Bab 18
Adira bagai tak percaya yang dia kini berhadapan dengan Faiz. Sekali lagi. Bukan dia tidak biasa. Namun dia terasa seperti situasi ini masih khayalannya. Dia tak pernah menyangka yang dia akan berkompromi dengan Faiz. Dulu dia menentang habis-habisan. Tetapi kini sekali lagi dia duduk semeja dengan Faiz ataupun nama sebenarnya Faiz Haikal Ahmad, lelaki yang pernah diminatinya dulu. Siapa sangka mereka bertemu kembali.
Faiz yang sejak tadi duduk menghadap Adira hanya memandang gadis itu. Lama. Dia suka. Tertanya-tanya juga kenapa dia tidak nampak Adira pada masa lalu ? Kenapa dia mempersia-siakan Adira ? Mungkin kerana kehadiran Aina pada ketika itu menutup matanya. Siapa Aina ? Teringin dia melihat sekali lagi gadis itu. Sungguh dia sudah tidak ingat bagaimana rupa Aina. Entah macamana tingkah Aina. Apa yang sudah terjadi selepas kemalangan itu ? Kenapa Aina lesap dari hidupnya ? Soal ini juga mama sorokkan darinya. Faiz terkilan apabila terfikirkan lagi sikap mama. Tidakkah mama fikir tindakannya itu hanya untuk kepentingan diri mama tapi tidak baginya ?
Adira sejak tadi melemparkan pandangannya ke sekitar restoran itu. Tidak terlalu ramai pengunjung. Sesekali dia melihat ke luar tingkap restoran pula. Sesekali dia memandang ke hadapan pula sekaligus membalas pandangan Faiz yang seperti terpaku ke wajahnya.
“Kenapa ?” tegur Adira. Tipulah kalau dia tidak segan apabila lelaki itu memandangnya agak lama. Jadi dia mengalihkan perhatian Faiz. Lagipun kalau jumpa setakat nak tenung mukanya baik tak payah.
“Saya nak mintak maaf..” ujar Faiz. Nampak serba salah pada reaksinya.
“Kenapa ?” Adira tidak faham. Tak habis-habis lagi nak minta maaf.
“Sebab saya tak nampak awak sebelum ni..”
“Itu kan benda lama. Saya dah maafkan pun..”
“Saya menyesal sekarang..”
“Awak tak perlu nak fikir lagi hal tu.. benda dah jadi. Tak ada apa yang awak boleh ubah lagi.” Sebaris ayat Adira itu mengharapkan Faiz agar menerima hakikat dan tidak mengharapkan apa-apa lagi yang mustahil.
Tak boleh ke saya buatkan awak terima saya ? Pertanyaan itu hanya terluah dalam hati Faiz. Kalau diikutkan mahu saja dia bertanya terus kepada Adira namun ini bukannya masanya. Nanti tidak pasal-pasal Adira menamatkan pertemuan mereka ini.
“Sekarang apa yang awak nak saya bagitau awak ?”
Lebih baik Adira memulakan topik yang sepatutnya menjadi tujuan utama dia bersemuka dengan Faiz. Ditunggu juga kalau-kalau Faiz yang cuba memulakan dulu namun lelaki itu bercakap mengenai hal yang tidak digemarinya. Sebelum keadaan menjadi tidak sepatutnya lebih baik dia yang memulakan dulu. Nanti lelaki ini melalut susah pula.
“Apa yang awak tau, Adira ?” soal Faiz pula.
“Saya dah bagitau awak kan ? Awak Faiz Haikal Ahmad. Saya yang bagi awak potret tu. Awak nak jadikan sebagai hadiah untuk Aina, girlfriend awak tu. Then dia datang serang saya. Lepas tu macam-macam jadi kat saya. Ada orang kacau saya, ada orang buat fitnah, ramai yang benci saya..,” Adira bersuara sambil tunduk merenung meja. Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku dan simpulkan kepada Faiz.
“Tapi awak buat tak tau kat saya. Saya tak tau lah kenapa awak ignore saya macam tu.. tu hanya awak je yang tau.. saya anggap saya tak penting untuk awak ataupun awak malu nak dekat dengan saya lepas kecoh saya bagi potret tu kat awak,” cerita Adira lagi. “ Siapa lah saya bagi awak kan..” tambah Adira lagi.
Mendengarkan kata-kata Adira itu menambahkan lagi serba salah ke dalam diri Faiz. Namun itulah hakikatnya. Tiada apa yang boleh diubahnya lagi. Mungkin dulu dia seorang yang berlagak. Ego.
“Tu je yang saya buat ?” soal Faiz.
“Tu je.. lepas tu ada pengawas pusat sumber tu, Dzul.. dia kacau saya. Diorang buat surat nak cakap pasal awak kat library. So saya pun pergi lah. Tapi saya dah kena tipu..diorang nak kenakan saya aje..” ujar Adira. Kesal Adira apabila mengimbau kembali bagaimana Dzul dan Izwan mempermainkannya.
“Diorang buat apa kat awak ?” Faiz ingin tahu.
“Diorang acah-acah je..” Adira tunduk sambil berkata. Dia malu untuk menceritakan selanjutnya walaupun Dzul sekadar menakut-nakutkan dirinya. “Dzul cakap, ada orang suruh dia kenakan saya.. tapi sampai sekarang tak tau siapa orang tu..” tambah Adira lagi. Kali ini dia sudah mengangkat muka menatap Faiz. “Dia tak pernah bagitau..” ujar Adira lagi.
“Tak mungkin..Dira, kalau semua ni salah saya, saya mintak maaf !,” ujar Faiz bersungguh-sungguh. Faiz tahu ia adalah perkara yang melampau. Dan jika ia disebabkan oleh Faiz sendiri, dia lah patut dipersalahkan. Dalam hati dia berharap bukan dia yang menyuruh mereka mengenakan Adira sedemikian. Dia lah punca Adira diganggu namun sekurang-kurangnya dia harap bukan dia yang mahukan Adira diganggu.
“Saya tak kata awak yang suruh.. walaupun saya sendiri tak pasti siapa yang suruh,” ujar Adira pula. “Saya tak apa-apa. Diorang sekadar acah aje,” tambah Adira lagi.
“Lepas tu apa jadi ?” Faiz semakin dihimpit rasa ingin tahu. Malah dia geram. Serba salah dan kasihan kepada Adira semakin kuat menguasai diri.
“Ada orang tolong saya..” balas Adira. Wajahnya yang tadi tegang beransur tenang.
“Siapa ?” soal Faiz.
“Hadif..” jawab Adira.
“Siapa Hadif ?” soal Faiz. Rasanya dia tidak kenal lelaki itu.
“Senior. Sama tingkatan dengan awak. Rasanya awak memang tak kenal kot. Lagipun awak bukan ingat apa pun. Dia baik dengan saya lepas tu,” ujar Adira. dia tersenyum mengingatkan Hadif. Satu-satunya lelaki yang rapat dengannya ketika itu.
“Dia kawan awak ?”
“Ya..”
“Saya.. mintak maaf lagi sekali..”sekali lagi Faiz memohon maaf.
“Kenapa pulak ?” Adira hairan.
“Sebab saya.. awak kena pulau,” ucap Faiz.
Adira kelu seketika melihat reaksi Faiz yang terus-terusan serba salah dan menyalahkan diri. Hati Adira bagai ingin menjerit Ya! Ni semua Faiz punya pasal ! Kau bawak malang dalam hidup aku ! Namun itu hanya bergema di fikirannya. Tak tergamak pula dia mahu menjerit begitu kepada Faiz. Dalam hal ini dia tak boleh menyalahkan Faiz saja. Dia juga yang mendekati Faiz pada mulanya.
“Sudah lah.. sesuatu dah lepas.. saya dah tak ingat pun. Sekarang saya bukan lagi kat sekolah tu.” Adira cuba memujuk Faiz agar berfikiran positif biarpun mungkin dia boleh memaki hamun Faiz sebagai hukuman. Namun dia masih waras dan sedar diri.
“Teruknya saya..tak mampu nak buat apa-apa pasal awak waktu tu..” ujar Faiz lagi.
“Awak ingat Aina?” soal Adira cuba mengalih topik yang membuatnya tidak selesa itu.
“Tak..”
“Muka dia pun awak tak pernah nampak kat mana-mana ke ?”
“Tak..”
“Sepatutnya ada gambar-gambar lama awak dengan Aina. Memandangkan awak dengan Aina tu couple.”
“Saya tak pernah jumpa pun. Saya ada cuba cari tapi tak ada. Entah-entah mama yang sorokkan. Sebab saya tengok album saya macam ada gambar yang tak cukup..” Faiz bersuara sambil matanya melilau sambil memikirkan saat-saat dia membelek album lamanya dulu.
“Sampai macam tu sekali ke mama awak buat ?” ujar Adira yang semacam tak percaya. Baginya dah macam drama Indon. Watak ibu yang melampau-lampau. Namun itu hanya bayangan mindanya saja. Dia pasti Pn.Anita bukan seperti itu.
“Saya pernah cuba cari kat bilik mama. Tapi dia marah saya,” ujar Faiz lagi seraya terkenangkan ketika Pn.Anita menghalaunya keluar dari bilik kerana dia cuba menyelongkar laci almari Pn.Anita. Mungkinkah di situ terdapat gambar-gambar lama dia dan Aina ?
“Siapa lagi yang boleh tolong awak kat rumah tu ?”
“Selalunya Irfan lah yang boleh tolong saya. Tu pun jenuh nak dipujuk. Mama pun dah tak bagi Irfan cerita apa-apa. Tapi Irfan still bagitau jugak. Maybe dia kesian kat saya,” Faiz bercerita hal Irfan.
“Siapa Irfan tu ?”
“Adik saya.”
“Oh, awak ada adik rupa-rupanya.”
“Ada. Tapi dia dulu sekolah lain.”
“Kenapa awak tak mintak je dia tolong carikan ?”
“Ada jugak fikir macam tu. Nanti dulu. Tak nak lah desak dia sangat. Kesian jugak tengok dia serba salah antara saya dengan mama.”
Mereka diam seketika. Masing-masing menghirup air di gelas masing-masing. Adira melihat ke arah jam tangannya. Baru pukul 3 petang. Dia mahu menelefon Sofia untuk menjemputnya pulang kira-kira pukul 4 nanti. Dia tidak mahu berlama-lama bersemuka dengan Faiz. Cukuplah membincangkan apa yang patut.
“Apa lagi yang Irfan tau ?”
“Apa yang Irfan bagitau saya lebih kurang sama macam yang awak bagitau. Tak apa. Nanti saya cuba mintak tolong dia pasal Aina.”
“Awak tak cuba cari Facebook Aina ? Bukan ke awak ni stalker ?” soal Adira. ada sedikit perlian di situ. Faiz hanya tersenyum.
“Saya cuba cari tapi saya tak pasti. Awak still ingat Aina ? Apa yang awak tau pasal dia ?”
“Saya ingat sikit aje. Saya tak tau apa melainkan dia tu girlfriend awak.”
“Saya mintak maaf sebab dia serang awak dulu. Saya mintak maaf sekali lagi.”
Adira terdiam saja melihat Faiz sekali lagi memohon maaf. Kali ini berkenaan tindakan Aina yang menyerangnya dahulu. Dulu memang dia marah. Memang mereka sepatutnya memohon maaf kerana menyusahkan dirinya. Sikap Aina itu sangat tidak matang. Kini Faiz memohon maaf untuk Aina. Perlukah Adira memaafkannya semudah itu ?
“Awak tak perlu mintak maaf. Bukan salah awak kan ? Bukan awak yang suruh dia serang saya pun.”
“Saya serba salah. No wonder lah awak marah gila kat saya.”
Adira mendengus. Dia sendiri pun tidak tahu mahu ikutkan perasaannya atau tidak. Memang dia marah dengan apa yang menimpanya. Faiz Haikal puncanya. Mungkin jugak betul yang Faiz sendiri tidak minta semua itu berlaku. Mungkin tindakannya menyalahkan Faiz semata-mata tidak akan memberi kesan apa pun. Hanya menjadi dendam yang sampai bila-bila pun mengganggu jiwanya. Tapi belum dapat dipastikan sama ada benar atau tidak bahawa memang bukan Faiz sebagai dalang kepada beberapa perkara yang menimpanya. Berkenaan hal Dzul itu, mana tahu kalau-kalau memang Faiz yang menyuruh dia mengganggu Adira. Adira tidak menuduh Faiz namun itu masih tidak mustahil. Faiz pula masih tidak ingat banyak perkara.
“Kalau kita cari Aina, mungkin boleh tau siapa yang buat,” Adira memberikan cadangan.
“Boleh ke ?” Faiz bertanya seolah tidak yakin.
“Saya boleh tolong awak. Kita cari sama-sama. Mana lah tau saya boleh tau siapa yang bagi emel dan gambar saya kat awak tu.”
“Saya setuju aje, Dira,” balas Faiz mengangguk. Lagipun dapatlah dia meluangkan lebih masa bersama Adira. Itu yang dia mahukan.
“Awak tak cuba tanya Irfan pasal gambar tu ?” soal Adira lagi.
“Tak pun.”
“Nanti awak cubalah tanya. Maybe dia tau.”
“Okay.”
Adira berharap benar akan ada petunjuk yang boleh membongkar gerangan siapakah yang telah memberikan gambar dan emel nya kepada Faiz ini. Dia tetap mahu tahu siapa orang itu. kalau tak, masakan Faiz boleh menjejakinya. Adira memujuk hatinya. Walau macamana pun dia tidak dapat menerima, hal itu telah pun terjadi. Dia terpaksa menurut takdir.
“Seingat saya, awak ada kawan nama Iqbal,” Adira memberitahu Faiz. Rasanya Faiz belum pernah menyebut nama Iqbal lagi semenjak mereka bertemu kembali.
“Ye ke ? Iqbal ? Kawan saya ?” Faiz ternyata kehairanan.
“Yelah, dia nampak rapat dengan awak. Dia ada jumpa saya.”
“Jumpa awak ? Buat apa ?”
“ Dia cakap awak dengan Aina serius. Dia tak nak saya kacau awak dengan Aina.”
“Serious ?”
“Ye. Tapi dia cakap bukan awak yang suruh. Dia sendiri yang nak cakap macam tu. Dia memang kawan baik awak lah kut.”
Faiz terdiam sejenak. Dia cuba memikirkan perihal rakannya itu. Iqbal. Kalau sejauh itu dia mengambil berat akan hubungannya dengan Aina pasti Iqbal tahu banyak pasal Aina.
“Maybe kita boleh cari Iqbal,” Faiz pula memberikan cadangan.
“Boleh jugak tapi kita tak tau kat mana dia sekarang. Awak pun tak tau. Kan awak dah lost contact dengan semua kawan-kawan awak.”
“Tak apa. Kita boleh cari diorang berdua. Lagi ramai lagi bagus.”
Adira perhatikan Faiz nampak bersemangat dan bersungguh-sungguh dari riak wajah yang dipamerkan olehnya. Baguslah kalau begitu. Ini menunjukkan Faiz tidaklah bertemu dengan Adira semata-mata untuk dirinya.
“Saya pun teringin nak jumpa Hadif. Entah kat mana dia sekarang,” Adira meluahkan apa yang di fikirannya.
“Awak lost contact dengan dia ?”
“Ye.. lepas dia habis SPM. Dia hilang macam tu je.”
Faiz tidak berkata apa. Nampak di air muka Adira seperti menunjukkan Hadif pernah menjadi orang penting dalam hidupnya. Siapa Hadif itu ? Kenapa Adira begitu mengaguminya ? Istimewa sangat kah lelaki itu di mata Adira ? Tak dapat dinafikan timbul perasaan cemburu dihati Faiz. Cemburunya terhadap lelaki yang pernah dilihat bersama dengan Adira sebelum ini pun belum hilang.
“Awak suka Hadif tu ?”
“Saya dengan dia kawan baik. Mesti lah saya rindu dia.”
Adira menentang tanggapan Faiz itu. Hadif bukan teman lelaki bagi Adira. Hadif salah seorang sahabat baginya ketika dulu. Tapi bagus jugak kalau Faiz fikir dia sukakan Hadif. Biar lelaki itu mengalah untuk mengambil hatinya.
“Lelaki yang selalu dengan awak tu siapa ? Boyfriend awak ?” Faiz bertanya perihal Junaidi pula.
“Itu Junaidi,” balas Adira. “ Dia kawan saya dari kecik,” sambung Adira lagi. “Dia.. boyfriend saya,” kali ini Adira menipu. Adira sengaja menipu.
Biarlah Hadif tertipu dan menyangka Junaidi itu teman lelakinya. Pasti mudah untuk dia melepaskan diri dari Faiz. Ternyata Faiz terkedu mendengar pembohongan Adira itu. Adira tidak memandang ke arah Faiz lagi. Tidak mahu lihat reaksi sedih lelaki itu. Tidak mahu jatuh kasihan.
“Sorry.. saya kacau makwe orang..” ucap Faiz. Ada sedikit ada sedih di situ.
“Tapi tak apa. Saya harap awak faham.”
“Tak apa. Nanti kita sama-sama cari Aina dengan Iqbal.”
Adira mengangguk. Faiz mengetap bibir. Lelaki itu Junaidi. Junaidi itu teman lelaki Adira. Mestilah sukar untuknya merebut hati Adira. Junaidi sebagai penghalangnya. Bukan Hadif. Bagaimana sekarang ? Usahanya menjejaki Adira, gadis yang diminatinya selepas terpesona dengan potret yang dibuat olehnya. Kini sudah menjadi teman wanita kepada orang lain. Sungguh dia merasa kesal. Apatah lagi memikirkan keangkuhannya pada waktu dulu seperti yang diceritakan oleh Adira dan Irfan. Dia pasti dia lelaki ego dan angkuh. Patutkah dia mengalah ?
Aina. Kenapa dia begitu serius bersama Aina ? Siapakah gerangan perempuan bernama Aina ini ? Bagaimana rupanya ? Bagaimana perilakunya ? Apa yang begitu istimewa pada Aina hingga dia serius dengan Aina ? Dia tidak tahu. Dia tidak ingat. Adakah dia begitu menyerlah berbanding Adira ? Memandangkan Adira dan Irfan mengatakan yang dia dulu jejaka popular, mungkin Aina itu gadis yang cantik yang sesuai dengan dirinya ketika itu.
“Pandang saya, Adira,” pinta Faiz tiba-tiba. Adira terkesima. Kenapa pula lelaki ini ?
“Kenapa ?” Adira hairan.
“Saya ni handsome sangat ke ?” Faiz bertanya dengan serius.
Aina tidak menjawab. Dia masih memandang Faiz. Pelik juga dia rasa. Lelaki ini takkan tak pernah tengok cermin ? Tentulah handsome. Namun kini nampak lebih dewasa. Adira meneliti sepasang mata milik Faiz. Matanya yang tajam dan memukau. Pantas Adira mengalihkan pandangannya ke arah. Bahaya. Aura tarikan lelaki ini masih belum berubah. Adira tak mahu terpedaya dengan mainan perasaannya. Tidak. Bukan untuk kedua kalinya. Mungkin dulu dia kalah dengan tarikan ketika remaja. Kini dia takkan semudah itu membiarkan dirinya tewas.
“Awak rasa awak tak handsome ke ?” soal Adira pula.
“Saya tak pernah terfikir pun pasal rupa saya.” Jawab Faiz.
Dia sendiri pun baru perasan yang memang dia tak pernah fikirkan sangat tentang kelebihan rupa parasnya selepas keluar dari wad hospital. Mungkin kerana dia malas mahu mengambil peduli memandangkan dia tidak tahu banyak perkara dan kehilangan memori lama. Dulu mama cepat-cepat menyuruhnya mencukur jambang dan misai yang dibiarkannya tumbuh dengan banyak setelah dia pulang dari hospital. Ketika di wad memang dia tertekan dan mengalami depresi hingga mengabaikan penjagaan wajah. Itu sudah tidak penting baginya. Sedangkan setiap hari dia terganggu memikirkan bagaimana kisah silamnya.
|