|
thanx to : http://www.murai.com.my
KUALA LUMPUR, 9 NOV 2007: Kepulangan Datuk Siti Nurhaliza ke gelanggangg Separuh Akhir Muzik-Muzik bukanlah untuk merampas takhta mana-mana penyanyi atau menggugat kemaraan artis lain yang bertanding.
Sebaliknya, kata pengurus Siti, Rozie Abdul Razak, Siti hanyalah ingin menjalankan tanggung jawabnya sebagai penyanyi
yang mempopularkan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik.
Jelas, selepas dua tahun Siti berehat, penyanyi lagu Cindai itu akan kembali berentap dalam Muzik-Muzik apabila dua lagu nyanyiannya - Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen & PSSN serta Bisakah (Aubrey Suwito & TESSH R.S.) - layak ke semi final, masing-masing bagi kategori Pop Rock dan Balada.
"Siti hanya menjalankan tugasnya untuk mempertandingkan kedua-dua lagu itu. Dia akan membuat persiapan yang perlu dan memberikan persembahan yang sebaik mungkin. Semuanya terserah kepada juri. Siti sedar semua lagu yang dipertandingkan kali ini hebat-hebat dan ada keistimewaan masing-masing," kata Rozi kepada murai.com.my ketika dihubungi petang tadi.
Tiga kategori yang disediakan dalam Muzik Muzik kali ini ialah Etnik Kreatif pada 11 November, Balada (18 November) diikuti Pop Rock (25 November).
Rozie berkata, jadual Siti terus ketat, walaupun sudah bergelar isteri kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Pun begitu, dia tetap memberikan segala komitmen yang diperlukan dalam mana-mana acara kerana suaminya tidak pernah menghalang kerjaya Siti sebagai seorang artis.
"Dia (Siti) tidak pernah mengatakan yang dia akan mengundurkan diri daripada nyanyian. Walaupun Siti kini terpaksa membahagikan masa dalam dunia korporat dan seorang isteri, dia tetap cintakan dunia seni," kata Rozie.
Ditanya adakah mengenai harapan Siti untuk menang, Rozie berkata, sejak dulu lagi Siti tidak pernah meletakkan harapan tinggi menggunung apabila menyertai sesuatu pertandingan.
"Siti seorang yang rileks. Dia menyertai pertandingan hanya kerana tanggung jawab dan minat. Kalah atau menang, perkara kedua," ujarnya.
Sebelum ini, Siti sibuk memberikan sepenuh fokus kepada pementasan P. Ramlee The Musical yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 18 Oktober hingga 3 November lalu.
Antara kejayaan Siti dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak 1996 ialah menerusi lagu Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu (1997), Cindai (1998), Hati Kama (1999), Balqis (2002), Nirmala (2003) dan Ku Milikmu (2004) - murai.com.my |
|