|
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1219&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=et_05.htm
Mengenang Artis Lama -- Mak Dara sepopular wajahnya
Tabiat itu seolah-olah cukup sinonim dengannya. Lihat sahajalah dalam Sri Mersing antaranya. Suaranya garau dan wajahnya sudah separuh umur. Malah di dalam filem-filem awalannya, wajahnya nampak lebih matang daripada usianya.
Menurut pengumpul maklumat bintang-bintang lama, Mohammad Hashim, dalam filem Ibu Mertuaku (arahan P. Ramlee) Mak Dara dikenali sebagai Nyonya Mansor.
"Satu watak yang menggambarkan seorang yang sombong dan besar diri kerana keturunannya yang bencikan insan muzik hingga sanggup memecahbelahkan rumah tangga anaknya sendiri,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, sebenarnya bukanlah Mak Dara mahu membawa lakonan sedemikian tetapi P. Ramlee yang mahukan Mak Dara memegang peranan itu dalam Ibu Mertua Ku.
"Mak Dara mengatakan bahawa ia tidak mahu menyusahkan Ramlee untuk filem tersebut kerana ditakuti dia gagal membawa peranan yang berat itu.
"Tetapi sebagai pengarah yang tahu apa yang dia mahu, P. Ramlee berkeras meletakkan Mak Dara pembawa watak Nyonya Mansor.
"Ternyata Mak Dara sungguh berjaya melakukannya. Malah kehebatannya bukan hanya dikagumi tetapi ditiru gaya dan tutur katanya dalam filem tersebut hingga ke hari ini,'' ujarnya lagi.
Menurut Mohammad, Mak Dara atau dikenali sebagai Dara turut menerima jolokan bintang Inggeris May Robson zaman silam setelah ia berlakon filem Ibu Tiri keluaran Shaw Brothers (ditayangkan pada 27 September 1941 di pawagam Queens, Empire dan Sun di Singapura).
Dalam filem ini, tambahnya, dia berlakon bersama 'Permaisuri Filem Melayu' Che Tina, Mustajab (dari Kompeni Bolero), Aman Belon, Adi Teruna, Juriah, Haji Gong, Zuriah, Aman, Md. Amin dan Hafsah Buang.
"Inilah filem pertama yang dilakonkannya dan ia telah mendapat sambutan yang hebat,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, Dara binti Mohd. Ali ini dilahirkan pada tahun 1924 di Bukit Tamsiri, Tanjong Pagar, Singapura. Semasa hayatnya Mak Dara adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis kerana tidak pernah bersekolah.
Situasi ini, ujarnya, bukanlah suatu yang begitu asing kerana zaman itu memang kaum wanita tidak begitu digalakkan ke sekolah kerana rumah adalah dunia mereka.
"Sungguhpun tidak tahu membaca, apalagi menulis, Mak Dara tidak menghadapi sebarang kesulitan. Beliau amat bijak. Hanya dengan tunjuk ajar daripada pengarah, Mak Dara cepat mengerti dan mampu beraksi dengan baik mengikut jalan ceritanya,'' katanya.
Menurutnya lagi, walaupun dia tidak ke sekolah kerana orang tuanya berpegang kepada pantang larang yang kuat dan ditakuti menjadi sasaran usikan lelaki, tetapi anehnya ibu bapanya menggalakkannya kepada seni lakon bangsawan dan pentas walaupun usianya baru mencapai 12 tahun.
"Mak Dara memberitahu bahawa dia dahulu bermain ronggeng (joget) bersama bangsawan pertamanya City Opera. Tetapi Mak Dara tidak bertahan lama bersama City Opera.
"Keadaan itu sudah menjadi lumrah kepada mereka kerana berpindah dari satu opera ke satu opera. Antaranya disebabkan soal mengejar pembayaran dan upah yang lebih lumayan,'' katanya.
Kemudian, tambah beliau lagi, dia berpindah pula ke Nahar Opera dan Dandanila. Di Dandanila Opera inilah Mak Dara menghabiskan masa bangsawannya yang panjang selama 14 tahun.
Bagaimanapun, jelasnya, semenjak Mak Dara bergabung dengan bangsawan, ia telah beberapa kali berkahwin dan bercerai.
"Tidak ada satu pun perkahwinannya berpanjangan dan kini masih menjanda setelah empat kali kawin dan berpisah hidup,'' ceritanya lagi.
Apabila tamat Perang Dunia Kedua, kata beliau, Mak Dara mengubah haluan hidupnya ke arah bidang perfileman dan peranan yang paling digemarinya ialah berlakon sebagai wanita jahat, berang, mulut lantang dan kejam.
"Saya pernah bertanya kepada beliau adakah karakter ini menyumbang kepada keruntuhan rumah tangganya?
"Mak Dara ada mengatakan bahawa memang ia sering menghadapi pertelingkahan rumah tangga dengan sebab-sebab yang kecil dan melarat-larat menjadi besar,'' kata Mohammad.
Menurutnya, Mak Dara pernah membintangi beberapa buah filem di syarikat Shaw Brothers dan kemudiannya berlakon di Cathay Keris di penghujung usianya.
"Dalam pada itu juga, dia bekerja sebagai penyanyi di salah sebuah panggung joget di New Road. Kebanyakan lagu nyanyiannya bercorak asli dan dondang sayang.
"Kini kita hanya dapat menyaksikan ragam dan kehebatan Mak Dara menerusi filem-filem lakonannya sahaja sebagai kenangan,'' katanya lagi.
|
|