"Boleh kami join?" Hani terus saja ke menegur pasangan itu yang sedang ralit menatap menu.
Aylanins mendongak. Tergamam melihat Hani bersama Muzafar berdiri di depan meja mereka. Matanya beralih pada Muzafar yang juga sudah terlihat riak terkejut di raut wajahnya. Pantas mula Aylanins mengalih pandang pada Malik yang sudah terkesima melihat Hani. Sekarang ini masing-masing diam membisu. Hanya mata yang berbicara. Sungguh, tiada luahan kata-kata.
"Err..hello..ada malaikat lalu ke?" Ujar Hani lagi. Ketiga mereka dilihat seperti terdiam kaku.
"Err..Ha..Hani, kau buat apa kat sini?" Aylanins mula bersuara, tersekat-sekat. Dia jeling Malik yang duduk di depannya.
"Aku dan Muzafar nak makan kat sini. Kebetulan pula nampak korang kat sini. Boleh kami join sekali?" Tanya Hani sekali lagi.
"Boleh..duduklah."
Selamba Hani duduk di sebelah Malik. Muzafar pula terpaksa duduk di sebelah Aylanins. Kini empat mata bertentang di satu meja. Masing-masing kelu seketika. Aylanins pandang Malik yang sudah menggelabah di sebelah Hani. Rasanya gadis itu sengaja duduk rapat dengan Malik sehingga terasa jemari Hani hampir menyentuh tangan Malik.
"Hmm..nak order apa? " Hani ambil menu dari tangan Malik dan melihat-lihat apa yang disediakan oleh restoran itu.
Malik terdiam. Sikap Hani dirasakan terlalu pelik padanya. Sebelum ini, merah muka gadis itu menahan marah bila mereka berjumpa dan dia ingin meminta maaf. Habis kata-kata kesat dihambur kepadanya. Hari ini pula, jauh benar tingkahnya. Perlahan Malik pandang ke arah Aylanins yang sedang merenung Hani.
"Ayla..orderlah. Tadi kata lapar.." Malik bersuara lembut. Dia tahu riak gadis itu seperti tidak senang dengan kehadiran Hani dan Muzafar. Dia juga berasa begitu. Tiba-tiba saja muncul.
"Awak orderlah. Saya ikut saja." Aylanins berkata perlahan. Entah kenapa rasa cemburu mula menguasai diri melihat Hani semakin rapat dengan Malik. Dia mengalih mata ke arah Muzafar di sebelah yang turut melihat telatah Hani tadi. Ada riak cemburu di wajah lelaki itu.
Malik yang tidak mahu membuang masa, segera memanggil pelayan dan terus saja membuat pesanan untuk empat orang. Suasana kembali senyap. Malik pula asyik melihat Muzafar yang sekejap pandang Hani dan sekejap pula jeling Aylanins di sebelahnya, agak rapat kedudukan mereka.
MAKANAN yang sudah tiba di meja hanya dipandang saja. Dari tadi mereka berempat diam tanpa bicara. Aylanins yang lapar dari tadi terpaksa mulakan dulu. Ah, peduli apa! Perutnya dari tadi sudah minta diisi. Ayam panggang madu diambil dari pinggan besar dan dimasukkan ke dalam pinggan nasinya.
Muzafar di sebelah Aylanins hanya senyum melihat Aylanins yang sudah rakus mengunyah paha ayam bersama nasi dan salad. Gadis itu tidak pernah berubah sejak dulu. Pantang ada makanan di depan, lupa pada orang sekeliling. Dia turut mengambil seketul ayam dan diletakkan atas pinggan Hani.
Hani pula hanya melihat Muzafar memberinya ayam tadi. Dia sebaliknya mengambil seketul lagi ayam diletakkan di atas pinggan Malik. Malik tergamam. Dia pandang Aylanins yang buat tidak tahu tapi dia tahu apa yang bermain di benak gadis itu.
Diam semuanya sambil menikmati juadah petang itu.
"Ayla, aku tahu kau dan Malik dah bertunang tapi kau sepatutnya lebih tahu yang Malik perlu bertanggungjawab pada aku." Hani buka bicara setelah lama berdiam.
Malik pantas mendongak ke arah Hani. Dia menelan liur. Nampaknya Hani seperti ingin menjeratnya dengan kisah silam itu. "Hani..apa kau cakap ni?"
Hani masih merenung Aylanins, kata-kata Malik tadi langsung tidak dipedulikan. Biar dia berurusan dengan gadis itu dulu. "Kau fahamkan maksud aku?"
"Hani! Kau sedar tak? Ayla dan Malik dah bertunang dan dia orang tak lama lagi akan bernikah. Kan kau yang bencikan Malik?" Muzafar mencelah. Kasihan pula pada Aylanins bila diasak soalan dari Hani.
"Malik patut bertanggungjawab! Aku yang lebih berhak! Kau Malik, senang saja kau ya! Habis madu kau ambik, kau buang sepah macam tu je. Aku ada maruah!" Hani seakan emosi ketika ini.
"Hani..aku..aku.." Malik sudah serba salah. Memang dulu dia ada niat untuk bernikah dengan Hani tapi jodohnya sudah ditentukan dengan Aylanins dan sekarang ini dia sudah jatuh cinta dengan gadis itu.
"Aku lebih berhak Malik. Kau patut lindungi aku, nikahi aku." Hani sudah bergenang air mata.
"Hani..jadi selama ni kau.." Muzafar pula tercengang.
"Ya..aku putuskan pertunangan kita sebab Malik. Sudah lama aku suka Malik tapi Malik tidak pernah tahu isi hati aku sampailah kejadian pahit tu. Aku nak kau bertanggung jawab Malik..itu saja. Susah sangat ke hah?" Hani sudah menitiskan air mata.
Aylanins yang dari tadi hanya diam, dia habiskan minuman dan bingkas bangun." Aku minta diri dulu."
"Ayla! Tunggu!" Malik mengejar Aylanins yang sudah laju melangkah keluar dari restoran.
"Malik!" Sempat Hani tarik tangan Malik dari pergi.
Muzafar yang melihat Hani sudah emosi begitu mula mengejar Aylanins. Dia tahu Aylanins sudah kecewa. Dia faham sangat sikap gadis itu sejak di kampus lagi.
okay.. ini kelakar..
main pas2 ayam.. pastu orang lain kejor tunang orang lain..
tunang sendiri terkejung sebelah bekas tunang orang lain..
watdehel???