UPDATE: Kuala Lumpur : Kontraktor dikenali BaNi Rahman bertindak memadamkan hantaran dibuatnya berkaitan Rozita Che Wan yang didakwa tidak membayar hutang perkhidmatannya sebagai pemasang rumput tiruan di kediaman pelakon itu, tahun lalu.
BaNi menerusi penjelasan di akaun Facebook miliknya berkata, keputusan memadam hantaran berkenaan dibuat berikutan hutang itu sudah dibayar oleh seorang sahabat baik Che Ta juga usahawan, Mohamad Anas Zahrin.
"Syukur alhamdulillah dia dah tolong selesaikan bayaran sebanyak RM7,000 kepada saya. Allahu betul tak sangka. Ini betul sahabat dunia akhirat. Tak pernah lagi jumpa sahabat macam ini. Bukan senang nak dapat sahabat baik mcm ini.
"Sudi tolong Rozita waktu dia tengah susah. Diam-diam pula tu tanpa pengetahuan Rozita. Terima kasih banyak tuan Anas Zahrin sudi selesaikan bayaran ini. Moga tuan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki," tulisnya.
Menurut BaNi lagi, bayaran itu akan digunakannya untuk mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah selepas ini.
"Memang dari dulu lagi teringin sangat nak pergi umrah. Moga Allah SWT jemput saya ke sana," katanya kini sedang mengenal pasti agensi umrah yang sesuai untuk melaksanakan impiannya itu.
Terdahulu, BaNi mendakwa syarikatnya BANI Grass diupah oleh Che Ta untuk memasang rumput tiruan di kediamannya.
BaNi berkata, bagaimanapun dia sudah melakukan kerja asas sehinggalah sampai peringkat akhir mahu memasang rumput tiruan, namun terkejut apabila Che Ta memanggil syarikat lain untuk memasang rumput itu di rumahnya.
Difahamkan Che Ta memberi alasan rumput tiruan itu ditaja oleh syarikat terbabit, sekali gus permintaan BaNi Rahman mendapatkan upah kerjanya selama seminggu berulang alik dari Melaka serta kos barang sudah digunakan tidak dilayan oleh Che Ta.
Dia kemudian bertindak meluahkan perasaan sedih dan kesal terhadap selebriti sensasi itu di media sosial, namun tidak menyangka apa yang dikongsi itu menjadi perhatian ramai sehingga tular.