HANI diam di dalam bilik. Linda sudah pun keluar dari biliknya. Apa yang dikatakan oleh Linda tadi sedikit sebanyak membuatnya merasa lega namun dia harus berhati-hati. Linda tidak perlu tahu apa yang sebenarnya sudah berlaku. Memang dia tidak suka Malik bernikah dengan Aylanins dan dia sudah belajar dari semua itu. Cinta memang tidak boleh dipaksa. Muzafar juga tidak boleh memaksanya dalam hal cinta tetapi lelaki itu seperti tidak pernah jemu merayu padanya.
"Hmm..siapa agaknya yang culik Ayla?" Hani masih merenung arca dirinya di cermin. Masih berfikir apa yang telah terjadi pada Aylanins.
Semalam, habis saja majlis itu, dia bersama Muzafar dan Linda minta diri untuk pulang dan dia tidak ke mana-mana sehinggalah dia keluar dengan seorang kenalan polis yang sama tempat kerja. Dia sudah tidak kisah apa Linda anggap nanti, bila keluar malam-malam begitu. Dia seorang polis yang terlatih. Kalau ada apa-apa yang buruk berlaku, dia sudah bersedia. Namun apa yang pelik, bila dia pulang ke rumah jam dua setengah pagi, Linda tidak ada di rumah. Ibu pula masih tidur nyenyak di dalam bilik. Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, dia menganggap yang Linda ada panggilan kecemasan dari hospital.
Hani bingkas dari duduknya dan menapak ke meja belajar. Laci ditarik perlahan. Sekeping surat dicapai dari situ lalu dibaca perlahan. Lega bila Dr. Izani sudah mengesahkan yang dia sudah sembuh sepenuhnya dari penyakit itu. Ubat yang diambil setiap bulan hanya untuk simpanannya saja. Tidak sangka pula, bila balik malam tadi, biliknya bersepah dengan ubat. Laci meja solek terbuka, almari pakaian habis berselerak bajunya. Dia mula syak yang Linda sudah menggeledah biliknya. Dia tahu itu kerja Linda, sampai begitu sekali Linda mencurigainya. Adik sendiri menaruh syak. Sedih. Mungkin sebab itulah Linda syak yang dia sudah menculik Aylanins.
"Maafkan aku Ayla..aku tak dapat tolong kau. Aku memang harap kau tak jadi nikah dengan Malik tapi aku silap. Malik pilih kau..bukan aku.." Hani menitiskan air mata. Foto Malik yang disimpan ketika masih belasan tahun dulu masih elok dalam simpanannya. Foto itu ditatap lama.
Hani tersedar dari lamunan. Bunyi teks mesej. Dia mula membaca. Muzafar ingin berjumpa dengannya. Dia pasti, tentu kes Aylanins yang ingin ditanya oleh lelaki itu padanya. Dia segera bersiap dan sekarang ini dia perlu tahu apa yang sebenarnya sudah terjadi malam tadi.
AYLANINS yang terbaring di satu sudut bilik mula sedar dari pengsan. Perlahan matanya dibuka. Keadaan masih samar di sekitar. Berpisat-pisat melihat sekeliling. Matanya digenyeh berkali-kali. Baru dia perasan dirinya kini sudah berada di dalam sebuah bilik yang lengkap dengan perabot dan bilik air. Mewah! Dia menggagahkan diri cuba bangun dari atas tilam yang empuk itu. Dilihat lagi sekitar bilik itu. Seingatnya malam tadi, dia diseret masuk ke dalam kereta dan dia bertindak menendang dan menyiku perut tetapi tidak berjaya, mulut dan hidung sudah terasa tersedut kloroform dan baru kini dia sedar dari pengsannya yang panjang malam tadi. Terpinga-pinga melihat keadaan sekitar bilik itu.
Perlahan Aylanins menapak ke balkoni bilik. Dia selak langsir 'sliding door' dan menapak keluar. Tergamam seketika. Dirinya kini berada di sebuah kondominium mewah di tingkat paling atas sekali. Mungkin penthouse. Dahinya dipicit berkali-kali. Terasa berdenyut. Aylanins kembali menapak ke dalam bilik. Dia melangkah keluar dari bilik dan melihat pula sekitar ruang tamu yang mewah. Segalanya lengkap. Bingung seketika.
"Aku kat mana sebenarnya ni?" Aylanins duduk di sofa. Dia cuba mengingati apa yang sudah berlaku malam tadi namun terasa kepalanya semakin berdenyut.
Dia bingkas bangun dan menuju ke pintu. Tombol pintu cuba dipulas. Ternyata, sudah berkunci dari luar. Nampaknya memang dia dikurung di situ dengan sengaja. Cepat saja Aylanins meraba tubuhnya sendiri. Mana tahu dirinya sudah diapa-apakan. Lega..semuanya masih lengkap. Baju pengantin warna hijau lumut yang tersarung di tubuhnya masih elok. Tudungnya juga masih elok menutup rambut.
Dia kemudian mula mencari telefon jika ada. Puas diselongkar di setiap bilik. Langsung tiada. Dapur dijenguk sekali. Tiada satu apa pun perkakas dapur. Memang bijak penculik itu. Bimbang dia akan gunakan peralatan dapur untuk menyerang balas. Dia kembali duduk di sofa, cuba mencari idea untuk melepaskan diri dari situ. Dia tidak tahu siapa yang menculiknya dan untuk apa dia diculik. Bimbang juga jika orang jahat atau sindiket yang menjual gadis-gadis ke luar negara untuk tujuan pelacuran. Dulu, kes itulah yang dikendalikan oleh bosnya, Ana Dahlia yang melibatkan sindiket haram.
"Abang...mak.." Aylanins sekali lagi meraup muka. Buntu memikirkan motif dia diculik. Saat ini dia teringat pada ibu dan suami. Harap Malik dapat mencarinya sampai berjumpa. Tidak rela dirinya dijadikan pelacur jika benar sindiket haram itu punya angkara. Dia sudah masak sangat dengan modus operandi sindiket yang akan bertindakbalas dengan menculik polis dan jadikan tebusan atau dijual jika polis itu wanita.
Aylanins terdongak. Bunyi kunci dibuka dari luar jelas di telinganya. Dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik semula dan pura-pura pengsan.
Dari dalam bilik, Aylanins cuba pasang telinga mendengar apa yang berlaku di luar. Kedengaran suara seorang lelaki sedang berbual. Mungkin sedang berbual di telefon.Masih tidak jelas butir bicara yang dibualkan oleh lelaki itu. Cepat-cepat Aylanins tutup mata sebaik melihat pintu bilik itu dikuak perlahan. Dia diam di atas katil tidak bergerak. Jika lelaki itu cuba buat sesuatu padanya nanti, dia akan bertindakbalas. Dia perlu berhati-hati. Perlu peka dengan gerak geri musuh. Untuk apa dia dididik dan dilatih dengan semua itu jika tidak digunakan? Waktu beginilah dia perlu guna sepenuhnya semua kemahiran yang dipelajari.
"Woi!! Bangun!! Makan!!"
Aylanins terasa tubuhnya digoncang kuat oleh lelaki itu. Dia mula buka mata dan berpura-pura baru tersedar dari pengsan. Nampaknya lelaki itu bertopeng. Ada sebungkus nasi diletakkan atas meja kecil sebelah katil.
"Tu! Makan!" Tuding lelaki itu pada bungkusan nasi tadi.
"Kau siapa? Siapa arah kau untuk culik aku?" Aylanins tidak hiraukan arahan lelaki itu sebaliknya dia menyoal lelaki itu dengan berani.
"Bukan urusan kau! Makan!!" tengking lelaki itu lagi.
Aylanins merenung tajam lelaki yang hanya nampak mata saja. Topeng yang berwarna hitam itu sudah menutupi keseluruhan wajah lelaki itu kecuali mata, mulut dan hidung. Dia harus berhati-hati. "Aku tak nak makan. Entah-entah kau bubuh racun dalam nasi tu!"
"Aku kata makan!!" Pantas saja bungkusan nasi itu diletakkan atas tapak tangan Aylanins.
"Kau tahu aku siapa?" Tajam Aylanins memandang lelaki bertopeng itu.
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. " Kau perempuan la bodoh!!"
Secepat itu juga Aylanins menyimbah nasi yang ada dalam bungkusan itu dan dia segera bingkas dari situ lalu menendang perut lelaki itu yang sudah menggenyeh mata terkena nasi tadi. Lelaki itu tersungkur jatuh ke lantai. Tanpa sempat dia bangun, sekali lagi Aylanins menendang dan menumbuk muka dan perut lelaki itu sebelum dia mengilas tangan ke belakang. Tertiarap lelaki itu di atas lantai dengan muka mencium simen lantai.
"Cepat cakap!! Siapa yang arah kau culik aku???"Tinggi kali ini nada suara Aylanins sambil memegang kuat kedua tangan lelaki itu yang sudah tidak bergerak.
"Kau ingat aku bodoh?" Lelaki itu cuba menjawab walaupun muka masih melekat di simen.
"Aku boleh tuduh kau culik seorang pegawai polis! Kalau kau beri kerjasama, kau akan dibebaskan. Kau pilih!" Gertak Aylanins lagi. Tangan lelaki itu dicengkam semakin kuat. Dia yang duduk di atas badan lelaki itu masih kuat menekan.
Lelaki itu diam.
"Atau kau nak masuk penjara? Cepat cakap!! Kau diarahkan oleh mawar hitam kan??" Sekali lagi Aylanins mengugut. Dia dapat merasakan yang lelaki itu adalah orang upahan mawar hitam. Mungkin mawar hitam itu adalah Hani, Hani cemburu kerana Malik tidak memilihnya.
"Aku tak kenal siapa mawar hitam! Aku hanya terima arahan saja!!" Lelaki itu mula menjawab. Tersekat-sekat. Terasa mukanya sakit akibat ditenyeh pada lantai.
"Baiklah!" satu penumbuk singgah di muka lelaki itu. Aylanins segera ambil tali kasut lelaki itu dan dia mengikat kedua tangan yang dikilas tadi. Lelaki itu disandarkan di dinding dan kedua kaki pula diikat.
"Bravo!!!"
Aylanins menoleh. Tepukan dan suara menegur tadi cukup jelas di telinganya. Bulat matanya memandang susuk tubuh yang muncul di muka pintu bilik itu. Penampilannya sudah nyata jauh berbeza dari apa yang selalu dilihatnya. Sungguh tidak masuk dek akal.
"Kau???" Terbeliak Aylanins melihat empunya suara tadi walau masih samar wajahnya yang di sebalik topi dan kaca mata hitam. Jaket hitam yang dipakai juga seperti tampak seorang samseng.
"Ya aku!!" Ketawanya mula meledak.
Aylanins tergamam. Apakah benar dia itu mawar hitam? Dia mula bangun tapi secepat itu juga sebilah pisau sudah mengenai bahunya. Terjelepuk Aylanins di atas lantai menahan sakit. Darah mula mengalir dari luka itu. Pisau masih terpacak di bahunya. Perlahan dia cuba mencabut pisau sambil cuba menahan sakit dan pedih.
"Kau jangan ingat aku ni lemah dan bodoh! Sekarang ikut aku!!" Tangan Aylanins ditarik kasar dan dipaksa mengikutnya sehingga ke tempat letak kereta di bawah bangunan.
Aylanins dalam keadaan kesakitan luka pisau tadi terpaksa juga mengikut. Terasa habis dayanya untuk melawan. Darah yang mengalir deras dari luka itu cuba ditutup dengan kain tudung. Tubuhnya ditolak kasar masuk ke dalam kereta dan kereta itu dipandu laju meninggalkan kawasan itu. Sepanjang perjalanan itu, dia antara dengar dengan tidak, Malik dihubungi. Matanya sudah layu. Kesakitan di bahagian bahu masih pedih. Darah masih galak mengalir. Dia sudah dapat merasakan hilang imbangan badan. Berpinar matanya tidak dapat ditahan lagi. Pandangannya sudah semakin samar. Tidak jelas butir kata yang diucapkan tadi.
"Aku nak kau lepaskan Malik!"
Dalam kesakitan, Aylanins cuba menjawab tetapi terasa suaranya sudah tersangkut di kerongkong. "Ja...jadi kau...kau ma..mawar hitam?"
"Hahahaha!"
Aylanins mengetap bibir. Hilaian itu sungguh menjengkelkan! Dia cuba melihat sekitar jalan. Jalan itu menuju ke satu bukit yang jarang dilalui kereta lain. "Kau..kau nak bawa aku... ke mana?"
"Aku nak bawa kau ke syurga. Kau tak nak?" Sekali lagi ledakan ketawa memenuhi dalam kereta itu yang masih dipandu laju.
Aylanins menelan liur. Ternyata semua itu seperti sudah gila! Matanya meliar melihat sekitar kereta. Membuntang dia melihat sejambak bunga mawar hitam di tempat duduk belakang. Hatinya masih sangsi..tak mungkin..
Kereta diberhentikan di atas bukit mengadap panorama Kuala Lumpur. Aylanins dipaksa keluar dari kereta. Kali ini kedua tangan Aylanins sudah diikat. Angin kuat bertiup sudah menerbangkan tudung yang dipakai Aylanins. Gaun pengantinnya juga sudah meliuk lentuk ditiup angin. Dia masih cuba mencari jalan untuk melepaskan diri.
"Sekejap lagi Malik akan sampai. Aku nak dia ceraikan kau depan mata aku!"
Aylanins masih diam. Gila! Memang sudah gila!!
"Sebelum tu..aku nak hadiahkan pada kau mawar hitam. Kau bertuah sebab aku selalunya hadiahkan satu saja mawar hitam tapi untuk kau..aku akan hadiahkan sejambak.."
Aylanins mengetap bibir. Dia hanya melihat sejambak mawar hitam itu digenggam kuat sehingga berdarah jemari terkena duri bunga. Gila!
"Kalau kau nak Malik tu ceraikan aku, ok. Aku terima syarat kau tapi aku nak tahu kenapa kau buat macam tu?? Kau bukan cintakan Malik dan kau tak ada kena mengena dengan Malik??" Aylanins cuba mengawal situasi.
Pertanyaan Aylanins hanya dijawab dengan ketawa sinis. Tersentak Aylanins bila sejambak mawar hitam sudah dilemparkan ke mukanya. Berterabur kelopak bunga di atas rumput. Kesan darah pada duri turut melekat di mukanya.
"Aku akan tunggu Malik datang, kalau dia tak datang, kau akan ke syurga bersama kereta ni.."