“Apa yang lawak sangat?” Mencerlung mata Safa Hawani.
“Patutnya dah lama kau pecatkan diri kau tu,”
“Eh, kenapa pula aku kena berhenti?”
“Kau nikan, akal letak kat lutut ke? Dah berapa lama kau tolong Makcik Melah tu?”
“Dekat tiga tahun. Kenapa?”
“Safa aku nak tanya, berapa upah yang dia bagi kat kau?”
“Lima ringgit,”
“Tengok. Sepatutnya upah kau bukan banyak tu. Kau patut dapat upah lima belas ringgit sekarang. Takkan kau tak perasan, kuih jualan dia dah makin laku sekarang. Itulah, entah apa yang Makcik Melah bagi kau makan sampai tak boleh fikir.”
“Kau ni Iqbal, tak baik kata kat Makcik Melah macam tu. Dia baik apa,”
“Baik, baiklah sangat. Kedekut taik hidung masin lagi adalah,”
PAP!
“Sakitlah Safa. Luruh jantung aku, kau kutip,” Ahmad Iqbal menyilang tangan kanan ke bahu kiri, menggosok belakang tubuh yang ditampar oleh Safa Hawani.
“Tak kuasa aku,” Safa Hawani mencebik.
“Dahlah tu Safa. Lagipun kau bukan orang susah. Bukannya dari keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang nak susahkan diri cari duit sampingan tu kenapa? Kau nak beli apa sampai sanggup bersusah-payah macam ni? Dah lama aku nak cakap perkara ni kat kau, malas aje. SPM dah makin dekat. Apa kata, guna peluang ni belajar. Anggap apa yang jadi ada hikmah. Yang tu pun nak kena aku cakap,” panjang benar leteran Ahmad Iqbal.
Safa Hawani menundukan muka. Kata-kata Ahmad Iqbal memang banyak benarnya. Yalah, dia bukanlah sesusah mana pun. Sebelum mendapat keizinan ayah, puas dia mencipta bermacam-macam alasan. Dia pun tak tahu mengapa dulu beria-ia mahu menolong Makcik Melah. Bagi Safa Hawani, dia seronok dengan tugas yang diserah kepadanya. Bolehlah juga mengisi masa lapang, lebih baik dari dia melepak-lepak sahaja. Ada juga sedikit ilmu masakan yang dapat dia cedok dari makcik itu.
“Termenung pula. Fikir apa lagi ni?”
“Terkejut aku. Kau ni Iqbal... malas nak kata apa dah. Yalah, yalah. Aku ikutlah nasihat kau tu.”
Last edited by wipers81 on 20-10-2014 12:26 PM
|