|
|
Agenda pemerkasaan wanita memerlukan kerjasama semua pihak
Januari 28, 2026, Rabu - 6:30pm

Nancy ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Agenda pemerkasaan wanita memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan golongan wanita sama ada di bandar atau pedalaman mendapat peluang yang sama.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) percaya bahawa pemerkasaan wanita perlu dirasai dalam kehidupan seharian.
“Sehubungan itu, kita mengambil pendekatan turun padang bagi mendekati komuniti, mendengar sendiri keperluan mereka serta memastikan tiada wanita Sarawak yang tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini, hari ini.
Nancy menambah, dari sudut ekonomi KPWKM telah melaksanakan program Wanita Dinamik untuk membantu wanita menjana pendapatan dan berdikari.
“Sejak 2021, seramai 21,274 wanita di seluruh negara telah dibantu manakala di Sarawak sahaja kira-kira 8,000 wanita menerima manfaat, termasuk hampir 300 orang yang bersama-sama kita hari ini (28 Januari) dan setiap peserta juga diberi geran RM500 untuk perusahaan kecil masing-masing.
“Kira-kira RM4 juta telah diperuntukkan khusus untuk Sarawak dalam usaha menyokong peluang keusahawanan mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya juga memperkukuh kepimpinan melalui program PERANTIS dengan 100 wanita dipilih di seluruh negara dan 11 daripadanya dari Sarawak.
“Mereka menerima geran RM50,000 untuk melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 4,122 peserta termasuk 644 dari zon Borneo,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesihatan wanita juga tidak boleh diketepikan, disebabkan itu kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan 32,000 menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA tahun ini.
“Di Sarawak, Kampung Santubong dipilih sebagai lokasi perintis dan sejak beberapa tahun lalu lebih 53,000 wanita Sarawak telah disaring, membolehkan kes dikesan lebih awal dan nyawa diselamatkan.
“Setiap usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan untuk memastikan wanita Sarawak bukan sahaja dilindungi, tetapi diberi pemerkasaan daripada aspek pendapatan, kepimpinan hinggalah kesihatan. Apabila wanita berdikari dan sihat, seluruh keluarga akan lebih sejahtera,” jelasnya.
Jelasnya, wanita merangkumi hampir separuh penduduk di negara ini dan sumbangan mereka juga melengkapkan setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan.
“Wanita telah melangkah jauh, namun masih banyak ruang untuk diperbaiki.
“Sebab itulah Hari Wanita Antarabangsa disambut untuk kita menghargai pencapaian wanita kini sambil memperkukuh usaha membuka lebih banyak ruang dan peluang pada masa depan,” tegasnya.
Mengenai acara yang berlangsung dengan tema Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara, beliau menyatakan ia mengingatkan semua pihak bahawa kekuatan negara bermula daripada kekuatan wanita. Jika wanita kita yakin, berilmu dan berdaya saing, masa depan Sarawak pasti lebih cerah.
“Dengan semangat itu, saya yakin di bawah kepimpinan Premier dan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan, agenda pemerkasaan wanita di Bumi Kenyalang akan terus diperkukuh,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penglibatan wanita dalam tenaga buruh meningkat
Januari 28, 2026, Rabu - 7:00pm
Bukti semakin ramai wanita berani melangkah keluar, bekerja, berniaga, menyumbang kepada ekonomi keluarga

Abang Johari ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Penglibatan wanita dalam tenaga buruh di Sarawak terus menunjukkan peningkatan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, ia membuktikan semakin ramai wanita berani melangkah keluar, bekerja, berniaga dan menyumbang kepada ekonomi keluarga.
Menurutnya, program pembangunan kapasiti dan keusahawanan yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberi manfaat kepada puluhan ribu wanita, termasuk mereka yang berasal dari komuniti luar bandar dan ibu tunggal.
“Pemerkasaan ekonomi wanita bukan sekadar angka tetapi tentang memastikan setiap wanita mempunyai pendapatan sendiri, keyakinan diri dan masa depan yang lebih terjamin,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sini, hari ini.
Berdasarkan laporan Bank Dunia, Abang Johari berkata, wanita kini menyumbang lebih 45 peratus penyertaan dalam sektor ekonomi kreatif dan digital di peringkat global.
Manakala di Malaysia, katanya lebih 60 peratus perusahaan mikro berasaskan komuniti dikendalikan oleh wanita.
Sehubungan itu beliau menekankan kepentingan aktiviti komersial dalam talian dalam memperluas penyertaan wanita dalam ekonomi moden, terutama di kawasan luar bandar.
“Bagi memperkasakan komuniti luar bandar, termasuk komuniti Penan, beberapa program telah diperkenalkan untuk meningkatkan penjanaan pendapatan.
“Contohnya, Sarawak Energy Berhad (SEB) menyokong komuniti Penan luar bandar dengan membeli produk mereka, yang kini dipasarkan sehingga ke Amerika Syarikat.
“Ini jelas menunjukkan bahawa wanita di Borneo mempunyai potensi besar dalam bidang seperti kraf tangan, penghasilan makanan tempatan, pelancongan berasaskan komuniti dan ekonomi digital, membolehkan mereka mencapai pasaran nasional dan antarabangsa melalui e-dagang dan teknologi,” tambah beliau.
Menyentuh mengenai wanita luar bandar dan wanita peribumi, Abang Johari berkata, mereka memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi rumah tangga, pemelihara warisan budaya dan tonggak kestabilan sosial dalam komuniti masing-masing.
Beliau merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 yang menekankan bahawa pemberdayaan ekonomi wanita luar bandar memberi impak langsung terhadap peningkatan pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga dan kestabilan komuniti secara keseluruhan, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Di Sarawak, wanita dari pelbagai komuniti etnik memainkan peranan utama dalam memelihara adat, budaya dan keharmonian sosial,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan teknologi yang sesuai termasuk latihan literasi digital, aplikasi perniagaan mudah alih dan akses kepada infrastruktur digital boleh terus memperkukuh penyertaan wanita luar bandar dan peribumi dalam ekonomi moden tanpa menghakis identiti dan warisan budaya mereka.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pertandingan melastik anjuran UPMS dapat sambutan hangat
Januari 28, 2026, Rabu - 7:04pm

Beberapa peserta sedang bersaing dalam pertandingan melastik di ruang legar Kompleks Akademik Pusat UPMS pada hujung minggu lalu.
BINTULU: Pertandingan Melastik 2026 bertemakan 'Aim, Shoot, Score: Slingshot Battle' mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan komuniti setempat di ruang legar Kompleks Akademik Pusat UPMS pada hujung minggu lalu.
Pertandingan julung kalinya anjuran Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSeC) UPMS itu telah mencipta sejarah tersendiri dengan menerima penyertaan menggalakkan daripada warga universiti serta masyarakat setempat termasuk kelompok yang hadir.
Pertandingan itu menyaksikan kehebatan peserta menguji ketepatan dan kemahiran melastik yang telah memeriahkan suasana sepanjang dua hari pertandingan tersebut berlangsung.
Pegawai Keselamatan APSeC UPMS Inspektor G/PB Carolyne Lua berkata, penganjuran pertandingan itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah berperanan sebagai platform untuk menggalak penglibatan warga universiti dan masyarakat dalam aktiviti sihat serta berfaedah.
"Program seperti ini mampu membentuk interaksi yang positif, mesra komuniti, proaktif dan prihatin antara pasukan keselamatan universiti dengan komuniti sekitar," katanya.
Beliau berkata, ia juga mengukuhkan kepercayaan, kerjasama serta sokongan terhadap peranan Bahagian Keselamatan Universiti.
Katanya, pertandingan tersebut membuktikan komitmen APSeC UPMS dalam mendekati komuniti melalui pendekatan inklusif dan berimpak, sejajar dengan usaha memperkukuh keharmonian serta keselamatan persekitaran kampus.

Penganjur dan komuniti setempat yang memeriahkan pertandingan melastik di ruang legar Kompleks Akademik Pusat UPMS pada hujung minggu lalu.
Dua kategori utama dipertandingkan dalam acara ini iaitu 'Shoot To Score' dan 'Collecting Point' dengan menyaksikan persaingan sengit menampilkan bakat serta disiplin tinggi peserta sepanjang pertandingan.
Kategori 'Shoot To Score' pada Sabtu menyaksikan gelaran johan disandang Muhammad Arif Fahmi Umar Jeffery manakala Hamir Zaini muncul sebagai naib johan.
Kedudukan tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam masing-masingnya diraih oleh Hairul Patimin, Ammar Fathullah Mohd Azril, Kaisar Kegelapan dan Donny Abdul Hamid.
Pertandingan pada Ahad pula menyaksikan dominasi Muhammad Arif Fahmi Umar Jeffery yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan manakala Hairul Patimin pula meraih naib johan, diikuti Mohd Abdul Rahman Mohd Spuan meraih tempat ketiga, Will 7ss dan Mohd Khaizal Manan berkongsi tempat keempat dan Tuah Damit menduduki tempat kelima.
Johan menerima hadiah wang tunai RM300, naib johan menerima RM200, tempat ketiga menerima RM100, diikuti tempat keempat dan kelima masing-masingnya menerima RM50 dan keenam menerima RM20 berserta e-sijil sebagai pengiktirafan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Majlis Astana Sarawak bersama NGO Siri 4 dan 5 Tahun 2025
Januari 28, 2026, Rabu - 7:43pm

Syed Hamzah bersama wakil NGO bergambar bersama pada majlis hari ini. - Gambar Astana Sarawak
KUCHING: Hari ini telah berlangsung Majlis Astana Sarawak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Siri 4 dan 5 Tahun 2025 di Dewan Santapan Surau, Astana Sarawak.
Majlis telah dihadiri Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie mewakili Yang di-Pertua Negeri.
Memetik Facebook Tun Pehin Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut hadir Setiausaha Akhbar Kanan Yang di-Pertua Negeri Samuel Simon, wakil Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching Pemanca Roshidi Junai, wakil Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Perkhidmatan Perubatan Sarawak Dr Norinawaty Abang Daud, wakil Persatuan Penulis Sarawak Dr Awang Zaidel Awang Jamil serta wakil Gabungan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Wanita Muslim Bahagian Kuching Norlidah Halmi.
Tun Wan Junaidi dalam amanat yang disampaikan oleh Syed Hamzah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua wakil NGO yang hadir ke Astana Sarawak bagi menjayakan Majlis Siri 4 dan 5 Tahun 2025.
Beliau menegaskan bahawa NGO memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam memperkukuh struktur sokongan komuniti serta melaksanakan pelbagai program berimpak yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Beliau turut berkongsi sejarah penubuhan Astana Sarawak serta peranan institusi tersebut sebagai simbol kedaulatan dan tonggak kemakmuran negeri yang perlu dipelihara bersama.
Hubungan erat antara rakyat dan Astana perlu terus diperkasakan agar setiap lapisan masyarakat berasa dihargai dan disantuni.
Beliau turut menekankan bahawa Astana Sarawak adalah milik semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang.
Justeru, peranan NGO sebagai penghubung antara rakyat dan institusi Astana amat signifikan dalam memperkukuh nilai perpaduan, keharmonian dan kebersamaan.
Majlis itu telah disertai oleh wakil-wakil pelbagai NGO dan institusi antaranya Persatuan Penulis Sarawak, Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Gabungan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Wanita Muslim Bahagian Kuching dan Pemuda Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).
NGO lain ialah Persatuan Kebajikan Asyraaf Malaysia Sarawak, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sarawak, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia, PIBG beberapa institusi pendidikan, badan-badan kebajikan, pertubuhan keagamaan Islam dan Kristian serta kelab dan persatuan komuniti dari pelbagai kawasan di Sarawak.
Majlis Astana Sarawak bersama NGO ini diharap dapat terus menjadi platform berkesan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara institusi Astana dan NGO sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan, keharmonian dan pembangunan berterusan rakyat serta negeri Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat daripada Fatimah
Januari 28, 2026, Rabu - 7:45pm

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bergambar bersama rombongan KPWK diketuai Fatimah serta yang lain di Astana Negeri hari ini. - Gambar Astana Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut mengiringi Fatimah ialah Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah@Colliner Gohe, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Bangunan dan Kepakaran) Jabatan Kerja Raya Sharifah Liz Farawati Wan Omar, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Vivek Vijayan, Presiden Two Three Hospice Dr Winnie Ling Hui Lee, Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWK Rohana Mohd Ali serta pegawai-pegawai kanan KPWK yang lain.
Kunjungan tersebut bertujuan membentangkan reka bentuk konsep berhubung cadangan lokasi dan fasiliti bagi penubuhan Pusat Penjagaan Paliatif di Petra Jaya.
Cadangan itu merupakan tindakan susulan oleh KPWK terhadap pandangan dan saranan Toh Puan Fauziah tentang keperluan mendesak untuk mewujudkan sebuah pusat penjagaan paliatif di Kuching.
Tun dan Toh Puan berpandangan bahawa penubuhan Pusat Penjagaan Paliatif tersebut amat signifikan, bukan sahaja sebagai tempat penjagaan bagi pesakit yang menghidap penyakit terminal, malah sebagai sebuah pusat sokongan holistik yang dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit, khususnya mereka yang menghadapi cabaran penjagaan rapi di rumah.
Kedua-duanya turut menzahirkan harapan agar penubuhan Pusat Penjagaan Paliatif itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Toh Puan Fauziah bergambar bersama delegasi PPWS di Astana Negeri hari ini. - Gambar Astana Sarawak
Pada majlis berasingan, Toh Puan Fauziah turut mengadakan perjumpaan bersama delegasi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) diketuai Pengerusinya Dato Norhyati Ismail.
Pada pertemuan itu, Toh Puan Fauziah telah dimaklumkan bahawa PPWS yang ditubuhkan pada tahun 1962 mempunyai keanggotaan melebihi 13,000 orang wanita di seluruh Sarawak.
Delegasi PPWS turut membentangkan taklimat mengenai perkembangan pertubuhan serta pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dirancang bagi tahun 2025, termasuk cabaran dalam memastikan kelestarian program dan penglibatan aktif ahli di seluruh negeri.
Selaku penaung, Toh Puan Fauziah telah memberi beberapa nasihat dan cadangan kepada delegasi bagi memperkukuh hala tuju pertubuhan serta meningkatkan keberkesanan program, selaras dengan keperluan masyarakat dan pembangunan sosial di Sarawak.
Beliau juga menzahirkan penghargaan atas usaha murni PPWS dan Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan serta meningkatkan kesejahteraan wanita di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PPWS Zainab Tambidan dan Setiausaha Eksekutif PPWS Rhohanniza Amika.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MPS tetapkan caj RM75 pelupusan bangkai haiwan peliharaan
Januari 29, 2026, Khamis - 9:05am

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menetapkan caj RM75 bagi setiap permohonan perkhidmatan pelupusan bangkai haiwan peliharaan di kawasan rumah persendirian, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, MPS memaklumkan bahawa perkhidmatan berkenaan akan dilaksanakan oleh kontraktor pembersihan yang dilantik oleh majlis, dengan bayaran dibuat secara terus kepada pihak kontraktor terlibat.
Menurut kenyataan itu, skop perkhidmatan merangkumi pembungkusan bangkai haiwan peliharaan menggunakan beg plastik, kerja-kerja pengangkutan serta pelupusan akhir di lokasi yang diluluskan oleh MPS.
Langkah tersebut diperkenalkan bagi memastikan proses pelupusan bangkai haiwan peliharaan dilaksanakan secara teratur, bersih serta mematuhi keperluan kebersihan awam.
“Pelaksanaan perkhidmatan ini penting bagi mengelakkan risiko pencemaran dan memastikan pengendalian bangkai haiwan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh majlis,” menurut kenyataan itu.
Antara kontraktor yang dilantik adalah Kiew Chiong Tiing Construction Sdn. Bhd. (016-898 9619), Syarikat Seni Bumi Contractor Sdn. Bhd. (013-563 9995) dan Toh Ah Kaw Contractor Sdn. Bhd. (016-897 4435).
Sementara itu, MPS turut menetapkan caj RM75 bagi setiap perkhidmatan penangkapan atau pengalihan haiwan peliharaan hidup yang tidak dikehendaki seperti anjing atau kucing di kawasan rumah persendirian.
Menurut kenyataan tersebut, perkhidmatan penangkapan atau pengalihan haiwan peliharaan hidup itu akan dilaksanakan oleh pihak majlis bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan haiwan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Pendekatan ini juga bertujuan memastikan setiap aduan ditangani secara lebih sistematik dan berkesan, selain mengelakkan sebarang salah faham berkaitan pelaksanaan tugas penguatkuasaan,” katanya.
Orang awam yang memerlukan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan berkenaan boleh menghubungi talian hotline MPS di 019-817 9297 atau Ranggie Geliga menerusi talian 013-807 7964.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis Saratok tahan dua lelaki disyaki jual loteri haram
Januari 29, 2026, Khamis - 9:36am

MATHEW
SARATOK: Dua individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menjual loteri awam tanpa lesen dalam serbuan berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, Ops Dadu yang dijalankan mulai sekitar jam 4.15 petang itu melibatkan pemeriksaan di empat premis di sekitar Saratok dan Roban.
Bagaimanapun katanya, serbuan di dua lokasi berasingan di pekan Saratok tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang, khususnya yang berkaitan dengan kegiatan perjudian.

Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan judi haram diberkas pada Rabu. - Gambar IDP Saratok
“Sementara itu, dalam serbuan ketiga di sebuah pondok di Roban, pasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian menjual nombor ekor awam haram.
“Hasil serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas satu unit telefon bimbit, sekeping keratan kertas yang tercatat nombor tiket loteri awam haram, sebatang pen dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM20,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mathew, hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengaku menjadi ejen jualan judi nombor ekor awam haram di sekitar pekan Roban.

Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan judi haram diberkas pada Rabu. - Gambar IDP Saratok
Dalam serbuan keempat pula, katanya, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun di pekan Saratok.
“Dalam serbuan tersebut pihak polis berjaya merampas satu unit telefon bimbit dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM85.
“Hasil siasatan awal, lelaki tersebut telah mengaku menjadi ejen jualan judi nombor ekor awam haram di dalam premis tersebut.
“Lelaki tersebut juga didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan dengan Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya lagi.
Berikutan itu, katanya, kedua-dua lelaki tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) ARJT 1953.
Tambahnya lagi, ujian air kencing juga mendapati kedua-dua lelaki tersebut negatif dadah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah perkukuh jaringan keilmuan dengan Al-Azhar
Januari 29, 2026, Khamis - 9:41am

PENGHARGAAN: Tun Musa bersama delegasi Sabah ketika mengadakan lawatan rasmi ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar, Mesir.
MESIR: Sabah terus mengorak langkah memperkukuh hubungan keilmuan Islam di peringkat antarabangsa apabila satu delegasi peringkat tinggi negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar, di sini.
Lawatan itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan agama dan dakwah, sejajar dengan matlamat memartabatkan pemikiran Islam sederhana.
Delegasi diketuai Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Mufti Sabah, Datuk Aziz Jaafar serta wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.
Ketibaan rombongan Sabah disambut wakil kepimpinan Al-Azhar Al-Sharif, antaranya Dr Mohamed Al-Dwaini, Setiausaha Agung Kompleks Penyelidikan Islam, Mohamed Al-Jandi dan Presiden Akademi Antarabangsa Al-Azhar, Dr Hassan Salah Junior.
Sepanjang lawatan itu, Tun Musa bersama delegasi menghadiri majlis perasmian Dewan Imam Besar yang dinamakan sempena Imam Besar Al-Azhar, Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, sebagai simbol penghargaan terhadap peranan beliau dalam memperjuangkan pendekatan Islam sederhana atau wasatiyyah di peringkat global.
Tun Musa berkata, Al-Azhar Al-Sharif adalah institusi keilmuan Islam bertaraf dunia yang sejak sekian lama menjadi rujukan umat Islam dan menyumbang besar kepada pembangunan pemikiran Islam yang seimbang.
“Sabah melihat Al-Azhar sebagai rakan strategik penting. Pembukaan dewan ini bukan sahaja menghormati kepimpinan Imam Besar, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan pendidikan agama dan latihan dakwah yang berpaksikan kesederhanaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat Sabah untuk memperluaskan kerjasama dengan Al-Azhar, khususnya dalam pembangunan kurikulum pendidikan Islam, latihan imam dan pendakwah serta pengukuhan institusi agama di negeri itu.
Sementara itu, Dr Mohamed Al-Dwaini berkata Al-Azhar amat menghargai hubungan erat dengan Malaysia dan menyifatkan lawatan delegasi Sabah sebagai bukti hubungan keilmuan yang semakin kukuh antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, Al-Azhar memberi penekanan terhadap latihan dan pemulihan imam serta pendakwah bagi memastikan mesej Islam yang dibawa bersifat sederhana, harmoni dan menyumbang kepada keamanan sosial.
Dr Hassan pula menegaskan Akademi Antarabangsa Al-Azhar komited melahirkan pendakwah berilmu, berfikiran terbuka dan mampu menangani cabaran semasa melalui pendekatan ilmiah serta metodologi yang berwibawa.
Delegasi Sabah menyatakan penghargaan terhadap program akademik dan latihan khusus yang ditawarkan akademi itu, sambil menegaskan komitmen negeri itu untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif demi memajukan pemikiran Islam sederhana dan agenda dakwah yang inklusif.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengetua maut kenderaan terbabas di Kudat
Januari 29, 2026, Khamis - 9:42am
KUDAT: Seorang pengetua sekolah menengah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 18, Jalan Kudat–Kota Kinabalu berhampiran simpang RTM Sikuati, petang Rabu.
Dalam kejadian jam 5.50 petang mangsa berumur 60 tahun yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas didapati tidak sedarkan diri sebaik kenderaan berhenti di dalam parit di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menghala ke Kudat.
Menurutnya, saksi memaklumkan kenderaan mangsa bergerak perlahan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan.
“Kenderaan kemudian masuk ke dalam parit sebelum melanggar sebuah tiang elektrik di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal luaran dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kudat menggunakan kenderaan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta saksi kejadian yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki mengaku curi motosikal dipenjara 15 bulan
Januari 28, 2026, Rabu - 2:48pm
KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal diletakkan di hadapan kedai mini di Taman Riverview, Disember lalu.
Mahathir Bujang, 40, mengaku bersalah mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lelaki yang masih bebas dengan niat bersama mencuri sebuah motosikal milik gadis berusia 20 tahun pada 9 Disember 2025, sekitar jam 3.10 pagi.
Berdasarkan keterangan kes, pemilik motosikal (pengadu) membuat laporan polis setelah mendapati motosikal diletakkannya di hadapan premis tersebut hilang.
Siasatan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 16 Disember 2025.
Siasatan lanjut mendapati terdapat gambar-gambar dan rakaman video kamera litar tertutup yang jelas menunjukkan tertuduh bersama dua lelaki lain telah mencuri motosikal tersebut.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin di hadapan Majistret Ling Hui Chuan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pegawai bank mengaku tidak bersalah tiga lagi tuduhan menipu tiga individu
Januari 28, 2026, Rabu - 2:49pm
KUCHING: Seorang pegawai bank berusia 31 tahun yang didakwa atas 11 pertuduhan menipu 11 individu, hari ini berdepan tiga lagi pertuduhan menipu tiga individu lain melibatkan jumlah keseluruhan RM330,000 di Mahkamah Sesyen di sini.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga atas tiga pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Selain tertuduh, turut mengaku tidak bersalah apabila didakwa melakukan kesalahan sama adalah seorang wanita berusia 54 tahun dan seorang lelaki, 27.
Untuk pertuduhan pertama dan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa menipu dua mangsa dengan mendorong mereka dengan produk pelaburan bank yang tidak wujud, melibatkan wang RM200,000 dan RM30,000, pada 22 Ogos 2025 dan 2 Disember 2024 di sebuah bank di Jalan Tun Jugah di sini.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama wanita berusia 54 tahun itu didakwa melakukan kesalahan sama, melibatkan wang RM100,000 pada 1 Julai 2025 di premis sama.
Sebaik pengakuan tidak bersalah direkodkan, Hakim Jason membebaskan kesemua tertuduh dengan ikat jamin RM50,000 (tidak didepositkan) dengan seorang penjamin tempatan berpendapatan dan beralamat tetap bagi setiap pertuduhan dihadapi mereka.
Beliau menetapkan 2 Mac 2026 untuk pengurusan kes.
Jason juga memerintahkan kesemua tertuduh untuk menyerahkan passport mereka dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian.
Salah seorang tertuduh diwakili peguam Dato Shankar Ram, sementara dua yang lain diwakili peguam Tiong Ing Neng dan Patrick Voon.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pensyarah diperintah bela diri atas tuduhan salah guna dadah pada 2024
Januari 28, 2026, Rabu - 2:58pm
KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang pensyarah di sebuah institusi latihan kerajaan di sini untuk membela diri atas pertuduhan menyalahgunakan Amphetamine dan Methamphetamine pada 2024.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, 38, pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah antara lainnya berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Selain itu, mahkamah turut mendapati bahawa segala bantahan dan keraguan yang dibangkitkan oleh peguam bela telah dijawab dan diperjelaskan oleh pihak pendakwaan dalam penghujahan.
Malah, mahkamah berpuas hati bahawa sampel air kencing tertuduh telah diperoleh secara sah oleh pihak polis selaras dengan peruntukan Seksyen 31A ADB 1952.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 13 Mac 2026 bagi prosiding membela diri, dengan tertuduh dijangka akan memberikan keterangan secara bersumpah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Mac 2023, sekitar jam 12.30 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng itu menyaksikan seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk membuktikan kes terhadap tertuduh, termasuk pegawai tangkapan, pegawai pengiring, ahli patologi dan Pegawai Penyiasat.
Tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Permohonan syarikat pemaju batal perintah pampasan ditolak
Januari 28, 2026, Rabu - 3:25pm
MIRI: Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman sebuah syarikat pemaju untuk membatalkan perintah pembayaran ganti rugi tertentu dan ditetapkan (liquidated ascertained damages (LAD) kepada dua pembeli unit perumahan.
Pesuruhjaya Kehakiman Hamid Ismail membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada dua peguam yang mewakili pemaju Keith Chin dan Natalie Chin serta meneliti fakta kes yang dikemukakan oleh dua pembeli terbabit iaitu Lau dan Liew.
Mahkamah turut mengekalkan perintah yang dikeluarkan oleh Tribunal Perumahan Pembeli Sarawak dan Tribunal Pengurusan Strata Sarawak, selaras dengan Seksyen 49 Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 (Bab 69) serta Seksyen 106 Ordinan Pengurusan Strata 2019 (Bab 76).
Kes berkenaan berpunca daripada kelewatan penyerahan unit perumahan yang dibeli menyebabkan kedua-dua pembeli membawa tuntutan mereka ke Tribunal Perumahan Sarawak.
Keputusan tribunal memihak kepada pembeli dan menganugerahkan LAD mengikut terma yang diperuntukkan dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) masing-masing.
Peguam Negeri Ronald Felix Hardin dari Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak hadir dalam prosiding tersebut bagi membantu mahkamah berhubung tafsiran bidang kuasa kedua-dua tribunal serta kesahihan perintah yang dikeluarkan.
Dalam keputusannya, Hamid turut mengarahkan pemaju membayar kos berjumlah RM6,000 kepada kedua-dua pembeli berikutan kegagalan mematuhi perintah tribunal dalam tempoh yang ditetapkan.
Mengikut Seksyen 53 Ordinan Pembangunan Perumahan, kegagalan mematuhi perintah tribunal merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM5,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Seksyen 111 Ordinan Pengurusan Strata memperuntukkan bahawa kegagalan pemaju mematuhi award Tribunal Pengurusan Strata adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM250,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Sebelum ini, pemaju berkenaan turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung beberapa perintah tribunal lain yang turut menganugerahkan LAD kepada dua pembeli lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita asing masuk secara haram dipenjara dan diusir
Januari 28, 2026, Rabu - 4:30pm
MIRI: Seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masuk ke negara ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Tertuduh, Mutiara Gallu dari Indonesia, telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis telah membuat serbuan ke sebuah hotel bajet di Jalan Haji Lampan di sini.
Dalam serbuan jam 10.20 malam, 18 Januari lalu, polis telah menahan seorang wanita di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh bukan warganegara Malaysia serta tidak dikecualikan daripada Seksyen 55 Akta Imigresen 1959/63, didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan dia memasuki dan tinggal di negara ini.
Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Sahrol Bahar di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Curi tayar di masjid, lelaki dicekup polis di Semporna
Januari 29, 2026, Khamis - 11:47am
SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki mencuri tayar dan rim kenderaan milik jemaah di sebuah masjid di daerah ini akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis, Selalu lalu.
Suspek warga tempatan berusia 27 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 5.20 petang, hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 9 Januari lalu di Masjid Inabah Kamal, Semporna.
Katanya, mangsa hanya menyedari dua tayar berserta rim kenderaannya hilang selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan turut membawa polis ke lokasi penyimpanan barangan curi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Tan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan awam.
“Orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan tegas diambil,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembinaan pusat proses hasil pertanian fasa 2 mula pertengahan tahun ini
Januari 29, 2026, Khamis - 12:55pm

LAWATAN: Jamawi (tiga kanan) melihat mesin membersihkan buah sambil mendengar penerangan daripada Andree semasa lawatan itu.
TENOM: Projek fasa 2 pembinaan Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian menjadi satu lagi usaha kerajaan negeri dalam membantu memasarkan hasil tanaman golongan pekebun dan petani khususnya di daerah ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pusat berkenaan akan memproses buah dan hasil pertanian yang kurang kualiti luaran menjadi makanan kering atau produk pertanian bernilai tambah.
Menurutnya, ia juga berperanan untuk mengurus lebihan hasil pertanian bagi memastikan tiada pembaziran berlaku.
Katanya, perancangan bagi projek fasa 2 itu akan dibina di sebelah bangunan sedia ada bermula pertengahan tahun ini.
Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek itu.
Terdahulu beliau melawat Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian (APCC) Tenom yang diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di sini semalam.
Lawatan berkenaan bertujuan meninjau perkembangan projek fasa 1 yang kini siap 85 peratus dan akan memudahkan pekebun dan petani di Tenom, Kemabong, dan Melalap memasarkan hasil kebun mereka.
Beliau diberikan taklimat oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) APCC, Andree Funk mengenai operasi dan kemajuan projek semasa.
Sementara itu, Jamawi mengalu-alukan input daripada pemain industri tempatan, termasuk Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika, mengenai mesin dan peralatan yang diperlukan bagi kegunaan bersama.
"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi bagi memastikan sekurang-kurangnya ada satu pusat pengumpulan di setiap kawasan Parlimen untuk kemudahan masyarakat luar bandar.
"Di bawah KPD, terdapat 14 pusat pengumpulan, manakala Jabatan Pertanian pula mengurus lebih 10 pusat pengumpulan lain di negeri ini," jelasnya.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Daerah Tenom dan diberi penerangan oleh Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Tenom, Mohammad Fauzi Abdul Gulam.
Turut hadir, Ketua Daerah Melalap, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Melalap, Denesly Justin; dan Presiden Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika Tenom, Gerald Baxter.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki ditahan, syabu lebih 10 gram dirampas
Januari 29, 2026, Khamis - 1:22pm
LAHAD DATU: Dua lelaki ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 10.35 gram dalam operasi dijalankan polis Jalan Kuburan Cina, Jalan Lahad Datu–Tungku, di sini, semalam.
Tangkapan dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu kira-kira jam 10.50 pagi ketika menjalankan Op Tapis di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan ke atas salah seorang suspek menemukan satu sampul surat mengandungi dadah disyaki syabu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap seorang lagi suspek terbabit tidak menemukan sebarang barang salah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,138.50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Dzulbaharin berkata, operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini.
Beliau turut menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi keselamatan masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengarah JIPS PDRM lawat IPD Tawau perkukuh budaya integriti
Januari 29, 2026, Khamis - 1:45pm

SAMBUT: Hamzah (kanan) disambut oleh Jasmin ketika tiba di IPD Tawau.
TAWAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Hamzah Ahmad, pagi tadi.
Kunjungan kira-kira jam 9 pagi itu diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Kontinjen Sabah dan daerah Tawau bagi mengeratkan hubungan profesional serta memperkukuh kerjasama strategik antara JIPS dan pengurusan IPD Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lawatan berkenaan turut membuka ruang perbincangan berkaitan pemantapan integriti, tadbir urus organisasi, pematuhan peraturan serta etika perkhidmatan dalam kalangan warga PDRM.
“Perbincangan ini selaras aspirasi PDRM untuk memastikan perkhidmatan kepolisan terus diperkasakan dengan nilai integriti, profesionalisme dan akauntabiliti tinggi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pematuhan JIPS, Deputi Komisioner Polis Datuk Suryani Sungit; Ketua Penolong Pengarah Siasatan, Perundangan dan Kajian Kes JIPS Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Arifai Tarawe; wakil Urus Setia JIPS Bukit Aman, Asisten Komisioner Wong Ting Lee; Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh serta pegawai kanan, anggota dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Tawau.
Dalam pada itu, Jasmin turut merakamkan penghargaan atas kunjungan berkenaan yang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada warga IPD Tawau untuk terus memperkukuh budaya kerja berintegriti dan mematuhi standard perkhidmatan ditetapkan.
Kunjungan itu turut mencerminkan komitmen berterusan JIPS dalam memastikan aspek integriti dan pematuhan standard sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan tugas kepolisan di semua peringkat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|