan persediaan dari segi kewangan dan pengurusan tetap dibuat bagi memastikan bantuan kepada rakyat dapat sampai ke peringkat sasaran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM di Kampung Buntal, pagi tadi.
Terdahulu, ketika berucap merasmikan program berkenaan, Nancy berkata Kampung Angkat MADANI di Kampung Buntal merupakan program pertama seumpamanya dirasmikan di Sarawak tahun ini.
"Program berkenaan sebelum ini telah dilaksanakan di Semenanjung (Malaysia) dan akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk kita di Sarawak selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mendekatkan kepimpinan dengan rakyat," katanya.
Menurut beliau, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat supaya keperluan serta permasalahan penduduk dikenal pasti dengan lebih dekat,di samping membantu meningkatkan kemudahan prasarana di kawasan terlibat.
"Program ini memberi peluang kepada kita untuk menambah baik keadaan infrastruktur di kawasan terlibat.
"Di Kampung Buntal, antara projek utama yang dipilih ialah menaik taraf dewan kampung ini bernilai RM998,200.
"Selain itu, beberapa projek lain turut dikenal pasti untuk dilaksanakan yang mana akan diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat.
"Program ini mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan pembangunan komuniti luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Tambah Nancy, walaupun berdepan kekangan peruntukan, KPWKM kekal komited memastikan setiap kemudahan di bawah kementeriannya benar-benar berfungsi dan mampu menyokong keperluan komuniti setempat.
Dewan serba guna Kampung Buntal katanya, turut berperanan sebagai pusat aktiviti komuniti merangkumi penganjuran program kemasyarakatan, aktiviti wanita dan keluarga, mesyuarat komuniti, program belia serta pelaksanaan inisiatif kesejahteraan sosial, selain boleh dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana atau situasi kecemasan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Dato Jasni Jubli, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM Datin Safida Zalma Mohd Piah dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Sumber : Utusan BorneoUtusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
20 peserta jayakan program anjuran Curtin Malaysia
Januari 15, 2026, Khamis - 4:17pm

Para peserta yang menjayakan program 'Bridging Generations 1.0' di Champs Education pada 8 dan 9 Januari lalu.
MIRI: Lebih 20 peserta warga emas dan belia menyertai program 'Bridging Generations 1.0' yang diadakan di Champs Education pada 8 dan 9 Januari lalu, bertujuan merapatkan jurang generasi serta mewujudkan ruang pembelajaran interaktif.
Program anjuran Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) itu direka untuk menangani jurang generasi yang semakin melebar akibat kemajuan teknologi dan pengasingan sosial, khususnya dalam kalangan warga emas.
Sepanjang dua hari program, peserta berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti praktikal dan interaktif seperti penanaman benih, literasi digital, literasi kewangan serta fisioterapi.
Pada sesi penanaman benih, para peserta menanam 'benih misteri' dan teruja menantikan hasil tanaman daripada pasu kecil tersebut.
Aktiviti itu diikuti sesi membakar biskut di bawah bimbingan tukang bakeri untuk menghasilkan biskut cip coklat.
Seterusnya, mereka juga mengikuti sesi literasi digital dan literasi kewangan yang dikendalikan oleh ASNB manakala sesi fisioterapi oleh wakil Rowen Rehab menekankan kesejahteraan fizikal dan penuaan aktif.
Sesi refleksi dan maklum balas membolehkan peserta muda dan warga emas berkongsi pengalaman serta memahami cabaran masing-masing melalui dialog bermakna.
Presiden Persatuan Miri Awesome Seniors Dr Loh Yunn Hua berkata, program perintis itu menjadi asas kepada inisiatif berasaskan komuniti yang mengukuhkan kefahaman antara generasi dan perpaduan sosial di Miri.
Beliau berharap projek tersebut akan berjaya dan menjadi titik permulaan bagi lebih banyak inisiatif seumpamanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki asing disyaki ugut wanita tempatan dengan parang dicekup
Januari 15, 2026, Khamis - 4:22pm
Suspek disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah bersenjatakan parang terhadap seorang wanita tempatan.
DARO: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah bersenjatakan parang terhadap seorang wanita tempatan.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
"Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki passport dan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," ujarnya menerusi siaran media, hari ini.
Rahim memberitahu, penahanan reman ke atas suspek telah dibenarkan bagi tempoh empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Pada 15 Januari 2026 suspek telah dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Sarikei.
"Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jamin ditawarkan terhadap tertuduh.
"Kes ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 29 Januari ini.
"Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh menjalani tahanan reman di penjara Sibu," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
15,682 kanak-kanak tabika, taska KEMAS Sarawak mulakan sesi persekolahan 2026
Januari 15, 2026, Khamis - 4:33pm

Anisah (empat kiri, berdiri di belakang) merakam kenangan bersama kanak-kanak di Taska dan Tabika KEMAS sempena lawatan sesi persekolahan.
KOTA SAMARAHAN: Seramai 15,682 kanak-kanak daripada tabika dan taska di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak memulakan sesi persekolahan tahun 2026 di seluruh Sarawak, baru-baru ini.
Pengarah KEMAS Negeri Anisah Saidin berkata daripada jumlah tersebut, 14,578 orang merupakan kanak-kanak daripada 1,136 buah Tabika KEMAS manakala sejumlah 1,104 kanak-kanak adalah daripada 85 buah Taska KEMAS.
“Pembukaan sesi persekolahan berkenaan menandakan permulaan baharu kepada perjalanan pendidikan awal kanak-kanak dalam suasana pembelajaran yang kondusif, selamat dan ceria,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tinjauan ke Tabika Tunas Istimewa (TTI) Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 3, Tabika KEMAS Kampung Tanjung Bundong Fasa 1 serta Taska KEMAS Kampung Tanjung Bundong Fasa 3, Samarahan baru-baru ini.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap persiapan para pendidik serta jawatankuasa tabika bagi memastikan kelancaran hari pertama persekolahan, selaras dengan tema #DiSiniBermula dan #LangkahKecilImpianBesar.
Anisah memaklumkan bahawa pada tahun ini, sebuah Tabika TTI khusus untuk kanak-kanak dalam spektrum autisme ringan (mild autism) telah mula beroperasi dengan penyertaan seramai sembilan kanak-kanak.

Anisah menyantuni kanak-kanak di TASKA dan Tabika KEMAS sempena lawatan tinjauan pembukaan sesi persekolahan.
Selain itu, sebuah Tabika Smart Classroom Rintis turut beroperasi di Tabika KEMAS Kampung Hijrah Bako, Kuching dengan jumlah 25 kanak-kanak.
Jelasnya, pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KEMAS Sarawak dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang inklusif dan berkualiti kepada masyarakat.
Beliau berkata, semua kanak tabika dan taska KEMAS akan melalui tempoh transisi atau pengenalan selama tiga bulan menerusi Program S.A.LA.M (Sahsiah Lambang Modal Insan Unggul).
“Program ini merangkumi aktiviti pembelajaran bermakna sebagai pendedahan awal kepada suasana persekolahan di Tabika KEMAS serta bertujuan membentuk sahsiah diri kanak-kanak yang unggul, di samping melahirkan kanak-kanak yang ‘Ceria, Cerdas dan Cerdik’.
“Sepanjang tempoh ini, murid akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang memberi ruang kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran tabika dan taska, membina keyakinan diri serta mengukuhkan kemahiran sosial melalui interaksi bersama rakan sebaya dan pendidik,” jelasnya.
Tambah beliau, murid-murid Tabika dan Taska KEMAS turut disediakan makanan sihat secara percuma menerusi Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) oleh kerajaan bagi menyokong perkembangan minda, kesihatan dan tumbesaran kanak-kanak secara optimum.
Menurutnya juga, kanak-kanak di Tabika dan Taska KEMAS dibimbing oleh pendidik yang terlatih, berkemahiran serta memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sekali gus memastikan kualiti pengasuhan dan pembelajaran berkesan.
“Sehubungan itu, ibu bapa disarankan agar memilih TABIKA dan TASKA KEMAS yang telah diiktiraf sebagai jenama pendidikan awal kanak-kanak paling dipercayai oleh Reader’s Digest sebanyak enam kali.
“Pencapaian ini selari dengan aspirasi KEMAS untuk menjadikan Tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti serta melahirkan modal insan unggul,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Chiew prihatin keadaan infrastruktur sekolah, mahu kemudahan selesa, selamat untuk pelajar
Januari 15, 2026, Khamis - 4:44pm

Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Miri melawat SMK Lutong semalam.
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man memaklumkan bahawa beliau sentiasa prihatin dengan keadaan infrastruktur dalam sekolah dan memastikan kemudahan sekolah dalam keadaan yang selesa dan selamat untuk para pelajar.
Susulan beberapa siri lawatan tapak sebelum ini ke sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Miri, termasuk di SMK Lutong, beliau mendapati beberapa kerja penyelenggaraan perlu dilakukan.
Menurut Chiew, peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Lutong pada 2 Januari lalu bagi tujuan penyelenggaraan sekolah, pembelian aset dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) demi meningkatkan aspek keselamatan dalam kawasan sekolah.
“Peruntukan ini bertujuan membaiki dan menaik taraf kemudahan sedia ada di sekolah, termasuk aspek keselamatan pelajar dan warga pendidik.
"Jabatan Pendidikan Negeri turut digesa mengurangkan kerenah birokrasi yang merumitkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dalam sekolah dapat diselesaikan dengan lebih efisien dan berkesan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas maklum balas dan keprihatinan yang disuarakan ibu bapa pelajar berhubung keadaan sesetengah fasiliti bilik darjah yang uzur dan memerlukan penyelenggaraan.
Sehubungan itu, pasukan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Miri telah turun padang pagi kelmarin bagi meneliti keadaan terkini SMK Lutong susulan kepada lawatan sebelum ini.
Mereka turut mendapatkan maklum balas lebih lanjut tentang sebarang keperluan tambahan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih satu tan buah durian dirampas di ICQS Merapok
Januari 15, 2026, Khamis - 4:52pm

Antara buah durian yang dirampas di ICQS Merapok pada Selasa lepas.
LAWAS: Sebanyak 1,100 kilogram buah durian yang tidak mempunyai permit dirampas dalam pemeriksaan dan pemantauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok di sini, Selasa lepas.
ICQS Merapok dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan tersebut dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Jabatan Pertanian.
“Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh pegawai penguat kuasa dalam kolaboratif dengan bantuan agensi lain, RELA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu masuk negeri, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
“Buah durian yang dirampas didapati tidak mempunyai permit import, sijil fitosanitasi serta gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, menurut pihak Jabatan Pertanian, penguatkuasaan ini bertujuan untuk mencegah kemasukan makhluk perosak dan penyakit tumbuhan yang boleh menjejaskan industri pertanian tempatan, selain melindungi kepentingan petani dan kestabilan pasaran dalam negeri.
Kata beliau, kemasukan buah-buahan tanpa kawalan juga berpotensi menjejaskan keselamatan makanan serta ekonomi sektor pertanian Sabah dan Sarawak.
“Pihak jabatan menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang ingkar terhadap peraturan dan akta yang ditetapkan.
“Orang awam serta pengusaha perdagangan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mendapatkan permit yang sah sebelum membawa masuk sebarang hasil pertanian merentasi sempadan negeri,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, usaha penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai komitmen Jabatan Pertanian dalam memastikan kawalan biosekuriti yang berkesan serta menjamin kelestarian sektor pertanian negara.
Katanya lanjut, orang awam boleh mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu atau merujuk ke Jabatan Pertanian yang berdekatan sekiranya ingin membawa durian masuk kedua-dua negeri ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bomba tangkap buaya ditemui di halaman rumah penduduk
Januari 15, 2026, Khamis - 5:06pm

Anggota bomba sedang mengikat buaya tersebut menggunakan tali sebelum dilepaskan ke habitat asalnya hari ini. - Gambar BBP Lopeng
MIRI: Sepasukan anggota bomba berjaya menangkap seekor buaya yang dilaporkan berada di halaman rumah seorang penduduk di kawasan perumahan Desa Pujut 1, Bandar Baru Permyjaya di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba 1 Ismaidi Ismail memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki pada jam 3.47 pagi.
Bertindak atas panggilan diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi sejauh 11 kilometer dari balai dan tiba 11 minit kemudian.
“Setibanya di tempat kejadian, Komander Operasi Mohammad Fairus Apit memberitahu terdapat seekor buaya sepanjang empat kaki berada di bahagian belakang rumah pemanggil.
“Pasukan Keluaran Operasi bertindak menangkap buaya itu menggunakan tali sebelum melepaskannya ke habitat asal dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.27 pagi,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penganut Hindu berkumpul raikan Pesta Pongal di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman
Januari 15, 2026, Khamis - 5:15pm

Para penganut menyaksikan Phuspharajan mengawasi semua ritual dan persiapan upacara. -Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock dekat sini bergema dengan alunan muzik dan suasana penuh keceriaan apabila ratusan penganut Hindu berkumpul untuk meraikan Pesta Pongal.
Para penganut hadir seawal waktu subuh dengan kuil dihias indah menggunakan tebu dan daun mangga yang melambangkan kemakmuran serta kesejahteraan.
Sebuah dapur bata tradisional dan periuk tanah liat disediakan di pekarangan kuil, menarik perhatian para hadirin apabila persiapan dimulakan untuk memasak pongal, hidangan beras yang menjadi simbol utama perayaan menuai tersebut.
Upacara doa khas dipimpin oleh paderi kuil, Phuspharajan, sebelum susu direbus dan nasi dimasak di dalam periuk tanah liat.
Apabila susu melimpah keluar dari periuk, para penganut bersorak sambil melaungkan “Pongalo Pongal”, satu ungkapan tradisional yang membawa maksud doa untuk kemakmuran dan tuah.

Phuspharajan bersama para penganut mempersembahkan nasi manis kepada Dewa Matahari sebagai tanda kesyukuran atas limpahan berkat cahaya matahari. -Gambar Roystein Emmor
Phuspharajan bersama para penganut mempersembahkan nasi manis kepada Dewa Matahari sebagai tanda kesyukuran atas limpahan berkat cahaya matahari. -Gambar Roystein Emmor
Nasi manis tersebut kemudiannya dipersembahkan terlebih dahulu kepada dewa-dewi sebelum diagihkan kepada para penganut dan pengunjung, mencerminkan semangat kesyukuran dan perkongsian yang menjadi teras perayaan Pongal.
Pongal menandakan permulaan bulan Tamil Thai dan diraikan sebagai perayaan menuai yang didedikasikan kepada para petani, alam semula jadi serta Dewa Matahari.
Perayaan selama empat hari itu bermula dengan Bhogi yang melambangkan pembaharuan dan pembersihan unsur lama serta negatif, diikuti Mattu Pongal dan Kanni Pongal yang masing-masing menghormati ternakan dan wanita.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PKR Lawas santuni mangsa rumah roboh di Banting
Januari 15, 2026, Khamis - 5:19pm

Zahid (dua kiri) menyantuni mangsa rumah roboh yang kini menetap di Banting Fasa Empat.
LAWAS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lawas menyantuni mangsa rumah roboh di Skim Perumahan Banting Fasa Satu Ahad lepas melalui penyerahan sumbangan sistem solar bagi mendapatkan sumber bekalan elektrik.
Sumbangan diserahkan Ketua Cabang PKR Lawas Zahid Matserudin kepada mangsa yang kini menetap di Banting Fasa Empat.
Zahid berkata, penyerahan bantuan sementara itu adalah bertujuan meringankan beban serta memenuhi keperluan asas harian, khususnya bekalan pencahayaan dan elektrik kepada keluarga mangsa rumah roboh.
“PKR Lawas memahami kesulitan yang dihadapi penduduk dan sumbangan ini diberikan memandangkan penduduk di Skim Perumahan Banting Fasa Empat yang masih berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air yang sempurna sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sistem solar yang disumbangkan PKR Lawas siap dipasang di rumah mangsa rumah roboh di Banting Fasa Empat.
Katanya, PKR Lawas berharap dan menggesa pihak Kerajaan Sarawak mempercepatkan pemasangan bekalan elektrik di Skim Perumahan Banting Fasa Empat Lawas.
“Selain bekalan elektrik, PKR Lawas juga meminta kerajaan negeri untuk mempercepatkan penyediaan bekalan air bersih, memberi perhatian serius terhadap kebajikan penduduk di kawasan skim perumahan ini serta menurap atau membaiki jalan berlubang di kawasan berkenaan,”ujarnya.
Menurutnya lagi kemudahan asas seperti elektrik dan air dan jalan adalah hak rakyat, bukan satu keistimewaan.
“PKR Lawas akan terus komited memperjuangkan kebajikan rakyat dan memastikan suara penduduk terus dibawa ke peringkat yang sewajarnya,” tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peserta PMG Health Run 2026 diseru mengambil pek perlumbaan Sabtu ini
Januari 15, 2026, Khamis - 5:22pm

Tiong (dua kiri), bersama Eksekutif Edaran Melvin Ng (kiri) serta Penolong Pengurus Pemasaran Wee Chee Howe (kanan) dari See Hua Marketing, memegang sepanduk PMG Health Run 2026.
MIRI: Menjelang acara yang dinanti-nantikan, PMG Health Run 2026, para peserta diingatkan untuk mengambil pek perlumbaan masing-masing pada Sabtu ini di PMG Pharmacy, Boulevard Commercial Centre di sini, pada jam 10 pagi hingga 6 petang.
Menurut Penolong Pengurus Pemasaran PMG Healthcare Tiong Wei Chi, setiap pelari berdaftar akan menerima pek perlumbaan yang merangkumi jersi acara, nombor perlumbaan serta beg cenderamata yang diisi dengan baucar diskaun PMG dan penaja lain, tampalan panas dan sejuk serta krim kelegaan sakit, semuanya bagi menyokong pelari sebelum dan selepas perlumbaan.
Seiring dengan pengambilan pek perlumbaan, PMG Pharmacy turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada orang ramai.
Pemeriksaan ini termasuk ujian ketumpatan tulang, penilaian risiko kesihatan dan ujian mikrokapilari, sekali gus memberikan peluang berharga kepada komuniti untuk menilai tahap kesihatan mereka menjelang tahun baharu.
Selain itu, ahli PMG Pharmacy yang membuat pembelian di farmasi tersebut juga berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM200,000 menerusi kempen ‘Gores & Menang’.
Pada hari yang sama, cawangan berkenaan akan mengadakan Jualan Gaya Hidup Sihat PMG dengan tawaran harga istimewa untuk supplemen, vitamin dan produk kesihatan lain.
Acara PMG Health Run 2026 akan berlangsung pada Ahad ini di Marina ParkCity, dengan pelepasan peserta dijadualkan jam 6.30 pagi.
Pengarah Urusan PMG Healthcare Dr Chieng King Chong dijangka menyampaikan ucapan ringkas sebelum secara rasmi memulakan perlumbaan.
Para pelari dinasihatkan untuk tiba di lokasi sebelum jam 6 pagi bagi menyertai aktiviti memanaskan badan.
Acara ini akan menampilkan larian kompetitif 5 kilometer dan 10 kilometer, dengan hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang teratas bagi kategori 10 kilometer.

Barang-barang dalam beg cenderamata yang akan diterima oleh setiap pelari.
Sebanyak 10 gerai penaja akan disediakan di lokasi, termasuk gerai cabutan bertuah di mana para pelari berpeluang memenangi sebuah basikal senaman.
Acara dijangka berakhir pada jam 10 pagi.
Dengan tumpuan kepada kesihatan, kecergasan dan semangat komuniti, PMG Health Run 2026 menjanjikan sebuah acara yang dinamik dan memberi ganjaran kepada semua peserta.
Acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama See Hua Group, penerbit akhbar See Hua Daily News, The Borneo Post dan Utusan Borneo sebagai media rasmi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Majlis Ziarah Silaturahmi di Masjid Nurul lbadah Kg Muhibbah Kuala Baram, 25 Jan
Januari 15, 2026, Khamis - 5:24pm

Radzali (empat kiri) bersama jawatankuasa penganjur Majlis Ziarah Silaturahmi.
MIRI: Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Miri yang juga digelar sebagai Gabungan NGO-NGO Islam Miri akan menganjurkan Majlis Ziarah Silaturahmi ke Kampung Muhibbah, Kuala Baram pada 25 Januari ini.
Pengerusi jawatankuasa penganjur Radzali Alision berkata, majlis itu akan diadakan di Masjid Nurul lbadah kampung itu bermula jam 8 pagi.
Majlis melibatkan ahli-ahli persatuan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa masjid.
Radzali memberitahu, dianggarkan seramai 300 hingga 500 orang akan hadir pada majlis tersebut kelak.
"Tujuan majlis diadakan adalah untuk mengeratkan kesatuan dan kerjasama antara persatuan-persatuan yang menganggotai Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Miri ini.
"Ia juga untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan kesefahaman antara ahli-ahli Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Miri dengan penduduk kampung," jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa program itu di dewan bangunan Persatuan Melayu Miri (PMM) petang semalam.
Radzali yang juga Presiden PMM berkata, majlis diadakan pada bulan Sya'ban yang menurut kalendar Islam merupakan bulan yang istimewa sebelum kedatangan Ramadan.
Beliau memberitahu, antara pengisian majlis itu adalah sukaneka yang melibatkan penyertaan kanak-kanak, remaja dan warga emas yang dijangka bermula seawal jam 8.30 pagi serta Tahlil Perdana dengan bacaan tahlil akan bermula jam 11 pagi.
Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti serta Penasihat Gabungan Dato Lukanisman Awang Sauni dijemput untuk merasmikan aktiviti itu.
Penganjur juga akan menjemput wakil-wakiI rakyat dalam daerah Miri dan Subis.
"Kita ingin menjemput semua ahli dan rakan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Miri di mana saja mereka berada serta penduduk Islam di Kuala Baram dan kawasan sekitarnya untuk hadir pada majlis ini," jelasnya.
Mereka yang ingin terlibat dalam Tahlil Perdana boleh mendapatkan borang di pejabat PMM, Lot 537Jalan Kipas, Miri atau menghubungi talian 085- 431395 atau 013-8286599 (Raimah).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MBM jalankan kerja pembersihan, penyaluran air di parit Piasau Utara
Januari 15, 2026, Khamis - 6:12pm

Yii dan rombongan ketika menjalankan pemeriksaan parit di sekitar Piasau Utara dan Pujut Adong semalam.
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyaluran air di saluran perparitan di kawasan Piasau Utara bagi mencegah berulangnya kejadian banjir kilat, kata Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii.
Menurut Yii, keutamaan segera adalah memastikan longkang dibersihkan supaya aliran air hujan dapat mengalir dengan lancar susulan pemeriksaan tapak di beberapa lokasi sekitar Piasau Utara dan Pujut Adong semalam.
Beliau bersama pegawai dan jurutera MBM memeriksa sistem perparitan dan mengenal pasti beberapa isu yang berpotensi mengganggu aliran air serta menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
“Salah satu masalah utama yang dikenal pasti ialah beberapa pembetung longkang di pintu masuk laluan persendirian tidak mematuhi spesifikasi.
"Ada yang tersumbat dan ada juga yang terlalu kecil, sekali gus menjejaskan kecekapan keseluruhan sistem perparitan,” katanya.
Yii menambah, walaupun majlis akan memberi tumpuan awal kepada pembersihan longkang sedia ada, isu pembetung laluan masuk yang tidak mematuhi spesifikasi akan ditangani dalam fasa seterusnya sebagai bidang penambahbaikan utama.
Beliau turut memaklumkan banyak longkang di kawasan Piasau Utara merupakan longkang tanah yang lebih mudah tersumbat.
“Majlis bandar raya akan membantu membersihkan longkang-longkang tanah ini bagi memastikan sistem perparitan kekal tidak terhalang,” katanya.
Mengulas punca banjir kilat Yii berkata, banjir lazimnya tidak akan berlaku sekiranya longkang berfungsi dengan baik namun masalah timbul apabila paras air sungai meningkat hingga sama aras dengan longkang, menyebabkan air hujan tidak dapat dilepaskan dengan berkesan dari kawasan perumahan.
Katanya, tujuan pemeriksaan kelmarin adalah untuk membincangkan dan mengkaji penyelesaian berdaya maju bagi menambah baik sistem perparitan di Piasau Utara dan Pujut Adong, dengan matlamat mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh.
Semasa pemeriksaan itu, Yii juga mendapati sebuah projek pembangunan di Pujut 2D telah menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan perumahan berhampiran.
“Saya telah mengarahkan pegawai majlis untuk segera berhubung dengan pihak pemaju bagi menangani isu ini dan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wee Teck Min teraju baharu MDMJ
Januari 15, 2026, Khamis - 6:14pm

Ding menyaksikan Wee berikrar pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Pengerusi MDMJ yang baharu.
BINTANGOR: Pegawai Daerah Meradong Wee Teck Min telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Daerah Meradong-Julau (MDMJ) yang baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pelantikan tersebut menandakan permulaan kepimpinan baharu dalam menggerakkan agenda pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
“Kita berharap agar seluruh Ahli Majlis dapat meneruskan komitmen dalam menjaga serta menangani isu-isu berkaitan kawasan pentadbiran khususnya melibatkan aspek kebersihan perparitan, pembuangan sampah mengikut masa yang ditetapkan, penyelenggaraan tong sampah, pemotongan rumput serta perkara berkaitan lain demi kesejahteraan penduduk.
“Kerjasama antara Ahli Majlis, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek di kawasan Meradong dan Julau dapat berjalan dengan lancar,” kata Ding pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Pengerusi MDMJ di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Meradong di sini, semalam.
Menurutnya, selain isu kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur, fokus kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu turut merangkumi peningkatan penyediaan kemudahan awam, pengindahan kawasan bandar serta usaha memperkukuh ekonomi setempat melalui program-program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita yakin dengan pelantikan pengerusi baharu serta komitmen semua pihak, MDMJ akan terus berperanan sebagai sebuah institusi kerajaan tempatan yang efektif, responsif dan prihatin terhadap keperluan penduduk,” tegas Ding lagi.
Turut hadir ialah Wee dan Setiausaha MDMJ Lau Chi Sing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isu pencegahan jenayah tanggungjawab bersama: Mathew
Januari 15, 2026, Khamis - 6:15pm
Jenayah bukan sahaja menjejaskan mangsa tetapi melibatkan keselamatan, keharmonian komuniti setempat

Program Sesi Libat Urus IPD Saratok Bersama ADUN Kabong dan Pemimpin Masyarakat di Dewan Serba Guna Balai Polis Kabong hari ini.
“Oleh itu, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat, mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap perihatin terhadap persekitaran amat penting.”
DSP Mathew Manggie
Ketua Polis Daerah Saratok
Oleh Kepu Sidi
SARATOK: Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie menegaskan bahawa isu pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama.
Kata Mathew, jenayah bukan sahaja menjejaskan mangsa tetapi melibatkan keselamatan dan keharmonian komuniti setempat.
“Oleh itu, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat, mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap perihatin terhadap persekitaran amat penting.
“Pendekatan pencegahan awal adalah lebih berkesan berbanding tindakan penguatkuasaan semata-mata.
“Pada dasarnya, isu yang boleh mencetuskan kegusaran awam perlu ditangani secara berhemah dan tegas, demi kesejahteraan semua,” kata Mathew.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir dan Pemimpin Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong di sini, hari ini.
Program tersebut berlangsung di Dewan Serba Guna, Balai Polis Kabong.
Mathew turut berkata, ketenteraman awam adalah asas kepada pembangunan dan kesejahteraan sosial.
Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah pada masa kini semakin serius dan membimbangkan.
“Dadah merupakan punca kepada pelbagai masalah sosial dan jenayah, termasuk keganasan, kecurian dan keruntuhan institusi keluarga.
“Justeru, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh melbatkan semua pihak dan pendekatan seperti program kesedaran, sokongan komuniti dan penguatkuasaan undang-undang.
“Peranan ibu bapa, pemimpin masyarakat, pihak sekolah dan agensi penguatkuasaan undang-undang amat penting dalam usaha memutuskan rantaian penagihan dadah,” kata Mathew lagi.
Mohd Chee turut hadir pada majlis tersebut yang dimeriahkan dengan kehadiran ketua masyarakat dan ketua kaum setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki asing maut selepas pergaduhan di hotel
Januari 15, 2026, Khamis - 6:24pm
SIBU: Seorang lelaki warga asing maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dalam pergaduhan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkifli Suhaili (gambar) berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.22 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan serius pada bahagian kepala.
Susulan kejadian itu, pihak polis bertindak menjalankan siasatan dan operasi mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 27 dan 31 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Zulkifli berkata, pemeriksaan awal turut mendapati ketiga-tiga suspek mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan yang dipercayai berpunca daripada pergaduhan tersebut.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Sibu bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Tambah beliau, jika sabit kesalahan, peruntukan undang-undang berkenaan membawa hukuman mati mandatori.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JKR Malaysia penentu sama ada Hospital Petra Jaya boleh beroperasi tahun ini
Januari 15, 2026, Khamis - 7:50pm

Dr Veronica menjawab soalan pemberita mengenai status Hospital Petra Jaya. Turut kelihatan Dr Dzulkefly serta yang lain. - Gambar Chimon Upon
SERIAN:Keputusan sama ada Hospital Petra Jaya yang sudah siap 82 peratus secara keseluruhannya boleh beroperasi tahun ini terletak sepenuhnya kepada agensi teknikal iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah berkata walaupun terdapat harapan hospital itu dapat dibuka tahun ini, beliau menegaskan keputusan muktamad adalah di tangan pihak berkuasa teknikal.
“Kita berharap (ia dapat dibuka tahun ini), tetapi kita tahu agensi teknikal ialah JKR (Jabatan Kerja Raya) Malaysia.
"Jadi kita berharap dengan kerjasama yang baik daripada kontraktor, hospital ini dapat dibuka, namun kami bergantung kepada jabatan teknikal, JKR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata projek hospital berkenaan masih diberi perhatian rapi dan perbincangan berterusan dengan jabatan teknikal sedang diadakan bagi menangani kekangan semasa.
“Perkara ini berada di bawah perhatian saya dan kami akan membuat keputusan yang sewajarnya. Kami juga sedang membincangkan perkara ini,” katanya.
Dr Dzulkefly bagaimanapun enggan membuat sebarang ramalan sama ada hospital itu akan beroperasi tahun ini.
“Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan. Jika mengikut kehendak saya, saya mahu ia siap semalam. Ini sudah lawatan kedua saya. Saya masih ingat pada tahun 2018, saya telah mengambil tindakan terhadap kontraktor,” katanya.
Beliau menambah bahawa walaupun beliau kekal yakin terhadap keupayaan kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut, perbincangan lanjut masih diperlukan bagi memastikan sokongan yang mencukupi diberikan.
“Saya yakin kontraktor ini mempunyai kredibiliti untuk menyiapkan projek ini. Kami hanya perlu berbincang sedikit lagi tentang bagaimana memastikan mereka diberikan segala sokongan untuk mereka melaksanakan tugas. Itulah yang penting bagi kami. Rakyat sedang menunggu,” katanya.
Projek Hospital Petra Jaya yang bermula 2013 dengan kos RM610 juta dan dijadualkan siap pada November 2016 namun tertangguh berikutan kelewatan pembinaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis tahan 13 lelaki tempatan di Bau
Januari 15, 2026, Khamis - 8:06pm
BAU: Polis menahan 13 lelaki tempatan dalam Ops Tapis/Ops Lejang Khas yang dijalankan sekitar Taman Mutiara, Kampung Sungai Pinang dan Kampung Buan Buso di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi hingga 9 pagi itu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek berusia antara 24 hingga 43 tahun mendapati tiga daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua 13 suspek pula mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine sekali gus ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis turut merampas dadah dengan anggaran berat keseluruhan 1.30 gram bernilai kira-kira RM130 dalam operasi berkenaan.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan lanjut manakala tiga daripada mereka akan dipohon reman.
Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengiran Saifuddin Pengerusi baharu SUDC
Januari 16, 2026, Jumaat - 9:05am

SERAH TUGAS: Jamawi (tiga kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan dokumen kepada Pengiran Saifuddin pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra adalah Pengerusi Baharu Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC).
Beliau menggantikan Datuk Jamawi Jaafar yang kini Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Majlis berkenaan telah diadakan di sini pada Khamis menyaksikan Jamawi secara simbolik menyerahkan jawatan berkenaan kepada Pengiran Saifuddin.
Jamawi sebelum ini menerajui SUDC sejak 2020, mengucapkan tahniah kepada pelantikan Pengiran Saifuddin sebagai pengerusi badan berkenaan.
Beliau turut menghargai semua kerjasama yang diberikan kakitangan SUDC sepanjang lima tahun sebagai Pengerusi SUDC.
"Apa yang lebih penting adalah melaksanakan khidmat kita kepada orang awam," katanya.
Jamawi juga yakin SUDC akan terus maju di bawah kepimpinan baharu.
Sementara itu, Pengiran Saifuddin, 67, sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif SUDC. Beliau menzahirkan terima kasih kepada Jamawi atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan kepada badan berkenaan.
Sumber : https://www.utusanborneo.com.my/ ... ngerusi-baharu-sudc |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
240 penduduk di Sungai Entajum terima bantuan banjir
Januari 16, 2026, Jumaat - 9:48am

Pihak JKM menyampaikan simbolik penyerahan bantuan makanan kepada mangsa terjejas banjir di kawasan Sungai Entajum Tatau.
BINTULU: Seramai 240 penduduk dari lima buah rumah panjang di kawasan Sungai Entajum Tatau yang terputus hubungan dengan dunia luar akibat banjir menerima bantuan makanan pada Khamis.
Operasi penghantaran makanan yang bermula seawal jam 10 pagi itu melibatkan 23 angggota daripada pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Tatau, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Penghantaran bantuan makanan turut menggunakan keluaran aset berupa kenderaan pacuan empat roda (4X4), sebuah Land Rover Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sebuah lori bomba.
Lima rumah panjang yang menerima bantuan ialah Rumah Genta Insul, Rumah Was Janting, Rumah Kennedy Chulo, Rumah Nyalang Nantang dan Rumah Eki Garajie.

Pasukan terlibat memunggah stok bantuan makanan untuk diagihkan buat mangsa terjejas banjir.
Walaupun laluan masuk ke semua rumah panjang masih ditenggelami air, misi penghantaran bantuan makanan berjaya dilaksanakan yang mana kesemua bantuan diserahkan kepada tuai rumah atau wakil bagi diagihkan kepada semua penduduk terjejas.
Dalam masa sama, pihak berkuasa akan terus memantau situasi semasa dan bersedia untuk melaksanakan bantuan susulan sekiranya keadaan memerlukan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penubuhan Unit Penguatkuasa JPJ Kota Belud perkukuh keselamatan jalan raya
Januari 16, 2026, Jumaat - 9:24am

RASMI: Harris menyampaikan replika kunci sebagai dalah satu simbolik penubuhan Unit Penguatkuasa JPJ Cawangan Kota Belud.
KOTA BELUD: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah menubuhkan Unit Penguatkuasa JPJ Cawangan Kota Belud secara tetap berkuat kuasa Khamis bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan keselamatan jalan raya di daerah ini.
Penubuhan unit berkenaan dibuat susulan peningkatan aduan orang awam berkaitan pelanggaran peraturan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan perdagangan yang membawa lebihan muatan seperti batu dan pasir sehingga menimbulkan risiko keselamatan serta kerosakan infrastruktur jalan.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata kehadiran unit operasi tetap di Kota Belud membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berfokus, responsif dan berterusan mengikut keperluan semasa di peringkat daerah.
Menurutnya, keperluan penubuhan unit itu turut mengambil kira statistik kemalangan jalan raya di kawasan berkenaan sepanjang 2025, dengan lima kes direkodkan termasuk satu insiden melibatkan lori yang mengorbankan dua nyawa.
“Insiden sedemikian menjadi peringatan jelas bahawa aspek pematuhan undang-undang jalan raya tidak boleh dikompromi dan menuntut kehadiran penguatkuasaan yang lebih dekat dengan komuniti setempat.
“Selain isu keselamatan, aduan awam turut membabitkan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan sehingga menyebabkan kerosakan jalan, sekali gus memberi implikasi jangka panjang terhadap kos penyelenggaraan dan ketahanan kemudahan awam.
“Unit Penguatkuasa JPJ Cawangan Kota Belud akan bertindak sebagai jentera utama penguatkuasaan di daerah itu dengan fokus kepada pemantauan lapangan, operasi terhadap kesalahan berulang, kenderaan perdagangan, lebihan muatan serta ketidakpatuhan spesifikasi teknikal kenderaan,” katanya semasa sidang media selepas program berkenaan.
Bercakap lanjut beliau berkata, penubuhan unit ini juga dijangka mempercepatkan tindakan susulan terhadap aduan orang awam melalui kerjasama bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik penguatkuasaan JPJ Negeri Sabah sepanjang 2025 menunjukkan peningkatan ketara hasil pendekatan penguatkuasaan lebih menyeluruh.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 576,611 kenderaan diperiksa, meningkat 43 peratus berbanding 2024, manakala 132,639 notis dikeluarkan dengan peningkatan 12 peratus.
“Jumlah kenderaan yang diambil tindakan mencecah 61,655 kes, meningkat 13 peratus, sementara notis saman direkodkan sebanyak 112,559 dengan peningkatan 14 peratus.
“Kesalahan lebihan muatan mencatatkan peningkatan paling ketara dengan 3,350 notis dikeluarkan, naik 283 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah kenderaan disita menunjukkan penurunan 32 peratus kepada 327 buah,” katanya.
Tambahnya, kutipan hasil kompaun pula mencecah RM11.018 juta, meningkat 17 peratus berbanding 2024.
Mohd Harris menegaskan JPJ Negeri Sabah kekal komited menilai keberkesanan operasi unit baharu itu, selain menambah baik keupayaan penguatkuasaan berdasarkan keperluan semasa dan maklum balas orang awam.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik berterusan bersama agensi penguat kuasa lain, pihak berkuasa tempatan serta rakan media bagi memastikan pendekatan penguatkuasaan dilaksana secara menyeluruh dan berkesan.
“JPJ Negeri Sabah merakamkan penghargaan kepada rakan media atas peranan menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|