CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 30-1-2026 09:39 AM | Show all posts
Pelaksanaan projek RTP di DUN Krian lancar, beri manfaat kepada rakyat
Januari 29, 2026, Khamis - 2:39pm



Friday bergambar bersama sebahagian masyarakat rumah panjang dalam rangka lawatan meninjau projek RTP di DUN Krian hari ini. - Gambar UKAS

SARATOK: Pelaksanaan projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian lancar serta memberi manfaat langsung kepada keperluan rakyat setempat.

Ia adalah hasil lawatan serta pemantauan rapi yang dijalankan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik ke beberapa lokasi sekitar konstituensinya pada Rabu.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), lawatan merangkumi kawasan Brayang Ulu, Dabai Baroh, Dabai Baru dan Sebubu 2 bertujuan memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan berjalan lancar serta memenuhi keperluan penduduk setempat.

Hasil pemantauan mendapati projek pembinaan 'awning' atau sengkuap di Dabai Baru dan Brayang Ulu telah siap sepenuhnya manakala beberapa kerja penambahbaikan infrastruktur lain sedang dilaksanakan mengikut keutamaan yang telah ditetapkan.

Antara projek yang dikenal pasti untuk tindakan susulan ialah kerja penambahbaikan atap Rumah Nyambar di Dabai Baroh serta cadangan pembinaan sengkuap di kawasan Sebubu 2 bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penduduk.

Menurut Friday, pelaksanaan projek RTP akan diteruskan ke fasa seterusnya dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas serta pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi pelaksana dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee, Pegawai Penguasa Daerah Kecil Roban Steve Miller Nuas, wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong, Pejabat Daerah Kabong, Majlis Daerah Saratok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pemimpin masyarakat termasuk penghulu, tuai rumah dan ketua-ketua kaum.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-1-2026 09:40 AM | Show all posts
Pembangunan pusat perubatan satelit di luar Kuching dipergiat
Januari 29, 2026, Khamis - 3:05pm



Dr Sim menyaksikan Mohammad Porkan (kiri) menyerahkan sijil kepada salah seorang KMKK di Sibu, hari ini.

SIBU: Kerajaan Sarawak sedang mempergiatkan pembangunan pusat perubatan satelit di luar Kuching bagi memastikan penjagaan kesihatan berkualiti dan perkhidmatan awam dapat diakses di seluruh negeri.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan tersebut merupakan strategi utama untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada Kuching, di samping memperkukuh hab serantau seperti Sibu, selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang dan pembinaan Sarawak.

"Selepas kita membangunkan pusat yang kukuh di Kuching, kita akan mengembangkan perkhidmatan melalui pusat-pusat satelit.

"Inilah cara kita memastikan rakyat di luar Kuching turut menerima perkhidmatan berkualiti," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Notis Pelantikan dan Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sibu di sini, hari ini.

Lebih 100 KMKK dari sekitar daerah Sibu telah menerima pelantikan dan sijil masing-masing pada majlis tersebut.

Beliau berkata Sibu merupakan komponen penting dalam strategi itu khususnya dalam sektor kesihatan, di mana perkhidmatan pakar sedang dinyahpusatkan secara berperingkat.

Beliau menyebut beberapa inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan, termasuk penambahbaikan kemudahan hospital, penyediaan peralatan perubatan khusus serta perancangan pusat penjagaan kesihatan satelit bagi memberi perkhidmatan kepada wilayah tengah.



Dr Sim (duduk tengah) dan tetamu kehormat yang lain bersama KMKK Daerah Sibu yang menerima sijil pelantikan di Sibu, hari ini.

"Matlamat kami ialah supaya akhirnya, kebanyakan kes dapat dirawat di peringkat tempatan.

"Hanya kes yang kompleks perlu dirujuk ke Kuching.

"Ini memerlukan masa, bakat serta pembangunan secara berperingkat," katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dr Sim berkata, model satelit itu mencerminkan pembangunan awal sistem kesihatan Kuching yang sebelum ini banyak bergantung kepada rujukan ke Kuala Lumpur dan Singapura.

"Hari ini, Kuching sebahagian besarnya berdikari kerana kita melabur secara konsisten selama bertahun-tahun. Kini kita menerapkan pendekatan yang sama di wilayah lain," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu.

Beliau menambah, pembinaan pusat satelit bukan sekadar melibatkan infrastruktur tetapi juga pengekalan bakat dan pembangunan kepakaran tempatan.

"Anda memerlukan tenaga kerja, kemahiran dan komitmen, bukan sekadar wang.

"Atas sebab itulah pendidikan dan latihan kekal kritikal bagi memastikan kelestarian pusat-pusat ini dalam jangka panjang," katanya.

Dr Sim menegaskan, pembangunan wilayah yang seimbang amat penting bagi kemajuan Sarawak, sambil memberi amaran bahawa pertumbuhan tidak seharusnya tertumpu di satu bandar sahaja.

"Masa depan Sarawak bergantung kepada keterangkuman.

"Jika pembangunan hanya pesat di satu tempat, kawasan lain akan ketinggalan.

"Pusat satelit memastikan semua pihak bergerak maju bersama,” tambahnya.

Menyentuh mengenai peranan KMKK beliau berkata, fungsi KMKK sangat penting khususnya dalam memastikan pembangunan di peringkat akar umbi.

Menurutnya lagi, KMKK juga sangat penting kepada kerajaan.

"Itu sebab kenapa saya datang hari ini, menyampaikan sijil ini.

"Anda mewakili Kerajaan Sarawak dan sangat penting kepada kami sebab peranan anda akan memastikan segala agenda kerajaan dapat disampaikan dan membantu kami menjangkau rakyat di peringkat agar umbi," jelasnya.

Dr Sim berharap agar KMKK terus memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin dalam menyampaikan khidmat mereka seperti yang ditetapkan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Setiausaha Politik Premier Sarawak William Anut, Residen Bahagian Sibu Abang Mohammad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon, Temenggung Stanley Gramong Bandar, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Kaunselor Kevin Lau mewakili Temenggung Dato Vincent Lau serta tetamu jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:44 AM | Show all posts
Keluarga berdepan kesukaran hidup selepas ibu terlantar akibat strok
Januari 29, 2026, Khamis - 3:47pm



KUCHING: Sebuah keluarga yang tinggal di kawasan setinggan di Siol Kandis, Petra Jaya berdepan kesukaran hidup selepas ibu mereka, Kinta Meran, 63, kini terlantar akibat strok (angin ahmar) separuh badan sejak Oktober lalu.

Kinta yang sebelum ini bekerja di ladang kelapa sawit dikatakan mengalami strok dan dimasukkan ke hospital sebelum dibenarkan pulang pada awal Januari tahun ini.

Keadaan kesihatannya menyebabkan beliau tidak lagi mampu bercakap atau bergerak serta bergantung sepenuhnya kepada pemakanan melalui tiub menggunakan susu khas setiap tiga jam.

Anaknya, Suzanna, 40, kini terpaksa menjaga ibunya sepenuh masa di rumah sambil melakukan kerja sambilan dengan membantu perniagaan kek lapis bagi menampung keperluan keluarga.

“Keadaan ibu saya sangat uzur dan kami benar-benar bergelut dari segi kewangan kerana kos penjagaan yang tinggi,” katanya.

Suzanna kini tinggal bersama suaminya, Stevin yang bekerja sebagai anggota RELA dengan pendapatan harian serta tiga anak berusia antara enam hingga 17 tahun dan masih bersekolah.

Mereka menumpang teduh di sebuah rumah papan kayu di kawasan setinggan yang daif sekali gus menyukarkan proses penjagaan pesakit terlantar seperti Kinta.

Namun, keperitan hidup keluarga Kinta Meran mendapat perhatian seorang pekerja sosial dari Klinik Kesihatan Petra Jaya yang menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hope Place Kuching bagi mendapatkan bantuan.

Hope Place atau Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) terus tampil menyalurkan bantuan berupa lampin dewasa dan susu khas kepada Kinta.

Selain itu, seorang penderma prihatin turut menyumbangkan sebuah katil perubatan bagi memudahkan penjagaan pesakit di rumah.

“Kami amat bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu keluarga kami dalam keadaan sukar ini,” kata Suzanna.

Justeru orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Hope Place di talian 082-505987 atau 013-5672775.

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 511289001160 atau melalui kod QR S PAY GLOBAL yang terdapat di laman Facebook rasmi pertubuhan tersebut.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:45 AM | Show all posts
Dua lagi suspek ditahan dalam kes curi kabel loji air Trusan
Januari 29, 2026, Khamis - 3:51pm

LAWAS: Dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan loji rawatan air Trusan berjaya ditahan di bandar ini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, dua suspek berusia 38 dan 46 tahun itu masing-masing ditahan jam 12.15 tengah hari dan 3.15 petang hasil risikan dan maklumat yang diperolehi pihaknya.

“Semakan kesalahan lampau mendapati seorang suspek mempunyai 26 kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang lagi mempunyai lima kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kabel yang dicuri suspek telah dijual di sebuah kedai besi buruk di Tuaran, Sabah.

“Sepasukan pihak polis akan digerakkan ke premis berkenaan untuk mendapatkan barang kes dan setakat kini lima suspek telah ditangkap berserta rampasan kabel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Liong, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek turut mendapati salah seorang positif Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

Dalam kes berasingan katanya, dua buruh ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di tepi jalan di bandar Lawas dalam Ops Tapis Khas Narkotik.

“Pemeriksaan badan telah menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis syabu dan satu keratan tiub penyedut minuman yang berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dirampas untuk dijadikan barang kes.

“Anggaran berat kasar syabu terbabit adalah 2.50 gram,” katanya.

Beliau berkata. hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya semakan kesalahan lampau mendapati kedua-duanya tiada kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:45 AM | Show all posts
120 peserta dari UTS, KLT hadiri Program Borak Santai FTES
Januari 29, 2026, Khamis - 3:54pm



SIBU: Kira-kira 120 peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) serta Kolej Laila Taib (KLT) telah menghadiri Program Borak Santai FTES di Pusat Sumber Akademik UTS, hari ini.

Fasilitator program Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Pengurusan UTS Dr Rahmat Aidil Djubair telah memberi penerangan mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

"Skim ini memberi tumpuan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Perubatan, Undang-undang, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi bagi menyelaraskan keperluan pembangunan bakat Sarawak.

"FTES Sarawak merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor pendidikan serta menyokong aspirasi Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030," ujarnya.

Menyentuh mengenai objektif FTES, beliau berkata ia bertujuan menyediakan akses saksama kepada pendidikan tinggi, membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan, mengurangkan kekangan kewangan pelajar serta keluarga mereka, selain  menggalakkan pembelajaran berterusan serta kecemerlangan akademik.

Beliau juga menjelaskan mengenai senarai program ijazah yang diluluskan di bawah skim tersebut bagi UTS.

Selain kriteria kelayakan, Rahmat Aidil turut menyentuh mengenai elaun RM15,000 setahun untuk pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan perkapita bulanan RM1,500 atau kurang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan FTES dalam Belanjawan Sarawak 2023 bagi membolehkan anak Sarawak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi milik Sarawak, bermula tahun 2026.

Skim ini bukan sahaja meliputi yuran pengajian, malah turut menyediakan elaun bulanan kepada pelajar yang layak bagi menampung perbelanjaan asas sepanjang tempoh pengajian mereka.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:47 AM | Show all posts
26 ahli baharu Perguruan Muntat Gamang diraikan
Januari 29, 2026, Khamis - 4:04pm



Ahli-ahli Muntat Gamang yang menyertai upacara rasmi di Gelanggang Muntat Gamang, Batu 12, Jalan Bintulu–Miri, baru-baru ini.

SIBU: Seramai 26 ahli baharu Perguruan Muntat Gamang (MG) telah berjaya menamatkan latihan mereka dalam satu upacara rasmi di Gelanggang Muntat Gamang, Batu 12, Jalan Bintulu–Miri, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran ahli-ahli Perguruan Muntat Gamang dari pelbagai wilayah termasuk Sabah, Lawas, Limbang serta seluruh daerah di Sarawak, yang sanggup hadir semata-mata bagi memberikan sokongan moral kepada ahli-ahli baharu.

Menurut Mahaguru Muntat Gamang Mahaguru Ugik Jalit, kehadiran ratusan ahli dari seluruh pelosok negeri membuktikan tahap komitmen yang tinggi serta semangat persaudaraan yang kukuh dalam kalangan ahli perguruan itu.

“Semangat berpasukan dan ikatan persaudaraan yang ditunjukkan amat membanggakan.

"Ini mencerminkan kesatuan dan disiplin yang menjadi tunjang kepada Perguruan Muntat Gamang,” katanya.



Ahli-ahli Muntat Gamang yang menyertai upacara rasmi di Gelanggang Muntat Gamang, Batu 12, Jalan Bintulu–Miri, baru-baru ini.

Seperti adat kebiasaan, majlis dimulakan dengan satu perarakan yang disusuli upacara tradisi 'Mancak Babi', sebelum diteruskan dengan upacara 'miring' bagi memohon restu nenek moyang.

Upacara tersebut berakhir sekitar jam 10 pagi, dengan kemuncak acara iaitu upacara sumpah 'Menabur Beras Kuning', satu ritual tradisi masyarakat Dayak yang masih diamalkan sehingga kini.

Upacara sumpah berkenaan merupakan satu kewajipan kepada semua ahli yang hadir dan menurut kepercayaan masyarakat setempat, sebarang pelanggaran terhadap sumpah tersebut dipercayai boleh mendatangkan bencana atau malapetaka.

Keseluruhan majlis telah berlangsung dengan tertib dan lancar mengikut atur cara yang telah ditetapkan, dengan anggaran kehadiran seramai kira-kira 300 peserta.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai Perguruan Muntat Gamang boleh menghubungi talian 015-96102962 bagi maklumat lanjut.



Ahli-ahli Muntat Gamang Cawangan Sabah yang turut hadir pada upacara rasmi di Gelanggang Muntat Gamang, Batu 12, Jalan Bintulu–Miri, baru-baru ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 30-1-2026 09:48 AM | Show all posts
Alumni SMK Limbang sumbang 150 kerusi
Januari 29, 2026, Khamis - 4:12pm



(Dari dua kiri) Hassim, Sufian, Norfarhana dan yang lainnya pada penyerahan sumbangan kerusi Alumni SMK Limbang hari ini.

LIMBANG: Sebanyak 150 kerusi disumbangkan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang untuk keperluan di sekolah itu, hari ini.

Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL) yang juga Alumni SMK Limbang Kaunselor Sufian Mohat berkata, penyampaian sumbangan itu bagi menampung keperluan  sekolah yang berdepan kekurangan 300 buah kerusi bagi kegunaan pelajar dan sekolah.

“Sumbangan ini diharap dapat melengkapkan keperluan sekolah yang berdepan kekurangan kerusi terutama dalam kelas dan dewan.

“Sumbangan ini adalah sejajar dengan objektif penubuhan alumni untuk membantu keperluan sekolah,” katanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan itu.

Turut hadir ialah Pengetua Norfarhana Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohd Hassim Daimon.

Kata Sufian, alumni itu akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan akademik dan bahan pembelajaran.

Jelasnya, sumbangan seperti itu penting dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah dan pencapaian sekolah.

Selain pihaknya katanya, PIBG sekolah itu juga akan turut membantu menyumbang keperluan kerusi di sekolah terbabit.

Katanya, Alumni SMK Limbang turut merancang pelbagai program tahun ini dalam merapatkan hubungan dengan bekas pelajar di sekolah tertua itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:50 AM | Show all posts
Pasar Budaya sempena Tahun Baharu Cina dibuka di Bintulu
Januari 29, 2026, Khamis - 5:05pm



Pang (kanan) bersalaman dan beramah mesra dengan para peserta Program Pasar Budaya.

BINTULU: Pelbagai barangan perayaan dan sebagainya dijual oleh peniaga kecil dalam Program Pasar Budaya sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Seksyen Belia Persatuan Chung Hua Bintulu itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.

Pang berkata, pasar budaya itu bukan sekadar menawarkan tempat pembelian barangan perayaan tetapi platform bermakna untuk menyatukan warisan budaya, ikatan komuniti dan merancakkan ekonomi setempat.

"Dengan menempatkan gerai-gerai perayaan dan penganjuran pelbagai aktiviti kebudayaan seperti nyanyian lagu Tahun Baharu Cina, sesi permainan catur, persembahan pentas ternyata memberikan semangat dalam persediaan menyambut Tahun Baharu Cina di Bintulu," ujarnya.

Beliau memuji seksyen belia persatuan terbabit atas dedikasi dan kreativiti mereka menganjurkan program itu.

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa belia bukan sekadar peserta, tetapi pemacu utama budaya dalam membawa penglibatan komuniti.



Pang (duduk enam kanan) bersama tetamu lain dan para peserta Program Pasar Budaya Tahun Baharu Cina 2026.

"Saya juga berharap dapat melakukan lebih banyak aktiviti inklusif pada masa depan yang menggalakkan penyertaan merentas budaya dan persefahaman bersama," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-1-2026 09:52 AM | Show all posts
Penunggang maut motosikal terbabas langgar penghadang jalan
Januari 29, 2026, Khamis - 5:10pm

MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar penghadang jalan dalam satu kemalangan jalan raya di Bulatan Jalan Marina Utama, berhampiran Hotel Pullman, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, mangsa dipercayai datang dari arah bangunan Majlis Bandaraya Miri menuju ke kawasan Miri Waterfront sebelum hilang kawalan ketika melalui bulatan berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes kemalangan maut tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Faizul Abdul Rahim di talian 014-858 2582 atau 085-430 479 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Farhan menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan semua pihak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:53 AM | Show all posts
71 kakitangan MDLBS jalani ujian saringan urin
Januari 29, 2026, Khamis - 5:18pm



Kakitangan MDLBS menjalani ujian saringan urin yang dilaksanakan oleh AADK Daerah Sibu, semalam. - Gambar AADK Daerah Sibu

SIBU: Seramai 71 orang kakitangan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah menjalani ujian saringan urin yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, hari ini.

AADK Daerah Sibu dalam kenyataan di Facebook rasmi berkata, saringan tersebut sebahagian daripada prosedur pematuhan tatatertib penjawat awam.

Inisiatif proaktif yang dijalankan secara strategik itu bertujuan untuk mengesan sebarang penglibatan warga kerja dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, selaras dengan matlamat Dasar Dadah Negara yang menuntut pengurangan penawaran dan permintaan terhadap dadah di Malaysia.

Saringan itu bukan sahaja berfungsi sebagai langkah pencegahan, malah sebagai manifestasi komitmen MDLBS dalam menjamin penyampaian perkhidmatan yang telus, bersih dan berkualiti kepada masyarakat setempat.

Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan seperti AADK itu mencerminkan keseriusan kerajaan dalam membendung gejala sosial, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti institusi pentadbiran daerah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:55 AM | Show all posts
Keharmonian, perpaduan tunjang keamanan, kestabilan, kemakmuran berterusan Sarawak
Januari 29, 2026, Khamis - 5:24pm



Dr Sim (tengah) bersama yang lain ketika Majlis Menyalakan Tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Sentral Sibu, semalam. Turut kelihatan (dari lima kiri) Ting, Tiang, Chieng serta yang lain.

SIBU: Keharmonian kaum dan perpaduan kekal sebagai tunjang kepada keamanan, kestabilan serta kemakmuran berterusan Sarawak, sekali gus membezakan negeri ini daripada banyak bahagian lain di dunia yang dilanda perpecahan dan konflik.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan Sarawak kini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina atas semangat kebersamaan yang telah lama wujud dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang hidup, bekerja dan menyambut perayaan bersama-sama.

"Di Sarawak, sambutan seperti Tahun Baharu Cina tidak terhad kepada masyarakat Cina sahaja, sebaliknya dikongsi semua sebagai satu keluarga besar Sarawak," ujarnya ketika berucap pada Majlis Menyalakan Tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Sentral Sibu di sini, semalam.

Dr Sim berkata, amalan berkongsi makanan, perbualan dan sambutan perayaan merentasi komuniti merupakan satu prinsip yang sering ditekankan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, yang terus menjadi panduan rakyat Sarawak dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan sosial.

"Walaupun Sarawak telah mencapai kemajuan yang ketara sejak sedekad lalu, negeri ini tidak pernah berasa selesa atau berpuas hati dengan pencapaiannya.

"Hari ini, orang berkata 'contohi Sarawak'.

"Dahulu, perkara itu tidak disebut kerana ketika itu kita belum cukup baik.

"Namun sehingga kini pun, kita tidak pernah berkata kita sudah cukup baik, kerana kita sentiasa mahu menjadi lebih baik," katanya.

Menurut Dr Sim, perpaduan merupakan kunci untuk memastikan Sarawak terus bergerak ke hadapan dan mencapai kemajuan yang lebih besar pada masa akan datang.

"Jika kita terus bersatu, lima tahun dari sekarang kita akan menjadi jauh lebih baik berbanding hari ini," tambahnya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menegaskan bahawa keharmonian kaum bukan sahaja penting untuk pertumbuhan ekonomi, malah menjadi asas kepada kelestarian dan pembangunan jangka panjang.

"Di banyak tempat lain di dunia, terlalu banyak masa dihabiskan untuk pertikaian dan konflik.

"Apabila orang sentiasa bergaduh, bagaimana kemakmuran boleh dicapai?" katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting serta Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:55 AM | Show all posts
Perayaan di Sarawak sentiasa dikongsi semua rakyat
Januari 29, 2026, Khamis - 5:28pm

Tahun Baharu Cina bukan hanya untuk masyarakat Cina, semua orang sambut bersama-sama



Dr Sim (empat kiri) mengagihkan angpau dan kalendar kepada seorang penjaja di Taman Selera Muhibah malam semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Lau, Chieng dan Tiang.

"Ini menjadikan kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan, nilai bersama serta generasi masa depan yang lebih pintar.”

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian
Timbalan Premier Sarawak

SIBU: Sambutan perayaan di Sarawak tidak pernah terhad kepada satu komuniti sahaja, sebaliknya dikongsi semua rakyat yang mencerminkan identiti unik negeri ini yang terdiri daripada berbilang kaum.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Tahun Baharu Cina di Sarawak bukan hanya untuk masyarakat Cina, sebaliknya semua orang menyambutnya bersama-sama.

"Ini menjadikan kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan, nilai bersama serta generasi masa depan yang lebih pintar.

"Ia adalah tentang mewujudkan suasana di mana orang merasakan inilah Sarawak pada tahun 2026, bersatu, inklusif dan berbangga dengan nilai-nilai kita," ujarnya kepada pemberita semasa menyertai program tinjauan mesra di Taman Selera Muhibah di sini, semalam.

Pada program sempena menyambut Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu, beliau turut beramah mesra dengan para penjaja dan orang awam serta mengagihkan angpau dan kalendar.

Dr Sim berkata, program seperti itu yang lazim diamalkan di Kuching, membolehkan pemimpin berhubung secara langsung dengan rakyat serta memahami realiti di peringkat akar umbi.

"Dasar adalah satu perkara, tetapi kita juga perlu melihat apa yang benar-benar berlaku di lapangan.

"Apabila anda berjalan, anda dapat melihat gerai Melayu, Iban dan Cina bersebelahan antara satu sama lain.

"Inilah Sarawak yang terbaik," katanya sambil menambah bahawa amalan memberi angpau semasa musim perayaan melambangkan sifat keterangkuman, sambil menegaskan bahawa niat baik tidak seharusnya dibatasi oleh kaum atau agama.

Menyentuh mengenai Tahun Kuda, Dr Sim berkata simbol zodiak itu melambangkan kepantasan, tenaga dan kerja keras, ciri-ciri yang diperlukan Sarawak dalam meneruskan perjalanan pembangunannya.

"Pembangunan bukan sahaja perlu berlaku di Kuching, tetapi di seluruh Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah dengan sengaja menyalurkan sebahagian besar belanjawan ke kawasan luar bandar utama bagi memastikan keterangkuman dan tiada sesiapa yang tercicir.

Meninjau masa depan Sarawak, Dr Sim menegaskan bahawa menjadi 'bijak' adalah kunci kepada pembinaan negara yang mampan.

"Kita mahu generasi akan datang menjadi lebih pintar daripada saya, lebih pintar daripada Premier.

"Apabila belanjawan kita meningkat, kita memerlukan insan yang berkebolehan dan berpendidikan untuk mengekalkan pembangunan," katanya sambil menambah, inilah sebab Sarawak memberi penekanan kuat terhadap pendidikan percuma dan pembangunan kemahiran.

Dr Sim turut menekankan tumpuan berterusan kerajaan negeri terhadap sektor kesihatan, khususnya bagi golongan warga emas dengan mengambil kira peningkatan kos perubatan serta keperluan Sarawak untuk mengurus sistem kesihatannya sendiri pada masa depan.

"Rawatan kanser boleh mencecah antara RM500,000 hingga RM1 juta.

"Penyakit tidak memilih kaum atau agama.

"Sebab itulah kerajaan negeri sanggup melabur besar, termasuk membina hospital khusus dan memperluaskan kemudahan kesihatan ke luar Kuching," katanya sambil menjelaskan Hospital Sibu telah menerima mesin MRI jantung kedua, yang merupakan mesin kedua seumpamanya di Sarawak hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi MPS Clarence Ting serta Ketua Pemuda SUPP Pusat, Kaunselor Kevin Lau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:57 AM | Show all posts
Dr Sim santuni peniaga dan pengunjung di Pasar Sentral Sibu
Januari 29, 2026, Khamis - 5:30pm



Dr Sim (tiga kiri) menyantuni para peniaga di Pasar Sentral Sibu, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Tiang, Lau dan Chieng.

SIBU: Bahang kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina semakin terasa apabila Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian turun padang menyantuni peniaga serta pengunjung di Pasar Sentral Sibu menerusi program 'walkabout' hari ini.

Program tersebut bertujuan mendekati peniaga dan orang ramai di pasar awam itu, selain menyampaikan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat yang meraikannya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut meluangkan masa bersarapan pagi bersama ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Gerai Lai Heung Cafe, untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta bertukar pandangan dalam suasana santai.

Dalam pada itu, para peniaga dan pengunjung tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan para wakil rakyat selain merakamkan gambar kenangan sebagai tanda keakraban.

Dr Sim yang juga Presiden SUPP turut diiringi oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan  Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 09:59 AM | Show all posts
Kerajaan Sarawak salur sumbangan RM1 juta bina asrama lelaki IDIP
Januari 29, 2026, Khamis - 5:53pm



Abang Johari menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Dr Mohamed Fadzli sempena Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 IDIP di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, Panji di Kelantan pada Khamis.- Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Biro Pendidikan Islam Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi pembinaan asrama pelajar lelaki Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP).


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana tersebut merupakan usaha bersama dalam menyediakan infrastruktur yang baik di institut berkenaan yang terletak di Kelantan.


"Kita mempunyai asrama yang baik untuk penuntut perempuan dan kita hendaklah membangunkan asrama yang baharu dan selamat untuk pelajar lelaki.


"Untuk ini, kita akan membangunkan semula asrama ini di bawah PERKIM Kelantan dan Biro Pendidikan Islam Sarawak menyumbang RM1 juta," ujarnya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 IDIP di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, Panji di Kelantan pada Khamis.


Abang Johari yang juga Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan menambah, pendidikan merupakan asas utama dalam membangunkan ummah, khususnya dalam melahirkan generasi berilmu dengan pendekatan Islam yang bersifat universal.


"Kerja dakwah ini adalah sukarela, semangat sukarelawan ini adalah penting untuk kita membangunkan masyarakat kita, khasnya Islam.

"Dan, ini adalah bersifat universal dan pendekatan kita hendaklah universal. Yang penting ialah membangunkan keperibadian Islam supaya mindanya juga hendaklah universal," ujarnya.


Dalam pada itu, Abang Johari turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PERKIM Kelantan.


Hadir sama ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Tengku Puan Temenggong Kelantan merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Yang Mulia Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan Datuk Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar serta yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 10:00 AM | Show all posts
Kopi antara komoditi pertanian berpotensi tinggi di kawasan DUN Ngemah
Januari 29, 2026, Khamis - 6:46pm



Anyi (tiga kanan) dan Nicholas (empat kanan) bergambar bersama para petani kopi selepas penyerahan mesin pengupas biji kopi di Kanowit hari ini.

KANOWIT: Tanaman kopi kini muncul sebagai antara komoditi pertanian berpotensi tinggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, susulan peningkatan minat dalam kalangan petani luar bandar yang melihatnya sebagai sumber pendapatan baharu dan mampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, sokongan berterusan Jabatan Pertanian termasuk penyediaan peralatan pemprosesan moden telah merangsang minat petani untuk menceburi penanaman kopi secara lebih serius dan berskala komersial.

Menurut beliau, pembangunan sektor pertanian kekal sebagai antara agenda utama di Ngemah khususnya melalui pengenalan tanaman bernilai tinggi yang berupaya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi tempatan.

“Pengenalan mesin pengupas biji kopi dapat membantu petani memproses hasil dengan lebih cekap berbanding kaedah tradisional yang memakan masa dan tenaga.

“Langkah ini secara langsung mampu meningkatkan produktiviti serta menambah nilai kepada hasil kopi yang diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan dua unit mesin pengupas biji kopi kepada dua petani dari kawasan Ulu Pedai dan Ulu Mapai dalam satu majlis di Pejabat Pertanian Daerah Kanowit di sini, hari ini.

Anyi turut menyatakan keyakinan bahawa petani kopi tempatan mampu mengatasi pelbagai cabaran pengeluaran dan pasaran berikutan minat serta komitmen yang semakin tinggi terhadap tanaman berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru Jabatan Pertanian terus memperkukuh sokongan khususnya dari aspek pemasaran dan pembangunan pasaran bagi memastikan produk kopi tempatan mendapat akses yang lebih luas dan berdaya saing.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kanowit Nicholas Jati berkata, setakat ini terdapat seramai 19 petani kopi Liberica berdaftar di daerah berkenaan, dengan 18 daripadanya berada dalam kawasan DUN Ngemah.

Menurut beliau, sebanyak 12,518 pokok kopi Liberica telah ditanam di seluruh daerah Kanowit, menunjukkan perkembangan positif sektor tersebut dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, harga pasaran semasa bagi biji kopi Liberica kering adalah antara RM16 hingga RM20 sekilogram manakala serbuk kopi Liberica mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu sekitar RM35 hingga RM60 sekilogram.

“Pokok kopi mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan boleh kekal produktif sehingga 20 tahun, menjadikannya tanaman ekonomi jangka panjang yang berdaya maju kepada petani luar bandar,” jelasnya.

Beliau menambah, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Kerajaan Sarawak terus menggalakkan penanaman tanaman makanan dan ekonomi bagi memperkukuh sekuriti makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 10:00 AM | Show all posts
Program holistik pembangunan belia anjuran UPMS bulan depan
Januari 29, 2026, Khamis - 6:50pm



BINTULU: Pendekatan holistik yang menggabungkan elemen kepimpinan, inovasi serta literasi teknologi untuk pembangunan belia berimpak tinggi bakal diadakan pada bulan depan melalui penganjuran Program Putra Bakti Antarabangsa YLE-KUUB @ Belia Digital 2.0: Siri Latihan Pemimpin Masa Depan 2026.

Program pada 21 dan 22 Februari di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu itu adalah anjuran pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2) Semester Kedua Sesi Akademik 2025/2026 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Ia turut mendapat kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) serta Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM.

Fasilitator programnya Roslan Ismail (gambar) berkata, program secara hibrid itu menyasarkan penyertaan belia berumur 18 hingga 30 tahun yang berminat dalam kepimpinan, inovasi, keusahawanan serta pembangunan masyarakat.

Katanya, ini merupakan program pembangunan belia berimpak tinggi yang dirangka sebagai platform strategik bagi melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, berfikiran progresif serta bersedia menghadapi cabaran era digital.

"Program ini memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sejak usia muda melalui pendekatan holistik yang menggabungkan elemen kepimpinan, inovasi serta literasi teknologi," ujarnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk melahirkan pemimpin nasa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki jati diri yang kukuh berteraskan nilai 'Jiwa Putra'.

Ujarnya, belia masa kini perlu diperkasa dengan kemahiran digital, keusahawanan dan kecerdasan buatan (AI) agar mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

Sementara itu, pengarah program Muhammad Dannish Lian Harrisson Amat berkata, program itu merangkumi latihan berstruktur, bengkel interaktif serta penglibatan dalam projek komuniti bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal dan berimpak.

Katanya, diharapkan program itu dapat meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan belia serta mempromosikan penggunaan teknologi secara inovatif dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti.

"Orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara fizikal atau melalui dalam talian di https://forms.gle/CkjowACv8hNrDc647 dan https://forms.gle/PFkMwkTGYPVUpTvf9," katanya.

Beliau berkata, untuk pertanyaan lanjut mengenai program ini boleh hubungi Danish di talian 014-3302803, Nur Safrina (013-2037981) dan Vanisha Eleona 013-3498834.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-1-2026 10:01 AM | Show all posts
Pertandingan Nyanyian Bintang ADP pada 8 Februari
Januari 29, 2026, Khamis - 6:51pm



Pencarian bakat ADP sempena Festival Festival Tattoo Ukir Kelingai 1 di Engkilili,Lubok Antu pada 8 Februari 2026.
Pencarian bakat ADP sempena Festival Festival Tattoo Ukir Kelingai 1 di Engkilili,Lubok Antu pada 8 Februari 2026.
KUCHING: Sempena Festival Tattoo Ukir Kelingai 1 di Engkilili, Lubok Antu pada 8 Februari depan, satu pertandingan nyanyian akan diadakan bagi mencungkil bakat penyanyi baharu dalam muzik Iban.

Terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 16 hingga 45 tahun, saringan bagi Pertandingan Nyanyian Bintang ADP (Aka Dambai Production) ini akan diadakan pada 7 Februari sebelum pusingan akhir pada 8 Februari.

Menurut jurucakap penganjur, pertandingan akan berlangsung di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Lubok Antu, bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian serta memartabatkan penggunaan bahasa Iban.



Pencarian bakat ADP sempena Festival Festival Tattoo Ukir Kelingai 1 di Engkilili,Lubok Antu pada 8 Februari 2026.

“Peserta hanya dibenarkan membawakan lagu dalam bahasa Iban dan diwajibkan menyediakan minus one sendiri semasa pertandingan.

“Selain itu, peserta juga perlu mematuhi etika pemakaian yang kemas, sopan dan bersesuaian sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Setiap penyertaan dikenakan yuran RM30 yang boleh dibayar secara dalam talian ke akaun Aka Dambai atau secara tunai pada hari pendaftaran.

Borang penyertaan boleh diperoleh melalui imbasan Kod QR pada poster rasmi pertandingan atau didapati di kaunter pendaftaran di hadapan pentas pada hari acara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 10:02 AM | Show all posts
Dua maut kemalangan di Jalan Sri Aman-Lingga
Januari 29, 2026, Khamis - 6:53pm

SRI AMAN: Dua individu maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sri Aman-Lingga di sini sekitar jam jam 6.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai bapa saudara dan anak saudaranya.

Kes kini masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 10:03 AM | Show all posts
JTK Sarawak lancar Operasi Gaji di sekitar bandar Bintulu
Januari 29, 2026, Khamis - 7:41pm

BINTULU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak telah melancarkan Operasi Gaji di sekitar bandar Bintulu semalam.

Operasi tersebut melibatkan seramai 67 pegawai pemeriksa JTK Sarawak dari seluruh negeri.

JTK Sarawak dalam kenyataan kepada media menyebut, objektif operasi itu bagi memastikan pematuhan undang-undang buruh yang dikuatkuasakan oleh JTK Sarawak bagi perusahaan kedai makan dan restoran.

Penekanan perkara yang diperiksa semasa operasi adalah terhadap aspek bayaran gaji termasuk gaji minimum, potongan gaji, waktu bekerja, pemberian kelayakan cuti bergaji dan lain.

Operasi Gaji ini juga adalah bertepatan dengan kehendak jabatan supaya pemeriksaan berkanun dijalankan terhadap semua tempat pekerjaan pada bila-bila masa jika disyaki terdapat mana-mana pekerja digaji oleh majikan di suatu tempat pekerjaan berkenaan termasuk pekerja yang digaji pada waktu malam.

Ia bertujuan memastikan penguatkuasaan undang-undang buruh dilakukan secara menyeluruh melibatkan semua sektor dan sebagai langkah pencegahan awal daripada sebarang pelanggaran undang-undang buruh dalam sektor berkenaan.

Kenyataan turut menyebut bahawa operasi serupa akan diteruskan pada masa akan datang melibatkan sektor-sektor lain yang belum diperiksa.

"Langkah ini adalah satu tindakan pencegahan awal bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang buruh dalam mana-mana sektor pekerjaan di Sarawak.

"Operasi yang dijalankan pada 27 Januari itu telah memeriksa sejumlah 36 tempat pekerjaan dan hasilnya 31 majikan telah dikeluarkan notifikasi pelanggaran undang-undang buruh yang dikuatkuasakan oleh jabatan," menurut kenyataan itu lagi.

Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak empat kertas siasatan berkaitan pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2024 dan potongan gaji dibuka ke atas majikan.

Tambahnya, sebanyak 133 pelanggaran dikeluarkan kepada majikan terlibat untuk diambil tindakan.

Tegasnya, JTK Sarawak memberi amaran keras kepada para majikan bahawa sebarang kegagalan mematuhi undang-undang buruh boleh membawa kepada tindakan mahkamah dan dikenakan penalti.

Bagi kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, majikan yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja.

Selain itu, mahkamah boleh memerintahkan supaya majikan itu membayar perbezaan antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja dan bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan kadar gaji minimum.

"Jika berlaku pelanggaran berulang, mereka yang bersalah boleh didenda harian yang tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan," katanya sambil menambah, pesalah akan didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Selain itu, sebarang pelanggaran terhadap peruntukan lain di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) boleh membawa hukuman denda maksimum sehingga RM50,000, sekali gus mencerminkan ketegasan kerajaan dalam memelihara hak dan kebajikan pekerja di negeri ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-1-2026 10:03 AM | Show all posts
115 peserta hadiri Family Management Course Siri 1/2026
Januari 29, 2026, Khamis - 7:44pm



Dayang Noorazah (duduk, tengah) bersama tetamu dan peserta bengkel bergambar selepas perasmian program semalam. – Gambar UKAS

SRI AMAN: Penganjuran Family Management Course Siri 1/2026 adalah satu inisiatif bertepatan dengan keperluan semasa dalam usaha memperkukuh kesejahteraan institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera.

Kursus yang melibatkan seramai 115 peserta itu memberi tumpuan kepada aspek pengurusan kewangan keluarga, kesihatan mental serta peningkatan kesedaran ibu bapa terhadap isu buli dalam kalangan remaja.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis penangguhan kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor di Hotel Seri Simanggang di sini, pada Rabu.

Berucap pada majlis tersebut, Dayang Noorazah berkata, ‎kursus itu bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pengurusan kewangan agar keluarga lebih berdaya tahan, berdisiplin dalam perbelanjaan serta mampu merancang masa depan dengan lebih teratur.

"Selain itu, pendedahan berkaitan kesihatan mental keluarga turut diberi penekanan sebagai persediaan awal dalam menghadapi situasi tidak dijangka demi kesejahteraan menyeluruh ahli keluarga," katanya.

Dayang Noorazah turut menyatakan kursus ini turut meningkatkan kesedaran ibu bapa berhubung isu buli dalam kalangan remaja.

Ini termasuk keupayaan mengenal pasti tanda-tanda awal, memahami langkah pencegahan serta memperkukuh peranan ibu bapa dalam melindungi dan menyokong kesejahteraan anak-anak di persekitaran keluarga, sekolah dan komuniti.

Pengisian kursus turut diperkaya dengan penglibatan beberapa agensi berkaitan antaranya Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berkongsi ilmu pengurusan kewangan keluarga, Hospital Sri Aman yang memberi pendedahan mengenai kesihatan mental keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong yang membentangkan peranan ibu bapa dalam menangani isu buli dalam kalangan remaja.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 08:37 PM GMT+8 , Processed in 1.122245 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list