https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -covid-19-3-ditahan
Sindiket jual vaksin Covid-19, 3 ditahan
Kuala Lumpur: Helah licik sindiket penipuan yang menawarkan dua dos suntikan vaksin pada harga RM420 melalui panggilan telefon terbongkar selepas tiga jurujual ditahan dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields, di sini, semalam. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima laporan daripada seorang wanita yang bertugas sebagai pegawai penyelidik Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) mengenai aktiviti penjualan vaksin Covid-19. "Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Putrajaya dan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur membuat serbuan di Putrajaya dan Brickfields semalam. "Dalam serbuan itu, kami menahan dua wanita serta seorang lelaki berusia antara 23 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai jurujual di syarikat swasta yang dipercayai terbabit dengan aktiviti berkenaan.
"Kami turut merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen dalam serbuan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati orang awam dihubungi melalui panggilan telefon oleh suspek secara rawak dengan menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19. "Bayaran kononnya akan dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan. Semakan dilakukan dengan Ketua Sektretariat CITF Persekutuan mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19. "Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Jun ini untuk siasatan lanjut untuk Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan menipu," katanya. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang menjual vaksin Covid-19. "Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan vaksin Covid-19 boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Sekretariat CITF (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) di talian 03-88934303/4304," katanya.
|