KUALA LUMPUR: Bersempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan beberapa panduan bagi memastikan peralatan elektrik dan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat sepanjang pengguna berada di kampung halaman.
TNB dalam kenyataan berkata, tip keselamatan itu bertujuan memastikan peralatan elektrik dan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat serta jimat tenaga.
Untuk itu, orang ramai disaran menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
"Setiap soket perlu dipastikan dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung dan buka gulungan wayar sambungan tambahan sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan.
"Alat pengukur masa (timer) boleh digunakan sekiranya ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan supaya ia tidak menyala 24 jam.
"Selain itu, periksa peralatan elektrik yang ingin digunakan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar," menurut kenyataan itu.
Bagi kediaman yang akan menjadi tumpuan keluarga sepanjang perayaan ini, pengguna dinasihatkan tidak menggunakan soket elektrik secara berlebihan bagi mengelakkan beban elektrik keterlaluan.
Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik pada cuti Tahun Baharu Cina, pengguna disarankan menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan.