|
|
Warga Indonesia dicekup miliki syabu di Maludam
Januari 27, 2026, Selasa - 8:51am
SRI AMAN: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 tahun selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi di tepi jalan Maludam, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kira-kira jam 8.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek telah menjumpai dua plastik kecil lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu serta 13 keratan tiub straw lutsinar pelbagai saiz dengan anggaran berat keseluruhan 5.75 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Dennis, suspek juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Operasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan masalah dadah dapat dibanteras dari semasa ke semasa,” katanya.
Dennis turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Sri Aman di talian 083-322121.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang boleh membawa kepada kehancuran nilai dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga lelaki disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan di Bintangor
Januari 27, 2026, Selasa - 9:23am
BINTANGOR: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 2.50 petang di beberapa lokasi sekitar Bintangor.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 39, 34 dan 28 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bagi siasatan lanjut.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati ketiga-tiga individu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut turut mendapati semua suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tansli menegaskan polis memandang serius kesalahan berkaitan dadah kerana ia memberi kesan buruk terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“IPD Meradong tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah berkenaan.
Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan selepas ragut telefon bimbit bekas isteri
Januari 27, 2026, Selasa - 9:38am
BINTANGOR: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bagi membantu siasatan kes ragut telefon bimbit di kawasan pasar Bintangor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.50 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
Katanya, tangkapan dibuat di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Teo Kin Ngo selepas polis menerima laporan mengenai kejadian ragut membabitkan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12.
“Dalam kejadian itu, pengadu yang merupakan bekas isteri suspek mendakwa telefon bimbit miliknya telah diragut oleh suspek yang menaiki sebuah motosikal ketika berada di pasar Bintangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tansli berkata, bertindak atas maklumat pengadu yang ternampak suspek memegang telefon berkenaan di sebuah kedai telefon, polis berjaya mengesan dan menahan lelaki terbabit.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas semula sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 yang disahkan milik pengadu, dengan anggaran nilai sekitar RM1,100,” jelasnya.
Tansli berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek meragut telefon berkenaan kerana cemburu dan ingin membuka peranti itu untuk mendapatkan bukti kononnya bekas isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Beliau menambah, saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 356 Kanun Keseksaan kerana melakukan ragut.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
comel jugak orgnya
tapi tu la mira x kenal nama
tapi suka je tgk
kalau cite best
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
owh senang la kalau beli tiket sendiri
compy asben mira terus beli sendiri
derang bg tarikh je kena ada sana
cmne nak beli tiket mira sekali kan
tu harga mencanak bila nak beli
mira kalau buat kerja ya badan sakit2
tapi kalau travel
sihat waalafiat 
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
duk bilik pn x pe
asal duk kat hotel
kalau mira la 
semenjak dua menjak ni
asik nak duk hotel je
pasal dh x tahu nak buat apa duk rumah
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Banjir: 37 mangsa masih berlindung di Samarahan
Januari 27, 2026, Selasa - 9:44am

KUCHING: Sebanyak 37 mangsa banjir daripada sembilan keluarga dari Kampung Serunyuk masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak, setakat pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di PPS Bangunan Masjid Lama, Kampung Seruyuk di Bahagian Samarahan yang dibuka semalam.
“Jumlah mangsa banjir terkini menunjukkan peningkatan sedikit, berbanding 25 mangsa daripada lapan keluarga semalam,” menurut kenyataan itu.
Banjir kali ini ialah gelombang kedua yang melanda Sarawak, selepas situasi sebelum ini pulih sepenuhnya pada 17 Januari lepas.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
12 motosikal disita, 34 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan di Miri
Januari 27, 2026, Selasa - 10:31am

Sebahagian daripada motosikal yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut.
MIRI: Sebanyak 12 buah motosikal disita manakala 34 saman trafik dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, awal pagi Sabtu lalu.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu telah berlangsung dari jam 11 malam, pada 24 Januari sehingga 3 pagi keesokannya, meliputi kawasan Tanjong Lobang, Piasau, Marina, Tudan serta Jalan Miri-Bypass.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, seramai 18 lelaki bersama 15 buah motosikal telah diperiksa sepanjang operasi berlangsung.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan, sekali gus membawa kepada pengeluaran 34 keping saman PDRM (K) 257.
“Sebanyak 12 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Miri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal supaya menunggang secara berhemah dan berhati-hati, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, tidak mengubah suai struktur asal kenderaan serta mengelakkan perbuatan berkumpul di tepi jalan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan bunyi bising.
“Saya ingin mengingatkan ibu bapa, pemilik atau penjaga juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sekiranya membenarkan individu menunggang atau memandu tanpa lesen memandu yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BBP Lutong bantu tangkap ular di bengkel kereta
Januari 27, 2026, Selasa - 10:46am

Seekor ular yang ditemui masuk ke sebuah bengkel kereta di Senadin berjaya ditangkap oleh anggota bomba.
MIRI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong berjaya menangkap seekor ular yang ditemui di sebuah bengkel kereta di kawasan Senadin pada pagi Isnin.
Menurut Ketua BBP Lutong Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh sembilan kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi sekitar jam 9.05 pagi, pasukan keluaran operasi mendapati terdapat seekor ular bunga berada di dalam bengkel berkenaan,” katanya.
Komander operasi bertindak menjalankan penilaian awal sebelum menangkap ular tersebut menggunakan penjerut ular dan operasi berjaya diselesaikan sepenuhnya tanpa sebarang insiden.
Operasi tamat pada jam 9.15 pagi dan pasukan bomba bertolak pulang ke balai seminit kemudian setelah memastikan keadaan selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
APM musnahkan sarang tebuan tanah selepas kanak-kanak disengat
Januari 27, 2026, Selasa - 11:09am

Anggota APM menunjukkan sarang tebuan tanah yang berjaya dimusnahkan dalam kejadian di Rumah Dorista, Sungai Nunuk, Kerap, Beluru, pada malam Ahad.
MIRI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak pantas memusnahkan sarang tebuan tanah selepas seorang kanak-kanak dilaporkan disengat dalam kejadian di Rumah Dorista, Sungai Nunuk, Kerap di Beluru pada Ahad.
Menurut Pegawai APM Daerah Marudi Mirwan Shah Masri, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Beluru menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8.37 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi Memusnah Sarang Serangga (MSS).
Pasukan operasi tiba di lokasi kira-kira jam 9.15 malam, melibatkan jarak perjalanan sekitar 20 kilometer dari PKOD Beluru.
“Sebaik tiba, anggota kami dimaklumkan bahawa cucu pengadu telah disengat pada bahagian pipi dan telah dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala sarang tebuan tanah tersebut dikenal pasti berada di celah dinding rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Seorang anggota APM lengkap berpakaian PPE menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan yang terdapat di celah dinding sebuah rumah penduduk di Rumah Dorista, Sungai Nunuk, Kerap di Beluru pada malam Ahad.
Susulan itu katanya, pasukan operasi terus bertindak memusnahkan sarang tersebut menggunakan teknik semburan racun serangga.
Tambahnya, sarang tebuan tanah yang dianggarkan sebesar satu tapak tangan orang dewasa berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Operasi melibatkan lima anggota APM yang diketuai oleh Prebet (PA) Gadieng Issau tamat sepenuhnya pada jam 9.45 malam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Serian hulur sumbangan kebajikan kepada ahli
Januari 27, 2026, Selasa - 2:30pm

Sanum (lima kiri) menyerahkan sumbangan kebajikan kepada Lugeng di Serian, semalam.
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak atau lebih dikenali sebagai Terabai Menua TM Serian telah menghulurkan sumbangan kebajikan kepada ahlinya Tommy Lugeng dalam kunjungan prihatin ke Kampung Semada Jirok, Serian pada Ahad.
Sumbangan tersebut diberikan susulan keadaan ayah Tommy, Lugeng Nyungan yang baru sahaja menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak selepas diserang penyakit angin ahmar baru-baru ini.
Penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan Pengerusi Sanum Murih sebagai tanda keprihatinan persatuan terhadap nasib keluarga berkenaan yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Menurut Sanum, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan sedikit beban kewangan serta memberi sokongan moral kepada keluarga tersebut dalam menghadapi situasi sukar.
"Persatuan turut mendoakan agar Lugeng diberikan kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala," katanya.
Dalam pada itu, persatuan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan lawatan kebajikan berkenaan serta menyumbang tenaga dan masa dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lancar.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan persatuan dalam membantu golongan yang memerlukan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hari ketiga Startup54 tamat, enam pasukan bentang idea akhir di Kuching
Januari 27, 2026, Selasa - 2:53pm

Para peserta merakam kenangan bersama para kenamaan yang hadir semalam.
KUCHING: Program Startup54 Kuching melabuhkan tirainya semalam selepas 54 jam penuh kolaboratif, pembelajaran intensif dan sesi pitching, apabila enam pasukan peserta membentangkan pembentangan akhir masing-masing di hadapan barisan juri.
Hari terakhir program berkenaan menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pihak TEGAS menyaksikan kemuncak usaha peserta yang telah melalui pelbagai sesi bimbingan, pembangunan idea serta pengukuhan model perniagaan sepanjang penganjuran Startup54.
Program berprestij ini turut diserikan dengan kunjungan delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Rektor UiTM Profesor Dr Firdaus Abdullah bersama Dr Nurul Lizzan Kamarudin dan Dr Malvern Abdullah.
Lawatan tersebut bertujuan meneroka potensi kerjasama strategik dan perkongsian pintar antara institusi akademik dan ekosistem startup.
Menurut penganjur, penglibatan UiTM mencerminkan komitmen kukuh ke arah memperkasakan kerjasama akademia dan industri startup, khususnya melalui jaringan bersama TEGAS dan Growth Charger dalam membangunkan bakat serta inovasi tempatan.
Dengan berakhirnya Startup54 Kuching, penganjur menegaskan bahawa walaupun 54 jam telah selesai, perjalanan sebenar para startup peserta baru sahaja bermula, selari dengan aspirasi untuk melahirkan lebih banyak usahawan inovatif di Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis tahan dua lelaki dalam operasi antidadah di Sri Aman
Januari 27, 2026, Selasa - 3:09pm

SRI AMAN: Polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam (gambar) berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman pada jam lebih kurang 8.45 pagi.
Menurutnya, hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah seksyen yang sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat.
“Hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang,” tegasnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Sri Aman di talian 083-322121.
Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan keharmonian serta nilai dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Buruh miliki tiga rekod jenayah dadah diberkas bersama syabu
Januari 27, 2026, Selasa - 3:29pm
LAWAS: Seorang buruh yang mempunyai tiga rekod jenayah dadah diberkas berserta syabu seberat 30 gram (g) yang dirampas dalam operasi di Jalan Sundar di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek, 41, cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan setelah disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi jam 4.40 petang itu.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, kita telah merampas satu beg silang yang mengandungi 18 peket plastik dan dua keratan tiub penyedut minuman berisi kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 30g bernilai RM6,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai tiga kes berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Beliau menjelaskan, seorang lagi buruh dicekup dalam operasi berasingan tepi Jalan Trusan pada jam 12.30 tengah hari.
“Pemeriksaan badan tiada menjumpai apa-apa barang salah atau dadah, namun hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya lagi.
Jelasnya, semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen15(1)(a)ADB 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Stesen janakuasa baharu Labuan bakal perkukuh bekalan tenaga, tingkat keyakinan pelabur
Januari 27, 2026, Selasa - 3:38pm

Fadillah (tengah) bergambar bersama tetamu ketika hadir bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 120MW di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.-Gambar BERNAMA
LABUAN: Projek stesen janakuasa Rancha yang bakal dibina di sini dijangka dapat mengukuhkan lagi jaminan bekalan kuasa Labuan, menyelesaikan isu gangguan elektrik yang berlarutan dan meningkatkan daya tarikan pulau itu sebagai destinasi pelaburan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Fadillah Yusof berkata projek janakuasa dengan kapasiti 120 megawatt itu mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keterjaminan tenaga, kebolehpercayaan sistem dan kemampanan jangka panjang bagi wilayah strategik seperti Labuan.
“Projek ini bukan sekadar simbolik permulaan pembangunan janakuasa, tetapi juga manifestasi komitmen kerajaan untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil, cekap dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Janakuasa Rancha di Zon Perindustrian Rancha-Rancha di sini, hari ini.
Rancha Power Sdn Bhd, yang meneraju projek janakuasa tersebut merupakan usaha sama strategik antara PG Energia Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Gas Bhd, SEC Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, dan Sustainable Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pembinaan tersebut dijadualkan bermula pada Februari tahun ini, dengan operasi komersial disasarkan bermula pada 1 Januari 2028.
Fadillah berkata sebagai pusat kewangan antarabangsa dan hab perniagaan luar pesisir strategik, bekalan kuasa yang mencukupi dan cekap merupakan prasyarat penting bagi Labuan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi.
“Tanpa bekalan kuasa yang stabil dan terjamin, agenda ekonomi, sama ada dalam pembangunan kewangan, industri atau sosial, tidak dapat direalisasikan secara mampan. Projek ini akan memberi jaminan kepada pelabur dan membuka ruang untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Labuan,” katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja siap, stesen janakuasa baharu itu akan memperkukuh kapasiti operasi SESB, yang kini berfungsi sebagai pengendali bekalan elektrik untuk Labuan.
Fadillah berkata stesen janakuasa Rancha merupakan sebahagian daripada strategi peralihan tenaga kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), yang berlandaskan tiga tonggak utama -- keterjaminan bekalan, kelestarian alam sekitar dan kemampuan pengguna -- sambil menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.
Beliau berkata dalam usaha Malaysia menuju ke arah penyahkarbonan, sumber tenaga konvensional yang lebih bersih dan cekap seperti gas asli dan loji kecekapan tinggi terus memainkan peranan penting ketika penyepaduan tenaga boleh baharu diperluas secara berterusan.
Dalam hal ini, katanya, stesen Janakuasa Rancha harus dilihat sebagai infrastruktur peralihan kritikal yang memastikan kebolehpercayaan sistem di samping mengukuhkan lagi penyepaduan tenaga boleh baharu pada masa depan.
Menurutnya, usaha untuk mengukuhkan infrastruktur tenaga Labuan itu juga sejajar dengan agenda tenaga serantau Malaysia, termasuk inisiatif Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan daya tahan tenaga serantau.
“Dengan lokasi strategiknya, Labuan berpotensi memainkan peranan penting sebagai nod tenaga dan logistik dalam ekosistem tenaga serantau. Pengukuhan infrastruktur kuasanya menyokong objektif negara dan serantau,” katanya.
Fadillah berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan terus memastikan semua projek tenaga dilaksanakan secara berstruktur dan berfasa, disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan, kawal selia dan alam sekitar.
Menurutnya, dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa Labuan dan kerjasama erat antara pemegang taruh, beliau yakin projek janakuasa itu akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh sistem tenaga Labuan dan seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|