CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 3-2-2026 11:05 AM | Show all posts
DBNA giatkan dokumentasi tanah NCR di Serian sebelum 2030
Februari 2, 2026, Isnin - 5:50pm



John (lima kiri, duduk) merakam kenangan bersama penduduk Kampung Koran Empaneg, Serian hari ini.

SERIAN: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Serian akan terus mempergiatkan usaha mengadakan taklimat Projek Dokumentasi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Parlimen Serian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, taklimat itu bagi memastikan semua kampung Bidayuh yang berminat dapat memanfaatkan inisiatif tersebut sebelum tarikh akhir pada 2030.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberi penjelasan lebih terperinci mengenai hak milik serta sempadan tanah adat kepada penduduk setempat,” katanya memetik kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Menurutnya, program dokumentasi tanah itu merupakan sebuah inisiatif DBNA yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009 dan merangkumi keseluruhan kawasan penempatan kaum Bidayuh, bermula dari Lundu sehingga ke Serian.

“Inisiatif ini amat penting bagi masyarakat Bidayuh kerana ia membantu mengenal pasti hak milik tanah secara sah dan sistematik.

“Ia juga dapat mengurangkan kekeliruan serta pertikaian berkaitan sempadan tanah yang telah berlarutan sekian lama,” tambah beliau.

Beliau menambah, proses dokumentasi itu bukan sahaja memudahkan penduduk memahami kedudukan tanah mereka, malah turut menjadi langkah awal ke arah penyelesaian isu pemilikan tanah secara lebih teratur dan sah di sisi undang-undang.

Pada majlis yang sama, John turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) atas pelaksanaan kerja-kerja pengukuran kampung tradisi yang sedang dijalankan di Kampung Koran Empaneg.

“Usaha JTS dalam melaksanakan pengukuran ini sangat dihargai. Saya berharap kerja-kerja pengukuran tanah pertanian yang bakal menyusul selepas ini akan dapat menyelesaikan sepenuhnya segala isu sempadan tanah kampung dan memperjelaskan hak milik individu seperti yang diharapkan penduduk,” jelasnya.

Beliau juga menyeru agar lebih ramai penduduk kampung mengambil peluang menyertai taklimat yang dianjurkan DBNA bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam proses dokumentasi sebelum tempoh pelaksanaan tamat pada 2030.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-2-2026 11:07 AM | Show all posts
98 orang terima Pingat Peringatan Ulang Tahun Ke-111 Pengakap Sarawak
Februari 2, 2026, Isnin - 6:09pm



(Dari kanan ke kiri) Rid, Abdul Rahman, Methodius, Kapten Zainuddin dan Stanley bergambar kenangan bersama para penerima pingat.

KUCHING: Seramai 98 orang terdiri daripada Ahli Majlis Pengakap Daerah, Pesuruhjaya dan Pemimpin Pengakap menerima Pingat Peringatan Ulang Tahun Ke-111 Pengakap Sarawak dalam satu upacara penuh istiadat di Dewan Suarah Sri Aman, Sabtu lalu.

Upacara penganugerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak Methodius George Segie yang mewakili Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak John Lim Boon Beng.

Mendahului senarai penerima ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sri Aman Rid Musheh, yang dianugerahkan Pingat Peringatan 111 Tahun Pengakap Sarawak kategori emas atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan pergerakan Pengakap di peringkat daerah.

Selain itu, seramai 16 penerima lain turut menerima pingat kategori emas manakala 13 orang menerima pingat perak dan 68 orang lagi menerima pingat gangsa.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh Methodius, John Lim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan Pengakap Daerah Sri Aman atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan dengan teratur dan bermakna.

Menurut beliau, penganjuran majlis pada awal tahun 2026 amat bertepatan sebagai permulaan positif bagi menyemarakkan semangat dan azam baharu dalam memajukan aktiviti Pengakap di Sri Aman khususnya dan di Sarawak amnya.

Beliau berkata, pengiktirafan menerusi penganugerahan pingat peringatan mampu menjadi suntikan motivasi kepada pesuruhjaya, ahli majlis dan pemimpin Pengakap yang telah berkhidmat tanpa mengenal penat.

Ini katanya, sekali gus menyumbang kepada pelbagai kejayaan serta pencapaian Pengakap Daerah Sri Aman sehingga mengharumkan nama Pengakap Sarawak.

Mengulas sejarah pergerakan itu, beliau berkata Pengakap di Sarawak bermula pada 1913 dan dipelopori oleh Reverend Cecil Thomas Alexander di Sekolah St Thomas, Kuching.

Sambutan ulang tahun ke-111 yang diraikan pada 2024 katanya, menjadi mercu tanda penting kepada perjalanan lebih 113 tahun pergerakan tersebut di negeri ini.

Beliau turut menyeru semua pesuruhjaya dan pemimpin Pengakap agar terus mempertahankan prinsip Pengakap serta melaksanakan program berteraskan tema HED iaitu Harmony (Keharmonian), Environment (Alam Sekitar) dan Discovery (Penemuan) dalam usaha membentuk generasi muda yang berdisiplin, berakhlak dan berdaya saing.

Selain itu, pematuhan terhadap proses pendaftaran kumpulan dan keahlian Pengakap yang teratur selaras dengan dasar, organisasi serta peraturan ditetapkan turut ditekankan bagi memastikan kelancaran aktiviti.

Majlis itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin,  Pesuruhjaya Kehormat Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan, Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Sri Aman Stanley James Batang, ahli-ahli majlis Pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya, pemimpin-pemimpin Pengakap, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah serta ahli-ahli Pengakap dari sekitar bahagian Sri Aman.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:08 AM | Show all posts
Pemandu lori simen berdepan situasi cemas terlibat kemalangan kendiri
Februari 2, 2026, Isnin - 6:44pm

KUCHING: Seorang pemandu lori simen berdepan situasi cemas apabila terlibat dalam kemalangan kendiri di Bulatan Demak Laut di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataanya berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 2.50 petang seterusnya mengarahkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi.

“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang berada di dalam jentera tersebut.

“Setelah mangsa selamat dibawa keluar, dia di diserahkan kepada pihak ambulans Bulan Sabit Merah yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan jam 4.33 petang setelah memastikan situasi di lokasi selamat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:08 AM | Show all posts
Pemandu lori simen berdepan situasi cemas terlibat kemalangan kendiri
Februari 2, 2026, Isnin - 6:44pm

KUCHING: Seorang pemandu lori simen berdepan situasi cemas apabila terlibat dalam kemalangan kendiri di Bulatan Demak Laut di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataanya berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 2.50 petang seterusnya mengarahkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi.

“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang berada di dalam jentera tersebut.

“Setelah mangsa selamat dibawa keluar, dia di diserahkan kepada pihak ambulans Bulan Sabit Merah yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan jam 4.33 petang setelah memastikan situasi di lokasi selamat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:09 AM | Show all posts
Tindakan pantas bomba menyelamatkan kedai perabot daripada musnah terbakar
Februari 2, 2026, Isnin - 6:46pm

MIRI: Sebuah kedai perabot yang terletak di Jalan Miri-Lutong di sini nyaris musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku awal pagi ini.

Bagaimanapun, hasil tindakan pantas bomba berjaya memadam api yang marak dan kebakaran hanya menjejaskan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan kedai tersebut.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.10 tengah malam.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng (bantuan) telah bergegas ke lokasi yang terletak 10 kilometer dari balai dan tiba 10 minit kemudian.

"Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan satu unit lot di tingkat satu bangunan jenis kekal berkeluasan 80 x 80 kaki persegi yang sedang terbakar 30 peratus.

"PKO terus melakukan operasi pemadaman secara defensif dan ofensif dengan bantuan satu aliran sepanjang 400 kaki, satu cabang pembahagi serta dua nozel menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam dan operasi ditamatkan kira-kira jam 1 pagi selepas pemeriksaan mengesahkan tiada kemungkinan api menyala semula.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Operasi itu melibatkan seramai 21 anggota, dua jentera FRT, sebuah lori tangki air serta dua jentera EMRS.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:09 AM | Show all posts
Kebakaran kecil bahagian dapur Rumah Chabo berjaya dikawal
Februari 2, 2026, Isnin - 6:49pm

SIBU: Kebakaran kecil melibatkan bahagian dapur sebuah rumah panjang di Rumah Chabo, Ulu Sungai Salim di sini berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang.

Susulan panggilan berkenaan, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai dan tiba pada jam 2.09 petang.

Menurut PGO, kebakaran melibatkan bahagian dapur rumah panjang berkenaan dengan anggaran keluasan terbakar kira-kira 10 x 10 kaki persegi.

Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan lebih awal oleh orang awam menggunakan pili air domestik sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul bagi memastikan tiada sisa bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.15 petang dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula,” menurut kenyataan itu.

Setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 2.54 petang sebelum pasukan bomba beredar kembali ke balai.

Tambah kenyataan itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan hanya sebuah jentera FRT digunakan sepanjang operasi.


Sumber : Utusan borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 3-2-2026 11:12 AM | Show all posts
Kemalangan maut catat 418 kematian pada 2025, kempen keselamatan perlu diperkasa: Lee
Februari 2, 2026, Isnin - 7:16pm


Lee (empat kiri) menunjukkan tanda bagus selepas mengagihkan topi keledar baharu kepada salah seorang penunggang motosikal, sambil disaksikan oleh (dari kiri) Farhan, Norizan serta Galong dan Jonathan (masing-masing, lima dan enam kiri) serta yang lain.

MIRI: Sebanyak 21,747 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025, yang turut meragut 418 nyawa, sekali gus membuktikan isu keselamatan jalan raya masih berada pada tahap membimbangkan meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan saban tahun.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, daripada jumlah keseluruhan kemalangan itu, 189 mangsa mengalami kecederaan parah manakala lebih 300 orang cedera ringan, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Walaupun angka ini hampir sama dengan tahun 2024 yang merekodkan 21,733 kes kemalangan, dengan jumlah korban nyawa meningkat daripada 405 kematian pada 2024 kepada 418 kematian pada 2025. Ini menunjukkan keselamatan jalan raya masih menjadi cabaran besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2026 di stesen minyak Shell di Permyjaya di sini, hari ini.

Mengulas situasi di bahagian Miri, Lee berkata sebanyak 3,442 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 2025, dengan majoriti melibatkan kerosakan kenderaan sahaja iaitu 3,355 kes.

Bagaimanapun, kemalangan maut di daerah ini telah mengorbankan 47 nyawa, selain 10 kes kecederaan parah dan 30 kes kecederaan ringan.

“Jika dibandingkan dengan 2024, terdapat sedikit penurunan yang positif. Kes kemalangan maut menurun daripada 60 kes kepada 47 kes, iaitu penurunan sebanyak 24.42 peratus manakala jumlah kematian berkurang daripada 69 orang kepada 50 orang, bersamaan penurunan 27.25 peratus,” jelasnya.

Menurut Lee, walaupun trend penurunan itu memberi petanda baik, sasaran sebenar adalah untuk mencapai sifar kemalangan maut, yang hanya boleh dicapai melalui perubahan sikap pengguna jalan raya.

Beliau menegaskan bahawa kebanyakan kemalangan berpunca daripada faktor manusia, termasuk memandu laju, kecuaian, penggunaan telefon bimbit serta tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

“Keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab polis, JPJ atau kerajaan semata-mata. Ia tanggungjawab kita semua. Nyawa kita berada di tangan kita sendiri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan berbahaya pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal yang melanggar peraturan demi jalan pintas, yang disifatkan sebagai perbuatan berisiko tinggi.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi had laju dan peraturan lalu lintas, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat termasuk tayar, brek dan lampu, sentiasa memakai tali pinggang keselamatan serta berehat secukupnya ketika memandu jarak jauh.

“Biar lambat asalkan selamat. Jangan tunggu nampak polis baru mahu patuh peraturan. Peraturan ini untuk keselamatan diri kita sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Lee turut menyentuh keunikan masyarakat Sarawak yang meraikan perayaan secara bersama tanpa mengira kaum dan agama, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Krismas dan Deepavali.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada semua yang meraikannya dan berharap sambutan tahun Kuda itu membawa kemajuan, kesejahteraan serta keselamatan kepada seluruh rakyat Sarawak.

“Yang paling penting, semua pengguna jalan raya dapat pulang ke kampung halaman dan kembali semula dengan selamat untuk meraikan perayaan bersama keluarga,” katanya.

Turut hadir ialah Residen Miri Galong Luang, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, Ketua Perhubungan Korporat Shell Malaysia Jonathan Jolly serta ketua-ketua masyarakat di sini.


Sumber : https://www.utusanborneo.com.my/ ... perlu-diperkasa-lee
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:13 AM | Show all posts
Kanak-kanak dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai ditemui lemas
Februari 2, 2026, Isnin - 7:41pm

DARO: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Daro di Kampung Panchor di sini, ditemui meninggal dunia pada petang tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 2.28 petang, semalam.

Susulan panggilan berkenaan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi hanya dua minit kemudian dan terus menjalankan penilaian awal di kawasan sekitar rumah mangsa serta tebing sungai berhampiran.

Mangsa dikenali sebagai Aqilla Nasuha Shamsol, dipercayai keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari oleh kedua-dua ibu bapanya.

Menurut maklumat PGO, bapa mangsa kemudian menemui kesan tapak kaki kanak-kanak itu menuju ke arah sungai sekitar jam 1 petang sebelum segera memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak bomba.

Operasi SAR hari pertama dijalankan sehingga jam 6 petang dengan tumpuan di sekitar kawasan sungai dan laluan yang dikenal pasti, sebelum ditangguhkan bagi memberi laluan kepada operasi hari kedua.

Anggota JBPM Sarawak membawa mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Sungai Daro ke Jeti Kampung Panchor selepas operasi SAR.

Anggota JBPM Sarawak membawa mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di
Pada Isnin, operasi SAR diteruskan bermula jam 2.20 petang dengan melibatkan seramai 68 anggota gabungan pelbagai agensi bersama penduduk kampung.

Sebanyak 12 bot digunakan dalam operasi berkenaan bagi memperluas pencarian di sepanjang Sungai Daro serta kawasan sekitarnya.

Sekitar jam 4 petang, pasukan SAR berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di Sungai Daro berhampiran Kampung Lemang Pek.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik di Jeti Kampung Panchor sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan pengecaman dan siasatan lanjut.

Mangsa seterusnya dibawa ke hospital menggunakan kenderaan polis bagi pengesahan kematian manakala operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada jam 4.45 petang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-2-2026 11:14 AM | Show all posts
Premier antara pemimpin dunia akan berucap pada IES 2026 di Jakarta
Februari 2, 2026, Isnin - 8:02pm



Abang Johari tiba di Jakarta hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026, pada 3 dan 4 Februari ini. - Gambar UKAS

JAKARTA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus mengukuhkan penglibatan Sarawak di peringkat antarabangsa apabila disenaraikan antara pemimpin dunia yang akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026, pada 3 dan 4 Februari ini.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau selamat tiba di Jakarta hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak berprestij itu, yang menghimpunkan pemimpin global, penggubal dasar, tokoh ekonomi serta peneraju industri bagi membincangkan hala tuju pertumbuhan ekonomi serantau dan global.

Ketibaan rombongan Abang Johari turut diiringi Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai kerajaan negeri yang lain.

Pada sidang kemuncak tersebut, Abang Johari dijangka berkongsi pengalaman serta kemajuan pembangunan dan transformasi ekonomi Sarawak, termasuk pendekatan pembangunan mampan yang semakin mendapat perhatian di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

IES 2026 yang bertemakan ‘Bersatu Untuk Memacu Pertumbuhan Mampan dan Kemakmuran Bersama’ menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu strategik global merangkumi pertumbuhan inklusif, model ekonomi nasional, mobiliti tenaga kerja, dasar perdagangan, pelaburan industri, daya saing perniagaan, transformasi digital, kedudukan ekonomi ASEAN serta strategi menangani cabaran dan risiko global.

Sidang kemuncak anjuran Indonesia Business Council itu menghimpunkan pemimpin dunia, tokoh ekonomi, korporat dan usahawan, sekali gus menyediakan ruang wacana melalui sesi meja bulat, pertemuan dua hala serta dialog dasar yang mendalam bersama pihak kerajaan.

Tahun ini, IES 2026 turut menampilkan segmen baharu, ‘IES in Action’ yang mempamerkan projek dan penyelidikan berterusan IBC, di samping mengetengahkan inisiatif utama yang memberi impak langsung kepada agenda pembangunan ekonomi serantau dan global.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 11:14 AM | Show all posts
Dr Sim seru rakyat Sarawak terus bersatu dalam semua perkara
Februari 2, 2026, Isnin - 8:08pm



Dr Sim dan Ding menghadiri Majlis Perhimpunan Tahunan dan Mobilisasi Jentera SUPP Bintangor.

BINTANGOR: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyeru rakyat Sarawak terus bersatu dalam semua perkara bagi memastikan negeri ini kekal sejahtera dan disegani masyarakat luar.

Kata Dr Sim, rakyat juga perlu berpegang teguh kepada nilai-nilai murni dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat demi masa depan negeri yang lebih mampan.

“Penglibatan secara konstruktif adalah kunci kepada kemajuan, bukannya politik yang bersifat merosakkan.

“Pembinaan negara amat sukar dalam suasana yang berpecah-belah dan sebuah masyarakat yang sentiasa menyerang institusinya sendiri akan sukar untuk bergerak maju.

“Kita perlu ingat bahawa kejayaan Sarawak pada masa kini adalah hasil kestabilan politik dan kepimpinan yang konsisten sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Tahunan dan Mobilisasi Jentera SUPP Bintangor di sebuah restoran dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Sim turut menegaskan sokongan dan kepercayaan warga Meradong kepada wakil rakyat SUPP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak tahun 2016 terbukti sebagai pilihan tepat apabila pembangunan infrastruktur di daerah Meradong menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang adalah amat penting untuk kita memastikan kesinambungan pembangunan di daerah Meradong melalui kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, selaras dengan perancangan pembangunan jangka panjang yang telah dirangka,” tegasnya.

Sementara itu, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Meradong atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat.

Kata Ding, beliau menegaskan kepercayaan tersebut akan terus diterjemahkan melalui pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di kawasan itu dengan sokongan Kerajaan Sarawak.

“Sebanyak 10 projek mega telah dirancang dan bakal dilaksanakan di daerah Meradong dan antara projek yang sedang giat dijalankan ialah menaik taraf prasarana Taman Rekreasi Bintangor dengan kos projek bernilai RM4 juta manakala Kompleks Sukan Bintangor bernilai RM3.5 juta dan pontun Bintangor bernilai RM3 juta yang kedua-dua projek telah siap dilaksanakan sepenuhnya.

“Selain itu, projek utama di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi kawasan Meradong dijangka ditender mulai tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu pembangunan di Bintangor dan kawasan sekitarnya.

“Antara projek tersebut ialah menaik taraf Tebingan Sungai Bintangor bernilai RM35 juta dan tender projek itu dijangka dibuka pada awal tahun ini,” kata Ding.

Selain itu katanya, sebuah dewan serba guna dua tingkat bernilai RM18 juta turut dirancang bagi memenuhi keperluan aktiviti komuniti, sosial dan penganjuran acara berskala besar akan dibina di kawasan Bintangor.

Justeru kata Ding, perancangan pembangunan turut merangkumi pembiayaan beberapa projek infrastruktur asas lain yang penting dan antaranya pembinaan laluan alternatif dari Jalan Kilang ke Jalan Janting dengan kos RM8 juta, pembinaan paip utama dari Jalan Kelupu ke Stesen Penggalak Tulai bernilai RM10 juta serta naik taraf sistem retikulasi bandar Bintangor melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta.

“Kesemua ini dirangka secara menyeluruh bagi meningkatkan tahap kemudahan awam, memperkukuh sistem bekalan air dan jaringan jalan raya, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di daerah Meradong.

“Selain itu, projek pembinaan jalan alternatif Bintangor–Sungai Tulai yang bernilai RM77 juta turut dirancang di bawah RADDA.

“Kesemua projek ini dijangka akan meningkatkan kemudahan awam, merancakkan aktiviti komuniti serta memperkukuh jaringan infrastruktur di daerah Meradong secara menyeluruh,” tegas Ding.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor Chieng Boung Ong, Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor Lau Sie Hing, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor Kaunselor Chieng Ming Kiong, Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor Ley Chee Hua dan ketua-ketua masyarakat setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:26 PM | Show all posts
JCI Sibu adakan lawatan ke JCI Junior di SMK Sacred Heart
Februari 2, 2026, Isnin - 8:54pm



JCI Sibu dan JCI Junior SMK Sacred Heart bergambar kenangan dalam satu sesi fotografi berkumpulan.

SIBU: Junior Chamber International (JCI) Sibu baru-baru ini mengadakan lawatan ke JCI Junior di SMK Sacred Heart di sini bagi sesi libat urus mengenai pembangunan belia, pembentukan nilai dan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam usaha memperkukuh kerjasama.

Dalam satu kenyataan media semalam, ia berkata sesi berkenaan memberi tumpuan kepada membimbing pelajar untuk berkembang melalui penyertaan aktif serta pengalaman secara langsung.

Wakil JCI Sibu berinteraksi rapat dengan ahli JCI Junior dengan berkongsi perjalanan peribadi mereka di platform JCI — bermula daripada penglibatan awal sehingga memegang peranan kepimpinan.

“Melalui contoh kehidupan sebenar, pelajar diperkenalkan kepada kepentingan kerja berpasukan, komunikasi berkesan, tanggungjawab serta kepimpinan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti,” menurut kenyataan media itu.

Bertindak sebagai mentor dan fasilitator, ahli JCI Sibu membimbing pelajar menyusun idea dan menukarkannya kepada pelan tindakan yang boleh dilaksanakan.

JCI Sibu turut berkongsi nilai teras serta hala tuju JCI, sekali gus membantu ahli JCI Junior memahami dengan lebih jelas bagaimana organisasi itu menyokong belia melalui pembangunan kepimpinan, khidmat komuniti dan penglibatan antara wilayah, di samping menyediakan mereka untuk laluan akademik dan kerjaya pada masa depan.

Menjelang akhir sesi, kedua-dua pihak membincangkan potensi aktiviti kampus pada masa depan dan mencapai persefahaman bersama untuk merancang inisiatif yang bermakna.

JCI Sibu akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah dan JCI Junior bagi mewujudkan peluang pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar berkembang melalui pengalaman.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:27 PM | Show all posts
500 peserta dijangka hadiri program perkasa komuniti di Dalat pada April
Februari 2, 2026, Isnin - 9:00pm



Rombongan UPMS merakam gambar bersama PPD Daerah Dalat dan agensi berkaitan lain sejurus selepas selesai mesyuarat.

BINTULU: Seramai 500 peserta dijangka akan hadir pada Program Perkasa Komuniti di Dalat yang akan diadakan pada 30 April nanti.

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam kenyataannya berkata, mesyuarat kerjasama penganjuran program telah diadakan dengan jayanya pada 30 Januari lalu (Jumaat) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan kerjasama strategik pelbagai pihak dalam menjayakan pelaksanaan program berimpak kepada pembangunan komuniti setempat merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

"Pada mesyuarat tersebut, pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju secara prinsip bahawa tarikh pelaksanaan program akan diadakan pada tarikh dipersetujui di daerah Dalat," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, lawatan tapak turut diadakan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penganjuran program dengan mengambil kira kapasiti kawasan, aspek keselamatan dan kemudahan sokongan.

Program itu katanya, dijangka akan disertai kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah termasuk komuniti setempat. Antara pengisian program yang dibincangkan termasuk ceramah pendidikan, pameran pendidikan daripada beberapa institusi pengajian tinggi, forum ekonomi desa, pameran dan kursus asas penternakan udang kara dan hidroponik.

Dalam pada itu katanya, turut diadakan ialah aktiviti penjanaan pendapatan komuniti, pemeriksaan kesihatan mental pelajar sekolah, pemeriksaan kesihatan umum, kempen derma darah serta pelbagai aktiviti lain yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.

"Penganjuran program ini dijangka dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti dalam usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat Dalat secara menyeluruh dan mampan," tambahnya.

Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMS Sudirman Asmadi dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Dalat merangkap Ketua Sektor Perancangan, selaku wakil Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Adrian Lang antara yang hadir.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:28 PM | Show all posts
ADUN Samalaju turun padang tinjau projek pembangunan
Februari 3, 2026, Selasa - 8:42am



Majang semasa melawat ke projek ternakan ayam penelur yang dikendalikan oleh ahli JKKK Rumah Unor di Jalan Bintulu-Miri pada Ahad.

BINTULU: Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi mengadakan lawatan ke tiga buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju bagi bertemu rakyat serta meninjau projek pembangunan pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, lawatan pertamanya adalah ke Rumah Unor di Batu 28, Jalan Bintulu-Miri bagi meninjau pelaksanaan projek penternakan ayam penelur yang dikendalikan di bawah Program SejaTi MADANI.

"Projek ini mencerminkan kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang berkenaan dalam melaksanakan serta memperkasa aktiviti ekonomi berasaskan komuniti," jelasnya.

Majang bersama rombongan kemudian meneruskan lawatan ke Rumah Achit di Batu 27, Jalan Bintulu-Miri bagi meninjau program gotong-royong membina anjung rumah panjang tersebut.

Semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan, katanya, amat membanggakan serta wajar diteruskan sebagai asas pembangunan komuniti.

"Inilah semangat yang kerajaan hendak lihat yang mana semua penduduk rumah panjang saling berganding bahu bagi menjalankan kerja yang memberi manfaat serta kemudahan buat seluruh komuniti yang mendiami rumah panjang berkenaan," katanya.

Lawatan seterusnya diteruskan ke Rumah Mamat di Batu 15, Jalan Bintulu-Miri bagi beramah mesra dengan penduduk rumah panjang.

Beliau turut meninjau sendiri perkembangan projek penternakan ayam daging oleh pengusaha yang terlibat dalam projek tersebut.

"Usaha sebegini diharap dapat menjadi contoh dan galakan kepada penduduk lain supaya menceburi aktiviti ekonomi produktif bagi menambah pendapatan keluarga sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:29 PM | Show all posts
Lelaki disyaki curi motosikal ditahan di Marudi
Februari 3, 2026, Selasa - 11:21am

MIRI: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat kes curi sebuah motosikal berhampiran sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini pada 27 Januari lalu berjaya diberkas polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan tangkapan ke atas suspek terbabit yang berusia 43 tahun.

Katanya, pada 27 Januari lalu, seorang pengadu tampil membuat laporan polis dengan mendakwa motosikalnya jenis Honda NF110 yang diletakkan berhampiran sekolah berkenaan telah hilang dipercayai dicuri.

"Bertindak atas maklumat risikan, pada 1 Februari lalu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah menyerbu sebuah kediaman di Marudi dan menangkap suspek serta merampas sebuah motosikal yang dipercayai harta curi.

"Siasatan lanjut mendapati suspek telah menukar warna dan rim motosikal yang dicuri sebelum diberkas polis serta motosikal berkenaan dirampas," katanya.

Menurut Farhan, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk curi, ugutan jenayah serta penyalahgunaan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Ekoran daripada kejayaan menangkap suspek dan merampas semula motosikal yang dilaporkan hilang, kes ini telah berjaya diselesaikan.

"Suspek kini direman sehingga 4 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan," katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan segera maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:30 PM | Show all posts
Wanita PBB Sadong Jaya digesa lebih proaktif sampaikan maklumat bantuan kerajaan
Februari 3, 2026, Selasa - 11:32am



Rodiyah merakam kenangan selepas melakukan simbolik perasmian dengan menanam bunga pada Program Santai Wanita Sadong Jaya Bersama YB Parlimen di Sadong Jaya baru-baru ini.

KUCHING: Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sadong Jaya digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif dan bantuan kerajaan kepada masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Shapiee berkata, peranan itu penting bagi memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada pelbagai program yang telah disediakan.

Menurut beliau, wanita mempunyai kelebihan untuk mendekati komuniti secara langsung melalui aktiviti kemasyarakatan, ziarah dan program santai yang dianjurkan di peringkat akar umbi.

Jelasnya, pendekatan sedemikian menjadikan wanita sebagai ejen penyampai maklumat yang berkesan serta penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Wanita PBB perlu sentiasa turun padang, mendekati komuniti serta menyampaikan penerangan mengenai inisiatif dan bantuan kerajaan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Wanita Sadong Jaya Bersama YB Parlimen di Anjung Kiri Masjid Darul Iman Sadong Jaya, baru-baru ini.

Rodiyah menegaskan peranan wanita bukan sahaja penting dalam penyampaian maklumat, malah dalam memperkukuh jaringan kemasyarakatan di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, penglibatan wanita secara konsisten mampu membantu memastikan pelaksanaan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh.

Pada program tersebut, Rodiyah turut menanam pelbagai jenis bunga hiasan di sekitar kawasan Masjid Darul Iman Sadong Jaya sebagai tanda sokongan terhadap usaha menceriakan persekitaran serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.

Beliau juga menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 12 keluarga memerlukan dari Kampung Jaie, Kampung Bilis dan beberapa kampung sekitar Sadong Jaya sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:32 PM | Show all posts
KOPEKS adakan kunjungan terhadap Masidi
Februari 3, 2026, Selasa - 9:53am



ALBUM: Masidi merakamkan gambar kenangan bersama KOPEKS serta rombongan sejurus selesai mengadakan pertemuan sempena kunjungan itu.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS), di pejabatnya, kelmarin.

Kunjungan itu diketuai Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Buvil Angkui.

Dalam pertemuan itu, Masidi memberi cadangan strategik kepada KOPEKS bagi memperkukuhkan usaha koperasi menjana pendapatan serta meningkatkan keberkesanan operasi.

Beliau menekankan agar koperasi terus memanfaatkan peluang perniagaan sedia ada dan berinovasi dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan ahli serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah.

Pada hari sama, Masidi turut menerima kunjungan daripada Sabah Development Berhad (SDB) yang diketuai Pengerusi SDB, Datuk Dr. Yusof Yacob bersama dengan wakil pengurusan SDB.

Sementara itu, Buvil turut berkesempatan menyampaikan sebuah buku bertajuk 'Competent CEO' hasil tulisan beliau kepada Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang merupakan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Menteri.



SAMPAIKAN: Buvil menyerahkan sebuah buku bertajuk 'Competent CEO' hasil tulisannya kepada Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sempena kunjungan ke pejabatnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-2-2026 01:33 PM | Show all posts
SDB adakan kunjungan terhadap Masidi
Februari 3, 2026, Selasa - 10:00am



KUNJUNGAN: Masidi menerima cenderahati daripada Yusof sambil mengabadikan gambar kenangan bersama rombongan SDB.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan menerima kunjungan hormat daripada Sabah Development Berhad (SDB) di pejabat beliau, kelmarin.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi SDB, Datuk Dr. Yusof Yacob bersama wakil pengurusan diadakan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Masidi menekankan kepentingan tanggungjawab institusi serta keperluan membina asas pengurusan dan perancangan yang kukuh bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, berdaya tahan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.

Beliau turut menyentuh peranan Sabah Development Berhad dalam menyokong usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek yang bukan sahaja berimpak ekonomi, malah berupaya membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Sabah.

Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan hala tuju strategik serta peluang kerjasama merangkumi sektor pelaburan, pembangunan hartanah dan inisiatif ekonomi strategik yang sejajar dengan agenda pembangunan negeri.

SDB menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan profesional, serta memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Pada hari sama, Masidi turut menerima kunjungan daripada Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Berhad (KOPEKS) dan rombongan yang diketuai Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KOPEKS, Buvil Angkui.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:34 PM | Show all posts
ADUN Bingkor santuni pesakit di wad
Februari 3, 2026, Selasa - 10:20am

KENINGAU: Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Mohd Ishak Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor meluangkan masa hujung minggu dengan menziarahi beberapa pesakit di Hospital Keningau.

Sempena lawatan ke hospital, Mohd Ishak menyantuni beberapa penduduk termasuklah warga emas, Dakoh Rangangon dari Kampung Bingkor Baru yang menerima rawatan kecederaan tulang belakang akibat terjatuh.

Beliau turut menyantuni Kumpa @ Karim Ansaroi, bekas pemain bola sepak SAFA Keningau sekitar tahun 80 an yang kini menjalani pemulihan susulan kemalangan, serta Utui Lintau, seorang lagi pesakit dari Kampung Baru Bingkor yang sedang dirawat di wad sama.

Beliau diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Lectus Fung bersama kakitangan Pejabat Wakil Rakyat Bingkor dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor.

Ziarah yang diadakan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan pendekatan kepimpinan yang memilih untuk hadir ketika rakyat tidak kuat berdiri — mendengar keluhan tanpa tergesa, menyampaikan sokongan tanpa janji dan berkongsi beban dalam diam.

Di ruang hospital yang sunyi, kehadiran itu mengingatkan bahawa kepimpinan yang benar tidak diukur melalui kata-kata besar, tetapi melalui kesediaan berkongsi suka duka bersama rakyat — walaupun pada hari yang sepatutnya untuk berehat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:36 PM | Show all posts
Dua sahabat edar dadah ditahan bersama hampir 400 gram syabu
Februari 3, 2026, Selasa - 11:11am



RAMPAS: Dadah yang dirampas semasa penahanan suspek.

KUDAT: Kegiatan dua sahabat yang disyaki bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak kira-kira sebulan lalu terbongkar apabila mereka ditahan bersama hampir 400 gram syabu dalam satu serbuan lewat malam Sabtu.

Operasi kira-kira jam 11.30 malam hasil maklumat awam menyaksikan Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menyerbu sebuah bilik sewa di atas kedai di Pekan Tomburungus sebelum menahan dua lelaki berusia 29 dan 17 tahun di dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh menemukan beberapa bungkusan dadah yang disorok secara licik di beberapa lokasi dalam bilik berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hablur kristal disyaki syabu dengan berat keseluruhan kira-kira 394.16 gram.

“Anggaran nilai rampasan sekitar RM43,357.60 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi.



MOHD HARIS

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit, wang tunai serta sebuah beg galas bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran termasuk punca bekalan dadah yang diperoleh suspek.

“Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Haris mengingatkan orang ramai terutama golongan remaja dan belia supaya menjauhi penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan masa depan serta membawa hukuman berat.

Katanya, polis kekal tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah dadah.

“Orang awam digalak menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2026 01:37 PM | Show all posts
23 PTI warga Filipina ditahan dalam operasi Imigresen di Ranau
Februari 3, 2026, Selasa - 1:10pm



PTI: Sebahagian PTI yang ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.

RANAU: Seramai 23 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini, Isnin lalu.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua individu ditahan hasil pemeriksaan bersepadu membabitkan pegawai Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi dijalankan di satu lokasi tumpuan selepas risikan dan pemantauan mendapati kawasan berkenaan dipercayai menjadi tempat tinggal serta pergerakan warga asing tanpa dokumen sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap 38 individu mendapati seramai 23 orang gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas sah.

“Daripada jumlah berkenaan, 21 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa dikenal pasti sebagai warga Filipina,” katanya.

Katanya, semua PTI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit sah.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 36 akta sama atas kesalahan melanggar syarat imigresen,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan seramai 16 pegawai JIM Negeri Sabah bersama anggota RELA daerah Ranau.

Menurut kenyataan itu lagi, penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang kebanjiran PTI khususnya di kawasan pedalaman dan lokasi berisiko.

Pendekatan itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

JIM Sabah menegaskan tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana majikan atau individu yang melindungi atau menggaji PTI.

Orang ramai digalak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-2-2026 06:44 AM GMT+8 , Processed in 0.174086 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list