|
BHonline Sabtu, 5 Ogos 2017
MELAKA: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita membunuh bayi berusia enam hari yang mayatnya ditemui dalam perigi sedalam enam meter di Kampung On Lok di Batang Melaka, Jasin, di sini, pada 23 Julai lalu.
Suspek berusia 28 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas anaknya tidak lagi mendapat perhatian daripada keluarga selepas mangsa dilahirkan.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hasan, berkata siasatan juga mendapati suspek yang juga ibu saudara kepada mangsa turut mempunyai rekod sakit mental.
"Motif sebenar pembunuhan bayi itu masih disiasat dan suspek akan dihantar ke Hospital Permai esok untuk pemeriksaan mental selama sebulan.
"Ia bagi mengenal pasti sekiranya tindakan jenayah dilakukannya berkait dengan masalah mental atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sambutan Hari Hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati dalam perigi sedalam enam meter, disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri.
Mayat bayi sempurna fizikal dan masih berbalut lampin putih itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam pada 23 Julai lalu.
Abdul Jalil berkata, suspek disyaki mencampakkan bayi berkenaan ke dalam perigi.
"Lima lagi suspek yang juga ahli keluarga mangsa dibebaskan dengan jaminan polis. Kita masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada Jabatan Patologi Hospital Melaka," katanya. |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|