|
|
Wong persoal dakwaan Nga bahawa kerajaan persekutuan telah iktiraf UEC
Februari 1, 2026, Ahad - 6:27pm

Wong mengagihkan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada peniaga dan orang ramai di Pasar Jalan Tiong Hua di Sibu.
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong mempersoalkan dakwaan Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Nga Kor Ming bahawa kerajaan persekutuan telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan Kabinet atau kertas dasar kerajaan pernah dikeluarkan bagi tujuan tersebut.
Beliau mempersoalkan sama ada dakwaan sedemikian merupakan satu bentuk penipuan diri sendiri atau mengelirukan orang ramai.
“Mengulas kenyataan Nga yang dibuat pada satu acara DAP di Perak, di mana Nga berkata; “Asalkan anda menduduki UEC dan lulus dua mata pelajaran SPM, anda boleh masuk UM atau USM. Jika itu bukan pengiktirafan UEC, apa itu?”.
“Jadi, mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah secara peribadi menyatakan bahawa UEC diiktiraf dan mengapa kerajaanp persekutuan tidak pernah membuat sebarang pengumuman rasmi.
“Situasi ini menyerupai perumpamaan ‘orang buta menggambarkan gajah’, di mana pihak-pihak berbeza mentafsir kenyataan Perdana Menteri mengikut kefahaman dan kepentingan masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata pemimpin Dong Zong dan Jiao Zong telah menjelaskan selepas pertemuan dengan Menteri Pendidikan baru-baru ini bahawa perbincangan tersebut bukan mengenai pengiktirafan UEC, sebaliknya berkaitan laluan ‘UEC + dua mata pelajaran SPM’ bagi permohonan ke universiti awam.
Ini tegas Wong, hanyalah satu pengaturan teknikal dan bukannya reformasi sistemik.
Beliau menegaskan bahawa pengaturan ‘UEC + dua mata pelajaran’ tersebut pada hakikatnya hanyalah satu langkah pentadbiran peralihan yang membolehkan pelajar sekolah menengah persendirian Cina memohon ke universiti awam menggunakan keputusan UEC mereka, dengan tambahan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
Justeru tegasnya, pengaturan itu berbeza secara asas daripada janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk mengiktiraf UEC.
“Kita mesti jelas, apa yang dijanjikan kepada masyarakat Cina ialah pengiktirafan UEC, bukannya situasi di mana pelajar diberitahu supaya ‘menduduki dua mata pelajaran lagi sebelum dibenarkan memohon’.
“Kedua-dua pendekatan ini berbeza sama sekali dari segi status undang-undang, jaminan institusi dan maruah yang diberikan kepada pelajar. Menyamakan ‘kebenaran untuk memohon’ dengan ‘pengiktirafan sesuatu kelayakan’ pada hakikatnya merendahkan komitmen politik.
“Dakwaan Nga Kor Ming langsung tidak dapat dipertahankan dari sudut perundangan atau institusi. Menggambarkan satu pengaturan peralihan sebagai pengiktirafan penuh adalah satu kes penggantian konsep yang jelas,” katanya.
Wong menegaskan bahawa sebarang dasar pendidikan yang memberi kesan kepada masa depan pelajar tidak boleh disempurnakan hanya melalui pengisytiharan lisan ‘kami mengiktirafnya’.
Beliau menambah, tanpa asas undang-undang yang jelas dan prosedur pentadbiran, pengiktirafan sedemikian hanyalah satu isyarat politik yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Beliau merujuk kepada contoh program ijazah pergigian di Taiwan, dengan menyatakan bahawa walaupun Kerajaan Malaysia mengumumkan pengiktirafan seawal 1996, tujuh program pergigian Taiwan kemudiannya didapati telah ‘digugurkan’ daripada senarai pengiktirafan di bawah Akta Pergigian 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019.
“Ini kerana program-program tersebut tidak pernah diwartakan secara rasmi di bawah Jadual Kedua Akta Pergigian 1971, sekali gus meletakkannya dalam kawasan kelabu ‘pengiktirafan tidak formal’.
“Ini adalah satu pengajaran yang wajar diambil serius dalam isu UEC,” katanya.
Wong menambah, jika Nga berkeras mengatakan kerajaan telah mengiktiraf UEC, beliau sepatutnya segera menuntut Kabinet mengeluarkan pengumuman rasmi dan membentangkan kertas dasar yang memperincikan garis masa, pindaan undang-undang yang dicadangkan, mekanisme penanda aras akademik serta syarat pengambilan perkhidmatan awam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Wong yang juga Penolong Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP Pusat berkata, pengiktirafan UEC sekurang-kurangnya memerlukan pindaan atau kebenaran yang jelas di bawah tiga undang-undang utama.
“Pertama, ialah Akta Pendidikan 1996, yang pada masa ini tidak menyenaraikan UEC sebagai peperiksaan atau kelayakan menengah yang diiktiraf secara nasional.
“Tanpa pindaan atau kuasa undang-undang yang jelas untuk Menteri Pendidikan mengiktiraf UEC, sebarang pengiktirafan hanyalah budi bicara pentadbiran dan bukannya hak berkanun.
“Kedua ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 197. Kriteria kemasukan ke universiti awam ditadbir oleh perundangan dan statut universiti dan tidak boleh ditentukan secara kekal hanya melalui kenyataan menteri.
“Tanpa pindaan, pemegang UEC yang diterima masuk akan terus berada di bawah pengaturan ‘kelulusan khas’ atau ‘kes demi kes’ dan bukannya menikmati jaminan institusi.
“Ketiga, ialah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta MQA) yang sering terlepas pandang tetapi amat penting. Program universiti awam dan kelayakan kemasukan mesti selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Jika UEC tidak dimasukkan ke dalam mekanisme kesetaraan dan penanda aras, ia akan terus tertakluk kepada penilaian dalaman universiti dan bukannya pengiktirafan nasional.
“Pengiktirafan yang tidak termaktub dalam undang-undang tidak lebih daripada sandiwara politik. Penerimaan tanpa perlindungan institusi hanyalah kelonggaran sementara,” katanya.
Wong menambah bahawa walaupun di peringkat pentadbiran, kerajaan masih belum mengambil langkah prosedur paling asas, termasuk keputusan dasar Kabinet secara rasmi, pekeliling kemasukan yang mengikat secara undang-undang daripada Kementerian Pendidikan serta pindaan seragam kepada statut universiti awam.
“Semuanya masih berbentuk lisan. Tiada hitam putih, tiada pekeliling sebenar. Akibatnya, permohonan mungkin dibenarkan tahun ini tetapi tidak dibenarkan tahun depan, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang menjadi menteri,” jelasnya.
Beliau membandingkan keadaan ini dengan dasar pendidikan lain di bawah pimpinan Pakatan Harapan seperti isu kasut sekolah putih ke hitam atau umur kemasukan sekolah yang diumumkan atau dilaksanakan, kemudian ditarik balik atau diubah dengan pantas.
Namun katanya, UEC secara konsisten diketepikan daripada agenda keutamaan Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan PH.
“Ada dasar yang boleh diubah dalam sekelip mata. Ada keputusan yang dilaksanakan dahulu dan dijelaskan kemudian. Tetapi mengenai UEC, penjelasan yang mencukupi pun tidak ada,” ujarnya.
Wong berkata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sepatutnya berasa malu dengan dakwaan bahawa pelajar UEC sudah ‘berdiri di pintu universiti’, kerana pelajar sekolah persendirian Cina telah lama berdiri di pintu tersebut tanpa dapat memasukinya.
Wong tidak menolak kemungkinan bahawa isu UEC akan sengaja dilengah-lengahkan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, untuk sekali lagi digunakan sebagai alat mobilisasi politik.
“Jika ramalan saya salah, ia akan menjadi berita yang amat baik kepada masyarakat Cina dan sekolah persendirian.
“Jika saya betul, maka masyarakat Cina harus bertindak tegas seperti yang dilakukan dalam pilihan raya negeri Sabah, bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada DAP,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua gereja di Miri terima bantuan dana rumah ibadat RM139,000
Februari 1, 2026, Ahad - 6:43pm

Ting menyerahkan dana bantuan kepada wakil Gereja Full Gospel Sarawak Cawangan Miri.
MIRI: Dua gereja di sini menerima Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain berjumlah RM139,000 daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting.
Penerima ialah Gereja Full Gospel Sarawak Cawangan Miri sebanyak RM90,000 dan BEM Daerah Miri sebanyak RM49,000.
Ia merupakan dana bantuan untuk tahun 2025 Fasa Keempat.
Untuk Gereja Full Gospel, dana adalah untuk menaik taraf sistem audio, skrin LED, penstriman langsung dan sistem penyiaran.
Sementara untuk BEM Daerah Miri, dana untuk memohon kelengkapan pejabat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM1.2 juta geran MRP 2025 diserah kepada 95 penerima di Satok
Februari 1, 2026, Ahad - 6:48pm

Ibrahim merakam kenangan bersama sebahagian penerima pada Majlis Penyampaian Dana MRP DUN Satok di Dewan Anak Seni Kampung Bandarshah hari ini.
KUCHING: Sejumlah RM1.2 juta geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2025 diserahkan kepada 95 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, kata Datuk Ibrahim Baki.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) itu berkata, penerima geran berkenaan melibatkan pelbagai pertubuhan termasuk persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab, jawatankuasa masjid dan surau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Menurut beliau, penyaluran geran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam membangunkan masyarakat setempat termasuk di kawasan Satok.
“Alhamdulillah hari ini kita akan menyaksikan seramai 95 penerima akan menerima geran MRP untuk kawasan DUN Satok.
“Geran ini sebenarnya daripada MRP penghujung tahun 2025 dengan melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM1.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dana MRP DUN Satok di Dewan Anak Seni Kampung Bandarshah di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan berterusan yang diberikan kepadanya dalam membangunkan kawasan tersebut.
Beliau turut menjangkakan peruntukan MRP akan ditingkatkan pada tahun 2026, selari dengan komitmen kerajaan memperkukuh peranan persatuan dan organisasi komuniti sebagai rakan strategik pembangunan.
“Khidmat kita adalah satu perjuangan yang murni, bukan untuk diri sendiri tetapi demi rakyat. Setiap amanah yang dipikul datang bersama tanggungjawab,” ujarnya.
Tambahnya, keutamaan diberikan kepada persatuan dan NGO kerana memahami keperluan peruntukan bagi melaksanakan aktiviti serta operasi, berdasarkan pengalamannya sendiri dalam gerakan pertubuhan sebelum ini.
“Untuk meneruskan aktiviti yang dirancang, sokongan kewangan amat diperlukan. Sebab itu saya memberi keutamaan kepada semua persatuan yang aktif dan berfungsi di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berharap semua penerima geran dapat memanfaatkan peruntukan tersebut sebaiknya demi kesejahteraan komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bangunan kedai tempatkan premis makanan terbakar
Februari 1, 2026, Ahad - 7:21pm
MIRI: Sebuah bangunan kedai dua tingkat yang menempatkan sebuah premis makanan di Jalan China di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi, yang turut mengakibatkan seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Miri selepas diserang sakit jantung.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 4.02 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 4.05 pagi dan operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai dua tingkat dengan bahagian atas menempatkan bilik sewa berstruktur tidak kekal yang musnah terbakar sepenuhnya.
“Keluasan anggaran bangunan kedai adalah 40 x 80 kaki persegi dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.34 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.24 pagi,” katanya.
Beliau berkata, seorang mangsa lelaki ditemui dalam keadaan sedar namun mengalami serangan jantung sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua nozel serta satu aliran salur bantu mula, diikuti kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada punca kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.
Seramai 14 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit EMRS.
Pasukan polis dan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) turut berada di lokasi bagi membantu kelancaran operasi dan keselamatan kawasan.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Taman Botani Sarawak tarikan baharu
Februari 1, 2026, Ahad - 8:00pm
Tawar ruang rekreasi kepada penduduk tempatan, pelancong menikmati keindahan biodiversiti Sarawak

Abang Johari menyiram anak pokok yang ditanamnya di Taman Botani Sarawak sambil diperhatikan yang lain. - Gambar Penerangan
KUCHING: Pembangunan Taman Botani Sarawak dan Heritage Trail sehingga ke Reservoir bakal menjadi antara tarikan utama baharu di bandar raya Kuching sekali gus menawarkan ruang rekreasi kepada penduduk tempatan dan pelancong luar menikmati keindahan biodiversiti Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, projek itu merangkumi dua komponen utama iaitu Taman Botani serta laluan Heritage Trail yang akan dilengkapi dengan elemen tanaman seperti buluh, pisang dan pelbagai spesies pokok buah-buahan tropika.
“Kedua-dua komponen ini akan dilengkapi dengan tarikan biodiversiti dan tanaman tempatan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat serta pelancong menikmati keunikan yang terdapat di Sarawak,” katanya kepada media selepas menyertai program 'Walk For Health' di Taman Bontani Sarawak pagi tadi.
Antara yang hadir ke program anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) itu ialah anak Premier Dayang Norjihan, dua timbalan beliau Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzhuki, beberapa timbalan menteri dan ketua-ketua pelbagai jabatan Kerajaan Sarawak.
Tambah Abang Johari, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi bandar rendah karbon dan pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar khususnya dalam menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang mesra alam dan mampan.
“Bandar raya Kuching sebagai ibu negeri mempunyai semua kelengkapan yang berkaitan dengan konsep rendah karbon dan bandar pintar.
"Sekarang kita sudah mula melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk dari sudut penyelenggaraan kawasan,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa badan berkaitan seperti Pusat Kajian Biodiversiti dan Jabatan Hutan Sarawak akan terlibat aktif dalam pengurusan serta penyelenggaraan hingga menjangkau ke Muzium Garden dan Pusat Persembahan Seni.
Beliau berkata, pembangunan Pusat Seni Persembahan turut menunjukkan peningkatan dari sudut aktiviti seni persembahan termasuk penganjuran persembahan orchestra bersama Jepun yang menerima sambutan menggalakkan.
“Ini menunjukkan kitaberpotensi menarik persembahan antarabangsa seperti teater dan muzikal apabila kemudahan seni persembahan siap sepenuhnya... peminat dari luar negara akan datang, sekali gus merancakkan pelancongan negeri,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan infrastruktur seni persembahan itu mengambil inspirasi daripada Royal Albert Hall, London sebagai model bagi menjadikan Kuching sebagai hab persembahan bertaraf antarabangsa.
Menyentuh mengenai perkembangan syarikat penerbangan AirBorneo, Premier Abang Johari berkata operasi pesawat jet dijangka bermula selepas Julai nanti yang akan menghubungkan Kuching dengan beberapa destinasi antarabangsa.
“Dengan pesawat ini, kita akan menghubungkan Kuching ke destinasi luar negara seperti Jepun, Korea dan negara-negara ASEAN termasuk laluan Borneo seperti Balikpapan, Samarinda dan Pontianak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam sektor pelancongan perubatan di Sarawak yang mendorong kerajaan menyokong pelaburan dalam pembangunan hospital swasta.
“Pelancongan perubatan kita meningkat dengan sangat tinggi. Sebab itu kita ada pelaburan baharu untuk membangunkan hospital swasta seperti Gleneagle Hospital di Batu Lintang, projek di Northbank Tabuan serta perluasan Borneo Medical Centre,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penjawat awam negeri bakal menikmati waran perjalanan yang akan disediakan oleh AirBorneo yang akan dimuktamadkan selepas Julai tahun ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas jatuh sungai di Daro
Februari 1, 2026, Ahad - 9:21pm
DARO: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Panchor, di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 2.28 petang.
“Menurut komander operasi, kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun itu dikatakan jenis yang aktif telah keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari oleh kedua-dua ibu bapanya.
“Bapa kanak-kanak tersebut menemui kesan tapak kaki anaknya menuju ke sungai sekitar jam 1 petang tadi sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba,” ujarnya menerusi kenyataan.
Katanya pihak bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pencarian di sekitar tebing sungai serta hutan di belakang rumah pelapor dalam radius 500 meter.
“Pencarian turut dibantu oleh penduduk kampung menggunakan perahu ke hulu dan hilir dengan menyusuri Sungai Daro.
“Sehingga jam 6 petang, komander operasi lapor, operasi ditangguhkan dan akan disambung keesokan hari (Isnin),” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
195 individu ditahan, lebih 13 kg dadah dirampas di Sibu bulan lepas
Februari 1, 2026, Ahad - 9:27pm

SIBU: Seramai 195 individu ditahan manakala sebanyak 13,508.84 gram pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM299,392.62 dirampas sepanjang pelaksanaan Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan dari 1 hingga 31 Januari 2026.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya menahan lima individu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga individu di bawah Seksyen 39A(2) serta 11 individu di bawah Seksyen 39A(1) sepanjang operasi tersebut.
Selain itu katanya, seramai 23 individu ditahan di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952, 152 penagih dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 serta seorang individu di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1952.
“Seramai 14 warga asing turut ditahan sepanjang operasi berkenaan. Jumlah keseluruhan tangkapan dalam operasi ini adalah seramai 195 orang dengan rampasan dadah sebanyak 13,508.84 gram pelbagai jenis bernilai RM299,392.62,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam tempoh sama, Zulkipli berkata, seramai 56 individu didakwa di mahkamah, lima orang di bawah Seksyen 39B ADB 1952, tiga orang di bawah Seksyen 39A(2), 11 orang di bawah Seksyen 39A(1), 23 orang di bawah Seksyen 12(3) serta sembilan warga asing di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222 JSJN Bukit Aman atau 017-5922211 JSJN Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Teresang Dayak Sarawak santuni pesakit angin ahmar di Kanowit
Februari 2, 2026, Isnin - 8:09am

Nevin (tiga kiri) bersama rombongannya ketika menyerahkan sumbangan kepada Richie (tiga kanan).
KANOWIT: Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) tampil menghulurkan bantuan kebajikan kepada seorang pesakit angin ahmar Richie Ningkan, 30, dalam satu kunjungan prihatin di Rumah Hini, Batu 14, Jalan KJD, di sini pada Ahad.
Dalam lawatan berkenaan, persatuan tersebut telah menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung oleh Richie dan keluarganya, memandangkan beliau masih belum berupaya untuk bekerja akibat masalah kesihatan yang dialami.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Teresang Dayak Sarawak Bahagian Kanowit Nevin Achut bersama beberapa ahli persatuan.

Nevin (dua kanan) bersama rombongannya ketika menyerahkan sumbangan kepada Robojeli (tiga kanan).
Sementara itu, Nevin dan rombongan turut menzahirkan rasa simpati dengan menyerahkan sumbangan kebajikan kepada keluarga mendiang Gerardo Dyah Robojeli, 2, di pusat pengurusan mayat di sini.
Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada 30 Januari lalu akibat jangkitan virus Influenza A.
Menurut Nevin, sumbangan yang disampaikan kepada bapa mendiang Robojeli Peter adalah berupa barangan makanan keperluan bagi kegunaan upacara ‘nyengaie’, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keluarga yang sedang berduka.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat sedikit sebanyak membantu meringankan urusan keluarga serta mencerminkan semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ling ingatkan orang ramai tidak abai tanggungjawab jaga kesihatan
Februari 2, 2026, Isnin - 8:24am

Ling (berdiri tengah) merakamkan kenangan kepada pihak yang menjayakan Program 'Jaga Kesihatan Anda — Pemeriksaan Percuma' di Sibu pada Ahad.
SIBU: Lebih separuh rakyat Malaysia kini berdepan masalah obesiti yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, paras gula tinggi dan kolesterol tinggi, kata Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program 'Jaga Kesihatan Anda — Pemeriksaan Percuma' yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat P.212 Sibu dengan kerjasama Persatuan Bidan Sarawak di Gereja Methodist Chiew Cho, Ulu Sungai Merah di sini pada Ahad.
Menurut Ling, data pemeriksaan yang dikendalikan oleh Persatuan Bidan Sarawak menunjukkan daripada 113 peserta yang hadir menjalani pemeriksaan kesihatan, seramai 42 orang didapati mempunyai masalah berkaitan tekanan darah, paras gula darah dan kolesterol, manakala 71 orang lagi mencatatkan keputusan dalam julat yang ideal.
"Masalah obesiti ini berkait secara langsung dengan apa yang sering disebut sebagai ‘tiga serangkai’, iaitu tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan paras gula tinggi.
"Jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan yang serius," jelasnya.

Ling (kanan) sedang memeriksa gula dalam darahnya pada Program 'Jaga Kesihatan Anda — Pemeriksaan Percuma' di Sibu pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan peserta yang memperoleh keputusan pemeriksaan kurang memuaskan supaya mengamalkan gaya hidup lebih sihat, termasuk bersenam secara konsisten serta mengurangkan pengambilan makanan bertepung, bergula, makanan manis dan makanan bergoreng.
Dalam program tersebut, seramai 20 orang wanita turut menjalani ujian pap smear bagi saringan awal kanser serviks.
Program itu berjaya menarik kehadiran ahli gereja serta penduduk dari kawasan perumahan sekitar Ulu Sungai Merah dan Nang Sang.
Ling menegaskan bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada rawatan perubatan apabila jatuh sakit.
“Kita berharap program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan penjagaan kesihatan sejak awal,” ujarnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan pada Program 'Jaga Kesihatan Anda — Pemeriksaan Percuma' di Sibu pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 12 orang jururawat daripada Persatuan Bidan Sarawak atas khidmat profesional yang diberikan serta mengucapkan terima kasih kepada pihak Gereja Methodist Chiew Cho kerana menyediakan lokasi bagi menjayakan program berkenaan.
Program pemeriksaan kesihatan percuma itu merangkumi ujian pap smear, pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah dan kolesterol, dan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi demi manfaat komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Nenek, cucu rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Bintulu
Februari 2, 2026, Isnin - 8:58am
BINTULU: Seorang nenek dan cucu lelakinya ditemui rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu di sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Taun Nyaring, 61, dan Melbourne Jeasy, 15, dijumpai pada jam 4.20 pagi di lokasi kebakaran.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.10 pagi sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ke lokasi.
"Kebakaran itu melibatkan satu blok rumah pekerja dua tingkat yang terdiri daripada 31 pintu yang musnah sepenuhnya," katanya sambil menambah, kebakaran itu turut menjejaskan empat motosikal.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran air dan dua nozel, dengan sumber air diperoleh daripada sumber terbuka iaitu sungai berdekatan.
Setelah bertungkus-lumus memadam kebakaran selama lebih tiga jam, api akhirnya berjaya dikawal sekitar jam 4.20 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kempen Derma Angpau Tahun Baharu Cina STM Lottery membawa keceriaan kepada warga emas di Miri
Februari 2, 2026, Isnin - 12:53pm

Kempen Derma diadakan di Che Sing Khor Moral Uplifting Society di Miri.
MIRI: Dalam semangat sambutan Tahun Baharu Cina, STM Lottery Sdn Bhd hari ini meneruskan Kempen Derma Ang Pow Tahun Baharu Cina tahunannya, membawa kegembiraan perayaan serta sokongan kepada 250 warga emas yang memerlukan dalam komuniti setempat.
Acara yang diadakan di Che Sing Khor Moral Uplifting Society di Jalan Jee Foh di sini memastikan warga emas kurang berkemampuan berusia 60 tahun ke atas tidak tercicir daripada menikmati musim perayaan, di samping memupuk semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam komuniti.
Menurut pegawai pemasaran Miri STM Lottery, Ting Sing Luke, Miri merupakan antara 50 lokasi yang dipilih di seluruh negara bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan ini.
“Melalui inisiatif ini, syarikat berhasrat memastikan warga emas kurang berkemampuan dapat menyambut musim perayaan dengan penuh kebahagiaan,” katanya.

Acara ini memastikan warga emas kurang berkemampuan berusia 60 tahun ke atas tidak tercicir semasa musim perayaan.
Pada majlis pengagihan hari ini (2 Feb), setiap penerima menerima angpau, hamper mini perayaan serta buah limau mandarin, yang melambangkan niat baik STM Lottery serta ucapan selamat untuk kesihatan, kemakmuran dan kebahagiaan sempena Tahun Baharu Cina.
Beliau menambah bahawa kempen derma tahun ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 19,680 warga emas yang memerlukan di seluruh negara.
Ting menambah program 'Helping Hands STM Lottery' telah memperuntukkan kira-kira RM1.53 juta bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan ini.
Kempen Derma Angpau Tahun Baharu Cina merupakan antara program komuniti STM Lottery yang paling lama dijalankan dan mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR), serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Melalui kempen ini, STM Lottery terus memainkan peranan aktif dalam menyokong kelestarian sosial dengan mendekati komuniti rentan, khususnya warga emas kurang berkemampuan yang mungkin terpinggir semasa musim perayaan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah penolong pengurus wilayah Sarawak STM Lottery Henry Liew, serta pengurus besar kanan Lee Tet Shun — yang menyampaikan angpau dan buah tangan kepada para penerima warga emas.

Pengurus besar kanan STM Lottery, Lee Tet Shun (kanan), menyampaikan angpau kepada seorang penerima.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPM Daerah Belaga anjur gotong-royong bersih Masjid Daerah Belaga
Februari 2, 2026, Isnin - 2:24pm

Kiprawi (barisan belakang, berdiri tiga kanan) merakam kenangan dengan agensi, jawatankuasa serta yang terlibat dalam gotong-royong tersebut di Belaga.
BELAGA: Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JPM) Daerah Belaga semalam telah menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan Masjid Daerah Belaga yang baru siap dibina, termasuk kawasan persekitarannya, sebagai persiapan menjelang majlis pembukaan awal yang dijadualkan berlangsung pada 5 Februari ini.
Program tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan apabila disertai oleh penduduk dari Kampung Melayu, Jalan Awang Sutoh serta Kampung Hijrah Jaya, Jalan Awang Aris, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat setempat terhadap kemudahan ibadah baharu itu.
Pelbagai juadah turut disediakan secara bergotong-royong oleh para peserta, antaranya nasi lemak, nasi goreng, mi, kuih-muih serta minuman untuk jamuan bersama selepas aktiviti pembersihan selesai.
Turut hadir menjayakan program itu ialah wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, guru-guru dari sekolah sekitar, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) Daerah Belaga serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Belaga yang hadir bersama ketua dan wakil masing-masing.
Hadir sama pada program tersebut ialah Penghulu Abu Talip Mokhtar, Pengerusi JPM Daerah Belaga Kiprawi Mohd Mokhtar serta Timbalan Pengerusi JPM Daerah Belaga Awang Baim Awang Ahmad.
Menurut penganjur, aktiviti gotong-royong ini bukan sahaja bertujuan memastikan kebersihan dan keselesaan masjid sebelum pembukaannya, malah berperanan sebagai medium untuk memperkukuh semangat perpaduan, muafakat dan ukhuwah antara penduduk setempat serta agensi-agensi terlibat.
Sehubungan itu, JPM Daerah Belaga berharap semangat kerjasama yang ditunjukkan akan terus diperkasakan bagi memakmurkan Masjid Daerah Belaga sebagai pusat ibadah serta penyatuan ummah di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan JPM Daerah Belaga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir serta menyumbang juadah dan tenaga bagi menjayakan program tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penjaja kuih maut dalam kejadian langgar lari
Februari 2, 2026, Isnin - 2:33pm
KUCHING: Seorang wanita yang merupakan penjaja kuih di tepi jalan maut dalam kemalangan langgar lari membabitkan dua kenderaan di Jalan Puncak Borneo berhampiran Kampung Bratan, dekat sini, hari ini
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz berkata kejadian dipercayai berlaku jam 7.20 pagi ketika mangsa sedang memasuki kenderaannya yang dipakir di tepi jalan.
"Siasatan awal kemalangan berlaku semasa mangsa sedang memasuki kenderaannya yang parkir di tepi jalan telah dilangagr dari arah belakang. Pemandu yang melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Perodua warna perak (silver) telah melarikan diri.
"Akibat kemalangan itu, mangsa seorang wanita tempatan berusia 37 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan akhbar.
Beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan memohon orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut agar menghubungi pengawai penyiasat trafik Inspektor Abang Azizil Fansuri Abang Abdullah di talian 014- 8677853 bagi membantu siasatan.
Kes itu tambahnya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PKTMS salur bantuan keperluan asas, wang tunai kepada keluarga Bundak
Februari 2, 2026, Isnin - 2:51pm

Sabree (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga mendiang Bundak di Lubok Antu pada Sabtu.
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (PKTMS) yang juga dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Terabai Menua Cawangan Lubok Antu telah menyalurkan bantuan keperluan asas serta sumbangan wang tunai kepada keluarga mendiang Bundak Bayang di Rumah Entirong, Nanga Tutong, Lubok Antu pada Sabtu.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh wakil cawangan persatuan Sabree Jawie, sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga yang ditinggalkan selepas pemergian mendiang.
Menurut PKTMS, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban keluarga berkenaan dalam menghadapi tempoh sukar, khususnya dari segi keperluan harian.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan persatuan dalam membantu golongan memerlukan, terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar di kawasan Lubok Antu.
Persatuan berharap sumbangan yang disalurkan dapat memberikan sedikit kelegaan serta sokongan moral kepada keluarga mendiang dalam meneruskan kehidupan seharian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JHS dan SEB anjur program penanaman pokok di Rizab Hutan Sabal
Februari 2, 2026, Isnin - 3:02pm

Antara peserta SEB yang terlibat dalam Program Penanaman Pokok Bersama 2026 di Rizab Hutan Sabal baru-baru ini.
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) baru-baru ini menganjurkan Program Penanaman Pokok Bersama 2026 di Rizab Hutan Sabal, Simunjan.
Menurut kenyataan JHS, seramai 100 peserta yang terdiri daripada pegawai kedua-dua organisasi serta ahli komuniti setempat telah menyertai program berkenaan.
"Sepanjang program, 1,000 anak pokok spesies asli hutan termasuk meranti, kapur dan lun telah berjaya ditanam.
"Aktiviti ini bertujuan menyokong usaha pemulihan hutan, meningkatkan kesedaran alam sekitar dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam pengurusan hutan yang lestari," katanya dalam kenyataan tersebut.
Program itu juga menandakan permulaan rangkaian aktiviti penanaman pokok dan pemulihan hutan bersama yang akan dijalankan oleh JHS dan SEB sepanjang 2026.
Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada Kempen 10 Tahun Penanaman, Perlindungan dan Pemuliharaan Habitat (2021–2030), yang mencerminkan komitmen jangka panjang SEB terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.
Inisiatif itu tambahnya juga menyokong pelaksanaan Kempen Menghijau Sarawak, usaha utama di peringkat negeri untuk meningkatkan liputan hutan, memulihkan landskap terdegradasi dan memperkukuhkan daya tahan iklim melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang diterajui oleh JHS.
Melalui perkongsian strategik itu, JHS dan SEB akan terus bekerjasama dengan komuniti setempat bagi memajukan usaha pemulihan landskap hutan serta menyumbang kepada pengurusan dan pemuliharaan sumber hutan Sarawak secara lestari.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak perlukan modal insan mampu berinovasi
Februari 2, 2026, Isnin - 4:03pm
Ia bagi merealisasikan aspirasi negeri berpendapatan tinggi dan ekonomi digital menjelang 2030, kata Dr Annuar

Dr Cheong ketika mengunjungi reruai Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 sempena Hari Demo Digital Village Accelerator (DiVA) Kohort 4 dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) Kohort 1 hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Sarawak memerlukan modal insan yang mampu berinovasi bagi merealisasikan aspirasi negeri berpendapatan tinggi dan ekonomi digital menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata, keperluan itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID 2030 (PCDS2030) serta Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang meletakkan digitalisasi, inovasi dan pembangunan bakat sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri.
“Inovasi merupakan asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran jangka panjang.
“Untuk mencapai aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan dipacu digital menjelang 2030, kita memerlukan lebih daripada sekadar infrastruktur dan pelaburan.
“Kita juga perlukan modal insan yang mampu berinovasi, menyesuaikan diri serta mencipta nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan oleh Ketua Bahagian Inovasi MEITD Dr Cheong Yaw Liang semasa Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 sempena Hari Demo Digital Village Accelerator (DiVA) Kohort 4 dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) Kohort 1 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Annuar berkata, inovasi merupakan pemacu utama dalam ketiga-tiga dimensi pertumbuhan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Ini kerana ia membolehkan penciptaan pekerjaan lebih baik, membina industri lebih tahan lasak, meningkatkan perkhidmatan awam serta membangunkan penyelesaian yang berdaya ekonomi dan memberi impak sosial.
“Oleh sebab itu, pendidikan hari ini tidak lagi terhad kepada bilik darjah sahaja. Ia mesti terkait dengan industri, cabaran sebenar dan peluang pengkomersialan,” katanya.
Menurutnya, bakat muda perlu didedahkan sejak awal kepada penyelesaian masalah, pemikiran kritikal, inovasi dan keusahawanan supaya bersedia menghadapi realiti ekonomi digital yang berkembang pesat.
“Saya yakin inovasi mesti dipupuk sejak awal, disokong secara konsisten dan dibimbing untuk mencapai hasil ekonomi sebenar,” ujarnya.
Sehubungan itu Dr Annuar berkata, program DiVA dan SaSAR membantu peserta berkembang bukan sahaja sebagai usahawan tetapi juga sebagai pemimpin melalui bimbingan mentor, perspektif industri dan penglibatan ekosistem.
“Daripada perspektif kementerian, program ini amat penting kerana ia melengkapkan pendidikan formal dengan laluan praktikal untuk inovasi, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat,” kata beliau.
Beliau menambah, DiVA dan SaSAR bukan sekadar program pemecut tetapi pemangkin strategik agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
“Dengan menyokong syarikat pemula peringkat awal, program ini membantu membina kapasiti inovasi tempatan, menggalakkan penerimaan teknologi dalam pelbagai sektor dan mengukuhkan laluan pengkomersialan.
“Ini secara langsung menyumbang kepada matlamat PCDS2030 untuk menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
“Fokus SaSAR terhadap penyelesaian digital berskala dan berasaskan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) sejajar dengan objektif Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak untuk menjadikan Sarawak hab serantau bagi inovasi digital dan penyelesaian perusahaan,” jelas beliau.
Melalui bimbingan terstruktur, penglibatan ekosistem dan pendedahan pasaran katanya, para pengasas lebih bersedia mengembangkan penyelesaian mereka ke luar Sarawak, membuka laluan ke pasaran serantau dan global selain terus mengekalkan penciptaan nilai dalam negeri.
“Pendekatan ini akan memastikan Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi digital, tetapi juga secara aktif mencipta, memiliki dan mengeksport inovasi, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi dan daya saing jangka panjang negeri,” kata Dr Annuar lagi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Dato Sudarnoto Osman serta tetamu kehormat lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
DiVA, SaSAR berperanan penting perkukuh ekosistem permulaan digital di Sarawak
Februari 2, 2026, Isnin - 4:09pm

Sudarnoto ketika berucap pada Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 sempena Hari Demo Digital Village Accelerator (DiVA) Kohort 4 dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) Kohort 1 hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Program Digital Village Accelerator (DiVA) dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) berperanan penting dalam memperkukuh ekosistem permulaan digital di Sarawak sekali gus melahirkan pengasas atau usahawan yang mampu bersaing di peringkat negeri dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Dato Sudarnoto Osman berkata, kedua-dua program ini menunjukkan komitmen jangka panjang Sarawak dalam membina syarikat digital yang berdaya tahan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS2030)dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.
“Hari ini bukan sekadar pembentangan idea tetapi tentang kemajuan dari segi usaha, disiplin dan ketahanan yang ditunjukkan pengasas sepanjang beberapa bulan lalu serta potensi mereka pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 sempena Hari Demo Digital Village Accelerator (DiVA) Kohort 4 dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) Kohort 1 di sini, hari ini.
Menurut Sudarnoto, peranan SDEC melangkaui galakan penggunaan teknologi, dengan fokus membantu pengasas membina syarikat yang menjana nilai, mewujudkan pekerjaan dan bersaing di pasaran melebihi Sarawak.
Bagi DiVA yang kini memasuki kohort keempat, Sudarnoto berkata, program tersebut menghasilkan hasil nyata melalui bimbingan intensif dalam kesesuaian produk-pasaran, inovasi model perniagaan, penjenamaan, pemasaran, pembentangan dan perlindungan harta intelek.
“Para pengasas dicabar untuk berfikir secara lebih kritikal, mengemukakan soalan yang lebih sukar dan menajamkan hala tuju mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, tiga syarikat permula daripada kohort ini berjaya ke peringkat akhir Startup World Cup 2025 manakala Maxeon Technologies dan Stinablis mewakili Sarawak di Startup World Cup Kuching Chapter Final, menunjukkan kekuatan dan kredibiliti pipeline DiVA.
Manankala bagi SaSAR yang kini memasuki kohort pertama, Sudarnoto menggambarkannya sebagai satu pencapaian penting sebagai pecutan Software-as-a-Service (SaaS) pertama di Sarawak, dilaksanakan dengan kerjasama AWS dan NEXEA.
Beliau berkata, program itu menerima lebih 200 permohonan di seluruh negara, dengan 22 syarikat berpotensi tinggi dipilih selepas proses yang telus dan ketat.
“Syarikat yang terpilih beroperasi dalam bidang termasuk kecerdasan buatan, logistik, teknologi kesihatan, perisian perusahaan dan platform digital,” ujarnya.
Menurutnya, maklum balas daripada peserta mencatatkan kadar kepuasan melebihi 90 peratus, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap struktur program, relevansi kandungan dan kualiti mentor.
“Ini memberi keyakinan bahawa SaSAR meletakkan asas kukuh ketika kita bergerak ke fasa seterusnya, di mana fokus akan diberikan kepada pelaksanaan pertumbuhan, perkembangan bimbingan dan kesiapsiagaan pelaburan,” katanya.
Sudarnoto menekankan bahawa DiVA dan SaSAR direka untuk menyediakan sokongan yang tepat pada masanya dan tersusun melalui bimbingan, akses ekosistem, pendedahan pasaran dan penglibatan pelabur.
“Lebih penting, program ini menghantar mesej jelas iaitu Sarawak percaya kepada usahawan tempatan dan komited untuk menyokong mereka yang bersedia membina dan mengembangkan syarikat dari sini,” katanya.
Sehubungan itu, Sudarnoto memohon agensi kerajaan, pemain industri dan masyarakat untuk terus menyokong ekosistem permulaan tempatan melalui bimbingan, pelaburan dan rangkaian bermakna.
“Inilah cara kita membina ekonomi digital yang berdaya tahan dan lestari, satu syarikat pada satu masa,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SDEC rancang naik taraf perkhidmatan MySRBN daripada teknologi 4G kepada 5G
Februari 2, 2026, Isnin - 4:12pm

Sudarnoto ditemani Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dr Cheong Yaw Liang pada Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) merancang untuk menaik taraf perkhidmatan Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) daripada teknologi 4G kepada 5G pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Sudarnoto Osman berkata, langkah itu merupakam sebahagian daripada usaha kerajaan dalam meningkatkan capaian jalur lebar di negeri ini.
Beliau berkata, projek MySRBN telah mencapai tahap pelaksanaan yang baik, namun SDEC sudah menumpukan perhatian kepada peningkatan teknologi pada masa depan.
“Ya, kami bercadang untuk menaik taraf teknologi MySRBN daripada 4G kepada 5G pada masa akan datang dan perbincangan mengenai peruntukan spektrum sedang dijalankan kerana spektrum merupakan syarat utama bagi operasi 5G,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Pameran Inovasi Startup SDEC 2026 di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.
Sudarnoto menambah, tanpa akses kepada spektrum yang diperlukan, perkhidmatan 5G tidak dapat dijalankan.
“Jadi, kita (SDEC) sekarang sedang menjalankan perundingan mengenai perkara ini,” katanya
Sementara itu beliau memberitahu, kira-kira 44,000 rumah di seluruh Sarwak telah disambungkan dengan MySRBN.
Menurutnya, MySRBN kini menawarkan dua pakej perkhidmatan iaitu pakej asas menggunakan teknologi Akses Wayarles Tetap (FWA) dan pakej berasaskan gentian optik yang diperkenalkan pada bulan Ogos tahun lalu.
“Pakej berasaskan gentian optik yang dikenali sebagai MySRBN XL dilaksanakan dengan kerjasama Borneo Restu.
“(Dan) setakat ini, kita dah mempunyai lebih kurang 6,000 rumah yang telah disambungkan dengan MySRBN XL Fibre,” kata Sudarnoto.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mangsa kebakaran rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu akan dibantu
Februari 2, 2026, Isnin - 5:41pm

Iskandar (kanan) bertemu dengan sebahagian mangsa terjejas sejurus tiba di lokasi kebakaran rumah pekerja yang turut mengorbankan dua jiwa itu di Jalan Sungai Nyigu, pagi tadi.
BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib kesemua mangsa kebakaran yang melibatkan sebuah rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu awal pagi tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee antara yang terawal tiba di lokasi bagi menjenguk serta menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Jelasnya, sebaik sahaja menerima perkhabaran mengenai kebakaran yang turut meragut nyawa seorang warga emas dan cucunya itu, beliau terus ke lokasi bagi meninjau lokasi kebakaran yang melibatkan sebuah blok rumah pekerja di situ.
"Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi ini tadi amat menyayat hati apabila sebuah blok rumah pekerja dua tingkat musnah sepenuhnya, malah mengorbankan dua nyawa," jelasnya.
Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian itu.
Jelasnya, sejurus menerima maklumat kejadian langkah kebajikan segera telah diambil bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat bantuan diperlukan.
Sebahagian mangsa kini katanya, telah ditempatkan di sebuah blok kuarters lama berhampiran lokasi kejadian yang boleh menempatkan sehingga lapan keluarga manakala mangsa lain ditempatkan di rumah sewa dengan kos sewaan ditanggung sepenuhnya oleh majikan masing-masing.
"Saya juga ingin memaklumkan kepada semua mangsa kebakaran agar tidak teragak-agak untuk menghubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak sekiranya memerlukan bantuan susulan termasuk bantuan bakul makanan serta urusan penggantian dokumen penting yang musnah dalam kebakaran, " jelasnya.
Pusat Khidmat katanya, bersedia menghulurkan bantuan sebagai pengantara dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mempercepatkan urusan penggantian kad pengenalan, sijil kelahiran serta pengesahan dokumen persekolahan anak-anak mangsa terjejas.
Iskandar berkata anggota di Pusat Khidmatnya akan terus memantau keadaan dan memastikan kebajikan semua mangsa terjejas akan dibela.
Beliau pada masa sama berharap lebih ramai lagi pihak korporat serta perniagaan termasuk orang perseorangan tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|