|
Anuar Zain Pentingkan Suntikan Wajah
Melihat penampilan Anuar Zain, 43, pasti ramai mengakui penyanyi popular ini tidak dimakan usia. Dia sentiasa mempesona dengan senyuman menawan. Tidak seperti sesetengah selebriti lain, Anuar Zain sangat berterus-terang tentang penjagaan kesihatan serta rutin penjagaan wajahnya.
Menurut pemilik nama Shahrul Anuar bin Zain ini, dia banyak mengambil suplemen untuk memastikan tubuh badan mendapat khasiat yang diperlukan. Selain itu, dia juga mengakui membuat suntikan vitamin C , kolagen dan sel stem.
“Apabila sudah menginjak ke usia 40-an kita memang kena mengamalkan pengambilan suplemen dan jaga kesihatan kulit. Saya memang agak bertuah kerana tidak menghadapi masalah kulit. Mungkin kerana saya mengikut mak dan ayah. Kedutan di wajah tidak nampak ketara walaupun sudah berusia.
Bagaimanapun, saya juga buat rawatan wajah bagi memastikan kulit sentiasa sihat. Paling penting, buat suntikan vitamin C dan kolagen. Terbaru, saya mencuba suntikan sel stem. Semua rawatan ini saya buat secara berjadual. Memang pada peringkat awal kena buat secara kerap, tetapi selepas itu tidak perlu. Hanya buat apabila perlu,” ujar Anuar yang enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan rawatan wajahnya kepada umum.
Dalam masa yang sama, Anuar juga sempat berkongsi cerita tentang citarasanya dalam berfesyen. Jelas Anuar dia bukan seorang yang mementingkan jenama. Sebaliknya, selesa mengenakan sebarang jenama asalkan potongan pakaian itu sesuai untuk digayakannya.
Tujuh atau lapan tahun lalu memang saya penting jenama. Tetapi kini tidak lagi. Asalkan bersesuaian dengan saya, saya akan pakai. Jenama tidak penting,” ulas Anuar ringkas.
Tak Kisah Tiada Anak
Sementara itu, Anuar juga sempat berbicara soal jodoh. Jelas pelantun lagu ‘Lelaki Ini’, bukan dia tidak mengimpikan sebuah perkahwinan, tetapi sehingga kini jodohnya masih belum sampai.
“Saya bukan tidak mahu berkahwin, tetapi jodoh saya masih belum sampai. Memang mak dan ayah juga selalu bertanya. Ayah juga ada juga cadangkan beberapa nama, tetapi saya tidak mahu kerana saya tidak kenal dengan mereka. Malah, ada juga makcik-makcik atau peminat yang hendak jodohkan saya dengan anak mereka, tetapi saya tidak mahu.
Kalau ditakdirkan saya tidak berkahwin dan tidak punya anak sampai ke tua, saya redha. Saya tidak takut tidak ada orang yang akan menjaga saya. Rumah orang-orang tua kan ada. Saya boleh masuk ke rumah orang-orang tua dan dijaga sana. Saya tidak kisah. Saya tidak melihat kemasukkan ke rumah orang-orang tua itu sebagai satu masalah. Di sana ramai kawan-kawan dan kita juga akan dijaga dengan baik,” ulas Anuar. -
|
|