|
|
FAS santuni mangsa kebakaran di Penampang
Februari 1, 2026, Ahad - 8:41am

PRIHATIN: Darren dan pasukan FAS menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.
PENAMPANG: Pertubuhan Food Aid Sabah(FAS) terus mempergiat misi kemanusiaan bagi meringankan beban golongan yang ditimpa musibah dengan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Mahandoi, Penampang baru-baru ini.
Misi berkenaan merupakan kesinambungan usaha pertubuhan itu dalam memastikan kebajikan komuniti setempat yang terjejas akibat bencana sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Tragedi yang berlaku di Kg. Mahandoi pada 31 Disember 2025 telah mengakibatkan sebuah rumah yang didiami seramai 11 ahli keluarga musnah dijilat api dalam sekelip mata.
Bagi membantu meringankan beban yang dipikul para mangsa, FAS telah menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan asas serta kelengkapan tidur termasuk tilam, bantal dan selimut.
Pengerusi FAS, Darren Liew berkata, penyerahan bantuan itu diharapkan dapat memenuhi keperluan mendesak keluarga berkenaan, sementara mereka berusaha untuk membina semula kehidupan selepas bencana.
Katanya, FAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Food Aid Foundation yang bertindak sebagai penaja utama dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap setiap misi kemanusiaan yang dijalankan.
Menurutnya, kerjasama erat antara kedua-dua pihak ini menjadi tunjang utama dalam memastikan kelangsungan program bantuan makanan dan kebajikan di seluruh Sabah.
Dalam pada itu katanya, orang ramai yang ingin menyumbangkan pakaian atau mainan terpakai kepada golongan memerlukan boleh menghubungi FAS di talian 016-2200520 atau menerusi laman Facebook rasmi FAS di https://www.facebook.com/FoodAidSabah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tingkat perpaduan, idea jana ekonomi melalui aktiviti riadah
Februari 1, 2026, Ahad - 11:20am

MERIAH: Shahelmey ketika menghadiri Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru.
PUTATAN: Aktiviti riadah setempat bukan sahaja mampu meningkatkan perpaduan masyarakat, bahkan ianya dapat menjana idea untuk mempelbagaikan kekuatan ekonomi di lokaliti masing-masing.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kekuatan itu dapat diterjemahkan menerusi pelbagai medium dalam usaha merealisasikan masyarakat yang berdaya saing di masa hadapan.
"Banyak aktiviti riadah memberikan impak kepada komuniti setempat dengan ada di antaranya mampu menjana atau menambah pendapatan.
"Sehubungan itu, menerusi ikatan perpaduan yang didirikan di antara masyarakat, kepelbagaian idea akan lahir untuk memacu ekonomi baharu berasaskan aktiviti riadah tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, dekat sini, pada Sabtu.
Program yang disertai kira-kira 50 peserta itu merupakan anjuran Kelab Komuniti Belia Tg. Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al Khauthar, Tanjung Aru.
Mengulas mengenai aktiviti itu, Shahelmey berkata, ia merupakan wadah berbeza yang dapat menarik kehadiran ramai kaki pancing bahkan para pelancong.
"Aktiviti yang dianjurkan oleh komuniti belia di sini adalah usaha memberangsangkan yang mana kita lihat ia sejajar dengan trend terkini melibatkan minat dan riadah.
"Lokasi yang menarik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru ini juga dapat menarik bukan sahaja peminat pancing malah ia mampu menarik kehadiran pelancong datang ke sini nanti," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pelaksanaan semakan tarik elektrik perlu secara berperingkat dan adil
Februari 1, 2026, Ahad - 11:29am

DAVID
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa kerajaan negeri supaya meneliti semula cadangan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, sekiranya tidak dapat dielakkan, pelaksanaannya hendaklah dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan tekanan kewangan yang serius terhadap pengguna serta ekonomi secara keseluruhan.
"YPNM amat bimbang bahawa kenaikan tarif yang mendadak akan mencetuskan kesan rantaian ke atas sektor-sektor utama termasuk perkilangan, industri makanan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan seterusnya isi rumah.
"Kenaikan ini akan memberi beban besar kepada golongan B40, M40 malah T20, sekali gus menjejaskan perancangan kewangan harian rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang sudah pun tinggi," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Beliau berkata, YPNM menegaskan bahawa elektrik adalah keperluan asas, bukan barangan mewah.
Oleh itu katanya, sebarang pelarasan tarif mestilah mengambil kira keseimbangan antara kelestarian kewangan utiliti tenaga dan keupayaan pengguna untuk menanggung kos.
Pada masa yang sama katanya, YPNM mengakui bahawa Sabah Electricity (SE) berdepan cabaran kewangan yang nyata.
"Kepimpinan SE sebelum ini pernah memberi amaran bahawa tarif yang terlalu rendah untuk tempoh berpanjangan boleh membawa kepada risiko ketidakmampuan kewangan, sekali gus menjejaskan kestabilan bekalan elektrik jangka panjang.
"Namun demikian, kenaikan tarif seharusnya menjadi pilihan terakhir, bukan langkah awal," katanya.
David berkata, YPNM menggesa SE untuk memperluaskan skim insentif dan rebat kepada pengguna yang berdisiplin dan membayar bil tepat pada masanya.
Menurutnya, memperketatkan penguatkuasaan terhadap kecurian elektrik, yang merupakan kebocoran kewangan serius dan tidak adil kepada pengguna yang jujur.
"Isu kecurian elektrik perlu ditangani secara tegas kerana kerugian tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif.
"Dari sudut pelaburan, Sabah mesti kekal kompetitif. Sekiranya tarif elektrik di Sabah menjadi jauh lebih tinggi berbanding Sarawak, para pelabur secara logiknya akan memilih Sarawak sebagai destinasi pelaburan," katanya.
Katanya, keadaan ini boleh menjejaskan pertumbuhan industri, peluang pekerjaan dan prospek ekonomi jangka panjang Sabah.
"YPNM juga menggesa pengawasan kawal selia yang lebih ketat terhadap Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).
"Struktur tarif melibatkan IPP hendaklah disemak secara telus oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi memastikan kadar yang adil dan munasabah," katanya.
Pada masa ini katanya, kira-kira 80 peratus penjanaan tenaga elektrik di Sabah bergantung kepada gas, dengan harga bahan api ditentukan oleh Petronas.
Menurutnya, walaupun kenaikan harga gas akan meningkatkan kos penjanaan, ia tidak seharusnya dipindahkan secara langsung dan tidak seimbang kepada pengguna tanpa usaha peningkatan kecekapan di peringkat operasi.
"Sistem elektrik yang mampan mesti dibina berasaskan kecekapan, akauntabiliti dan keadilan, bukannya bergantung semata-mata kepada kenaikan tarif.
"Pengguna tidak seharusnya dipaksa menanggung sepenuhnya beban masalah struktur dan kenaikan kos bahan api," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan negeri puji SAN Apas Balung guna teknologi AI
Februari 1, 2026, Ahad - 2:19pm

ALBUM: Hajiji bergambar bersama tetamu kehormat lain dan jawatankuasa SAN Apas Balung, Tawau.
TAWAU: Kerajaan negeri memuji Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai contoh terbaik apabila muncul sebagai sekolah agama pertama di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata inisiatif itu membuktikan institusi pendidikan agama di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan, malah bersedia mendepani cabaran pendidikan masa depan sejajar perkembangan teknologi semasa.
Katanya, kejayaan pembinaan sekolah berkenaan yang siap dalam tempoh tiga bulan hasil sumbangan masyarakat amat membanggakan, sebelum kerajaan negeri tampil membantu memperluaskan lagi kemudahan sekolah itu.
“Ini satu pencapaian yang sangat baik dan membuktikan sekolah agama juga mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan SAN Apas Balung, di sini, hari ini.

TANDATANGAN: Hajiji menandatangani plak perasmian SAN Apas Balung, Tawau.
Hajiji berkata, SAN Apas Balung bukan sekadar berperanan sebagai perintis, malah wajar dijadikan contoh dan rujukan kepada sekolah agama negeri serta sekolah agama rakyat lain dalam usaha memodenkan sistem pembelajaran tanpa mengetepikan nilai serta teras pendidikan Islam.
“Penggunaan teknologi AI dalam pendidikan agama selari dengan keperluan generasi masa kini yang terdedah kepada teknologi digital, sekali gus memastikan institusi pendidikan Islam kekal relevan, berdaya saing dan progresif.
“Teknologi yang canggih perlu dimanfaatkan untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

PENGHARGAAN: Hajiji menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Jawatankuasa SAN Apas Balung, Sabran Zabur Abd Hamid.
Mengulas perkembangan masa depan, Hajiji berkata kerajaan negeri menyambut baik perancangan pihak pengurusan sekolah untuk menubuhkan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di kawasan itu.
“Penubuhan SMAN ini sangat bertepatan memandangkan permintaan masyarakat Islam terhadap pendidikan agama di Sabah semakin meningkat.
“Justeru, perancangan ini amat baik dan perlu diperluaskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan Islam secara lebih tersusun,” katanya.

PENERANGAN: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui memberi penerangan berkaitan teknologi AI di SAN Apas, Balung Tawau.
Beliau berkata, cadangan ke arah penubuhan institusi pengajian tinggi atau universiti Islam juga turut dilihat sebagai langkah positif dalam melengkapkan ekosistem pendidikan agama di negeri ini.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan mengatur peruntukan sewajarnya bagi menyokong pembangunan sekolah menengah agama pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan bantu mana yang boleh dan mengikut kemampuan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pertambahan peruntukan badan keagamaan bukan Islam bukti komitmen kerajaan Sabah - Ewon
Februari 1, 2026, Ahad - 3:35pm

HADIR: Ewon ketika hadir pada Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Lok Kawi, di sini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menunjukkan komitmen terhadap kepelbagaian agama apabila menambah peruntukan untuk badan keagamaan bukan Islam di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata pertambahan peruntukan kepada RM90 juta itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dalam membangunkan keperluan semua komuniti agama secara inklusif dan saksama.
“Peruntukan ini adalah manifestasi komitmen besar kerajaan Sabah untuk memastikan pembangunan dan kebajikan semua penganut agama diberi perhatian,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Lok kawi, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, penghormatan terhadap perayaan keagamaan dan kebudayaan yang diraikan pelbagai bangsa dan agama adalah asas penting dalam memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat di Sabah.
“Saya yakin dengan saling menghormati kepelbagaian ini, kita mampu memperkukuh perpaduan nasional dan terus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Ini terjemahan sebenar kepelbagaian bangsa di Sabah,” katanya.

TRADISI: Ewon memecahkan kelapa sebagai tradisi sambutan perayaan Thaipusam.
Beliau turut berkongsi pengalaman turun padang untuk mendengar keperluan komuniti bukan Islam di kawasan yang diwakilinya, termasuk gereja-gereja di Penampang dan Kadamaian.
“Tadi pagi saya berada di Kampung Sugud, bukan sahaja untuk menunaikan ibadah mingguan, tetapi juga mendengar keperluan pihak gereja.
“Mereka telah memaklumkan kepada saya dan ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, keperluan membesarkan ruang kawasan gereja,” katanya.
Ewon berkata, sebagai Ahli Parlimen, beliau telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada gereja berkenaan bagi membina konkrit kawasan parkir.
“Hari ini saya turun sendiri melihat pelaksanaan projek itu dan maklum balas daripada jemaah yang hadir sangat positif,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Musa santuni pelajar Sabah di Madinah
Februari 1, 2026, Ahad - 11:26pm

ALBUM: Musa bersama tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan bersama para pelajar di Madinah.
MAKKAH: Selepas mengadakan penglibatan rasmi bersama para pelajar Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir serta merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb Sheikhul Azhar, Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman telah meneruskan perjalanan ke Madinah dan Makkah bagi menunaikan ibadah Umrah.
Semasa berada di Madinah, Musa berkesempatan mengadakan pertemuan dengan para pelajar Sabah yang sedang menuntut di sana. Beliau seterusnya meneruskan perjalanan ke Makkah.
Ketibaan Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, di Makkah telah disambut dengan penuh mesra oleh Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Arab Saudi, Dato’ Mohamad Syed Bakri Syed Abdul Rahman bersama isterinya.
Mohamad Syed Bakri dan isteri turut menyertai Musa dan rombongan dalam menunaikan ibadah Umrah.
Turut hadir ialah Pegawai Komunikasi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Hassan Ibrahim Abdullah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah rancang bina SMAN berkonsep AI, perkukuh pendidikan Islam
Februari 2, 2026, Isnin - 9:46am

RASMI: Hajiji bergambar bersama tetamu kehormat dan masyarakat Tawau yang hadir dalam majlis berkenaan.
TAWAU: Kerajaan Sabah merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan bersebelahan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, institusi berkenaan sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam selari dengan kemajuan teknologi.
Katanya, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas kira-kira 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong pemerkasaan pendidikan Islam serta pembangunan institusi agama di Sabah.
“Kerajaan negeri akan terus komited menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadan ‘Malam Mencari Kekasih’ di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, kekuatan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pembangunan fizikal atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman serta kesuburan ilmu berteraskan nilai agama.
“Pembangunan pendidikan Islam bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai antara platform utama melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.

HADIR: Hajiji disambut oleh masyarakat Tawau ketika hadir dalam majlis berkenaan.
Sebelum itu, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah sebagai Sekolah Agama Negeri pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan AI.
Katanya, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan papan putih pintar (Smart White Board) di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.
“Di sinilah anak-anak bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelma sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isu pampasan Gereja Kalvari Karismatik Tenom akan dipercepat
Februari 2, 2026, Isnin - 11:14am

TINJAU: Jamawi (dua kanan) mendengar penjelasan daripada pemimpin gereja ketika melawat tapak gereja Kalvari Karismatik.
TENOM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan berusaha mempercepatkan proses pampasan dan rundingan harga melibatkan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terjejas akibat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan Tenom.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu akan diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan pengurusan gereja serta penganutnya terus terpelihara.
“Saya telah melawat kawasan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terletak di jajaran benteng projek tebatan banjir yang sedang dan akan dibina oleh kontraktor di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.
Menurutnya, pihak pengurusan gereja memaklumkan setakat ini mereka masih belum menerima sebarang pampasan berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
“Pengurusan gereja meminta supaya proses pampasan dan rundingan harga dapat dipercepatkan serta ditawarkan pada kadar yang lebih munasabah dan bersesuaian dengan nilai semasa,” katanya.
Jamawi berkata, berdasarkan maklumat diterima, jurunilai kerajaan telah pun menjalankan penilaian ke atas kawasan terlibat, namun pihak gereja berpandangan nilai yang ditawarkan masih tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, pihak gereja telah melantik jurunilai swasta dan saya berharap laporan penilaian tersebut dapat diserahkan dengan segera supaya rundingan harga dapat dimuktamadkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau menjelaskan, pemuktamadan rundingan pampasan amat penting bagi membolehkan pihak gereja merancang pemindahan serta mendapatkan tapak baharu untuk pembinaan rumah ibadat di lokasi lain.
“Saya ingin memudahkan urusan mereka supaya pengurusan gereja dapat mencari tapak yang sesuai dan membina kemudahan rumah ibadat yang baharu,” katanya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Gereja Kalvari Karismatik Tenom atas kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
“Bagi pihak saya, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka turut mendapat kemudahan rumah ibadat yang lebih sempurna pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas kemungkinan untuk mengekalkan tapak sedia ada, beliau berkata, kawasan tanah berkenaan telah diwartakan pada 2022 bagi tujuan projek tebatan banjir.
“Saya dimaklumkan oleh pihak JPS dan juga pihak gereja sendiri bahawa tanah ini telah diwartakan. Jika mahu mengubah semula pewartaan, prosesnya adalah panjang dan perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri serta melibatkan beberapa prosedur lain,” katanya.
Menurutnya, proses tersebut berisiko mengambil masa yang lama dan pihak gereja juga tidak mahu menanggung ketidaktentuan berpanjangan.
“Oleh itu, permintaan utama mereka adalah supaya kadar pampasan yang ditawarkan adalah berpatutan dan selaras dengan nilai semasa bagi membolehkan mereka mendapatkan bangunan baharu,” katanya.
Jamawi menegaskan kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pelaksanaan projek pembangunan awam tidak menjejaskan keharmonian masyarakat serta hak mana-mana pihak.
“Kita mahu pembangunan berjalan lancar, dalam masa sama kebajikan rakyat dan institusi keagamaan terus dibela,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sistem pengairan sawah DUN Melalap diperkasa
Februari 2, 2026, Isnin - 12:02pm

TINJAU: Jamawi meninjau projek sistem pengairan di Sungai Kalang yang telah siap bagi melancarkan penanaman padi Kg. Kalang.
TENOM: Sistem pengairan di semua kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan ditambah baik secara lebih efisien bagi membantu pengusaha padi.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada pengusaha padi di Kg. Kasiai, Kg. Langsat, Kg. Sawang, Kg. Jawa Sumbiling dan Kg. Babalang mengenai masalah sistem pengairan yang menjejaskan aktiviti penanaman padi.
“Contohnya di Kg. Kasiai yang kita lawati kelmarin, pengusaha tidak dapat mengusahakan tanaman padi kerana sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.
“Banjir besar tahun lalu telah meruntuhkan tembok yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seperti yang dimaklumkan oleh Jurutera JPS Daerah, Lahaman Dahing. Justeru, pembinaan baharu akan dilaksanakan tahun ini,” katanya ketika meninjau projek pengairan yang siap dilaksanakan tahun lalu di Sungai Kg. Kalang.
Jamawi berkata, beliau akan memastikan semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi di DUN Melalap mendapat bantuan penambahbaikan sistem pengairan.
“Kita akan meluruskan sungai bagi memastikan bekalan air pengairan yang lebih baik, termasuk di Kg. Kasiai.
“Di Kg. Langsat pula, sistem pengairan masih tidak teratur dan menggunakan kaedah lama seperti susunan batu dan guni, begitu juga di Kampung Sawang," katanya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera JPS yang sanggup turun padang bersama-sama walaupun pada hujung minggu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
40 rumah setinggan musnah terbakar di Tawau
Februari 2, 2026, Isnin - 2:53pm
MUSNAH: Kawasan rumah setinggan yang musnah terbakar dalam kejadian berkenaan.
TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.
Katanya sepasukan 28 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba pada jam 10.35 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan dengan keluasan kira-kira 177 x 60 kaki persegi.
“Operasi pemadaman berdepan cabaran susulan tekanan air rendah, namun anggota bomba menggunakan sumber air terbuka dan dari jentera bomba bagi memastikan kebakaran dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi.
Menurutnya, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi dan maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bot pam bawa petrol tanpa kelulusan ditahan Maritim Malaysia
Februari 2, 2026, Isnin - 3:05pm

RAMPASAN: Bot pam yang didapati membawa kira-kira 2,000 liter petrol tanpa kelulusan sah ditahan pasukan Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat.
KUDAT: Sebuah bot pam yang disyaki membawa kira-kira 2,000 liter petrol tanpa kelulusan sah ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, sepasukan bot peronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi hasil maklumat risikan untuk menjalankan pemeriksaan dalam operasi di perairan Damaran, Pulau Banggi di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan pasukan penguat kuasa, bot berkenaan didapati ditinggalkan tanpa pengendali yang dipercayai melarikan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, bot pam terbabit membawa beberapa tong drum biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran.
Pihaknya menganggarkan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5,000 dan bot serta muatan bahan api berkenaan dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa dan menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat kawalan serta pemantauan di perairan ini bagi mengekang pelanggaran undang-undang maritim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut supaya menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pasukan KV Keningau terima geran CHANGE bantu komuniti
Februari 2, 2026, Isnin - 3:10pm

HEBAT: Pasukan bakeri dan pastri KV Keningau bersama guru pembimbing yang berjaya dipilih sebagai penerima geran Program CHANGE.
KOTA KINABALU: Pasukan bakeri dan pastri Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya dipilih sebagai penerima geran melalui 'CHANGE Microgrant Programme' berjumlah RM3,000 bagi merealisasikan cadangan mereka untuk membantu komuniti dalam tempoh enam bulan.
Program berkenaan adalah satu inisiatif kebajikan yang menyokong program pendidikan dan sosial di Asia Tenggara khususnya di Malaysia, untuk melaksanakan projek komuniti 'Slices of Care'.
Pasukan itu terdiri daripada Guru KV Keningau, Syafiqah Eugene dan tiga pelajar tahun kedua iaitu Nur Aleysa Felix @ Mohd Fahmey, Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip dan Nurul Nabilah Batrisyia Abd Karim.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata, projek yang dijalankan pasukan itu merupakan salah satu daripada tujuh projek yang dipilih melalui CHANGE Microgrant Programme tahun ini.
Katanya, pasukan bakeri dan pastri KV Keningau berhasrat untuk memperkasakan wanita bekerja yang berpendapatan minima dengan membimbing mereka melalui bengkel membuat kek dan karnival jualan kek.
"Usaha ini bagi membantu mereka memperoleh pendapatan sampingan melalui perusahaan sendiri.
"Pasukan ini akan menyediakan dapur program bakeri dan pastri di KV Keningau sebagai pusat latihan dan penyediaan bagi peserta-peserta projek mereka," katanya.
Pihaknya berbangga dengan pemberian geran berkenaan kepada projek komuniti yang diusahakan oleh guru dan pelajar kolej itu.
Beliau menganggap ia sebagai pengiktirafan bagi niat murni pasukan itu dalam memartabatkan pendidikan kolej vokasional sebagai pendidikan yang menekankan kepentingan masyarakat setempat.
Sementara itu, Syafiqah berkata, pasukannya sangat teruja kerana usaha mereka diterima sebagai penerima geran oleh CHANGE yang diasaskan oleh Ai Goto seorang dermawan yang melaksanakan program itu sejak 2020.
Menurutnya, selain pasukan bakeri dan pastri KV Keningau, terdapat satu lagi pasukan daripada KV Keningau yang turut menerima geran berjumlah RM3,000 iaitu Kelab Eureka Hub.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembangunan DBKK disokong penuh kerajaan negeri: Joniston
Februari 2, 2026, Isnin - 3:12pm

RASMI: Joniston (empat kanan), Sabin (tengah), Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin serta tetamu kehormat lain semasa majlis perasmian itu.
KOTA KINABALU: Pembangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dilaksanakan selari dengan kerangka visi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) disokong penuh kerajaan negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan yang menekankan tadbir urus cekap, integriti pentadbiran, keseimbangan pembangunan serta kesejahteraan rakyat adalah selari sepenuhnya dengan aspirasi kerajaan negeri.
"Perkhidmatan awam merupakan rakan strategik utama kepada kepimpinan kerajaan yang bukan sekadar pelaksana dasar.
"Sebaliknya, merupakan tulang belakang kepada kestabilan pentadbiran, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan.
“Dalam konteks ini, DBKK memainkan peranan yang amat signifikan sebagai pihak berkuasa tempatan utama yang berada di barisan hadapan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
“Keupayaan DBKK untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan di peringkat bandar raya menjadikan institusi ini rakan strategik penting dalam merealisasikan aspirasi SMJ, khususnya dalam memastikan pembangunan bandar yang terancang, inklusif dan mampan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Bandaraya Kota Kinabalu ke-26, di sini, semalam.
Beliau berkata, bandaraya ini mempunyai kedudukan yang amat strategik dalam kerangka pembangunan Sabah secara keseluruhan.
Katanya, setiap perkara yang berlaku di bandaraya ini akan memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur, pengalaman pelawat, kualiti hidup rakyat serta imej Sabah di peringkat nasional serta antarabangsa.
Joniston yang juga Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK berkata, pelaksanaan SMJ adalah berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat, dan pembangunan jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau.
Sementara itu, Joniston berkata, perkhidmatan awam merupakan rakan strategik utama kepada kepimpinan kerajaan dan menjadi tulang belakang kepada kestabilan pentadbiran serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha DBKK melalui penyelarasan dasar, sokongan institusi, kerjasama antara agensi, serta penglibatan sektor swasta dan komuniti bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak nyata kepada rakyat.
"Saya yakin dengan kesepaduan hala tuju antara SMJ dan DBKK, Kota Kinabalu akan terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang berdaya tahan, progresif dan mampu menjadi model pengurusan bandar yang unggul di Sabah," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
Turut hadir ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
HPN medan solidariti pengamal media
Februari 2, 2026, Isnin - 3:46pm
‘Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat’ dipilih sebagai tema sambutan HPN 2026

Jeniri Amir
IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dibentuk oleh wartawan-wartawan kanan dari Malaysia dan Indonesia, dengan tujuan utama memperkukuh hubungan antara media dan wartawan di kedua-dua negara.
Dan setiap tahun, ISWAMI Malaysia menghantar delegasi sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia di mana pada tahun ini provinsi Banten dipilih sebagai tuan rumah sambutan berkenaan.
Pelbagai acara diatur sebagai pengisian dengan kemuncaknya pada 8-9 Februari, yang dijangka dirasmikan Presiden Prabowo Subianto.
Ketua Pengarang Utusan Borneo, Datuk Lichong Angkui mendapatkan pandangan daripada Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia, Datuk Dr Jeniri Amir selaku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, yang mengetuai delegasi sembilan orang media dipimpinnya dari Negeri Sarawak ke HPN 2026.
Berikut sedutan interviu UB bersama Jeniri.

Utusan Borneo (UB): Apakah harapan Datuk terhadap HPN 2026 ini?
JENIRI AMIR (JA): Saya berharap Hari Pers Nasional (HPN) 2026 di Indonesia akan menjadi wadah yang bermakna untuk memperkukuh peranan media dalam era digital yang semakin mencabar.
Saya ingin melihat HPN sebagai ruang dialog terbuka antara wartawan, pengamal media, kerajaan dan masyarakat bagi membincangkan kebebasan akhbar, etika kewartawanan, serta kelestarian industri media.
Selain itu, saya berharap HPN 2026 dapat menggalakkan kerjasama serantau, khususnya antara negara ASEAN, dalam menghadapi isu maklumat palsu, kecerdasan buatan, dan transformasi digital media.
Yang paling penting, HPN diharapkan dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai sumber maklumat yang berintegriti, berimbang dan berpaksikan kepentingan awam di tengah-tengah penguasaan dan asakan pelbagai naratif yang tidak bersumberkan sesuatu yang sahih.

UB: Bagaimana HPN dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan dunia kewartawanan dan industri media serantau?
JA: HPN dapat menjadi pemangkin pembangunan dunia kewartawanan dan industri media serantau melalui pendekatan yang strategik, inklusif dan berpandangan jauh.
Sebagai platform perhimpunan wartawan, pengamal media, akademik, penggubal dasar serta pemain industri, HPN berpotensi berfungsi bukan sekadar acara simbolik, tetapi sebagai ekosistem idea dan tindakan yang memberi kesan jangka panjang kepada landskap media serantau.
HPN boleh memperkukuh kualiti kewartawanan melalui perkongsian ilmu dan amalan terbaik antara negara.
Forum, bengkel dan dialog yang melibatkan wartawan serantau membolehkan pertukaran pengalaman dalam menangani cabaran seperti kebebasan media, keselamatan wartawan, etika pelaporan, serta liputan isu rentas sempadan seperti perubahan iklim, migrasi dan jenayah terancang.
Interaksi ini mampu meningkatkan profesionalisme dan standard kewartawanan di peringkat serantau.
HPN berperanan sebagai pemangkin inovasi industri media. Dalam era transformasi digital, media berdepan tekanan ekonomi, perubahan tabiat audiens dan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan.
Melalui pameran, pembentangan teknologi dan perbincangan strategik, HPN boleh membantu organisasi media memahami model perniagaan baharu, strategi pengewangan kandungan digital, serta penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.
Ini penting untuk memastikan kelangsungan industri media serantau.

Sebahagian daripada 33 anggota delegasi ISWAMI Malaysia bergambar kenangan ketika menghadiri HPN 2024 di Jakarta.
IMBAS KEMBALI: Sebahagian daripada 33 anggota delegasi ISWAMI Malaysia bergambar kenangan ketika menghadiri HPN 2024 di Jakarta.
UB: Apa pandangan Datuk mengenai kepentingan mengadakan HPN di tengah-tengah cabaran global dan persaingan dengan perkembangan pantas media sosial?
JA: HPN juga dapat menggalakkan kerjasama serantau yang lebih erat. Media tidak lagi terhad oleh sempadan negara, justeru kerjasama dalam bentuk rangkaian wartawan, penghasilan kandungan bersama, dan perkongsian data menjadi semakin relevan.
HPN boleh menjadi titik temu bagi membina konsortium media serantau yang menangani isu bersama seperti berita palsu, disinformasi, dan manipulasi maklumat, yang memberi kesan besar kepada kestabilan sosial dan politik.
HPN juga berpotensi mempengaruhi dasar awam berkaitan media.
Dialog antara pengamal media dengan pembuat dasar membuka ruang untuk merangka persekitaran perundangan yang seimbang antara kebebasan akhbar, tanggungjawab sosial dengan kepentingan nasional.
Suara kolektif media serantau yang dizahirkan melalui HPN mampu memberi tekanan positif untuk reformasi dasar yang menyokong kebebasan dan kemerdekaan media.
UB: Mampukah HPN menjadi penggerak membangunkan semula dunia kewartawanan sebenar berpaksi kebertanggungjawaban?
JA: HPN boleh memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap media.
Dengan menegaskan komitmen terhadap kebenaran, ketelusan dan kepentingan awam, HPN membantu mengangkat semula peranan media sebagai institusi demokrasi yang penting.
Secara keseluruhan, melalui pembangunan kapasiti, inovasi, kerjasama dan pengaruh dasar, HPN berpotensi menjadi pemangkin utama kepada kemajuan kewartawanan dan industri media serantau yang mampan, bertanggungjawab, beretika dan berintegriti.
Dalam keadaan landskap maklumat yang semakin kompleks, HPN berfungsi sebagai platform strategik untuk menegaskan semula peranan media arus perdana dan kewartawanan profesional sebagai tunjang kepada masyarakat bermaklumat dan demokrasi yang sihat.
Cabaran global seperti konflik geopolitik, perubahan iklim, krisis ekonomi dan pandemik memerlukan liputan yang tepat, berimbang dan berasaskan fakta dan data.
Di sinilah kewartawanan beretika dan bertanggungjassab memainkan peranan penting.
Hal ini berbeza dengan media sosial yang sering dipenuhi maklumat tidak ditapis, sensasi dan kadangkala bersifat mengelirukan.
HPN memberi ruang kepada pengamal media untuk menilai semula tanggungjawab mereka dalam mmenyampaikanm maklumat yang sahih serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap media.
Persaingan dengan media sosial tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai ancaman, tetapi sebagai realiti yang perlu ditangani dgn bijaksana.
Melalui HPN, isu transformasi digital, adaptasi teknologi baharu, penggunaan kecerdasan buatan serta strategi melibatkan audiens muda dapat dibincangkan secara mendalam. Ini membantu industri media untuk kekal relevan tanpa mengorbankan prinsip kewartawanan.
HPN juga penting sebagai medan solidariti dan kesepaduan pengamal media.
Dalam era tekanan politik, ekonomi dan digital, wartawan memerlukan sokongan moral, rangkaian profesional dan suara kolektif untuk mempertahankan.
Justeru, HPN bukan sekadar acara ttahunan, tetapi simbol komitmen berterusan terhadap kewartawanan berkualiti.
Di tengah-tengah cabaran global dan ledakan media sosial, HPN menjadi ruang refleksi, pembaharuan dan pengukuhan peranan media sebagai penjaga kebenaran dan kepentingan awam.
UB: Apakah yang boleh dipelajari daripada HPN dalam rangka kita mengadakan HAWANA?
JA: Banyak pengajaran penting yang boleh dipelajari daripada penganjuran Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia dalam rangka memperkukuh penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Malaysia.
HPN bukan sekadar acara perayaan kewartawanan, sebaliknya dibangunkan sebagai platform nasional yang strategik, inklusif dan berimpak tinggi terhadap pembangunan dunia pers dan industri media, membabitkan pelbagai pihak dalam rentang waktu yang a agak panjang.
HPN menonjolkan penglibatan menyeluruh ekosistem media. Selain wartawan, HPN melibatkan pemilik media, akademia, pelajar kewartawanan, pertubuhan masyarakat sivil dan pembuat dasar.
Pendekatan ini wajar dicontohi HAWANA agar ia menjadi medan dialog nasional yang membincangkan masa depan media secara holistik, bukan hanya isu kebajikan wartawan semata-mata.
HPN memberi penekanan kepada agenda pemikiran dan penyelesaian.
Setiap penganjuran HPN mengangkat tema besar yang berkait rapat dengan cabaran semasa seperti transformasi digital, kebebasan media, keselamatan wartawan dan kelestarian industri.
Malaysia boleh memanfaatkan pendekatan ini dengan menjadikan HAWANA sebagai platform merumuskan pelan tindakan atau resolusi media nasional yang lebih jelas dan berkesan.
UB: Apa harapan Datuk terhadap HPN dalam memperkukuh jalinan kerjasama dua negara Malaysia dan Indonesia?
JA: HPN berjaya menjadikan acara tersebut sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan setempat dengan menganjurkannya secara bergilir di pelbagai wilayah.
Selain memperkenalkan potensi daerah, ia turut mendekatkan media dengan masyarakat setempat.
Model ini boleh dipertimbangkan oleh Malaysia bagi memperluas impak HAWANA di luar pusat pentadbiran.
HPN menekankan kerjasama serantau dan antarabangsa. Kehadiran wartawan serta organisasi media luar negara membuka ruang pertukaran idea dan jaringan profesional.
HAWANA boleh diperkasa dengan penglibatan rakan media ASEAN bagi membina solidariti dan menghadapi cabaran serantau bersama.
Kesimpulannya, HPN mengajar bahawa sambutan hari kewartawanan harus bersifat substantif, progresif dan berpandangan jauh.
Dengan mengambill iktibar daripada HPN, HAWANA berpotensi menjadi platform nasional yang lebih berpengaruh dalam membentuk kewartawanan Malaysia yang berintegriti, mampan dan relevan dengan cabaran masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Skim Pembiayaan Teman TEKUN salur RM25.17 juta di Sabah tahun lepas
Februari 2, 2026, Isnin - 3:47pm

Mohamad (dua, kanan) menyampaikan replika cek bantuan pinjaman Tekun kepada Usahawan Tekun Orang Kurang Upaya (OKU) Dayang Patimah Matali pada Majlis Ramah Mesra Usahawan Teman Tekun di Perpustakaan Cawangan Membakut hari ini. - Gambar BERNAMA
MEMBAKUT: Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyalurkan RM25.17 juta di Sabah tahun lepas melepasi sasaran asal sebanyak RM21.94 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata pencapaian itu membuktikan usahawan Sabah semakin yakin dan proaktif memanfaatkan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama-sama TEKUN Nasional akan terus memastikan sokongan berterusan diberikan agar usahawan mikro dan kecil mampu berkembang serta berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEMAN TEKUN di sini hari ini.
Beliau berkata pada peringkat nasional, pembiayaan TEMAN TEKUN telah merekodkan jumlah keseluruhan RM162.05 juta mengatasi sasaran RM155 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Nasional dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.
“Kerajaan komited untuk memastikan usahawan luar bandar dan komuniti setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Fokus kita ialah membantu usahawan meningkatkan pendapatan, memperkukuh perniagaan serta membina masa depan lebih stabil,” katanya.
Berhubung program itu, Mohamad berkata penganjur turut menyediakan Booth Informasi TEKUN Nasional bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan skim pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan serta bimbingan secara terus daripada pegawai berkaitan.
“Program ini turut menampilkan Booth TikTok Shop dan Pemasaran Digital sebagai platform pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memperluas pasaran produk secara dalam talian serta meningkatkan keupayaan pemasaran berasaskan teknologi digital.
“Pendigitalan perniagaan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan. Inisiatif seperti pendedahan kepada platform e-dagang dan pemasaran digital mampu membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk tempatan,” katanya.
Mohamad berkata TEKUN Nasional Sabah akan terus mempergiat pelaksanaan program turun padang, inisiatif latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan mampu meningkatkan pendapatan, memperluas pasaran serta membina perniagaan yang mampan serta berdaya tahan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Taklimat hasil lawatan ke Beijing buka ruang kerjasama
Februari 2, 2026, Isnin - 4:40pm

TERIMA KASIH: Carmen (dua kiri) menyerahkan cendera kenangan dari China kepada Joachim (dua kanan) sambil disaksikan Naib Presiden Sabah Plumber Association, SP Teo (kiri) dan Pegawai Khas, Shane Goon.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, menerima taklimat rasmi hasil lawatan kerja wakil Persatuan Plumber Sabah ke Beijing, Republik Rakyat China, baru-baru ini.
Presidennya, Carmen Wong berkata, lawatan kerja berkenaan bertujuan memperkukuh pemahaman serta potensi kerjasama dalam sektor air antara Sabah dan pihak berkaitan di China.
Katanya, lawatan itu merangkumi siri libat urus profesional bersama Beijing Municipal Water Authority dan Beijing Waterworks Group, di mana perbincangan lebih tertumpu kepada urus tadbir air, sistem bekalan air, rawatan sisa air, serta pendekatan pengurusan utiliti yang dilaksanakan di China.
Perkongsian itu turut memberi gambaran menyeluruh mengenai amalan terbaik, penggunaan teknologi serta model pengurusan yang boleh dijadikan rujukan.
Selain itu katanya, objektif utama lawatan ke Beijing baru-baru ini adalah untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak berkuasa dan perusahaan berkaitan sektor air dari China, bagi menyertai Forum dan Pameran Air yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 April ini di Sabah.
Lawatan itu turut melibatkan perbincangan awal mengenai cadangan topik forum, pameran teknologi serta bentuk penyertaan pameran oleh pihak antarabangsa.
Selain pertemuan dengan agensi dan utiliti air, delegasi turut mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil perniagaan dari pelbagai wilayah di China di Ningxia Mansion, Beijing.
"Perbincangan merangkumi aspek pembangunan industri, keupayaan pembuatan serta peluang kerjasama dalam bidang berkaitan infrastruktur dan teknologi air," katanya.
Pihaknya juga menerima sebuah cendera kenangan daripada pihak Beijing Waterworks Group sebagai simbol hubungan baik dan hasil positif daripada sesi bertukar pandangan sepanjang lawatan berkenaan.
Secara keseluruhannya, taklimat hasil lawatan ini menyediakan rujukan penting dalam memahami perkembangan terkini, teknologi serta model kerjasama dalam sektor air di China.
Dalam pada itu, Joachim turut menyokong usaha berterusan untuk meneroka kerjasama yang praktikal dan konstruktif dalam bidang infrastruktur air, utiliti awam serta pertukaran kepakaran profesional, selaras dengan keperluan pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Forest City Karambunai bakal jadi pemangkin pembangunan Sepanggar
Februari 2, 2026, Isnin - 4:42pm

KENANGAN: Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan selepas majlis itu.
KOTA KINABALU: Projek Pembangunan Forest City di Karambunai akan dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lebih.
Projek berkenaan adalah usahasama diantara Marmaz Group Holdings dan China State Engineering.
Pengerusi Marmaz Group Holdings, Datuk Seri Marajoh Unding berkata, sebanyak 1,036 unit rumah dalam keluasan 20 ekar tanah akan dibangunkan.
Katanya, jadual pelaksanaan kini sudah dimuktamadkan dengan sokongan kerajaan negeri.
"Hasil perbincangan tentang konsep projek juga ditentukan untuk mengekalkan keharmonian dan kehijauan berdasarkan struktur tanah kawasan tanpa mengganggu alam sekitar di kawasan itu.
"Projek dijangka akan menelan belanja sebanyak RM700 juta sehingga RM800 juta," katanya dalam kenyataan.
Beliau yakin projek itu akan membantu sosioekonomi dan peluang pekerjaan di Sabah pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Maijol Mahap turut menekankan projek yang dibangunkan itu perlu berdasarkan undang-undang dan kepentingan masyarakat perlu diutamakan.
Majlis pelancaran projek berkenaan telah diadakan di sini, baru-baru ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Empat lelaki ditahan curi enjin bot resort di Semporna
Februari 3, 2026, Selasa - 5:36am

TANGKAP: Semua suspek terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.
SEMPORNA: Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, di sini, dengan kerugian dianggarkan RM7,500.
Kejadian disedari pemilik resort itu kira-kira jam 7.30 pagi, 27 Januari lalu, apabila mendapati sebuah enjin bot 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek datang ke lokasi kejadian menggunakan sebuah bot kecil kira-kira jam 12.37 tengah malam, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Rakaman menunjukkan seorang suspek masuk ke dalam stor sebelum melarikan enjin bot berkenaan menggunakan bot sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) menjalankan operasi mengesan suspek.
“Salah seorang suspek lelaki warga asing berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, kira-kira jam 10.55 malam, 28 Januari lalu.
“Hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah bot kayu serta enjin bot 40hp,” katanya.
Menurutnya, soal siasat lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di Kampung Pulau Lumanggas.
“Polis turut merampas sebuah lagi enjin bot Yamaha 15hp yang dipercayai ada kaitan dengan kes ini.
“Pemeriksaan juga mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Tan berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda di daerah ini dan menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan premis serta harta masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
LAKMM anjur program gotong-royong bersihkan Tanah Perkuburan Sg Baong
Januari 31, 2026, Sabtu - 4:56pm

Taklimat ringkas kepada para peserta diikuti bacaan tahlil sebelum acara gotong-royong bermula.
MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) hari ini menganjurkan program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Baong dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Kubur Tab Cinaq, Pujut 5.
Program yang bermula seawal jam 7 pagi diadakan sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan sebagai usaha memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih, terpelihara dan selesa untuk dikunjungi masyarakat.
Menurut kenyataan LAKMM, program gotong-royong itu bukan sahaja melibatkan pembersihan kawasan perkuburan, malah bertujuan memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat setempat.
Selepas acara di perkuburan Sungai Baong, aktiviti serupa akan diteruskan di Tanah Perkuburan Islam Lambir pada Sabtu, 7 Februari bermula jam 8 pagi, seterusnya di Tanah Perkuburan Islam Tab Cinaq, Pujut 5 pada Ahad, 15 Februari bermula jam 7 pagi.
LAKMM turut merakamkan penghargaan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri serta orang awam yang hadir dan menjayakan program itu.
Para peserta bekerjasama dalam menjayakan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Sungai Baong, Miri.
Sokongan padu daripada pelbagai pihak jelas menunjukkan komitmen masyarakat dalam menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan perkuburan.
Dalam kenyataan sama, LAKMM mengalu-alukan sebarang sumbangan ikhlas daripada peserta dan orang ramai dalam apa jua bentuk - sama ada makanan, peralatan gotong-royong atau sumbangan kewangan bagi menyokong kelancaran pelaksanaan program.
Sumbangan boleh disalurkan dengan menghubungi pihak pengurusan LAKMM di talian 085-428595/085-428596, atau melalui WhatsApp di 016-4478595.
LAKMM menegaskan bahawa perhatian dan sokongan masyarakat terhadap usaha ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Program gotong-royong ini diharap dapat menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang bulan Ramadan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kes denggi di Bahagian Sibu turun 65 peratus pada 2025
Januari 31, 2026, Sabtu - 4:57pm
SIBU: Kes denggi di Bahagian Sibu mencatatkan penurunan sebanyak 65 peratus pada 2025 berbanding tahun 2024.
Menurut Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu (DHO), jumlah keseluruhan kes denggi yang direkodkan tahun lalu ialah 54 kes, berbanding 153 kes pada 2024.
“Daripada jumlah ini (54 kes), Sibu merekodkan 42 kes, diikuti Kanowit (5) dan Selangau (7),” katanya.
Mengulas faktor utama yang menyumbang kepada penurunan jumlah kes tahun lalu, DHO memaklumkan bahawa trend di peringkat nasional turut menunjukkan penurunan kes dan Sibu tidak terkecuali.
“Selain itu, pengawalan kes menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengawal denggi melalui pendekatan bersepadu, daripada kawalan vektor secara inovatif hingga penglibatan komuniti,” katanya.
Tambahnya, tiada kematian akibat denggi dilaporkan di bahagian tersebut sepanjang tahun lalu.
Selain itu, sebanyak 302 operasi pengasapan telah dilaksanakan di Bahagian Sibu tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha membanteras denggi.
Bagi jumlah kes pada tahun ini pula, DHO memaklumkan bahawa lima kes telah direkodkan di Bahagian Sibu antara 1 dan 25 Januari lalu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|