'Selongkar, cari ilmu sebelum bermimpi menang Oscar'
KUALA LUMPUR: Memiliki impian adalah percuma, namun sekiranya mahu dikecapi, berusahalah. Demikian nasihat pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud kepada pelakon muda yang mempunyai impian merangkul trofi Anugerah Akademi atau Oscar. Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, dia memberikan sokongan kepada pelakon generasi muda mengejar impian, tak kira apa impian sekalipun, namun usaha diberikan perlulah setimpal. "Buktikan anda boleh memenangi Oscar. Tapi, kena masuk belajarlah, jangan asal boleh sahaja. Jangan fikir rambut sahaja nak cantik dan sebagainya. "Lakonan bukan hanya dialog. Soalan yang saya selalu dapat adalah bagaimana nak hafal dialog. Saya cukup pantang sebab lakonan bukan terletak kepada dialog.
"Ia daripada kepala sehingga kaki, ia adalah rasa. Itu sahaja," katanya ketika ditemui di sidang media pementasan Teater Di Sebalik Topeng yang di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang kelmarin.
Tambah Fauziah, ia sesuatu yang bagus untuk seseorang pelakon muda berfikiran jauh, tetapi dalam masa sama, sentiasa rajin mahu belajar untuk menambah ilmu dan memperbaiki mutu lakonan. "Bagus menyimpan impian global. Sebagai kakak dan seniwati, saya merasakan pelakon muda banyak lagi perlu dipelajari. "Ia bagaimana anda melontarkan dialog dan mendalami watak. Ramai hanya melontarkan dialog dan tidak memasuki dalam watak dan melafazkan. Jadi, banyak kena belajar dan selongkar. Kena tahu semua 'what when how why' itu. "Minda berfikir, jiwanya merasa, pernafasan, pergerakan, bahasa tubuh, semuanya perlu diambil kira. Ia banyak kerja," katanya. Fauziah berkata, untuk meraih kejayaan di Oscar memerlukan pengalaman berpuluh tahun. Contohnya, bintang Hollywood seperti Leonardo DiCaprio dan Tan Sri Michelle Yeoh. "DiCaprio mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul trofi Oscar pertama. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh. "Mempunyai impian adalah bagus dan saya mengalu-alukan. Jika menyimpan impian itu, perlulah buat sesuatu, bukan hanya cakap kosong. Mula cari ilmu barulah akan menghargai bidang seni lakon," katanya.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1306526/selongkar-cari-ilmu-sebelum-bermimpi-menang-oscar
|