SEMINGGU berlalu. Lisa termenung. Sejak Imran ditahan di lokap, dia nekad untuk berhenti kerja dan memulakan hidup baru di tempat lain. Jauh dari segala-galanya. Amri pula masih mengharapkan cintanya dibalas.
“Amri, maafkan aku kerana tidak hiraukan cinta kau. Hati aku dah mati untuk lelaki.” Lisa sapu air mata.
Akhbar di tangannya ditatap lagi. Sungguh dia tidak sangka, lmran sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Memang benar kata-kata Azura, Imran memang gila! Hatinya mula sebak memikirkan kematian Ashraf . Cinta pertamanya yang terpaksa dikorbankan demi menjaga maruah. Dirinya tidak sanggup dihina dan dicerca keluarga Ashraf. Segala-galanya dirasakan bagai mimpi.
“Im..maafkan aku kerana terpaksa putuskan hubungan kita…” Lisa sapu lagi air mata yang mengalir.
“Zura.maafkan aku.. kerana Ashraf, kau menderita. Bukan salah aku..bukan juga salah Ashraf kau jadi begini...” Lisa tatap lagi berita di dada akhbar.
“Ashraf..maafkan aku kerana terpaksa tolak cinta kau…semoga roh kau dirahmatiNya..” Lisa semakin sebak.
Keratan akhbar dilipat dan disimpan dalam kotak kecil
ZURA senyum. Hatinya puas. Lega.Dendamnya selama ini terbalas juga. Berita di dada akhbar ditatap lagi.
‘Kes pembunuhan Ashraf Datuk Muzaffar sudah selesai. Polis telah berjaya menangkap pembunuh yang telah meracun mangsa dengan bakteria berbahaya. Mangsa dikatakan dibunuh di rumah kenalannya semasa majlis hari jadi pada 20 April 2012. Mangsa telah mati akibat bakteria berbahaya yang berlebihan yang didapati dalam nasi lemak yang dihidangkan ketika majlis tersebut.’
“Padan muka kau Imran! Aku puas sangat tengok kau masuk penjara! Mampuslah kau dalam tu!” Azura senyum lagi. Kali ini sudah sampai ke telinga.
Ditatap lagi berita yang cukup membuatkan hatinya puas. Ayat demi ayat dibaca lagi. Keratan berita itu digunting dan disimpan dalam album.
“Imran..maafkan aku. Aku terpaksa jadikan kau kambing hitam. Aku sengaja letak bakteria bahaya tu dalam nasi lemak. Aku sengaja lukakan tangan kau dengan pisau. Nasi lemak tu aku sengaja suruh kau bagi kat Ashraf!” Azura mula ketawa. Dijeling sarung tangan yang dipakai masa majlis hari jadi abangnya dulu. Ketawanya semakin panjang.
“Lisa, maafkan aku. Kau terpaksa putus dengan Imran. Sekarang kau rasa betapa sakit dan deritanya hati yang terluka bila kau sendiri kehilangan Imran dan Ashraf keduanya sekali!” Azura ketawa sambil hentak-hentak kaki ke katil.
“Ashraf, maafkan aku. Aku terpaksa racun kau! Aku tak sanggup lihat kau derita kerana Lisa dan aku tak sanggup menderita melihat kau derita!” Azura mula menangis tersedu-sedu.
Ditatap lagi keratan akhbar yang siap diletak kemas dalam album. Kali ini ayat terakhir dibaca…
‘Azura, anak gadis Datuk Harris dikatakan telah mengamuk selepas dua hari pembunuh ditangkap. Kini dia dirawat di sebuah hospital akibat cuba membunuh diri dengan menoreh tangan sendiri dengan sebilah pisau. Kecelaruan fikirannya dikatakan ada kena mengena dengan mangsa’
Seketika kemudian Azura diam semula. Ayat itu dibaca sekali lagi. Ketawanya mula nyaring memecah keheningan bilik di wad 7 Hospital Bahagia. Hahahahaaha!! Puas hati aku!!!Hahahaha!!
Last edited by Ipo on 29-6-2014 11:54 PM
|