|
sambungan...tambah watak mokcik hasanah yang dengki |
|
|
|
|
|
|
|
17. IBU DIFITNAH LAGI
Intan pulang kerumah dengan perasaan marah. Dia benar – benar tidak menyangka perkara itu boleh terjadi. Kata – kata Makcik Hasanah tergiang – ngiang ditelinganya.
“Intan tak lama lagi tak hidup susah la” tiba – tiba sahaja Hasanah menegur Intan yang ketika itu sedang termenung di pantai. Dia sedang menunggu Abang Lan kerana kata ibu Abang Lan mahu memberikan ikan kepada mereka.
Intan hanya merenung Makcik Hasanah tidak faham.
“Intan tak tahu lagi ke?” tanya Hasanah sambil mencebik.
“Tahu apa?” tanya Intan. Dia tidak sukakan Makcik Hasanah sebab perempuan itu selalu melihatnya seperti mahu makan sahaja.
“Takkan ibu Intan tak bagi tahu kot” sengaja Hasanah membuat Intan tertanya – tanya.
“Bagitau apa?” tanya Intan acuh tak acuh.
“Eh....budak ni kurang ajar betul. Mak kau tak ajar ye adab sopan bercakap dengan orang tua” marah Hasanah melihat sikap Intan yang lebih kurang sahaja.
Intan mengeluh bosan.
Hasanah tersenyum sinis. Kau buatlah muka lepas ni tahulah kau. Hasanah mencengkam bahu Intan dan dihadapkan muka Intan kearahnya.
“Sakitlah makcik” Intan meronta – ronta.
“Sakit ye. Kau dengar sini apa aku nak cakap” Pegangan Hasanah semakin kejap.
“Mak kau yang gatal tu tak lama lagi nak kawin dengan si Lan tu. Entah apa yang Lan tu berkenankan emak engkau tu entahlah. Jangan – jangan Lan tu dah terkena bomoh mak kau yang gatal tu. Tak lama lagi dapat bapak baru lah kau. Seronok la kau. Kubur bapak kau merah lagi mak kau dah gatal nak berlaki lain.” Hasanah sudah meracuni fikiran Intan.
Intan tersentap. Tak mungkin. Tak ada siapa boleh gantikan tempat ayah.
“Makcik tipu” jerit Intan sambil merentap tangan Hasanah.
Hasanah tersenyum sinis lagi. “Lantak kau la nak percaya ke taknak. Orang kampung ni dah tahu perangai gatal mak kau tu. Agaknya bapak kau belum mati lagi dia dah menggatal. Sekarang bapak kau dah mati senanglah dia nak berkahwin dengan Lan tu” fitnah Hasanah lagi. Tak dapat ibu anak pun jadilah.
Intan menggigit bibir bawahnya kuat. Mukanya merah menahan marah. Hasanah mencebik bila melihat hasutannya berjaya.
“Kalau kau nak tahu lagi pergilah tanya mak kau tu.” Kata Hasanah sambil menunjal kepala Intan.
Intan yang geram itu menendang kaki Hasanah sebelum berlari pulang kerumah. Terjerit – jerit Hasanah padahal bukan sakit pun.
“Budak tak guna. Berani kau tendang kaki aku. Kau dengan mak kau sama je perangai buruk” jerit Hasanah sambil melihat Intan yang sudah berlari jauh.
Intan berlari sambil menyeka air mata. Dia benar – benar marah. Ibu jahat. Rupanya ibu tak sayangkan ayah. Abang Lan juga jahat. Berani Abang Lan mahu gantikan tempat ayah. Sampai dirumah Intan menyeka air matanya kasar. Dia masuk ke rumah dengan menghentak – hentak kakinya.
Ibu yang ketika itu sedang memotong sayur pelik melihat perangai Intan yang kasar. Sebelum ini Intan tidak begitu.
“Kenapa ni Intan. Tak boleh masuk rumah elok – elok ke?” tanya ibu lembut. Dia melihat mata anaknya yang merah seperti baru lepas menangis. Ibu mendekati Intan. Bahu Intan dipegang perlahan.
“Kenapa ni Intan. Kenapa Intan menangis? Siapa buat Intan menangis?” tanya ibu sambil memeriksa badan Intan. Mana tahu jika anak itu terjatuh dimana – mana.
Tangan ibu ditolak kasar oleh Intan. Ibu terkejut melihat perangai Intan yang dianggap kurang ajar itu.
“Kenapa ni. Mana ikan? Intan tak pegi ambik ye. Abang Lan takde ke. Kenapa Intan nangis? Siapa yang buat?” tanya ibu bertalu – talu.
“Abang Lan...Abang Lan...Abang Lan...” jerit Intan tiba – tiba. Ibu terperanjat.
“Kenapa ni Intan” ibu kehairanan melihat sikap Intan. Baru sahaja Intan mula tersenyum kali ini Intan membuat perangai pula.
“Ibu nak kawin dengan Abang Lan kan. Ibu jahat. Ibu dah tak sayangkan ayah” jerit Intan lagi. Kata – kata Hasanah benar – benar telah menghasutnya.
“Apa Intan cakap ni?” Ibu terus kehairanan. Siapa pula yang telah memberitahu cerita mengarut itu kepada Intan.
“Siapa nak kawin dengan Abang Lan?” tanya ibu lagi.
“Ibu lah yang gatal nak kawin dengan Abang Lan” jerit Intan lagi. Satu tamparan hinggap dipipinya yang halus itu.
Suasana sepi. Intan memegang pipinya. Ibu terkedu. Selama ini tidak pernah dia berkasar dengan Intan. Air mata Intan merembes keluar.
“Ibu jahat..jahat..Intan benci ibu..” jerit Intan sambil berlari keluar.
“Intan ...” jerit ibu. Tetapi Intan sudah hilang dari pandangan mata. Ibu menangis. Ibu tahu ini mesti kerja Hasanah. Tidak habis – habis Hasanah dengkikan ibu. Ibu sendiri tidak tahu apa masalah Hasanah. Ibu nekad dia akan bersemuka dengan Hasanah. |
|
|
|
|
|
|
|
18. DI KUBURAN AYAH
Intan berlari dan terus berlari. Sedar – sedar Intan sudah berada dikuburan Ayah. Intan terduduk di kubur ayah. Tersedu – sedu Intan menangis. Angin sepoi – sepoi bahasa menyamankan suasana tetapi tidak pada Intan.
“Ayah...Intan rindukan ayah. Kenapa ayah tinggalkan Intan..?” tersedu – sedu Intan mengadu pada kubur ayah yang sepi.
“Kenapa ibu dah tak sayangkan ayah. Kenapa ibu nak kawin dengan Abang Lan. Sudah lupakah ibu pada ayah” Adu Intan lagi.
“Intan tak mahu Abang Lan jadi ayah Intan. Intan cuma mahukan ayah je jadi ayah Intan. Kenapa ibu buat macam tu?” tanya Intan lagi. Suasana sepi hanya kedengaran desiran angin dan ombak laut.
Intan mencebik sedih. Sedih kerana tiada lagi suara ayah yang akan memujuk Intan ketika dia kesedihan. Tiada lagi tangan yang akan membelai rambutnya. Intan termenung melihat batu nisan ayah. Tangannya memegang batu nisan itu seperti dia memegang ayah. Dia betul – betul rindukan ayah.
Di luar pagar kawasan kubur Mak Leha termengah – mengah mengambil nafas. Kebetulan ketika ibu mahu berjumpa Hasanah ibu bertembung dengan Mak Leha dan meminta Mak Leha mencari Intan. Ligat saja orang tua itu mengayuh basikal mencari Intan. Geram juga dia apabila mengetahui perangai busuk Hasanah yang cuba meracuni fikiran anak sekecil Intan. Dasar perempuan tak ada otak. Cemuh Mak Leha.
Perlahan – lahan Intan dihampiri. Tiada suara yang kedegaran melainkan esak tangis Intan.
“Intan....” tegur Mak Leha.
Intan hanya membatukan dirinya. Mak Leha duduk disebelah Intan. Tanganya membuang beberapa daun kering yang jatuh dikubur ayah.
Wajah sembab Intan direnung. Kesian anak ini. Kesian keluarga ini. Apalah salah mereka? Mengapa mereka diuji dengan hebat sekali. Keluh Mak Leha.
“Intan...”tegur Mak Leha lagi. Tanganya memeluk erat bahu Intan. Intan merenung sekilas kearah Mak Leha.
“Intan tahu tak dalam hidup ibu Intan tiada lelaki lain selain dari ayah Intan” Mak Leha memulakan bicara. Anak sekecil Intan perlu difahamkan secara halus. Kerana pemikiran mereka belum matang. Lainlah kalau sudah dewasa. Rasanya Mak Leha tidak akan berdiplomasi. Hanya menyembur sahaja kata – kata kerana mereka tidak mahu berfikir sebelum bertindak.
Intan mencebik. Menyampah dia mendengar perkataan ibu itu. Mak Leha mengeluh perlahan.
“Dalam hati ibu Intan hanya ada ayah sahaja. Tak ada lelaki lain yang dapat gantikan tempat ayah. Nek Leha tahu tu semua. Nek Leha dah lama kenal ibu Intan.”
Intan masih lagi membatu. Suasana sepi. Mak Leha sedang merangka kata – kata supaya Intan terpujuk kembali.
“Intan ingat lagi tak masa sebelum ayah meninggal ibu berlari dalam ribut cari Pakcik Rashid minta ayah dibawa ke hospital?” tanya Mak Leha.
Intan merenung Mak Leha meminta penjelasan. Mak Leha memberikan segaris senyuman.
“Itu tandanya ibu sayangkan ayah Intan. Dia sanggup meredah hujan supaya ayah Intan selamat. Ibu Intan juga bersusah payah menjaga ayah Intan masa dia sakit. Ibu Intan tak pernah pu mengeluh” bersungguh – sungguh Mak Leha cuba memujuk Intan.
“Tapi ibu nak kawin dengan Abang Lan” tiba – tiba Intan bersuara. Marahnya kembali lagi.
“Siapa yang cakap?” tanya Mak Leha.
“Makcik Hasanah”. Herot – herot mulut Mak Leha menahan geram. Hasanah ni memang nak kena cili mulutnya.
“Makcik Hasanah kau tu sejak dari dulu dengkikan mak kamu. Sejak ayah kamu masih hidup lagi.” Terang Mak Leha geram. Nisan ayah dipandang.
“Jom pergi ke tempat lain. Tak baik bercerita dikubur ayah. Ayah Intan perlu bersemadi dengan tenang.” Mak Leha bangun seraya menarik tangan Intan. Intan hanya menurut sahaja.
Intan membonceng basikal Mak Leha. Mak leha membawa Intan kerumahnya. Intan dihidangkan dengan sirap sejuk dan kek lapis yang dibelinya kelmarin. Mak Leha setia menunggu Intan menghabiskan airnya.
“Lepas ni Intan bolehlah balik rumah. Kesian ibu..”
Intan menggeleng.
“Taknak balik? Habis tu Intan nak dok mana?” tanya Mak Leha sambil memancing perhatian Intan. Intan mengangkat bahu.
“Intan tak kesian ibu tinggal rumah sorang – sorang?” tanya Mak Leha.
Intan terdiam. Betul jugak kalau dia tak balik dia mahu kemana. Ke rumah Syirah. Uh..pasti emak Syirah akan menyuruhnya pulang juga. Habis kemana dia mahu pergi. Mahu pulang kerumah hatinya masih belum terpujuk lagi. |
|
|
|
|
|
|
|
Benci watak hasanah ni....nape meracun fikiran budak kecil tu....ke dia syok ke Abe Lan... |
|
|
|
|
|
|
|
Tiba – tiba kedengaran salam diluar rumah. Rupa – rupanya Mak Leha telah menelefon Abang Lan untuk mebantunya memujuk Intan. Bagi Mak Leha Abang Lan layak menerangkan perkara yang sebenar. Masam muka Intan apabila melihat Abang Lan datang.
Abang Lan tersenyum pada Intan. Intan hanya membalas dengan jelingan. Comel sungguh Intan. Abang Lan tersenyum lagi.
“Macam mana la Abang Lan mahu jadi ayah Intan kalau Intan jeling macam ni. Takut la Abang Lan tengok” tiba – tiba Abang Lan bersuara.
Bulat mata Intan merenung Abang Lan. Abang Lan ketawa kuat.
“Tak boleh. Abang Lan tak boleh jadi ayah Intan” kata Intan sambil mencebik sedih.
“Kenapa tak boleh?” Abang Lan cuba mengusik Intan.
“Ayah Intan saja yang boleh jadi ayah Intan. Abang Lan tak boleh” jelas Intan perlahan. Wajah ayah terbayang dimatanya.
“Sebab tu lah Abang Lan tak boleh kawin dengan ibu Intan. Sebab Abang Lan tahu Intan sayangkan ayah. Ibu pun sama”. Lekas – lekas Intan memandang Abang Lan tidak faham.
“Tapi...makcik Hasanah cakap...”
“Makcik Hasanah bohong..” potong Abang Lan. Intan menelan air liur. Makcik Hasanah bohong. Tapi kenapa?
“Kenapa dia bohong?” tanya Intan tidak mengerti.
“Entahlah Intan. Abang Lan pun tak tahu. Tapi apa – apa pun Abang Lan tak kawinlah dengan ibu. Makcik Hasanah tu dengki kot Abang Lan baik dengan Intan. Selalu bagi Intan ikan. Abang Lan tak bagi dia ikan kot sebab tu dia dengki” Abang Lan cuba memujuk Intan.
“Abang Lan tak kawin dengan ibu?” tanya Intan masih tidak berpuas hati
“Tak. Ibu pon taknak kawin dengan Abang Lan” cebik Abang Lan.
Intan tersenyum melihat cebikan Abang Lan. Nampak kelakar.
“Kenapa?” tanya Intan.
“Sebab...ibu Intan sayang sangat dengan ayah Intan. Abang Lan selalu datang rumah Intan sebab nak mengorat Intan. Bukan dengan mak Intan. Sebab Intan lagi comel.” Abang Lan cuba berlawak.
Intan ketawa “ehhh...mana boleh Intan kecik lagilah. Gatal lah abang Lan ni” Intan tertawa senang. Lega kerana ibu tidak akan berkahwin dengan Abang Lan. Tiba – tiba tawanya mati. Tadi dia memarahi ibunya. Intan takut ibu akan berkecil hati dengannya.
“Tapi tadi Intan dan marah ibu” Intan berasa sedih.
“Ibu Intan tunggu kat rumah. Dia susah hati bila Intan lari tadi. Jom Abang Lan hantar Intan balik. Ibu tak sabar nak jumpa Intan”
“Betul?” tanya Intan. Abang Lan mengangguk.
“Jomlah balik. Intan tak sabar nak jumpa ibu” Intan sudah menarik tangan Abang Lan. Mak Leha tersenyum senang bila melihat Intan tidak marah – marah lagi. Semoga hubungan dua beranak ini akan terus berkekalan. |
|
|
|
|
|
|
|
tuelah...pengaruh unsur2 jahat nie memang cepat org terhasut...
pape pun semoga INTAN tabah... |
|
|
|
|
|
|
|
ala igt ada la adegan cili-mencili tadi... cepat sikit citer nya tu... |
|
|
|
|
|
|
|
sambung skit ye sblum cutik cainis nu year |
|
|
|
|
|
|
|
19. KASIH IBU
Ibu baru sahaja pulang dari rumah Hasanah. Geram betul ibu dengan mulut Hasanah yang suka menjaja cerita itu. Ibu berdiam diri bukan bermakna takut. Tapi ibu malas untuk ikut campur. Tapi Hasanah mengambil kesempatan atas diam ibu itu. Sudahlah itu, Intan pun habis dihasutnya.
Mulut Hasanah yang bising bagaikan perempuan meroyan itu lagi menyakitkan hatinya. Terjerit – jerit bagaikan orang sakit jiwa.
“Bila aku fitnah kau. Kau jangan nak memandai sangat. Memang kau gatal kan. Lagi nak cakap aku bawak mulut” berlagak sahaja perempuan itu bercakap.
Ibu masih menahan sabarnya.
“Aku tak kisah Nah kalau kau nak fitnah aku. Jangan la anak aku kau racun jugak. Dia budak kecik. Tak tahu apa – apa” ibu masih lagi berlembut.
Terjuih – juih mulut Hasanah mendengar kata – kata ibu. Tanganya disilangkan. Angkuh sekali.
“Kau yang gatal. Jangan nak babitkan aku pulak. Anak kau patut tahu perangai gatal kau itu” Hasanah masih lagi angkuh.
Ibu sudah naik geram.
“Kau dari dulu sampai sekarang kenapa sakit hati sangat dengan aku? Apa aku dah buat dekat kau. Kau tak malu ke bawak cerita sana sini. Mengumpat memfitnah” ibu sudah meninggikan suara.
Hasanah mencebik.
“Buat apa aku nak sakit hati dengan orang miskin macam kau. Apa aku dapat? Sudahlah malas aku nak bercakap dengan orang macam aku ni. Buang masa aje” jeling Hasanah.
“Aku tak akan balik selagi aku tak selesaikan hal ni. Apa yang kau nak dari orang miskin dari aku ni. Kalau betul kau tak dengki dengan aku kenapa kau suka bercerita pasal aku?” tanya ibu geram.
Hasanah sudah naik angin. “Hey perempuan miskin. Sedar sikit diri kau tu. Eh..kau ingat aku tak tahu ke kau guna ilmu dalam karipap kau tu. Habis jualan aku jatuh sebab kau, tahu tak?” jerit Hasanah.
Ibu beristigfar didalam hati.
“Apa kau cakap ni. Bila aku guna ilmu dekat karipap aku. Pasal karipap pun kau boleh berdendam dengan aku Nah. Aku tak sangka kau ni bodoh macam ni” ibu sudah hilang sabar.
Besar mata Hasanah memandang ibu.
“Kau cakap aku bodoh....” jerit Hasanah sambil menyinsing lengan bajunya. Laju sahaja dia meluru kearah ibu. Ibu mengelak. Hasanah tetap tidak berpuas hati. Dia mendekati ibu dan menolak ibu. Terdorong ibu kebelakang.
“Kau ni kenapa Nah. Dah gila agaknya” ibu menepis tangan Hasanah yang masih menunjal – nunjal bahu ibu.
“Memang aku gila. Aku gila sebab ada orang miskin tak sedar diri macam kau” jerit Hasanah lagi. Dia berniat untuk menyerang ibu lagi. Mujur saja suami Hasanah, Manan muncul untuk makan tengah hari.
Cepat – cepat enjin motor dimatikan dan dia meluru kearah isterinya yang terjerit – jerit itu.
“Hey Nah, bawak mengucap. Awak ni kenapa?” Manan menarik isterinya. Hasanah meronta – ronta.
“Lepaslah bang biar saya ajar perempuan ni” Hasanah cuba melepaskan pegangannya.
“Kenapa ni Miah?” tanya Manan
“Sepatutnya saya yang marah Abang Manan. Hasanah ni dah cuba buat cerita dekat anak saya. Dikatanya saya nak berkahwin dengan Lan. Kalau dia nak burukkan saya tak apa Abang Manan. Jangan nak diracun fikiran anak saya. Sudahlah dia tengah bersedih sebab kematian ayah dia. Ini nak ditambah pulak dengan cerita mengarut macam tu” terang ibu dengan suara yang agak tinggi. Masih geram dengan Hasanah.
“Apa yang awak buat ni Nah. Dengan budak kecik pon awak boleh cari pasal” pegangan Manan masih lagi kejap. Bulat mata Hasanah memandang suaminya.
“Abang ni nak bela siapa. Siapa saya ni. Isteri awak kan. Tak kan awak pun terkena guna – guna perempuan ni” jerit Hasanah.
Ibu menggeleng. Tak habis – habis dengan guna – guna Hasanah ni. Agaknya sudah tak ada modal lain agaknya.
“Sudahlah awak ni. Tak malu ke kalau orang tengok awak terpekik – pekik macam pontianak ni. Dah Miah. pergilah balik. Kalau dilayan si Hasanah ni sampai esok pon tak abis memekak lagi” kata Manan sambil menyeret isterinya masuk kerumah.
“Aku balik dulu Hasanah. Tapi kau ingat jangan ganggu anak aku lagi. Kalau kau tak puas hati dengan aku kau jumpa aja dengan aku” ibu memberi amaran sebelum berlalu dari situ.
“Kau ingat aku takut ke Miah. Eh..lepaslah abang” Hasanah masih meronta – ronta. Manan terus sahaja menarik isterinya masuk kerumah. Dan menutup pintu dengan kasar. Dia berharap tiada orang melihat insiden itu. Malu besar dia nanti. |
|
|
|
|
|
|
|
Ibu mengesat matanya. Caci maki Hasanah masih lagi bermain – main ditelinganya. Hina sangatkah perempuan miskin sepertinya di mata Hasanah. Apa salah ibu. Bukan ibu menganggu hidup Hasanah. Hanya kerana karipap Hasanah berdendam dengannya seperti itu satu kesalahan besar.
Diluar terdengar deruman bunyi motor. Kemudian diikuti suara yang amat dikenalinya.
“Ibu...” suara halus itu memanggil. Lekas – lekas ibu mengesat air matanya. Tanpa bertangguh ibu meluru kearah pintu. Dia melihat Intan memandangnya dengan senyuman melebar.
“Intan anak ibu, kesini sayang” ibu mendepangkan tangannya.
Berlari Intan mendapatkan ibunya. “Intan minta maaf ibu. Intan tak sengaja. Intan sayang ibu” tangis Intan.
Ibu memeluk Intan erat. Kemudian muka anaknya dicium berkali – kali.
“Tak apa ibu tak marah. Bukan salah Intan. Ibu pun sayangkan Intan. Ibu tak sengaja tertampar Intan tadi.” Muka Intan dicium lagi bertalu – talu.
“Intan yang salah ibu. Intan minta maaf” tangan ibu diraih dan dikucup. Ibu terus menarik Intan kedalam pelukannya. Ibu terpandangkan Abang Lan. Ibu tersenyum tanda mengucapkan terima kasih. Abang Lan hanya mengangguk. Kemudian Abang Lan menghidupkan motor dan pulang kerumah. Membiarkan dua beranak itu meluahkan kasih sayang mereka. Abang Lan berasa tenang kerana salah faham Intan sudah dapat dileraikan. |
|
|
|
|
|
|
|
sambungan....risau plak nnti terberanak taleh nak tepek sini |
|
|
|
|
|
|
|
20. LANGAU BERKEPALA HITAM
Ibu leka menjemur ikan kering dihalaman rumah. Selepas insiden tempoh hari ibu tidak lagi pergi ke kilang Abang Lan. Ibu hanya akan mengeringkan ikan dirumah sahaja. Abang Lan akan menghantar ikan untuk dibuat ikan kering oleh ibu. Upah akan diberikan seperti biasa. Selepas ikan kering siap, Abang Lan akan mengambilnya pula untuk dibungkuskan dikilangnya.
Cara itu lebih mudah. Lagipun Intan memerlukan perhatian yang lebih. Sesekali Intan akan membantu ibu menjemur ikan masin. Peristiwa hari itu juga telah dilupakan Intan. Apa yang penting Intan mahu terus berada disisi ibu.
Ketika ini Intan sedang bersantai dipangkin sambil memerhatikan ibu. Cuaca ketika ini tidak menentu. Bulan Oktober sudah semakin menghampiri. Ini bermakna musim tengkujuh akan menjengah bila – bila masa sahaja. Langit ketika ini cerah sahaja. Tetapi musim sekarang tidak menentu. Seperti semalam cuaca panas pada tengah hari petangnya pula hujan turun dengan lebat sehingga malam. Nasib baik ibu sempat mengangkat ikan masin di pangkin jemuran.
Selesai menjemur ikan masin yang masih belum kering dengan elok, Ibu menghampiri Intan. Intan melentokkan kepala ke bahu ibu sebaik sahaha ibu duduk disebelahnya. Nyaman sungguh bila berada disisi ibu.
“Intan” panggil ibu lembut
“Hmmm..”jawab Intan malas. Matanya hampir terlelap tadi.
“Intan nak kesekolah?” tanya ibu
Tiba – tiba Intan menegakkan badannya. Matanya bersinar memandang ibu.
“Nak...nak..” laju sahaja Intan menjawab.
“Kenapa Intan nak pergi sekolah?” tanya ibu sengaja menguji Intan.
“Sebab Intan nak jadi pandai. Lagipun ayah kata Intan kena sekolah. Jadi anak yang pandai. Nanti boleh jaga ibu.” Intan masih mengingati pesanan ayah.
Ibu terdiam. Ingatan terhadap suaminya semakin kuat.
“Tak lama lagi Intan sudah boleh bersekolah” ibu meberitahu berita gembira itu. Intan kelihatan gembira.
“Betul ke Ibu?” Tanya Intan.
Ibu mengangguk perlahan. Wajah Intan direnung dengan penuh kasih.
“Sama sekolah dengan Syirah?” tanya Intan lagi.
Ibu menggeleng “Syirah pergi sekolah mahal. Ibu tak mampu nak. Intan masuk tadika Kemas aje dulu. Nanti sekolah rendah boleh la sekolah sekali dengan Syirah”
Intan mengangguk laju. Tidak kisahlah sekolah dimana. Janji dia dapat bersekolah seperti Syirah. Dapat pelbagai pengetahuan seperti Syirah.
“Bila Intan boleh pergi sekolah ibu?” tanya Intan penuh teruja
“Tahun depan. Tapi dah tak lama dah” ibu membelai rambut Intan yang halus itu.
Makin melebar senyuman Intan.
“Intan janji Intan akan belajar bersungguh – sungguh” janji Intan. Tubuh ibu dipeluk erat. Ibu membalas pelukan Intan dengan penuh rasa kasih dan sayang. |
|
|
|
|
|
|
|
Mak Leha leka memilih barang di kedai runcit Mak Siti geng baiknya. Mereka sudah berkawan sejak dari anak dara lagi hinggalah sudah beranak dan bercucu. Sesekali becok mulut mereka bercerita perihal masing – masing.
Tiba – tiba Hasanah masuk kekedai. Kelihatan Hasanah sedang memilih barang – barang dapur. Terhereo – herot mulut Mak Leha apabila melihat Hasanah. Geramnya pada Hasanah masih belum hilang. Intan sudah dianggap sebagai cucu padanya.
Hasanah yang menyedari pandangan tajam Mak Leha hanya berbuat tidak tahu sahaja. Terus beberapa barangan diambil dan diletakkan didalam bakul. Dia hanya berlalu di tepi Mak Leha dengan lenggang kangkungnya.
“Siti oi...besarnya langau kat kedai kau ni” tiba – tiba Mak Leha bersuara. Tiba – tiba sahaja dia mendapat idea untuk mengenakan Hasanah. Mak Siti mengerutkan dahinya sambil memandang Mak Leha. Langau. Mana. Tiada.
Mak Leha menjegilkan matanya sambil memberi isyarat kearah Hasanah. Mak Siti yang mengetahui cerita mengenai Intan itu tersenyum. Ada – ada sahaja si Leha ni.
“Langau besar mana Leha oi...kedai aku ni tak ada la berbau busuk sampai ada langau besar” Mak Siti sudah menambah perasa.
“Langau kepala hitam la Siti. Dia tak kira tempat wangi ke busuk. Situlah dia hurung. Sebab yang busuk tu langau bukan tempat singgah langau” kata Mak Leha kuat.
Hasanah yang mendengar terasa geram. Itu tidak lainlah tu...mengumpat aku. Gerutu Hasanah dalam hati.
“Isk bahaya langau macam ni. Banyak kuman. Boleh bawak penyakit” itu dia Mak Siti sudah menambah ajinamoto.
Mak Leha tertawa gedik. “Penyakit tu kalau tak diubat padah la nasibnya. Hati boleh jadi gelap. Busuk” Mak Leha menambah lada hitam pula bagi pedas.
Hasanah semakin geram. Dua orang tua tak sedar diri. Dah tua – tua asik nak mengumpat aja. Kubur dah panggil bila – bila masa. Kutuk Hasanah.
“Penyakit macam tu lah payah nak diubati Leha oi...minum air tujuh masjid pun belum tentu bersih hatinya.” Mak Siti memberikan sedas lagi perasa tambahan.
Makin menggelegak hati Hasanah. Pantas dia menuju ke kaunter. Barang – barang yang ada didalam bakul dilonggokkan dikaunter bayaran.
“Dah tak ada kerja ke mengata orang aje?” jerkah Hasanah Kasar.
Mak Siti mencebik. “Bila Masa aku mengata orang. Aku mengata pasal langau. Yang kamu terasa kenapa” laung Mak Leha sambil bermuka selamba memilih cili api. Kalau diikutkan hati mahu dicili – cili aja mulut Hasanah.
“Tak sedar diri punya orang tua. Ingat aku tak tahu agaknya.” Jawab Hasanah kasar sambil berlalu dari kedai runcit itu.
Mak Leha tersenyum sinis. Rasakan kau. Itulah mulut tidak boleh dijaga. Asik mahu mengumpat, memfitnah. Bila terkena batang hidung sendiri terasa pula.
“Pandai pulak marah. Dia ingat orang suka gamaknya bila dia jaja cerita orang” cebik Mak Leha.
Mak Siti menggelengkan kepala. “Hairan aku orang macam ni. Dengan budak kecik pun jadi dilawannya”
“Itu sebab dah tak ada modal agaknya. Apalah yang diceritakan dekat Munah dengan Wati agaknya. Dua ekor tu aja yang suka dengar umpatan si Hasanah tu” leter Mak Leha.
“Kau tengoklah barang – barang ni dicampakkan aja. Tak ada adab betul” rungut Mak Siti. Barangan itu dibawa ke rak untuk disusun semula.
“Abis tu takkan kau nak suruh dia susun balik benda ni. Dah marah. Balik bodoh jelah” Mak Leha tertawa jahat dan diikuti Mak Siti. Kedua – dua orang tua ini memang nakal. |
|
|
|
|
|
|
|
yang penting INTAN leh gi sekolah... |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by kikuri at 30-1-2012 15:58
sambungan ye...lebih sikit...dh nak abih pon...takot nnti terberanak tak dpt nak sambung plak |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by kikuri at 30-1-2012 15:58
21. TRAGEDI KURMA AYAM.
Hari ini hujan sepanjang hari. Ibu tidak dapat menjemur ikan masin. Dia hanya bersantai sahaja dengan Intan. Semalam ibu mendapat gaji dari Abang Lan. Dapatlah ibu membeli sedikit barangan dapur. Ibu juga berhajat untuk melawat Syukri di Pusat Serenti Gambang. Ibu akan memasak makanan kegemaran Syukri.
Ibu juga membeli kain kapas untuk dibuat baju kurung Intan. Ibu pandai menjahit dan jahitan ibu kemas. Ibu menjahit hanya menggunakan tangan tidak menggunakan mesin. Kecuali jahitan tepi ibu akan menghantar ke kedai cina sahaja.
Ibu leka memotong kain kapas itu setelah ukuran Intan diambil. Intan pula leka berbaring sambil bernyanyi lagu kanak – kanak yang diajar Syirah. Ibu hanya tersenyum. Hujan hari ini tidaklah lebat tetapi ianya berterusan. Tidak ada guruh mahupun kilat.
Selepas solat Isyak dan makan malam mereka berdua hanya bersantai sahaja. Jika ada ayah mesti waktu ini ayah sedang mengaji ataupun membaca buku – buku agama yang dipinjam dari masjid. Ibu mengeluh kecil mengingati ayah.
Hujan sudah semakin reda. Cuaca juga bertambah sejuk. Ibu meneruskan kerja – kerja memotong kain untuk dibuat baju Intan. Bolehlah dipakai Intan ketika masuk ke tadika nanti sementara menantikan baju seragamnya.
Tidak lama kemudian seseorang memberikan salam. Ibu membuka pintu. Tersembul Abang Lan sambil tersenyum. Dia baru sahaja pulang dari solat berjemaah di Masjid. Seperti biasa setiap kali malam jumaat ada sahaja penceramah jemputan dan juga sedikit jamuan makan. Abang Lan membawa sedikit lauk ayam kurma buat Intan.
“Kak ni ada sikit lauk dari masjid” Abang Lan menghulurkan plastik yang berisi makanan tersebut. Intan segera menghampiri Abang Lan.
“Apa tu” tanya Intan tanpa malu – malu.
“Kurma ayam” jawab Abang Lan.
Intan melonjak kegembiraan. Plastik itu diambil dari tangan ibunya. Aroma harum ayam kurma dihidunya. Ibu hanya menggelengkan kepalanya.
“Tak kenyang lagi ke?” tanya ibu sambil tersenyum.
“Simpanlah boleh makan esok kan bu? Intan pun kenyang lagi ni”
Ibu hanya tersenyum senang.
“Kak saya balik dululah” Abang Lan mula meminta diri bila melihat hujan mulai lebat kembali. Ibu menjenguk ke luar. Hujan turun agak lebat dan Abang Lan hanya menaiki motornya sahaja.
“Eh Lan, hujan tu. Tunggu la sekejap” Ibu menahan Abang Lan dari pulang kerana bimbang keselamatan Abang Lan sekiranya pulang dalam hujan dengan menunggang motosikal.
Abang Lan kelihatan serba salah. Tetapi hujan diluar semakin menggila. Dia tiada pilihan lain. Bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini dia hanya duduk di muka pintu sahaja.
“Yelah kak. Saya tumpang sekejap lah.”
“Takkan duduk kat situ. Tak sejuk ke?” tegur ibu bila melihat Abang Lan hanya duduk di muka pintu dengan kakinya terjuntai di tangga. Ibu sudah menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi.
“Tak apalah kak. Risau saya nanti timbul fitnah pulak” Abang Lan berterus terang. Ibu hanya tersenyum. Betul juga. Lagipun mereka bukan muhrim. Itu pun mujur ada Intan bersama.
Intan menghampiri Abang Lan sambil membawa buku bergambarnya yang sudah komot itu. Rajin benar dia membelek buku itu jika ada kelapangan. Dia ingin Abang Lan membaca buku itu bersamanya. Ibu hanya melihat kemesraan mereka dan tersenyum senang. Sekurang – kurangnya Intan mendapat kasih sayang Abang Lan setelah kepergian ayah.
Abang Lan sesekali mengerling kearah ibu yang leka membelek kain kapas untuk dibuat baju Intan itu. Beza usia ibu dan Abang Lan tidaklah jauh beza. Hanya tiga tahun sahaja. Dalam usia 37 tahun ibu masih lagi kelihatan cantik. Cuma yang memudarkan kecantikan ibu apabila dia tidak berdandan seperti perempuan yang lain. Ayah sesungguhnya beruntung mendapat isteri seperti ayah. cantik, bersopan, pandai memasak dan pandai mengambil hati. Tersenyum seketika Abang Lan. Dia yakin tiada lelaki lain yang akan bertahta dihati ibu kecuali ayah. Seperti Lela yang sentiasa berada di hati Abang Lan.
Hujan yang lebat mulai reda. Abang Lan memandang keluar. Elok benar jika dia pulang sekarang. Tak elok berlama – lama dirumah ibu.
“Kak saya balik dulu la” Abang Lan memecahkan kesunyian.
“Yelah dah lewat ni. Hati – hati Lan” ibu sempat berpesan. Abang Lan menggangguk dan tersenyum. Sempat rambut Intan dibelai sebelum turun ketanah. Intan hanya tersenyum senang. Baru sahaja abang Lan berpaling untuk turun ketanah kelihatan segerombolan penduduk kampung yang diketuai Tok Imam dan Ketua Kampung sudah menghampiri rumah ibu.
Dada Abang Lan berdebar. Timbul perasaan tidak enak. Dia memandang ibu. Ibu hanya merenung Abang Lan dengan muka yang pelik. Kedegaran bunyi bising diluar rumah. Ibu bangun dan menjengah keluar. Diikuti Intan sambil memegang hujung baju ibunya.
“Assalamualaikum...” tok Imam memberi salam dengan muka yang serius.
Ibu sudah tidak sedap hati. Dia berpandangan dengan Abang Lan. Hasanah yang terselit diantara kumpulan itu hanya tersenyum sinis. Senyum kemenangan.
Sudah kering air mata ibu menangis. Matanya juga sudah bengkak. Mati akal Mak Leha untuk memujuk ibu. Intan terus setia disisi ibu. Dia cuba memahami kesedihan ibu. Apa yang difahami Intan ialah ada orang cuba memburukkan ibu. Dan ibu telah dipaksa berkahwin dengan Abang Lan.
Mula – mula Intan tidak faham. Bukankah ibu dan Abang Lan berkata tidak mahu berkahwin. Tetapi setelah diterangkan Mak Leha, Intan mulai faham. Ini semua bukan kemahuan ibu dan Abang Lan tetapi niat jahat Hasanah.
Kebetulan dia baru pulang dari bandar dan melalui rumah ibu. Disitu dia melihat Abang Lan menumpang teduh dirumah ibu. Segera hal itu dibawa ke rumah Tok Imam dengan mengadakan cerita ibu bersama dengan lelaki bukan muhrim disebuah rumah.
Terus sahaja mereka kesana dengan beberapa orang penduduk kampung dan menuduh ibu dan Abang Lan berkhalwat. Begitu mudah mereka membuat andaian. Begitu mudah mereka dihasut Hasanah. Kering air liur ibu dan Abang Lan menerangkan hal sebenar. Begitu juga Intan. Intan menafikan Abang Lan duduk didalam rumah. Sebaliknya Abang Lan menumpang teduh di muka pintu.
Keputusan telah dibuat. Kononnya demi menjaga nama baik dan aib, mereka diputuskan untuk berkahwin selepas ibu habis iddahnya. Keluarga Abang Lan juga sudah dimaklumkan. Mereka tidak marah sebaliknya kesal anak mereka dan ibu diperlakukan seperti itu. Kerana mereka tahu cinta ibu hanya untuk ayah.
Semalam keluarga Abang Lan kerumah ibu. Pernikahan akan ditetapkan dua bulan mulai sekarang. Mereka mahu membuat sedikit kenduri kesyukuran. Walaupun mereka bernikah dalam keadaan aib tetapi keluarga Abang Lan menyambut baik keputusan itu. Semua perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak Abang Lan. Ibu hanya diam seperti tidak mempunyai perasaan. Walaupun tidak mencintai Abang Lan tetapi tidak pula membencinya. Kerana ibu tahu Abang Lan juga merupakan mangsa keadaan. Dan Intan harus menerima hakikat bahawa dia akan menerima ayah baru. |
|
|
|
|
|
|
|
22. AYAH TETAP AYAH INTAN
Sudah hampir dua minggu tragedi itu terjadi. Ibu pula sudah semakin tenang. Tiap – tiap malam ibu solat hajat dan istikarah untuk memohon petunjuk dari Allah. Dia tidak mahu membuat keputusan terburu – buru. Sudah tiga malam ibu bermimpikan ayah.
Ayah memakai baju serba putih hanya tersenyum melihat ibu. Disisinya berdiri tegak Abang Lan yang juga tersenyum memandang ibu. Ibu memahami bahawa perkahwinan itu mungkin yang terbaik buatnya. Seolah – olah direstui Allah dan diizinkan oleh ayah. Cuma selepas kejadian tempoh hari ibu masih belum bertemu Abang Lan. Mungkin Abang Lan memerlukan masa. Ibu faham kerana ibu juga seperti Abang Lan. Perlukan masa.
Intan berlari – lari anak untuk pulang kerumah. Dia baru sahaja pulang dari rumah Syirah. Ketika dipertengahan jalan Intan terserempak dengan Hasanah yang ketika itu sedang melenggang baru pulang dari kedai. Terus wajah Intan dimasamkan. Hasanah yang ketika itu melihat Intan terus mendapatkan Intan.
“Dari mana ni?” tanya Hasanah lembut.
Intan hanya menjeling.
“Amboi sombongnya. Yelah...orang nak dapat bapak baru la katakan. Banyak duit pulak tu. Berlagaklah tu...huh..” cebik Hasanah.
“Kenapa Makcik Nah jahat dengan ibu?” tanya Intan berani.
Terjegil mata Hasanah memandang Intan. Kurang ajar punya budak.
“Hey...bila masa aku jahat dengan mak kamu. Patutnya kau ni berterima kasih dekat aku tahu tak. Disebabkan aku, mak kau dapat laki banyak harta. Kau pun senang. Tak adalah merempat lagi” kata Hasanah sambil menunjal – nunjal kepala Intan.
Intan geram dengan perlakuan Makcik Hasanah. Lantas tangan makcik Hasanah yang sedang menolak – nolak kepala disambar dan digigit sekuat hati. Melolong Hasanah menjerit kesakitan. Barang runcit yang dibelinya dilepaskan dan badan Intan dipukul kuat. Namun begitu Intan masih belum mahu melepaskan gigitannya.
“Oi....bodoh...lepaslah...sakitlah bodoh...kurang ajar punya budak” jerit Hasanah.
“Intan...” satu suara menjerit memanggil namanya. Intan tidak mengendahkan panggilan itu. Makin kuat gigitan Intan. Satu tangan yang besar menarik tubuh Intan menjauh dari Hasanah. Mujur Abang Lan lekas sampai jika tidak mungkin jari Hasanah itu akan putus.
Hasanah merengus kuat sambil menggosok jarinya yang digigit Intan. Berbekas gigi Intan di jarinya. Dan kelihatan jari itu luka sedikit. Matanya mencerlung memandang Intan.
“Intan tak ada apa-apa?” tanya Abang Lan sambil memeriksa badan Intan. Hasanah berang dengan pertanyaan itu.
“Kau buta ke hapa Lan...aku yang digigtnya sampai nak putus jari aku ni kau boleh buat tak tahu pulak” jerkah Hasanah.
Abang Lan mencekak pinggang sambil menghadap Hasanah.
“Kau ni Nah tak habis – habis buat onar” kata Abang Lan dengan suara yang agak tinggi.
“Apa yang aku buat?” Hasanah juga tidak mahu kalah.
“Kau tahu tak disebabkan kau, hidup Intan dengan ibu dia porak peranda. Kau tak rasa bersalah ke?” Tanya Abang Lan geram
Hasanah mencebik.
“Apa yang porak perandanya. Dia nanti kahwin dengan kau jugak. Bukan aku tak tahu kau syokkan si Miah tu sejak arwah Din tu hidup lagi. Kalau tak tak adalah kau ulang alik siang malam ke rumah tu” tuduh Hasanah.
“Aku ni berkawan baik dengan Arwah Abang Din. Aku dah anggap dia macam abang aku. Tak salah aku kesana. Kau ni tak habis – habis suka memfitnah. Sampai hati kau fitnah aku dengan Miah berkhalwat”. Sungguh sakit hati bercakap dengan Hasanah. Dia saja mahu menang.
Hasanah Cuma tersenyum sinis.
“Aku buat apa yang patut. Hei..sakit mata aku tengok kau ulang alik kesana. Kalau dah gatal sangat kahwin aje. Ni tak payah sangat. Aku tolong la mana patut. Lagipun tak kan la aku nak bersubahat orang berkhalwat kan. Aku Cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai masyarakat prihatin” sindir Hasanah.
Abang Lan bertambah geram. Tidak guna bercakap dengan orang hati kering seperti Hasanah ini. Abang Lan mengajak Intan menaiki motornya untuk pulang. Memang kebetulan dia mahu kerumah Intan untuk bertemu ibu bagi membincangkan hal perkahwinan mereka. Hasanah hanya mencebik bila melihat Abang Lan hilang dari pandangan matanya. Barang – barangnya yang bersepah dikutip. Masih terasa sakit jarinya. Nanti kau Intan. |
|
|
|
|
|
|
|
Tiba dirumah Intan berlari masuk ke rumah memanggil ibunya. Abang Lan hanya duduk dipangkin rumah. Entah kenapa dia berasa janggal untuk berjumpa ibu. ibu pula hanya melangkah perlahan menuju kearah Abang Lan. Seraya duduk agak jauh dari Abang Lan.
“Miah..” panggil Abang Lan perlahan. Hilang sudah perkataan kakak dihadapan nama itu. Ibu berasa agak janggal dengan panggilan itu.
“Saya nak tanya Miah. Miah redha ke dengan perkahwinan ni. Maksud Lan, Miah ikhlas ke menerima Lan. Bukan apa, Lan tak mahu disebabkan terpaksa hidup Miah terseksa. Lan tak mahu Miah hidup dalam keadaan serba salah. Lan tak mahu Miah berasa tak bahagia” agak gugup Abang Lan ketika itu.
Ibu mengeluh perlahan.
“Jika ini yang terbaik buat saya dan Intan saya redha. Tapi saya perlukan masa untuk sesuaikan diri. Maklumlah abang Din baru sahaja meninggal. Tiba – tiba perkara macam ni jadi pulak. Saya berasa agak tertekan. Tapi Lan jangan salah faham.” Serba salah ibu bertutur.
Abang Lan mengangguk. Syukurlah jika ibu ikhlas menerimanya. Payah juga jika ibu terpaksa. Maklumlah pernikahan ini bukan kerelaan mereka. Jika masing – masing sudah redha dan ikhlas kemungkinan perkahwinan ini adalah yang terbaik buat mereka. Abang Lan berjanji tidak akan sia – siakan ibu dan Intan. Dia berjanji akan menjaga mereka sesuai dengan permintaan ayah.
“Saya faham Miah. Benda jadi tiba – tiba. Risau juga saya kalau Miah bencikan saya. Kalau bukan disebabkan saya kita tak akan jadi macam ni.” Keluh Abang Lan.
“Mungkin sudah ditakdirkan Allah Lan. Kita sama – sama redha dengan ketentuan Allah. Cuma mungkin saya perlukan masa sikit. Bukan saya tak boleh lupakan Abang Din. Jika Lan sudah sah nanti menjadi suami saya insyaAllah jiwa saya hanya untuk Lan sebagai suami. Arwah Abang Din pula akan jadi kenangan untuk saya. Itu permintaan saya kepada Lan”
Abang Lan tersenyum dan mengangguk. Dia tidak kisah asalkan dirinya ada sedikit di hati ibu. Itu sudah cukup melegakan hatinya
Intan berlari menuju kearah ibu dan Abang Lan. Cemburu pula dia melihat ibu bersembang lama dengan Abang Lan. Muncung saja mulutnya.
“Kenapa ni Intan. Masam aje muka tu?” tanya Abang Lan.
“Sembang tak ajak Intan pun” Intan pura – pura merajuk.
“Budak – budak mana boleh tahu hal orang tua” ibu pula pura – pura memarahkan Intan.
Intan duduk diribaan Abang Lan. Kelihatan agak manja.
“Nanti Intan nak panggil Abang Lan apa ya. Sebab nantikan Abang Lan nak jadi ayah Intan?” tanya Intan.
Abang Lan berpandangan dengan ibu.
“Intan nak panggil apa?” tanya Abang Lan.
“Nak panggil ayah, Intan dah ada ayah.” Intan memainkan jari – jarinya.
Abang Lan menelan air liurnya.
“Intan..” panggil Abang Lan lembut.
Intan mendongakkan kepalanya.
“Abang Lan memang tak dapat gantikan tempat ayah Intan. Tapi Abang Lan harap Intan sudi terima kasih sayang Abang Lan untuk Intan. Intan pun sudah Abang Lan anggap macam anak. Ayah Intan tetap ayah Intan. Abang Lan minta untuk menumpang kasih Intan sahaja. Jadi Abang Lan nak Intan anggap Abang Lan sebagai ayah Intan tanpa melupakan ayah Intan yang sebenar. Sebab Intan tetap darah daging ayah Intan” perlahan Abang Lan cuba memahamkan Intan.
Ibu terharu mendengar kata – kata Abang Lan. Intan mengangguk.
“Jadi Intan boleh panggil Abang Lan, ayah?” tanya Intan.
Abang Lan mengangguk. Ibu membelai rambut Intan. Intan bangun dari ribaan dan menghadapkan tubuhnya di hadapan Abang Lan.
“Lepas ibu dengan ayah kahwin Intan ada adiklah?” tiba – tiba Intan bertanya.
Abang Lan tersentak. Manakala pipi ibu berona kemerahan.
“Isk..apa cakap macam tu Intan” ibu menegur Intan
“Orang kalau kahwin dia dapat anak. Jadi Intan boleh dapat adiklah ya?” Tanya Intan lagi. Abang Lan hanya diam. Ibu sudah memandang kearah lain.
Intan pula tertawa keriangan. |
|
|
|
|
|
|
|
terima kasih Kikuri
tak sabar menunggu Intan dapat adik |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|