Fattah tak tahu-menahu single duet bersama Fazura akan dilancar esok

Fattah tak tahu-menahu single duet bersama Fazura akan dilancarkan, esok. Foto HM Online
KUALA LUMPUR: Pengurus pelakon, Fattah Amin, iaitu Sakirin Acha atau dikenali sebagai Acha mendakwa pihaknya tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet Fattah bersama bekas isteri, Nur Fazura berjudul Bertahan Demi Cinta, yang dikatakan bakal dilancar, esok. Acha turut menepis dakwaan netizen yang menuduh Fattah cuba menggunakan isu perceraian sebagai gimik untuk mempromosikan single terbabit. "Saya baru saja menghubungi Fattah untuk mengetahui perkara ini dan dia maklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet terbabit. "Saya ingin tegaskan perceraian ini bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet atau dibuat main. Saya orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu pada waktu sekarang," katanya.
Menurut Acha, Fattah memaklumkan single duet itu sudah lama dirakam dan pernah menjadi salah satu runut bunyi drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2. "Lagu ini pernah dimainkan dalam drama Hero Seorang Cinderella 2. Malah, proses penggambaran muzik video juga sudah lama dibuat di Indonesia. "Cuma tidak sangka pula single ini dilancarkan sekarang hingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak benar. Jadi, saya harap netizen berhenti membuat spekulasi tidak betul," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai keadaan terkini Fattah selepas perceraian, Acha memaklumkan, pelakon itu berada dalam keadaan baik. "Insya-Allah Fattah baik-baik saja. Saya yakin dia kuat untuk menghadapi ujian ini. Cuma apa yang berlaku ini membuatkan dia sangat tertekan dan terkejut, tapi saya harap dia reda," katanya. Terdahulu, sebuah syarikat rakaman Indonesia dilapor memuat naik video di Instagram (IG) memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single Bertahan Demi Cinta di semua platform penstriman digital, esok. Kelmarin, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada pukul 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup sebagai suami kepada Fazura. Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1308426/fattah-tak-tahu-menahu-single-duet-bersama-fazura-akan-dilancar
|