CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
Post time 14-1-2026 10:41 PM From the mobile phone | Show all posts
Vellfire replied at 14-1-2026 08:18 AM

check in
tq invite

Comments

TQ nov  Post time 15-1-2026 08:12 AM

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 15-1-2026 05:45 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 15-1-2026 07:46 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 08:12 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 08:18 AM | Show all posts
STB perkukuh misi perdagangan strategik di Vietnam
Januari 14, 2026, Rabu - 3:16pm



SEMINAR: Delegasi Sabah merakamkan kenangan bersama sempena Seminar Sabah dan Sesi B2B di Vietnam baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berjaya menamatkan misi perdagangan strategiknya ke Vietnam dengan penganjuran Seminar Sabah dan Sesi B2B di Hotel Sheraton Saigon Grand Opera, Ho Chi Minh City, pada 12 Januari lepas.

Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Sabah Enhanced Travel Innovation Association (SETIA) dan Tourism Malaysia melibatkan 20 orang delegasi Sabah termasuk 16 ejen pelancongan.

Seminar dan sesi B2B itu berfungsi sebagai platform jaringan yang melibatkan para delegasi dalam perbincangan perniagaan secara 'tabletop' bersama rakan industri pelancongan terkemuka dari Ho Chi Minh City.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit berkata, seramai 65 pembeli yang mewakili ejen tempatan Vietnam menghadiri acara itu.

Katanya, sambutan memberangsangkan itu sekali gus mencerminkan minat positif dalam memasarkan Sabah kepada pelancong Vietnam.

Menurutnya, misi berkenaan turut mengetengahkan mengenai penerbangan terus AirAsia dari Ho Chi Minh City ke Kota Kinabalu, yang memanfaatkan kesalinghubungan secara lancar dan memendekkan masa perjalanan kepada hanya lebih dua jam.

"Vietnam adalah pasaran baharu yang penting bagi kami. Melalui penglibatan pemain industri, kami komited untuk meluaskan rangkaian serta membina kerjasama jangka panjang dengan rakan perdagangan Vietnam.

"Inisiatif bersasar ini bertujuan membuka peluang pertumbuhan baharu dan memupuk perkongsian bernilai tinggi antara pakar pelancongan Sabah dan pasaran pelancongan keluar Vietnam yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan di sini.



BINCANG: Sesi B2B yang dianjurkan STB memperkenalkan destinasi pelancongan menarik di Sabah kepada ejen pelancongan Vietnam.

Beliau berkata, Sabah turut merancang lebih awal bagi mercu tanda utama pelancongan iaitu Tahun Melawat Sabah 2027 seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, ia dilaksanakan di bawah penjenamaan baharu, 'Explore Sabah-Naturally Inspiring, Beyond Ordinary', dengan menampilkan Sabah sebagai destinasi global utama bagi budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.

"Dengan pengenalan terkini 10 World’s Best in Sabah, Sabah terus mengukuhkan tarikan berasaskan alam semula jadi bertaraf dunia dan aktiviti pengembaraan.

"Ia termasuk pendakian ikonik Gunung Kinabalu sebagai pengalaman 'bucket-list' bertaraf tinggi bagi pencinta pengembaraan dari Vietnam. Selain itu, lima lagi puncak tertinggi Malaysia yang terletak di Sabah wajar diberikan pengiktirafan.

"Selain tarikan pergunungan, aktiviti menyelam kekal sebagai daya tarikan utama yang membawa penyelam untuk meneroka biodiversiti marin di perairan sekitar Kepulauan Semporna dan Taman Marin Tunku Abdul Rahman, yang terletak berhampiran bandaraya Kota Kinabalu," jelasnya.

Katanya, hidupan liar ikonik Borneo seperti orang utan, gajah Borneo dan beruang matahari turut menarik perhatian pengunjung.
Beliau berkata, pengalaman pengunjung ke negeri ini dilengkapi dengan kekayaan warisan budaya Sabah, dengan lebih 30 kumpulan etnik membentuk naratif tradisi Borneo yang unik.

"STB kekal komited terhadap pembangunan pelancongan mampan bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan bertanggungjawab.

"Pengendali pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) turut mendapat sokongan berterusannya STB sebagai tonggak pembangunan inklusif.

"Baru-baru ini, lima pengendali CoBT Sabah menerima pengiktirafan peringkat kebangsaan di bawah Piawaian Pelancongan ASEAN, sekali gus menetapkan penanda aras kepada pengendali CoBT lain di rantau ini," katanya.

Menurutnya, dengan gabungan tarikan alam semula jadi, pengembaraan dan pengalaman budaya, Sabah bersedia mengalu-alukan pelancong Vietnam yang mencari pengalaman perjalanan unik di Borneo.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 08:19 AM | Show all posts
MPI lanjut tarikh Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2025
Januari 14, 2026, Rabu - 3:24pm



YONG SOO HEONG

KOTA KINABALU: Tarikh tutup penyertaan bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS 2025 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dilanjutkan sehingga 30 Januari 2026.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong (gambar) berkata, pelanjutan tempoh itu bagi memberi peluang tambahan kepada pengamal media daripada pelbagai platform termasuk media cetak, penyiaran televisyen, radio, portal berita serta kandungan digital untuk meneliti semula pemilihan karya dan menghantar penyertaan terbaik mereka.

“Langkah ini juga bertujuan memastikan penyertaan yang lebih menyeluruh dan berkualiti, selaras dengan usaha MPI mengiktiraf kecemerlangan serta sumbangan pengamal media dalam memperkukuh landskap kewartawanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua organisasi media, wartawan dan pengamal media disaran agar memanfaatkan tempoh lanjutan ini bagi mengenal pasti serta menghantar karya-karya terbaik untuk dipertandingkan.

Katanya, maklumat lanjut berkaitan syarat penyertaan, panduan serta borang penyertaan boleh didapati menerusi pautan https://www.mpi.my/award/hkm-2025.

Menurutnya, Hadiah Kewartawanan Malaysia merupakan anugerah tertinggi di peringkat nasional yang mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik negara sejak diperkenalkan pada 1980.

Beliau berkata, anugerah berprestij ini menjadi penanda aras kecemerlangan serta platform utama dalam memperkukuh profesionalisme dan etika kewartawanan.  

"Dengan sokongan berterusan PETRONAS sebagai penaja utama, jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM450,000 disediakan bagi menghargai sumbangan pengamal media daripada pelbagai platform," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pegawai MPI Salman Husni Abdollah di talian 03-86892717 atau melalui emel [email protected].


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 15-1-2026 08:20 AM | Show all posts
Pengiktirafan International Cittaslow bantu Kiulu perkasa pelancongan luar bandar
Januari 14, 2026, Rabu - 3:32pm



KERJASAMA: Joniston bersama Pang (lima kanan), Meijin (lima kiri) dan Liang (dua kanan) serta wakil Universiti Nanhua bergambar kenangan semasa sesi pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Usaha untuk menyenaraikan Kiulu dalam rangkaian International Cittaslow dijangka mampu meletakkan Sabah dan Malaysia di peta global sebagai destinasi pelancongan mampan dan berteraskan komuniti.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pengiktirafan International Cittaslow akan mengangkat kedudukan Kiulu dalam segmen pelancongan luar bandar.

Katanya, langkah itu turut mengukuhkan peranan Sabah sebagai model pelancongan berasaskan komuniti.

"Kiulu sememangnya mempunyai asas pelancongan berasaskan komuniti yang kukuh dan International Cittaslow membantu kita menyusun kekuatan ini ke dalam satu piawaian yang diiktiraf, meningkatkan konsistensi serta mewujudkan keyakinan pasaran yang lebih tinggi kepada pelawat dan pengendali.

"Inisiatif ini juga akan memberi manfaat kepada Sabah dan Malaysia dengan mempromosikan pelancongan mampan, mewujudkan peluang ekonomi, serta mempamerkan budaya, pertanian tempatan dan warisan semula jadi kita kepada pelawat antarabangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan bersama wakil Malaysia Talent Education and Industry-Academia Collaboration Association (M-TEIA), Pang Thou Chong; Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Meijin Manggingow, serta delegasi Universiti Nanhua, Taiwan yang diketuai oleh Profesor Madya Liang Yi-Tsung.

Pasukan universiti itu berada di Kiulu dari 10 hingga 19 Januari bagi menjalankan kursus sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh pensijilan International Cittaslow pertama di Malaysia.

Di bawah kerjasama ini, Jabatan Pengurusan Pelancongan Universiti Nanhua menempatkan pensyarah dan pelajar untuk bekerjasama secara langsung dengan komuniti Kiulu melalui bengkel, demonstrasi dan penglibatan di lapangan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk membantu pengusaha pelancongan luar bandar membangunkan produk kulinari bernilai tambah menggunakan hasil tempatan seperti ubi kayu, pisang, keledek dan buah sitrus, sekali gus meningkatkan kualiti produk dan pengalaman pelawat selaras dengan nilai International Cittaslow.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, rangka kerja International Cittaslow menyediakan struktur yang jelas untuk meningkatkan kualiti produk, pengurusan pelawat dan penglibatan komuniti.

Beliau berkata, penglibatan universiti yang mempunyai pengalaman terbukti dapat mempercepatkan tahap kesiapsiagaan tempatan melalui pelaksanaan praktikal di lapangan.

Menurutnya, Universiti Nanhua diiktiraf sebagai Rakan Cittaslow International dan mempunyai pengalaman luas membimbing komuniti di Taiwan melalui rangka kerja International Cittaslow dengan mengintegrasikan konsep kehidupan perlahan, makanan perlahan dan model ekonomi berasaskan komuniti.

Sementara itu Liang berkata, berdasarkan penilaian pihaknya, Kiulu sejajar dengan kebanyakan garis panduan dan hanya perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan konsistensi serta dokumentasi bagi menyokong proses pensijilan.

Beliau berkata, usaha ini juga perlu menekankan kelestarian serta pemerkasaan ekonomi komuniti melalui aktiviti pertanian, alam semula jadi dan kebudayaan.

Tahun lalu, M-TEIA mencadangkan Kiulu untuk menyertai rangkaian International Cittaslow dan menghubungkan inisiatif pelancongan berasaskan komuniti STB dengan Perikatan Cittaslow Taiwan.

M-TEIA dan STB turut menganjurkan bersama seminar pertukaran antarabangsa di Kiulu pada Ogos tahun lalu, bagi memupuk perkongsian pengetahuan dan membina hubungan dengan Universiti Nanhua.

Sehubungan itu, Persatuan Pelancongan Kiulu bekerjasama dengan Universiti Nanhua untuk melancarkan program latihan selama tiga tahun melibatkan 15 petani, yang memberi tumpuan kepada penanaman nanas, pemprosesan produk serta pembangunan agropelancongan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 08:22 AM | Show all posts
Penyelam skuba perlu peka tahap kekuatan mental sendiri
Januari 14, 2026, Rabu - 3:38pm



PENGALAMAN: Ahli Sabah Dive Squad Club berpeluang merasai pengalaman menggunakan kebuk hiperbarik berteknologi tinggi.

KOTA KINABALU: Penyelam skuba digesa supaya sentiasa peka terhadap tahap kekuatan dan keadaan mental sendiri ketika melakukan selaman dalam.

Penasihat Perubatan Selam Skuba Kol. Dr. Eugene Tan Choon Li berkata, penyelam perlu mengetahui dan memahami bagaimana kedalaman selaman boleh mempengaruhi keadaan mental mereka.

Katanya, bagi penyelam berpengalaman, mereka sepatutnya memainkan peranan dalam mendidik orang lain mengenai bahaya selaman dalam.

"Kita seharusnya memaklumkan orang ramai tentang risiko untuk terlibat dalam aktiviti selaman dalam,” katanya kepada 14 ahli Sabah Dive Squad Club di sini hari ini.

Ahli kelab berkenaan turut berpeluang merasai pengalaman sendiri menggunakan kebuk hiperbarik berteknologi tinggi yang terdapat di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

Sabah Dive Squad Club diketuai presidennya Sim Fui, berada di dalam kebuk berkenaan selama kira-kira 40 minit, termasuk tempoh singkat pada kedalaman simulasi maksimum 40 meter.

Pada kedalaman 30 dan 40 meter, para peserta diuji dengan soalan oleh Pegawai Waran Pertama hospital, Almudi Eskal, bagi menunjukkan keadaan mental boleh terjejas semasa selaman dalam.

Eugene turut memberi taklimat kepada rombongan itu mengenai komplikasi lain yang berkaitan dengan aktiviti selam skuba seperti penyakit penyahmampatan (decompression sickness) dan barotrauma.



ALAT: Kebuk hiperbarik bernilai jutaan ringgit mampu membantu merawat kecemasan perubatan berkaitan selaman.

Pakar Perubatan Dalaman hospital itu berkata, kebuk hiperbarik bernilai jutaan ringgit berkenaan mampu membantu merawat kecemasan perubatan berkaitan selaman serta keadaan lain seperti kecederaan dan jangkitan kulit, keracunan karbon monoksida, anemia teruk dan kehilangan pendengaran secara tiba-tiba.

Sementara itu, Sim berkata, peluang yang jarang diperoleh itu meningkatkan kesedaran yang penting dalam mencegah kemalangan serta memastikan kelangsungan keseronokan jangka panjang dalam sukan berkenaan.

“Pendedahan secara praktikal ini memberikan pengetahuan yang amat bernilai dan tidak dapat diperoleh melalui teori semata-mata.

“Lebih penting lagi, ia mengukuhkan kepentingan keselamatan, disiplin dan pertimbangan yang waras dalam selaman rekreasi.

“Lawatan ini benar-benar mengingatkan kita walaupun menyelam dengan penuh minat dan emosi, kita mesti sentiasa menyelam dengan pemikiran rasional serta menghormati had kemampuan diri,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-1-2026 08:27 AM | Show all posts
Christina dilantik penasihat kehormat SCCC bagi penggal ketiga
Januari 14, 2026, Rabu - 6:21pm



JEMPUTAN: Christina (tengah) menerima jemputan ke majlis pelantikan Jawatankuasa Eksekutif baharu SCCC bagi penggal 2025–2028.

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dilantik sebagai Penasihat Kehormat Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) bagi penggal ketiga berturut-turut.

Surat pelantikan disampaikan oleh Presiden SCCC, Datuk Frankie Liew semasa kunjungan hormat delegasi sembilan ahli dewan itu di pejabat Christina di sini.

Christina turut menerima jemputan sebagai tetamu kehormat bagi majlis pelantikan Jawatankuasa Eksekutif baharu SCCC bagi penggal 2025 hingga 2028 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Mac ini di Dewan Hakka Sabah.

Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Naib Presiden SCCC K.J. Tan dan H.H. Chiew serta ahli jawatankuasa Chin Hui Zhi, Yee Shi Ping, Chan Jun Git, Lucas Kwan, Cydia Liu dan Leo Liew.



KUNJUNGAN: Christina (kiri) semasa memberi pendapat kepada Frankie (kanan), semasa kunjungan hormat di pejabatnya.

Dalam sesi taklimat, Frankie memaklumkan SCCC menubuhkan Jabatan Jaringan Perniagaan dan Fasilitasi Pelaburan bagi membantu rakan niaga dari Republik Rakyat China meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Sabah.

Menurutnya, jabatan yang diterajui Cydia Liu itu berperanan mengatur sesi jaringan perniagaan antara pelabur China dan pemain industri tempatan sepanjang lawatan pertukaran ke negeri ini.

Christina berkata, kepimpinan SCCC kini berada pada landasan kukuh untuk memperkukuh kerjasama dengan pelbagai wilayah di China, khususnya dalam bidang teras seperti perdagangan, pertanian, teknologi, pembangunan kebudayaan dan pelancongan dua hala.

Beliau yakin terhadap keupayaan SCCC memperluas jaringan di China melalui penubuhan pejabat perhubungan di Foshan, Guangzhou dan Jilin, sekali gus meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan China.

Menurutnya, peningkatan keterlihatan SCCC di China turut membantu memperkukuh pengiktirafan dewan itu dalam kalangan syarikat dan perusahaan perniagaan di negara berkenaan.

Sejak 2024 hingga Disember tahun lalu, SCCC menganjurkan lawatan pertukaran dengan beberapa wilayah di China termasuk Zhejiang, Shenzhen, Guizhou, Henan, Fujian dan Shanghai bagi merancakkan perdagangan, pelaburan, kerjasama ekonomi serta pertukaran budaya antara Sabah dan China.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 08:29 AM | Show all posts
Dzulkornain dilantik sebagai Setiausaha Tetap MYSED yang baharu
Januari 14, 2026, Rabu - 2:35pm



Abdul Karim (dua kiri) dan Ripin menyaksikan Majlis Menandatangani Serah Terima Tugas antara Morshidi dan Dzulkornain di Kuching semalam. - Gambar UKAS

KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) terus komited memastikan kesinambungan perancangan strategik kementerian berjalan lancar dan tersusun melalui perubahan dalam kepimpinan pengurusan tertingginya.

Ia menyaksikan pelantikan Setiausaha Tetap baharu, Dzulkornain Masron yang menggantikan Morshidi Fredrick yang dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis penyerahan tugas Setiausaha Tetap MYSED yang diadakan di English Tea House di sini semalam turut disaksikan oleh Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Morshidi sepanjang menerajui pentadbiran kementerian.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dzulkornain serta menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan beliau untuk mengemudi kementerian ke arah pencapaian lebih progresif selaras aspirasi pembangunan Sarawak.

Majlis tersebut bukan sekadar simbol peralihan kepimpinan malah mencerminkan komitmen kementerian untuk memperkukuh tadbir urus pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada belia, atlet dan usahawan muda di Sarawak.

Abdul Karim turut menyatakan keutamaan akan diberikan kepada usaha memperluas peluang pembangunan belia, meningkatkan prestasi sukan negeri serta merancakkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan sebagai pemacu ekonomi masa depan Sarawak.

Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri MYSED Datuk Dr Ripin Lamat, pegawai-pegawai kanan kementerian, pengurusan MYSED Bahagian, pengurus Dewan Suarah serta pengetua Kem Belia.

Majlis berakhir dengan penyerahan dokumen rasmi dan bergambar sebagai simbol amanah kepimpinan baharu demi memastikan kelangsungan agenda pembangunan belia, sukan dan keusahawanan Sarawak terus dipacu secara mampan dan berfokus.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Post time 15-1-2026 09:31 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:31 AM | Show all posts
Awang Mohd Fadillah dilantik sebagai pengarah baharu EPU Sarawak
Januari 14, 2026, Rabu - 2:37pm



Muhammad (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Lester dan Awang Mohd Fadillah yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Kepimpinan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak kini diterajui Datu Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan susulan pelantikan rasmi beliau sebagai pengarah baharu.

Ia bagi menggantikan Datu Lester Matthew yang kini memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED).

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pelantikan secara simbolik disempurnakan menerusi Majlis Serah Tugas Rasmi yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Muhammad Abdullah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Lester sepanjang menerajui EPU Sarawak khususnya dalam memperkukuh perancangan strategik dan penyelarasan dasar.

Di samping itu, ia turut merangkumi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan negeri serta mengekalkan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi.

Beliau turut mengalu-alukan pelantikan Awang Mohd Fadillah sebagai pengarah baharu EPU Sarawak serta menyatakan keyakinan terhadap keupayaan beliau untuk meneruskan kesinambungan agenda pembangunan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Premier Sarawak.

Sementara itu, Lester dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhammad Abdullah atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga EPU Sarawak atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.

Awang Mohd Fadillah pula menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya serta menegaskan komitmen untuk memimpin EPU Sarawak dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi, di samping memberi penekanan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Majlis berkenaan mencerminkan peralihan tanggungjawab yang lancar dan teratur sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak terhadap amalan tadbir urus yang baik serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan awam negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:33 AM | Show all posts
Anyi rasmikan projek naik taraf di Sungai Jih
Januari 14, 2026, Rabu - 2:40pm



Andy (empat kiri) bersama Anyi (enam kiri) ketika merasmikan projek pembesaran Bilik Gerakan PBS Sungai Jih. Turut kelihatan Tuai Rumah Ingai (lima kiri) serta yang lain.

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana telah merasmikan projek jalan simen, lampu solar dan pembesaran Bilik Gerakan Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Jih di sini, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Rumah Ingai Achot, Kilometer (KM) 11, Jalan Nibong Tada itu turut dimeriahkan dengan sambutan Tahun Baharu 2026.

Dalam ucapannya, Anyi memuji usaha gigih penduduk Rumah Ingai dalam menjayakan projek-projek tersebut, yang dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

Beliau juga memberitahu, PBS Sungai Jih merupakan satu-satunya PBS di Kanowit setakat ini.

"Kita berharap ada lagi persatuan atau PBS seperti ini ditubuhkan di tempat lain di daerah ini nanti," ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie yang turut hadir sama merasmikan Bilik Gerakan PBS Sungai Jih percaya kegiatan PBS amat membantu penduduk rumah panjang.



Anggota PBS Sungai Jih ketika demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api.

Menurut beliau, bantuan bomba adalah dari segi keselamatan, menggunakan alat pemadam api, mencegah kebakaran terutama di dapur, membasmi musuh ternakan serta menangkap haiwan berbisa seperti ular.

Pada majlis tersebut, Anyi turut meluluskan dana berjumlah RM8,000 bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ingai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:34 AM | Show all posts
Ahmad Selihin dilantik sebagai Pengarah JBALB yang baharu
Januari 14, 2026, Rabu - 2:52pm



Jafri (empat kiri) menyaksikan penyerahan nota serah tugas antara Ahmad Selihin (tiga kiri) dan Awang Mohammad Fadillah (empat kanan) pada satu majlis hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ahmad Selihin Che Said dilantik sebagai Pengarah JBALB yang baharu berkuat kuasa esok.

Beliau menggantikan Datu Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan yang kini menyandang jawatan Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengarah JBALB Sarawak telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Tingkat 8 di Menara LCDA di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan sebagai proses rasmi penyerahan tanggungjawab kepimpinan serta kesinambungan tadbir urus jabatan.

Majlis tersebut disaksikan oleh Setiausaha Tetap MUT Datu Jafri Lias.

Dalam ucapannya, Jafri merakamkan penghargaan atas perkhidmatan dan sumbangan Awang Mohammad Fadillah sepanjang beliau dilantik sebagai Pengarah JBALB.

Awang Mohammad Fadillah menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah JBALB selepas memegang jawatan itu bermula 2 Januari 2024 hingga 14 Januari 2026.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy Berhad Dato James Ung, Ketua Seksyen Kewangan Sarawak Water Sdn Bhd Mohamad Adzman Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:34 AM | Show all posts
Kenderaan terbabas ke dalam parit, lelaki cedera ringan
Januari 14, 2026, Rabu - 3:08pm

KUCHING: Seorang lelaki cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Taman Hui Sing di sini, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.06 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 11.11 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas ke dalam parit.

“Mangsa lelaki dewasa ditemui dalam keadaan lemah dengan kecederaan ringan di bahagian kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai oleh PBK I Chaplin Wan dengan kekuatan lapan anggota serta sebuah jentera dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.37 pagi.

Selepas memastikan keadaan selamat, jentera bersama anggota bertolak kembali ke balai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:36 AM | Show all posts
Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat daripada Pejabat Ombudsman Sarawak
Januari 14, 2026, Rabu - 3:25pm



Tun Wan Junaidi menerima cenderamata daripada Juanda (lima kiri) sambil diperhatikan delegasi lain. Turut kelihatan Toh Puan Fauziah (lima kanan). - Gambar Penerangan

KUCHING: Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak di kediaman rasmi beliau di sini.

Menurut satu kenyataan, kunjungan itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya bagi memaklumkan peranan serta perkembangan Pejabat Ombudsman Sarawak sebagai sebuah institusi pengawasan bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023.

Sebagai institusi yang diberi mandat untuk menangani salah tadbir, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam serta mempromosikan keadilan, ketelusan dan integriti dalam sektor awam, Pejabat Ombudsman Sarawak turut berkongsi kepada Tun Wan Junaidi mengenai pencapaian utama sepanjang tahun 2025 yang menumpukan kepada pembangunan institusi, libat urus pihak berkepentingan dan pembinaan kapasiti.

Antara pencapaian utama yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran Sesi 'Town Hall' bersama agensi perkhidmatan awam, penganjuran Hari Ombudsman Sarawak 2025 serta lawatan kerja antarabangsa ke Sweden, United Kingdom dan Australia bagi mempelajari amalan terbaik pengendalian aduan dan penyiasatan.

Berdasarkan pencapaian tersebut, pihak delegasi turut memaklumkan kepada Tun Wan Junaidi bahawa program utama bagi tahun 2026 akan memberi penekanan kepada peluasan jangkauan dan kesedaran awam di seluruh Sarawak.

Ia termasuk pemantapan pengurusan aduan dan proses penyiasatan yang lebih efektif, latihan profesional berstruktur untuk meningkatkan kepakaran kakitangan serta libat urus serantau dan antarabangsa yang berterusan demi menyokong tadbir urus yang berpaksikan rakyat.

Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi turut diperkenalkan kepada pegawai-pegawai baharu Pejabat Ombudsman Sarawak termasuk Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak yang menjalankan tugas Ketua Ombudsman Sarawak Alexander Unya Ambon, Ombudsman Albert Tang Yew Liong dan Ombudsman Toieyah Tioh.

Turut hadir ialah isteri Tun Wan Junaidi iaitu Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman, Penolong Pengarah Kanan Pejabat Ombudsman Sarawak Sukri Mohtar serta pegawai-pegawai Pejabat Ombudsman Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-1-2026 09:39 AM | Show all posts
​​​​​​​Lelaki bakar harta benda keluarga ditangkap polis
Januari 14, 2026, Rabu - 3:41pm

LAWAS: Seorang lelaki ditangkap kerana dipercayai bertindak membakar harta benda milik keluarganya di Jalan Ba’Kelalan di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan jam 12.56 tengah hari pada Isnin lepas.

Katanya, satu laporan polis diterima pihaknya daripada mangsa yang juga keluarga terdekat suspek pada Ahad lepas berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan kesalahan lampau mendapati suspek  tidak mempunyai kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, dalam kes berasingan seorang lelaki ditahan pada jam 5.10 petang Isnin lepas di hadapan rumahnya di Jalan Lawas Damit kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai buruh itu ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan tubuh badan dibuat, pihak polis berjaya menemui dan merampas satu keratan tiub penyedut minuman berisi hablur-hablur kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 1.11 gram,” katanya.

Beliau menjelaskan, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah.

Liong berkata, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja swasta kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Semasa pemeriksaan tubuh badan dibuat, pihak polis tidak menemui barang salah atau dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan kesalahan lampau mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:39 AM | Show all posts
Wanita maut dalam nahas empat kenderaan di lampu isyarat Kemuyang
Januari 14, 2026, Rabu - 3:48pm

SIBU: Seorang wanita maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan berhampiran lampu isyarat Kemuyang, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, loceng kecemasan dibunyikan pada jam 11.38 pagi dan jentera keluar satu minit kemudian sebelum tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit.

“Operasi menyelamat dimulakan pada jam 11.59 pagi dan keadaan berjaya dikawal pada jam 12.04 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Andy berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.41 tengah hari sebelum jentera bertolak balik ke balai.

Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat kenderaan dan mengakibatkan dua mangsa tersepit di dalam salah sebuah kenderaan.

“Seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah, manakala seorang wanita dilaporkan tidak sedarkan diri ketika ditemui,” katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamat serta pengusung papan tulang belakang bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat itu melibatkan sebuah jentera pemadam kebakaran dan sebuah kenderaan perkhidmatan perubatan kecemasan bersama kekuatan anggota BBP Sungai Merah.

Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, operasi turut disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM), ambulans serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu mengawal lalu lintas dan pengurusan lokasi kejadian.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:40 AM | Show all posts
Pasukan tarian singa SMK Tung Hua terima enam kepala singa
Januari 14, 2026, Rabu - 4:05pm



Pengarah Urusan Forward Marine Enterprise Dato Sri Tang Tiong Tai melaksanakan upacara 'menitik mata' pada kepala singa.

SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua telah menerima enam kepala singa baharu untuk pasukan tarian singanya hari ini, sekali gus memperkukuh lagi program kebudayaan sekolah yang telah lama bertapak.

Sumbangan tersebut ditaja dua syarikat tempatan iaitu Galilee Marine Supply Sdn Bhd dan Forward Marine Enterprise Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan, pihak sekolah memaklumkan bahawa pasukan tarian singa SMK Tung Hua telah melalui perjalanan yang membanggakan selama 20 tahun sejak penubuhannya, menyatukan generasi pelajar melalui dedikasi, disiplin dan warisan budaya.

"Dua dekad komitmen telah membina asas budaya yang kukuh untuk pasukan ini, hasil gabungan kerja keras dan semangat generasi ahli yang berterusan," menurut kenyataan itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah bimbingan jurulatih Liu Gongfu, pasukan tersebut telah mempersembahkan persembahan yang amat cemerlang.

"Sama ada dari segi kemahiran teknikal, koordinasi pasukan mahupun persembahan di pentas, para ahli terus mencabar kemampuan diri, sekali gus menerima pujian berterusan daripada penonton dan penganjur acara," katanya.

Dengan tahap prestasi yang semakin meningkat, pasukan itu telah mencapai keputusan memberangsangkan dalam pelbagai pertandingan tarian singa antara sekolah yang mencerminkan ketabahan, kekuatan dan semangat juang para pelajar SMK Tung Hua.

Selain di peringkat sekolah, pasukan tersebut juga menerima pengiktirafan luas daripada masyarakat dan sering dijemput untuk membuat persembahan di acara awam dan persendirian, termasuk majlis sambutan, pembukaan kedai, upacara perasmian serta jamuan.

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, pasukan itu sekali lagi akan terlibat dalam persembahan perayaan, menyebarkan kegembiraan dan keberkatan melalui tarian singa yang penuh warna-warni, di samping mempamerkan kekayaan budaya tradisional Cina.

Pihak sekolah memaklumkan bahawa sebahagian daripada dana yang dikumpul melalui persembahan disalurkan kembali bagi menyokong aktiviti sekolah, membeli kemudahan serta menampung operasi harian pasukan tarian singa.

"Melalui pengalaman ini, para pelajar memupuk rasa syukur, tanggungjawab dan semangat memberi kembali kepada masyarakat, menjadikan tarian singa bukan sekadar satu kemahiran tetapi satu bentuk pendidikan dan warisan budaya," tambah kenyataan itu.

Mereka yang berminat untuk menjemput Pasukan Tarian Singa SMK Tung Hua boleh menghubungi 016-874 1666 (Liu), 016-809 8608 (Wen) atau 013-856 9105 (Jenny).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2026 09:43 AM | Show all posts
MPKS jalan operasi pembersihan terhadap struktur gerai penjaja terbiar dan rosak
Januari 14, 2026, Rabu - 4:08pm



Bahagian Penguatkuasaan MPKS ketika menjalankan operasi pembersihan struktur gerai penjaja terbiar dan rosak di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menjalankan operasi pembersihan terhadap struktur gerai penjaja terbiar dan rosak di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan, hari ini.

Menurut MPKS, operasi tersebut bertujuan memastikan kebersihan persekitaran awam terus terpelihara, mengekalkan keindahan landskap kawasan serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.

“Tujuan operasi ini adalah untuk memberi kesedaran kepada peniaga mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan keselesaan penduduk, selain memelihara kebersihan persekitaran awam serta mengekalkan keindahan landskap kawasan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi MPKS hari ini.



Bahagian Penguatkuasaan MPKS ketika menjalankan operasi pembersihan struktur gerai penjaja terbiar dan rosak di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan hari ini.

MPKS berkata, semua struktur dan barangan yang dirampas sepanjang operasi akan dilupuskan mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

Sehubungan itu, MPKS mengingatkan para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan perniagaan masing-masing, menggunakan kemudahan yang disediakan secara berhemah serta mematuhi standard penyediaan makanan yang bersih, selamat dan berkualiti.

MPKS menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang bersih, kondusif dan selamat untuk kegunaan bersama.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2026 01:19 AM GMT+8 , Processed in 0.087081 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list