|
|
Pertandingan nyanyian sempena TBC T Home Music Studio tampil bakat pelajar
Februari 5, 2026, Khamis - 3:26pm

Kumpulan The Three Lollipops (tengah) muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan nyanyian anjuran T Home Music Studio pada Ahad.
MIRI: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal menjelang tiba, T Home Music Studio pada Ahad lalu telah berjaya menganjurkan pertandingan nyanyian yang menampilkan bakat para pelajarnya.
Bertemakan ‘Meluncur Menuju Kemakmuran', acara tersebut berlangsung di Aras 3, Boulevard Shopping Mall di sini dan berjaya menarik kehadiran ramai pelajar, ibu bapa serta orang ramai.
Lebih 70 pelajar dari studio muzik berkenaan tampil membuat persembahan di atas pentas dan menyampaikan pelbagai lagu sempena TBC.
Menerusi persembahan mereka, para peserta bukan sahaja mempamerkan kebolehan vokal dan keyakinan di atas pentas, malah menunjukkan perkembangan serta peningkatan hasil latihan muzik yang diterima.
Kemuncak pertandingan adalah penyampaian piala kejuaraan keseluruhan kepada kumpulan The Three Lollipops dari Sekolah Menengah Pei Min, yang mana pelajar bertiga tersebut mempersembahkan persembahan yang amat cemerlang.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja iaitu Boulevard Shopping Mall, Miri Star Car Accessories Service, Ezhada Salon and Academy of Art, Ant Enterprise, Tong Seng Huat Rice Trading, LSJ Management dan Ai-Cha Boulevard, di mana sumbangan mereka telah menjayakan acara yang bermakna itu.
T Home Music Studio memaklumkan pihaknya akan terus menganjurkan lebih banyak aktiviti berkaitan muzik dan persembahan pada masa akan datang bagi menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang pelbagai serta peluang beraksi di pentas.
Melalui muzik, ia berharap dapat membina keyakinan diri di kalangan para remaja dan kanak-kanak dalam proses pembangunan kreatif dan pembelajaran mereka.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SABERKAS Baleh anjur program derma darah Sabtu ini
Februari 5, 2026, Khamis - 3:27pm

Program derma darah anjuran SABERKAS Cawangan Baleh pada Sabtu ini.
KAPIT: Persatuan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Baleh akan menganjurkan program derma darah pada Sabtu ini bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Kapit sentiasa mencukupi dan berterusan.
Menerusi kenyataan, kempen akan diadakan di Bilik Persidangan, Hospital Kapit dari jam 9 pagi hingga 1 petang.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SABERKAS Cawangan Baleh dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah sebagai amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa.
"Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menjayakan kempen ini.
"Setiap titisan darah yang didermakan amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan," ujarnya.
Tambahnya, kempen itu juga bertujuan memastikan bekalan darah di Bank Darah Hospital Kapit sentiasa berada pada tahap mencukupi bagi kegunaan kes kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kumpulan tarian singa Persatuan Buddha Batu Niah berusaha kumpul dana
Februari 5, 2026, Khamis - 3:28pm

Kunjungan rumah dan persembahan kebudayaan bagi mengumpul dana untuk pusat pembelajaran baharu mereka.
MIRI: Sempena Tahun Baharu Cina, kumpulan tarian singa Golden Lion Troupe Persatuan Buddha Batu Niah akan melawat rumah-rumah dan membuat persembahan kebudayaan bagi mengumpul dana untuk pusat pembelajaran baharu yang sedang dibina.
Pengerusi persatuan Kaunselor Chong Teck Fatt berkata, usaha itu dilakukan selepas upacara pemberkatan kepala singa yang disempurnakan sami dari Sri Lanka baru-baru ini.
Beliau mendedahkan, pembinaan pusat pembelajaran baharu itu yang turut menempatkan sebuah tokong telah dimulakan pada April 2025 dan kini telah siap kira-kira 10 peratus.
Chong menjelaskan, persatuan sebelum ini telah berjaya mengumpul RM2 juta bagi memulakan projek manakala keseluruhan pembinaan dijangka memerlukan lebih RM8 juta.
“Menurut kontraktor projek, RM3.5 juta diperlukan tahun ini bagi menampung kos sehingga September 2026.
"Setakat ini, lebih RM500,000 telah dibelanjakan manakala baki RM1.5 juta masih dalam simpanan.
“Oleh itu, kami menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM500,000 melalui persembahan tarian singa dan kunjungan rumah sempena musim perayaan ini,” katanya.

Pusat baharu Golden Lion Troupe Persatuan Buddha Batu Niah kini telah siap kira-kira 10 peratus.
Beliau menambah, persatuan telah membuat permohonan dana kepada kerajaan negeri melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan berharap mendapat maklum balas tidak lama lagi.
Chong menyeru orang ramai supaya memberikan sokongan kewangan dan dorongan moral supaya projek tersebut dapat berjalan lancar dan disiapkan secepat mungkin.
Beliau menjelaskan, kumpulan tarian singa persatuan tersebut telah aktif dalam persembahan kebudayaan semasa musim perayaan, namun tahun ini mereka akan berusaha lebih gigih kerana misi utama adalah mengumpul dana untuk pusat baharu itu.
Menekankan kepentingan upacara pemberkatan Chong berkata, ia bukan sahaja bertujuan mendoakan keselamatan kumpulan singa dan kelancaran persembahan tetapi juga untuk menyatukan pasukan, membina keyakinan dan menyampaikan berkat kepada ahli-ahlinya.
Dengan kedatangan Tahun Baharu Cina, Golden Lion Troupe akan mewakili persatuan dengan melawat komuniti bagi menyebarkan kegembiraan perayaan.
Beliau menyatakan, kumpulan tarian singa itu terdiri daripada remaja pelbagai bangsa dan latar agama yang telah menjalani latihan disiplin dan beraksi sebagai satu pasukan yang padu.
Oleh itu, Chong percaya bahawa ahli kumpulan tarian singa itu akan sepenuhnya mempamerkan semangat keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang budaya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk Flat Sibu Jaya bimbang tahap keselamatan persekitaran kediaman mereka
Februari 5, 2026, Khamis - 3:36pm

Papan tanda amaran di laluan masuk ke kawasan kolam kumbahan sudah dipasang pagi tadi.
SIBU: Kehilangan tiga nyawa kanak-kanak di sebuah kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya di sini semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat terhadap tahap keselamatan persekitaran kediaman mereka.
Pengerusi Protem Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Flat Blok N Sibu Jaya Lorita Sawang (gambar) berkata, tahap keselamatan di kolam kumbahan berkenaan masih tidak mencukupi walaupun terdapat papan tanda amaran di kawasan tersebut.
Menurut beliau, laluan menuju ke kolam itu sudah dipasang papan tanda amaran yang dipercayai disediakan pihak pemaju perumahan berhampiran namun masih tidak berkesan menghalang kemasukan orang awam khususnya kanak-kanak.
Beliau berkata, laluan berkenaan turut pernah dilengkapi pagar berserta pintu yang dibina menggunakan bahan spandeks.
“Bagaimanapun, pagar dan pintu tersebut telah dibuka bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan, selain terdedah kepada vandalisme sehingga menyebabkan kawasan itu mudah diakses dan tidak dikawal secara konsisten,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lorita menegaskan, kolam kumbahan berkenaan perlu dilengkapi dengan kawalan fizikal yang lebih menyeluruh termasuk pemasangan pagar kekal, jaring dawai keselamatan atau pintu besi kukuh pada bahagian permukaan kolam.
“Selagi permukaan kolam dibiarkan terbuka, risiko kemalangan dan kehilangan nyawa akan terus wujud,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, penduduk flat kini berada dalam keadaan trauma khususnya ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka setiap kali berada di luar rumah.
Katanya, kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dan tidak mampu memantau anak-anak sepanjang masa, justeru aspek keselamatan persekitaran perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.
Mengulas lanjut Lorita berkata, tidak wajar untuk terus menyalahkan ibu bapa sedangkan kelemahan struktur keselamatan di kawasan itu telah lama diketahui dan pernah mengorbankan nyawa sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta pemaju terlibat agar mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan langkah keselamatan yang lebih berkesan dilaksanakan demi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Malaysia raih pengiktirafan antarabangsa ekonomi kitaran
swk - Penduduk Flat Sibu Jaya bimbang tahap keselamatan persekitaran kediaman mereka
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM5 juta perkasa wanita dalam bidang STEM
Februari 5, 2026, Khamis - 4:15pm
Dilaksana di bawah Geran PERANTIS yang memberi manfaat kepada wanita daripada pelbagai latar belakang

Hanani (dua kanan) mendengar penerangan daripada Lau (dua kiri) mengenai inisiaif yang dipamerkan sempena Hari Wanita dalam STEM 2026 di Swinburne Sarawak. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM5 juta di bawah Geran PERANTIS bagi memperkasa wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata PERANTIS bukan sekadar skim pembiayaan, sebaliknya sebuah program transformatif yang memberi penekanan kepada bimbingan berstruktur, latihan kepimpinan dan pembangunan profesional.
Menurutnya sejak diperkenalkan, PERANTIS telah memberi manfaat kepada wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk di kawasan bandar, luar bandar serta komuniti Orang Asal.
“Melalui PERANTIS, wanita bukan sahaja memperoleh kemahiran dan pendedahan, malah keyakinan untuk memimpin dalam bidang STEM, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
“Program ini sedang membina rantaian pemimpin wanita yang inovatif dan berwibawa untuk masa depan negara,” katanya dalam teks ucapan disampaikan oleh wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita kementerian berkenaan, Hanani Sapit sempena perasmian Hari Wanita Dalam STEM 2026 di Swinburne University of Technology Kampus Sarawak di sini hari ini.
Nancy turut memuji peranan institusi pengajian tinggi seperti Swinburne Sarawak yang giat melahirkan dan menyokong wanita dalam STEM, termasuk penyelidikan berimpak tinggi.
Beliau turut menegaskan, kepimpinan wanita dalam STEM kini semakin bersifat merentas disiplin, sekali gus mencerminkan keperluan dunia sebenar yang kompleks dan saling berkait.
Sementara itu, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor Lau Hieng Ho berkata, penganjuran Hari Wanita Dalam STEM 2026 bertemakan ‘Her Voice in STEM: Driving Sustainable Solutions for a Better World’ selari dengan sambutan Hari Antarabangsa Wanita dan Gadis Dalam Sains yang diraikan pada 11 Februari setiap tahun.
Menurutnya, Swinburne Sarawak komited memastikan bidang STEM kekal inklusif dan saksama, dengan melaksanakan Pelan Induk Penyelidikan Swinburne Sarawak 2030 yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak dan relevan dengan keperluan pembangunan Sarawak.
“Selain penyelidikan, Swinburne Sarawak turut menekankan pembangunan bakat awal melalui Program Jangkauan STEM Flagship, yang setakat ini melibatkan lebih 220 pelajar daripada 13 sekolah menengah.
“Kejayaan pelajar dalam bidang pelancongan lestari, media digital dan reka bentuk kreatif membuktikan pendekatan pendidikan berasaskan STEM mampu menghasilkan penyelesaian dunia sebenar yang memberi impak kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu Hari Wanita Dalam STEM 2026 menyaksikan penyertaan seramai 270 peserta melibatkan pelajar dari lima sekolah iaitu Sekolah Tunku Putra-HELP, Sekolah Menengah Chung Hua No 1, SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Sekolah Antarabangsa Borneo dan Sekolah Antarabangsa Lodge.
Turut menyertai program tersebut para penuntut Swinburne Sarawak dan institusi pengajian tinggi lain dari sekitar Kuching dan seluruh Sarawak.
Antara sorotan utama sepanjang program tersebut ialah sesi ucaptama dan perbincangan panel Forum Wanita yang menampilkan penceramah terkemuka berkongsi pandangan serta Sesi Poster Flash Talk, yang mempamerkan projek-projek inovatif pelajar sekolah menengah dan universiti dalam menangani cabaran dunia sebenar selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Malaysia raih pengiktirafan antarabangsa ekonomi kitaran
swk - RM5 juta perkasa wanita dalam bidang STEMP
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hajiji alu-alukan inisiatif penyertaan tempatan Shell Malaysia
Februari 5, 2026, Khamis - 6:07pm

BINCANG: Hajiji bersama Siti Hurrairah semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengalu-alukan inisiatif Shell Malaysia untuk memperkasakan penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas negeri yang bertujuan memperluas peluang ekonomi bagi rakyat Sabah.
Beliau berkata, pada tahun lalu kerajaan negeri menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus bagi nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.
“Sasaran ini menekankan komitmen jitu negeri untuk memperkukuh penglibatan tempatan dan memupuk ekosistem tenaga tempatan yang berdaya tahan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat daripada Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Siti Hurrairah memberi taklimat perkembangan perniagaan mengenai aktiviti dan projek Shell yang sedang berjalan di Sabah, termasuk usaha syarikat dalam memupuk keusahawanan tempatan melalui program Shell LiveWIRE.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong, Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly dan Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia adakan pertemuan dengan Hajiji
Februari 5, 2026, Khamis - 6:13pm

KUNJUNGAN: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Rafael semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, TYT Rafael Daerr, di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini.
Dalam pertemuan itu, Rafael Daerr menegaskan bahawa Sabah mempunyai kedudukan penting dalam hubungan EU–Malaysia, selari dengan peranan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan komitmen Kesatuan Eropah untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berlandaskan hubungan baik dan penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan Sabah.
Berdasarkan keutamaan dan hala tuju kerajaan negeri itu, Hajiji dan Rafael turut bertukar pandangan mengenai kemungkinan kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, bukan sahaja meneruskan bentuk penglibatan sedia ada, malah meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
Perbincangan kedua-dua pihak itu turut menyentuh pendekatan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi, sejajar dengan visi pembangunan Sabah dan kepentingan bersama Kesatuan Eropah.
Terdahulu, Rafael menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara menyeluruh aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republic Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu.
Kunjungan Choi itu adalah pertemuan pertamanya dengan Ketua Menteri selepas dilantik sebagai Konsul Republik Korea di Sabah pada November lalu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sunlight Pharmacy buka kedai flagship pertama di IMAGO Shopping Mall
Februari 5, 2026, Khamis - 7:29pm

BAHARU: Cawangan baharu Sunlight Pharmacy, konsep kedai flagship di IMAGO menyediakan perkhidmatan dan promosi eksklusif khas untuk pelanggan flagship.
KOTA KINABALU: Sunlight Pharmacy merasmikan pembukaan kedai flagship pertama di IMAGO Shopping Mall menerusi sambutan khas selama dua hari bermula 7 hingga 8 Februari ini, sekali gus memperkukuh jenama itu sebagai pusat runcit kesihatan moden yang lebih menyeluruh.
Pembukaan cawangan baharu dalam pusat beli-belah utama bandar raya ini menjadi langkah penting dalam evolusi perniagaan syarikat daripada konsep farmasi tradisional kepada hab kesihatan sehenti yang menepati gaya hidup pengguna masa kini.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik disusun bagi memeriahkan suasana selain memberi nilai tambah kepada pelanggan, termasuk persembahan kebudayaan, tawaran penjimatan, pemeriksaan kesihatan percuma serta cabutan bertuah.
Majlis perasmian dan potong reben dijadual berlangsung pada 7 Februari, jam 12 tengah hari, diikuti persembahan Tarian Singa sebagai simbol kemakmuran, kesejahteraan dan permulaan hidup sihat.
Pihak penganjur memaklumkan persembahan itu turut bertujuan menarik kehadiran pengunjung pusat beli-belah selain menyuntik elemen tradisi dalam sambutan pembukaan rasmi.
Bagi menghargai pelanggan, Sunlight Pharmacy menawarkan pelbagai promosi harga istimewa membabitkan produk kesihatan harian, makanan tambahan dan barangan penjagaan diri untuk tempoh terhad.
Pelanggan yang berbelanja minimum RM88 layak menikmati tawaran Purchase-with-Purchase (PWP), sekali gus membolehkan mereka memperoleh barangan terpilih pada harga lebih rendah.
Inisiatif itu memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan keperluan kesihatan dengan penjimatan berganda sepanjang tempoh promosi.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran penjagaan diri, pengunjung juga boleh menyertai pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan di lokasi sama.
Antara saringan disediakan termasuk ujian ketumpatan tulang, analisis struktur tapak kaki, komposisi otot badan, selain pemeriksaan kulit dan kulit kepala.
Perkhidmatan itu membantu orang ramai mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal seterusnya mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Ceramah dan sesi perkongsian turut diadakan bersama pakar kesihatan, Jeremy Dealy dari Australia serta Lo Vun Hao dari Pusat Fisioterapi Sunlight.
Kedua-dua pakar berkongsi tip penjagaan tubuh, pemulihan fizikal dan amalan gaya hidup sihat yang praktikal untuk diamalkan setiap hari.
Selain itu, pelanggan yang berbelanja RM188 ke atas berpeluang menyertai program Happy Gold Lucky cabutan bertuah.
Program berkenaan menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk emas, sekali gus menambah keterujaan kepada setiap pembelian berkaitan kesihatan.
Menurut pengurusan Sunlight Pharmacy, konsep kedai flagship di IMAGO menggabungkan perkhidmatan runcit, saringan kesihatan dan konsultasi profesional dalam satu ruang yang selesa.
Pendekatan itu memudahkan pelanggan mendapatkan nasihat pakar, membeli produk serta menjalani pemeriksaan tanpa perlu ke beberapa lokasi berasingan.
Cawangan baharu itu juga menyediakan perkhidmatan dan promosi eksklusif khas untuk pelanggan flagship.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan bagi memeriahkan sambutan yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam.
Pembukaan ini dijangka mengukuhkan lagi kehadiran Sunlight Pharmacy di Sabah sebagai farmasi pilihan komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Usaha MPS harus disokong: Chong
Februari 5, 2026, Khamis - 11:02pm

CHONG
SANDAKAN: Usaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk memindahkan Pasar Dinihari ke Pasar Borong Ramai-Ramai adalah satu langkah yang positif.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, tetapi hasil daripada perancangan teliti dan pertimbangan mendalam yang telah dijalankan selama beberapa bulan.
"Cadangan itu sudah dikaji dengan menyeluruh, mengambil kira kelebihan dan cabaran dalam peralihan sensitif ini," katanya dalam kenyataan.
Sokongan beliau berasaskan pandangan menyeluruh serta manfaat jangka panjang untuk bandar Sandakan.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sandakan semakin sesak dengan aktiviti perniagaan yang tinggi.
"Walaupun ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang positif, sudah tiba masanya untuk meluaskan aktiviti ekonomi ke kawasan lain kerana permintaan jelas wujud.
"Pasar Borong Ramai-Ramai terletak hanya 2.3 kilometer dari pusat bandar, menjadikannya alternatif yang praktikal.
"Salah satu isu mendesak di Pasar Dinihari ialah kesesakan lalu lintas, dengan aduan awam semakin meningkat. Kekurangan ruang letak kereta menjadi masalah besar.
"Manakala reka bentuk jalan yang sempit, dibina untuk kereta dan bukan lori telah menyebabkan kesesakan," katanya.
Beliau berkata, satu lagi kebimbangan yang semakin meningkat ialah kemunculan penjaja haram, khususnya penjaja bukan warga negara.
Menurut laporan katanya, bilangan penjaja asing tanpa dokumen sah semakin bertambah dan menimbulkan persaingan tidak adil kepada peniaga tempatan.
Chong menolak sebarang toleransi terhadap isu ini, menekankan bahawa peniaga tempatan mesti dilindungi.
“Kita mesti menyokong dan melindungi peniaga tempatan, bukan membiarkan penjaja haram menguasai pasaran,” katanya.
Chong turut menjelaskan bahawa pemindahan ke Pasar Borong Ramai-Ramai akan membawa manfaat besar kepada pemborong dan peniaga.
"Kawasan perniagaan di sana berbumbung sepenuhnya, memberi perlindungan pebiaga daripada hujan dan angin kencang, berbeza dengan lokasi semasa yang beroperasi di kawasan letak kereta.
"MPS telah menjelaskan bahawa tapak diguna kini itu hanyalah langkah sementara, sambil menunggu penyediaan kawasan perniagaan yang lebih sesuai," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengecam pihak-pihak yang cuba mempolitikan keadaan itu untuk kepentingan peribadi.
Katanya, terdapat pihak mendakwa memperjuangkan kebajikan peniaga Pasar Dinihari, tetapi mereka sebenarnya sengaja mengabaikan kesan negatif terhadap peniaga tempatan.
"Mengapa individu-individu ini seolah-olah melindungi penjaja asing haram, seorang yang berilmu sepatutnya mengutamakan masa depan dan kelestarian peniaga sah, bukannya mencari publisiti murahan untuk kepentingan diri.
"Saya menyokong penuh pemindahan ini selagi ia memberi manfaat kepada pembangunan masa depan dan kelangsungan hidup peniaga," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ambil perhatian serius masalah infrastruktur di Sandakan
Februari 5, 2026, Khamis - 11:03pm

TINJAU: Chong mahu pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Sandakan.
SANDAKAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan diminta untuk mengambil perhatian serius terhadap aduan yang disampaikan khususnya berkaitan dengan masalah sistem perparitan yang tersumbat diakibatkan tumbuhan liar.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, keadaan itu menyebabkan air parit melimpah ke atas permukaan jalan raya sekali gus membahayakan pengguna.
Katanya, aduan berkenaan sudah dilakukan sejak tahun lepas tetapi tiada tindakan positif diambil untuk mengatasi masalah itu.
"Ini perkara serius kerana Sandakan mengalami hujan lebat berterusan sepanjang minggu lepas, seterusnya menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Batu Sapi dan Batu 16.
"Sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), saya sendiri menerima aduan daripada orang awam berkenaan perkara ini," katanya dalam kenyataan, di sini.
Selain itu katanya, jalan raya turut rosak, berlubang di kebanyakan jalan raya di Sandakan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
Katanya, lubang jalan raya sering dipenuhi air hujan dan membawa ancaman kepada pengguna pada waktu malam dan ketika hujan.
Menurutnya, lampu jalan di Lintas Utara juga gagal berfungsi dan mahu pihak berkaitan segera mengatasi masalah itu.
Menurutnya, walaupun kerja-kerja pembaikan lampu jalan sedang dilakukan secara berperingkat, tetapi usaha itu terbantut disebabkan kegiatan vandalisme yang berlaku khususnya pada pendawaian bawah tanah di sepanjang jalan Lintas Utara.
“Membersihkan tumbuhan yang semak, membaiki jalan raya berlubang dan memastikan pencahayaan yang baik bukanlah kerja pembinaan jalan atau pembangunan infrastruktur, ia adalah penyelenggaraan asas. Mengapa begitu sukar untuk dilaksanakan?,” katanya.
Chong berkata, keadaan itu juga mencacatkan pemandangan bagi pengguna dan menimbulkan kebimbangan terhadap imej Sandakan, terutamanya apabila pelancong yang semakin kerap berkongsikan pengalaman mereka di media sosial.
“Ini adalah soal keselamatan, sudah tiba masanya kita bekerjasama untuk mengindahkan imej Sandakan dan memastikan keselamatan rakyat melalui kerjasama yang baik antara semua agensi berkaitan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JKKK diwajibkan bentang laporan kewangan tahunan
Februari 5, 2026, Khamis - 5:31pm

Paulus (duduk tiga kiri) dan yang lainnya bersama para penerima Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar Fasa Dua bagi tahun 2025 hari ini.
LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diwajibkan untuk membentangkan laporan kewangan untuk memastikan ketelusan dan tadbir urus yang sistematik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata, langkah itu juga penting agar setiap penduduk mengetahui perkembangan terkini pengurusan kewangan kampung.
Beliau berkata, pembentangan laporan kewangan secara berkala perlu dilakukan semasa mesyuarat bersama penduduk untuk memperkasa pengurusan dan akauntabiliti.
“Apabila mengadakan mesyuarat bentangkanlah laporan kewangan, berapa baki akaun, tujuan perbelanjaan, sumbernya dan sebagainya.
“Saya sering menerima aduan ada yang datang ke pejabat saya mengatakan ada ketua kampung atau tuai rumah yang tidak membentangkan akaun, perbelanjaan kampung seharusnya perlu dimaklumkan kepada anak-anak buah,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar Fasa Dua bagi tahun 2025 di bawah Pusat Khidmat DUN Batu Danau di Dewan Seminar St Edmund, di sini, hari ini.
Katanya lagi, langkah itu bertujuan memastikan pengurusan dana kerajaan berjalan secara telus dan mengikut tujuan serta mengelak penyelewengan atau salah guna dana yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.
Dalam pada itu katanya, setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan perlu diagihkan untuk pembangunan kampung masing-masing di kawasan mereka termasuk penduduk yang tinggal berasingan di tanah sendiri.
Selain itu katanya, rumah ibadat yang mahu mendapatkan dana daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) hendaklah membuat permohonan berdasarkan keperluan atau kos sebenar.
Jelasnya, laporan perbelanjaan untuk perkembangan projek perlu dihantar setiap Mac dan September bagi memudahkan pihak UNIFOR menyalurkan peruntukan.
Katanya, permohonan untuk mendapatkan dana UNIFOR perlu dilakukan melalui pusat khidmat dan sokongan pemimpin di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu, peruntukan MRP Fasa Dua bagi tahun 2025 sebanyak RM975,000 disalurkan kepada 154 penerima.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek bina baharu PPD Bau bermula, dijangka siap Februari 2028
Februari 5, 2026, Khamis - 5:44pm

Henry diberi penerangan tentang projek oleh Siti Fariza selepas majlis serah terima projek kepada kontraktor hari ini. - Gambar UKAS
BAU: Projek pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau yang baharu bernilai RM22.65 juta secara rasmi bermula setelah penyerahan tapak projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada pihak kontraktor.
Majlis simbolik penyerahan tapak semalam disempurnakan Jurutera Awam JKR Bahagian Kuching Siti Fariza Aidel kepada wakil kontraktor sambil disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), projek yang dijangka siap pada Februari 2028 tersebut dibangunkan di Lot 1149, Blok 9, Senggi-Poak Land District dengan keluasan 6.76 ekar atau 27,350 meter persegi dengan akses utama melalui Jalan Kuching–Bau dan jalan sekunder Jalan Seringgok.
Skop pembinaan merangkumi pembangunan kawasan tanah rendah dan tinggi termasuk kerja-kerja awal, kerja cerucuk, pembinaan bangunan utama serta kemudahan sokongan.
Antara komponen bangunan termasuk dewan serba guna, bangunan pentadbiran, bilik seminar, kafeteria, kuarters, ruang tong sampah, bilik pam serta pondok pengawal.
Projek turut melibatkan pelaksanaan perkhidmatan mekanikal dan elektrikal yang lengkap merangkumi kerja elektrik voltan tinggi dan rendah termasuk pembinaan pencawang dan pemasangan lampu jalan.
Kemudahan lain yang turut dipasang termasuk sistem perlindungan kilat serta perkhidmatan ELV seperti rangkaian ICT, CCTV, sistem audio visual bagi bilik seminar, pendingin hawa, sistem pencegah kebakaran serta sistem paip air dan sanitari dalaman.
Selain itu, kerja infrastruktur turut dilaksanakan meliputi penyediaan tapak, kerja tanah, penurapan jalan dan tempat letak kereta, sistem saliran, kolam takungan dan retikulasi air.
Ia turut dilengkapi dengan sistem pembetungan, laluan bangunan, kerja penanaman rumput dan landskap, pemasangan tangki penuaian air hujan serta pembinaan pagar dan pintu masuk keselamatan.
Manakala kerja-kerja lain yang turut dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda, pembinaan tiang bendera, bangku konkrit bertetulang, kabinet tetap, tempat letak kereta berbumbung dan laluan pejalan kaki berbumbung.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi serta Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Residen Samarahan dahului senarai penerima pingat kebesaran negeri
Februari 5, 2026, Khamis - 5:57pm

Dr Veronica Lugah menerima Pingat PPC daripada Tun Wan Junaidi di Dewan Besar, Astana Negeri hari ini. - Gambar Facebook PENERANGAN
KUCHING: Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang mendahului senarai 152 penerima pingat semasa Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak hari ini.
Beliau merupakan salah seorang daripada Sembilan penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) yang juga dikurniakan kepada Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak Superi Awang Said, Pengarah Unit Pentadbiran, Jabatan Premier Sarawak Rusmaliza Mat Darus, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Lo Sheu Sia.
Turut menerima pingat tersebut ialah Ketua Pentadbir Ombudsman Sarawak, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Syed Ismail Nasiruddin Dato Sri Wan Hashim dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Syed Mohamad Fauzi Shahaib.
Memetik laman Facebook Penerangan, istiadat disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar di Dewan Besar, Astana Negeri.
Ia kemudian diteruskan dengan pengurniaan Darjah Pegawai Bintang Sarawak (PBS) kepada empat penerima iaitu Pakar Perunding Urologi Borneo Medical Centre Dr Lim Meng Shi, Editor Bersekutu New Sarawak Tribune Murugaiah Meyappan, Pengetua Geomatics Survey Consultants Sulaiman Salleh serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan, Kawalan dan Pemantauan, Kementerian Ekonomi Nor Shahida Mohd Sahimi.
Pada istiadat tersebut, Tun Wan Junaidi turut mengurniakan Darjah Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) kepada 17 penerima dan Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) kepada 20 penerima.
Sementara itu, 13 penerima dikurniakan dengan Darjah Ahli Bintang Sarawak (ABS) manakala 21 lagi individu menerima Darjah Ahli Bintang Kenyalang (ABK).
Turut menerima pingat pada istiadat kali ini ialah seramai 32 penerima bagi Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T).
Mengakhiri istiadat berkenaan ialah pengurniaan Darjah Bentara Bintang Sarawak (BBS) kepada 36 penerima, jumlah teramai penerima bagi isitiadat berkenaan.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta tetamu kenamaan yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga KEMAS negeri ini diharap dapat bekerjasama sebagai keluarga besar
Februari 5, 2026, Khamis - 6:10pm

Taufik melakukan imbasan cap jari perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Pengarah KEMAS Sarawak semalam.
KUCHING: Semua warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri ini diharap dapat bekerjasama sebagai satu keluarga besar dalam memikul amanah serta tanggungjawab bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.
Pengarah KEMAS Sarawak yang baharu Taufik Mohd Yusop berkata, kerjasama, kesepaduan serta budaya kerja yang harmoni merupakan asas penting dalam memperkukuh peranan KEMAS sebagai agensi pembangunan masyarakat.
“Saya berharap seluruh warga KEMAS Sarawak dapat bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga besar, saling menyokong dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama kakitangan KEMAS Sarawak di Bilik Mesyuarat Bangunan Sultan Iskandar, di sini semalam.
Beliau turut menekankan prinsip ‘buat kerja dan buat baik’ sebagai pegangan warga jabatan, bukan sahaja dalam melaksanakan tugas dengan cemerlang, malah turut menzahirkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan seharian.
Selain itu, beliau mengingatkan kepentingan menghargai masa bersama keluarga, memanfaatkan masa terluang secara berhemah, mengelakkan budaya berpuak-puak serta mewujudkan suasana kerja yang bersatu dan saling menghormati.
Taufik memulakan tugasnya pada Rabu bagi menggantikan Anisah Saidin yang sebelum ini menerajui KEMAS Sarawak.
Berasal dari Selangor, Taufik mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran KEMAS termasuk pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Bina Insan di Ibu Pejabat KEMAS serta Pengarah KEMAS di beberapa negeri seperti Johor dan Perak sebelum ditugaskan ke Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak bukanlah asing baginya kerana pernah ditugaskan di Miri selama beberapa bulan bagi melaksanakan misi jabatan sebelum ini.
Dalam pada itu, Taufik menyatakan hasrat untuk turun padang meninjau Pejabat KEMAS Bahagian dan Daerah di seluruh Sarawak bagi memahami dengan lebih dekat aspek pengoperasian serta tadbir urus jabatan.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli taklimat ringkas oleh ketua-ketua unit.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Pengarah, Penolong-Penolong Pengarah, ketua-ketua unit serta kakitangan KEMAS Negeri Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
AZAM Sarawak komited terus bekerjasama dengan rakan strategik merentas sektor
Februari 5, 2026, Khamis - 6:18pm

Ali (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Fazzrudin sambil diperhatikan para delegasi AZAM Sarawak sempena kunjungan ke pejabat ADUN itu semalam.
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak kekal komited untuk terus bekerjasama dengan rakan strategik merentas sektor dalam usaha memperkasa belia serta memperkukuh komunikasi awam untuk membina generasi muda yang berdaya saing pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ali Suhaili menjelaskan bahawa kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat komuniti amat penting bagi memastikan inisiatif belia yang dirangka benar-benar relevan dan memberi manfaat kepada golongan muda.
“AZAM Sarawak melihat belia sebagai rakan strategik dan ejen perubahan," kata Ali ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman semalam.
Menurut Ali, AZAM turut menekankan peranannya dalam melahirkan belia sebagai pempengaruh dan pencipta kandungan yang beretika, berfakta dan berimpak tinggi.
Ia bagi membantu menyampaikan maklumat, aspirasi serta agenda pembangunan kepada masyarakat melalui pendekatan komunikasi yang dekat dengan generasi muda.
Pertemuan antara lain bertujuan meneroka potensi kerjasama pembangunan belia antara AZAM Young Souls (AYS) dan Gerakan Belia N.6 Tupong dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh penglibatan belia melalui pendekatan komunikasi, kepimpinan dan pembangunan kapasiti secara inklusif.
Dalam sesi perbincangan, AZAM Sarawak berkongsi peranannya sebagai sebuah organisasi masyarakat sivil yang memfokuskan pemerkasaan belia melalui pembangunan kepimpinan, kecemerlangan komunikasi serta pelaksanaan program berasaskan komuniti.
"Melalui pembangunan komunikasi dan kepimpinan, kami berusaha melahirkan belia yang bukan sahaja berkeyakinan tetapi mampu menjadi influencer dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan mesej positif serta maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Antara inisiatif yang turut dibincangkan ialah Program Kuching Youth Day Out (KYDO) anjuran AYS yang diilhamkan sebagai platform penyatuan belia dari seluruh Sarawak untuk berkumpul, berhubung dan berinteraksi melalui aktiviti berteraskan komunikasi, kepimpinan dan penglibatan komuniti.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan perbincangan lanjut bagi mengenal pasti bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan matlamat memperkukuh ekosistem pembangunan belia serta membuka lebih banyak peluang penglibatan belia di peringkat komuniti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|