5,000 rokok elektronik bernilai RM525,000 dirampas di Tumpat

PGA merampas lebih 5,000 unit rokok elektrik yang diseludup dari negara jiran di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat. - Foto ihsan PGA
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 5,000 unit rokok elektronik bernilai RM525,000 di Kampung Bendang Pak Yong, di sini, semalam. Rokok elektronik terbabit dirampas oleh Batalion 9 PGA jam 1.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan. Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah. "Hasil pemeriksaan mendapati lebih 5,000 unit rokok elektronik ditemui dalam beberapa kotak dalam van berkenaan.
"Rokok elektronik ini disyaki dari negara jiran dan diseludup masuk ke sini untuk pasaran tempatan. Anggaran nilai rampasan keseluruhan RM525,000," katanya ketika dihubungi. "Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan hasil rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya. Sementara itu, pihaknya turut merampas 740 tan buah kelapa bernilai RM185,000 yang diseludup masuk dari Thailand tanpa dokumen sah. Rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan kenderaan terbabit di tepi jalan di Pengkalan Kubor sebelum mendapati terdapat muatan buah kelapa dalam treler terbabit. "Pada masa sama kita turut menahan seorang pemandu treler berusia 30 tahun dan kes disiasat di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1308434/5000-rokok-elektronik-bernilai-rm525000-dirampas-di-tumpat
|