“Safa, tak baik kau buat Aiman macam tu.”
“Ada aku kisah?” Selamba saja jawapan yang keluar dari mulut Safa Hawani.
“Payah betul cakap dengan kau ni.”
“Kalau payah sangat baik kau diam aje Iqbal.”
Safa Hawani mengerling ke arah Aiman nun di sana. Dia melihat pemuda itu juga bangun dan mengatur langkah ke arah motorsikal yang diparkir tidak jauh dari situ. Dia juga nampak, merah muka Aiman yang berkulit cerah. Ya, dia tidak nafikan Aiman memang kacak. Namun semua itu tidak cukup untuk menggetarkan hatinya. Ahmad Iqbal pernah berkata, ‘satu hari nanti kalau kau berjumpa dengan lelaki idaman, jantung kau akan bergetar. Percayalah cakap aku.’
Sumpah, sampai hari ini jantungnya tak bergetar langsung dengan mana-mana lelaki yang pernah dia jumpa. Adakah Ahmad Iqbal hanya main-main dengannya? Dan dia pula, mengapalah terlalu mengikut kata-kata Ahmad Iqbal yang memang tak masuk akal tu? Dia tersengih sendirian lalu memalingkan muka menghadap Ahmad Iqbal.
“Kenapa tersengih?” Ahmad Iqbal mengerutkan kening.
“Tak ada apa.”
Safa Hawani bertindak mengutip batu-batu kecil di sisinya. Dilontar batu itu ke dalam sungai. Sang ikan yang sedang berenang dengan tenang, pantas mengelak. Semakin galak dia membaling batu-batu kecil itu.
“Sayang pula Safa. Kenapalah kita tak bawa batang kail kita? Banyaklah pula ikan hari ni.”
“Hmm... memanglah banyak. Kau ingat ikan-ikan tu tak cerdik? Nampak bayang kita dengan batang kail, terus bertempiaran lari. Macam tak biasa pula kau ni.”
Ahmad Iqbal sudah ketawa besar. Ketawa yang selama ini puas ‘dikepit’ habis semuanya. Hingga berair kedua matanya. Safa Hawani punya lawak hari ini memang betul-betul membuatkan hatinya digeletek dengan kuat sekali.
“Kau dah kena sampuk ke? Mengilai, teruk dari aku,” terbeliak sedikit mata Safa Hawani dengan tingkah yang belum pernah ditonjolkan oleh Ahmad Iqbal.
“Lawaklah kau ni Safa,”
“Selalu aku buat lawak, tak pernah kau gelak sampai macam ni. Eh, kau mimpi dapat hidayah ke semalam?”
“Hidayah?” Ahmad Iqbal berhenti gelak. Dia menoleh ke arah Safa Hawani.
“Yalah, hidayah nak jadi lelaki sejati?”
“Hahaha... aduh senak perut aku ni,” sambil mengesat tubir mata Ahmad Iqbal menyambung gelaknya lagi.
Safa Hawani mencebik mulut. ‘Buang tabiat ke kawan aku ni?’ Dia bersungut sendirian.
“Kau nak gelak sampai malam ke? Dah nak Maghrib ni, tak nak balik ke?”
Safa Hawani sudah berdiri, menepuk-nepuk seluarnya yang melekat dengan rumput kering. Matanya masih melihat Ahmad Iqbal yang masih bergelak namun sudah sedikit kendur gelaknya itu. Entah apa kena dengan Ahmad Iqbal hari ini? Dia pula, bukan tidak mahu gelak. Mood gembiranya terbantut dengan kehadiran Aiman tadi. Jika tidak, sudah pasti dia tumpang sekaki, bergelak tawa dengan Mat Patah tu.
“Dahlah Iqbal. Simpan sikit gelak kau tu untuk esok. Lekaslah,” gesanya. Geram pula melihat Ahmad Iqbal buat tak endah akan kata-katanya.
“Yalah, yalah. Jom.”
Last edited by wipers81 on 15-10-2014 01:01 PM
|