Cukuplah masa 'live' dah cakap, reaksi Bella Astillah mengenai hubungan dengan Syed Saddiq

Bella mengakui senang bekerjasama dengan Syed Saddiq dalam pelbagai projek. Foto NSTP Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: 'Cukuplah... Sudah banyak saya jelaskan pada sesi 'live' bersama dia." Itu reaksi Bella Astillah yang menolak soalan berbaur peribadi terutama berkaitan hubungan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hangat diperkatakan netizen. "Saya tak mahu ulas lebih-lebih sebab rasanya sudah banyak cakap ketika 'live' dengan dia. "Lagipun, saya tak mahu tersilap atau terlebih cakap, bimbang tuduh kami berlebih-lebih. Kalau boleh, saya hendak tolak tepi hal peribadi kerana fokus utama adalah perbaiki lakonan dan nyanyian, selain anak-anak dan keluarga," katanya ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Vitalove di sini, hari ini.
Ditanya komen netizen yang mendoakan dia dan Syed Saddiq bertemu jodoh, Bella enggan mengulas. "Saya tiada komen untuk soalan itu. Terima kasih untuk semua komen positif diberikan. Sebagai manusia biasa, apabila orang mendoakan baik-baik, kita gembira. Jadi, harapnya berterusan begitu," katanya. Mengulas kerjasama dengan Syed Saddiq bagi mempromosikan pakaian raya, Bella mengakui senang bekerja dengan jejaka berusia 32 tahun itu. Bella dan Syed Saddiq dilihat banyak meluangkan masa bersama selepas menjadi duta jenama pakaian, malah, mereka menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, baru-baru ini. Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu. Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aliff Aziz pada 9 September 2016, namun, bercerai pada 13 Jun tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna yang berusia lima tahun.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2025/02/1364466/cukuplah-masa-live-dah-cakap-reaksi-bella-astillah-mengenai
|