KUALA LUMPUR: Had laju jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) berkuat kuasa Selasa lalu hingga 8 Februari ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, pengurangan had laju itu adalah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang akan disambut pada 1 dan 2 Februari ini.
"Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara dikurangkan 10 km/j menjadikan had laju jalan persekutuan daripada 90 km/j kepada 80 km/j, manakala jalan negeri daripada 80 km/j kepada 70 km/j berkuat kuasa mulai 25 Januari hingga 8 Februari ini.
"Pewartaan pengurangan had laju sementara ini adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan," katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut KKR, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia dalam mengambil langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan.