|
ISU pergolakan melibatkan rumah tangga pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham bukan baru pertama kali diperkatakan.
Perihal rumah tangga pasangan ini mula diperkatakan kira-kira setahun selepas mereka mendirikan rumahtangga pada 16 Mei 2009. Bagaimanapun kedua-duanya menafikan perkara itu.
Terbaru, isu rumah tangga Diana dan Zamarul kembali menjadi perhatian apabila Diana tidak menafikan, dia sering menghabiskan masa bersama anaknya, Kashfi Haikal, 4, berbanding bersama Zamarul.
Pemilik nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar, 32, ini bagaimanapun menegaskan perkahwinannya dengan Zamarul masih bahagia dan masing-masing menjalankan tugas serta tanggungjawab terhadap keluarga.
"Saya masih seperti biasa, sibuk dengan rutin harian, menjaga anak, memasak. Manakala Zamarul sibuk dengan penggambaran.
"Saya akui Zamarul memang sering sibuk dengan penggambaran dan menyebabkan kami jarang dapat ke majlis hiburan atau majlis lain bersama.
"Lagipun kerja kami tidak sama, dia dengan jadualnya dan saya dengan jadual saya. Apa pun setakat ini saya masih lagi bahagia bersama," katanya kepada Zass.
Diana berkata, dia bagaimanapun menghormati keputusan suaminya dan menganggap tidak bergambar bersama sebagai satu masalah.
Katanya, sebaik berita mengenai rumahtangganya kembali diperkatakan, Zamarul tidak memberi sebarang komen mengenai perkara itu.
"Dia hanya diam dan menjalankan rutin seperti biasa. Apa pun yang berlaku, semuanya telah diaturkan oleh ALLAH SWT," tuturnya.
Kembali aktif
Enggan untuk terus berbicara perihal rumah tangganya, Diana berkata, dia kini akan kembali aktif di dalam bidang seni selepas lama bercuti demi menjaga anaknya.
"Dunia seni sudah sebati dalam diri saya, apatah lagi sejak usia lima tahun, saya sudah berkecimpung di dalam bidang ini.
"Alhamdulillah, tawaran lakonan masih lagi tidak putus walaupun sebelum ini banyak yang saya terpaksa tolak. Sekarang saya sedang mempertimbangkan tawaran lakonan yang datang.
"Selain itu, saya juga akan mengeluarkan mini album, Nantikan Aku. Album tersebut didedikasikan khas buat Allahyarham Memen (Rezaimen Kefli, anak Linda Rafar)," katanya yang turut mengakui Zamarul memberi sokongan penuh untuknya kembali dalam bidang seni.
Selain itu, Diana juga baru sahaja dilantik menjadi duta Perla Coffe.
"Alhamdulillah, pada mulanya ada seorang stokis memberi saya produk terbabit untuk dicuba. Setelah tujuh hari mencuba, saya dapat rasa perbezaan apabila kulit saya tidak lagi kusam.
"Kemudian saya ikut Instagram Perla Coffe, dan berkenalan dengan pemiliknya. Dari situ kami berkawan dan tidak sangka dia menawarkan saya untuk menjadi duta dan jurucakap produk mereka," katanya yang turut menjadi duta Sumber Ayu.
'Ikat Diana setahun' - Yusmalisa
Sementara itu, pemilik Perla Coffee, Yusmalisa Shazrenda berkata, pihaknya telah mengikat Diana selama setahun selepas Diana sendiri mencuba produk terbabit selama enam bulan.
"Pada mulanya memang ada stokis kita yang beri untuk dicuba, tapi selepas itu, Diana beli sendiri Perla Coffee kerana ia sesuai dengan dirinya.
"Dari situ kami berhubungan dan rapat, jadi saya tawarkan dia jadi duta. Malah kami tawarkan dia jadi duta bukan kerana dia cantik, tetapi kerana dia sudah mencuba produk ini," katanya.
Ujar Ysmalisa, buat masa ini, pihaknya mengikat Diana sebagai duta selama setahun dan jika mendapat sambutan menggalakkan, dia bercadang untuk meneruskan kontrak bersama Diana.
"Alhamdulillah setakat ini sambutan memang menggalakkan dan selepas kita ambil Diana sebagai duta, ramai mula percaya dan kebanyakan kedai kosmetik di seluruh Malaysia menjual Perla Coffee," katanya yang turut menambah produk Perla Coffee mengandungi Serbuk Mutiara, Lystein, Asid Hyalurinic dan Habatussauda.
|
|