|
|
Wanita maut, dua cedera dalam kemalangan di Sandakan
Februari 3, 2026, Selasa - 3:20pm
SANDAKAN: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta terbabas sebelum melanggar pokok dalam kemalangan di hadapan Livingston Hotel, Jalan Utara, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 51 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira jam 6 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 pagi.
Katanya, sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira tiga kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar pokok.
“Terdapat tiga mangsa terbabit dan kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa penumpang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, dua lagi mangsa iaitu pemandu berusia 26 tahun serta penumpang wanita berusia 27 tahun, hanya mengalami kecederaan.
“Kedua-dua mangsa cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 7.10 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan di Tuaran
Februari 3, 2026, Selasa - 3:40pm
TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Berungis Tenghilan berhampiran Hospital Tuaran, kira-kira jam 4 petang Isnin.
Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori 10 tan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada ambulans yang melalui jalan sama.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong sebelum berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan.
“Akibat pergeseran itu, penunggang motosikal terjatuh ke bawah lori lalu digilis pada bahagian perut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya/
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelak kemalangan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kekurangan guru SJKC di Sabah perlu tindakan segera - James
Februari 3, 2026, Selasa - 3:56pm

MEMORANDUM: James (lima kanan) menerima Memorandum Pendidikan SJK(C) Sabah daripada Ben.
KOTA KINABALU: Isu kekurangan guru yang berpanjangan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sabah memerlukan perhatian serius serta tindakan segera bagi memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kekurangan guru bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, malah memberi kesan terhadap kelancaran operasi harian sekolah.
Katanya, usaha penempatan guru terlatih tempatan perlu dipertingkatkan supaya graduan pendidikan yang dilatih di Sabah dapat terus berkhidmat di negeri ini.
“Isu kekurangan guru di SJKC perlu ditangani secara praktikal dan bersepadu agar sistem pendidikan di Sabah kekal berkualiti serta inklusif,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata demikian susulan lawatan hormat delegasi Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Negeri Sabah (Sabah Dong Lian) ke pejabatnya di sini, yang turut menyerahkan Memorandum Pendidikan berhubung cabaran dihadapi sekolah-sekolah SJKC di negeri ini.
Dalam pada itu, James memuji peranan komuniti Cina dalam memperkukuh landskap pendidikan Sabah.
“Kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pihak berkepentingan sangat penting bagi memastikan masa depan pendidikan negeri dapat diperkasakan secara bersama,” katanya.

ALBUM: James bergambar bersama delegasi Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Negeri Sabah (Sabah Dong Lian).
Sementara itu, Pengerusi Sabah Dong Lian, Datuk Ben Lim Kiat Kong berkata, masalah kekurangan guru di SJKC merupakan isu kronik yang memerlukan penyelesaian menyeluruh dengan sokongan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri diharap dapat mempertimbangkan langkah-langkah dasar serta tindakan praktikal yang boleh dilaksanakan segera bagi membantu sekolah-sekolah terlibat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti pendidikan Cina di Sabah atas komitmen berterusan mereka terhadap prinsip ‘pendidikan untuk semua’, yang memberi manfaat kepada pelajar pelbagai kaum serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Arifin dilantik Profesor Adjung UIS
Februari 4, 2026, Rabu - 12:04am

TERIMA: Arifin menerima watikah pelantikan daripada Mohd Farid dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat KKTP, dekat sini.
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS), yang diyakini dapat memperkukuh hubungan keilmuan dan dakwah antara Sabah dan Semenanjung.
Pelantikan itu disempurnakan menerusi satu Majlis Serahan Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yang berlangsung di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), kelmarin.
Arifin ketika ditemui menyifatkan, pelantikan itu berupaya menjadi jambatan penghubung antara Sabah dan Semenanjung, khususnya Selangor, dalam memperkukuh ukhuwah, dakwah serta keilmuan Islam.
"Kerjasama strategik ini penting bagi memperkasakan bidang pendidikan dan keilmuan Islam serta dakwah," katanya.
Mengulas lanjut Arifin berkata, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam dan kepimpinan negeri mampu memberi manfaat besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing, lebih-lebih lagi UIS turut menerima sebilangan anak Sabah melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di UIS sejak sekian lama.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS Selangor yang turut membincangkan hala tuju serta bentuk kerjasama berterusan dalam memperkasa pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan Sabah jalin kerjasama strategik dengan Jabatan Penyiaran
Februari 4, 2026, Rabu - 8:02am

KUNJUNGAN: Hajiji menerima cenderakenangan daripada Mohd Yusni.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah tahun ini.
Perkara itu dibincangkan ketika delegasi jabatan itu, diketuai Pengarahnya Mohd Yusni Mohamed Ali, membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Kerjasama strategik itu merangkumi temu bual naratif khas bersama Ketua Menteri yang menggariskan hala tuju dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk negeri dan rakyat.
Mohd Yusni turut memberi taklimat kepada Hajiji mengenai program TV dan radio untuk mempromosikan Sabah seperti Sabah Berselawat, Bintang Sandakan, dan Sabah Vfm Songs Award, yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun lalu.
Turut serta dalam delegasi itu ialah Ketua Penolong Pengarah (Rancangan Radio) Artika Matbee, Penolong Pengarah (Penerbitan TV) Effa Dian Ali, Penolong Pengarah (Berita Ehwal Semasa) Sugiman Rafai serta Penolong Pengarah (Cawangan Khidmat Pengurusan) Sarinah Abdul Hamid.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiong didakwa tidak hormati autoriti Kabinet Negeri, lemahkan semangat GPS
Februari 3, 2026, Selasa - 2:41pm

MIRI: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing didakwa tidak menghormati autoriti Kabinet Negeri serta melemahkan semangat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), juga salah satu parti komponen GPS, tampil mempertahankan presidennya yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, susulan apa yang disifatkan oleh mereka sebagai serangan “beremosi” oleh Tiong berhubung pelantikan terbaharu pemimpin masyarakat Cina di Sibu.
SUPP menjelaskan bahawa pelantikan terkini Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Cina (KMKK) dibuat dengan mematuhi sepenuhnya kuota yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kabinet Negeri dan diagihkan kepada setiap parti politik.
“Dengan melancarkan serangan terbuka ini, Datuk Seri Tiong bukan sekadar mengkritik seorang pemimpin parti komponen, malah menunjukkan sikap kekurangan rasa hormat yang mendalam terhadap keputusan kolektif serta autoriti institusi Jawatankuasa Kabinet Sarawak,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pusat Publisiti dan Penerangan SUPP itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Tiong mengeluarkan dua kenyataan awam dalam tempoh sehari, yang menuduh Dr Sim sebagai “angkuh”, menyalahgunakan kuasa dan “bermain api” berkaitan penyerahan sijil pelantikan kepada pemimpin masyarakat di kawasan Dudong.
Tiong yang merupakan Ahli Parlimen Bintulu, juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
SUPP menegaskan bahawa luahan terbuka sedemikian melemahkan kerangka pentadbiran di mana Tiong sendiri berkhidmat di bawahnya.
Menurut SUPP, Dudong telah lama diiktiraf sebagai kawasan tradisi parti itu sejak tahun 1987.
“Bagaimanapun, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, calon SUPP yang ditetapkan telah digugurkan pada saat-saat akhir akibat tuduhan yang tidak berasas.
“Tuduhan di saat akhir itu telah mengejutkan parti kami sepenuhnya. Susulan itu, PDP (diputuskan) mewakili GPS dalam pilihan raya tersebut, dengan Datuk Seri Tiong ‘diterjunkan’ ke kawasan berkenaan untuk bertanding.”
Justeru SUPP, dalam kenyataannya, mempersoalkan sama ada keadaan itu selari dengan semangat GPS yang begitu ditekankan oleh Tiong dalam kenyataan terbaharunya.
Parti itu turut menuduh Presiden PDP berkenaan melakukan “penggantian secara sistematik” terhadap pemimpin-pemimpin masyarakat yang disyorkan SUPP selepas beliau dipilih sebagai ADUN Dudong, dengan menggantikan mereka dengan ahli-ahli PDP.
SUPP mendakwa wujud amalan “dwistandard” apabila sebahagian pemimpin masyarakatnya dipujuk malah diugut supaya meletakkan jawatan daripada SUPP dan menyertai PDP, dengan janji pelantikan sebagai KMKK.
“Adakah amalan tidak beretika oleh PDP ini sama seperti yang baru sahaja dituduh oleh Datuk Seri Tiong terhadap Datuk Amar Dr Sim, iaitu menggunakan pelantikan kepimpinan masyarakat sebagai senjata untuk memonopoli pengaruh politik?” Demikian SUPP mempersoalkan dalam kenyataannya.
SUPP seterusnya mencabar Tiong supaya menjelaskan secara terbuka rekod kehadirannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak sejak dipilih pada tahun 2021, selain jumlah soalan yang dikemukakan kepada jabatan-jabatan kerajaan berhubung isu tempatan di Dudong.
Ia juga mempersoalkan jumlah projek pembangunan yang telah dirancang dan berjaya dilaksanakan oleh Tiong untuk kawasan Dudong sejak 2021.
SUPP menegaskan bahawa semangat GPS terletak pada pengukuhan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponennya, sambil merujuk kerjasama jangka panjang antara SUPP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak tahun 1970 sebagai contoh yang nyata.
PBB dan SUPP tidak pernah menikam sesama sendiri dari belakang, sebaliknya PBB dan SUPP menyelesaikan sebarang pertikaian berkaitan kepentingan rakyat serta perbezaan pandangan melalui saluran dalaman, bukannya dengan meluahkan kenyataan terbuka yang mengabaikan sepenuhnya semangat GPS serta mencemarkan imej baik GPS, menurut kenyataan itu lagi.
Berhubung peribahasa Cina yang digunakan oleh Tiong dalam kenyataan awam keduanya, yang membawa maksud ‘jika tempat ini tidak menerima saya, masih ada tempat lain’, SUPP berkata ramai pihak menganggap kenyataan itu “menarik dan mengundang persoalan”, serta tertanya-tanya sama ada PDP sedang menilai semula kedudukannya dalam GPS.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Empat projek di bawah RTP di Parlimen Batang Sadong siap dilaksana
Februari 3, 2026, Selasa - 2:41pm

Rodiyah menyaksikan serah siap Projek Naik Taraf Masjid Darul Hijrah, Simunjan semalam.
KUCHING: Empat projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM900,000 di kawasan Parlimen Batang Sadong siap dilaksanakan mengikut jadual.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, projek tersebut merangkumi naik taraf padang bola sepak Kampung Semalatong Lama bernilai RM150,000, pembinaan baharu Dewan Ensengei Melayu (RM500,000), naik taraf Masjid Darul Hijrah (RM150,000) serta kerja menambak tapak letak kereta di Kampung Tegelam RM100,000.
Menurutnya, penyiapan projek itu sekali gus meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan komuniti setempat.
“RTP memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan rakyat.
“Apabila projek siap mengikut jadual, manfaat dapat dinikmati segera, kos dapat dikawal dan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan pembangunan dapat diperkukuh,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan projek berkenaan di Simunjan, semalam.
Sehubungan itu, Rodiyah menggesa agensi pelaksana dan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi sentiasa bekerjasama rapat bagi memantau projek dengan rapi.
“Pemantauan rapi dan kerjasama erat adalah kunci memastikan setiap projek berjalan lancar.
“Dengan pendekatan ini, setiap peruntukan RTP dapat diterjemahkan kepada kemudahan yang berfungsi, selamat dan memberi impak positif kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kes HIV di Bintulu agak membimbangkan
Februari 3, 2026, Selasa - 3:04pm
Catat kadar prevalens HIV tertinggi di Sarawak, 14 kes bagi setiap 100,000 penduduk

Dr Sim pada sidang media yang diadakan sejurus selesai merasmikan Teratak Tok Nan di Bintulu, hari ini.
"Ia adalah bagi memastikan individu yang disahkan positif HIV dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa tanpa wujud sebarang stigma daripada masyarakat akibat kurangnya pengetahuan mengenai virus berkenaan."
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian
Timbalan Premier Sarawak
BINTULU: Bahagian Bintulu mencatatkan kadar prevalens Human Immunodeficiency Virus (HIV) tertinggi di negeri ini iaitu 14 kes bagi setiap 100,000 penduduk, dedah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, data ini agak membimbangkan namun individu yang dijangkiti virus berkenaan harus terus dibantu serta diberikan sokongan sewajarnya.
"Ia adalah bagi memastikan individu yang disahkan positif HIV dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa tanpa wujud sebarang stigma daripada masyarakat akibat kurangnya pengetahuan mengenai virus berkenaan," ujarnya pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Pelancaran Teratak Kasih Tok Nan di Taman Putrajaya, Jalan Tun Hussein Onn di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau berasa lega kerana angka terkini jangkitan HIV di bahagian ini menunjukkan penurunan kepada 13 kes sahaja bagi setiap 100,000 penduduk di Bintulu.
Dr Sim berkata, ia merupakan satu perkembangan yang positif atas kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat terutama mengenai langkah-langkah pencegahan serta bagaimana virus berkenaan berjangkit.
"Namun ia mengingatkan kita semua bahawa jangkitan masih berlaku dan harus diberikan perhatian khusus, sekali gus menurunkan kadar jangkitan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Jelasnya, dengan adanya Teratak Kasih Tok Nan di bahagian ini, ia memberi harapan baru buat setiap individu yang disahkan positif HIV dan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS).
Beliau turut dimaklumkan bahawa kerajaan menyediakan rawatan dan ubat-ubatan, namun kewujudan Teratak Kasih Tok Nan akan memberikan kemudahan serta keselesaan kepada setiap pesakit mendapatkan bantuan serta sokongan sewajarnya dari semasa ke semasa.
Salah satu perkhidmatan yang disediakan menurut beliau, adalah perkhidmatan pengangkutan yang mana ramai pesakit tidak mampu mendapatkan rawatan kerana tidak mempunyai pengangkutan.
"Oleh yang demikian, Teratak Kasih Tok Nan ini akan menyalurkan bantuan dengan menanggung atau membayar balik kos pengangkutan supaya setiap pesakit dapat meneruskan rawatan masing-masing tanpa gagal," ujarnya.
Beliau berkata, tanpa akses kepada rawatan yang sewajarnya, keadaan kesihatan boleh menjadi lebih teruk dan risiko penularan turut meningkat.
Bagi tujuan itu tegas Dr Sim, setiap individu termasuk anggota masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat, perniagaan serta perindustrian di bahagian ini memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan membendung penularan HIV dalam kalangan rakyat di negeri ini khususnya di Bintulu.
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang dan Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo Datuk Amar Jamilah Anu antara yang hadir.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MBKS bakal terpilih sebagai perintis bagi pelaksanaan projek Komuniti Penuaan Sihat
Februari 3, 2026, Selasa - 3:24pm

Fatimah ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Kuching 2026 anjuran PKMB Kuching yang berlangsung di Dewan Masyarakat MBKS, hari ini. -Gambar Chimon Upon
KUCHING ihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bakal terpilih sebagai perintis bagi pelaksanaan projek Komuniti Penuaan Sihat sebagai persediaan Sarawak menuju status negeri tua menjelang tahun 2028.
Cadangan tersebut disuarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Bahagian Kuching 2026 anjuran PKMB Kuching yang berlangsung di Dewan Masyarakat MBKS hari ini.
" rojek rintis ini merupakan salah satu resolusi utama Sarawak di International Conference for Aging (SICA) yang dianjurkan tahun lalu susulan jangkaan bahawa lebih 15 peratus penduduk Sarawak bakal menjadi warga emas menjelang 2028 nanti.
“Kita mencadangkan MBKS menjadi PBT contoh untuk pembangunan bandar mesra warga emas dan komuniti penuaan sihat meliputi aspek kewangan, kesihatan, mobiliti, sosial dan kesejahteraan menyeluruh warga emas,” katanya.
Beliau menambah lagi, pemilihan MBKS adalah berasaskan rekod cemerlang PBT berkenaan sebagai perintis Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak yang kemudiannya diikuti bandar-bandar besar lain di Sarawak, selain kejayaan pelaksanaan projek seperti 'Autism Park'.
“MBKS mempunyai ekosistem, kemudahan dan persekitaran yang sesuai untuk memulakan projek rintis ini. Kita mahu satu model komuniti penuaan sihat yang boleh dicontohi bagi seluruh Sarawak,” jelas beliau lagi.
Dengan cadangan projek rintis berkenaan MBKS berpotensi menjadi bandar contoh komuniti penuaan sihat pertama di Sarawak dan meletakkan Kuching sebagai model bandar mesra warga emas di peringkat negeri.
Langkah tersebut dilihat selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan negeri secara inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat, seiring pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
Pada majlis yang sama, seramai 150 penerima bantuan bulanan kebajikan diraikan sempena Tahun Baharu Cina 2026, menerima sumbangan wang tunai RM100 dan hamper makanan bernilai RM80 setiap seorang.
Secara keseluruhan, seramai 2,729 penerima berbangsa Cina daripada 10,883 penerima bantuan bulanan di bahagian Kuching menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini dengan semua penerima menerima bantuan angpau RM100 walaupun tidak hadir ke majlis.
Fatimah sekali lagi menegaskan bahawa Sejambak Kasih merupakan program tahunan Kerajaan Sarawak yang turut dilaksanakan sempena perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan Deepavali, sebagai simbol inklusiviti sosial dan prinsip bahawa tiada rakyat yang dipinggirkan.
“Kerajaan Sarawak bukan hanya membantu satu kaum atau satu perayaan, tetapi semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Inilah semangat perpaduan dan keadilan sosial yang kita junjung,” ujarnya mengulangi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Syabu: Dua lelaki ditahan di dua kampung di Bau
Februari 3, 2026, Selasa - 3:42pm
BAU: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu dalam serbuan berasingan di Kampung Segong dan Kampung Stenggang di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau antara jam 6.30 petang dan 7.30 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan jumlah rampasan seberat 0.70 gram, dianggarkan bernilai RM80.
“Suspek pertama merupakan lelaki berusia 29 tahun manakala suspek kedua berusia 18 tahun dan kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Susulan itu, kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku kali terakhir menagih dadah jenis syabu pada hari yang sama sebelum ditangkap.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap balai polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peruntukan khas RM2.25 juta untuk bantu pesakit HIV, AIDS
Februari 3, 2026, Selasa - 3:48pm

Dr Sim menandatangani plak pada perasmian Teratak Kasih Tok Nan di Taman Putrajaya Bintulu, hari ini sambil disaksikan tetamu kehormat serta hadirin.
BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penghidap HIV dan AIDS di negeri ini, Kerajaan Sarawak menerusi Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) telah menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM2.25 juta bagi membantu golongan berkenaan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurutnya, peruntukan khas yang diumumkan tahun lalu itu menunjukkan Kerajaan Sarawak benar-benar komited bagi membantu membela nasib penghidap HIV-AIDS mendapatkan bantuan rawatan serta penjagaan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.
"Peruntukan yang diberikan merupakan satu peruntukan khas selama tiga tahun yang mana ia dianggap sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi menangani isu AIDS dan HIV di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Teratak Kasih Tok Nan di Taman Putrajaya, Jalan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi tujuan itu, semua pihak khususnya agensi atau jabatan berkaitan termasuk syarikat korporat dan perindustrian harus memberikan sokongan padu kepada inisiatif kerajaan ini bagi memastikan usaha membantu golongan sasar dapat diadakan dengan jayanya, sekali gus membantu mereka meneruskan hidup.
"Tidak dapat dinafikan sememangnya stigma masyarakat mengenai golongan pesakit HIV disebabkan oleh pemahaman yang salah mengenai virus terbabit yang mana penerangan yang betul akan membantu merapatkan jurang pemisah antara pesakit dan masyarakat awam yang lain," jelasnya.
Justeru katanya, dengan adanya TKTN di Bintulu selepas Kuching dan Miri akan memastikan usaha kerajaan akan lebih berkesan bagi menangani penularan virus pembunuh itu khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Apa yang penting adalah kesedaran mengenai langkah pencegahan serta mengetahui akan aktiviti berisiko yang harus dielakkan bagi membendung penularan virus berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata, sokongan sebegini merupakan satu usaha murni dan berterusan bagi membantu golongan sasar memudahkan lagi urusan rawatan serta sokongan moral kepada mereka.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tingkatan Enam berperanan bentuk kematangan berfikir, keyakinan diri dan kemahiran insaniah
Februari 3, 2026, Selasa - 4:00pm

Billy (tiga kiri) menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas Akademik dan Anugerah Khas Pengetua kepada Nazzarul Hakim Hazami sambil diiringi Mohd Azizan (dua kiri) serta yang lain.
KUCHING: Tingkatan Enam bukan sekadar persediaan akademik untuk melangkah ke menara gading, malah berperanan penting dalam membentuk kematangan berfikir, keyakinan diri serta kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan Enam SMK Lundu di CENTEXS Lundu baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan Tingkatan Enam yang diraikan, sambil menyifatkan kejayaan menamatkan pengajian di peringkat tersebut sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan dan menuntut ketekunan, disiplin serta keazaman tinggi.
“LalaunTingkatan Enam memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk berfikir secara matang, berdikari serta bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan tinggi dan alam pekerjaan.
“Terima kasih juga kepada para guru dan pentadbir sekolah atas dedikasi serta komitmen tinggi dalam mendidik pelajar, di samping mengiktiraf peranan ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan moral dan dorongan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Billy menasihati para pelajar agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai murni, jati diri dan integriti dalam menghadapi persekitaran dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pelbagai program berimpak tinggi akan terus dilaksanakan bagi membantu pelajar Tingkatan Enam SMK Lundu agar lebih berdaya saing.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar Tingkatan Enam Kohort 2024 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan bersama pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat.
“Keberhasilan seseorang bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik tetapi juga melalui sikap, sahsiah serta sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM420,000 bagi tujuan penyelenggaraan blok Tingkatan Enam SMK Lundu demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga sekolah.
Sementara itu, Pengetua SMK Lundu Mohammad Azizan Madihi berkata, pihak sekolah amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh wakil rakyat khususnya Billy dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan serta kemudahan pembelajaran.
“Kami hargai demi keselesaan dan kesejahteraan para pelajar serta guru untuk menghasilkan mutu pendidikan yang diharapkan,” katanya
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Elektrik stabil asas pelaksanaan STEM, DLP
Februari 3, 2026, Selasa - 4:17pm
Pengajaran berasaskan teknologi, digital, STEM dan penguasaan bahasa Inggeris perlukan bekalan stabil

Sagah disambut mesra ketika tiba di SK Duan bagi merasmikan Majlis Penyerahan Projek Sambungan Grid Elektrik Sekolah Luar Bandar Sarawak di Mukah, hari ini.
“Bekalan elektrik yang stabil merupakan prasyarat asas bagi pendidikan moden.”
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat
MUKAH: Penyediaan bekalan elektrik yang stabil di sekolah luar bandar menjadi asas penting dalam memperkasa pelaksanaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Program Dwibahasa Sarawak (DLP Sarawak), kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, tanpa bekalan elektrik yang boleh dipercayai, usaha melaksanakan pengajaran berasaskan teknologi, pembelajaran digital, pendidikan STEM serta penguasaan bahasa Inggeris tidak dapat direalisasikan secara berkesan.
“Bekalan elektrik yang stabil merupakan prasyarat asas bagi pendidikan moden.
"Tanpa elektrik, adalah mustahil untuk melaksanakan pengajaran berasaskan teknologi, mengakses sumber pembelajaran digital, memupuk pendidikan STEM atau menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
“Saya ingin menegaskan semula komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan akses pendidikan yang saksama, inklusif dan berkualiti, tanpa mengira lokasi, latar belakang sosioekonomi atau cabaran geografi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Sambungan Grid Elektrik untuk Sekolah Luar Bandar Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duan di sini, hari ini.
Menurut Sagah, Kerajaan Sarawak memberi penekanan yang kuat terhadap pendidikan STEM bagi melahirkan generasi celik sains dan teknologi, di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, inovasi dan daya saing global.
“Kedua-dua elemen ini penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, kapasiti inovasi serta menyokong pembangunan industri masa depan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, bagi memperkukuh penguasaan bahasa dan STEM, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya telah melaksanakan Program Dwibahasa Sarawak (DLP Sarawak) yang membolehkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, selain Pentaksiran Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) sebagai mekanisme standard bagi memantau pencapaian murid.
Menurutnya, pencapaian keseluruhan DLP Sarawak dan UP-DLP Sarawak menunjukkan kemajuan berterusan dalam penguasaan mata pelajaran serta kemahiran bahasa, selain menyediakan data berasaskan bukti untuk intervensi yang lebih berkesan.
“Ini termasuk pelaksanaan program berfokuskan murid, pembangunan profesional guru yang dipertingkatkan serta pengukuhan strategi pengajaran bagi meningkatkan hasil pembelajaran,” katanya.
Mengulas mengenai Projek Sambungan Grid Elektrik Sekolah Luar Bandar Sarawak berkenaan, Sagah menjelaskan bahawa projek berkenaan merupakan satu inisiatif jangka panjang Kerajaan Sarawak yang bermula pada 2018 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Katanya, ia mencerminkan komitmen awal dan berterusan kerajaan dalam menambah baik infrastruktur asas bagi pendidikan luar bandar.
“Projek ini mempunyai siling peruntukan yang diluluskan sebanyak RM50 juta, dengan jumlah kos projek berjumlah RM38,481,796.71, yang memberi manfaat kepada 122 sekolah luar bandar di seluruh Sarawak.
“Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, projek ini telah disusun kepada lima pakej meliputi sekolah-sekolah di pelbagai lokasi geografi, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau menambah, projek berkenaan bermula pada tahun 2020 dan berjaya disiapkan pada tahun 2025.
Bagaimanapun, projek tersebut turut mengalami kelewatan akibat pandemik COVID-19, namun melalui kerjasama erat antara agensi serta komitmen yang tinggi, projek telah berjaya disiapkan.
“Skop kerja merangkumi pendawaian elektrik dalaman dan luaran serta penyambungan sekolah-sekolah ke grid elektrik utama, bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, selamat dan mampan.
“Dengan siapnya projek ini, sekolah-sekolah luar bandar kita kini dilengkapi dengan infrastruktur asas yang paling penting untuk menyokong pembelajaran digital dan kaedah pengajaran moden,” ujarnya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Anielia Siam, Pengarah Bekalan Elektrik, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Muhammad Randie Abdullah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Sarawak Energy Marconi Madai, Guru Besar SK Sungai Duan Jostin Usan serta Pengurus Besar Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak Energy Nazry Abdul Latip.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
11 wakil JCI Sibu hadiri Majlis Pelantikan JCI Malacca City Entrepreneur
Februari 3, 2026, Selasa - 4:34pm

Ahli-ahli JCI Sibu setibanya di Melaka.
SIBU: Seramai 11 orang wakil daripada JCI Sibu telah berkunjung ke Melaka bagi menghadiri Majlis Pelantikan JCI Malacca City Entrepreneur, baru-baru ini.
Lawatan itu melambangkan hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua cawangan, di samping menjadi platform bermakna untuk memperkukuh pertukaran budaya serta meneroka potensi kerjasama pada masa depan.
Turut disertai beberapa ahli baharu, lawatan tersebut memberi pengalaman melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti antara cawangan, pengalaman perjalanan bersama dan sesi interaksi yang mendalam kepada mereka untuk memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai platform JCI, budaya organisasi serta hala tuju pembangunan.
Penglibatan itu menerima maklum balas yang sangat positif dan berjaya meningkatkan rasa kebersamaan serta pengiktirafan terhadap nilai JCI dalam pembangunan kepimpinan, pertumbuhan diri dan jaringan profesional.
Pada majlis pelantikan tersebut, Presiden JCI Sibu Elden Lau yang turut dijemput untuk menyampaikan ucapan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JCI Malacca City Entrepreneur atas jemputan serta layanan mesra yang diberikan.
Presiden turut menekankan kepentingan pertukaran antara cawangan dalam membina kefahaman bersama, kepercayaan dan kerjasama jangka panjang.
Beliau juga menyeru semua ahli JCI di seluruh negara untuk menyertai Konvensyen Kebangsaan yang akan dianjurkan di Sibu pada 22 hingga 24 Oktober ini serta menjemput para peserta untuk merasai keunikan budaya, warisan dan keramahan tempatan.
Selain itu, sesi perkongsian daripada pemenang Creative Young Entrepreneur Award (CYEA) Malaysia 2025 (CYEA Malaysia) menyaksikan para ahli mendapat pendedahan yang lebih mendalam mengenai keusahawanan kreatif, inovasi model perniagaan serta peluang yang ditawarkan melalui platform peringkat kebangsaan dan menyifatkan sesi tersebut sebagai amat bermanfaat.
JCI Sibu menegaskan komitmennya untuk terus menggalakkan ahli melangkaui batasan tempatan dan melibatkan diri di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Melalui penyertaan aktif dan pertukaran yang berterusan, JCI Sibu berhasrat melahirkan pemimpin muda yang berimpak serta menyumbang kepada perubahan positif yang mampan untuk masyarakat dan negara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemuda PBB kecam kenyataan Abdul Aziz gesa Nanta letak jawatan
Februari 3, 2026, Selasa - 4:47pm

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak Dr Abdul Aziz Bari menggesa agar Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
Ia susulan penggunaan perkataan 'cerai' dari Malaysia oleh Nanta dalam satu temu bual bersama sebuah stesen radio baru-baru ini.
Pemuda PBB menganggap kenyataan Abdul Aziz itu sebagai cubaan untuk membungkam atau memperlekehkan seorang pemimpin Sarawak yang sedang memperjuangkan hak-hak Sarawak serta menyuarakan kekecewaaan dan kegusaran berasas.
"Kami juga mengecam tindakan segelintir agensi media yang memetik Abdul Aziz sebagai 'pakar undang-undang perlembagaan' dalam artikel-artikel yang menuntut peletakan jawatan Nanta.
"Ini satu bentuk penipuan dan ketidakjujuran," kata pergerakan itu dalam kenyataan akhbar hari ini.
Pergerakan itu menegaskan hakikatnya, tiada yang bersifat perlembagaan, sah dari segi undang-undang, mahupun pendapat pakar yang diperkatakan oleh Abdul Aziz kerana segala-galanya bersifat dan berniat politik , perkara itu sudah jelas.
"Walapun beliau (Abdul Aziz) berhujah, Nanta ‘terikat dengan tanggungjawab Kabinet dan mesti menyimpan sentiment sedemikian untuk dirinya sendiri’, kami mempersoalkan sama ada Abdul Aziz juga terikat dengan tanggungjawab parti untuk menafi atau memperkecilkan hak serta suara Sarawak.
"Jika benar, beliaulah yang sepatutnya menyimpan sentimen itu untuk dirinya sendiri," ujarnya.
Menurut Pemuda PBB, kekecewaan dan keyataan terus terang Nanta itu mencerminkan kebimbangan Sarawak terhadap layanan oleh pihak tertentu di Semenanjung Malaysia yang berhasrat mencabar hak-hak Sarawak.
Kenyataan Abdul Aziz tambahnya, adalah contoh utama yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati ini.
"Serangan terhadap Sarawak semakin rancak sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila lebih banyak pihak mula mempersoalkan hak Sarawak.
"Kami menggesa para penentang dan ‘pakar kerusi empuk’ ini mengkaji tuntutan Sarawak terhadap sumbernya sebelum membuat kesimpulan melulu," katanya.
Tambahnya lagi, tuntutan, perjuangan dan keresahan rakyat Sarawak adalah berdasarkan prinsip undang-undang serta fakta dan berpaksikan undang-undang sedia ada.
"Kami akan terus berdiri teguh dalam solidariti dan perpaduan bersama Setiausaha Agung PBB dan Yang Amat Berhormat Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dalam mempertahankan hak-hak Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 serta Perlembangan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TKTN bantu rapatkan jurang penyampaian perkhidmatan HIV dan AIDS di Sarawak
Februari 3, 2026, Selasa - 4:59pm
BINTULU: Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) dilihat sebagai platform terbaik bagi merapatkan jurang perkhidmatan HIV dan AIDS di Sarawak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Hanifah Hajar Taib.
Beliau yang mewakili Menteri Kesihatan berkata, dengan penubuhan TKTN yang ketiga selepas di Kuching dan Miri, penubuhannya di Bintulu tepat pada masanya sebagai tanda sokongan terhadap golongan yang disahkan menghidapi kedua-dua penyakit itu di sini.
"Perkembangan ini mencerminkan kesungguhan semua pihak bagi memastikan perkhidmatan sokongan yang inklusif dapat diperluaskan secara saksama kepada komuniti yang memerlukan," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran TKTN Bintulu di Taman Putrajaya, Jalan Tun Hussein Onn di sini, hari ini.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat mengalu-alukan usaha sedemikian kerana ia merupakan sebahagian daripada usaha strategik bagi memastikan perkhidmatan pencegahan, rawatan dan sokongan terhadap pesakit HIV dapat diakses secara lebih menyeluruh, konsisten dan berterusan.
"Dengan beroperasinya teratak ini termasuk cawangannya di Bintulu, melengkapkan rangkaian perkhidmatan inisiatif terbabit di negeri ini selepas di Kuching dan Miri," katanya.
TKTN ujarnya, merupakan ilham Datuk Amar Jamilah Anu dan merupakan simbol legasi keprihatinan dan kasih sayang Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem terhadap kesejahteraan rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang, khususnya dalam memperjuangkan akses kepada sokongan dan penjagaan kesihatan yang inklusif.
Justeru katanya, inisiatif itu melengkapkan pelaksanaan pendekatan Perkhidmatan HIV Dipelbagaikan bagi Populasi Utama (DSHKP) di peringkat lapangan.
"Semuanya adalah bagi memastikan kumpulan berisiko dan terpinggir menerima perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan berteraskan keperluan sebenar komuniti," tambah beliau.
Program Teratak Kasih Tok Nan yang diterajui Yayasan AIDS Malaysia (MAF) turut menerima sokongan padu KKM bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kebajikan dan kesihatan awam yang berfokuskan rakyat sejajar dengan komitmen negeri bagi mengukuhkan kesejahteraan sosial dan kesihatan seluruh komuniti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Delegasi Kerajaan Negeri Perak diberi taklimat Projek KUTS Sarawak Metro
Februari 3, 2026, Selasa - 5:01pm

Loh (lima kanan) menerima cenderamata daripada wakil KUTS di fasiliti ART pihaknya baru-baru ini.
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd baru-baru ini berpeluang mempamerkan perkembangan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (Kuching Urban Transportation System – KUTS) kepada delegasi Kerajaan Negeri Perak dalam satu lawatan rasmi mereka ke Sarawak.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak Loh Sze Yee bagi Portfolio Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.
Taklimat mengenai pelaksanaan Projek KUTS telah disampaikan oleh Sarawak Metro sempena kunjungan hormat delegasi berkenaan terhadap Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di pejabat beliau.
Dalam pertemuan tersebut, delegasi Kerajaan Negeri Perak menyatakan minat untuk memahami dengan lebih mendalam inisiatif Sarawak dalam usaha menyahkarbonkan sistem pengangkutan awam, khususnya melalui pelaksanaan Projek KUTS yang berteraskan teknologi hijau dan rendah karbon.
Delegasi itu, yang turut disertai wakil daripada Invest Perak, kemudiannya dibawa melawat ke Kuching ART Assembly Facility (KAAF) yang terletak di Demak Laut.
Di fasiliti tersebut, ahli delegasi berpeluang menaiki unit prototaip kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) yang menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan KUTS.
Sepanjang sesi lawatan dan perjalanan menaiki ART, para pelawat turut diberi taklimat mengenai perancangan Sarawak Metro untuk memastikan sebahagian besar kenderaan ART sifar pelepasan karbon berkuasa hidrogen dipasang secara tempatan di Kuching.
"Langkah tersebut bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan industri tempatan serta pemindahan teknologi berimpak tinggi kepada Sarawak," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, fasiliti KAAF dikendalikan oleh kontraktor Pakej Sistem 1 Projek KUTS, iaitu sebuah syarikat usaha sama yang terdiri daripada EPR Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd.
Lawatan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap inisiatif Sarawak dalam membangunkan sistem pengangkutan awam moden, lestari dan mesra alam meletakkan Sarawak sebagai perintis dalam transformasi mobiliti hijau di Malaysia.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
2026 tahun penentu keberkesanan projek pembangunan di Sarawak
Februari 3, 2026, Selasa - 5:09pm

Rohani (tiga kanan) merakam kenangan bersama para jemputan Bengkel dan Libat Urus Bersama Kontraktor Bumiputera Sarawak di Pusat Konvensyen CIDB Negeri Sarawak di Kuching, semalam. -Gambar UKAS
KUCHING: Tahun 2026 menjadi titik penentu keberkesanan penyampaian projek pembangunan di Sarawak dengan kejayaan projek kini diukur melalui hasil sebenar yang dirasai rakyat bukan hanya perancangan atau peruntukan.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak bagi Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pendekatan berasaskan hasil menuntut penyelarasan berkesan antara agensi pelaksana, kontraktor dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap projek mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Bengkel dan Libat Urus Bersama Kontraktor Bumiputera Sarawak di Pusat Konvensyen CIDB Negeri Sarawak di sini, hari ini.
“Bengkel ini bertujuan mendengar pandangan kontraktor secara langsung, memperjelaskan proses dan peraturan pelaksanaan baharu serta merangka cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara menang-menang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Dato Yusuf Abdul Wahab berkata, bengkel tersebut menjadi platform dialog terbuka antara kerajaan dan kontraktor, khususnya kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam projek persekutuan.
“CIDB bukan agensi perolehan atau pemilik projek, tetapi memainkan peranan penting menyusun suara industri, membina kapasiti kontraktor dan memastikan dapatan libat urus diterjemahkan kepada tindakan susulan konkrit,” tambah beliau.
Bengkel turut disertai wakil agensi persekutuan dan negeri termasuk SIMU, ICU JPM, EPU serta CIDB Sarawak.
Ia juga berfungsi sebagai persediaan awal kepada kontraktor tempatan untuk merebut peluang dalam projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta projek pembangunan negeri akan datang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ketibaan pelancong Singapura ke Sarawak meningkat
Februari 3, 2026, Selasa - 5:23pm
64,295 pelancong lawat Sarawak pada 2025, meningkat 5.8 peratus berbanding 59,793 pelancong pada 2024

Sarawak berjaya menarik hati pelancong Singapura. -Gambar UKAS
“Kenaikan lebih 4,500 pelancong berbanding tahun sebelumnya menunjukkan Sarawak bukan sekadar destinasi, tetapi pilihan utama pelancong Singapura, terutama untuk percutian hujung minggu.”
Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani
Pengerusi STATOS
KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah kedatangan pelancong Singapura tertinggi pada 2025, menandakan pencapaian penting dalam hubungan pelancongan dan perdagangan antara negeri ini dengan Republik itu.
Menurut kenyataan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), seramai 64,295 pelancong Singapura melawat Sarawak pada 2025, meningkat 5.8 peratus berbanding 59,793 pelancong pada 2024.
"Berdasarkan perbelanjaan purata RM3,500 seorang, jumlah hasil pelancongan daripada pelancong Singapura dijangka mencecah RM225 juta, menjana tambahan RM15.7 juta untuk ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada sektor hospitaliti, runcit dan pengangkutan tempatan," kata kenyataan itu.
Pengerusi STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti komitmen pasukan STATOS dan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan Sarawak.
“Kenaikan lebih 4,500 pelancong berbanding tahun sebelumnya menunjukkan Sarawak bukan sekadar destinasi, tetapi pilihan utama pelancong Singapura, terutama untuk percutian hujung minggu,” tegas beliau.
Pada 2025, STATOS juga berjaya menarik kumpulan sekolah antarabangsa dan awam dari Singapura untuk lawatan pendidikan ke Sarawak, menjana lebih RM2 juta dan melebihi sasaran awal, memperkukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan pendidikan dan pembelajaran pengalaman.
Selain itu, STATOS terus memainkan peranan penting menghubungkan agensi Sarawak dengan sektor pendidikan Singapura bagi projek bersama, latihan industri dan kerjasama akademik.
STATOS kini berjaya memperkukuhkan kedudukan Sarawak di pasaran Singapura melalui pelancongan pendidikan, MICE, segmen pelancongan niche, perdagangan dan penjenamaan destinasi.
Pencapaian rekod ini turut selari dengan pengukuhan hubungan dua hala, termasuk pengumuman pembukaan Konsulat Singapura di Sarawak, yang dijangka meningkatkan aliran pelancong dan kerjasama ekonomi pada masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|