|
Dollah dapat 'barisan impian'
DOLLAH Salleh tidak menyembunyikan hakikat betapa Selangor mampu meraih sekurang-kurangnya satu trofi utama dalam kancah bola sepak Liga Malaysia, musim ini.
Firasat jurulatih skuad Merah Kuning itu berpandu kepada hakikat bahawa barisan dihimpun kali ini jauh lebih mantap jika mahu dibandingkan dengan skuad 2005 yang gah menjuarai gelaran hatrik.
Andai ia benar bererti tiada ruang untuk Dollah tidak mampu mencabar kejuaraan utama musim ini, tambahan hakikat itu diakui sendiri bekas penyerang kebangsaan yang tersohor itu.
"Memang kali ini saya mempunyai barisan pemain yang lebih mantap daripada musim lalu, jika dilihat kepada pemain musim ini saya yakin kami mampu menang satu atau dua piala musim ini.
"Jika ada bahagian yang merisaukan saya ialah bahagian tengah, kami kekurangan pemain tengah tetapi terdapat pemain lain seperti pemain pertahanan, Razman Roslan yang juga mampu bermain di bahagian tengah.
"Namun, saya akan hanya menurunkan pemain yang berada di tahap terbaik dalam kesebelasan utama, dan tidak kira sama ada dia pemain import atau tempatan," kata Dollah, baru-baru ini.
Tumpuan pengendali itu harus terarah kepada enam muka baru yang akan menguatkan skuad Selangor musim ini, iaitu pemain sayap kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, penyerang Perak, R Surendran, penjaga gol TMFC, Mohd Suffian Abdul Rahman serta tiga pemain import, Elie Aiboi, Charis Yulianto (Indonesia) dan penyerang Cameroon, Patrick Suffo.
Ketika khidmat Elie dan Suffo kelihatan hampir pasti dapat digunakan Selangor, Charis difahamkan masih menanti pelepasan daripada kelabnya, Srivijaya FC dan pemain kebangsaan Indonesia itu kini adalah antara pemain pertahanan yang menjadi buruan banyak kelab di Indonesia.
Kehadirannya amat penting bagi menguatkan benteng Selangor, yang rata-rata masih dibarisi pemain muda musim lalu seperti Nasriq Bahrom, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Zaiza Zainal Abidin.
"Charis ialah seorang pemain pertahanan yang memiliki fizikal yang baik, kehadirannya pasti dapat membantu kami. Tetapi sekarang ini kita terpaksa menunggu sehingga dia mendapat pelepasan daripada kelabnya dulu," kata Dollah.
SKUAD SELANGOR
Penjaga gol: Megat Amir Faisal Ibrahim, Mohd Suffian Abdul Rahman
Pertahanan: Zaiza Zainal Abidin, Razman Roslan, Fadzirul Zakaria, Nasriq Bahrom, Abdul Ghani Abdul Rahman, P Gunalan
Tengah: Shukor Adan, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar, Fazilidin Khalid, Fadzli Shaari, Mohd Amri Yahyah, Amirul Hadi Zainal, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Fadzli Saari, D Surendran, Wan Mohd Hoesne Wan Hussein, Elie Aiboi, Serangan: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, R Surendran, S Sritharan. |
|