Bekas Pelajar Dakwa Tiada Budaya Buli Di UiTMPublished on Jun 20, 2016 in Slider/Utama & Sensasi
KISAH viral ‘Batch Ferrari’ membuli pelajar junior yang disiarkan Mynewshub semalam, mendapat perhatian bekas pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana.Rata-rata mereka, menafikan dakwaan bahawa budaya buli dan ragging memang sudah menjadi asam garam fakulti tersebut. Menerusi Twitter bekas pelajar dikenali sebagai Elmira A. menafikan, budaya buli adalah ‘tradisi’ fakulti berkenaan. Hal ini kerana dia dan rakan-rakan yang merupakan antara pelajar terawal memasuki fakulti tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1998 tidak pernah diperkenalkan dengan budaya sebegitu. Melalui tweetnya, Elmira menzahirkan apa yang berlaku di UiTM Puncak Perdana sebagai budaya baru dan tidak seharusnya dikaitkan sebagai tradisi. FiTA UiTM Puncak Perdana mula mendapat perhatian apabila kumpulan senior dikenali sebagai Batch Ferrari didakwa telah ‘mendera’ pelajar-pelajar junior melakukan perkara-perkara tak rasional demi mendapatkan 200 autograf senior dalam masa tiga hari. Demi tugasan berkenaan mereka dikatakan perlu memakai tag nama besar bersaiz kertas A4 sepanjang masa termasuk ke kelas dan kedai makan sepanjang tempoh orientasi. Pelajar junior juga dikehendaki melakukan apa sahaja permintaan senior sekiranya ingin mendapatkan tanda tangan mereka antaranya masuk dalam almari, menyanyi dan meniup kipas guna boxer. Tidak bersetuju dengan hal berkenaan, pelajar junior ini kemudian ‘mengadu’ dengan memuat naik perkara itu di Internet. Rata-rata netizen memberi respon bahawa budaya buli seperti itu adalah ketinggalan zaman dan selayaknya hanya dilakukan ketika zaman persekolahan sahaja. Dalam pada itu, ada antara pelajar menyifatkan perbuatan membuli pelajar junior adalah seperti ‘karma’.
MYNEWSHUB
|