KEGUGURAN rambut sering dikaitkan dengan wanita, namun sebenarnya lelaki turut berdepan dengan masalah berkenaan yang mungkin jarang diambil peduli penyebab berlakunya situasi itu.
Percayakah anda bahawa minuman kegemaran popular seperti teh, kopi dan minuman bertenaga boleh menjadi antara penyebab kepada masalah kebotakan rambut lelaki.
Pakar di Universiti Tsinghua di Beijing mendedahkan kerap minum minuman popular setiap hari boleh mempercepatkan risiko keguguran rambut lelaki.
Selain itu, pakar perubatan juga mendapati bahawa keguguran rambut adalah 30 peratus lebih biasa pada mereka yang kerap minum minuman bertenaga, kopi dan teh manis.
Malah, berdasarkan kajian juga, mereka yang sering mengambil minum minuman soda dan tenaga untuk bersukan juga berisiko tinggi berdepan dengan masalah berkenaan.
Menulis dalam jurnal Nutrients, pakar menjelaskan kekerapan golongan lelaki mengambil minuman berkenaan adalah antara satu hingga tiga liter setiap minggu.
"Lelaki yang minum lebih daripada satu minuman manis sehari adalah 42 peratus lebih berkemungkinan mengalami keguguran rambut, berbanding mereka yang tidak pernah minum minuman itu.
"Secara purata, lelaki yang berdepan keguguran rambut biasanya mengambil 12 minuman manis seminggu berbanding tujuh kali seminggu bagi lelaki yang tidak mengalami keguguran rambut.
"Penyelidik melihat tabiat ini lebih 1,000 responden lelaki Cina berumur antara 18 hingga 45 tahun dalam tempoh empat bulan," menurut pakar.
Responden juga perlu melaporkan tabiat pemakanan serta sejarah kesihatan mental mereka.
Walau bagaimanapun, penyelidik menyatakan bukan hanya minuman yang dikaji kerana didapati juga lelaki yang mengambil lebih banyak makanan segera dan kurang makan sayur mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengalami keguguran rambut.
Selain itu, mereka yang mempunyai sejarah isu seperti kebimbangan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Sementara itu, pakar dermatologi yang berpangkalan di London, Dr Sharon Wong berkata, sel folikel rambut adalah sel pembahagi kedua terpantas dalam badan dan memerlukan semua nutrien diet sihat yang seimbang.
"Ini termasuk protein tanpa lemak, karbohidrat dan lemak yang baik, vitamin dan mineral, tetapi tidak ada makanan super untuk rambut.
"Memandangkan rambut bukanlah struktur penting untuk kelangsungan hidup, badan tidak mengutamakan penggunaan nutrien untuk pertumbuhan rambut.
Lelaki disaran mendapatkan rawatan jika alami keguguran rambut secara tiba-tiba. - Foto/AFP
"Kekurangan nutrisi dan diet yang tidak betul adalah punca biasa rambut menipis dan gugur," katanya.
Kehilangan antara 50 hingga 100 rambut sehari
Malah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menyatakan bahawa adalah perkara biasa seseorang kehilangan rambut, di mana manusia boleh kehilangan antara 50 hingga 100 rambut sehari tanpa disedari.
Selalunya ia tidak perlu dibimbangkan, tetapi kadangkala ia boleh menjadi tanda jika seseorang mengalami masalah kesihatan.
Justeru, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor sekiranya mengalami keguguran rambut secara tiba-tiba, mengalami tompok botak atau kehilangan rambut secara bergumpal.
Adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan jika kepala anda gatal dan melecur atau jika berlaku keguguran tambut yang teruk dan jangan sesekali mendapatkan rawatan di klinik rambut komersial.- AGENSI