SUHAKAM sudah diberi tarikh soal siasat banduan di Penjara Taiping

[size=14.399999618530273px]Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada sidang media selepas merasmikan Program Agensi Kebangsaan (AADK) Bersama Masyarakat dan Peluncuran Kalendar Hari Antidadah 2025 di Kulim, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
[size=14.399999618530273px]
PADANG SERAI: Jabatan Penjara sudah menetapkan tarikh bagi pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyoal siasat seorang banduan berhubung kes kematian tahanan Penjara Taiping dipercayai akibat dipukul, bulan lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Ketua Pengarah Jabatan Penjara sudah menghubungi dua pegawai terbabit untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat. "Dua anggota SUHAKAM sudah dihubungi Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan dalam masa terdekat akan ada pertemuan seperti yang dilapor. "Apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara 'tutup pintu', jawapannya tidak. "Jawatankuasa Pilihan Parlimen, Jawatankuasa Hak Asasi dan Keselamatan telah panggil KDN, kalau KDN nak sembunyi kami tak payah pergi tapi kami pergi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke Program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Masyarakat dan Peluncuran Kalender Hari Antidadah 2025 di sini, hari ini. Saifuddin berkata, Jabatan Penjara memberi kerjasama penuh untuk melakukan siasatan secara teratur. "Polis sudah masuk siasat, Jabatan Penjara bagi kerjasama penuh, kemudian SUHAKAM tulis minta jumpa jadi kita kata kita selesai satu persatu. "Kita tentukan tarikh dan telah maklumkan, saya sendiri sudah dihubungi Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan maklumkan saya akan permudahkan pertemuan itu. "Kalau tujuan kita nak cari kebenaran, kita cari kebenaran. Kalau tujuan untuk membetulkan kelemahan, kita bergerak ke arah itu," katanya. Saifuddin bagaimanapun mempersoal tindakan SUHAKAM membuat kenyataan mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan. "SUHAKAM boleh tunggu tarikh itu tapi dia memilih untuk buat kenyataan, saya harap akhir pertemuan itu SUHAKAM boleh keluar kenyataan sudah diberi kerjasama (Jabatan Penjara), itu lebih cantik dan baru jernih sikit," katanya. Semalam, SUHAKAM mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah. Pada masa sama, SUHAKAM menyuarakan kebimbangan terhadap halangan yang didakwa dihadapi pegawainya ketika menjalankan siasatan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia membabitkan banduan di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu. SUHAKAM mendakwa pihaknya sudah memaklumkan secara rasmi kepada Jabatan Penjara mengenai hasrat merekod keterangan seorang banduan di Pusat Koreksional Batu Gajah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1361665/suhakam-sudah-diberi-tarikh-soal-siasat-banduan-di-penjara-taiping
|