|
Kerajaan diminta tubuh Universiti Felda
MARAN 11 Julai - Kerajaan diminta menubuhkan Universiti Felda bagi tujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah mencetuskan idea melahirkan agensi seumpama itu di negara ini.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib berpendapat, telah sampai masanya kerajaan memikirkan terhadap langkah penubuhan universiti tersebut memandangkan kemampuan agensi itu untuk memiliki sendiri institusi pengajian tinggi mereka.
''Saya telah mengemukakan saranan untuk menubuhkan Universiti Felda termasuk mewujudkan semula Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) di Pahang dalam sesi persidangan Dewan Rakyat, Isnin lepas.
''Saranan itu telah mendapat sokongan daripada wakil rakyat khususnya Ahli Parlimen Pahang sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika di sini hari ini.
Ismail yang juga Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, pengorbanan Pahang menyerahkan tanah seluas kira-kira 187,645 hektar untuk menjayakan skim Felda juga sewajarnya dihargai menerusi pembinaan universiti itu.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Pahang, Datuk Abdullah Abu Bakar, 46, turut menggesa kerajaan memberikan pertimbangan serius berkaitan cadangan tersebut yang dilihat amat relevan dengan perkembangan dunia pendidikan sejagat.
Katanya, kemampuan Felda dari segi modal dan sumbangan tanah tidak harus dipertikaikan lagi memandangkan agensi tersebut ketika ini semakin berkembang maju.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Bera, Mat Jidi Yaakob, 50, pula yakin Universiti Felda akan menjadi kenyataan berikutan komitmen tinggi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Serti Najib Tun Razak yang sentiasa mahu membawa kemajuan kepada warga Felda.
''Felda telah berjaya melahirkan ramai golongan profesional seperti jurutera, doktor, guru, profesor dan lain-lain lagi yang mana mereka ini saya percaya dapat menyumbang amal bakti sebagai tenaga pengajar di universiti itu nanti," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
MERIAH...

MD. Sohaimi Mohamed Shah (tengah) dan ADUN Panching, Zaili Besar (kanan) menggunakan marker paintball yang menjadi tarikan utama pada sambutan Pesta Sungai Lembing, Kuantan, baru-baru ini.
Karnival Sungai Lembing yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik ribuan pengunjung untuk menyaksikan pelbagai acara yang disediakan pihak penganjur.
Antara aktiviti tersebut ialah larian jambatan gantung Sungai Lembing, pertandingan melukis kanak-kanak, persembahan tarian tradisional, pameran kereta mini klasik, gotong-royong, acara cabutan bertuah, jualan pelbagai jenis makanan dan lain-lain lagi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah, karnival itu antara lain bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan Sungai Lembing sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di Pahang.
Berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima katanya, karnival seumpama itu diharap dapat dijadikan acara tahunan. |
|
|
|
|
|
|
|
Penerima bantuan kemiskinan hadiri seminar
KUANTAN Seramai 92 penerima bantuan Program Pembasmian Ke- miskinan Bandar (PPKB) di sini mengikuti seminar motivasi anju- ran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang menambah pendapatan.Program yang dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kemiskinan Bandar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Rohani Omar itu diadakan di Duta Village Resort di sini kelmarin.
Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, program itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada golongan miskin tegar bahawa mereka juga boleh mencari sumber pendapatan melalui pelbagai aktiviti keusahawanan.
''Dengan program ini, kita mendedahkan mereka dengan peluang- peluang yang ada di sekeliling mereka sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Haslinda berkata, golongan miskin tegar di bandar ini berpeluang menambah pendapatan melalui modul-modul yang disediakan para penceramah jemputan.
Selain itu, menurutnya, perkembangan ekonomi peserta yang terlibat juga akan dipantau bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan seterusnya keluar daripada kelompok kemiskinan.
''Kita berharap seminar ini akan dapat membantu mereka mengubah kehidupan ke arah yang lebih positif," ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Polis rampas dadah, kereta pengedar
TEMERLOH 11 Julai - Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah dan wang tunai daripada seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam satu operasi cegah jenayah di Kampung Baru, Mentakab pada 9 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohammed berkata, pihaknya yakin, penahanan lelaki yang bekerja sebagai juru elektrik dan berusia 29 tahun itu dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar bandar Mentakab dan Temerloh.
Katanya, dadah yang dirampas ialah eramin 5 (93 biji), pil khayal (18 biji), syabu (25 keratan tiub), wang tunai RM1,628, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Kancil.
''Nilai pasaran dadah tersebut ialah RM4,400 dan jumlah keseluruhan termasuk kereta suspek yang dirampas berjumlah kira-kira RM21,000.
''Suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini. |
|
|
|
|
|
|
|
Seni Tenun Pahang
Oleh ROSMAWATI MION

Ringkas namun memikat menjadi teras karya Tom Abang Saufi ini.
TENUNAN adalah proses mencantum atau menyilang benang-benang menjadi kain yang kemudiannya dikenali sebagai kain tenun. Proses pembuatannya dengan jalinan dan sulaman benang adalah satu seni yang indah dan halus membuatkan kain tenun yang dihasilkan cukup eksklusif serta bermutu tinggi.
Kain tenun dahulunya hanya digayakan golongan istana, bangsawan dan ternama di sesebuah negeri. Kini, biar masih dipandang sebagai satu fabrik mewah, kain tenun turut dipakai orang kebanyakan, malah ia sebenarnya memikat hati semua golongan.
Dalam deretan kain tenun, seni tenunan Pahang antara yang diminati. Pahang Darul Makmur sebenarnya mempunyai pelbagai gelaran sebelum ini dan gelaran tua bagi negeri Pahang ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura.
Keindahan kain tenun Pahang membuatkan ia menjadi busana buat anak-anak raja, golongan istana, bangsawan dan kini tersebar kepada rakyat jelata untuk dijadikan samping serta pakaian tradisional.
Seni tenunan Pahang yang merupakan seni kraftangan tertua di negeri itu dikatakan telah dibawa masuk ke Pahang dalam abad ke-16 Masihi.
Tenunan tersebut dipercayai berasal dari Tanah Bugis dan telah diperkenalkan oleh seorang pembesar Bugis iaitu Keraing Aji.
Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Tuan kemudiannya bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang sekitar tahun 1722. Kedatangan Tok Tuan ke negeri itu juga dikatakan telah membaiki kemahiran menenun sutera kepada penduduk Pahang khususnya bagi masyarakat di daerah Pekan.
Seni kraftangan tersebut telah merebak ke daerah lain termasuk Pulau Keladi, Benta, Jambu dan Mukim Langgar. Bagaimanapun, aktiviti tenunan terhenti semasa Perang Dunia Kedua kerana masalah kesukaran mendapatkan bekalan benang.
Aktiviti itu kemudiannya disambung semula pada tahun 1948 dengan diusahakan oleh M.J.T. Macann, yang ketika itu adalah Pegawai Daerah Pekan melalui kerjasama Menteri Besar Pahang, Datuk Mahmud Mat.
Bagi memastikan seni kraftangan Pahang tidak lupus, kerajaan Pahang terus mengambil inisiatif menghidupkan perusahaan itu pada tahun 1949 hingga 1960-an. Kegiatan itu seterusnya telah diambil alih oleh Rural and Industrial Development Authority (RIDA) pada tahun 1963.
Hasilnya kini, pusat tenunan terus berkembang luas. Selain terdapat di Pulau Keladi, Inderapura, Kampung Ketapang dan Temai Hilir di Pekan, ia juga diperluaskan hingga di Kampung Soi, Kuantan, Felda Chini, Felcra Kampung Baru Salong, Felcra Sri Mahmur dan Kampung Parit Raja, Rompin.
Gemilang Seni Tenun Pahang Diraja
Kain tenun Pahang yang merupakan industri tradisional kepada penduduk Pahang itu mempunyai 27 reka corak iaitu corak tradisional dan corak moden.
Corak tradisional antaranya Jalur Melintang, Batang Pinang, Biji Peria, corak Melintang di Tengah, Bunga Cengkih, corak Pahang, Selumbar Nibong, Tubok Sekampung dan corak Usek.
Manakala reka corak zaman sekarang adalah corak Tengku Ampuan, Tok Muda, Orang Kenamaan, Datuk Bandar, corak Datuk Mahmud, Tun Razak, corak Beranak, Tapak Catur, Mengiring, Belah Buluh dan corak Seluang Mudik.
Andai dulu, kain tenun Pahang hadir hanya dalam gaya potongan klasik tidak kira kurung mahupun kebaya, tetapi kini, keindahannya telah cuba dipelbagaikan dalam rekaan moden dalam usaha memperkenalkan tekstil klasik itu ke mata dunia, selain menggegarkan industri fesyen antarabangsa dengan rekaan memukau berpaksikan tenun Pahang.
Bagi memulakan langkah memartabatkan tenun Pahang, baru-baru ini diketengahkan Malam Tenun Pahang Diraja dengan menampilkan gaya terkini tenun Pahang dalam sentuhan moden dan tradisional yang diluahkan lima pereka terkenal tempatan.
Antara pereka yang menonjolkan rekaan adalah Datuk Bernard Chandran, Datuk Tom Abang Saufi, Datin Sharifah Kirana Syed Ghazali dan dua pereka dari kraftangan Malaysia, Nazari Maarus dan Rodziah Mohd. Yusoff.
Sebanyak 92 rekaan menawan dan memukau mata telah diketengahkan pada majlis itu yang dianjurkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama agensi di bawahnya, Kraftangan Malaysia.
Malam Tenun Pahang Diraja telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut ingin melihat tenun Pahang berkembang setaraf dengan batik dan songket dalam pembangunan industri tekstil negara.
Bagi Najib, tenun Pahang mempunyai keunikan tersendiri yang melambangkan keunikan budaya, adat resam dan kehidupan sesuatu masyarakat. Keindahan dan keunikan itu juga membolehkan ia diketengahkan setanding dengan songket dan batik.
Turut hadir, Tengku Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Pengerusi Pembangunan Tenun Pahang Diraja; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja; Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Penganjuran malam yang cukup bermakna itu adalah sebagai satu usaha bagi mengetengahkan keindahan tenun Pahang Diraja sebagai tekstil fesyen pakaian dengan rekaan tradisional, moden dan kontemporari etnik hingga kepada koleksi semi formal, pakaian malam dan fesyen Muslimah.
Ia juga diadakan bagi meningkatkan minat penggunaan tenun dalam gaya hidup masa kini serta membudayakan masyarakat tempatan agar menggunakan kraf tekstil tenunan.
Pada malam itu, memulakan peragaan, hadiran dipertontonkan dengan rekaan Nazari buat lelaki dan wanita dalam gaya kasual, malam dan klasik melalui tarikan rona-rona memukau antaranya ungu, biru lembut, merah hati dan hijau.
Seterusnya mata terpesona pula dengan rekaan inspirasi Tom Abang Saufi menerusi percikan warna-warna coklat keemasan dan jingga dalam gaya moden yang ringkas namun memikat.
Gaya tradisional kontemporari pilihan Sharifah Kirana dengan kain tenun berona lembut dan serinya ditonjolkan melalui sulaman manik dan jemeki yang merupakan intipati rekaan pereka ini.
Manakala Rodziah tampil rekaan moden dan kontemporari dalam pelbagai gaya termasuk fesyen Muslimah.
Dan Bernard menutup tirai dengan membawa penonton ke Hollywood dalam era 50-an. Gaya lama dalam sentuhan moden dengan skirt kembang dan gaun pendek dengan perincian mengelembung di bahagian atas baju cukup mempesona. |
|
|
|
|
|
|
|
Maran popular sebagai Bandar Ayam Kampung
MARAN 12 Julai - Usaha kerajaan negeri mempromosikan Maran sebagai Bandar Ayam Kampung baru-baru ini menunjukkan kesan positif berikutan meningkatnya minat orang ramai untuk menikmati menu istimewa itu di daerah ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, keghairahan orang ramai itu memberi peluang kepada para pengusaha restoran meningkatkan perniagaan masing-masing.
Pada masa sama, beliau melahirkan kekesalan kerana usaha tersebut tidak mendapat kerjasama yang baik daripada segelintir pengusaha restoran sendiri.
''Ada pelanggan dari dalam dan luar daerah ini mengadu yang mereka gagal untuk menikmati masakan ayam kampung kerana restoran-restoran di sini masih tidak menyediakan menu itu.
''Hal yang demikian boleh menjejaskan kepercayaan dan harapan orang ramai yang ingin melihat Maran sebagai Bandar Ayam Kampung yang popular," katanya.
Tan Mohd. Aminuddin berucap pada majlis penyerahan kunci premis perniagaan kepada Pergerakan Wanita UMNO dan Puteri UMNO Maran di sini semalam.
Tegasnya, usaha mempromosikan Maran sebagai Bandar Ayam Kampung perlu mendapat sokongan padu penduduk dan juga pengusaha kedai makanan dengan menyediakan pelbagai jenis menu enak berasaskan ayam kampung.
Tambah beliau, kejayaan Temerloh yang terkenal dengan jolokan sebagai Bandar Ikan Patin harus diteladani kerana berjaya menarik pengunjung daripada seluruh negara.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran mahu penternak ayam kampung dan pengusaha restoran bekerjasama bagi menjamin bekalan ayam tidak terputus.
''Pengusaha restoran perlu proaktif untuk mencari bekalan ayam kampung dari penternak tradisional di kampung bagi menjamin bekalan," ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tukun tiruan hasilkan 2 juta tan metrik ikan
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

Tukun tiruan tetrapod seberat lapan tan dilepaskan ke perairan Kuantan, semalam.
KUANTAN 12 Julai - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta untuk melaksanakan program tukun tiruan konkrit di seluruh negara dalam usaha mencapai sasaran pengeluaran ikan kepada dua juta tan metrik setahun.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, kaedah tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pembiakan ikan malah mampu menghalang pencerobohan bot-bot nelayan pukat tunda yang sering berlaku kebelakangan ini.
''Untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, kita telah diperuntukkan sebanyak RM9.4 juta bagi melaksanakan program tukun tiruan ini di seluruh negara.
''Objektif kita mahu merealisasikan sasaran pengeluaran ikan negara sehingga dua juta tan metrik setahun melalui peningkatan daripada segi sumbangan perikanan laut dalam (500,000 tan metrik), akuakultur (600,000 tan metrik) dan mengekalkan sumbangan perikanan laut pantai iaitu 900,000 tan metrik," katanya.
Junaidi berkata demikian selepas melancarkan Program Tukun Tiruan Tetrapod (tukun tiruan konkrit berkaki tiga) di dewan orang ramai Cherok Paloh, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Pembangunan Keluarga negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Inderapura, Shafik Fauzan Sharif.
Menurut Junaidi lagi, kelebihan tukun tiruan konkrit ialah ia bukan sahaja menggalakkan pembiakan ikan tetapi juga sesuai untuk dijadikan tempat hidupan pelbagai batu karang.
Sementara itu, ditanya tentang kegiatan pencerobohan bot-bot nelayan pukat tunda, katanya, pihak jabatan menerima kira-kira 1,000 kes di seluruh negara setiap tahun.
''Dalam masa sama juga berlaku pencerobohan oleh bot pukat tunda nelayan asing. Enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 30 kes telah dilaporkan," kata Junaidi.
Beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan tersebut berkembang berikutan penyalahgunaan kuasa di kalangan para penguat kuasa yang ditugaskan memantau.
Bagi menangani fenomena tersebut katanya, setiap penguat kuasa yang bertugas, akan melalui proses pertukaran ke tempat baru dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, penggunaan tukun tiruan konkrit sebagai satu kaedah untuk memulihara sumber perikanan dan habitat marin, telah terbukti keberkesanannya.
''Di Malaysia pelaksanaan projek tukun tiruan secara rasmi oleh Jabatan Perikanan bermula sejak 1975 di perairan Pulau Telur, Yan, Kedah seterusnya dikembangkan ke kawasan lain di pantai timur Semenanjung, perairan Sarawak dan Sabah," katanya.
Bagaimanapun katanya, reka bentuk tukun tiruan yang diletakkan tersebut adalah berbeza, bergantung kepada keadaan permukaan dasar laut di satu-satu kawasan.
''Contohnya perairan pantai timur seperti di sini (Cherok Paloh), dasar lautnya berpasir, kajian kita mendapati lebih sesuai menggunakan tukun tetrapod untuk mengelakkannya daripada hilang kerana tenggelam atau musnah akibat aktiviti ombak,'' katanya.
Di Pahang Junaidi berkata, selain di Cherok Paloh, tukun tiruan dari bentuk yang sama juga telah diletakkan di Sungai Miang, perairan Cherating dan perairan Rompin.
''Adalah diharapkan dengan adanya tukun ini, nelayan mendapat faedah secara langsung dan dalam masa sama dapat meningkatkan pendapatan nelayan setempat terutamanya di kalangan nelayan tradisi,'' ujar beliau.
Sehingga kini kata Junaidi, 40 buah negara meliputi enam benua telah mempraktikkan teknologi tukun tiruan untuk pelbagai kegunaan industri perikanan, pemuliharaan dan pengurusan sumber, pelepasan anak-anak ikan serta kawasan rekreasi pemancing. |
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk tertekan 'berjiran' dengan burung
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

Bangunan kedai dan pangsapuri turut diubah suai untuk dijadikan rumah burung layang-layang di Bandar Kuantan.
- Gambar MAHATHIR ALI
KUANTAN 13 Julai - Penduduk sekitar bandar ini kecewa dengan sikap pihak berkuasa tempatan yang seolah-olah 'menutup mata' dan membiarkan banyak bangunan termasuk premis kediaman digunakan sebagai tempat ternakan burung layang-layang.
Rata-rata mereka mahu tindakan segera diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu demi memelihara imej Kuantan sebagai 'Bandar Lestari'.
Mereka mendakwa, aktiviti menternak haiwan tersebut jika tidak dikawal, bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah turut menjejaskan kesihatan penduduk.
Tindakan pihak-pihak tertentu menjadikan ruang-ruang bangunan di bandar ini sebagai pusat ternakan burung layang-layang juga menimbulkan tanda tanya.
Kelemahan pihak penguat kuasa bukan sahaja gagal memelihara imej bandar Kuantan tetapi juga menyebabkan ia dicemari dengan najis burung di merata-rata tempat.
Pekerja swasta, Shahrulnizam Mohamad, 27, berkata, kehadiran pusat ternakan burung layang-layang berhampiran rumahnya menyebabkan bunyi bising keterlaluan.
Keadaan itu jika tidak dikawal katanya, boleh menyebabkan tumpuan kerja-kerja hariannya terganggu dan menimbulkan tekanan perasaan.
''Bunyi bising burung ini ketara pada waktu pagi dan petang. Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang suri rumah, Chan Mei Lan, 40, memberitahu, dia tiada pilihan selain terpaksa hidup berjiran dengan burung layang-layang sejak lapan tahun lalu.
''Saya pernah cuba bercakap dengan orang yang menternak burung ini supaya pindahkan sahaja ke tempat lain, tetapi dia tidak mempedulikannya," kata Mei Lan.
Ibu kepada empat orang anak ini bimbang keadaan itu jika dibiarkan berterusan akan mendatangkan penyakit memandangkan kawasan tersebut adalah taman perumahan.
Seorang penduduk, Wan Mohd. Izuhar, 23, yang kesal dengan kelemahan penguatkuasaan di negeri ini berkata, sewajarnya pihak berkuasa tempatan bertindak proaktif memastikan kawasan perumahan tidak sewenang-wenangnya dijadikan pusat ternakan burung layang-layang.
''Pihak berkuasa kena tegas mengambil tindakan. Jika tidak sampai bila pun ia akan berterusan," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya menjadikan satu kawasan khusus yang jauh dari penempatan penduduk sebagai lokasi ternakan burung layang-layang.
Seorang lagi penduduk, Zaiton Husin, 52, berkata, masalah yang sering mengganggu diri dan keluarganya ialah bunyi burung daripada pembesar suara yang dipasang 24 jam sehari di pusat ternakan yang terletak berhampiran rumahnya.
''Jiran-jiran lain juga sering merungut kerana tidak sepatutnya ada ternakan burung layang-layang di kawasan tempat tinggal seperti ini," ujarnya.
Tegasnya, tindakan perlu diambil terhadap penternak burung layang-layang itu yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan awam.
Pengusaha restoran, Rohana Yusuf, 40, hairan dengan kewujudan banyak sarang burung di premis-premis di bandar ini kerana Kuantan adalah ibu negeri.
''Imej Kuantan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan turut tercemar dengan najis burung layang-layang akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak yang hanya mementingkan keuntungan," tegasnya.
Pekerja di sebuah kedai elektrik yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 36, mengakui, ruang kaki lima kedainya sentiasa kotor kerana najis burung tersebut.
''Saya sudah penat untuk membersihkan najis burung setiap hari kerana selagi wujud industri ternakan burung layang-layang dalam bandar ini, kekotoran itu tidak akan hilang," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tindakan tegas terhadap penternak degil
KUANTAN 13 Julai - Kerajaan negeri akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap penternak burung layang-layang atau juga dikenali sebagai burung walit yang didapati gagal mematuhi peraturan ternakan haiwan itu berkuat kuasa serta merta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, tindakan tersebut bagi memastikan semua penternak mengambil kira kepentingan orang awam serta kebersihan premis.
Tegasnya, arahan yang mewajibkan penternak burung layang-layang perlu mematuhi kedua-dua syarat tersebut sebenarnya telah dikeluarkan pada tahun 2006.
''Tempoh dua tahun dianggap tepat bagi memastikan penternak melaksanakan kaedah terbaik bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.
''Jika gagal, kompaun RM300 akan dikenakan terhadap penternak yang gagal mematuhi peraturan itu yang dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta," katanya.
Beliau mengulas rungutan penduduk bandar ini yang tidak senang dengan kegiatan penternakan burung layang-layang yang mengganggu ketenteraman awam.
Malah mereka mendakwa aktiviti tersebut turut mencemar imej bandar Kuantan dengan kekotoran najis yang dihasilkan daripada haiwan tersebut.
Menurut Khai Mun, di Pahang, lebih 1,500 premis dikenal pasti digunakan untuk mengusahakan ternakan burung tersebut, termasuk yang diusahakan secara haram.
Berdasarkan peraturan itu katanya, syarat utama penternak ialah mereka diwajibkan menjaga kebersihan di kawasan tempat ternakan dan mengawal bunyi bising burung supaya tidak mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran.
''Sebelum ini, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan masih lagi berkompromi tetapi aduan orang awam yang tidak selesa dengan keadaan itu, menyebabkan kita akan memastikan penternak meningkatkan kualiti pengurusan.
''Bagi memastikan tiada lagi premis ternakan baru dibuka, kita tidak akan meluluskan permohonan baru daripada pengusaha di seluruh negeri ini," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
MCA Pahang alu-alu peralihan kuasa Najib sebagai PM
KUANTAN 13 Julai - MCA Pahang berharap peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual pertengahan 2010 berjalan lancar.
Pengerusinya, Datuk Hoh Khai Mun berkata, semua pihak perlu mengelakkan insiden tidak diingini sepanjang tempoh peralihan demi menjaga imej Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, pada masa yang sama peralihan kuasa yang berjalan lancar itu diharap dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam BN.
''Saya amat berharap peralihan kuasa berjalan lancar kerana selepas pilihan raya umum Mac lalu, semua kelemahan kita orang dah nampak.
''Justeru apabila kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO bersepakat untuk peralihan kuasa, saya yakin keputusan tersebut dapat memperkukuhkan perpaduan dalam BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyeragaman Penggredan Premis Makanan dan Karnival Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini semalam.
Dalam pada itu, Khai Mun berkata, peralihan kuasa itu jika menjadi kenyataan sudah pasti menguntungkan Pahang yang akan mendapat limpahan pembangunan yang lebih rancak.
'Sebagai rakyat Pahang, saya juga harapkan pelantikan beliau akan memberi banyak faedah kepada negeri ini," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 70 peratus keracunan makanan di kantin sekolah
KUANTAN 13 Julai - Sebanyak 20 atau 71.4 peratus daripada 28 kes keracunan makanan yang dikenal pasti Jabatan Kesihatan Pahang tahun ini berlaku di kantin-kantin sekolah.
Pengarahnya, Datuk Rosnah Ismail berkata, statistik sehingga 5 Julai lalu membuktikan kebanyakan pengusaha kantin sekolah kurang mengambil berat soal pengendalian makanan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap 183 buah sekolah di bandar ini mendapati hanya 12 buah sekolah digredkan sebagai A (paling bersih), 42 buah sekolah untuk gred B (bersih), sementara 116 buah sekolah lagi berada pada gred C (memuaskan).
''Semua kantin sekolah ini mendapat markah 70 ke atas, sekiranya gagal mencapai markah itu, pengusaha kantin diberi masa dua minggu untuk memperbaiki dan menaik taraf kebersihan sebelum dibenar beroperasi selepas pemeriksaan semula," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Karnival Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, di sini semalam.
Rosnah berkata, bagi menangani masalah keracunan, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan MTD Prime Sdn. Bhd. melaksanakan program Penggredan Premis Makanan (PPM) di seluruh Pahang.
''PPM bukan sahaja memfokus kepada pengusaha kantin sekolah tetapi juga semua premis makanan di Pahang,'' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Kubur berusia 300 tahun ditemui

PENDUDUK kampung (dari kiri) Mohd. Zain, Tan Leki dan Mohd. Suraini menunjukkan tulang dan rangka manusia yang ditemui di tapak kubur yang dipercayai berusia 300 tahun.
TEMERLOH - Penemuan tapak kubur lama yang dianggarkan berusia 300 tahun di Kampung Kemuning, Lanchang sejak lima hari lalu dijangka mampu merungkai sejarah penempatan terawal kehidupan manusia di negeri Pahang dan mungkin sebelum munculnya zaman kesultanan Pahang lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Penerangan dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, beliau dimaklumkan kubur seluas 2.4 hentar itu berjaya ditemui oleh beberapa pekerja syarikat perladangan ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tanah untuk tanaman sayur-sayuran di kawasan itu.
Difahamkan, kawasan tanah perkuburan itu menjadi tempat persemadian pejuang yang menentang penjajah di Pahang yang dikenali sebagai Tok Uban.
Malah, mengikut apa yang disampaikan oleh beberapa penduduk terdahulu, Kampung Kemuning adalah penempatan awal manusia di negeri ini di mana waktu itu masih belum wujud lagi kesultanan Pahang.
"Penemuan kubur dan tulang manusia yang dianggarkan berusia 300 tahun adalah penting kerana ia boleh membuktikan bahawa kawasan Lanchang kemungkinan menjadi tempat penempatan awal manusia di Negeri Pahang," katanya ketika melawat tapak kubur itu yang terletak berhampiran Ladang Tapak Kekal Makanan (LTKM) dekat sini semalam |
|
|
|
|
|
|
|
Zoo Mini Teruntum dinaik taraf
KUANTAN Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menerima peruntukan RM300,000 untuk menaik taraf Zoo Mini Taman Teruntum di sini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman haiwan itu.Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menambah bilangan haiwan yang akan diperoleh dari Zoo Negara dan Zoo Melaka.
Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan sepasang kanggaru dan banting masing-masing dari Zoo Negara dan Zoo Melaka.
''Kita juga akan menswastakan taman burung di zoo ini kepada sebuah syarikat untuk menyelenggara taman itu supaya lebih menarik,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke zoo mini percuma itu semalam.
Hong Seong memberitahu, selain itu, MPK akan menaik taraf landskap dengan menyediakan air pancuran di kawasan hadapan kandang burung kasawari di zoo mini tersebut.
''Kita juga akan menyediakan kereta api untuk pengunjung mengelilingi zoo mini ini,'' jelasnya.
Setakat ini, katanya, zoo mini seluas empat hektar yang ditubuhkan pada 1982 itu mempunyai 144 ekor binatang terdiri daripada 20 spesies yang kebanyakannya burung.
Beliau menambah, MPK membelanjakan sebanyak RM27,500 sebulan untuk tujuan memberi makan kepada binatang, penyelenggaraan dan gaji kepada 10 pekerja di zoo mini berkenaan.
Hong Seong berkata, sambutan orang ramai terutama penduduk tempatan amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 orang pada setiap hujung minggu.
''Kita akan menggiatkan lagi promosi menerusi media dan sekolah untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke zoo mini ini,'' tambahnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Lombong besi ancam penduduk
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

BANDAR MUADZAM SHAH 18 Julai - Kehidupan kira-kira 1,000 penduduk sekitar Bukit Ibam di sini, terus diancam bahaya apabila kerja melombong bijih besi oleh beberapa pihak yang didakwa menjalankannya tanpa permit yang sah, semakin bermaharajalela.
Rata-rata penduduk yang ditemui mengakui mereka hampir berputus asa untuk memperjuangkan nasib yang dialami kerana sehingga kini tiada tindakan tegas diambil.
Awal tahun lalu, Utusan Malaysia pernah mendedahkan rungutan penduduk terbabit yang mendakwa berhadapan dengan ancaman kesihatan dan keselamatan berikutan kewujudan lombong bijih besi yang terlalu hampir dengan kawasan kediaman mereka.
Lebih menimbulkan persoalan apabila tiada pemantauan pihak berkuasa walaupun lombong tersebut terletak kurang daripada 30 meter dari kediaman penduduk.
Kesannya, ada penduduk yang mengalami batuk-batuk akibat debu selain terpaksa berdepan dengan pencemaran bunyi setiap hari termasuk pada hari Ahad.
Justeru, mereka mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi ke atas status lombong tersebut.
Menurut penduduk, ketika isu lombong itu hangat diperkatakan sedikit masa dulu, semua aktiviti perlombongan dihentikan serta-merta.
Malangnya, dakwa mereka, hanya selepas beberapa bulan, lombong terbabit beroperasi semula.
Menurut seorang penduduk, Ismail Mohamad, 49, kerja melombong tersebut hanya dihentikan sementara waktu tetapi kemudian dijalankan semula dengan membabitkan kawasan yang lebih luas.
''Apa yang berlaku amat mengecewakan kami kerana mereka seolah-olah mempermainkan undang-undang dan perasaan penduduk kawasan ini," katanya.
Sehubungan itu, Ismail mendesak pihak berkuasa terutama Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut kerana ia membabitkan kepentingan awam.
Dia difahamkan operasi perlombongan bijih besi di kawasan sekitar Bukit Ibam melibatkan beberapa syarikat yang berbeza.
Seorang lagi penduduk, Alias Mohd. Zin, 54, pula berkata, masalah yang sama akan berulang semula walaupun beberapa aduan dibuat kepada pihak berkuasa.
''Selepas masalah kami ini didedahkan di surat khabar, ada beberapa pegawai termasuk dari pejabat tanah dan galian datang tetapi setakat itu saja," katanya.
Seorang warga emas, Minah Sulung, 68, berkata, kewujudan lombong terbabit bukan sahaja mengganggu kesihatannya malah kehidupan keluarganya kini tidak lagi tenteram.
''Dengan bunyi enjin mesin melombong dari pagi sampai malam, lori keluar masuk ke kampung ini, hati makcik sentiasa bimbang," katanya.
Lebih membimbangkan ialah kebanyakan pekerja di lombong terbabit terdiri daripada pendatang asing dari Bangladesh dan Myanmar.
Omar Ludi, 45, pula memberitahu, kegiatan melombong di belakang rumahnya menyebabkan aliran sungai di kawasan tersebut musnah dan kesannya, penduduk kampung terdedah kepada banjir besar.
''Dulu ada sungai di kawasan melombong ini. Kalau bekalan air terputus, di situlah tempat kami mandi atau mengambil air untuk memasak. Bila sungai musnah, kita pun risau juga kalau tiba musim hujan lebat nanti," ujarnya.
Seorang lagi penduduk kampung, Sharifah Atan, 40, berkata, dia bukan sahaja tidak tahan dengan bunyi bising kenderaan berat dan enjin mesin melombong tetapi juga debu.
''Saya terpaksa mengelap lantai rumah dua hingga tiga kali sehari sebab tidak tahan dengan debu. Cucu saya pula selalu menangis kerana terkejut semasa tidur akibat bunyi bising," katanya.
Agak menghairankan, katanya, ialah kerja melombong tersebut seperti dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa . |
|
|
|
|
|
|
|
BPR akan bertindak jika terima aduan
KUANTAN 18 Julai - Satu siasatan akan dijalankan berhubung aktiviti perlombongan bijih besi yang menimbulkan masalah di kalangan penduduk di Bukit Ibam, Muadzam Shah, jika didapati wujud penyelewengan dalam kegiatan itu.
Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang, Sutinah Sutan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara tersebut berlaku.
Bagaimanapun, katanya, penduduk terbabit perlu terlebih dahulu membuat aduan rasmi kepada BPR sebelum tindakan lanjut boleh diambil dengan segera.
''Kami belum menerima aduan berhubung perkara tersebut. Tanpa aduan yang dibuat, kami tidak boleh bertindak," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas laporan mengenai kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Ibam yang mengancam penduduk sekitarnya.
Penduduk mendakwa, hasil siasatan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mendapati dua syarikat terbabit dengan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.
Selain itu, kata mereka, PTG mengesahkan bahawa kedudukan lombong adalah terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk.
Malangnya sehingga kini, penduduk mendakwa, tiada tindakan susulan diambil selain terus membiarkan aktiviti perlombongan tersebut meliputi kawasan yang lebih luas.
Menurut Sutinah, kebiasaannya, masalah kesihatan dan keselamatan seperti yang dihadapi oleh penduduk kampung akibat aktiviti perlombongan, boleh terus dilaporkan kepada PTG atau Jabatan Mineral dan Geosains.
Bagaimanapun, sekiranya aduan yang dibuat kepada pihak terbabit tidak mendapat reaksi yang diharapkan dan kemungkinan wujud unsur-unsur rasuah, perkara tersebut boleh terus di bawa kepada BPR untuk siasatan, ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Gajah liar 'ditembak halau' ke habitat asal
Oleh ALI MAHMOOD
TEMERLOH 18 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang akan mengambil tindakan 'tembak halau' terhadap kumpulan gajah liar yang merosakkan tanaman getah penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Ngeri dekat Lanchang.
Pengarah Perhilitan negeri, Saharudin Anan berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan seperti itu dalam operasi sejak dua hari lalu kerana sukar untuk menangkap antara 5 hingga 10 ekor gajah serentak menggunakan kaedah yang popular sebelum ini iaitu menggunakan gajah denak.
Katanya, walaupun tindakan 'tembak halau' itu bukan kaedah terbaik tetapi ia terbukti berkesan apabila kumpulan gajah itu mula menjauhi perkampungan tersebut dan Perhilitan akan memantau perkembangan kumpulan gajah liar itu supaya tidak memasuki kawasan perkampungan itu lagi.
"Memandangkan kawasan Hutan Simpan Kemasul iaitu habitat asal kumpulan gajah itu masih luas berbanding jumlah gajah yang direkodkan di situ, Perhilitan membuat keputusan tidak memindahkan kumpulan gajah tersebut ke kawasan lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan masyarakat Orang Asli Bukit Ngeri yang mengalami kerugian apabila ladang getah mereka dimusnahkan oleh sekumpulan gajah liar sejak dua bulan yang lalu.
Katanya, Perhilitan sebenarnya mempunyai beberapa kaedah lain untuk mengatasi masalah tersebut termasuk memindahkan kumpulan gajah tersebut ke habitat yang lebih sesuai.
Menurut Saharudin, selain itu, kerja memindahkan seekor gajah memerlukan kos yang tinggi dan Perhiltan juga perlu meminta bantuan unit Gajah di Kuala Gandah.
"Kita telah menyiasat kawasan perkampungan tersebut dan kes itu masih boleh dikawal dan tidak perlu memindahkan kumpulan gajah tersebut ke habitat lain," katanya.
Beliau menasihati penduduk di perkampungan Orang Asli tersebut tidak mengambil tindakan sendiri dengan menghalau kumpulan gajah-gajah tersebut kerana boleh mengancam keselamatan mereka.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan hidupan liar agar segera memaklumkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Saharudin berkata Perhilitan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai peruntukan khas daripada persekutuan untuk memberi pampasan kepada orang awam atau waris yang ditimpa kemalangan berkaitan hidupan liar.
Katanya, mereka yang ditimpa kemalangan seperti dipatuk ular atau apa-apa kes yang menyebabkan ahli keluarga meninggal dunia, hilang upaya atau kecacatan disebabkan haiwan liar boleh menuntut pampasan tersebut. |
|
|
|
|
|
|
|
Kilang buat komponen langsir hangus
MARAN 18 Julai - Sebuah kilang membuat peralatan komponen langsir musnah dijilat api dalam kejadian di bandar ini awal pagi ini.
Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Salleh Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, kilang terbabit, Lutz Woods Sdn. Bhd. hanya terletak kira-kira 500 meter dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran.
Kata beliau, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik kilang itu pada pukul 2.51 pagi sebelum sepasukan 26 anggota bersama tiga jentera dari Jerantut dan Bandar Jengka tiba di lokasi, seminit kemudian.
"Ketika anggota sampai di tempat kejadian pada pukul 2.52 pagi, api didapati sedang marak.
"Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran selama 10 minit daripada merebak ke bangunan utama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Salleh berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang ditaksirkan.
"Kita tidak menolak kebakaran itu membabitkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada pemilik kilang berkenaan," katanya.
Menurut beliau, pihaknya berjaya memadamkan keseluruhan api pada pukul 6.30 pagi.
Tambahnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana tidak ada pekerja di kilang tersebut ketika kejadian. |
|
|
|
|
|
|
|
Usaha kurangkan impak negatif pembangunan
KUANTAN Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan impak negatif ke atas alam sekitar ekoran pelbagai aktiviti pembangunan yang sedang rancak dijalankan ketika ini.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, antara langkah yang akan diambil adalah menggalakkan pengurusan mapan sumber asli berkaitan tanah, air, hutan, tenaga dan juga maritim.
Jelasnya, usaha tersebut bukan sahaja akan meningkatkan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli, malah ia berupaya menyumbang kepada penambahbaikan kualiti hidup masyarakat setempat.
"Sebagai contoh dalam fasa pertama projek kumbahan kebangsaan sahaja, sebanyak empat loji rawatan kumbahan dan kemudahan rawatan kumbahan berpusat telah dibina.
"Sebanyak 825 loji rawatan kumbahan sedia ada dinaik taraf dan jumlah rangkaian rawatan kumbahan yang diselenggara meningkat daripada 9,240 kilometer pada tahun 2000 kepada 14,560 kilometer lima tahun kemudian," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Penutupan Seminar Loji Rawatan kumbahan 2008 di Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong.
Khai Mun berkata, teras strategik yang akan digunakan bagi menangani isu alam sekitar dan sumber asli adalah menggalakkan persekitaran hidup yang sihat, menggunakan sumber mampan, memelihara habitat serta memperkukuh rangka kerja dan kawal selia.
Ia turut meliputi aspek penguatkuasaan, memperluas penggunaan instrumen berasaskan pasaran, membangunkan petunjuk pembangunan mampan yang sesuai serta menyemai budaya amalan mesra alam sekitar pada setiap peringkat masyarakat. |
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan Pahang diperintah bayar RM60 juta kepada syarikat pembalakan
PUTRAJAYA: Kerajaan Pahang hari ini diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.
Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara’ai Alias,
“bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan.” Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lepas yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan.
Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.
Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.
Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, daerah Pekan seluas 4,000 hektar.
Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.
Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.
Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar saja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.
Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar saja manakala bagi baki 1,200 hektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ. - Bernama
habis lah duit negeri pahang... |
|
|
|
|
|
|
|
Pahang terus komersiolkan pokok kabung
Pokok dan buah kabung turut menjadi sumber pendapatan penduduk di Kampung Peruang, Budu dan Chat di daerah Kuala Lipis.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LIPIS 26 Sept. - Kerajaan Pahang akan mewartakan Kampung Peruang dan Kampung Budu di sini sebagai pusat penghasilan gula kabung utama di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Soffi Razak berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa kawasan tanah terbiar di daerah ini yang akan dimajukan dengan projek tanaman pokok kabung.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri bersedia memberi bantuan dan bimbingan teknikal kepada pemilik tanah serta koperasi di daerah ini yang berhasrat memajukan tanaman tersebut.
''Perusahaan gula kabung mampu memacu bidang pengeluaran kuih-muih untuk dikomersiolkan di samping menarik ramai pelawat ke Kampung Peruang dan Kampung Budu menerusi program inap desa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Soffi memberitahu, projek tanaman pokok kabung merupakan usaha kerajaan negeri menaiktaraf kampung tradisional menjadi pusat pertumbuhan baru membabitkan penglibatan penduduk dalam sektor pertanian, pelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Menurutnya, kerajaan negeri akan memajukan perusahaan gula kabung itu daripada berbentuk tradisional kepada teknologi moden untuk meningkatkan lagi pengeluaran.
''Kita juga mengambil kira daripada aspek pembungkusan dan jaminan pemasaran supaya ia dapat dikomersiolkan ke peringkat lebih jauh," jelasnya.
Perusahaan itu tambahnya, mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai usahawan terlibat dalam sektor IKS di daerah ini.
Sehubungan itu, jelasnya, projek tanaman pokok kabung seluas 50 hektar di Kampung Peruang menjadi perintis kepada perusahaan gula kabung itu di Lipis.
''Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bengkel perusahaan serta peralatan mesin yang dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran," katanya.
Projek itu, jelasnya, kini memberi manfaat kepada pengusaha terbabit yang sebelum ini hanya menghasilkan gula kabung untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
''Hasrat kita untuk membesarkan perusahaan ini adalah bagi meningkatkan lagi pendapatan penduduk luar bandar.
''Sasaran kita agar bahan penyedap kuih muih ini boleh menembusi pasaran di negara lain," katanya. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|