CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 26-1-2026 03:15 PM | Show all posts
Libat urus JKKK perkukuh hala tuju pembangunan kampung, pelancongan Samarahan
Januari 25, 2026, Ahad - 5:26pm



Rubiah ketika mempengerusikan mesyuarat sesi libat urus JKKK di Kota Samarahan hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Sesi libat urus yang melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari beberapa kampung di sini akan memperkukuhkan lagi hala tuju pembangunan kampung dan pelancongan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang menjelaskan, antara JKKK yang terlibat adalah dari Kampung Meranek, Kampung Empila Hulu, Kampung Sambir, Kampung Sri Tajo serta Kampung Tanjung Tuang untuk berbincang serta merangka projek rintis berkaitan hala tuju pembangunan kampung serta penerokaan potensi pelancongan setempat.

"Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada idea pembangunan berasaskan komuniti, pemerkasaan ekonomi penduduk kampung serta perancangan inisiatif yang mampu meningkatkan nilai tambah kepada kawasan luar bandar.

"Antara fokus utama yang dibincangkan ialah usaha mempromosikan dan memperkasa produk tempatan seperti hasil pertanian, kraf tangan, produk makanan kampung serta keusahawanan desa agar lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas," katanya dalam kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan turut menyuarakan harapan agar kawasan Samarahan dapat dibangunkan sebagai destinasi yang mampu menarik minat pelancong, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan ekonomi penduduk kampung.

“Insya-Allah, segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan akan dijadikan asas kepada perancangan pembangunan yang lebih tersusun, inklusif serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat,” tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan wakil Pegawai Daerah Samarahan Siti Zahara Mohamad Mohmood.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 03:15 PM | Show all posts
URDA komited perkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat
Januari 25, 2026, Ahad - 6:04pm

Menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi, antaranya penyerahan bantuan peralatan perikanan



Nanta (lima kiri, belakang) merakam kenangan bersama para penerima peralatan perikanan di bawah URDA. Turut kelihatan ialah Lidam (enam kanan, belakang) serta yang lain.
SONG: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) terus komited memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di daerah Song menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, antara program yang dilaksanakan sempena perasmian Dewan Kebiau di Kampung Kebiau, Jalan Takan Song ialah penyerahan bantuan peralatan perikanan di bawah URDA.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Industri dan Keusahawanan URDA Lidam Asaan telah menyerahkan bantuan kepada sembilan penerima melibatkan peralatan seperti bot, pukat dan enjin sangkut.

“Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM135,000 dan bertujuan membolehkan penerima menjalankan aktiviti sebagai nelayan sungai sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” ujarnya pada Majlis Perasmian Dewan Kebiau di Kampung Kebiau, Jalan Takan, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, URDA telah diumumkan penubuhannya pada tahun 2017 oleh Premier Sarawak dan mula beroperasi secara rasmi pada 2018, dengan bangunan pejabat URDA di Kapit kini siap sepenuhnya.

“Walaupun belum mencapai tempoh 10 tahun penubuhannya, pelbagai program pembangunan telah berjaya dilaksanakan oleh URDA seiring dengan agensi pembangunan lain seperti Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA),” jelasnya.

Katanya, URDA telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion untuk dibelanjakan dalam tempoh empat hingga lima tahun bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasannya.

“Sebahagian besar peruntukan tersebut telah dibelanjakan manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan, khususnya melibatkan projek infrastruktur awam seperti pembinaan jalan raya dan jambatan,” katanya.

Nanta berkata, pada peringkat awal fokus URDA adalah kepada pembangunan prasarana asas, khususnya jalan perhubungan ke kawasan kampung yang sebelum ini tidak mempunyai akses jalan.

“Walaupun masih terdapat beberapa projek yang belum siap sepenuhnya berikutan isu kontraktor, secara keseluruhan pelaksanaan pembangunan menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan,” ujarnya.

Menurutnya, URDA turut melaksanakan pelbagai program sosioekonomi berskala kecil melibatkan sektor nelayan sungai, pertanian, penternakan burung walet, pengusahaan madu kelulut dan lain-lain.

“Hasil awal menunjukkan keberkesanan yang positif, justeru skop serta liputan program ini akan diperluaskan.

“Selain itu, URDA juga berhasrat mengaplikasikan sains dan teknologi dalam pelaksanaan program sosioekonomi melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, selain merancang lawatan kerja ke China pada tahun 2026 bagi meninjau dan mempelajari amalan terbaik yang boleh dicontohi,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang Dewan Kebiau, Nanta berkata, ia merupakan dewan serba guna yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti termasuk sukan, perhimpunan masyarakat, sambutan perayaan serta penganjuran program kebudayaan.

Beliau turut mencadangkan agar dewan tersebut dimanfaatkan sebagai tapak tamu bagi membantu masyarakat tempatan memasarkan hasil pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:16 PM | Show all posts
Pantau pergerakan anak pada waktu malam
Januari 25, 2026, Ahad - 6:12pm

Juga periksa motosikal bagi memastikan kenderaan tersebut tidak diubah suai secara haram



Inspektor Visvanathan bersama pengetua, guru dan ibu bapa bergambar kenangan.

MIRI: Ibu bapa dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka pada waktu malam serta membuat pemeriksaan berkala terhadap motosikal bagi memastikan kenderaan tersebut tidak diubah suai secara haram, kata Inspektor G. Visvanathan Guna Cekeren dari Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (BSPT) Miri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kesedaran keselamatan jalan raya sempena Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tunku, yang berlangsung di dewan sekolah itu, semalam.

Ceramah selama satu jam yang dihadiri lebih 680 orang ibu bapa pelajar itu, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab keselamatan jalan raya dalam kalangan ibu bapa, khususnya bagi mencegah pemanduan oleh individu bawah umur dan tanpa lesen.

Antara topik yang dibincangkan termasuk kepentingan memiliki lesen memandu yang sah, kaedah mengelakkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak serta tindakan penguatkuasaan terkini di bawah Ops Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Trafik Miri setiap hujung minggu.

Inspektor Visvanathan yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah mengingatkan ibu bapa bahawa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya membenarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen yang sah, khususnya yang masih di bawah umur.

Beliau turut menerangkan kesalahan dan hukuman berkaitan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, sambil menegaskan bahawa tindakan polis juga akan diambil terhadap ibu bapa dalam kes sedemikian.

Turut hadir ialah Pengetua Jennifer Kaya, Pengerusi PIBG Jawan Marinda serta warga pentadbiran dan akademik sekolah.



Inspektor Visvanathan menyampaikan ceramah keselamatan jalan raya kepada ibu bapa SMK Taman Tunku sempena Mesyuarat PIBG sekolah semalam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:17 PM | Show all posts
APM Samarahan perketat rondaan, pantau awal risiko banjir
Januari 25, 2026, Ahad - 6:22pm



Anggota APM melakukan pemantauan memastikan penduduk di kawasan kerap terjejas akibat banjir selamat. - Gambar UKAS

KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan mempertingkatkan rondaan serta pemantauan rapi di beberapa kawasan dikenal pasti berisiko banjir berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan berterusan sejak beberapa hari.

Menurut kenyataan APM Samarahan, langkah awal itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, selain membolehkan tindakan pantas dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan paras air atau sebarang insiden kecemasan melibatkan penduduk.

Antara lokasi yang berada dalam fokus pemantauan termasuk Kampung Tanjung Bundong Fasa 3, Kampung Baru, Kampung Endap, Kampung Jegoi, Kampung Rembus, Kampung Plaie, Kampung Nangka, Kampung Sungai Empit dan Kampung Pangkalan Kuap.

Pemantauan tertumpu kepada kawasan rendah, laluan utama serta penempatan penduduk yang sering terdedah kepada ancaman banjir, merangkumi penilaian paras air, keberkesanan sistem saliran serta aspek keselamatan komuniti setempat.

Sementara itu, APM Samarahan menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Orang awam yang memerlukan bantuan atau berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi APM Daerah Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:18 PM | Show all posts
Seksyen PHE BDA jalankan pemeriksaan di dua tapak festival makanan
Januari 25, 2026, Ahad - 6:49pm



Pemeriksaan oleh penguat kuasa Kesihatan BDA ke atas pengusaha makanan.- Gambar BDA

BINTULU: Penguat kuasa kesihatan Seksyen Kesihatan Awam dan Persekitaran (PHE) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menjalankan pemeriksaan kebersihan dan keselamatan makanan ke atas pengusaha di dua tapak festival makanan di sini baru-baru ini.

Jurucakap BDA berkata, pemeriksaan tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPHO) 1999.

Katanya, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 27 gerai makanan di tapak festival pertama yang mana lima kompaun telah dikeluarkan di bawah Sekyen 26 PPHO 1999.

"Manakala di tapak festival kedua, pemeriksaan melibatkan 23 gerai makanan dengan enam kompaun telah dikeluarkan di bawah peruntukan undang-undang yang sama," kata BDA dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sejumlah 11 kompaun yang dikeluarkan itu atas kesalahan sama adalah gagal mengemukakan dokumen pemeriksaan kesihatan dan kursus pengendali makanan.

Sepanjang pemeriksaan dijalankan katanya, pengusaha dan pengendali makanan dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, premis dan peralatan.

Di samping itu katanya, pengusaha perlu memastikan semua dokumen berkaitan seperti pemeriksaan kesihatan dan sijil kursus pengendali makanan sentiasa lengkap dan sah.

"Pihak penguat kuasa kesihatan BDA akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan serta kesihatan pengguna," tegasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:19 PM | Show all posts
Air mineral dihantar kepada penduduk terjejas bekalan air di Serian
Januari 25, 2026, Ahad - 7:11pm



Bekalan air dihantar kepada penduduk yang terjejas di Serian, malam semalam. - Gambar UKAS

KUCHING: Bekalan air mineral telah segera dihantar kepada penduduk beberapa kampung di Serian yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang bersama pasukan First Response Team (FRT) N16 melaksanakan penghantaran bekalan tersebut kepada penduduk kampung yang terjejas.

"Langkah segera itu diambil bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara, khususnya melibatkan keperluan asas seperti bekalan air bersih.

“Walaupun penghantaran dilakukan lewat malam, keperluan rakyat tetap menjadi keutamaan. Bantuan ini merupakan langkah sementara bagi meringankan beban penduduk terjejas,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata penduduk kampung yang terjejas termasuk Kampung Soh, Kampung Raeh dan Kampung Seruit dan bekalan air tersebut telah dihantar sekitar jam 11 malam semalam.

Idris turut merakamkan penghargaan kepada pasukan FRT Muara Tuang atas tindakan pantas dan cekap dalam memastikan bantuan sampai kepada penduduk.

Pihaknya tambah beliau, akan terus memantau situasi dan berhubung dengan agensi berkaitan bagi memastikan gangguan bekalan air dapat diselesaikan sepenuhnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 26-1-2026 03:20 PM | Show all posts
Dua lelaki ditahan selepas aksi kejar-mengejar dengan polis
Januari 25, 2026, Ahad - 7:15pm



Suspek yang ditahan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. - Gambar IPD Kuching

KUCHING: Polis menahan dua lelaki selepas cuba melarikan diri dalam satu aksi kejar-mengejar dengan pasukan Counter Aggressive Team (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, pasukan CAT IPD Kuching bersama anggota Balai Polis Sungai Maong menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Datuk Tawi Sli selepas mereka melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.

“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia lingkungan 28 dan 40 tahun dipercayai cuba mengelak daripada pemeriksaan polis sebelum berjaya diberkas tanpa sebarang insiden.

“Pemeriksaan awal ke atas badan suspek tidak menemui sebarang barangan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki menemui beberapa peralatan mencurigakan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan.

“Kedua-dua lelaki tersebut gagal memberikan keterangan munasabah berkaitan peralatan berkenaan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958) kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam tanpa tujuan atau kebenaran yang sah.



Barangan yang dirampas daripada suspek. - Gambar IPD Kuching


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:21 PM | Show all posts
Penjadualan bas elektrik Kuching Metro diselaras
Januari 25, 2026, Ahad - 7:39pm

Ia bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada pengguna, khususnya pelancong, kata Abdul Karim



Abdul Karim bersama yang lain mengikuti ujian percubaan perjalanan bas elektrik Kuching Metro di Stesen Bas Lama Electra House hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Penjadualan perkhidmatan bas elektrik Kuching Metro akan diselaraskan semula bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada pengguna, khususnya pelancong.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelarasan itu dibuat selepas mendapati sebahagian jadual perjalanan bas itu sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila masa ketibaan bas tidak selari dengan waktu lawatan di beberapa destinasi pelancongan utama termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh, menyebabkan ramai pelancong terlepas peluang menyaksikan sesi pemberian makan orang utan.

“Kita masih menggunakan laluan sedia ada, tetapi masa perjalanannya kita sesuaikan supaya lebih memenuhi kehendak pelancong.

“Kalau kita lihat pada jadual yang ditetapkan dahulu, sebahagian bas ini kurang dipenuhi pelancong kerana apabila sampai ke Semenggoh, waktu pemberian makan orang utan telah tamat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyertai ujian percubaan perjalanan bas elektrik Kuching Metro dari Stesen Bas Lama Electra House ke beberapa destinasi pelancongan utama di Kuching, termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, sesi pemberian makan orang utan di Semenggoh dijalankan dua kali sehari iaitu sekitar jam 10 pagi dan sekali lagi antara jam 3 hingga 4 petang.

“Oleh itu, jadual bas perlu diselaraskan supaya lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan ini.

“Selain itu, lebih banyak perjalanan bas dapat disediakan pada waktu awal bagi membolehkan pelancong menyaksikan sesi pemberian makan orang utan di Semenggoh,” ujarnya.

Ketika ini katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan empat buah bas elektrik bagi menyokong perkhidmatan bas ini yang telah ditawarkan secara percuma sejak kira-kira lima tahun lalu.

“Ia diwujudkan khusus bagi menyokong sektor pelancongan, namun orang ramai termasuk penduduk tempatan juga boleh menggunakannya,” katanya.

Selain laluan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, perkhidmatan bas elektrik percuma itu turut merangkumi perjalanan dari Kuching ke Damai termasuk Kampung Budaya Sarawak pada waktu tertentu.

Abdul Karim berkata, perkhidmatan berkenaan ketika ini tertumpu di Kuching, namun pelaksanaannya akan terus dinilai termasuk kemungkinan diperluaskan ke kawasan lain berdasarkan keperluan dan kesesuaian.


Sumber : Utusam Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 03:22 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 26-1-2026 03:23 PM

914 kanak-kanak prasekolah, murid sekolah rendah terima bantuan peralatan sekolah
Januari 25, 2026, Ahad - 7:58pm



Uggah bergambar bersama tetamu dan pelajar yang menerima bantuan persekolahan sesi 2026 di Dewan Sadok, SK St John Nanga Tiga hari ini.

KUCHING: Seramai 914 kanak-kanak prasekolah dan murid sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan berupa peralatan sekolah bagi sesi 2026 ini.

Program dikenali 'Kembali Ke Sekolah' itu melibatkan tujuh sekolah iaitu SekolahKebangsaan (SK) Nanga Gayau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Spaoh, SK St John Nanga Tiga, SK Penom, SK Spaoh, SK Suri dan SK Paku Central.

Ia telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bertujuan meringankan beban kewangan keluarga sempena permulaan sesi akademik baharu.

Uggah dalam ucapan perasmian berkata, majlis penyerahan bantuan peralatan persekolahan itu sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengutamakan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.

"Pendidikan kekal sebagai tonggak utama pembangunan negeri Sarawak justeru, ia akan diteruskan pada masa akan datang," katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Sadok, SK St John Nanga Tiga hari ini.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menambah bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada sektor pendidikan kerana ia merupakan asas kepada kemajuan masyarakat dan negeri secara keseluruhan.

Beliau turut menggesa ibu bapa dan guru agar terus bekerjasama memastikan pelajar di kawasan luar bandar seperti Bukit Saban mencapai kecemerlangan akademik dan layak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Ini termasuk memanfaatkan skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang diperkenalkan kerajaan GabunganParti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita mahu anak-anak luar bandar turut menikmati peluang pendidikan yang sama seperti di bandar sekali gus melahirkan modal insane berkualiti untuk masa depan Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, Uggah turut mengumumkan peruntukan bagi memperkukuh prasarana pendidikan di DUN berkenaan termasuk RM1.3 juta untuk pembinaan semula rumah tumpangan di SK St John Nanga Tiga serta RM200,000 bagi pembinaan semula kuarters guru di sekolah sama.

Selain itu, sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada setiap tujuh sekolah rendah di Bukit Saban bagi pembelian bahan bacaan manakala RM30,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapadan Guru (PIBG) SK St John Nanga Tiga serta RM20,000 kepada PIBG enam sekolah rendah lain di kawasan tersebut.

Uggah turut menyerahkan tiga papan pintar kepada setiap tujuh sekolah rendah berkenaan bagi menyokong kaedah pembelajaran digital.

Hadir sama ke majlis itu ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Roseline Mapong, Guru Besar SK St John Nanga Tiga Entinggi Migat, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong Emparie Tom, Jurutera Bahagian JKR Betong Jason Ng, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.37 Bukit Saban Natasha Nasa Uggah serta barisan pemimpin masyarakat, guru besar, ibu bapa dan guru.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:24 PM | Show all posts
Gloria Methodist Church dinaik taraf melalui peruntukan RTP
Januari 25, 2026, Ahad - 8:04pm



Pang (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan dokumen berkaitan kerja-kerja menaik taraf Gloria Methodist Church hari ini.

BINTULU: Kerja-kerja menaik taraf Gloria Methodist Church bermula semalam susulan penyerahan dokumen projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.

Jelasnya, kerja-kerja menaik taraf kemudahan di gereja itu dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan pemasangan sistem pendingin hawa serta skrin paparan LED.

"Ia antara lain bertujuan mewujudkan persekitaran ibadah dan aktiviti gereja yang lebih selesa dan moden," ujarnya sejurus selepas menyaksikan acara penyerahan dokumen yang diadakan di pekarangan gereja hari ini.

Pihak gereja sebelum ini ujarnya, telah menyuarakan kebimbangan mengenai kemudahan gereja yang semakin usang akibat kekangan kewangan.

Jelasnya, hasil perbincangan dan penyelarasan dijalankan, projek itu kini dapat dilaksanakan dengan tempoh pembinaan dijangka akan mengambil masa selama tiga bulan.

"Pada masa sama, saya turut meminta pihak kontraktor supaya memastikan kualiti dan keselamatan kerja sentiasa diutamakan termasuk menyiapkan kerja-kerja ini secepat mungkin serta mengikuti spesifikasi ditetapkan," jelasnya.

Aspek keselamatan katanya, kekal sebagai keutamaan semasa lawatan tapak diadakan dengan memberikan perhatian khusus kepada isu hakisan cerun yang berlaku di belakang gereja serta sebuah tapak pembinaan berdekatan yang berpotensi menimbulkan risiko tanah runtuh.

"Saya telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya menghentikan sebarang kerja pembinaan berisiko tinggi sehingga penilaian keselamatan dibuat sepenuhnya dengan memastikan semua piawaian keselamatan dipatuhi," ujarnya.

Pang berkata keselamatan di rumah ibadah tidak harus dipandang ringan dan dilengahkan kerja-kerja menaik taraf yang mana beliau sendiri akan terus memantau keadaan itu dengan rapi dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan projek itu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:25 PM | Show all posts
Pertandingan nyanyian serlah bakat dan keyakinan diri kanak-kanak
Januari 25, 2026, Ahad - 8:24pm



Tony menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dalam pertandingan nyanyian bahasa Cina malam semalam.

BINTULU: Pertandingan nyanyian dilihat sebagai antara platform terbaik bagi mengasah bakat kanak-kanak serta membina keyakinan diri mereka supaya berani di khalayak ramai, kata Pengerusi DAP Bintulu Tony Chiew Chan Yew.

Jelasnya, membina keyakinan diri seseorang individu supaya berani dan yakin di hadapan semua orang harus bermula sejak di bangku sekolah kerana kanak-kanak pada peringkat umur masih kecil lebih senang untuk diasah serta dibentuk.

"Setiap kanak-kanak sememangnya mempunyai kemahiran serta bakat terpendam dalam diri mereka dan ia harus digilap bagi memastikan mereka menggunakan sepenuhnya kemahiran yang dimiliki bagi membina keberanian serta keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka, " jelasnya.

Tony berkata demikian semasa berucap pada Pertandingan Nyanyian Bahasa Cina Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Bintulu Chinese Association Youth Section dan Bintulu Boulevard Shopping Mall di sini, malam semalam.

Kesemua peserta yang mengambil bahagian merupakan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di bahagian ini yang dikendalikan oleh V Cord Muse Studio.

Katanya, beliau amat menghargai serta berterima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan program yang sememangnya memberi impak positif kepada jati diri serta keberanian para peserta.

"Dalam acara sebegini, semua pihak terutama ibu bapa dan ahli keluarga setiap peserta sama-sama hadir bagi memberi sokongan moral kepada anak mereka," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:26 PM | Show all posts
30 peserta sertai Kursus Pengeluaran Makanan Ternakan
Januari 25, 2026, Ahad - 8:34pm



Peserta kursus merakam gambar bersama pihak penganjur.

BINTULU: Seramai 30 peserta terdiri daripada komuniti setempat dan penternak diberi pendedahan berkaitan kaedah penghasilan makanan ternakan yang sistematik, berkesan dan mampan melalui Kursus Pengeluaran Makanan Ternakan di sini hari ini.

Kursus tersebut merupakan anjuran Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Sarawak (PPP@UPMS) yang berlangsung di kampus UPMS hari ini.

Jurucakap penganjurnya berkata, kursus itu bertujuan memperkasa pengetahuan, kemahiran komuniti serta pengusaha ternakan dalam menghasilkan makanan ternakan yang sistematik, berkesan dan mampan.

"Ceramah dalam kursus sehari ini telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS Dr Muhamad Hakim Mohd Ali Hanafiah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Peserta kursus melihat bahan-bahan bagi menghasilkan makanan ternakan.

Kenyataan itu menyebut, pengendalian kursus itu turut dibantu oleh Dr Carlina Freddie Simol@Rachellynna, Razak Mat Sahar, Jamarizal Ahmad, Yusri Drahman serta staf lapangan PPP UPMS semasa sesi amali.

Katanya, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif AgriEngage@UPMS yang menjadikan PPP sebagai pusat rujukan dan pemindahan ilmu pertanian.

"Kursus AgriEngage@UPMS ini diharap menjadi pemangkin ilmu dan manfaat kepada peserta serta menyumbang kepada pembangunan lestari sektor pertanian dan ternakan di Sarawak selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:27 PM | Show all posts
AYS sedia hadapi 2026, bentuk kepimpinan belia berteraskan nilai
Januari 25, 2026, Ahad - 8:36pm



Barisan Jawatankuasa AYS penggal 2024–2026 bergambar bersama Donald (tengah belakang) serta Ali sempena Malam Perhimpunan Jawatankuasa AYS di Kuching.

KUCHING: AZAM Young Souls (AYS) kini bersedia melangkah ke fasa lebih matang dan tersusun dalam usaha membangunkan kepimpinan belia berteraskan nilai, disiplin dan tanggungjawab pada tahun 2026.

Kesediaan itu dizahirkan sempena Malam Perhimpunan Jawatankuasa AYS yang berlangsung pada 24 Januari lalu, menandakan permulaan penting bagi barisan Jawatankuasa AYS penggal 2024–2026 dalam menyelaraskan hala tuju serta memperkukuhkan komitmen bersama.

Ahli Lembaga Pengarah AZAM Sarawak merangkap wakil Jawatankuasa Penglibatan Belia AZAM (2024–2026) Donald Henry Nohed berkata, AYS kini memasuki fasa yang lebih berstruktur dan diyakini sebagai platform penting dalam melahirkan kepimpinan belia yang mampu memberi impak bermakna.

“AYS bukan sekadar unit sokongan, sebaliknya platform yang dipercayai untuk melahirkan pemimpin belia berintegriti dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selari dengan perancangan AZAM menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, AYS dijangka mengamalkan tahap disiplin, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.

Dalam usaha menyokong pembangunan tersebut, AZAM akan menganjurkan Program Pembangunan Kapasiti Khas untuk Jawatankuasa AYS Penggal 2024–2026 dalam masa terdekat bagi memperkukuh keyakinan kepimpinan dan keupayaan organisasi.

Pada 2026, AYS kekal komited untuk berkembang secara berperingkat, berkhidmat dengan penuh makna serta memimpin dengan tujuan yang jelas demi masa depan Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:28 PM | Show all posts
NREB anjur libat urus industri berkaitan rangka kerja peraturan pembakaran, pelepasan gas
Januari 25, 2026, Ahad - 8:43pm



Jack (tujuh kanan) menerima cenderamata daripada Mohd Jailanee (enam kiri) semasa pertemuan mereka hari ini.

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) terus memperkukuhkan pemahaman dan pematuhan industri terhadap rangka kerja peraturan pembakaran dan pelepasan gas menerusi siri libat urus bersama pemain industri minyak dan gas.

Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengurus NREB Datu Jack Liam berkata, pihaknya baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada dua syarikat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu industri memahami serta mematuhi Peraturan-Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2025, iaitu perundangan subsidiari di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.

Menurut beliau, kunjungan pertama melibatkan delegasi Sarawak Petchem Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato Mohammad Ibrahim.

Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai Ordinan 2023 serta penjelasan berhubung keperluan di bawah Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas, selain panduan langkah-langkah pematuhan yang perlu diambil.

“Pada sesi tersebut, pihak syarikat membentangkan status operasi mereka serta langkah-langkah yang dirancang bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan gas rumah hijau, termasuk pelaksanaan secara berperingkat ketika peralihan daripada fasa prapengeluaran kepada operasi loji yang stabil,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga memberi gambaran keseluruhan rangka kerja peraturan, obligasi utama di bawah peraturan berkenaan serta proses pematuhan secara umum bagi membantu syarikat menyelaraskan operasi dengan keperluan peraturan baharu.

Dalam satu libat urus berasingan, NREB turut menerima delegasi daripada PTTEP Sarawak Oil Limited yang diketuai oleh Mohd Jailanee Othman.

Lawatan tersebut memfokuskan kepada pembentangan Pelan Pembangunan Minyak dan Gas (OGDP) serta Pelan Pengurusan Pembakaran dan Pelepasan Gas (FVMP) selaras dengan keperluan peraturan, susulan permohonan syarikat itu bagi mendapatkan kebenaran pembakaran dan pelepasan petroleum serta gas rumah hijau bagi operasi normal.

Pada masa sama, PTTEP Sarawak Oil Limited turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan bayaran fi permohonan yang ditetapkan bagi mendapatkan kebenaran tersebut.

Jack juga menegaskan, NREB mengalukan pendekatan proaktif oleh pemain industri dan kekal komited untuk menyediakan panduan serta sokongan bagi memastikan pelaksanaan ordinan dan peraturan subsidiarinya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Usaha ini selaras dengan objektif lebih luas untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mempromosikan pembangunan mampan di Sarawak,” ujarnya.

Untuk rekod, Peraturan-Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2025 telah berkuat kuasa pada 1 November 2025.

Di bawah peraturan tersebut, semua syarikat minyak dan gas dalam sektor ekonomi berjadual diwajibkan mendapatkan kebenaran awal daripada NREB bagi sebarang aktiviti pembakaran dan pelepasan gas.

NREB menegaskan bahawa pematuhan ketat terhadap keperluan ini adalah wajib dan pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan selaras dengan peruntukan ordinan berkaitan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:29 PM | Show all posts
DAP Miri agihkan lebih 10,000 pek makanan vegetarian, tamat program selepas tiga tahun
Januari 25, 2026, Ahad - 8:52pm



Hee (kiri) menunjukkan makanan vegetarian diagihkan kepada golongan memerlukan.

MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Miri menamatkan edaran terakhir Program Makanan Vegetarian Percuma bagi bulan ini yang ditaja oleh Kantin Mu Zi, sekali gus menandakan penutup kepada satu inisiatif kebajikan komuniti yang telah dilaksanakan secara berterusan selama tiga tahun.

Program tersebut dijalankan secara konsisten pada setiap hari pertama dan ke-15 dalam kalendar lunar masyarakat Cina sejak tahun 2023, dengan matlamat membantu keluarga berpendapatan rendah, golongan kurang bernasib baik serta warga emas di sekitar bandar raya Miri.

Menurut Pengerusi DAP Miri merangkap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak Peter Hee, program berkenaan telah dilaksanakan lebih 80 kali sepanjang tempoh tiga tahun dan berjaya mengagihkan lebih 10,000 pek makanan vegetarian kepada penduduk yang memerlukan, menjadikannya antara program kebajikan jangka panjang yang signifikan di peringkat komuniti Miri.

Beliau berkata, program tersebut direalisasikan berlandaskan prinsip “daripada masyarakat, untuk masyarakat", khususnya dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, dengan harapan dapat meringankan beban golongan memerlukan melalui bantuan yang bersifat praktikal.

“Sepaket makanan bukan sekadar untuk mengisi perut tetapi turut membawa mesej keprihatinan dan kasih sayang.

“Walaupun program ini telah melabuhkan tirainya, kami berharap masyarakat terus menyedari bahawa masih ramai yang memerlukan perhatian dan bantuan dan DAP Miri akan terus memainkan peranan sebagai penyokong usaha kebajikan komuniti,” katanya.

Hee turut merakamkan penghargaan kepada Kantin Mu Zi yang telah menaja sepenuhnya makanan vegetarian sepanjang tiga tahun tanpa mengira peningkatan kos, sekali gus mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat serta keprihatinan terhadap masyarakat setempat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan pasukan sukarelawan yang sentiasa komited membantu proses pengagihan makanan, sama ada dalam keadaan hujan mahupun cuaca panas terik, dengan kehadiran konsisten pada setiap hari edaran.

Menurutnya, kejayaan program itu bukan hasil usaha individu, syarikat atau organisasi semata-mata, sebaliknya merupakan manifestasi sokongan dan kerjasama padu seluruh komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat, pertubuhan dan orang awam terus memberi perhatian kepada keperluan golongan rentan serta bersama-sama menyertai usaha kebajikan komuniti demi memastikan budaya prihatin dan saling membantu dapat diteruskan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:29 PM | Show all posts
Majlis Menyemai Kasih eratkan silaturahim keluarga besar PERYATIM Miri
Januari 25, 2026, Ahad - 8:56pm



Acara memotong kek hari jadi anak-anak dan kakitangan PERYATIM bersama tetamu kehormat.

MIRI: Majlis Menyemai Kasih anjuran PERYATIM Cawangan Miri menjadi platform penting untuk menghimpunkan semua pemegang taruh dan rakan strategik PERYATIM dalam suasana penuh kemesraan menerusi majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup, di sini, malam semalam.

Pengerusi PERYATIM Cawangan Miri merangkap Ahli Lembaga PERYATIM Sarawak Julaihi Mohamad berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan dalam kalangan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha membesarkan serta menjaga kebajikan anak-anak yatim.

Menurut beliau, majlis itu juga memberi peluang kepada para pemegang taruh, rakan PERYATIM, anak-anak yatim serta kakitangan untuk saling mengenali antara satu sama lain dan berkumpul seperti sebuah keluarga besar PERYATIM.

“Tujuan kita berkumpul adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan antara semua yang terlibat dalam membesarkan anak-anak yatim. PERYATIM Miri ini kita anggap sebagai ‘rumah besar kamek’ dan istilah ini juga boleh digunakan oleh semua pemegang taruh yang sentiasa membantu serta menyokong PERYATIM Miri selama ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Ia merupakan majlis ke-10 kali dianjurkan di kompleks tersebut.

Tambahnya, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat bermakna dalam memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terpelihara, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat setempat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad serta Ahli Lembaga PERYATIM Sarawak Toh Puan Hayati Ahmat.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang majlis, antaranya persembahan silat dan tarian selamat datang, bacaan doa, sambutan hari jadi anak-anak dan kakitangan PERYATIM serta persembahan hiburan iaitu tarian Intan Payung,  Zapin Jamilah, Singkong dan Keju, Larut Malam dan Hati Muda.

Turut diadakan cabutan bertuah, persembahan karaoke duet dan solo, pertunjukan fesyen sebelum majlis berakhir dengan suasana penuh ceria dan harmoni.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 03:31 PM | Show all posts
Murid, warga SK Nanga Bangkit nikmati elektrik 24 jam daripada solar hibrid
Januari 25, 2026, Ahad - 9:13pm



BALING
SONG: Murid dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Song kini dapat menjalani rutin harian serta pembelajaran dengan lebih selesa apabila pelaksanaan sistem solar hibrid membolehkan bekalan elektrik dinikmati sepanjang 24 jam.

Guru Besar Baling Unan berkata, sistem solar hibrid jauh lebih baik berbanding penggunaan jana kuasa diesel (genset) sebelum ini yang sering berdepan pelbagai kekangan.

“Manfaatnya memang banyak. Dulu kita guna genset, bekalan elektrik tidak menentu kerana bergantung kepada bekalan minyak serta keadaan genset yang kerap rosak.

“Sekarang, dengan Sistem Solar Hibrid, kita menikmati bekalan elektrik 24 jam,” ujarnya ketika ditemui di sekolah tersebut, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini pihak sekolah terpaksa melakukan catuan penggunaan elektrik berikutan kos minyak yang tinggi dan keupayaan genset yang tidak mampu beroperasi secara berterusan tanpa gangguan.

“Kadang-kadang genset rosak, kadang-kadang minyak habis. Jadi bekalan elektrik tidak sampai 24 jam. Keadaan ini menyukarkan urusan pembelajaran dan kehidupan murid di asrama,” jelasnya.

Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil kini membolehkan murid belajar dengan lebih selesa, terutama pada waktu malam, selain memudahkan pengurusan sekolah secara keseluruhan.

SK Nanga Bangkit mempunyai seramai 17 murid, dengan 15 daripadanya merupakan murid asrama manakala dua lagi murid harian.



KATHERINE
Dalam pada itu, Baling yang telah berkhidmat sebagai guru besar di sekolah tersebut selama lima tahun berkata, peralihan daripada sistem genset kepada solar hibrid merupakan satu pengalaman yang amat bermakna buat beliau, apatah lagi menjelang persaraannya pada hujung tahun ini.

“Jika mengenang kesusahan dahulu, memang sedih. Terpaksa bercatu dan bergantung sepenuhnya kepada genset. Tetapi sekarang keadaannya jauh lebih mudah dan teratur,” katanya.

Beliau yang akan bersara wajib pada 8 Ogos nanti menyifatkan pelaksanaan Sistem Solar Hibrid sebagai satu legasi penting dalam memastikan kelangsungan pembelajaran yang lebih selesa dan berkualiti di sekolah luar bandar.

Senada dengan itu, Penolong Kanan Pentadbiran Katherine Suda Libau berkata, sistem catuan sebelum ini menyebabkan bekalan elektrik hanya dibekalkan antara lapan hingga 12 jam sehari, bergantung kepada keadaan.

“Pada waktu malam, bekalan elektrik biasanya dipadam dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi. Jadi pada awal pagi memang tiada elektrik,”ujarnya.

Katanya, keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan urusan harian, malah menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan murid asrama.

“Pukul 5 pagi masih gelap tetapi elektrik sudah tiada. Murid bangun awal untuk bersiap dan mandi, jadi kami memang risau dari aspek keselamatan,” katanya sambil menambah, murid terpaksa menggunakan lampu suluh ketika bergerak dan mandi.

Dengan pelaksanaan sistem solar hibrid, Katherine berkata, suasana pembelajaran kini jauh lebih kondusif apabila kemudahan elektrik dapat digunakan sepenuhnya sepanjang masa.



Dereskson Jeddy ketika ditemui pemberita sambil ditemani oleh rakan-rakannya Emliton Ferus (kiri) dan Amanda Guchi Georstin Pasang (kanan).
“Sekarang bekalan elektrik ada 24 jam. Ia banyak membantu pembelajaran kerana kemudahan seperti televisyen dan komputer boleh digunakan tanpa gangguan,” jelasnya.

Sementara itu, tiga murid sekolah tersebut, Amanda Guchi Georstin Pasang, Emliton Ferus dan Dereskson Jeddy berkongsi kegembiraan dengan pelaksanaan sistem solar hibrid di sekolah mereka.

Menurut mereka, kemudahan tersebut memberi semangat baharu untuk belajar dalam suasana yang lebih selesa.

“Selepas ini, kami tidak lagi perlu menggunakan lampu suluh untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Kami sangat bersyukur,” kata mereka.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:32 PM | Show all posts
Dua beradik disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan di Pakan
Januari 26, 2026, Isnin - 9:14am



JULAU: Dua beradik yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan menerusi Op Tapis Khas di sebuah rumah panjang di kawasan Pakan pada Ahad, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah (gambar) berkata, suspek masing-masing berusia 32 dan 27 tahun didapati

“Hasil ujian air kencing telah mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar telah mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak tahun  2020, manakala adiknya yang merupakan seorang penganggur mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak tahun 2023.

“Melalui semakan rekod, pihak polis mendapati suspek yang berusia 27 tahun mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala seorang lagi tiada rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, kata Alif, kedua-dua beradik tersebut telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

“Melalui siasatan tersebut juga, kedua-dua suspek turut mengaku kali bahawa terakhir mengambil dadah jenis syabu pada 20 Januari lepas, di rumah kediaman mereka.

“Pada masa yang sama juga, mereka turut memaklumkan bahawa mereka telah mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki Indonesia di kawasan Bintangor,” katanya lagi.

Alif turut menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah merupakan musuh utama negara dan pihaknya akan terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan itu, khususnya di daerah Pakan dan Julau.

“Melalui kesempatan ini, kita ingin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah dan kegiatan jenayah agar tampil menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Balai Polis Julau atau Balai Polis Pakan dan setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:34 PM | Show all posts
Thailand kekal antara pasaran utama Sarawak: Sharzede
Januari 26, 2026, Isnin - 11:07am



(Dari kiri) Tengku Sri Temenggung Raja Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung,Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Pengarah Tourism Malaysia Bangkok Nurul Ain Mohammed Yunus ketika mengunjungi gerai Sarawak semasa TITF Bangkok 2026.

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) meneruskan komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran Thailand menerusi penyertaan di Pameran Pengembaraan Antarabangsa Thailand (TITF) Bangkok 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pasaran pelancongan ASEAN sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pameran pelancongan tersebut berlangsung dari 22 hingga 25 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) menandakan tahun ketiga berturut-turut kehadiran Sarawak dalam pasaran pelancongan Thailand selepas penyertaan terdahulu di Bangkok pada 2024 dan Chiang Mai pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, Thailand kekal sebagai antara pasaran utama Sarawak hasil penglibatan jangka panjang.

“Thailand ialah pasaran di mana Sarawak telah membina kedudukan dan kepercayaan melalui penglibatan berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, prestasi ini boleh dilihat apabila Thailand terus mencatat pertumbuhan positif dari tahun ke tahun bagi Sarawak, dengan jumlah ketibaan pelawat pada 2025 melebihi tahun sebelumnya.

Prestasi ini, katanya, jelas membuktikan keberkesanan pendekatan berterusan serta usaha promosi kolaboratif yang dilaksanakan oleh STB dalam pasaran berkenaan.

Sehubungan itu, Sharzede berkata, kehadiran Sarawak di TITF Bangkok 2026 mencerminkan fokus strategik untuk memperdalam kerjasama perdagangan pelancongan serta mengukuhkan peranan Sarawak sebagai Pintu Gerbang Malaysia ke Borneo.

“Kehadiran ini juga bertujuan menterjemahkan keyakinan pasaran kepada pertumbuhan pelawat yang boleh diukur sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.



Wakil STB merakam kenangan bersama pengunjung dari Sarawak di TITF Bangkok 2026

Sebagai sebahagian daripada Pavilion Malaysia yang diterajui oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), penyertaan Sarawak di TITF Bangkok 2026 turut menyokong usaha promosi pelancongan nasional selaras dengan sasaran 43 juta ketibaan pelawat yang ditetapkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Penglibatan ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Strategi EDGE Sarawak, khususnya melalui komponen Elevate bagi meningkatkan kesedaran destinasi di peringkat antarabangsa, serta Diversify untuk mengukuhkan Thailand sebagai pasaran baharu ASEAN yang melengkapi pasaran sumber tradisional Sarawak seperti Indonesia dan Singapura.

Sepanjang pameran empat hari tersebut, STB mempromosikan pelbagai tawaran pelancongan Sarawak merangkumi budaya, alam semula jadi dan pelancongan berasaskan pengalaman, dengan tumpuan kepada pengguna Thailand yang mencari inspirasi perjalanan serantau dan antarabangsa.

STB turut mengadakan sesi jaringan dan perbincangan bersama ejen pelancongan Thailand, pengendali pelancongan, rakan penerbangan serta pihak berkepentingan industri bagi meneroka peluang kerjasama masa depan, termasuk penambahbaikan hubungan penerbangan, inisiatif promosi bersama dan pelaksanaan program pengenalan destinasi.

Sebagai satu-satunya negeri dari Borneo yang mewakili Malaysia dalam pameran tersebut, Sarawak diposisikan secara jelas dalam Pavilion Malaysia sebagai Pintu Gerbang Malaysia ke Borneo, sekali gus menawarkan pengenalan yang terfokus terhadap warisan budaya yang kaya, landskap semula jadi yang pelbagai serta tawaran pelancongan autentik negeri ini.

Kehadiran berterusan Sarawak di TITF mencerminkan strategi penglibatan pasaran secara konsisten dan berbilang tahun, dengan penekanan terhadap pembinaan kepercayaan, keterlihatan destinasi dan penyampaian mesej yang berterusan, berbanding penyertaan bersifat sekali sahaja.

Seiring pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, Sarawak kekal komited untuk memainkan peranan bermakna dalam naratif pelancongan nasional, dengan memposisikan dirinya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai Pintu Gerbang Malaysia ke Borneo yang menawarkan pengalaman berteraskan budaya, alam semula jadi dan hubungan autentik.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 03:34 PM | Show all posts
Tiga lelaki miliki rekod kesalahan dadah ditahan lagi di Bintangor
Januari 26, 2026, Isnin - 11:28am

BINTANGOR: Tiga lelaki yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah telah ditahan lagi dalam Ops Tapis Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan oleh pasukan 'Task Force' IPD Meradong di sekitar pekan Bintangor, sekitar 9.10 pagi.

“Sejurus ditahan, ketiga-tiga lelaki tersebut yang berusia 26,31 dan 35 tahun telah dibawa ke IPD Meradong untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian tersebut telah mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Berikutan itu, ketiga-tiga lelaki tersebut telah ditahan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Tansli, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun.

“Pihak Polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut serta merayu supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong.

“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” kata Tansli lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 08:41 PM GMT+8 , Processed in 0.985141 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list