|
Ning buka hati Imran pelajari bahasa Melayu
31-01-2008 08:53:13 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
SETELAH mengambil masa selama hampir lima bulan, akhirnya tarikh 29 Januari lalu yang dinantikan tiba jua apabila hasrat penyanyi kelahiran Singapura, Ahmad Imran Husaini Ajmain untuk melancarkan album pertamanya, Dengan Secara Kebetulan di Malaysia tercapai jua setelah album itu telah lama menghuni negara asalnya setahun lalu.
Walaupun ia mungkin terlambat kerana lagu Seribu Tahun nyanyiannya terlebih dahulu popular dan mendapat tempat dihati pendengar, namun jejaka berusia 27 tahun ini menjanjikan pembaharuan kepada album tersebut memandangkan beliau menambah tiga buah lagu baru.
Lagu yang turut tersenarai dalam carta radio-radio tempatan itu mula dikenali selepas ia menjadi lagu tema drama bersiri Kerana Cintaku Saerah terbitan Radius One yang disiarkan oleh TV3 tahun lepas.
"Empat buah lagu baru yang tiada dalam album sebelum ini adalah lagu Abang, Bahasa Menjunjung Bangsa, Tidak Lama Lagi dan Taurus (Penawar Rindu) bersama Dayang Nurfaizah berduet dengan Altimet.
"Bukan itu sahaja, bagi sesiapa yang mendapatkan album baru ini turut berpeluang untuk berkaraoke lagu-lagu kesukaan ramai seperti Seribu Tahun dan Sudah tu Sudah serta mendengar interlude yang menampilkan pantun-pantun Melayu ciptaan saya.
"Pantun-pantun tersebut saya reka melalui buku-buku yang saya rujuk.
"Saya bukanlah seorang yang mendapat didikan tentang pantun dan puisi sejak dari kecil lagi. Namun, minat yang saya baru temui ini membuatkan saya ingin mendalaminya sehinggalah saya mahu menggunakan ia sebagai satu wadah yang dapat mendidik pendengar sekarang dan akan datang.
"Saya faham yang tidak semua orang akan mudah mengikut sesuatu arahan seperti "Katakan tak nak untuk merokok" namun kita boleh menarik perhatian mereka dengan memasukkan elemen tersebut di dalam lagu yang boleh juga disampaikan secara ironi atau tersirat.
"Jika orang katakan saya datang dengan satu agenda, pendapat itu salah kerana saya memang seorang pecinta bahasa.
"Pantun yang saya masukkan di antara sebuah lagu dengan lagu yang lain merupakan ringkasan tentang cerita lagu sebelum itu," jelas penyanyi yang lebih dikenali dengan nama Imran Ajmain ini ketika majlis pelancaran album tersebut di The Annexe Gallery, Central Market.
Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 50 orang tetamu termasuk penyanyi Alvin Infinatez yang memetik gitar manakala Rafique yang bermain keyboard ketika Imran menyampaikan beberapa lima buah lagu secara live.
Lagu tersebut adalah Malu, Taurus (Penawar Rindu), Cinta, Abang dan Seribu Tahun.
Menurut Imran, beliau mula menanam minat untuk menguasai bahasa Melayu apabila beliau mula mendengar lagu-lagu Melayu daripada album penyanyi Malaysia, Ning Baizura pada tahun 1993.
"Saya dibesarkan dalam persekitaran bahasa Inggeris dan keluarga saya lebih banyak bertutur menggunakan bahasa tersebut.
"Jadi apabila saya cuba mendengar lagu daripada album Ning, ia seolah-olah membuka jalan kepada saya untuk mempelajari bahasa Melayu dan bermula saat itu juga saya mula membuat kajian tentang lagu Melayu klasik," tambah Imran yang pernah dilantik sebagai duta bahasa di Singapura pada tahun lalu.
Katanya lagi, beliau turut menggunakan perkataan yang jarang digunakan atau mungkin tidak diketahui oleh khalayak seperti Utara, Selatan dan banyak lagi.
"Kalau boleh saya tak mahu perkataan seperti ini terus dilupakan oleh generasi sekarang dan akan datang. Jadi apabila saya memasukkan perkataan yang kurang mereka fahami, maka mereka akan mencari maksud perkataan tersebut," kata Imran.
Jual album secara online
Walaupun sudah ramai orang memuat turun lagu Seribu Tahun secara haram di internet, Imran tidak menyalahkan mereka malah berbangga dengan apa yang dilakukan.
"Saya tak salahkan mereka. Mungkin mereka tak tahu yang perbuatan mereka itu adalah salah.
"Selepas ini mereka tak payah berbuat sedemikian lagi kerana mereka boleh membeli album dan mendengar lagu saya secara online melalui laman web saya.
"Mereka yang berminat boleh memiliki album tersebut dengan harga yang berpatutan tanpa menggunakan kredit kad tetapi hanya memindahkan wang melalui akaun bank dan album tersebut akan terus dihantar ke rumah mereka," ujar Imran yang sememangnya aktif dalam 'dunia maya' ini.
Beliau selalu berhubung dengan peminat-peminatnya melalui Friendster, My Space, Facebook dan mereka juga boleh melayari laman web rasmi Imran iaitu www.imranajmain.com. |
|