Kuantan: Rentak cemerlang terus dilakar pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Bawah 12 tahun apabila mencatat kemenangan selesa 12-0 ke atas Apuesto Bueno pada saingan Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.
Semalam skuad bimbingan jurulatih, Hafiz Zainal berjaya menundukkan skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) B 4-1.
Menurut Hafiz, persembahan bertenaga dipamerkan barisan pemain muda JDT menjadi kelebihan kepada kita untuk mampu mencatat dua kemenangan selesa dengan jumlah jaringan yang besar.
Katanya, pada perlawanan dengan wakil Filipina hari ini, walaupun beraksi dalam cuaca panas namun pemain tetap mampu memberi persembahan yang terbaik dan membanggakan.
"Saya berpuas hati dengan prestasi dan kesungguhan dipamerkan pemain, mereka telah membuktikan kebolehan dimiliki walaupun berhadapan dengan pasukan luar negara. Mereka dilihat tidak terlalu tertekan pada dua perlawanan dilalui.
"Keputusan cemerlang pada dua perlawanan yang dilalui dapat diteruskan pada saingan selepas ini bagi membuka peluang melangkah kepentas akhir," katanya, di sini.
JDT yang berada dalam kumpulan B kini mengumpul enam mata dan akan berhadapan pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) D, esok bagi penentuan ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, Ketua Cawangan Program Khas, Majlis Sukan Negara (MSN), Shukri Harun berkata kejohanan Piala Supermokh 2023 memasuki musim ke tujuh penganjuran dengan sambutan yang begitu menggalakkan daripada pasukan tempatan dan antarabangsa.
Katanya, kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa ini dikelolakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita bagi kategori 12,13 dan 14 tahun.
"Kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 24 pasukan tempatan dan antarabangsa bersaing, kehadiran sembilan pasukan antarabangsa dari Indonesia Thailand, Filipina, China, Jepun, Slovakia, Croatia, Poland dan Hong Kong memeriahkan kejohanan.
"Sebanyak 10 pasukan tempatan dan 14 pasukan antarabangsa berentak selama lima hari, seramai 416 pemain dan 96 pegawai pasukan terbabit," katanya
Disiarkan pada: Oktober 11, 2023 @ 2:49pm
|