|
Harimau Sungei Ujong: Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof
YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof bin Hashim adalah pemerintah Luak Sungei Ujong ke-7 yang sangat tidak popular dan tidak disukai British kerana terlalu bijak dan mempunyai ketinggian ilmu agama, usul dan tasawuf yang luar biasa termasuk ilmu kebatinan.
Beliau dipilih sebagai Undang Luak Sungei Ujong pada 1881 menggantikan datuk saudaranya, Dato' Klana Petra Syed Abdul Rahman yang meninggal dunia di Makkah semasa menunaikan fardu haji. Kedua-duanya adalah Waris Klana di-Hilir berasal dari Kampung Setul, Batu 8, Pantai.
Pemilihannya bersandarkan kepada kebijaksanaannya pada masa itu. Beliau satu-satunya Waris Klana di-Hilir yang pandai membaca dan menulis berbanding waris-waris Klana lain. Beliau juga teguh dalam amalan agama Islam.
Sejak pelantikannya sebagai YTM Dato' Klana Petra, Residen British amat sukar berunding dan susah 'menasihat' beliau. Seringkali YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof dapat mematahkan hujah dan 'nasihat' Residen British. Pada masa yang sama beliau memiliki ilmu kebatinan di mana Residen Inggeris dan pegawai British sering terlihat beliau menunggang seekor harimau jika hadir ke mesyuarat bersama pegawai Kerajaan Sungei Ujong di Seremban.
Mengikut cerita lisan YM Dato' Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir, YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof sebenarnya menunggang kuda, tetapi Residen dan pegawai British terpukau dengan ilmunya sehingga kelihatan seperti beliau menunggang harimau. Selain itu, pegawai British juga sering sakit-sakit selepas bertemu dengannya, seolah-olah terkena kharomahnya.
Pernah YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof menggunakan senapangnya menembak ke langit, namun peluru itu singgah ke badan pegawai British yang sedang berjalan di tempat lain di bandar Seremban (dikatakan lokasi YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof melepaskan tembakan itu di kawasan bangunan Wisma Negeri sekarang).
Lantaran sukar berunding dan sering ketakutan kerana melihat YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof menunggang harimau, Residen British dan pegawai-pegawai Inggeris mencari jalan supaya beliau disingkirkan daripada tampuk pemerintahan Sungei Ujong. Maka pada 1889, Residen British menaja percutiannya ke Singapura selama beberapa bulan.
Semasa ketiadaan Undang Luak Sungei Ujong itu kerana bercuti ke Singapura, Residen British menguar-uarkan berita palsu di Seremban dan Pantai kononnya YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof ke Singapura kerana dimasukkan ke hospital gila.
Gempar dengan berita itu, semua Dato' Lembaga Tiang Balai, Ibu-ibu soko dan YM Ibu Soko Zainab, Ibu Soko Waris Klana di-Hulu memutuskan melantik cucu saudara YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof iaitu Dato' Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu, Dato' Maamor bin Dato' Menteri Kassim yang berumur sembilan tahun pada masa itu sebagai YTM Dato' Klana Petra yang baharu.
Sekembalinya YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof ke Pantai, beliau terperanjat melihat majlis kerjan YTM Dato' Klana Petra sedang berlangsung. Berang dengan situasi berkenaan YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof nekad mahu mengambil semula kuasanya sebagai Undang, namun apabila terpandang cucu saudaranya Dato' Maamor di atas peterana di Telaga Undang, beliau tidak sampai hati dan membatalkan hasratnya.
YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof akhirnya bersetuju YTM Dato' Klana Petra Maamor menggantikannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong. Seterusnya YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof mengahwinkan YTM Dato' Klana Petra Maamor dengan cucunya iaitu Ibu Soko Zaleha, Ibu Soko Waris Klana di-Hilir.
Residen British yang bimbang dan takut dengan tindakbalas YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof atas perbuatannya menyebarkan berita palsu dan merancang penyingkirannya telah memujuk dengan meneruskan pembayaran pencen/elaun Undang Luak kepada YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof dan bersetuju dengan gelaran tambahan Lela Setia pada namanya.
Sejak itu, YTM Dato' Klana Petra Mohamad Yusof dikenali sebagai YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof. Nama berkenaan kini diabadikan pada Masjid Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof yang dahulunya adalah Masjid Sikamat.
Nota 1: YTM Dato' Klana Petra Maamor terus memerintah Sungei Ujong dari 1889 sehingga 1945. Selepas 1898, YTM Dato' Klana Petra Maamor memerintah Negeri Sembilan bersama Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad, YTM Dato' Undang Luak Jelebu, Johol, Rembau dan Tunku Besar Tampin.
Nota 2: YTM Dato' Klana Petra Mubarak bin Dohak adalah cicit kepada YTM Dato' Klana Petra Maamor mengikut keluarga sebelah ibunya dan cicit kepada YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof mengikut keluarga sebelah bapanya
Nota 3: YAM Dato' Shahbandar Sungei Ujong, Dato' Seri Utama Badaruddin bin Abdul Khalid adalah cucu kepada YTM Dato' Klana Petra Maamor dan piut kepada YTM Dato' Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof.
Allahumasolli Ala Saidina Muhammad..
Al-Fatiah 3X
Penceritaan ini berdasarkan sumber:
1) YM Dato' Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir
2) A Chapter on Sungei Ujong - Letter XIII, Isabella L. Bird Bishop, 1883
Jabatan Muzium Malaysia Muzium Negeri Sembilan Muzium Negara RASMI Warga Jabatan Muzium Malaysia Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Jabatan Warisan Negara (Department of National Heritage) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pesona Seremban |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|