|
Selangor gugur Shukor
JODOH kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan bersama Selangor berakhir apabila pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang bermesyuarat 8 September lalu memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.
Difahamkan pemain senior lain yang turut tersingkir adalah Indra Putra Mahayuddin, bekas penyerang utama kebangsaan - Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan juga bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000, Megat Amir Faisal.
Shukor ketika dihubungi mengesahkan sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada skuad Selangor pada 8 September lalu, dan baginya dia kini harus mencari haluan baru bersama pasukan lain.
"Terlalu banyak kenangan manis bersama Selangor sejak saya menyertai pasukan ini pada 2002. Tapi ini adalah lumrah dalam bola sepak dan saya menghormati dan menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan pegawai yang bersama-sama dengan saya sejak tujuh musim lalu dan kenangan bersama Merah Kuning akan sentiasa saya abadikan," kata Shukor yang juga kapten Selangor musim lalu.
- Berita Harian -
|
|