CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 30-1-2026 03:41 PM | Show all posts
40 kanak-kanak tamatkan program KLAS Renang
Januari 30, 2026, Jumaat - 2:28pm



Para peserta yang telah menamatkan Program KLAS Renang 2025 Fasa 3 baru-baru ini. - Gambar Facebook Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu

SIBU: Seramai 40 orang peserta kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun berjaya menamatkan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) 2025 Fasa 3 yang berlangsung di Kolam Renang Delta di sini pada Ahad.

Program tersebut anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA).

KLAS Renang adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang dilaksanakan secara percuma melibatkan enam sesi latihan kepada setiap peserta, dengan objektif utama mengurangkan kadar kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak.

Inisiatif yang dilancarkan pada 13 Mei 2023 itu bertujuan mendedahkan kumpulan sasar kepada teknik asas berenang yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa.

Di samping itu, aktiviti itu juga bagi meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah berenang yang betul, selamat serta membantu peserta mengatasi ketakutan berada di dalam air.

Majlis penutupan program berkenaan telah disempurnakan Presiden SASA Joseph Ung yang diiringi wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu Terence Tan.

Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan program tersebut sehingga selesai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-1-2026 03:42 PM | Show all posts
PGA Briged Sarawak rampas mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM2.2 juta
Januari 30, 2026, Jumaat - 2:42pm



Operasi-operasi yang dijalankan oleh PGA Briged Sarawak. - Gambar PGA Briged Sarawak

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan empat kejayaan dalam Ops Taring Charlie baru-baru ini apabila merampas mercun dan bunga api tanpa permit sah dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.2 juta.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata, operasi dari 26 hingga 28 Januari itu dijalankan di beberapa daerah utama iaitu Kuching, Lubok Antu, Bintulu dan Sibu.

“Di Kuching, serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama rampasan mercun dan bunga api bernilai RM159,448.

“Manakala di Lubok Antu, seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun ditahan bersama rampasan sebanyak 5,676 unit mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM371,700,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan masing-masing berusia 40 dan 49 tahun di Bintulu dan Sibu.

“Di Bintulu, rampasan melibatkan 8,778 unit mercun dan bunga api serta sebuah kenderaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,572,135.

“Sementara itu di Sibu, seorang lelaki ditahan bersama rampasan mercun dan bunga api bernilai RM107,262,” katanya lagi.



SAC Lim Bak Phai

Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sehubungan itu, semua peniaga mercun dan bunga api dinasihati supaya mematuhi peraturan serta undang-undang dan hanya menjalankan penjualan berdasarkan permit serta kelulusan yang sah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:43 PM | Show all posts
Pelajar SMK Merbau terpilih menghadap Permaisuri Agong
Januari 30, 2026, Jumaat - 2:43pm



THEODORA PEI

MIRI: Kejayaan luar biasa dicapai oleh pelajar SMK Merbau Theodora Pei Ern Huei apabila namanya terpilih untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong atas kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Jemputan khas ini julung kali diadakan dan hanya 30 pelajar terpilih dari seluruh Malaysia menerima penghormatan istimewa tersebut.

Theodora, yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kokurikulum, telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pelajar ini merupakan penerima Anugerah Tokoh Pelajar, Anugerah Bintang Kokurikulum dan Anugerah Bintang Akademik sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2025.

Kejayaan ini dianggap detik bersejarah bagi SMK Merbau, sekaligus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh pelajar bahawa disiplin tinggi, usaha konsisten dan keberanian bermimpi besar mampu membawa seseorang ke pentas tertinggi negara.

Warga sekolah amat berbangga dengan pencapaian Theodora dan menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil bimbingan guru-guru yang berdedikasi serta sokongan padu ibu bapa.

Guru-guru SMK Merbau dipuji atas komitmen, kesabaran, dan kasih sayang dalam mendidik pelajar sehingga mencapai tahap kecemerlangan ini dan ucapan tahniah turut dizahirkan kepada kedua ibubapanya.

Pencapaian Theodora bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan negara, malah menjadi obor semangat kepada semua anak Merbau agar terus berusaha dan tidak gentar mengejar impian.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:43 PM | Show all posts
Daerah Limbang berpotensi besar sebagai sektor ekopelancongan utama
Januari 30, 2026, Jumaat - 2:51pm



(Dari tujuh kiri) Sulaiman, Dr Abdul Rahman, Rozita dan yang lainnya ketika melawat Projek Tebingan Sungai Limbang hari ini.

LIMBANG: Daerah Limbang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai sektor ekopelancongan utama di negeri ini.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, potensi itu dicerap melalui elemen yang diberi tumpuan seperti tarikan alam semula jadi, produk industri kecil dan sederhana, kebudayaan dan sebagainya.

“Harapan saya penduduk Limbang jangan hanya melihat pembangunan tetapi perlu ikut serta dalam aspek sektor ekonomi kerana Limbang menumpukan kepada ekopelancongan berasaskan alam semula jadi,” katanya kepada media pada Lawatan Kerja Ke Projek Tebingan Sungai Limbang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang Rozita Kulai dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata lagi, Gunung Buda yang merupakan produk pelancongan dunia bakal dibuka dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, apabila dibuka kelak ia akan menjadikan ekopelancongan di Limbang lebih mampan dan mampu menarik lebih ramai pelancong.

Menurutnya, Limbang akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada kemasukan pengunjung luar ke Sarawak selepas merekodkan jumlah kemasukkan pengunjung luar berjumlah 2.4 juta sepanjang Januari hingga November lepas.

Selain ekonomi pelancongan, pelbagai pembangunan rancak dilaksanakan termasuk tiga rangkaian perhubungan jalan raya mega iaitu Sarawak Sabah Link Road, Projek Lebuh Raya Trans Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara.

Mengulas mengenai Projek Tebingan Sungai Limbang, beliau menggesa pihak kontraktor dan konsultan yang terlibat untuk menyiapkan projek yang terpanjang di Sarawak sejauh 1.8 kilometer itu selewatnya April ini.

Katanya, projek berkenaan berdepan kelewatan kerana masalah tanah runtuh khususnya projek fasa satu yang kini dalam peringkat akhir.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:44 PM | Show all posts
Majlis Pemimpin Pengakap Padawan rangka aktiviti impak tinggi tahun ini
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:08pm



Nor Masayu (enam kanan) bersama ahli-ahli mesyuarat di SK St George, Kampung Punau, pada Khamis.

KUCHING: Majlis Pemimpin Pengakap Daerah Padawan yang bersidang di Sekolah Kebangsaan (SK) St George, Kampung Punau di sini pada Khamis, merangka pelbagai aktiviti berimpak tinggi bagi pelaksanaan program pengakap sepanjang tahun ini.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri pemimpin pengakap daripada 12 sekolah di sekitar Daerah Padawan dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Padawan Janos Kirim.

Menurut Janos, mesyuarat berkenaan bertujuan merangka perancangan strategik serta aktiviti Pengakap Daerah Padawan.

“Ia agar setiap program yang dilaksanakan memberi impak bermakna kepada ahli pengakap, para pemimpinserta kumpulan pengakap di daerah ini,” katanya.

Mesyuarat turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Padawan (Unit Kokurikulum) Nor Masayu Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan setiap aktiviti pengakap mempunyai impak yang jelas terhadap pelajar, khususnya dari segi pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan pengakap Daerah Padawan atas sumbangan besar membantu sekolah-sekolah di kawasan Puncak Borneo mencapai kecemerlangan markah kokurikulum melalui pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan sebelum ini.

“Pergerakan pengakap perlu terus diperkasakan sebagai platform terbaik dalam membentuk kemenjadian murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI),” katanya.

Beliau juga menggalakkan para pemimpin pengakap agar sentiasa meneroka ilmu serta kemahiran baharu bagi memastikan pergerakan berkenaan kekal relevan dan terus menjadi pilihan utama pelajar.

Di samping itu, ia juga menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap aktiviti sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah demi keselamatan ahli Pengakap.

Dalam perkembangan sama, Guru Besar SK St George, Kampung Punau Britt Martin Gana yang juga mantan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Betong, menzahirkan kesediaan pihak sekolah untuk mengalu-alukan pelaksanaan sebarang aktiviti Pengakap di sekolah tersebut.

Beliau turut menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman serta membantu menjayakan program pengakap dan berharap agar Program Rambu Pengakap Daerah Padawan dapat dihidupkan semula bagi memberi pendedahan lebih jelas kepada masyarakat mengenai hala tuju pergerakan pengakap di daerah itu.

Antara aktiviti utama yang dirancang bagi tahun 2026 ialah Kem Lencana Siri 1 dan 2 yang dijadualkan pada Julai dan Oktober; Majlis Penganugerahan Pingat Peringatan 111 Tahun Pengakap Sarawak pada 18 April di Dewan Biperuh Garung, Padawan; Scout Eco Run 5.0 pada 21 Jun; serta penyertaan Kontinjen Pengakap Padawan dalam Jambori Pengakap Malaysia ke-15 di Pulau Pinang dari 29 Ogos hingga 4 September 2026.

Mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pengakap Daerah Padawan dalam merancang dan melaksanakan program tersusun serta berimpak tinggi demi pembangunan sahsiah dan kepimpinan generasi muda.

Turut hadir ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap (Kepimpinan) Aldrin Peter Diman dan Penolong Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Danggat Chabo.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:45 PM | Show all posts
Program STI 100'3 dijayakan di SK Sungai Tisang
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:35pm



Murid-murid dan guru-guru SK Sungai Tisang bersama pihak UPMS dalam penganjuran Program STEM STI 100'3 pada Khamis.

BINTULU: Usaha berterusan dilakukan untuk menyemai minat murid-murid di sekolah rendah dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran program STEM Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100'3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang di sini, pada Khamis.

Seramai 71 murid sekolah terbabit menyertai program itu yang berlangsung dua hari pada 27 hingga 28 Januari lepas anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pengarah program Dr Aaliyawani Ezzerin Sinin berkata, program tersebut bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang STEM melalui pembelajaran interaktif dan praktikal.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bersepadu yang menggalakkan penglibatan 100 saintis tempatan bersama 100 sekolah dalam tempoh 100 hari bagi setiap kitaran pelaksanaan.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 30-1-2026 03:46 PM | Show all posts


Murid-murid SK Sungai Tisang didedahkan dengan pelbagai aktiviti STEM pada Khamis.



Murid-murid terlibat dalam pembinaan dan permainan robot.
"Ia diharap dapat merapatkan jurang antara komuniti saintifik dan pelajar sekolah," ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang program itu, murid terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti sebenar seperti cabaran kejuruteraan 'Hydro-Excavator, Torso Quest' dan 'MicroWorld'.

"Para peserta meneroka konsep matematik dalam Pengembaraan Galaksi Matematik, pemikiran Pengkomputeran menggunakan manik dan permainan Pemecah Kod," katanya.

Jelasnya, mereka turut menjalankan eksperimen kimia dalam aktiviti 'pH Spy Mission' dan 'Candle Quest'.

Katanya, keterujaan peserta diteruskan dengan aktiviti Roket Gas dan Gunung Berapi Berwarna termasuk berpeluang mengendalikan dron menerusi 'SkyPilot Drone Challenge' dan paling digemari adalah membina robot ringkas dalam 'Build-A-Bot Challenge'.

Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara amali membantu murid memahami konsep sains dengan lebih mudah serta meningkatkan keyakinan mereka untuk meneroka bidang STEM.

"Program seperti ini penting dalam usaha menyemai minat terhadap STEM sejak usia muda selaras dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai generasi celik teknologi dan inovasi pada masa depan," katanya.

Tambahnya, program ini mencerminkan komitmen UPMS, MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah khususnya sekolah-sekolah di kawasan pinggir dan luar bandar agar jurangnya dapat dirapatkan membabitkan pendedahan bidang teknologi.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:48 PM | Show all posts


Murid-murid terlibat dalam pembinaan dan permainan robot.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-1-2026 03:49 PM | Show all posts
Projek jalan Serian-Gedong-Samarahan pemangkin sosioekonomi luar bandar: Sagah
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:38pm



Sagah (tengah) bersama kenamaan merakamkan kenangan bersama para penerima pampasan peringkat pertama Projek Serian-Gedong-Samarahan Dual Carriageway Highway (Package 1A & 1B) di Kampung Rayang, hari ini.

SERIAN: Projek pembinaan Serian-Gedong-Samarahan Dual Carriageway Highway (Package 1A & 1B) yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang menjadi pemangkin utama pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn sambil menambah sejumlah RM8,392,133.74 bayaran pampasan telah disalurkan hari ini kepada 64 penerima daripada Pakej 1A dan 1B.

“Pampasan yang disalurkan hari ini melibatkan penggunaan tanah bagi pembinaan jalan daripada Serian ke Gedong dan seterusnya ke Samarahan. Kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak kampung serta penduduk amat memberangsangkan.

“Ada pemilik tanah yang telah memberikan kelulusan kepada pihak kontraktor untuk melalui tanah mereka walaupun pampasan belum diterima sepenuhnya.

“Ini satu perkembangan positif yang membuktikan rakyat memahami kepentingan pembangunan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Serian-Gedong-Samarahan Dual Carriageway Highway (Package 1A & 1B: Simpang Rayang/Munggu Kupi/Tanah Puteh/Sebembam ke Daerah Gedong) yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Rayang, di sini.



Sagah ketika ditemui pemberita di Serian, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu berkata, antara komponen penting projek itu adalah pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Sebemban di Serian ke Kampung Gumpey di Gedong yang akan memudahkan pergerakan penduduk di dua kawasan tersebut.

Beliau berkata, projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk kampung di sepanjang jajaran laluan, khususnya dalam urusan harian seperti pergi bekerja, ke sekolah, ke hospital serta pengangkutan hasil pertanian.

Projek berkenaan juga jelasnya, akan memendekkan masa perjalanan dari Serian ke Kuching serta menjadi laluan alternatif kepada jajaran Lebuhraya Pan Borneo dari Lawas ke Kuching melalui Serian.

Sagah pada masa yang sama memaklumkan projek tersebut dilaksanakan secara serentak melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), pihak kontraktor serta penduduk, walaupun berada di bawah pembahagian kawasan pentadbiran yang berbeza.

“Pakej 1A melibatkan Simpang Rayang-Munggu Kupi-Tanah Puteh sepanjang 9.72 kilometer, sementara Pakej 1B pula melibatkan Simpang Tanah Puteh-Gedong Isthmus (Sektor Serian) sepanjang 8.543 kilometer,” ujarnya.

Selain itu, jaringan jalan baharu ini juga akan diintegrasikan dengan pembangunan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) pada masa hadapan, membolehkan pergerakan lebih mudah dari Gedong ke Serian dan seterusnya ke kawasan lain.

Beliau menyeru agar penduduk yang belum menerima pampasan untuk bersabar kerana proses penyerahan akan diteruskan kepada semua penuntut pada peringkat seterusnya selaras dengan pelaksanaan berperingkat projek mega berkenaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:50 PM | Show all posts
Gala TBC anjuran Persatuan Cina Sarawak pada 7 Februari
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:43pm



Barisan jawatankuasa penganjur yang akan menjayakan majlis pada malam tersebut nanti.

MIRI: Persatuan Cina Sarawak akan menganjurkan Majlis Makan Malam Gala Tahun Baru Cina Fuma 2026 pada 7 Februari depan, bermula jam 6.30 petang dan di Hotel Imperial di sini.

Menurut pihak penganjur, objektif utama acara tahunan ini diadakan adalah untuk menyambut Tahun Baru Lunar serta menjemput kedatangan tahun baharu yang penuh harapan dan keberkatan.

Majlis gala tersebut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin sebagai tetamu kehormat.

Turut dijangka hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang serta Penasihat Kehormat Tetap Persatuan Datuk Hii King Chiong dan Datuk Ling Suk Kiong.

"Majlis ini merupakan acara budaya utama persatuan yang bertujuan memelihara dan mempromosikan budaya Cina serta nilai-nilai tradisional.

"Salah satu sorotan utama majlis ialah penyertaan wakil daripada 23 persatuan berasaskan kaum, mempamerkan masyarakat berbilang budaya di Sarawak serta semangat keharmonian, saling menghormati dan inklusiviti di kalangan komuniti tempatan," katanya.

Menurut beliau, disebabkan sambutan yang amat menggalakkan, semua tiket kemasukan telah habis ditempah.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa penganjur merakamkan penghargaan atas sokongan padu orang ramai dan berjanji mempersembahkan pengalaman budaya yang menggabungkan tradisi dengan teknologi, termasuk paparan pentas 3D, penulisan pasangan kata kaligrafi, serta siaran langsung.

"Justeru Persatuan Cina Sarawak berharap acara tahunan ini akan terus menyatukan komuniti, mengekalkan keseronokan perayaan tradisional dan memperkukuh keharmonian serta perpaduan antara kaum di negeri ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:50 PM | Show all posts
Pang hadiri Majlis Resepsi TBC Konsulat Jeneral China di Kuching
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:45pm



Pang (duduk dua kiri) bersama tetamu lainnya pada Majlis Resepsi TBC 2026 anjuran Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, malam Khamis.

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berbesar hati menghadiri Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina 2026 di Hotel Imperial Kuching malam Khamis.

Majlis tersebut anjuran Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching sebagai ikatan kukuh pihak terbabit bersama komuniti Cina Sarawak.

Pang berkata, ia merupakan penghormatan besar baginya untuk hadir dalam majlis itu.

"Berkumpul bersama komuniti Cina Sarawak untuk meraikan musim perayaan ini mencerminkan ikatan yang kukuh sebagai warisan bersama," katanya.

Beliau berterima kasih kepada pihak konsulat terbabit atas jemputan pada majlis itu, sekali gus berharap semua orang dapat menikmati tahun Kuda yang makmur dan berjaya pada Tahun Baharu Cina ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:51 PM | Show all posts
11 penagih dadah diperintah jalani rawatan dan pemulihan
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:47pm



Sebelas individu terbabit diarah Mahkamah Majistret Sibu, semalam untuk menjalani program rawatan dan pemulihan mandatori. - Gambar AADK Daerah Sibu

SIBU: Mahkamah Majistret Sibu semalam telah memerintahkan 11 individu untuk menjalani program rawatan dan pemulihan mandatori setelah didapati terlibat dalam aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu menerusi kenyataan di Facebook rasmi memberitahu, individu berkenaan terdiri daripada enam lelaki berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun telah diperintahkan untuk menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) secara fizikal di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Daripada jumlah tersebut, tiga individu termasuk dua individu gelandangan yang masing-masing diselamatkan di daerah Sibu dan Bintulu telah dijatuhkan perintah di bawah Seksyen 6 (1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara tiga individu lagi diperintah mengikut Seksyen 6 (2)(a) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Kesemua individu berkenaan telah dihantar AADK Daerah Sibu ke PUSPEN Kuching sebagai usaha membantu proses rawatan dan pemulihan individu terlibat seterusnya mengekang gejala dadah daripada terus menular dalam masyarakat.

Dalam pada itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah terhadap lima individu lain yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 56 tahun untuk menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Perintah tersebut melibatkan tiga lelaki di bawah Seksyen 6 (2)(b) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983, serta dua wanita di bawah Seksyen 6 (1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Langkah penguatkuasaan itu merupakan komitmen berterusan pihak berkuasa dan sistem kehakiman dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah dan bahan di daerah Sibu ditangani secara serius.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:52 PM | Show all posts
swk - 11 penagih dadah diperintah jalani rawatan dan pemulihan

sbh - Infrastruktur, Ekonomi Biru dan kesejahteraan rakyat teras SMJ 2.0

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 03:53 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-1-2026 10:59 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-1-2026 11:15 AM | Show all posts
Isuzu kekal dominan, pegang 56 peratus pasaran trak walaupun industri perlahan
Januari 30, 2026, Jumaat - 4:45pm



KUKUH: Kenderaan Isuzu kekal kukuh meskipun permintaan keseluruhan sektor kenderaan komersial susut 11.4 peratus.

PETALING JAYA: Isuzu Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan sepanjang 2025 walaupun industri kenderaan komersial berdepan sentimen perlahan serta penurunan permintaan terhadap kenderaan diesel.

Syarikat memaklumkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan kenderaan Isuzu mengurangkan kos operasi, menempuh perjalanan jarak jauh serta menawarkan aspek keselamatan dan keselesaan menjadi pemacu utama jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi, berkata sepanjang tahun lalu, jualan kenderaan Isuzu kekal kukuh meskipun permintaan keseluruhan sektor kenderaan komersial susut 11.4 peratus.

Katanya, pasaran trak pikap turut mencatat penurunan 7.3 peratus, kesan daripada semakan semula harga diesel pada 2024.

“Dalam persekitaran mencabar ini, trak Isuzu mencatat kadar perkongsian pasaran tertinggi setakat ini iaitu 56.1 peratus.

“Prestasi disokong pendaftaran sebanyak 6,880 unit dan angka itu mengatasi rekod terdahulu iaitu 47.1 peratus yang dicapai pada 2023.

“Model Isuzu D-Max turut menunjukkan prestasi jualan kukuh dengan menguasai 15 peratus pasaran dalam segmen trak pikap dan pencapaian itu seterusnya meletakkan D-Max di tangga kedua keseluruhan dalam pasaran Malaysia,” katanya.



CEMERLANG: Model Isuzu D-Max turut menunjukkan prestasi jualan kukuh dengan menguasai 15 peratus pasaran dalam segmen trak pikap.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan hasil keupayaan syarikat memenuhi serta melangkaui keperluan pelanggan.

“Isuzu memahami kehendak pasaran tempatan dan komited menawarkan barisan produk yang praktikal serta tahan lasak.

“Rangkaian pengedar strategik yang pantas menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan turut menyumbang kepada pertumbuhan jenama.

“Sistem sokongan lepas jualan yang menyeluruh juga memainkan peranan penting bagi memastikan kenderaan pelanggan sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Katanya, dalam segmen trak ringan, model Isuzu Elf kekal sebagai trak paling popular di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut.

“Sebanyak 6,362 unit didaftarkan, sekali gus menyumbang 92.5 peratus daripada keseluruhan jualan trak syarikat.

“Bagi trak tugasan sederhana, model Forward terus mendapat sambutan terutama bagi perjalanan jarak jauh antara bandar.

“Model itu muncul sebagai trak tugasan sederhana paling laris dengan jualan 494 unit sepanjang 2025,” katanya.



POPULAR: Model Isuzu Elf kekal sebagai trak paling popular di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut.

Menurutnya, lonjakan D-Max ke kedudukan kedua keseluruhan turut mencerminkan peningkatan pengiktirafan terhadap reputasi jenama Isuzu dalam menawarkan nilai kepada pengguna.

“Syarikat berhasrat memperkukuh lagi kehadiran produk serta memperluas kesedaran pengguna terhadap kelebihan ditawarkan.

“Pada masa sama, Isuzu memberi tumpuan terhadap penambahbaikan pengalaman pemilikan, khususnya aspek lepas jualan,” katanya.

Menurut Yamaguchi, penerimaan terhadap perkhidmatan lepas jualan meningkat 12 peratus tahun lalu.

Beliau yakin penambahbaikan tempoh serahan, ketersediaan alat ganti serta kecekapan penyelenggaraan mampu memendekkan waktu menunggu pelanggan.

Maklumat lanjut berkaitan rangkaian kenderaan serta senarai pengedar sah boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Isuzu Malaysia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 31-1-2026 11:21 AM | Show all posts
Resort baharu pacu pelancongan Kuala Penyu - Masidi
Januari 31, 2026, Sabtu - 11:06am



PENGHARGAAN: Masidi menerima cenderahati daripada Peter, bersama rombongan Club Med dan Golden Sands Beach Resort.

KOTA KINABALU: Perancangan pembukaan resort baharu Club Med Borneo di Kuala Penyu disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan Sabah, khususnya di daerah berkenaan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pelaburan baharu itu mampu merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan di Kuala Penyu yang memiliki potensi besar menerusi keindahan alam semula jadi serta produk pelancongan unik.

Katanya, pembukaan resort bertaraf antarabangsa itu dijangka memberi impak besar kepada ekonomi setempat termasuk menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Kakitangan tempatan yang diambil bekerja turut akan menerima latihan kemahiran secara bertauliah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan dalam industri pelancongan dan hospitality,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat wakil Club Med dan Golden Sands Beach Resort City di pejabatnya, semalam.

Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Club Med Asia, Rachael Harding dan Pengarah Urusan Golden Sands Resort City, Peter Wong Leong Siang mengenai perancangan pembukaan resort Club Med Borneo yang dijadual mula beroperasi pada September ini.

Masidi berkata, inisiatif itu juga selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan serta peningkatan penyertaan rakyat tempatan dalam sektor strategik negeri.

“Kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pelaburan berkualiti yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-1-2026 11:25 AM | Show all posts
Majlis Maulid Perdana dan Tausiah Masjid Darul Makmur Kampung Jepak pada Sabtu ini
Januari 30, 2026, Jumaat - 3:58pm



Majlis Maulid Perdana di Masjid Darul Makmur Kampung Jepak.

BINTULU: Majlis Maulid Perdana dan Tausiah membabitkan bacaan maulid dan qasidah oleh Madrasah At Taqwa akan diadakan di Masjid Darul Makmur Kampung Jepak pada Sabtu ini.

Majlis tersebut termasuk kuliah agama diadakan selepas solat Maghrib akan dihadiri Al Allamah Al Munsib Al Habib Mohammad Soleh Al Attas, Syeikh Muneer Mabkhout Al Ghoulis, Al Habib Muhmmad Mustaff Al Haddad.

Hadir sama menyerikan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.

Sebelum itu, Al Munsib Al Habib Mohammad Soleh Al Attas mengadakan Rehlah Dakwah dalam Kuliah Maghrib di Masjid Darussalam Kampung Baru dan Majlis Selawat di Madrasah At Taqwa RPR Sebiew pada malam ini.

Diikuti Kuliah Subuh di Masjid At Taqwa RPR Sebiew pada Sabtu.

Pada Ahad beliau akan mengadakan Kuliah Subuh di Masjid Al Mustaqim RPR Kidurong.




Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-1-2026 11:26 AM | Show all posts
Semak semula, tingkat peruntukan MARRIS kepada semua negeri: See
Januari 30, 2026, Jumaat - 4:19pm



See (empat kiri) menyerahkan tapak projek kepada konraktor sebagai simbolik projek RTP di kawasan DUN Batu Lintang sambil disaksikan Wee (lima kiri).

KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula serta meningkatkan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) kepada semua negeri, khususnya Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How berkata, ia bagi membolehkan skop kerja di bawah dana berkenaan diperluaskan sejajar dengan keperluan semasa rakyat.

“Pada 2025, Sarawak dilaporkan menerima RM435 juta atau kurang daripada lapan peratus daripada keseluruhan peruntukan MARRIS berjumlah RM5.5 bilion yang diagihkan kepada semua negeri.

“Walaupun berdepan kekangan peruntukan, Sarawak telah melaksanakan inisiatif mendaftarkan lebih 5,000 kilometer jalan balak lama sebagai jalan perkampungan di bawah MARRIS bagi memastikan penyelenggaraan berterusan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan negeri dapat berunding untuk memperoleh peruntukan yang lebih tinggi sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 6(1), Bahagian II Jadual Kesepuluh.

“Peningkatan peruntukan MARRIS kepada Sarawak dilihat penting memandangkan jumlah sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kerja pembaikan dan penyelenggaraan hampir 16,000 kilometer jalan negeri di bawah seliaan agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, ketiadaan peruntukan khusus bagi penyelenggaraan sistem perparitan dan laluan pejalan kaki di lorong belakang kawasan perumahan dikenal pasti sebagai antara cabaran utama, khususnya di kawasan perumahan lama,” tegasnya.

Dalam menangani isu berkenaan, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana melalui inisiatif ProgramTransformasi Luar Bandar (RTP) bagi membaiki, menyelenggara dan membina semula sistem perparitan serta laluan pejalan kaki demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, pelaksanaan projek RTP di kawasannya banyak membantu menyelesaikan masalah saliran dan laluan pejalan kaki yang telah lama berlarutan.

Terdahulu pada Isnin beliau menyerahkan tapak projek kepada kontraktor bagi tiga projek RTP di kawasan perumahan iaitu kerja pembaikan dan pemulihan perparitan serta laluan pejalan kaki di Lorong Laman Bong Chin 7, Lorong Laksamana Cheng Ho 2A dan 2A1 serta Lorong Bayor Bukit 2 dan 4.

Majlis penyerahan tapak projek itu turut disaksikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Timbalan Datuk Bandar Dato Zaiedi Suhaili, ketua masyarakat serta penduduk setempat.

Menurut See, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif mitigasi banjir bagi meningkatkan kecekapan aliran air, mengurangkan kejadian banjir kilat serta menambah baik keselamatan dan akses pejalan kaki di kawasan perumahan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-1-2026 11:26 AM | Show all posts
PEKEMA santuni 1,030 murid di DUN Saribas dan Layar
Januari 30, 2026, Jumaat - 4:20pm



Richard (tiga kiri) dan Ismail (dua kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah dan alat tulis pada majlis di Betong, hari ini.

KUCHING: Seramai 1,030 murid Tahun 1 dan prasekolah daripada 26 sekolah rendah di kawasan DUN Saribas dan Layar menerima sumbangan beg sekolah serta alat tulis menerusi Program Back-To-School Parlimen Betong anjuran Yayasan PEKEMA menerusi PEKEMA Cawangan Sarawak, hari ini.

Program yang diadakan di Betong itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu manifestasi semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini menjadi lebih mudah dengan adanya kerjasama pelbagai pihak, sekali gus membuktikan bahawa usaha berganding bahu mampu memastikan tiada anak luar bandar tercicir daripada arus pendidikan.

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PEKEMA Sarawak di bawah kepimpinan Presiden Dato Ismail Abang Saufi kerana memilih Parlimen Betong sebagai lokasi penerima sumbangan.

"Pemberian sumbangan ini melibatkan murid sekolah rendah, khususnya Tahun 1 dan pra sekolah, di mana ini amat penting bagi menyemai semangat dan minat mereka untuk terus bersekolah," katanya.

Tambah beliau, sumbangan itu amat bermakna kepada rakyat luar bandar yang berdepan cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang baru melangkah ke alam persekolahan.

Sementara itu, Ismail berkata, Program Back-To-School itu merupakan inisiatif tahunan Yayasan PEKEMA yang telah dilaksanakan sejak tahun 2017 dan kini memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya di seluruh negara.

Beliau memaklumkan sumbangan tersebut disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban ibu bapa serta memberi suntikan motivasi kepada murid untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan ceria.

"Program ini mencerminkan komitmen PEKEMA dan Yayasan PEKEMA dalam menyokong pembangunan pendidikan sebagai asas pembentukan masa depan anak-anak, keluarga dan negara," jelasnya.

Beliau turut memberitahu pelaksanaan program itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah akan diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Sarawak, termasuk sehingga ke Lawas pada masa akan datang.

Mengakhiri ucapan, kedua-dua pemimpin berharap agar sumbangan yang disalurkan bukan sahaja dimanfaatkan sepenuhnya, malah menjadi simbol harapan dan pemangkin kejayaan kepada anak-anak penerima pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PEKEMA Sarawak Dato Tapah Ata, Naib Presiden PEKEMA Sarawak Yusuf Roy Fitri Mohamad Johnny dan barisan Jawatankuasa PEKEMA Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-2-2026 05:49 AM GMT+8 , Processed in 1.666880 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list