CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: budakpendekk

Arkib Berita Ziana Zain Bersama Utusan Malaysia

 Close [Copy link]
 Author| Post time 24-6-2007 10:11 AM | Show all posts
Kejutan untuk peminat - `Ia akan terjadi pada pertengahan atau penghujung 2005'

Oleh WANDA IDRIS

Source : Utusan Malaysia
Date : 31/03/2005

APABILA Ziana Zain kembali ke layar perak, tindakannya itu dilihat seakan-akan memungkiri janjinya sendiri. Masakan tidak, apabila dia mengambil keputusan untuk menikahi pramugara kanan Penerbangan Malaysia (MAS), Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin pada 9 Mei 1998, dia sudah menanam tekad, tidak mahu berlakon lagi.

Alasannya, untuk menjaga hati suami dan tidak mahu anak-anaknya melihat lakonannya kelak.

Namun itu janjinya tujuh tahun lalu. Hari ini, sudah tiga buah filem dilakonkan. Pertama; Sembilu 2005 yang sedang hangat sambutannya di pawagam dan kedua Pontianak Menjerit yang menanti giliran untuk ditayangkan.

Terbaru, dia sibuk menjalani penggambaran filem Qabil Khushri Qabil Igam, terbitan Sonata Filem yang membabitkan kos pembikinan mencecah RM2 juta.

Ketika mengadakan fotografi dengan Ziana baru-baru ini, Utusan Malaysia bertanyakan soalan yang sama.

Namun ibu kepada Muhammad Aiman dan Muhamad Amar itu punya alasan tersendiri. Kata Ziana, selain permintaan peminat, dorongan daripada rakan artis sendiri membuatkan dirinya teruja untuk melayari kembali dunia yang satu itu.

Lebih penting, suaminya merestui penglibatannya.

Ziana sendiri dalam nada guraunya memberitahu, ``Sudah tiba masa saya kena keluar dari sangkar.

``Peminat setia selalu bertanya bila lagi nak berlakon. Jumpa pula rakan-rakan, juga bertanya soalan yang sama. Mereka selalu kata, jangan sia-siakan bakat yang ada. Armin pula tidak membantah, cuma katanya, pandai-pandai bawa diri. Iyalah kita ni kan isteri orang.

``Dalam masa yang sama, tawaran yang datang juga tidak mampu ditolak. Datuk Yusof Haslam misalnya, selalu bertanya bila nak berlakon dengan dia.

``Kemudian pula dapat tawaran Qabil Khushri Qabil Igam. Bukan sahaja ceritanya mengagumkan malah bayarannya juga `lebat'.

``Mungkin tidak sampai ratusan ribu, tapi cukuplah untuk cover tahun-tahun saya tidak bekerja,'' kata Ziana sambil ketawa nakal.

Seketika kemudian dia kembali serius dan menjelaskan pendiriannya.

Kata Ziana, dia perlu `melupakan bidang seni lakon' saat mengambil keputusan untuk berumah tangga untuk mengenali suaminya lebih rapat.

``Tahu sajalah, walaupun saya kenal Armin tapi hanya sebagai kawan dan kemudiannya bertunang dan baru nak bercinta.

``Itupun bukan dapat bebas dating. Tapi sempat jugalah tonton filem Titanic bersama waktu zaman bercinta tu.

``Jadi apabila kahwin, saya rasa itulah waktu terbaik untuk proses mengenali suami dan hati budi masing-masing.

``Kemudian dapat pula anak. Dah berkeluarga, tahu sajalah sibuknya. Lagipun, tak sanggup rasanya meninggalkan mereka yang masih kecil.

``Sekarang mereka dah besar, Aiman pun dah bersekolah tadika dan Amar pula sudah semakin cerdik.

Tinggal

``Jadi taklah terasa sangat tinggalkan mereka. Pembantu rumah pun dah ada. Lagipun ini rezeki anak-anak juga...'' jelasnya.

Ziana yang mula diperkenalkan menerusi filem Sembilu juga tidak menolak tanggapan bahawa dia kembali ke dunia lakonan kerana merindui bidang tersebut.

Tambahan pula, katanya, watak-watak yang ditawarkan memberi impak berlainan dalam kerjaya seni lakonnya.

Jika dalam Sembilu 2005 dia terus dipertanggungjawabkan menjadi kakak yang garang, Pontianak Menjerit pula bakal menyaksikan Ziana sebagai seorang wanita glamor yang queen control.

Sebagai Rani dalam filem Qabil Khushri Qabil Igam, Ziana buat pertama kali diberi peranan sebagai seorang gadis yang lemah lembut.

``Saya bukan cerewet, tapi saya percaya, jika mahu buat come back, biarlah ia mampu memberi impak,'' tegasnya.

Sekalipun teruja dengan dunia lakonan, kata Ziana, dia tetap merindui bidang nyanyian lebih-lebih lagi telah lama tidak menghasilkan album baru.

Kali terakhir Ziana muncul dengan album penuh ialah pada 2001 berjudul Aku Cintakan Mu, edaran BMG.

Selepas berhijrah ke syarikat rakaman EMI, dia hanya sempat muncul dengan sebuah album kompilasi Ziana Zain No. 1 Live, rakaman konsert yang turut menampilkan dua lagu baru iaitu Lembah Asmara dan Bukan.

``Perancangan untuk menghasilkan album baru ketika itu tergendala apabila saya mengandung anak kedua.

``Kini saya sudah bersedia dan tidak sabar-sabar untuk menjalani rakaman di studio. Saya sekarang sedang mengumpul lagu-lagu.

``Tapi ada sesuatu yang ingin saya kejutkan kepada para peminat. Apa dia, tak bolehlah cakap sekarang. Ia akan terjadi pada pertengahan atau penghujung tahun ini,'' katanya tanpa mahu mengulas panjang dan memberitahu bahawa perkara yang dirahsiakannya itu masih dalam perbincangan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2007 10:12 AM | Show all posts
Sembilu 2005 - Kisah remaja masa kini daripada kaca mata zaman dulu

Source : Utusan Malaysia
Date : 29/03/2005

Filem : Sembilu 2005
Arahan : Datuk Yusuf Haslam.
Lakon layar: Datuk Yusuf Haslam
Pelakon : Vince, Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Erra Fazira, Ziana Zain, Khai, Juliana Banos, dll.

Datuk Yusof Haslam adalah seorang pengarah yang cukup prihatin dengan masalah-masalah sosial di kalangan remaja dan juga masyarakat kota. Dalam filem-filemnya sering digambarkan kemelut remaja kota, kehidupan remaja yang terbiar, keluarga yang bermasalah dan juga keluarga yang ketat memberikan perlindungan kepada anak-anak remaja. Pendek kata, dalam filem-filem Yusof kita akan didedahkan dengan segala permasalahan itu dan nasihat-nasihat serta cara-cara untuk mengatasinya.

Daripada strategi pasaran, remaja adalah golongan terbesar yang menonton filem di pawagam. Justeru itu tidak hairanlah kalau pemaparan persoalan atau kisah remaja adalah cara terbaik untuk menarik golongan remaja ini ke pawagam. Para pengarah dan penerbit menganggap, remaja hanya mahu menonton kisah yang dekat dengan kehidupan mereka sahaja. Memang pendapat ini tidak salah sepenuhnya. Malangnya, kisah remaja itu dilihat dari kacamata orang tua, sepertimana seorang datuk yang melihat kehidupan cucunya yang dikatakan bermasalah. Datuk itu datang dari zaman lalu yang cuba mengatasi masalah remaja di zaman global. Dia tidak dapat menangkap dan memahami realiti sebenar kehidupan remaja tersebut. Lalu dia menggunakan kayu ukur zamannya untuk menilai kehidupan dan menasihati remaja masa kini. Yang keliru bukan anak remaja tersebut tetapi orang tua yang tidak memahami perubahan zaman itu. Inilah agaknya sebuah filem remaja yang penuh mesej, nasihat orang tua untuk remaja.

Inilah keadaan yang berlaku dalam Sembilu 2005. Kejayaan filem Sembilu dan Sembilu II cuba diulang oleh Yusof Haslam. Mungkinkah formula yang membawa kejayaan pada Sembilu yang lalu masih dapat menarik perhatian remaja dan anak muda hari ini? Apatah lagi siri Sembilu yang disiarkan oleh televisyen mungkin dijangka dapat menjadi penarik perhatian remaja. Sedikit yang membezakan Sembilu 2005 dengan dua Sembilu yang lalu ialah pema-paran kisah hubungan cinta remaja antara dua kaum yang berlainan dan hubungan ini mendapat tentangan keras daripada kedua-dua keluarga remaja tersebut. Dua remaja tersebut, Salina (Hetty Sarlene) daripada keluarga Melayu dan Vince (Vince, pemenang Akademi Fantasia) daripada keluarga Pan-Asia (bapanya Inggeris dan Ibunya Cina) adalah pelajar tingkatan enam daripada sebuah sekolah berkawan rapat tetapi hubungan mereka bukan sahaja ditentang oleh kedua-dua keluarga atas alasan keturunan dan agama, tetapi juga ditentang oleh rakan sekolah atas alasan perbezaan kaum.

Gelombang

Ketika dunia dalam gelombang komunikasi canggih dan menerima arus globalisasi sebagai realiti zaman, saya hairan sebuah filem yang begitu racist masih dihasilkan dan difahami secara yang begitu konvensional. Dialog-dialog yang begitu perkauman berleluasa dalam filem ini, sedangkan setiap hari kita bergaul mesra antara kaum dan perkahwinan antara kaum adalah sesuatu yang lumrah.

Hampir tidak ada yang positif dalam hubungan antara kaum yang diutarakan dalam filem ini. Dua keluarga yang begitu taksub dengan bangsa sendiri dan benci dengan kaum lain dan yang lebih berbahaya elemen perkauman ini terbawa-bawa ke sekolah secara yang mengelirukan.

Tidakkah ini bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum? Inilah masalahnya apabila pengarah dan penulis yang berfahaman tahun 60-an dan 70-an cuba melihat masalah hubungan kaum tahun 2005. Kacau dan mengelirukan.

Penggunaan teknologi komunikasi yang canggih, rumah besar, kenderaan yang mahal dan kemewahan hidup adalah latar filem ini tetapi ia tidak difahami sepenuhnya oleh watak-watak remajanya (yang watak dewasa lagilah tak faham). Dalam zaman globalisasi dan ICT ini, mana ada jarak yang begitu jauh dan manusia dipisahkan oleh geografi yang memungkinkan mereka tidak dapat berhubung.

Tetapi alasan yang mudah inilah yang digunakan oleh penulis untuk memisahkan hubungan antara Salina dengan Vince yang akan menetap di London. Macamlah adegan perpisahan dalam filem Antara Dua Darjat mampu menjarakkan hubungan dua remaja zaman moden.

Saya kira Yusof Haslam sebagai pengarah yang berpengalaman seharusnya lebih matang dalam Sembilu 2005 dan memahami realiti remaja hari ini. Tetapi, sayangnya Sembilu 2005 melihat rencam kehidupan remaja masa kini daripada kacamata orang tua dekad-dekad yang lalu, yang penuh dengan elemen kecemburuan kaum yang sudahpun dilupakan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:12 AM | Show all posts
Shiela, Ziana lancar Tabung Harapan Kanak-Kanak

Source : Utusan Malaysia
Date : 24/03/2005

DEMI membantu kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit kronik, Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, baru-baru ini telah melancarkan tabung Keamanan dan Harapan Untuk Kanak-Kanak.

Tabung berkenaan dilancarkan bersempena Minggu Setiausaha yang akan berlangsung dari 11 April hingga 19 April di hotel berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Hotel Quality, Johan Thomas Low, hasil kutipan derma daripada tabung berkenaan akan disalurkan kepada Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.

Katanya, selain membantu projek yang dijalankan oleh yayasan khususnya membantu kanak-kanak yang dijangkiti HIV dan pelbagai penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan leukemia, ia juga menyokong usaha kempen membenteras keganasan ke atas kanak-kanak.

``Pelancaran tabung berkenaan adalah bagi menyokong usaha yang dijalankan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia yang telah ditubuhkan kira-kira dua tahun lepas,'' katanya pada pelancaran tabung tersebut dan sidang akhbar Minggu Setiausaha hotel itu di ibukota baru-baru ini.

Penyanyi popular Sheila Majid dan Ziana Zain telah melancarkan tabung berkenaan.

Johan berkata, pihak hotel berkenaan turut menyumbang sebanyak RM50,0000 bagi mengisi tabung itu.

Malah tegasnya, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menyalurkan sebahagian hasil jualan tiket sempena Minggu Setiausaha yang diadakan di kedua-dua Hotel Quality kepada tabung berkenaan.

``Pihak kami juga akan meletakkan tabung di kedua-dua lokasi bagi memudahkan tetamu dan orang ramai menghulurkan derma bagi menyokong tabung yang kami lancarkan hari ini,'' jelasnya.

Menyentuh mengenai persembahan sempena Minggu Setiausaha, Johan menjelaskan, tahun ini hotel berkenaan akan menganjurkan sembilan pertunjukan makan tengah hari oleh artis terkenal seperti Sheila Majid, Ziana Zain, Ning Baizura dan Kris Dayanti.

Selain dihiburkan, setiausaha yang bernasib baik juga akan menerima hadiah utama iaitu sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) Naza Citra yang bernilai lebih RM80,000.

Cabutan hadiah itu akan dilakukan oleh penaung yayasan, Datin Seri Rosmah Mansor pada satu majlis berasingan yang akan diadakan pada Mei nanti.

Hotel Quality City Centre mengadakan lima persembahan yang akan berlangsung di Sogo City Arena manakala selebihnya di Dewan MBSA Shah Alam untuk Hotel Quality Shah Alam.

Kris Dayanti, Ziana Zain dan Ning Baizura akan mengadakan persembahan di kedua-dua tempat sementara Sheila Majid mengadakan persembahan eksklusif untuk Hotel Quality City Centre sahaja.

Kris Dayanti akan mengadakan masing-masing dua persembahan di Hotel Quality City Centre dan Shah Alam pada 11 April dan 12 April serta 13 April dan 14 April.

Sementara Ziana Zain dan Ning Baizura masing-masing akan mengadakan persembahan pada 14 April dan 18 April serta 19 April dan 20 April di kedua-dua tempat.

Sheila Majid pula akan mengadakan persembahan pada 19 April.

Sheila Majid dan Ziana Zain yang ditemui pada majlis tersebut memberitahu, mereka menyanyikan pelbagai variasi lagu-lagu Melayu dan Inggeris termasuk lagu-lagu popular mereka pada persembahan itu nanti.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:14 AM | Show all posts
Sembilu 2005 - Mampukah ulangi kejayaan lalu?

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Source : Utusan Malaysia
Date : 15/03/2005

FILEM Sembilu 2 yang diterbitkan 10 tahun lalu merupakan filem terbitan Skop Productions Sdn. Bhd., (SPSB) yang mendapat sambutan hangat dengan kutipan tiket sebanyak RM6.3 juta.

Setahun sebelum itu, Sembilu yang juga terbitan SPSB dan diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam tidak kurang hebatnya dengan kutipan tiket berjumlah RM4.3 juta.

Tahun ini, SPSB sekali lagi tampil dengan filem yang memakai judul yang sama cuma ditambah tahun dibelakangnya iaitu Sembilu 2005.

Meskipun Sembilu dan Sembilu 2 menjadi filem box-office tetapi menerusi Sembilu 2005, Yusof Haslam belum berani menganggarkan berapa jumlah kutipan tiket yang mampu diraih menerusi karya terbarunya itu.

``Soal berapa banyak kutipan tiket yang mampu dikutip, itu saya serahkan kepada para peminat.

``Sembilu dan Sembilu 2 tidak boleh dijadikan ukuran untuk dibandingkan dengan Sembilu 2005.

``Walau apapun saya akur dengan penerimaan para penonton terhadap filem terbaru saya ini,'' kata Yusof sewaktu ditemui selepas sidang akhbar Sembilu 2005 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Yusof, Sembilu 2005 adalah sebuah karya yang sama sekali berbeza dengan Sembilu dan Sembilu 2.

``Jalan cerita Sembilu 2 adalah kesinambungan daripada Sembilu sedangkan Sembilu 2005 pula adalah sebuah filem yang baru.

``Jalan ceritanya bukan sahaja baru tetapi kami juga menampilkan ramai pelakon baru seperti Vince,'' ujarnya.

Formula

Tambah Yusof, dia tidak menafikan menggunakan formula lamanya bagi menghasilkan filem komersial iaitu dengan menampilkan penyanyi popular sebagai pelakon.

``Melalui filem ini, saya cuba menampilkan formula saya yang dulu iaitu menampilkan penyanyi seperti Vince untuk diangkat sebagai pelakon.

``Ternyata Vince mempunyai bakat sebagai pelakon. Dulu pun saya pernah mencuba Awie sebagai pelakon Sembilu dan Sembilu 2.

``Ternyata populariti Awie ketika itu banyak membantu mempopularkan dua filem saya itu. Malah, ternyata Awie seorang pelakon yang berkarisma,'' katanya.

Sembilu 2005 mengisahkan tentang Vince, seorang pelajar sekolah menengah berdarah kacukan Inggeris dan Cina yang jatuh hati dengan teman sekelasnya, Salina seorang gadis Melayu.

Hubungan intim pasangan ini mendapat tentangan daripada keluarga kedua-dua pihak. Malah, Zed juga cemburu apabila Salina bercinta dengan Vince.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila ibu bapa Vince mengambil tindakan drastik dengan cuba memisahkan hubungan pasangan kekasih itu.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Vince, Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Erra Fazira, Ziana Zain, Khai, Juliana Banos, Buzen Hashim, Azza, Abby Abadi dan Salleh Yaakob.

Sembilu 2005 akan ditayangkan di 33 buah pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei mulai 24 Mac ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:15 AM | Show all posts
Seri Angkasa: RTM gondol 22 anugerah

Oleh: TENGKU KHALIDAH BIDIN dan ABDUL HAFIZ AHMAD

Source : Utusan Malaysia
Date : 13/03/2005

KUALA LUMPUR 12 Mac - Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) meraih 22 anugerah dalam majlis Anugerah Seri Angkasa 2004 bagi meraikan kemuncak pencapaian dunia penyiaran, yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Ini menjadikan RTM sebagai penerima anugerah terbanyak dalam acara berprestij yang buat pertama kalinya menghimpunkan semua stesen penyiaran televisyen dan radio kerajaan serta swasta dalam satu majlis pengiktirafan.

Tiga anugerah utama yang menjadi milik stesen berkenaan ialah Rancangan Hiburan Bersiri TV Terbaik (Relaks), Drama Bersiri TV Terbaik (Sumayyah) dan Komedi Bersiri TV Terbaik (Ada-Ada Saja).

Bagaimanapun, Anugerah Drama TV Terbaik dibolot oleh drama terbitan TV3, Miftahul Jamilah.

Stesen TV3 berada di tangga kedua setelah menerima 11 anugerah termasuk Pengarah Drama TV Terbaik (Raja Ahmad Alaudin) melalui drama Miftahul Jamilah, Pelakon TV Lelaki Terbaik (Nasir Bilal Khan) melalui drama Cinta Si Penggali Kubur dan Game Show TV Terbaik (Sempurnakan Hari Mu).

Stesen TV Astro pula membawa pulang 10 anugerah dalam acara yang mempertandingkan 49 anugerah keseluruhan ini.

Majlis penganugerahan tersebut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi tiga kategori utama iaitu Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik dan Anugerah Khas Tokoh Penyiaran Seri Angkasa.

Turut hadir Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Anugerah Seri Angkasa anjuran Kementerian Penerangan berlangsung selama dua malam dengan sejumlah 15 daripada 49 anugerah yang dipertandingkan disampaikan malam ini.

Kategori DJ Radio Terbaik dimenangi oleh penyampai ERA F.M, Halim Othman manakala Pelakon Wanita TV Terbaik dimenangi oleh Haliza Misbun melalui drama Sumayyah (RTM).

M. Rajoli pula dinobatkan pelakon Komedi TV Terbaik melalui Salam Pantai Timur (RTM), sementara Sharifah Shahirah memenangi anugerah Pelakon Komedi TV Wanita Terbaik menerusi drama Ada-Ada Saja. Masing-masing menerima trofi, sijil dan wang tunai RM10,000.

Abdul Wahid Nasir pula membawa pulang wang tunai RM20,000 selepas memenangi Anugerah Skrip Drama TV Terbaik menerusi slot Panggung RTM berjudul Jalan Pintas.

Syaiful Bahrim dan penyanyi Zainal Abidin turut mengharumkan nama RTM dengan memenangi kategori Anugerah Penyiar Versatil Radio Terbaik dan Anugerah Penghibur TV Terbaik menerusi program berjudul Zoom In Bersama.

Zainal Abidin yang membawa pulang wang tunai RM10,000, menewaskan dua lagi calon penyanyi wanita daripada program yang sama iaitu Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat menerima Anugerah Khas Tokoh Penyiaran Seri Angkasa yang buat pertama kali diperkenalkan tahun ini sekali gus membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM25,000.

Bagi beliau, anugerah ini juga merupakan paling berharga dan akan dikenang sepanjang hayat kerana turut menjadi hadiah ulang tahun perkahwinannya yang ke-40 yang disambut bulan ini.

``Selama 36 tahun penglibatan dalam kerajaan, sebahagian daripadanya dihabiskan di Angkasapuri dengan tiga kali saya dilantik menjadi Menteri Penerangan dan dua kali digugurkan,'' ujarnya.

Beliau yang juga lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat, banyak memperkenalkan program baru kementerian seperti Setia Bersama Rakyat (Semarak), lagu Setia dan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P).
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:15 AM | Show all posts
Tayangan perdana Sembilu 2005 Selasa ini

Source : Utusan Malaysia
Date : 13/03/2005

KELAB Veteran Utusan Melayu (KVUM) terus aktif menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengisi tabung kebajikannya. Tabung kebajikan ini akan digunakan bagi meneruskan pelbagai aktiviti kelab termasuk membantu ahli-ahlinya yang terdiri daripada bekas pekerja Utusan Melayu (M) Berhad.

Dalam perkembangan terbaru, KVUM yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin sebagai presiden akan menganjurkan tayangan perdana filem Sembilu 2005.

KVUM diberi peluang menganjurkan tayangan perdana filem terbitan Skop Production itu pada Selasa ini yang dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tayangan perdana yang dimeriahkan dengan kehadiran pelakon-pelakon utama filem tersebut akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 8 malam.

Sembilu 2005 mengangkat kisah cinta antara dua kaum yang berbeza, Cina dan Melayu yang bermula dari alam persekolahan oleh Salina dan Vince.

Pemegang dua watak penting ini merupakan ikon dunia remaja yang sedang popular dalam bidang seni iaitu juara Akademi Fantasia pertama, Vince dan pelakon wanita drama bersiri Sembilu, Hetty Serlene.

Cinta yang membara ketika di alam persekolahan menjadikan Salina dan Vince mendapat tentangan hebat daripada keluarga terutama kakak Salina, Marina seorang wanita berusia yang belum mempunyai suami.

Hubungan cinta antara dua remaja ini bagaimanapun dibaja dengan sikap tolong-menolong dan bantu-membantu dalam pelajaran. Sebagai anak kacukan Cina dan Inggeris, Vince sangat bijak dan sering memberi bantuan kepada Salina dalam soal pendidikannya di sekolah.

Hubungan mereka terhalang bukan saja oleh keluarga tetapi juga di kalangan rakan sekolah yang turut meminati Vince dan mencemburuinya.

Apakah kesudahannya kisah cinta yang terhalang ini? Apakah kasih sayang dan cinta yang tebal antara Salina dan Vince mampu memecahkan tembok segala halangan yang hadir? Anda perlu menjadi antara insan pertama yang menyaksikan filem hebat ini.

Datanglah dengan membawa insan kesayangan anda bersama bagi meraikan kehadiran filem cinta romantis sehebat Sembilu lakonan Erra Fazira dan Awie suatu ketika dahulu.

Tayangan perdana Sembilu 2005 merupakan tayangan pertama kepada umum. Antara pelakon yang akan hadir ialah Vince, Hetty Serlene, Khai, Ziana Zain, Juliana Banos dan Zed Zaidi.

Harga minimum tiket bagi menonton filem ini ialah RM20.

Tiket boleh ditempah melalui Finas 03-41085722 (Aimi Jarr), Skop Production 03-41439825 atau 03-41439394 (Bob Musalwah) dan Utusan Melayu di talian 03-92217055 (Fatimah Hassan)
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-6-2007 10:16 AM | Show all posts
Sembilu 2005 - Tayangan amal 15 Mac ini

Source : Utusan Malaysia
Date : 08/03/2005

KELAB Veteran Utusan Melayu (KVUM) akan menganjurkan tayangan amal filem Sembilu 2005 bertujuan bagi mengisi tabung kelab berkenaan.

Tayangan amal itu akan diadakan pada 15 Mac ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 8 malam.

Menurut Presiden KVUM, Datuk Zainuddin Maidin, hasil kutipan daripada tayangan amal itu akan disalurkan ke tabung berkenaan bagi merealisasikan beberapa perancangan kelab tersebut.

Antaranya mengumpul dana bagi membeli mesin hemodialisis yang akan disumbangkan kepada hospital kerajaan.

Kemudahan tersebut, kata beliau, bukan sahaja untuk keperluan ahli-ahli KVUM tetapi juga boleh digunakan oleh orang ramai.

``Hasrat kita ialah supaya melalui tabung berkenaan, kita dapat membantu para ahli-ahli KVUM di samping membantu masyarakat secara amnya,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran tayangan amal perdana anjuran KVUM di Dewan Cempaka, Restoran Haslam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah filem Sembilu 2005 yang juga Pengarah Urusan Skop Production Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam.

Tayangan amal badan yang ditubuhkan pada 2000 itu dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dengan kerjasama Skop Production.

Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata, melalui kutipan itu nanti diharap dapat melengkapkan pejabat KVUM di bangunan yang baru dibeli berharga RM246,000 tidak berapa lama dulu.

Beliau turut menyatakan rasa bangganya dengan keprihatinan Skop Production untuk bekerjasama dengan KVUM dalam usaha mengutip dana bagi tujuan kemasyarakatan kelab berkenaan.

Justeru beliau berharap tayangan amal perdana filem lakonan Hetty Sarlene, Vince Akademi Fantasia 1 (AF1), Erra Fazira, Ziana Zain dan Awie itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

``Kami tidak menetapkan sebarang sasaran untuk kutipan tabung itu nanti namun saya mendapat tahu ia mendapat sambutan memberangsangkan khususnya daripada badan-badan korporat dan dermawan,'' jelasnya.

Pas-pas masuk untuk ke tayangan amal perdana itu boleh didapati di pejabat Utusan Melayu, Skop Production, Restoran Haslam dan Finas dengan bayaran minimum RM20.

Sementara itu, Yusof Haslam berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan KVUM sebagai tanda terima kasihnya terhadap sokongan badan tersebut kepada industri perfileman tempatan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:16 AM | Show all posts
Penyanyi popular rakam lagu kanak-kanak

Source : Utusan Malaysia
Date : 04/03/2005

Lima penyanyi terkenal tanah air telah dipilih merakamkan 10 lagu-lagu popular kanak-kanak sempena kempen Nespray Dodoi Si Manja anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Nestle Malaysia dengan kerjasama TV3 dan THr.fm..

Penyanyi-penyanyi itu ialah Sheila Majid, Fauziah Latiff, Dayang Norfaizah, Ziana Zain dan Amy Mastura.

Lagu

Tiga budayawan Melayu iaitu Azah Aziz, Dr. Ariff Ahmad dan Aripin Said telah memilih 10 lagu-lagu untuk dirakamkan iaitu Tidurlah Intan, O Bulan, Tidurlah Adik, Suriram, Burung Kenek-Kenek, Ikan Kekek, Harapan, Manja dan Timangan Untung.

Kesemua lagu-lagu itu sudah mula disiarkan di radio. Sementara klip video lagu-lagu tersebut juga mula disiarkan di TV hari ini.

Stesen radio THR.fm turut menganjurkan Pertandingan Nyanyian Dodoi Kebangsaan mulai 4 hingga 9 April ini.

Usaha memperkenalkan lagu-lagu popular kanak-kanak ini diharap dapat menerapkan kepada golongan kanak-kanak, nilai-nilai budi bahasa masyarakat Malaysia yang semakin rapuh.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2007 10:17 AM | Show all posts
KVUM anjur tayangan perdana Sembilu 2005

Source : Utusan Malaysia
Date : 27/02/2005

CINTA pertama sukar dilupa. Dalam fragmen hidup, tentunya kisah alam persekolahan dan cinta monyet antara yang terindah untuk dikenang.

Sembilu 2005 membawa khalayak kembali mengenang pahit dan manis kisah cinta di alam persekolahan.

Dengan mengetengahkan pelakon-pelakon popular, filem ini dijangka akan menarik jutaan penonton ke pawagam apabila ditayangkan tidak lama lagi.

Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) diberi peluang untuk menganjurkan tayangan perdana filem keluaran Skop Production ini pada 15 Mac depan. Tayangan ini akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8 malam.

Presiden KVUM, Datuk Zainuddin Maidin (Zam) berkata, tayangan perdana filem arahan Datuk Yusof Haslam itu bertujuan untuk mengisi tabung kelab tersebut.

``Tayangan perdana filem ini adalah dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,'' katanya.

Harga minimum tiket bagi menonton filem itu ialah RM20. Tiket-tiket boleh ditempah menerusi Finas 03-41085722 (Aimi Jarr), Skop Production 03-41439825 atau 03- 41439394 (Bob Musalwah) dan Utusan Melayu 03-92217055 (Fatimah Hassan).

Filem ini dibarisi nama popular seperti Vince, Khai, Ziana Zain, Erra Fazira, Zek Zaidi dan Hetty Sarlene.

Sembilu 2005 mengisahkan cinta antara Salina dan Vince yang berlainan kaum dan agama yang telah tersemai semenjak di alam persekolahan lagi.

Cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada kakak Salina, Marina seorang anak dara tua yang belum bertemu jodoh.

Sikap Marina yang terlalu mengongkong paling tidak disenangi oleh Salina. Sebagai seorang pelajar yang sedang memburu cita-cita untuk berjaya, Salina sering dilihat mendapat bantuan daripada Vince seorang pelajar pintar berdarah campuran Inggeris dan Cina.

Keakraban Salina dan Vince dicemburui oleh ramai pelajar lelaki terutamanya Zek dan Khai yang berasa begitu tercabar walaupun Vince adalah rakan karib mereka.

Vince juga diminati oleh seorang pelajar perempuan di sekolah yang sama iaitu Julia. Saat-saat indah yang dilalui Salina dan Vince bertukar menjadi hari-hari yang getir apabila Marina dan keluarganya enggan menerima kehadiran Vince atas sebab perbezaan budaya dan keturunan.

Begitu juga dengan keluarga Vince yang tidak senang melihat hubungan anak lelakinya dengan gadis Melayu.

Apakah yang berlaku selepas itu? Berjayakah Salina dan Vince mencapai impian dan harapan mereka? Bolehkah merpati dua sejoli ini disatukan, sedangkan masing-masing dari dua budaya dan keturunan yang berbeza?

Jadilah antara orang yang terawal menyaksikan filem penuh romantis dan air mata ini di majlis tayangan amal anjuran KVUM ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:22 AM | Show all posts
Ziana jaga badan jaga makan

Oleh Tajaiyah Ihsan

Source : Utusan Malaysia
Date : 06/02/2005

SESUATU yang menarik mengenai Ziana Zain ialah kepetahan bercakap dan apa yang dituturkan itu jelas lagi bernas.Barangkali ini boleh diteladani oleh pendatang baru yang ingin mencari nama dan menjadikan nyanyian sebagai kerjaya di dalam industri hiburan.

Kala ditemui di sidang media Ziana dan pusat kecantikan Slimworld baru-baru ini, selain melayani pertanyaan wakil media dia juga terlebih dahulu berdialog dengan pelanggan Slimworld.

Dia ditanya semuanya daripada soal kecantikan hinggalah kerjayanya sebagai penyanyi dan peranannya sebagai ibu kepada dua orang anak.

Tegas dan yakin dengan apa yang diperkatakan Ziana memberikan pendapatnya satu per satu. Menariknya dalam tegas itu diselitkan unsur humor menjadikan temu bual tidak bosan.

Menjaga kecantikan

Dalam soal makanan ini, Ziana akui dia begitu berhati-hati. Malah dia mengamalkan diet yang seimbang.

``Saya kurangkan makanan berlemak, berkanji, kurangkan gula, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan tanpa melupakan makanan berserat dan protein.

Ini juga bermakna Ziana cuba elakkan makan roti canai dan nasi lemak sebelah pagi. Seminggu sekali kalau teringin barulah makan.

Selain itu Ziana juga mengelak makan malam lebih dari pukul 7 malam. Kalau lapar sekalipun Ziana tidak akan `cari nasi' cukup sekadar secawan Milo panas atau Quaker oat panas serta beberapa keping biskut sebagai alas perut.

Kalau makannya bagaikan disukat, Ziana juga tidak melupakan senaman bagi memastikan dirinya segar dan cergas.

Kata Ziana, dia cukup gembira apabila ditawarkan sekali lagi sebagai jurucakap salun kecantikan badan SlimWorld untuk tahun yang kedua.

``Banyak manfaat yang Ziana dapat. Bukan sahaja makan yang Ziana perlu jaga tetapi untuk mengekalkan berat badan yang sepadan dengan ketinggian Ziana.

Di pusat kecantikan ini Ziana mengikuti program kelangsingan dan kecergasan badan. Selepas bersalin dan berpantang 60 hari tidak berapa lama dulu Ziana ditawarkan menjalani program Slimworld.

``Pihak pusat kecantikan ini menyediakan program diet khas seperti yang menyentuh pemakanan dan juga senaman.''

Nampaknya hari ini Ziana sudah memperoleh berat badan yang diinginkan. Selain itu Ziana hanya makan nasi daripada jenis beras herbaponik.

Tidak suka terlampau

Ziana memberitahu dalam banyak perkara dia tidak suka terlampau. Terlampau kurus misalnya menakutkannya.

``Kurus tu kurus juga tetapi kalau terlampau kurus takut anoreksia pula, tak mahulah macam tu. Begitu juga tidak mahu terlampau berisi sangat.

``Apa yang penting sederhana saja, kata orang sesedap mata memandang. Suami saya juga kata begitu. Dan sudah tentulah ibu bapa dan suami merupakan penasihat saya.''

Begitu juga dalam hal kecantikan. Ziana lebih suka keadaannya hari ini. Tidak ada sesuatu yang tidak asli dalam dirinya. Ziana bimbang benda yang tidak asli boleh menjejaskan kesihatan diri.

``Begitu juga dengan kulit, kalau Ziana tidak putih melepak tak apalah. Pada Ziana yang penting menjaga kebersihan dan kesihatan kulit agar ia halus mulus,'' ujar Ziana yang merupakan jurucakap bagi produk kecantikan Nutrimetics.

Dalam memastikan kulitnya lembap dan cantik, Ziana mengambil vitamin C setiap hari.

Tidak sorok umur

Bila menyentuh soal keluarga ibu kepada dua orang anak ini, Aiman dan Amar, terus terang memberitahu keluarganya adalah prioriti dalam hidupnya.

``Kerja tu kerja juga tapi anak-anak itulah yang utama. Sebab itu kalau saya ada kerja dan membolehkah saya membawa keluarga, saya akan bawa mereka.

``Sebenarnya saya bersyukur kerana keluarga dan suami memahami kerjaya saya dan mereka banyak membantu saya dalam kerjaya ini,'' ujar Ziana lagi.

Wanita berusia 37 tahun ini, tidak menyorokkan usianya malah cukup selesa bila ditanya mengenai umurnya itu. Sesetengah artis sensitif fasal umur.

Apabila tanya fasal umur mulalah berfalsafah padahal nak sembunyikan umur bimbang orang kata tua. Mujurlah Ziana tidak seperti itu.

Cuma kata Ziana, dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk menambahkan bilangan anak kerana akan menjangkau usia 40 tahun tiga tahun lagi.

``Dengan dua orang anak ini, Ziana pun sudah rasa bahagia. Kalau datang seorang dua lagi baik juga. Tapi kalau sudah melebihi 40 tahun, takut pula nak bersalin,'' ujar Ziana lagi.

Album dan filem baru

Ziana masih lagi menerima banyak persembahan makan malam di sana sini selain masih kekal menjadi jurucakap jam tangan Omega dan tilam Vono.

Katanya, sehingga ini jika dia ditawarkan untuk memperagakan beg tangan atau kasut dia tidak akan menolak. Andai itu yang berlaku kira lengkaplah penajaan yang diterimanya.

Bagi Ziana ini merupakan satu kepercayaan dan penghargaan orang lain untuknya. Atas sokongan peminat dan banyak pihak Ziana sudah berjaya membina nama seperti hari ini.

Barangkali kerana itulah Ziana cukup mesra dengan sesiapa sahaja dan melayani pertanyaan setiap yang hadir di majlis itu.

Kini Ziana sudah membuat persediaan untuk membuat album baru dan akan berlakon dalam dua buah filem lagi selain menanti tayangan filem lakonannya Pontianak Menjerit dan Sembilu 2005,

Apabila ditanya apakah yang menyeronokkan? Ziana memberitahu, saat tengok anak pandai mengaji dan mula celik komputer.

``Katanya, zaman siber ini, semuanya fasal teknologi dan komputer tetapi sebagai ibu bapa selain beri pengetahuan kena juga fikirkan pembangunan rohani.

``Itula sebabnya anak sulungnya dimasukkan di kelas tadika yang bukan sahaja didedahkan dengan sukatan pelajaran akademik tetapi yang menekankan fardu ain,'' ujar Ziana.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:25 AM | Show all posts
Muzik-Muzik -- Bahang final terasa

Oleh NORZAILA ROSLI

Source : Utusan Malaysia
Date : 05/12/2004

MEMANG dalam mana-mana pertandingan lagu sekalipun, keputusan yang dibuat jarang dapat memuaskan hati semua pihak.

Itulah apa yang berlaku pada pertandingan separuh akhir Juara Lagu 2004 kategori balada, Selasa lalu.

Rata-rata peserta yang bertanding memberikan persaingan sengit dengan gaya yang tersendiri. Malangnya, penyanyi popular Ziana Zain tewas di tangan beberapa penyanyi yang jauh lebih junior daripadanya.

Tampil dengan persembahan yang meyakinkan, pengalaman luas penyanyi bersuara lantang itu cukup digeruni ketika menyampaikan lagu ciptaan Ajai, Lembah Asmara.

Barangkali nasib tidak menyebelahi Ziana untuk meletakkan dirinya sebagai finalis kali ini. Walaupun keputusan tersebut sedikit mengejutkan tetapi tentunya kemenangan Misha, Anuar Zain, Zamani dan Vince punya sebab tersendiri di mata para juri yang terdiri daripada Ooi Eow Jin, Fauzi Marzuki, Zubir Ali, Zul Mahat dan Johan Nawawi.

Seperti yang dijangka, lagu `berhantu' Pulangkan ciptaan Ajai yang dinyanyikan oleh Misha Omar berjaya menempah tiket ke Juara Lagu 2004.

Misha yang mengenakan gaun hijau rekaan Michael Ong kelihatan tenang sebagai calon pilihan pada petang itu.

Terkejut dengan kejayaannya, penyanyi cantik itu mengakui sedikit tertekan dengan kemenangan lalu.

``Sebab itu saya cuba cipta kelainan. Terus terang saya katakan persembahan saya agak kelam-kabut ketika raptai penuh.

``Dibandingkan dengan tekanan yang dirasai tempoh hari, rasa-rasanya hari ini saya lebih tenang dan yakin,'' katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi itu mengakui teknik nyanyian Pulangkan agak berbeza dengan Bunga-Bunga Cinta yang melonjakkan namanya sebagai juara tahun lalu.

Pulangkan yang liriknya ditulis oleh sutradara Shuhaimi Baba dan Habsah Hasan memerlukan penghayatan yang baik dan teknik penyampaian yang berbeza.

``Ia memang mencabar walaupun dari segi bentuknya Pulangkan nampak lebih santai berbanding Bunga-Bunga Cinta. Waktu rakaman dulu pun Misha memerlukan sedikit masa untuk faham jalan ceritanya,'' kata penyanyi itu.

Misha yang turut melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan Ziana kagum dengan persembahan artis popular itu.

Ramai yang menunjukkan persembahan yang baik ketika raptai termasuklah Ziana dan rakan seangkatannya, Siti Sarah.

Setelah berehat lama dari Juara Lagu, persembahan Ziana amat mengagumkan bagi Misha.

``Misha pun takut juga bila lihat Nassier Wahab, Zamani, Anuar dan Sarah tadi. Sedikit sebanyak memang ada tekanan tetapi melihat kesungguhan mereka membuatkan Misha lebih bersemangat untuk buat yang terbaik,'' katanya yang turut memuji kesungguhan Sarah.

Sarah membuka tirai persembahan pada petang itu dengan satu lagi lagu ciptaan Ajai berjudul Saat Hilang Cintamu. Sarah yang kelihatan cantik berkebaya biru menampilkan persembahan yang bersahaja dan meyakinkan.

Sejurus kemudian, Vince muncul mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri berjudul Mengapa Harus Cinta.

Sebagai pendatang baru, penyanyi tersebut berjaya memperlihatkan persembahan yang tidak kurang hebatnya.

Pengalaman dan kemenangan tempat ketiga yang diraih pada pertandingan Voice of Asia di Shanghai baru-baru ini tentunya menjadi faktor penyumbang kejayaannya.

Apa pun, kejayaan bekas juara Akademi Fantasia itu menewaskan beberapa artis senior yang lain sememangnya layak diberi pujian.

Turut mendapat perhatian ialah persembahan lagu duet Mencari yang disampaikan oleh Ijam (Giegil) dan Waheeda.

Inilah pertama kali dalam sejarah Juara Lagu di mana lagu duet terpilih ke separuh akhir kategori balada. Bagi Anuar Zain pula, susunan muzik lagu Semua Untukmu merupakan kekuatan yang membolehkan lagu tersebut layak ke final.

Kelihatan segak dengan sut kelabu, persembahan Anuar yang cukup romantik ketika menyampaikan lagu tersebut langsung tidak mengecewakan.

Anuar yang turut kecewa dengan kegagalan kakaknya menerima keputusan itu sebagai nasib tidak menyebelahi Ziana.

Seorang lagi finalis yang berjaya ke akhir Juara Lagu ialah bekas penyanyi kumpulan Slam, Zamani. Penyanyi itu yang kini tampil secara solo setelah sekian lama menyepi mempertaruhkan lagu karya Aidit Alfian, Kala Hujan yang liriknya ditulis oleh Loloq.

Dari persembahan yang diperlihatkannya jelas membuktikan pengalaman dan kemerduan suaranya banyak membantu Zamani menyampaikan lagu tersebut.

Tampil dengan imej baru berambut panjang, Fazley muncul menyampaikan lagu Cerita Asmara selepas itu.

Seorang lagi penyanyi yang disebut-sebut ke final tetapi gagal ialah penyanyi evergreen Nassier Wahab.

Pemenang vokal terbaik Anugerah Era 2004 itu mempamerkan persembahan mantap ketika menyampaikan lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, Memori Cinta Luka.

Walaupun Juara Lagu 2004 kali ini sedikit terasa tanpa kehadiran penyanyi tersohor tanah air Siti Nurhaliza, namun persaingan sengit lagu yang bertanding kali ini membayangkan pertandingan akhir Juara Lagu 2004 juga tidak kurang hebatnya.

Turut merancakkan pentas akhir nanti ialah penyanyi berkulit hitam manis, Dayang Nurfaizah.

Kesungguhan Dayang menerbitkan album sendiri ternyata berbaloi apabila lagu ciptaan Afdlin Shauki, Erti Hidup yang dinyanyikannya berjaya menambat hati juri.

Lagu berirama unik itu juga digunakan sebagai salah sebuah lagu komponen bina semangat untuk Program Latihan Khidmat Negara.

Selain Dayang, turut mewakili kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif di peringkat akhir ialah Syura, pendatang baru, Sharifah Zarina serta penyanyi yang sering mengisi tempat ke akhir Juara Lagu dalam kategori ini iaitu Noraniza Idris.

[[i] Last edited by  budakpendekk at 24-6-2007 12:27 PM [/i]]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:26 AM | Show all posts
Semalam Bersama Tuanku - Isi tabung INTAZ

Oleh Wanda Idris

Source : Utusan Malaysia
Date : 25/11/2004

PENUH gilang gemilang! Begitulah sambutan Majlis Malam Gala Amal sempena Hari Keputeraan Ke-74, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Isnin lalu.

Tetamu khas dan jemputan yang hadir bukan sahaja dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air malah turut beramal untuk mengisi tabung Institut Tengku Ampuan Afzan (INTAZ).

Pada malam itu sahaja, kira-kira RM1.54 juta berjaya dikutip untuk tabung berkenaan menerusi jualan meja, jualan lelong dan nyanyian daripada para VVIP.

Malah baginda sendiri berjaya membuat kutipan peribadi sebanyak RM126,000 untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

Ini termasuklah menerusi paduan suara baginda bersama penyanyi Ziana Zain yang telah dibayar sebanyak RM90,000.

Lagu Frank Sinatra dan lagu Tan Sri P. Ramlee menjadi pilihan baginda untuk berduet dengan penyanyi popular tanah air itu dan mendapat tepukan gemuruh daripada para tetamu.

Baginda juga berjaya melelong jam tangan eksklusif Gerald Genta yang mempunyai tandatangan baginda pada harga RM36,000.

Pada majlis itu, baginda turut diiringi Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Selain Sultan Pahang, Rosmah Mansor turut menyumbangkan suaranya dan sumbangan itu `dibayar' sebanyak RM70,000 untuk disalurkan ke tabung INTAZ.

Sementara itu, hasil kutipan sebanyak RM160,000 berjaya dikutip menerusi sembilan barangan lelong.

Selain jam tangan eksklusif baginda, turut dilelong ialah rantai mutiara Sultanah Kalsom, sepasang tali leher Najib, tas tangan Rosmah, set golf Tengku Mahkota Pahang, tenunan koleksi Tengku Puan Pahang dan lukisan Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Meriam.

Turut dilelong ialah krim edisi terhad La Mer yang mempunyai tanda tangan bintang Tomb Rider, Angelina Jolie serta undangan untuk 10 orang bagi menghadiri makan malam bersama baginda di Hotel Shangri-La.

Semua kutipan disalurkan ke tabung INTAZ bagi tujuan membantu kanak-kanak istimewa meneruskan persekolahan mereka.

Malam yang bertemakan `Semalam Bersama Tuanku' itu turut dihiburkan dengan persembahan artis popular Ziana Zain dan Liza Hanim.

Mereka diiringi pemuzik dari Kombo Kesenian Negeri Pahang.

Selain berduet dengan Sultan Pahang, Ziana turut mendendangkan enam lagu solonya.

Sebelum itu, Liza Hanim telah memulakan persembahan dengan tiga buah lagu termasuk lagu yang dipopularkan oleh Ruth Sahanaya, Keliru.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:26 AM | Show all posts
Ziana raya di kampung, di kota

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Source : Utusan Malaysia
Date : 14/11/2004

BANYAK wanita kekok berhari raya di rumah mentua dibandingkan dengan rumah ibu bapa sendiri. Semesra mana sekalipun hubungan dengan keluarga suami, si isteri tetap memilih keselesaan di rumah ibu bapa sendiri kala bercakap tentang kehadiran hari yang istimewa ini.

Bagaimanapun itu mungkin pandangan dan pegangan wanita Melayu tipikal. Hakikatnya rasa segan dan tidak selesa makin terhakis dalam diri wanita yang mentalitinya makin terbuka.

Bagi penyanyi Ziana Zain, lebaran di rumah sendiri atau di rumah keluarga mentua langsung tidak memberi sebarang perbezaan kepada dirinya.

``Ketika di rumah mentua, saya tetap berasa seperti di rumah sendiri. Malah ada kalanya saya selesa beraya di Raub kerana keadaannya yang lebih tenteram dan masyarakat di sekitarnya,'' kata Ziana.

Berhari raya di rumah mentua, kata Ziana dia memilih untuk tidak mengasingkan diri daripada turut melakukan kerja rumah seperti berada di rumah ibu bapanya sendiri di Shah Alam.

``Balik rumah keluarga suami, saya macam berada di rumah sendiri. Tidak ada bezanya, saya juga ke dapur membasuh pinggan dan memasak.

``Itu yang membuatkan keseronokan bersama dan bergaul mesra dengan keluarga suami,'' katanya.

Tahun ini dia akan berhari raya pertama di rumah keluarganya di Shah Alam. Di sebelah pagi, menjadi tanggungjawabnya untuk bersama adik-beradik di rumah berkenaan meskipun tahun ini kedua-dua ibu bapanya tiada bersama.

``Abah dan emak menunaikan umrah dan menyambut raya di tanah suci. Bagaimanapun saya kena berada di rumah pada 1 Syawal kerana menjadi tanggungjawab saya untuk bersama dengan adik-adik.

``Selepas itu, pada pukul 2 atau 3 petang kami sekeluarga akan bertolak ke Raub, beraya di rumah keluarga suami saya pula,'' kata ibu jelita kepada dua anak ini.

Menu utama yang tidak akan dilupakan pada lebaran ialah sate kuah kacang resipi ibunya, daging siat, kari ayam dan nasi himpit. Ini semua akan dimasak di pagi hari lagi.

``Sementara kuih-muih saya hanya beli sahaja. Banyak yang membeli ialah saya dan Nuar,'' katanya merujuk kepada adik lelakinya, penyanyi Anuar Zain.

Membina persefahaman antara keluarga, kata Ziana setiap tahun dia dan suami tidak membuat giliran berhari raya di mana.

Sebaliknya mereka lebih selesa untuk berhari raya di rumah kedua-dua keluarga.

``Kuala Lumpur dan Raub pun bukannya jauh sangat. Jadi senang untuk berulang-alik. Kami tidak membuat giliran tahun mana di rumah siapa, tetapi kedua-dua keluarga akan kami ziarahi setiap kali raya mengikut kesesuaian cuti Armin,'' kata Ziana lagi.

Berbeza keadaannya apabila suaminya terpaksa bekerja di hari yang mulia ini. Sekiranya itu terjadi, Ziana lebih selesa menyambut lebaran di rumah keluarganya sendiri.

``Apabila Armin balik, barulah kami ke Raub pula,'' katanya lagi.

Antara bandar dan kampung, kata Ziana ada kalanya dia tidak menafikan berbeza suasananya.

Sambutan peminat yang tidak putus-putus bergambar ketika bertemu dengannya di Hari Raya ada kalanya mengganggu keselesaannya untuk berbual lebih mesra dengan ahli keluarga sendiri.

``Bayangkan bukan mudah hendak bertemu dengan ahli keluarga, terutamanya jika saya balik ke Melaka.

``Peminat pula sekali datang macam sarang lebah. Ramai dan tidak habis-habis hendak ajak bergambar.

``Dari pagi sampai ke petang, kerja saya bergambar saja dengan mereka.

``Kalau raya ada sebulan, sebulanlah jawabnya saya kena bergambar, sampai hendak berbual dengan ahli keluarga pun tidak sempat.

``Tetapi apa boleh buat, kena layan juga,'' katanya berkongsi kisah lucu tentang pengalamannya berhari raya sebelum ini.

Tetapi kata Ziana, kalau di kampung suaminya di Raub suasananya berbeza. Di sana peminat lebih segan dan malu-malu untuk datang terus kepada saya.

``Mungkin adat hidup di kampung yang lebih malu membuatkan saya lebih selesa dalam keadaan seperti itu,'' katanya.

Tidak seperti di zaman anak daranya, kali ini Ziana membuat keputusan untuk menambah bilangan hari cuti rayanya. Kalau dulu malam raya sekalipun dia masih menerima tawaran persembahan, semenjak memiliki keluarga sendiri dia membuat pilihan untuk bersama suami dan anak-anak seminggu pada musim perayaan.

``Dalam seminggu raya, saya masih bercuti. Kalau dulu tidak macam itu, tetapi sekarang saya kasihankan anak-anak. Sebab itu saya tidak sanggup menerima tawaran kerja di hari-hari awal Syawal,'' katanya lagi.

Ziana akan muncul dalam beberapa rancangan raya bersama Anuar sepanjang musim perayaan ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:27 AM | Show all posts
Tiga DIVA EMI - Bercerita tentang raya

Oleh KHADIJAH IBRAHIM ([email protected])

Source : Utusan Malaysia
Date : 08/11/2004

KECOH bila Ziana Zain, Fauziah Latiff dan Ella bertemu. Masing-masing berlumba-lumba mahu bercerita tentang persiapan raya yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Begitu mesra rupanya tiga diva syarikat EMI ini.

Maklum bukan mudah sebenarnya ketiga-tiga mereka ini dapat bertemu begini. Hanya bulan Ramadan sahaja. Itu pun hanya pada siang hari. Malam, masing-masing sibuk dengan urusan memenuhi rakaman program raya untuk siaran TV dan radio atau memeriahkan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim.

Kalau pada bulan-bulan lain, lagilah payah. Masing-masing sibuk dengan show dan rakaman, siang dan malam. Mahu dipertemukan ketiga-tiga begini? Lambatlah jawabnya.

Mari kita ikuti bagaimana perancangan Ziana, Jee dan Ella pada Hari Raya kali ini.

ZIANA

Raya kali ini Ziana Zain akan menjadi ketua keluarga untuk adik-adiknya yang lain kerana kedua-dua ibu bapanya berada di tanah suci Mekah menunaikan ibadat umrah.

Kata Ziana, dia akan tetap meneruskan amalan yang sering dilakukan oleh ibunya, Robiah, iaitu menyediakan kuah kacang, daging siat, kari ayam dan nasi impit pada pagi raya.

``Makanan wajib perlu ada. Kalau tidak, macam tak seri raya. Sedap atau tidak belakang kira. Janji makanan seperti yang dibuat oleh emak, terhidang di atas meja. Biskut raya lain, akak kerah Anuar Zain dan yang lain beli,'' cerita Ziana tentang persiapan raya.

Selesai menjalankan tanggungjawab kepada adik-adik pada pagi raya, Ziana bersama suami, Armin dan anak-anak, Aiman dan Amar akan pulang ke Raub pada petangnya.

Ziana sekeluarga akan beraya di Raub selama tiga hari. Kata Ziana, di sana ramai saudara mara.

``Paling suka Aiman dan Amar sebab dapat banyak duit raya. Selalunya duit raya dia orang tu, akak simpankan dalam bank. Biar mereka faham erti menabung,'' kata Ziana yang juga merancang beraya di Melaka.

``Di Melaka lain pula suasananya. Setiap rumah saudara mara yang dikunjungi, mesti ada peminat yang mahu bergambar bersama. Best juga,'' kata Ziana.

JEE

Apa yang pasti, Fauziah Latiff akan menziarahi pusara ayahnya di Johor. Jelasnya, setiap kali raya dia mesti terkenangkan rendang dan lodeh masakan arwah. Malah sambutan rayanya juga berubah sejak ketiadaan ayah.

Cerita Jee, dulu masa di kampung (Johor) mereka bergotong royong bersama jiran-jiran menyediakan dodol dan ketupat. Kini suasana sebegitu hanya tinggal kenangan.

``Sesekali kalau Jee rindu pada suasana lama, Jee akan pergi ke Klang, melihat rumah lama.

``Jiran-jiran pun sudah tidak ada lagi. Dulu jiran-jiran Jee itu seperti ahli keluarga sendiri,'' ceritanya.

Jee yang merupakan ibu kepada Jeffry dan Jeremy hanya membuat persiapan secara sederhana untuk kedua-dua anaknya itu.

ELLA

Jika orang lain sibuk membeli-belah untuk raya, Ella pula sibuk memenuhi undangan persembahan pentas.

Kata Ella, dia akan memenuhi undangan yang sudah diterimanya sebelum puasa lagi. Bukan setakat bulan puasa, lepas raya pun Ella sibuk.

Ella hanya sempat beraya selama dua hari sahaja bersama keluarga di Klang kerana hari berikutnya, dia akan ke Sabah dan Sarawak.

``Sesekali buat show waktu raya seronok juga. Dapatlah Ella beraya dengan peminat-peminat di Sabah dan Sarawak. Suasana raya di sana mesti berbeza,'' katanya sambil tersenyum.

Ella yang mempunyai 13 orang anak saudara itu telah menyediakan wang raya untuk mereka. Katanya, apa yang penting ahli keluarganya menyambut raya dalam suasana ceria.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:29 AM | Show all posts
Ziana dan Nutrimetics seiring sejalan

Oleh Tajaiyah Ihsan

Source : Utusan Malaysia
Date : 17/10/2004

SESUATU yang menarik dalam industri hiburan hari ini apabila terdapat anak-anak seni yang terpilih menjadi jurucakap bagi sesuatu produk.

Ertinya selain pendapatan dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka juga ada pendapatan sampingan yang hanya mereka sahaja yang tahu berapa nilainya.

Terkini, Ziana Zain baru sahaja menanda-tangani kontrak dengan Nutrimetics Malaysia Sdn. Bhd. untuk tempoh satu tahun tambah satu.

Produk kecantikan dan penjagaan kulit ini yang sudah 26 tahun berada di pasaran ini bagaikan terasa keperluannya menawarkan Ziana menjadi jurucakap kerana beberapa ciri yang ada kepada Ziana menepati kehendak mereka.

Menurut Pengurus Besar Nutrimetics, Brian 0 Callaghan, pemilihan Ziana adalah di atas beberapa kriteria antaranya menjadi sebutan ramai tanpa mengira usia, dinamik, moden, berkeyakinan dan ceria orangnya. Ciri-ciri inilah yang diperlukan oleh Nutrimetics.

Justeru, pihaknya sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan Ziana kerana menyedari mereka sepadan dan saling memerlukan.

Sebaik sahaja selesai sidang media, Brian ditanya sejauh mana rancangan Nutrimetics untuk melancarkan produk baru yang menggunakan nama Ziana Zain.

Brian memberitahu, semuanya dalam perancangan tetapi yang nyata tidak teragak-agak untuk melakar kerjasama baru dengan Ziana bila kedua-duanya duduk berbincang nanti.

``Ia memerlukan perbincangan dua pihak tetapi kami memang positif dalam hal ini dan sudah tentu kontraknya juga berlainan. Ertinya kontrak yang berbeza dan nilainya juga dikira berasingan,'' ujar Brian tersenyum.

Apa yang jelas, Nutrimetics yang terkenal dengan barangan penjagaan kulit sudah mendapat Ziana untuk koleksi penjagaan kulit dan kosmetik.

Kata Brian, dalam pada itu Ziana juga akan muncul dalam promosi produk selain diundang untuk menjayakan konvensyen Nutrimetics tidak lama lagi.

Kontrak 1+1 ini merupakan kontrak yang disenangi kedua-dua pihak dan Nutrimetics bersedia meneruskan kontrak jika kerjasama itu berjaya.

Ziana pula memberitahu, dia menerima tawaran Nutrimetics bukan kerana namanya tetapi dia sendiri merupakan pengguna Nutrimetics sejak berusia 19 tahun.

Katanya lagi, ``Saya banyak menggunakan Nutri Rich Oil semasa masih terbang dengan Penerbangan Malaysia dulu. Saya gunakan untuk seluruh tubuh kerana khasiatnya yang lembut dan melembapkan kulit.

``Sebenarnya saya dapat merasakan saya cukup serasi dengan Nutrimetics ini dan bila mendapat tawaran ini saya tidak menolak malah tidak mahu terlepas. Ia produk yang berkualiti.

``Kini saya berasa lengkap kerana wajah dan badan sudah ada produk yang `menjaga'nya selepas menjadi jurucakap jam tangan (Omega) dan tilam (Vono). Mana tahu selepas ini, ada pula pihak barangan kulit seperti beg tangan dan kasut sudi mengambil saya menjadi jurucakap pula,'' ujar Ziana antara serius dan gurauan.

Pihak Nutrimetics juga akan memberi sokongan terhadap Ziana untuk album dan filem lakonan terbarunya Pontianak Menjerit terbitan Skop Production.

Produk Nutrimetics merupakan produk jualan langsung dari Australia yang menduduki tempat pertama di negara itu bagi kategori jualan langsung dan merupakan produk popular di negara ini khususnya produk penjagaan kulit.

Kalau selama ini mereka agak low profile, kini Nutrimetics akan mengadakan promosi secara besar-besaran menerusi iklan di televisyen dan akhbar serta menerusi jurucakapnya yang baru dilantik, Ziana Zain.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:30 AM | Show all posts
Anugerah Era 2004 - Lain diduga, lain juara

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Souce : Utusan Malaysia
Date : 27/09/2004


LAIN yang diduga, lain pula yang menjadi juara. Namun itulah yang berlaku sewaktu Anugerah Era 2004 (AE04) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu. Keputusan di luar dugaan itu berlaku gara-gara pemilihan dilakukan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Bukan ingin mempertikaikan keputusan, tapi itulah kesannya kalau dibiarkan pemilihan dibuat melalui SMS.

Bagaimanapun itu semua bukan masalah kerana AE04 pun diadakan untuk memilih calon yang disukai oleh pendengar-pendengar radio Era.

Antara keputusan yang benar-benar membuat penonton ternganga mulut sewaktu diumumkan pemenangnya ialah kategori Vokal Lelaki Pilihan dan Vokal Duo/ Berkumpulan Pilihan.

Vokal Lelaki Pilihan yang dimenangi oleh Nassier Wahab pada malam itu merupakan satu keputusan yang di luar jangkaan kerana ramai menduga Anuar Zain juara tahun lalu akan mempertahankan kedudukannya.

Itulah kata pepatah, untung sabut timbul untung batu tenggelam. Malah Nassier yang popular dengan lagu Memori Cinta Luka itu juga tidak percaya namanya diumumkan sebagai juara.

``Saya memang tidak sangka akan menang kerana saya ingatkan Anuar Zain sebab tahun lepas dia juara. Apa pun terima kasih kepada pendengar Era yang memilih saya.

``Kemenangan ini membuktikan bahawa comeback yang saya buat menepati selera pendengar. Lagu Memori Cinta Luka ciptaan Adnan Abu Hassan itu berjaya menambat hati pendengar muda. Untuk masa akan datang saya harus memuatkan lagu-lagu sebegitu,'' katanya yang masih lagi tidak percaya dengan kemenangan tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan lagu Memori Cinta Luka merupakan antara lagu yang banyak mendapat permintaan daripada pendengar-pendengar Radio Era.

Kejayaan itu merupakan saat paling manis bagi Nassier kerana sepanjang tempoh membabitkan diri dalam bidang seni sejak 19 tahun lalu, itulah kemenangan besar yang pernah diraihnya.

Sementara Anuar Zain yang turut mengadakan persembahan pada malam itu tidak kecewa dengan keputusan tersebut. Katanya, itu membuktikan bahawa pemilihan menerusi SMS juga telus kerana orang tidak dapat menjangka siapa pemenang sebelum keputusan diumumkan.

Kumpulan Mirwana yang menang kategori Vokal Duo/Berkumpulan dan Lagu Nasyid Pilihan, juga tidak menduga kemenangannya.

Kumpulan yang baru menghasilkan sebuah album itu menewaskan pasangan Achik & Siti Nordiana, KRU, Nora & Vince, Ruffedge & V.E serta Too Phat & Yassin.

Sementara untuk kategori Lagu Nasyid Pilihan, Mirwana berjaya menumpaskan dua nama besar dalam irama nasyid iaitu Raihan dan Rabbani yang sebelum ini sering menguasai pertandingan yang diadakan.

Kata salah seorang anggota Mirwana, Akmal, kedatangan mereka ke AE04 adalah untuk memeriahkan majlis kerana dicalonkan ke peringkat akhir. Namun untuk menjangka menjadi juara adalah di luar jangkauan.

``Mungkin orang kata kami masih baru dalam bidang seni suara ini. Sebenarnya kami sudah mula mengadakan persembahan sejak di sekolah menengah lagi kerana kebanyakan anggota Mirwana adalah pelajar Sekolah Menengah Ma'ahad, Kajang.

``Selain persembahan di pusat-pusat pengajian tinggi, kami juga sebenarnya telah menghasilkan tujuh buah album sebelum menghasilkan album yang diedarkan oleh Universal Music. Album-album itu kami jual setiap kali mengadakan persembahan.

``Dari situlah mungkin kami sudah membina rangkaian peminat-peminat tersendiri dan terima kasih kepada mereka yang sudi menyokong kami,'' jelasnya.

Kata Akmal, Mirwana sebelum ini juga pernah menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Raihan dan Rabbani. Malah katanya, perintis asal kumpulan Mirwana adalah Yassin.

Sementara Misha Omar yang dipilih sebagai pemenang untuk kategori Vokal Wanita Pilihan ternyata tidak dapat menahan air mata kegembiraan pada malam itu. Misha berjaya menewaskan Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Ziana Zain dan Siti Nurhaliza.

Kata Misha, tiba-tiba sahaja dia diserang sakit kepala sewaktu mendendangkan lagu Debunga Cinta.

``Misha jadi sakit kepala sebab tidak percaya dengan kemenangan yang diperolehi. Waktu menyanyi itu, fikiran Misha masih lagi berteka-teki...eh! betulkah aku yang menang.

`'Sebenarnya dua tahun Misha berusaha keras ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa kehadiran Misha dalam bidang ini bukan sekadar main-main. Misha memang serius. Alhamdulillah, usaha Misha tercapai juga,'' katanya yang popular dengan lagu Pulangkan.

Jelas Misha, kejayaannya itu juga memberi amaran pada dirinya agar lebih bersedia dan jangan ambil mudah tentang semua perkara.

Misha juga tidak kecewa bila lagu Pulangkan kalah pada lagu Bukan dendangan Ziana Zain yang dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Pilihan.

Ziana Zain seperti pemenang lain, juga terkejut dengan kemenangannya itu. Malah Ziana tidak menyangka dengan kehadiran penyanyi-penyanyi baru, masih ada peminat-peminat yang setia padanya.

``Saya sungguh tidak sangka peminat-peminat saya masih setia pada saya. Kemenangan ini memberi semangat pada saya untuk terus berusaha dengan lebih gigih,'' katanya yang turut menang kategori yang sama pada tahun lalu menerusi lagu Lembah Asmara.

Bagi kumpulan Spider yang menjadi pilihan pendengar untuk kategori Band Pilihan dan Lagu Rock Pilihan menyangka Sheila On 7 akan menjadi juara.

Namun peminat lebih senang menerima muzik pemuzik tempatan. Justeru itulah lagu Rela Ku Pujuk dipilih sebagai lagu rock pilihan berbanding Melompat Lebih Tinggi dan Pria Terhebat.

``Kejayaan Spider merupakan satu anjakan baru dalam pemikiran peminat-peminat tempatan. Kalau dulu mereka lebih senang dengan karya luar kini peminat lebih menghargai karya tempatan.

``Kejayaan ini memberi semangat kepada Spider untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih bermutu,'' kata penyanyi Spider, Tam yang sekarang ini banyak mencipta lagu untuk rakan artis lain.

Lain-lain pemenang untuk AE04 ialah Too Phat, Vince, Noraniza Idris dan Liza Hanim. AE04 turut memberi hadiah khas untuk Pilihan Kaki Wayang (Pontianak Harum Sundal Malam), Anugerah Seni Era (Datuk Ahmad Nawab) dan Anugerah Carta Era (Dambaan Pilu - Khai). Pemenang untuk setiap kategori membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Majlis pada malam itu turut diserikan dengan persembahan daripada Siti Sarah, Glenn, Ning Baizura, Flop Poppy, XPDC, Juliza Adlizan, Waheeda dan ramai lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2007 10:32 AM | Show all posts
Ziana - Tuah badan rezeki anak

Oleh Jamliah Abdullah

Source : Utusan Malaysia
Date : 26/09/2004

JELITAWAN Itali dan aktres Sophia Loren pernah berkata, ``Ada sumber untuk keremajaan: Ia daripada akal, bakat dan kreativiti yang anda bawa dalam hidup dan orang yang tersayang. Bila anda belajar menggunakan sepenuhnya sumber itu, anda mampu melawan usia.''

Barangkali artis Ziana Zain juga memahami kata-kata itu kerana sekurang-kurangnya itu yang dilakukan oleh dirinya. Menggunakan akal, bakat dan kreativiti daripada peluang yang ada sebaiknya untuk menjalani kehidupan sepenuhnya.

Pantang berundur walaupun dia sering mengakui dapat menerima hakikat popularitinya tidak sebaik dulu. Hakikatnya Ziana mempercayai dia mempunyai peminat yang sentiasa menyokongnya.

Bakat yang menyerlah lebih sedekad lalu tidak ingin dipersia-siakan, atas alasan itu juga dia kembali ke dunia lakonan.

Bercakap tentang kreativiti, siapa yang menyangka ibu kepada dua anak itu dapat menggunakan sepenuhnya status itu dengan baik.

Tuah badan! Pada pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini bersama pereka fesyen Rizalman Ibrahim, Ziana Zain mempunyai banyak kisah untuk diceritakan termasuk rezekinya yang datang melimpah ruah.

``Rezeki anak!'' itu ucapan artis berusia 36 tahun itu.

- Dari jam, tilam ke kosmetik

Ziana pandai berseloroh dengan jenaka ketika diminta memberi komen tentang rezekinya yang datang melimpah ruah sejak kebelakangan ini.

``Saya memang beruntung, nak tengok jam diberikan jam, nak tidur disediakan tilam, nak kuruskan badan disediakan rawatan dan kini nak bersolek diberikan alat solek pula,'' jenakanya.

Tentu saja, dia memperkatakan tentang komitmennya sebagai jurucakap untuk jam tangan Omega, pusat rawatan pelangsingan badan Slim World Beauty House, tilam Vono dan terbaru kosmetik Nutrimetics Malaysia.

``Kini kalau ada yang nak tawarkan saya kasut atau baju silakan,'' jenakanya.

Bercakap tentang komitmen terbaru sebagai jurucakap Nutrimetic itu kata Ziana, dia berbesar hati kerana diberikan kepercayaan untuk mewakili produk tersebut.

``Saya sekeluarga gunakan produk itu sejak berusia 19 tahun lagi sampai hari ini.

``Produknya bagus terutama kosmetik hingga ke produk penjagaan bayi,'' komennya.

Kontraknya bersama tilam Vono pula sudah memasuki tahun keempat.

``Sejak anak pertama saya, Aiman masih bayi lagi sampai sekarang sudah empat tahun pihak tilam itu berterusan ingin sambung kontrak. Saya tentu gembira, bukan mudah untuk mendapat kepercayaan seperti itu,`' katanya.

Apabila ditanya bukankah satu bebanan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai duta bagi produk tersebut, katanya, tidak sekali-kali.

``Semua produk itu berkaitan dengan kehidupan seharian saya,'' tambahnya.

Sememangnya rezekinya cukup murah, malah kata Ziana, lebih baik ketika zaman anak daranya dulu.

``Dulu sebelum kahwin seingat saya cuma satu saja kontrak produk yang saya dapat.

``Ini semua rezeki anak-anak,'' kata ibu kepada Muhammad Aiman, empat tahun dan Muhammad Ammar itu, 11 bulan.

- Kembali berlakon kerana rindu

Ramai yang tahu setelah enam tahun menghilang dari layar perak iaitu sejak Maria Mariana 2, Ziana akan kembali.

Pada saat ini, artis itu masih sibuk dengan penggambaran filem terbarunya, Pontianak Menjerit di Frasier Hill.

Pontianak Menjerit adalah filem komedi pertama Ziana yang menerajui watak sebagai isteri yang becok.

Ia pengalaman yang mencabar, kata Ziana yang bergandingan dengan pelakon komedi lain seperti Lan Pet Pet dan Azli Senario.

Sebelum itu, Ziana baru saja tamat menjalani penggambaran filem Sembilu 2005, jadi pada tahun depan dua filem terbarunya itu akan berada di pawagam.

Ziana mengakui Sembilu 2005 yang kembali menggandingkan dia dengan Erra Fazira itu adalah filem comebacknya.

Sembilu 2005 adalah filem keenam Ziana setelah Sembilu, Sembilu 2, Merah, Maria Mariana dan Maria Maria 2.

Jika ditanya atas alasan apa dia kembali ke dunia lakonan yang sudah ditinggalkan sekian lama, jawab Ziana, ``Saya rindu!''

``Sudah lama saya merindui suasana itu. Berlakon di lokasi bersama pelakon lain dan krew. Apabila sudah ada peluang saya terima saja,'' jelasnya.

Apa yang menggembirakan dirinya adalah sebagai isteri dan ibu, dia tetap mendapat restu daripada keluarga termasuk suaminya, Armin Zaharin. Mereka juga yang sering menemaninya di lokasi sebelum ini.

Kata Ziana, walau apa pun, menyanyi tetap keutamaannya dan bidang lakonan adalah satu tugasan masa lapang yang ditanganinya dengan serius.

(Continued)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:33 AM | Show all posts
Ziana - Tuah badan rezeki anak (Part 2)

Oleh Jamliah Abdullah

Source : Utusan Malaysia
Date : 26/09/2004


- Tidak sabar untuk ke studio

Peminat penyanyi yang bersuara lantang ini barangkali tidak sabar-sabar lagi untuk menantikan buah tangan terbarunya. Apatah lagi dengan tuan empunya badan sendiri.

``Ia masih dalam proses mengumpul bahan yang sesuai untuk album tersebut.

``Sekarang bukan senang untuk buat album jadi prosesnya harus dibuat dengan teliti,'' katanya yang bernaung di bawah syarikat rakaman EMI Malaysia Sdn. Bhd.

Apatah lagi dengan perubahan dalam pihak pengurusan syarikat tersebut setelah Darren Choy menamatkan perkhidmatan, ia juga harus diambil kira, kata Ziana.

Pesan Ziana, ``Saya harap peminat saya bersabarlah ya.''

Soal nyanyian Ziana masih menyimpan hasrat untuk menjayakannya seperti album terdahulu daripada Madah Berhelah, Setia Ku Di Sini dan Puncak Kasih.

- Nasi sesenduk sehari

Pada saat ini bukan soal album atau filem Ziana Zain saja yang menjadikan dia idola ramai terutama di kalangan wanita yang berumah tangga dan berkerjaya.

Begitu juga bukan penulis seorang saja yang tidak sabar-sabar untuk menemu bual artis kecil molek ini untuk bertanyakan apakah rahsia kecantikannya, walaupun dengan status ibu anak dua itu.

Sepanjang pertemuan di studio Utusan petang itu, sekali-sekala Ziana dihampiri oleh rakan wanita penulis yang jelas bukan sekadar meminati bakatnya tetapi penampilannya.

Apa rahsia kecantikan wajah dan tubuh badannya? Ziana sebenarnya sedia berkongsi dengan sesiapa saja.

Ziana mengakui selepas bersalin anak kedua beberapa bulan lepas, dia menjalani rawatan pelangsingan badan secara intensif di Slim World.

Program tersebut memang berkesan, akui Ziana bila dia berjaya menguruskan badannya sebanyak 68kg semasa mengandung kepada asal iaitu 48kg selepas bersalin.

Namun kata Ziana, dia tidak bergantung semata-mata kepada rawatan tersebut saja untuk memastikan badannya kekal langsing.

Dia masih mengamalkan diet yang tersendiri termasuk menjaga pemakanan seharian.

``Saya ambil berat soal makan seperti biasa. Tetapi saya tidak percaya kepada diet yang tidak menjamah langsung nasi.

``Saya tetap mengambil nasi setiap hari tetapi cuma sesenduk saja dan membiasakan makan lebih banyak sayuran dan ikan yang dikukus atau direbus,'' jelasnya.

Pada waktu malam kata Ziana, dua biji telur Omega Plus yang dihancurkan bersama dua keping roti sudah memadai.

Barangkali satu kebiasaan bagi seorang artis wanita ingin kekal cantik sepanjang masa depan orang awam kerana mereka menjadi perhatian ramai.

Tetapi akui Ziana, dia tidak melakukan semua itu semata-mata kerana dia seorang artis tetapi juga wanita dan isteri.

``Suami saya juga seorang yang cukup peka dengan penampilannya dan bagi seorang isteri saya harus mengikut rentaknya juga.

``Bayangkan kalau dia sentiasa segak dan bergaya sementara saya pula sebaliknya tentu tidak kena,'' jelasnya.

Ia juga salah satu daripada resipi keharmonian rumah tangga di sebalik sikap tolak ansur, katanya.

- Ziana artis yang elegan - Rizalman

Barangkali semua bersetuju mengatakan Ziana adalah seorang artis yang elegan dan pandai membawa diri.

Kesederhanaan dalam segala-galanya itu yang menjadikan dia disenangi ramai.

Siapa yang lebih mengetahui tentang perkara itu daripada pereka fesyen Rizalman yang suatu ketika dulu bekerja rapat dengannya.

Di awal pembabitannya dalam dunia seni, Ziana dan Rizalman saling bekerjasama malah artis itu juga yang memulakan trend menggunakan khidmat pereka fesyen tempatan.

``Dulu label pereka tempatan kurang diminati tetapi Ziana antara yang pertama mempopularkan label tempatan sehingga hari ini,'' kata Rizalman.

Hubungan itu kemudian terputus beberapa lama atas sebab membawa haluan masing-masing tetapi kini seolah-olah akan bersambung semula.

Pada 4 Oktober depan Ziana dan Rizalman akan berganding bahu menjayakan pertunjukan fesyen untuk majlis pembukaan pusat membeli-belah Alamanda di Putrajaya.

Ziana juga akan hadir sebagai artis untuk merasmikan pembukaan butik koleksi sedia pakai label rizalman di situ.

``Kami undang Ziana untuk membuat persembahan pada majlis itu selain daripada menggayakan koleksi Rizalman Ibrahim,'' kata pereka berasal dari Pulau Pinang itu.

Setelah lama terputus hubungan, kata Rizalman, dia berbesar hati dapat bekerjasama semula dengan artis itu.

``Ia memang membangkitkan nostalgia,'' kata artis yang pernah mendapat gelaran Jennifer Lopez Malaysia itu.

Secara peribadi, pereka itu bersetuju mengandaikan Ziana seorang artis yang elegan dalam kesederhanaan.

``Apa yang menarik tentang Ziana adalah dedikasinya sebagai artis dan komitmennya sebagai ibu dan isteri. Cara dia menjaga imej sebagai seorang yang dikenali ramai, semua itu yang menyerlahkan dirinya,'' tambahnya.

- Program raya bersama Anuar Zain

Masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang Hari Raya kerana Ramadan belum pun menjelma.

Apa pun bukan terlalu awal untuk membuat persediaan menyambut hari mulia itu. Menjelang Hari Raya nanti kata Ziana, dia juga terbabit dengan pelbagai program televisyen.

Antaranya adalah satu rancangan hiburan yang akan menggandingkan dirinya dengan adik kesayangan yang juga penyanyi terkenal, Anuar Zain.

``Pihak penerbit inginkan saya dan Anuar bergabung. Saya anggap ia satu idea yang baik.

``Rancangan ini juga dirakam dalam satu suasana yang santai bersama peminat kami berdua,'' kata Ziana yang tidak sabar lagi untuk menjayakan rancangan itu.

- Harap bertahan sedekad lagi

Dalam diam tak diam, rupa-rupanya sudah lebih sedekad artis itu mewarnai dunia hiburan tanah air.

Jika dia masih mampu bertahan sehingga kini, ia barangkali satu perkembangan yang baik.

``Pejam celik sudah lebih 13 tahun saya terbabit dalam dunia seni dan masih di sini. Saya harap 10 tahun lagi pun saya masih di sini,'' katanya yang mengakui tidak dapat memisahkan diri dengan dunia seni.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 10:33 AM | Show all posts
Ziana Zain jurucakap Nutrimetics

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Source : Utusan Malaysia
Date : 23/09/2004

DALAM dunia seni tempatan, Ziana Zain, 36, dikenali sebagai penyanyi dan pelakon yang mempunyai ramai peminat. Populariti Ziana itu menyebabkan dia banyak kali dilantik sebagai jurucakap pelbagai jenis produk.

Paling terbaru, Ziana dipilih sebagai jurucakap untuk produk kecantikan Nutrimetics selama setahun.

Menurut Pengarah Pemasaran Nutrimetics Worldwide (M) Sdn. Bhd., Norlamah Khalid, pemilihan Ziana tepat pada masanya.

Malah, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk menjadikan nama Ziana Zain sebagai salah satu produk mereka.

``Selama 26 tahun Nutrimetics bertapak di negara ini, kami tidak pernah melantik mana-mana artis sebagai jurucakap produk kami.

``Ziana adalah selebriti yang paling sesuai untuk mempromosikan produk-produk kami.

``Ziana bukan sahaja popular tetapi dia juga mempunyai imej dan penampilan yang menjadi perhatian ramai.

``Justeru, kami memang mempunyai rancangan untuk menjadikan Ziana Zain sebagai jenama produk keluaran kami,'' katanya semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu diadakan sempena majlis menandatangani kontrak di antara Ziana dan produk kecantikan itu.

Ziana yang turut serta pada majlis itu tidak menolak jika Nutrimetics mahu menjadikan namanya sebagai produk kosmetik tersebut.

``Saya tidak akan lepaskan peluang itu. Jika sebelum ini Jeslina Hashim dijadikan jenama bagi produk seperti kasut dan beg tangan, mengapa saya tidak?,'' ujarnya.

Tambah Ziana, tugasnya sebagai jurucakap Nutrematics tidak mengganggu karier utamanya sebagai penyanyi dan pelakon.

``Sebagai jurucakap Nutrematics, saya akan turun padang kalau ada perjumpaan di kalangan para pengedar produk Nutrematics.

``Selain itu, saya juga akan mengadakan persembahan kalau ia membabitkan aktiviti produk jenama ini.

``Semua aktiviti itu tidak menjejaskan karier saya. Ini kerana, sebarang aktiviti yang akan saya lakukan akan diatur terlebih dahulu,'' kata Ziana lagi.

Hadir sama ketika sidang akhbar itu ialah Pengurus Besar Nutrimetics, Brian O'Callaghan dan Ketua Pegawai Kewangannya, Jenny Chan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:49 AM | Show all posts
Artis-artis glamor gayakan mutiara RM2.5 juta

Source : Utusan Malaysia
Date : 12/09/2004

TERPEGUN seketika bila diberitahu nilai koleksi mutiara Rafflesia yang dipakai oleh 20 celebrity glamor serta tetamu di majlis pelancaran Rafflesia bernilai sekitar RM2.5 juta.

Pengarah Jewellery Circles/Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sim memberitahu, majlis tersebut yang diadakan itu menampilkan wanita glamor anggun yang bukan sahaja hadir dengan pakaian yang eksklusif rekaan tempatan malahan lengkap dengan perhiasan berkilauan.

Sharifah Shawati misalnya mengenakan koleksi rantai dan anting-anting yang berharga sekitar RM55,000, Sofia Jane pula mengenakan set mutiara bernilai RM36,000 dan Nasha Aziz pula menggayakan set mutiara RM21,000 pada malam tersebut.

Begitu juga dengan celebrity lain yang turut mengenakan set-set mutiara yang bernilai berbelas-belas dan berpuluh-puluh ribu ringgit.

Bila ditanya Winnie menjelaskan, walaupun pihaknya menampilkan barangan yang begitu eksklusif dengan harga yang sepadan, namun Rafflesia masih mempunyai barang kemas mutiara yang bernilai paling rendah (seutas rantai leher) sekitar RM500.

Lain-lain wanita glamor yang dipilih dan diberi penghargaan mengenakan mutiara Rafflesia ialah Anita Sarawak, Ning Baizura, Ziana Zain, Syafinaz, Kavita Kaur, Ida Nerina, Soong Ai Ling, Kudsia Kahar, Umie Aida, Ella, Aida Radzwill, Nasha Aziz, Eja, Tiara Jacquelina, Tengku Azura, Bernie Chan, Normala Samsudin dan Janet Khoo.

Tetamu pula terdiri daripada Maya Karin, Pushpa Narayan, Carmen Soo, Wong Sze Zen, Juliana Banos, Rachel Tan Weng Kim dan Tan Su Wei.

Menurut Winnie, pada majlis tersebut lima orang pegawai keselamatan ditempatkan di majlis yang menampilkan wanita glamor serta tetamu celebrity yang tidak kurang hebatnya. Majlis tersebut juga diadakan dengan kerjasama majalah Glam.

Winnie bercadang untuk membuka satu lagi cawangan Rafflesia tidak lama lagi di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk memberi peluang dan kemudahan bagi wanita mendapatkan produk-produk sentuhan Rafflesia.

Kesemua barang kemas Rafflesia direka dan dihasilkan di Hong Kong. Selain set mutiara sepenuhnya, terdapat banyak juga rekaannya yang menggunakan permata berlian, delima dan nilam.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-12-2024 09:52 AM GMT+8 , Processed in 0.263673 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list