Adik mangsa, Cha Hing Leong, 63, berkata, suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak dikatakan sering bergaduh dengan mangsa biarpun mereka tinggal sebumbung di Kampung Batu Papan kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Hin Leong yang juga seorang peniaga turut mendakwa, suspek pernah menjual dua bidang tanah kebun getah milik mangsa sebelum ini.
“Suspek adalah anak tunggal yang dipelihara oleh abang dan kakak ipar saya sejak kecil. Anak saudara saya ini tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan sering mempunyai masalah kewangan.
“Ketika kejadian pertama kira-kira tiga bulan lalu, abang dan kakak ipar saya keluar menoreh getah. Suspek yang dikatakan berang kerana pergaduhan terdahulu telah mengebom motosikal milik abang saya.
“Abang seorang yang sangat penyabar, dia tidak membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian itu. Saya tidak tahu bagaimana bom itu dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Cha Mok Liong, 72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, maut dalam keadaan mengerikan apabila badan mereka berkecai akibat daripada letupan bom buatan sendiri semasa menunggang motosikal menuju ke Kampung Pulai di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Pulai di sini kira-kira pukul 9 pagi ini.
Ekoran daripada itu, pihak polis telah menahan seorang suspek yang juga anak angkat mangsa di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini kira-kira sejam kemudian. Suspek yang mempunyai dua anak dikatakan tidak berpuas hati mengenai tuntutan harta.
Sementara itu, perkara sama turut diakui oleh anak saudara mang sa, Abdul Rahman Abdullah, 53, yang mendakwa, suspek yang berusia 27 tahun itu sering bergaduh dengan kedua-dua mangsa.
“Mereka memang orang lama di Kampung Pulai dan Kampung Batu Papan dan setahu kami mereka memang tiada musuh serta disenangi semua.
“Ini merupakan kejadian pertama di sini dan kami seluruh penduduk kampung amat terkejut dengan tragedi ngeri ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak saudara mangsa, Cheaw Yok Kiong, 53, berkata, letupan tersebut amat kuat dan boleh didengari dalam jarak lima kilometer.
Katanya, mujur letupan tidak berlaku di kawasan warung kopi yang menjadi lokasi harian pasangan tersebut untuk bersarapan pada setiap hari selepas menoreh getah.
“Lazimnya pada waktu begini mereka berdua ini sampai untuk bersarapan, jika letupan ini berlaku di depan kedai kopi ini pasti lebih ramai yang akan menjadi mangsa. Letupan ini berlaku kira-kira tiga kilometer dari kedai kopi tersebut,” katanya.