Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun yang dijangka berlaku di timur Semenanjung pada esok hingga 23 Januari ini.
Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan itu berdasarkan analisis model cuaca dan keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh berkenaan.
"Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang membabitkan Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa dari 19 hingga 22 Januari ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah dan barat Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam dalam tempoh ramalan.
"Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 23 Januari 2023," katanya.
Justeru, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web
www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Dalam pada itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Sabah dan Sarawak sehingga 4 petang, hari ini.
Di Sarawak cuaca buruk itu dijangka membabitkan Kuching, Betong, Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Limbang (Lawas).
Manakala Sabah pula di Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran).