|
|
Kesinambungan kepimpinan penting, pastikan rancangan pembangunan lancar: Ding
Januari 31, 2026, Sabtu - 4:58pm

Ding (tiga kiri) merakamkan kenangan bersamu tetamu pada Majlis Sekalung Budi di Bintangor, semalam.
BINTANGOR: Kesinambungan kepimpinan adalah amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lancar dan tersusun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ia juga akan memastikan sistem pentadbiran menjadi lebih berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Justeru, apabila berlaku pertukaran pucuk kepimpinan di sesebuah jabatan atau organisasi, kita amat berharap momentum dapat terus dikekalkan dan pembaharuan dari segala aspek dapat direalisasikan.
“Pastikan semua peringkat dapat memberikan kerjasama yang baik terhadap kepimpinan baharu agar misi dan visi jabatan dapat sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sekalung Budi bagi menghargai jasa mantan Pegawai Daerah serta Majlis Mengalu-alukan Pegawai Daerah baharu di Meradong di sini, semalam.
Mantan Pegawai Daerah yang diraikan pada majlis itu ialah Thomas Geoffrey Kendawang, manakala Pegawai Daerah Meradong yang baharu ialah Wee Teck Min.
Menurut Ding, majlis itu turut diadakan khusus bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Thomas Geoffrey atas jasa, dedikasi serta komitmen tinggi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dalam memacu pembangunan fizikal, sosial serta pentadbiran daerah.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai inisiatif pembangunan telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat serta rakyat setempat.
“Pada masa yang sama, majlis turut menjadi platform rasmi bagi mengalu-alukan Pegawai Daerah Meradong baharu, Wee Teck Min yang akan meneruskan kesinambungan pentadbiran daerah serta memperkukuhkan agenda pembangunan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Majlis berkenaan juga menjadi simbol perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga pentadbiran dan masyarakat setempat dalam usaha memastikan Daerah Meradong terus membangun seiring dengan arus pembangunan semasa,” kata Ding lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Penolong Pegawai PPD Daerah Meradong Nasaruddin Ibrahim dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sesi libat urus strategik pelaburan pelancongan bersama pemaju China diharap buahkan hasil
Januari 31, 2026, Sabtu - 5:31pm

Kakitangan Imasa bersama tetamu serta wakil agensi pelancongan, pengusaha hotel dan agensi kerajaan utama yang menghadiri sesi libat urus tersebut.
MIRI: Sesi libat urus strategik bersama Thinker Cultural Tourism Operator for Water Theme Parks, China, iaitu pemaju dan pengendali terkemuka destinasi pelancongan budaya serta taman tema air bersepadu berskala besar, anjuran Imasa Dinasti Sdn Bhd diharap dapat memacu agenda pelancongan dan pembangunan bandar Miri dengan lebih rancak.
Sesi libat urus yang berlangsung di Pejabat Tapak Kenyalang Smart City (KSC) hari ini, menghimpunkan pemain utama sektor awam dan swasta, sekali gus mencerminkan keselarasan institusi yang kukuh serta kesiapsiagaan untuk menarik pelaburan berkualiti berteraskan pelancongan ke bandar ini.
Wakil sektor swasta yang hadir termasuk agensi pelancongan tempatan, pengusaha hotel serta wakil Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sarawak.
Turut hadir ialah agensi kerajaan utama seperti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Majlis Bandaraya Miri dan Pejabat Residen Miri.
Lawatan Thinker Cultural Tourism Operator itu merupakan sebahagian daripada sesi pengenalan dan kunjungan hormat kepada kepimpinan Majlis Bandaraya Miri (MBM), bertujuan mewujudkan saluran komunikasi rasmi serta meletakkan asas kepada potensi kerjasama pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Imasa Dinasti Ar Teo Ah King ketika menyampaikan ucapannya berkata, sesi berkenaan menjadi platform perbincangan strategik awal mengenai hala tuju pembangunan Miri dan penjenamaannya sebagai destinasi baharu bagi pembangunan pelancongan berskala besar yang berasaskan pengalaman.
“Fokus utama sesi libat urus ini adalah untuk memberi kefahaman jelas kepada delegasi pelawat mengenai keutamaan pembangunan Miri, persekitaran kawal selia, rangka kerja perancangan serta tahap kesiapsiagaan infrastruktur.
“Elemen-elemen ini penting dalam menilai daya maju pelaburan berpotensi, khususnya dalam pembangunan taman tema air bersepadu dan tawaran pelancongan pelengkap,” katanya.

Teo (berdiri, kanan) berucap kepada para hadirin pada sesi libat urus bersama Thinker Cultural Tourism Operator for Water Theme Parks.
Imasa Dinasti memudah cara sesi tersebut selaku pemaju induk inisiatif Kenyalang Smart City, dengan berperanan sebagai penghubung strategik antara pemain industri antarabangsa dan pihak berkepentingan tempatan.
Sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memacu pertumbuhan mampan berasaskan pelaburan serta meletakkan Miri sebagai hab pelancongan serantau yang berdaya saing.
Delegasi Thinker Cultural Tourism Operator diketuai oleh Pengarah Jualan Chang Yana, Pengurus Besar Chen Weimin dan Jiang Hepiang, serta Pengurus Zhang Jingyue.
Teo berkata, Imasa Dinasti akan terus meneroka perkongsian strategik yang membawa kepakaran global ke Sarawak, sejajar dengan aspirasi negeri dalam kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan pelancongan dan transformasi bandar jangka panjang.
Imasa Dinasti Sdn Bhd merupakan pemaju hartanah berasaskan Sarawak dan pemaju induk Kenyalang Smart City seluas 543 ekar yang terletak bersebelahan Curtin University Malaysia.
Pembangunan bandar pintar bersepadu itu menggabungkan seni bina pintar, teknologi hijau dan infrastruktur digital dengan penekanan kepada kehidupan moden dan mampan.
Syarikat ini merupakan sebahagian daripada Kumpulan Syarikat TAK yang diterajui oleh arkitek Ar Teo, dengan portfolio projek utama termasuk Putrajaya Federal Administrative Garden City, bandar pintar pertama Malaysia; Army City pertama di Islamabad, Pakistan; Miri Resort City - projek penambakan tanah terbesar Sarawak; Meydan City & Meydan Racecourse di Dubai serta Pelan Induk Palm Deira dan Palm Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Underpass, simpang lampu isyarat di Bulatan Emart Matang diteliti
Januari 31, 2026, Sabtu - 6:16pm

Fadillah (tengah) bersama isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir (lima kanan), Fazzrudin (lima kiri) merakamkan gambar bersama penerima TBC dan jemputan lain. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan laluan susur bawah (underpass) atau persimpangan lampu isyarat di Bulatan Emart Matang bagi mengurangkan kesesakan trafik yang semakin kritikal di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, laluan berkenaan dikenal pasti sebagai antara titik tumpuan utama yang menyumbang kepada kesesakan, khususnya pada waktu puncak.
Menurut Fadillah, cadangan awal telah dikemukakan supaya Jalan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian terperinci bagi menentukan penyelesaian paling sesuai sama ada melalui pembinaan underpass atau persimpangan lampu isyarat.
“Perkara ini masih di peringkat kajian JKR, namun setelah dimuktamadkan nanti, kita akan teruskan tindakan susulan bagi merealisasikannya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Dewan SUPP, Jalan Sungai Tengah, Matang di sini, hari ini.
Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air hadir menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina (TBC) kepada 130 penerima dari kalangan komuniti Cina di dewan tersebut.
Selain menaik taraf jalan sedia ada, Fadillah turut berkata terdapat perancangan untuk membina laluan baharu yang menghubungkan Jalan Matang dengan Jalan Persekutuan sebagai laluan alternatif kepada pengguna.
“Premier Sarawak secara prinsipnya telah melihat dan bersetuju dengan perancangan membina jalan baharu bermula dari kawasan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud bersambung terus ke Matang.
“Anggaran laluan baharu berkenaan kira-kira dua kilometer dan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada satu laluan utama serta memperbaiki aliran trafik secara keseluruhan di kawasan Matang,” tambahnya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya bagaimanapun mengakui kesesakan lalu lintas adalah fenomena biasa di kawasan bandar selari dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pemilikan kenderaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan penggunaan teknologi pengurusan trafik pintar termasuk termasuk sistem lampu isyarat pintar bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.
Beliau turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi meneliti aliran trafik termasuk cadangan menjadikan sebahagian jalan sebagai laluan sehala.
“Perancangan trafik bukan hanya melibatkan infrastruktur fizikal, tetapi juga sistem teknologi dan sikap pengguna jalan raya agar kesesakan dapat dikurangkan secara menyeluruh,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman merangkap ADUN Tupong dan Pengerusi Cawangan SUPP Tupong Jong Nyong Khoon.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Simpang Kampung Goebilt
Januari 31, 2026, Sabtu - 6:19pm
Keadaan di lokasi kemalangan tiga kenderaan di Simpang Kampung Goebilt, Jalan Bako pagi tadi. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Tiga individu mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Simpang Kampung Goebilt, Jalan Bako di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 9.40 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan dengan tiga mangsa berada di dalam sebuah kereta, terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki.
“Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan didapati masih tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi mangsa telah berjaya dikeluarkan lebih awal oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bomba kemudiannya mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan pengusung dengan bantuan anggota pasukan Bulan Sabit Merah.
Seterusnya, kesemua mangsa diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 10.03 pagi dan ditamatkan pada jam 10.18 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Turut terlibat ialah Polis Diraja Malaysia dan pasukan Bulan Sabit Merah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerjasama Persekutuan–Sarawak perkasa pelancongan, industri kreatif
Januari 31, 2026, Sabtu - 6:47pm

Abdul Karim (empat kanan) dan Chiew (empat kiri) bertukar cenderamata, sebagai simbolik jalinan kerjasama antara kedua-dua kementerian di peringkat pusat dan negeri, sambil disaksikan oleh Ting (tiga kiri) dan Snowdan (tiga kanan) serta yang lain.
MIRI: Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus diperkukuh bagi melonjakkan pembangunan sektor pelancongan, industri kreatif serta seni persembahan ke tahap lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man ke atas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) di Kuching, hari ini.
Pertemuan itu menjadi platform penting bagi menyelaras hala tuju bersama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam usaha memperkasa promosi pelancongan, pembangunan bakat kreatif tempatan serta penganjuran acara berskala besar yang berimpak tinggi.
Menurut kenyataan daripada pejabat Chiew hari ini, kedua-dua pihak turut membincangkan pendekatan bersepadu bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan industri pelancongan negara serta potensi besar negeri ini sebagai hab pelancongan dan seni budaya serantau.
Kunjungan hormat tersebut bukan sahaja mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, malah memperkukuh sektor pelancongan, seni dan budaya negara berlandaskan nilai Malaysia MADANI demi kemakmuran bersama.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Fredrick; Pengarah MOTAC Sarawak, Debbie Jenggut Nyelang serta pegawai-pegawai kanan MOTAC dan MTCP Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KP RELA kunjungi Sarawak, perkukuh siap siaga dan tadbir urus organisasi
Januari 31, 2026, Sabtu - 6:49pm

Rosli (dua kanan) selepas mengadakan lawatan ke tapak pusat latihan, melawat penugasan RELA di Kompleks ICQS Biawak, Lundu baru-baru ini.
KUCHING: Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Datuk Rosli Yaakub telah mengadakan lawatan kerja ke sini bermula pada 26 sehingga 29 Januari lalu bagi meninjau pelaksanaan fungsi jabatan serta memperkukuh kesiapsiagaan dan tadbir urus organisasi.
Menurut satu kenyataan, ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) disambut oleh barisan kepimpinan RELA Sarawak termasuk Pengarah Bahagian Operasi IPRM Jimmy Jupiter Sambau dan Pengarah RELA Negeri Sarawak Abang Zulfikar Abang Raduan,
"Lawatan ini menampilkan beberapa aktiviti utama termasuk sesi pembentangan pengurusan di Pejabat RELA Negeri Sarawak.
"Termasuk lawatan penugasan kolaborasi RELA bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kawalan Sempadan (PKS) Teluk Melano, serta menghadiri taklimat berkaitan pembinaan Pusat Latihan RELA Sarawak," katanya.
Rosli pada 29 Januari turut memantau tapak pembinaan Pusat Latihan dan Kompleks ICQS Biawak, Lundu sebagai langkah memperkukuhkan kerjasama strategik dan keselamatan komuniti.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah RELA Negeri Sarawak Mohamad Nazrul Narman, Pegawai Operasi Shanthi Subarayan dan Pegawai Logistik dan Persenjataan Negeri Hasimah Saibi.
Lawatan itu katanya, dapat mempertingkatkan keberkesanan operasi RELA di Sarawak serta memperkukuhkan keselamatan sempadan dan komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengamal perundangan Katolik berhimpun hadiri Misa Merah
Januari 31, 2026, Sabtu - 7:27pm

Pengamal perundangan, pelajar undang-undang serta pegawai berkaitan yang hadir merakam kenangan bersama Poh dan Yap selepas Misa Merah di Gereja Blessed Sacrament, hari ini.
KUCHING: Pengamal perundangan Katolik di Sarawak hari ini berhimpun di Gereja Blessed Sacrament di sini bagi menghadiri Misa Merah.
Misa Merah atau Votif diadakan bagi mendapatkan bimbingan daripada Roh Kudus untuk fraterniti guaman telah dirayakan di Keuskupan Agung Kuching
Misa Merah merupakan tradisi yang bermula di Paris pada tahun 1245 dan pertama kali dianjurkan di Sarawak pada tahun 2015, sekali gus menjadi acara penting bagi menandakan permulaan tahun perundangan.
Misa tersebut dirayakan oleh Uskup Agung Roman Katolik Kuching Dato Dr Simon Poh bersama Paderi Leonard Yap.
Ia turut dihadiri para hakim, pengamal perundangan, pelajar undang-undang serta pegawai berkaitan.
Pada tahun ini, Misa Merah mengangkat tema daripada Injil Matius 23:23 yang menekankan keseimbangan antara aspek teknikal undang-undang dan nilai-nilai utama seperti keadilan, belas ihsan dan kesetiaan.
Dalam homilinya, Poh menyeru para pengamal perundangan agar tidak terikat semata-mata kepada legalisme, sebaliknya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, hati nurani serta komitmen terhadap kepentingan bersama.
Beliau menegaskan prinsip keadilan perlu disertai dengan belas ihsan dan kesetiaan agar sistem perundangan dapat berfungsi secara adil dan berperikemanusiaan.
Misa Merah terus menjadi platform penting bagi pengamal perundangan untuk memperbaharui komitmen etika dan profesional mereka.
Kehadiran anggota kanan badan kehakiman serta penasihat undang-undang negeri mencerminkan kesepaduan dan matlamat bersama dalam kalangan pengamal perundangan di Sarawak.
Sejurus selesai upacara, jawatankuasa penganjur merakamkan penghargaan kepada pihak paderi dan para sukarelawan termasuk koir dan pelayan altar yang telah menyumbang kepada kelancaran serta kesyahduan liturgi.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para selebran oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Seri J.C. Fong dan Peguam Kanan Datin Lucy Salang selaku wakil pengamal perundangan Katolik Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Guru dan kakitangan SK Encik Buyong sertai Program Team Building
Februari 1, 2026, Ahad - 8:18am

Warga SK Encik Buyong bergambar kenangan bersama-sama penceramah jemputan.
KUCHING: Seramai 50 guru dan kakitangan sokongan Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong menyertai Program Team Building bagi memperkukuh semangat kerjasama serta kerja berpasukan dalam kalangan warga sekolah.
Guru Besar SK Encik Buyong, Rosnah Posa berkata, program itu juga bertujuan meningkatkan motivasi serta membina pasukan kerja yang lebih berkesan dan berdaya saing.
“Terima kasih kepada semua guru dan staf atas komitmen, kehadiran serta penglibatan aktif yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung.
“Komitmen anda mencerminkan semangat kebersamaan, disiplin serta kesediaan untuk terus membina pasukan kerja yang kukuh demi kecemerlangan sekolah,” katanya ketika merasmikan program tersebut baru-baru ini.
Sementara itu, Penyelaras Program Elizabeth Salaus menzahirkan rasa syukur kerana program tahunan anjuran Kelab Guru Sekolah dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancang.
“Keberhasilan program bagi memperkukuh sinergi warga sekolah sepanjang tahun 2026 adalah hasil kerjasama serta sokongan padu daripada seluruh warga sekolah.
“Secara keseluruhannya, program iniberjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi ruang kepada warga sekolah berinteraksi dalam suasana santai, sekali gus menyumbang kepada persekitaran kerja yang positif dan harmoni,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama yang terjalin dapat diteruskan pada masa akan datang bagi penganjuran program yang lebih berimpak,” jelasnya.
Program berkenaan turut diisi dengan sesi ceramah motivasi serta pelbagai aktiviti sukaneka yang bersifat interaktif dan menyeronokkan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
104 pelajar cemerlang SPM 2024 SMK Bako terima insentif pendidikan
Februari 1, 2026, Ahad - 9:12am

Dr Hazland (empat kiri) menyampaikan insentif pendidikan kepada salah seorang penerima.
KUCHING: Seramai 104 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerima sumbangan insentif pendidikan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Murid SPM 2024 dan Pelancaran Jaket Keselamatan serta Helmet Murid SMK Bako yang berlangsung di Dewan Wan Deli, Kampung Senari pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Hipni itu bukan sahaja bertujuan menghargai kecemerlangan akademik pelajar, malah menzahirkan komitmen berterusan komuniti setempat dalam memperkasa pendidikan sebagai warisan paling lestari untuk generasi akan datang.
Dalam ucapannya, Dr Hazland menegaskan bahawa pendidikan merupakan kekayaan utama yang dianugerahkan kepada manusia melalui akal, manakala kebodohan adalah kerugian paling besar yang perlu dielakkan.
Sehubungan itu katanya, pendidikan dilihat sebagai asas penting dalam membentuk insan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
"Pendidikan berperanan meningkatkan taraf hidup individu dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik, menjamin pendapatan stabil serta membantu membuat keputusan bijak berkaitan kesihatan, kewangan dan masa depan.

Penerima insentif pendidikan merakamkan gambar bersama Dr Hazland dan jemputan lain.
"Pendidikan juga membentuk sahsiah dan akhlak melalui penerapan nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab dan kejujuran, sekali gus melahirkan insan seimbang dari segi intelek dan emosi," katanya yang juga ADUN Demak Laut.
Dr Hazland turut menekankan bahawa kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada tahap pendidikan rakyatnya kerana pendidikan melahirkan tenaga mahir yang mampu memacu pembangunan ekonomi, teknologi dan inovasi di peringkat global.
Dalam masa yang sama, akses pendidikan yang adil mampu mengurangkan kemiskinan dan jurang sosial, seterusnya memutuskan kitaran kemiskinan dan meningkatkan mobiliti sosial dalam masyarakat.
Pelancaran jaket keselamatan dan helmet murid SMK Bako pada majlis sama turut mencerminkan keprihatinan terhadap aspek keselamatan pelajar, khususnya mereka yang berulang-alik ke sekolah menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ABAS sumbang RM10,000 sokong Sekolah Pendidikan Khas PERKATA
Februari 1, 2026, Ahad - 10:43am

Si (kiri) menyampaikan cek replika kepada Georgina.
KUCHING: Persatuan Boling Tenpin Amatur Sarawak (ABAS) menyumbangkan RM10,000 kepada Sekolah Pendidikan Khas Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA), sebuah institusi lama yang khusus mendidik kanak-kanak berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran.
Presiden ABAS, Sunny Si Poh Heng berkata, persatuan itu memilih PERKATA sebagai penerima sumbangan tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting sekolah berkenaan dalam membantu kanak-kanak istimewa serta keluarga mereka.
“PERKATA telah melakukan kerja yang amat bermakna dalam komuniti kita sejak sekian lama. Kami berbesar hati untuk menghulurkan sokongan dan berharap sumbangan ini dapat membantu mereka meneruskan perkhidmatan yang sangat bernilai,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Piala Pasukan Kenyalang Sarawak di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa, pada Sabtu.
PERKATA ditubuhkan pada 1973 oleh Majlis Kebajikan Sosial dan bermula secara sederhana dengan hanya seorang guru di sebuah bilik darjah yang dipinjam.
Seiring peredaran masa, sekolah ini berkembang menjadi sebuah sekolah mesra kanak-kanak yang dikenali ramai, terletak di Jalan Ong Siang Swee, dan memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak dengan pelbagai jenis ketidakupayaan pembelajaran.
Sekolah ini bersama pusat jagaan harian yang bernaung di bawahnya menyediakan pelbagai program bagi membantu pelajar membangunkan kemahiran sosial, kognitif dan kehidupan seharian dalam persekitaran yang prihatin serta menyokong.
Melalui dedikasi para guru dan aktiviti khusus, sekolah ini berhasrat membina keyakinan diri murid serta mempersiapkan mereka untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Si turut memaklumkan bahawa PERKATA berdepan kesukaran kewangan yang serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya semasa pandemik Covid-19.
Katanya, walaupun para guru terus memberi sokongan kepada ibu bapa dan pelajar sepanjang tempoh sekatan pergerakan, sekolah tersebut tidak dapat menjana dana melalui jualan tahunan seperti kebiasaan.
“Akibatnya, simpanan kewangan mereka habis digunakan. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menyokong NGO ini pada tahun ini. Sebuah sekolah memerlukan guru, dan PERKATA memerlukan nisbah kakitangan kepada pelajar yang tinggi untuk beroperasi dengan berkesan. Kami memahami cabaran yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak organisasi dan individu tampil menghulurkan bantuan kepada sekolah berkenaan.
“Kami berharap lebih ramai akan mengikuti contoh ini. PERKATA sangat bergantung kepada sokongan orang ramai untuk meneruskan usaha murni mereka, dan komuniti perlu bersatu memberikan sokongan,” tambahnya.
Sumbangan tersebut diterima oleh Penolong Pengetua Sekolah Pendidikan Khas PERKATA, Georgina Paul Bronnie, di hadapan pegawai ABAS dan para tetamu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan selepas aksi kejar-mengejar dengan polis
Februari 1, 2026, Ahad - 12:25pm
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun selepas aksi kejar-mengejar di Jalan Kuching-Serian yang tular di media sosial, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek yang berasal dari kawasan Taman Berjaya, Batu 4½, Jalan Penrissen, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk rumah di Jalan Laksamana Cheng Ho yang dilaporkan pada 30 Januari lalu, selain beberapa kes curi motosikal di sekitar bandar Kuching.
"Kejadian bermula apabila polis mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih yang dinaiki suspek di Jalan Kuching-Serian menghala ke pusat bandar.
"Suspek bagaimanapun enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri, selain melanggar beberapa kenderaan di atas jejambat ketika cuba melepaskan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata dalam kejadian itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan ketika cuba menahan suspek.
Beliau berkata hasil kejar-mengejar berkenaan, suspek akhirnya berjaya diberkas oleh Pasukan Operasi Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 20 rekod jenayah lampau, tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah untuk mencuri, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Polis turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Frankie di talian 019-846 2132 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
CMAA sedia memeriahkan Tahun Baharu Cina 2026 dengan 11 singa baharu
Februari 1, 2026, Ahad - 12:57pm

Dr Sim (empat kanan) bersama Lim (tiga kanan) serta yang lain melakukan upacara menitik mata sebagai simbolik. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina (CMAA) bersedia memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Tahun Kuda dengan pelancaran 11 singa baharu oleh Pasukan Tarian Naga dan Singa persatuan itu.
Majlis pelancaran serta upacara tradisi menitik mata disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Tokong Tua Pek Kong di sini hari ini.
Presiden CMAA Chester Lim berkata persatuan itu berbesar hati kerana majlis berkenaan mendapat penghormatan disempurnakan oleh Dr Sim, sekali gus melambangkan sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap pemeliharaan warisan budaya tarian singa dan naga di Sarawak.
Mengiringi Dr Sim pada majlis itu Pengasas CMAA Master Law Kaw Chai, Penasihat CMAA Pemanca Tan Kun Gee dan Setiausaha CMAA Victor Chin Chiu Hian, selain penaja-penaja termasuk Datuk Tan Guek Kee (Kumpulan Lee Onn).
Dr Sim dalam kenyataan memuji CMAA atas kegigihan dan usaha berterusan persatuan itu dalam memelihara budaya serta warisan tarian naga dan singa yang unik di Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa CMAA telah berjaya menyelaras persembahan tarian naga dan singa sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sarawak selama tiga tahun berturut-turut dari 2024 hingga 2026.

Dr Sim bersama yang lain merakamkan gambar kenangan selepas upacara menitik mata di Tokong Tua Pek Kong. - Gambar Chimon Upon
Selain itu, Dr Sim turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan CMAA menganjurkan Sarawak Open International Dragon & Lion Dance Cup pada tahun 2024 dan 2025.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pasukan Tarian Singa Utara CMAA kerana mencipta sejarah apabila mewakili Malaysia pada Pertandingan Elit Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Piala Sanya 2026 yang berlangsung pada 19 Januari lalu di Sanya, Hainan, China.
Dalam pertandingan tersebut, pasukan berkenaan berjaya meraih pingat gangsa, sekali gus mengatasi pasukan-pasukan pilihan dari Indonesia dan Korea.
Turut hadir pada majlis itu ialah Bendahari CMAA Nelson Nguang Kim Ban, jurulatih wushu Calvin Kong Ngon Chung, ahli-ahli persatuan serta tetamu jemputan.
Nguang dan Kong akan mengetuai pasukan sepanjang musim sambutan Tahun Baharu Cina memaklumkan bahawa CMAA mempunyai jadual persembahan yang padat, termasuk kunjungan ke kediaman dan premis perniagaan dari hari pertama hingga hari keenam sambutan perayaan tersebut.
Lim turut memaklumkan bahawa majlis berkenaan juga bersempena Ulang Tahun Ke-52 CMAA, yang ditubuhkan pada tahun 1974.
Katanya, semasa majlis pelancaran 11 singa baharu itu, doa turut dipanjatkan bagi kesejahteraan, kejayaan dan kemakmuran semua yang hadir serta ahli-ahli CMAA pada tahun mendatang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mayat lelaki tanpa identiti ditemui tersangkut pada kayu bakau
Februari 1, 2026, Ahad - 4:03pm
KUCHING: Satu mayat lelaki tanpa identiti ditemui tersangkut pada kayu bakau di Sungai Midin, Semariang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi yang berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam lebih kurang 8.50 pagi memaklumkan penemuan satu mayat lelaki tanpa identiti di Sungai Midin, Semariang.
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.50 pagi yang memaklumkan penemuan mayat lelaki tersebut di Sungai Midin, Semariang.
"Pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah ke lokasi kejadian.
"Satu mayau lelaki tanpa identiti didapati tersangkut pada kayu bakau dan berjaya dikeluarkan pada jam lebih kurang 9.30 malam," katanya dalam satu kenyataan.
Mayat katanya telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan siasatan kes diklasifikasikan mati mengejut.
Mohd Irwan menambah orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh terus menghubungi pegawai penyiasat ASP Muhammad Yarshar Abdullah di talian 019- 8885866 atau Balai Polis Batu Kawa di talian 082-463411 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis untuk membantu mengangkat mayat berkenaan pada jam 10.14 pagi Sabtu.
"Namun operasi yang dimulakan pada jam 12 tengah hari ditangguh sementara kerana mayat sukar dikeluarkan.
"Kawasan sungai dikenal pasti sebagai lubuk buaya dan amat berbahaya untuk anggota turun ke sungai," katanya.
Pada pukul 3.30 petang anggota bomba dan polis meneruskan operasi kedua apabila air pasang surut tetapi gagal dan ditangguhkan lagi.
"Operasi kali ketiga masih tidak dapat dijalankan kerana paras air sungai masih tinggi. Setelah perbicangan bersama polis, operasi ditangguhkan sementara dan disambung sekitar 9 malam, menunggu paras air sungai surut.
"Pada pukul 9.58 malam operasi mengeluar dan mengambil mayat berjaya. Mayat tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," tambah kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Amelia Roziman tamat perkhidmatan 20 tahun sebagai CEO BESarawak
Februari 1, 2026, Ahad - 4:26pm

KUCHING: Amelia Roziman (gambar) telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) berkuat kuasa 31 Januari 2026 selepas 20 tahun memberi perkhidmatan cemerlang di sini.
Menurut kenyataan BESarawak, di bawah kepimpinan beliau Sarawak telah muncul sebagai salah satu destinasi terkemuka dunia bagi acara perniagaan berasaskan legasi, dengan sektor ini dijadikan salah satu tumpuan utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Amelia turut memperkukuhkan pendekatan ekosistem menyeluruh yang meletakkan Sarawak sebagai ibu kota legasi perniagaan acara Malaysia dan Borneo.
“Legasi Amelia adalah pemikiran industri yang menekankan inovasi, tanggungjawab dan impak positif jangka panjang.
"Kementerian akan terus menyokong usaha beliau pada masa depan,” katanya.
Pengerusi BESarawak Datu Hii Chang Kee pula menambah bahawa kepimpinan luar biasa beliau telah memperkukuhkan kedudukan Sarawak di peringkat global dan meletakkan BESarawak pada landasan kukuh untuk fasa seterusnya.
Amelia pula menyatakan bahawa adalah satu penghormatan buat dirinya untuk bekerja bersama pemimpin yang berfokus kepada impak dan mempercayai kuasa acara perniagaan untuk mewujudkan perubahan sebenar.
"Sebagai salah seorang perintis sektor acara perniagaan Malaysia, saya berbangga menyaksikan perkembangan pasukan, industri dan ekosistem sepanjang tahun.
"Saya akan terus menyumbang dalam kapasiti berbeza dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan. Saya menantikan peluang untuk meneruskan perjalanan ini pada masa depan," ujarnya.
Amelia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin pemikiran global dan penceramah antarabangsa, termasuk menjadi wanita pertama di Asia yang diiktiraf dalam Events Industry Council Hall of Leaders (2023), penerima The Iceberg Excellence Award (2025) sebagai penerima Asia pertama dan global kelima, berkhidmat di Lembaga Pemegang Amanah The Iceberg, serta meraih lebih daripada 10 anugerah profesional sepanjang kerjayanya.
Sepanjang tempoh beliau, Sarawak meraih 31 anugerah pemasaran destinasi dan inovasi serta mencapai 100 peratus kadar kemenangan bidaan sejak 2022.
Pengumuman lanjut mengenai peralihan kepimpinan BESarawak akan dikongsi kemudian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemimpin Pengakap Sarawak perkasa laluan ‘Road to King’s Scout’
Februari 1, 2026, Ahad - 4:29pm

John (duduk tengah depan) bergambar bersama para pesuruhjaya dan peserta Bengkel ‘Road to King’s Scout’ di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak semalam.
KUCHING: Bengkel Sehari ‘Road to King’s Scout’ berjaya menghimpunkan lebih daripada 60 pesuruhjaya dan pemimpin Pengakap dari seluruh Sarawak bagi memperkukuhkan kualiti penyampaian pengalaman kepengakapan serta memperkasakan laluan pembangunan belia ke arah Anugerah Pengakap Raja.
Bengkel tersebut yang diadakan di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak, Jalan Batu Lintang di sini menghimpunkan pemimpin dari pelbagai daerah dan dirasmikan majlis penutupannya oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak John Lim Boon Beng.
“Pperjalanan menuju Anugerah Pengakap Raja bukan sekadar pencapaian tertinggi dalam pergerakan Pengakap, tetapi satu proses pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati diri golongan muda.
“Ia juga merangkumi pengalaman penting yang perlu dilalui oleh golongan muda sepanjang perjalanan mereka dalam pergerakan Pengakap.
“Golongan muda adalah keutamaan kita dan kita mempunyai tanggungjawab menyediakan pengalaman bermakna sepanjang tempoh lima hingga lapan tahun penglibatan mereka dalam pergerakan ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan sistem lencana sebagai teras pembangunan Pengakap yang seimbang, yang bukan sahaja menyediakan cabaran berstruktur, malah membuka ruang pembelajaran berterusan dalam pembentukan kepimpinan, kemahiran hidup dan nilai murni.
John juga menggesa para pesuruhjaya dan pemimpin agar mengamalkan pendekatan kolaboratif dalam pelaksanaan program di peringkat daerah.
“Jangan bekerja secara bersendirian. Apa yang dipelajari hari ini perlu dikongsi dengan pemimpin lain supaya lebih ramai ahli Pengakap dapat memanfaatkan bengkel ini,” ujarnya.
Sepanjang bengkel, para peserta telah didedahkan kepada latihan merangkumi empat cabang pergerakan Pengakap iaitu Darat (Perdana), Udara, Laut dan Kelana (Rovers).
Program berkenaan turut memperkenalkan barisan Penolong Ketua Pesuruhjaya dalam Jawatankuasa Program Belia, sekali gus memperkukuh koordinasi, kefahaman serta keseragaman pelaksanaan program antara pelbagai seksyen Pengakap di Sarawak.
Bengkel itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Program Pengakap yang diketuai oleh Azrul Azeem Selamat, dengan sokongan Chang Wee Khee, Fauziah Pata, Jerome Lim Ee Wu dan Eric Chin.
Dalam perkembangan lain, John juga memperkenalkan satu inisiatif baharu dikenali sebagai Anugerah Kumpulan Berkualiti (Quality Group Award) yang bertujuan membudayakan pematuhan piawaian program serta memastikan setiap ahli menerima pengalaman Pengakap yang berkualiti, konsisten dan bermakna.
Program tersebut dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, dengan semua kumpulan Pengakap digalakkan untuk bergerak ke arah pencapaiannya.
Dengan Sarawak dibahagikan kepada lebih 30 daerah Pengakap dan setiap daerah berpotensi melahirkan lima hingga enam orang Pengakap Raja, lebih 100 Pengakap Raja berpotensi dianugerahkan setiap tahun.
Menurut beliau lagi, pencapaian tersebut mampu direalisasikan melalui komitmen, kesepaduan dan peranan aktif para pemimpin dalam mencetus serta membimbing usaha pembangunan belia secara berstruktur dan berimpak tinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sih menyatakan kesediaan bertanding di kerusi DUN Batu Lintang
Februari 1, 2026, Ahad - 4:31pm

KUCHING: Sih Hua Tong (gambar) menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, jika diberi peluang.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cabang Batu Lintang itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Memperingati Ulang Tahun Ke-30 cawangan itu dan Tahun Baharu 2026 di sini malam tadi.
Menurut Sih, beliau sudah bersedia menggalas tanggungjawab selagi diberi kepercayaan oleh parti dan akar umbi.
"Hari ini saya sungguh-sungguh berkata selagi parti dan akar umbi bergerak ke arah yang sama, selagi ada keperluan, selagi rakan-rakan mempercayai saya dan akar umbi mengiktiraf saya, saya Sih Hua Tong, sanggup terus memikul tanggungjawab ini.
“Saya boleh berjanji kepada anda, saya tidak akan mengkhianati kepercayaan anda, saya tidak akan berundur dan saya tidak akan mengecewakan anda. Bersama-sama pasukan saya, kami akan menegakkan kepercayaan ini dan memberikan hasil yang kukuh yang setimpal dengan kepercayaan yang telah anda berikan kepada kami,” katanya.
Mengimbau penyertaannya dalam PRN yang lalu, bertanding di Batu Lintang, Sih berkata beliau hanya kalah tipis dengan margin kecil iaitu daripada lebih 8,000 undi kepada hanya 93 undi .
Ini tambahnya menunjukkan parti itu ‘sudah berada di ambang’ kemenangan.
“Ini bukanlah angka ‘kegagalan’. Ia membuktikan kita hanya selangkah lagi untuk mencapai matlamat kita,” katanya, sambil mengaitkan kemajuan itu dengan usaha kolektif akar umbi, bimbingan orang kanan parti dan sokongan padu penyokong dan rakan-rakan.
Sementara itu, Setiausaha SUPP Cabang Batu Lintang yang juga pengerusi penganjur Prof Dr Wang Yin Chai berkata cawangan itu telah sebulat suara memutuskan, melalui proses demokrasi, untuk menyokong Sih sebagai calon tunggal parti untuk kawasan Batu Lintang dalam pilihan raya akan datang.
“Kami yakin di bawah bimbingan kepimpinan pusat terutama presiden parti kami, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, usaha Sih yang tidak kenal erti penat, pengalaman perkhidmatan yang luas, sokongan akar umbi yang kukuh dan visi yang jelas untuk pembangunan wilayah akan membolehkan kami menyatukan sokongan seluas mungkin di Batu Lintang dan memperoleh kepercayaan serta keyakinan pengundi,” kata Wang.
Wang menekankan Sih yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat, menggambarkan beliau sebagai pemimpin berorientasikan akar umbi yang memahami keperluan dan aspirasi penduduk Batu Lintang.
“Dengan menegakkan falsafah perkhidmatan SUPP yang berpusatkan rakyat, beliau seorang yang pragmatik, rajin dan berdedikasi, mendapat kepercayaan dan rasa hormat yang meluas daripada ahli parti dan masyarakat,” katanya.
Wang menambah, jawatankuasa itu percaya Sih adalah calon yang paling sesuai untuk mewakili SUPP di kawasan DUN Batu Lintang di bawah kepimpinan pusat parti, terutama Dr Sim.
“Kami yakin dengan pengalaman perkhidmatannya yang luas, sokongan akar umbi kukuh dan visi pembangunan jelas, Komrad Sih Hua Tong akan dapat menyatukan sokongan luas di Batu Lintang dan mendapat kepercayaan pengundi.
“Kami yakin, kejayaan pemilihannya akan menambah kerusi berharga untuk SUPP dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, sekali gus memperkukuh lagi usaha untuk memajukan pembangunan dan kemakmuran di rantau ini dan di seluruh Sarawak,” tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Alumni SM Kai Dee pilih untuk menabur jasa di Bintulu
Februari 1, 2026, Ahad - 4:51pm

Pang bersalaman serta beramah mesra dengan ahli Alumni SM Kai Dee yang hadir pada majlis berkenaan.
BINTULU: Ramai daripada ahli alumni Sekolah Menengah (SM) Kai Dee memilih untuk menabur jasa di tempat kelahiran mereka di Bintulu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.
Ia jelasnya menunjukkan bahawa komuniti Cina di bahagian ini mempunyai semangat serta jati diri yang tinggi khususnya kecintaan kepada tempat kelahiran mereka sendiri.
"Sikap sebegini harus dimiliki setiap warga Bintulu bagi memastikan mereka meneruskan legasi generasi terdahulu yang berkhidmat, berniaga dan sebagainya demi meneruskan kesinambungan kemajuan bahagian ini pada masa depan," ujarnya.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Persatuan Alumni SM Kai Dee yang diadakan di salah sebuah hotel di sini malam tadi.
Beliau dalam ucapannya menzahirkan rasa penghargaan serta berbesar hati kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau bagi menghadiri majlis makan malam yang bertemakan ‘Belia Bangkit Menuju Masa Depan’.
Jelasnya, sejak ditubuhkan 26 tahun lalu, SM Kai Dee berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dan berjaya dalam kehidupan dan mereka masih aktif menyumbang bakti dalam persatuan alumni tersebut.
"Lebih membanggakan, ramai dalam kalangan mereka memilih untuk kembali berbakti di tempat kelahiran mereka di sini sekali gus menyumbang kepada masyarakat setempat," jelasnya.
Pang berkata sebagai ADUN di kawasan itu, beliau turut menyalurkan peruntukan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membantu menaik taraf kemudahan sekolah termasuk projek menaik taraf gelanggang badminton yang telah siap yang mana pada tahun ini akan diteruskan pula dengan kerja-kerja penaiktarafan kemudahan gelanggang bola keranjang.
Beliau turut memberi jaminan akan terus bekerjasama erat dengan persatuan alumni serta semua pihak berkepentingan untuk menyumbang kepada pembangunan SM Kai Dee dari semasa ke semasa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita PBB harus kekal bersatu
Februari 1, 2026, Ahad - 4:54pm

Iskandar (tengah) bergambar bersama ahli Wanita PBB Jepak, sejurus selesai Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih, malam Sabtu.
BINTULU: Semua ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak diseru agar terus kekal bersatu bagi memastikan tunjang utama parti terus gah dan utuh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Beliau mengingatkan Wanita PBB terus memperkukuh perpaduan dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh memecahbelahkan parti.
"Kekuatan kita adalah terletak pada semangat kebersamaan, kesetiaan dan bergerak seiring dalam satu hala tuju," ujarnya semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih di sini malam Sabtu.
Iskandar berkata dalam parti sememangnya wujud perbezaan pandangan yang merupakan perkara biasa.
Namun apa yang penting jelas beliau, ialah segala ketidaksefahaman harus diurus dengan cara yang baik, saling hormat-menghormati dan patuh kepada kepimpinan demi menjaga keharmonian serta kestabilan parti.
"Wanita PBB sememangnya merupakan tulang belakang parti dan penggerak utama di peringkat akar umbi yang mana peranan inilah yang terus menghubungkan parti dengan rakyat.
Justeru, Iskandar menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada semua ahli Pergerakan Wanita PBB Jepak atas jemputan serta penganjuran majlis yang penuh makna ini.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat kebersamaan itu terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa demi parti dan rakyat secara keseluruhannya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lima RTP bagi DUN Repok berjaya disiapkan kontraktor
Februari 1, 2026, Ahad - 4:59pm

Kapitan Ling Dien Yong (kanan) yang mewakili Huang mengadakan lawatan ke tapak projek siap bagi RTP di DUN Repok.
SARIKEI: Sebanyak lima Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok telah berjaya disiapkan oleh pihak kontraktor, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek itu akan membawa impak yang positif kepada penduduk setempat.
“Antara projek yang telah siap dilaksanakan ialah kerja menyambung bumbung terbuka, menaik taraf dapur masjid serta laluan pejalan kaki masjid di Masjid Jalan Permai.
“Projek kedua pula ialah pembinaan dua unit tangga, lantai dan beam di tingkat atas bangunan bagi BEM (SIB) Bandar Sarikei manakala projek yang ketiga pula ialah kerja menembok tanah serta pembinaan pagar sekolah untuk SJK Su Tak.
“Bagi projek yang keempat pula ialah pembinaan awning untuk gereja Nyelong Park Methodist Church Sarikei dan projek yang kelima ialah menaik taraf laluan pejalan kaki berbumbung serta pemasangan gutter stainless steel di tiga blok bangunan di SK St Anne,” katanya.
Menurut Huang, projek yang telah dilaksanakan tersebut adalah berdasarkan permohonan penduduk, persatuan dan pihak sekolah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei turut berkata, projek RTP yang telah dilaksanakan itu telah banyak meningkatkan kemudahan dan prasarana bagi penduduk terutama di kawasan luar bandar.
“Kita berharap dengan pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat ini, terutama yang melibatkan kemudahan infrastruktur akan dapat merapatkan lagi jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Pihak kita akan sentiasa berusaha memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat dan kita berjanji akan melaksanakannya secara berperingkat mengikut keperluan semasa,” katanya.
Terdahulu, Huang yang diwakili Kapitan Ling Dien Yong telah mengadakan lawatan tapak projek siap bagi kelima-lima projek berkenaan.
Turut menyertai lawatan tapak tersebut ialah Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei Joviana Joklin, Kaunselor Anthony Suding serta wakil-wakil komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Komitmen polis banteras judi haram dialu-alukan
Februari 1, 2026, Ahad - 6:00pm
Ling terima banyak aduan daripada penduduk berhubung kewujudan kedai-kedai sebaneka beroperasi secara mencurigakan

MIRI: Setiausaha Pakatan Harapan Sarawak Alan Ling (gambar) mengalu-alukan komitmen tegas yang ditunjukkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam membanteras kegiatan perjudian haram, khususnya judi dalam talian yang dipercayai beroperasi secara berselindung di premis perniagaan di negeri ini.
Menurut Ling, beliau terpanggil untuk mengulas perkara tersebut selepas menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan berhubung kewujudan kedai-kedai sebaneka yang beroperasi secara mencurigakan.
“Kita mengalu-alukan komitmen yang ditunjukkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, seorang anak jati Sarawak.
“Saya percaya di bawah pimpinan beliau, kejayaan telah dicapai apabila jumlah kedai mesin slot dan aktiviti perjudian dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kegiatan berkenaan masih wujud dan menjadi pengetahuan umum masyarakat.
“Ia adalah rahsia terbuka. Judi dalam talian haram ini bukan sahaja merosakkan ekonomi yang sihat, malah memusnahkan kebahagiaan sesebuah keluarga,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan undang-undang sedia ada melarang aktiviti perjudian haram dan mencadangkan agar pindaan undang-undang dipertimbangkan, termasuk mengenakan tindakan terhadap pemilik premis yang menyewakan aset mereka untuk aktiviti haram.
“Jika tidak dibendung secara menyeluruh, kegiatan ini tidak akan berakhir.
“Kini mereka menggunakan modus operandi kedai runcit untuk mengelirukan pihak berkuasa dan orang ramai,” katanya sambil merayu agar tindakan lebih tegas diambil demi kepentingan bersama.
Beliau turut mengingatkan bahawa keuntungan daripada sumber yang memudaratkan masyarakat tidak wajar diteruskan kerana ia memberi kesan buruk kepada institusi keluarga.
Dalam pada itu, Ling menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguat kuasa perlu bertindak adil dan tegas terhadap gejala itu selain penting untuk menjaga imej dan profesionalisme pasukan keselamatan negara.
“Saya percaya di bawah pimpinan pesuruhjaya yang muda dan dinamik ini, aktiviti haram yang berlaku secara terang-terangan dapat dibendung dengan segera dan memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|