CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mirza5

Berita di pahang hari ni..

[Copy link]
Post time 20-6-2008 10:10 AM | Show all posts
Persona Grata Kuantan dapat sambutan penagih

KUANTAN Sebuah pusat singgah masuk bagi merawat penagih dadah di sekitar Kuantan yang dikenali sebagai Persona Grata Kuantan mendapat sambutan baik di kalangan penagih dadah. Kini kira-kira 80 orang penagih mengunjungi pusat tersebut setiap hari berbanding kira-kira 20 orang pada awal penubuhannya setahun lepas.

Pusat yang ditubuhkan oleh Komuniti Pencegahan Dadah (DiC) Pahang itu dibuka lima hari seminggu kecuali hari Sabtu dan Ahad dari 8 pagi hingga 5 petang.

Ia yang ditubuhkan di bawah peruntukan Kementerian Kesihatan menawarkan tempat berehat sementara selain menyediakan makan dan minum tiga kali sehari kepada penagih "Ia dijangka dapat membantu kerajaan negeri Pahang membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Melalui kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan termasuk sesi kaunseling, ceramah kesihatan dan keagamaan, ia diharap dapat membantu penagih kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

"Saya berharap semua penagih yang ada di pusat ini akan memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan selain tidak terlibat dengan perlakuan jenayah," kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong kepada pemberita semasa melawat pusat itu semalam.

Pengurus Projek DiC Pahang, Abdullah Khalid Hashim berkata, penubuhan pusat itu dilihat memberi banyak kesan positif kepada golongan penagih terutama dari segi kesedaran tentang bahaya dadah.

"Mereka yang datang ke sini perlu mematuhi lima syarat yang ditetapkan antaranya tidak boleh melakukan aktiviti penagihan dadah dan jual beli dadah," katanya.

Bagi yang telah insaf, katanya, mereka akan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah CasaVilla terletak di Batu 5, Jalan Gambang, di sini yang turut diuruskan oleh DiC, bagi tempoh pemulihan kira-kira enam bulan.

- Bernama
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 20-6-2008 10:11 AM | Show all posts
SK Chebong, SMK Temin juara tarian

JERANTUT 19 Jun - Sekolah Kebangsaan (SK) Chebong muncul juara dalam pertandingan tarian Melayu sempena Karnival Anugerah Seri Asrama daerah Jerantut yang berakhir di sini hari ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 10 ahli itu menewaskan SK Merting yang menyandang naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh SK Kuala Sat, Hulu Tembeling.

Sebanyak lapan sekolah mengambil bahagian dalam persembahan yang mengetengahkan tarian inang, zapin dan rampai tersebut.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin muncul johan bagi kategori sekolah menengah.

Tempat kedua milik SMK Padang Saujana dan ketiga, SMK Damak.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang yang berupa medal dan sijil penyertaan disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut, Mohd. Nadzri Ab. Wahab.

Mohd. Nadzri berkata, pertandingan tarian berkenaan bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam bidang kesenian menerusi kegiatan kokurikulum di asrama.

''Kita sentiasa menggalakkan pelajar menghayati budaya dan kesenian bangsa dengan mengangkat tarian Melayu menerusi pertandingan di acara keramaian Hari Guru dan majlis keramaian di peringkat sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang di SMK Pusat Perkhidmatan

Pertanian Tun Razak di Tekam dekat sini hari ini.

Menurut beliau, kumpulan SK Chebong dan SMK Temin akan mewakili daerah Jerantut ke pertandingan karnival asrama peringkat negeri yang akan di Pekan tidak lama lagi.
Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2008 12:06 PM | Show all posts
Galakkan anak-anak pelajari ilmu al-Quran

KUANTAN 20 Jun - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyeru ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mempelajari ilmu al-Quran bagi melahirkan generasi yang celik agama.

Baginda bertitah, antara elemen yang boleh dipelajari selain mendalami kandungan al-Quran ialah ilmu tajwid dan taranum.

''Ibu bapa perlu galakkan anak-anak mempelajari al-Quran sejak kecil lagi supaya ia berakar umbi dalam jiwa mereka apabila dewasa,'' titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Tilawah al-Quran kali ke-51 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini malam tadi.

Teks ucapan baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Saffian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Sahfri Abd. Aziz.

Sultan Ahmad Shah seterusnya bertitah masyarakat perlu menjadikan pembacaan al-Quran sebagai budaya sama ada di rumah, masjid dan tempat kerja.

Titah baginda, sekiranya bacaan al-Quran dibudayakan, umat berkualiti dapat dilahirkan sejajar dengan tema pada kali ini 'Menjana Ummah Gemilang'.

Baginda bertitah, kandungan al-Quran juga perlu dihayati sebagai salah satu prasyarat untuk menjadi umat gemilang.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Zul Hasyimi Mohamad Yunus muncul johan pertandingan diikuti Mohd. Khalil Mohd. Zari di tempat kedua dan Fadzil Ramli di tangga ketiga.

Bagi kategori wanita, Shabiroh Zain berjaya memenangi tempat pertama, menewaskan Raudah Muhammad Thaib Jalil, di tempat kedua dan Siti Patimah Selaman di tangga ketiga.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000, RM4,000 dan RM3,000 manakala 12 lagi peserta peringkat akhir menerima wang saguhati RM1,000.

Johan pertandingan tilawah al-Quran tersebut akan mewakili Pahang ke Pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di Kedah pada 6 hingga 12 Julai ini.
Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2008 12:06 PM | Show all posts
Pahang tidak tangguh projek basmi kemiskinan

RAUB 20 Jun - Pahang tidak akan menangguhkan sebarang projek pembasmian kemiskinan walaupun kerajaan negeri mengambil langkah berjimat-cermat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembasmian kemiskinan masih menjadi agenda utama kerajaan negeri dengan tumpuan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tegas beliau, kerajaan tetap bersungguh-sungguh memajukan tanah terbiar dan membina penempatan untuk golongan kurang mampu terutama di pesisiran Sungai Tembeling, Sungai Pahang, Sungai Jelai dan penempatan Orang Asli.

''Ada pelbagai strategi membasmi kemiskinan yang telah dan akan dilaksanakan seperti membuka kawasan penempatan baru di Tanjong Gahai, Hulu Jelai, Kuala Lipis untuk keluarga termiskin menerusi projek agropolitan.

''Projek itu dilengkapi 50 buah rumah dan tapak pertanian dan kita akan memanggil keluarga berkenaan untuk menghadiri temuduga pada 24 Jun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Pegawai dan Kakitangan Risda Pahang 2008 di Kompleks Rakan Muda, di Dong di sini baru-baru ini.

Kejohanan Sukan Risda Pahang itu membabitkan seramai 416 pegawai dan kakitangan daripada sembilan kontinjen daerah negeri ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram dan Pengarah Risda negeri, Mujahid Mohamad.

Wan Rosdy memberitahu, projek agropolitan seluas 200 hektar di Tanjong Gahai itu akan dimajukan dengan tanaman nanas.

Menurutnya, kerajaan negeri dengan kerjasama Risda juga merancang untuk memajukan tanah bagi projek agropolitan di Pekan dan Bentong bagi menempatkan keluarga miskin di negeri ini.

''Kerajaan berterima kasih kepada Risda kerana menyediakan pelbagai kemudahan dan khidmat bimbingan bagi membolehkan keluarga berkenaan menikmati keselesaan hidup.

''Kita akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk memberi keselesaan hidup kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah kerana ini merupakan tanggungjawab kerajaan," katanya.

Wan Rosdy yang merupakan ADUN Jelai juga meminta agensi kerajaan di negeri ini mengambil langkah berjimat cermat dalam operasi masing-masing
Reply

Use magic Report

Post time 22-6-2008 10:10 AM | Show all posts
Pahang tumpu pelajar 'galus'

KUANTAN 21 Jun - Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan khusus kepada golongan pelajar 'galus' bagi memastikan pencapaian akademik mereka juga setanding dengan pelajar cemerlang di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pelajar 'galus' yang bermakna 'kadang-kadang gagal, kadang-kadang lulus' berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading jika mengikuti kaedah pembelajaran sesuai.

''Kajian mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang tahap pencapaiannya sederhana menunjukkan cara belajar yang kurang berkesan adalah masalah utama mereka kini.

''Seorang profesor sebuah universiti yang saya kenali melabelkan mereka sebagai golongan 'galus' (kadang-kadang gagal, kadang-kadang lulus)," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Puncak Jaya di Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd. Sahfri Ab. Aziz.

Menurut Adnan, program Puncak Jaya adalah program perintis menerusi peranan Yayasan Pahang. Ia bertujuan memastikan golongan pelajar 'galus' diberi perhatian khusus ke arah memperoleh pencapaian akademik yang lebih mantap.

Buat peringkat permulaan, katanya, seramai 150 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih menyertai program tersebut.

''Program ini adalah satu idea baru yang melihat kepada kebolehan pelajar lepasan SPM untuk memasuki institusi pengajian tinggi secara menyeluruh.

''Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang menyumbang kepada kegagalan para pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti,'' katanya.

Antara kegagalan tersebut jelas beliau, ialah mengisi borang permohonan masuk universiti yang kurang tepat, kegagalan dalam temuduga dan yang paling penting adalah kelemahan para pelajar dalam aspek keterampilan dan penguasaan emosi.

Melalui program tersebut, katanya, kerajaan negeri berharap para pelajar akan dilengkapi dengan maklumat tentang amalan-amalan pembelajaran yang berkesan.

Tegas Adnan, usaha gigih kerajaan negeri itu tidak akan berjaya sekiranya para pelajar sendiri masih bersikap negatif terhadap proses pembelajaran.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Saariah Saad dalam ucapannya berkata, program tersebut dijayakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP).

Katanya, selain program Puncak Jaya, Yayasan Pahang juga telah melaksanakan dua program utama lain yang mensasarkan kecemerlangan pendidikan iaitu Jawab Untuk Jaya dan program Intervensi Semua Subjek Satu A.

''Semua ini adalah untuk merealisasikan falsafah 'kembali kepada asas' bagi memastikan tiada anak Pahang tercicir daripada mendapat pendidikan," ujar beliau
Reply

Use magic Report

Post time 22-6-2008 10:10 AM | Show all posts
Kerajaan sedia guna tenaga nuklear

MARAN 21 Jun - Kerajaan bersedia menggunakan tenaga nuklear menggantikan minyak sebagai alternatif jangka panjang untuk menjana kuasa elektrik jika harga bahan api itu terus melambung di pasaran dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mencari alternatif lain seperti tenaga solar, hidro, hidro mini, biomas dan bahan bakar yang diperbaharui daripada sampah sarap bagi menggantikan minyak.

"Kita tidak boleh ketepikan hasrat menggunakan nuklear untuk menjana kuasa elektrik pada masa depan kerana ia adalah alternatif jangka panjang dan murah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Pembelajaran Sains (PPS) sekolah menengah harian berasrama bagi pelajar Felda dan luar bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad (TNB) (Penghantaran), Ir. Ab'llah Mohd. Salleh baru-baru ini bahawa TNB bersedia untuk mengggunakan tenaga nuklear menggantikan minyak
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 22-6-2008 10:11 AM | Show all posts
Peruntukan segera RM4j untuk Jengka

MARAN 21 Jun
Reply

Use magic Report

Post time 23-6-2008 09:52 AM | Show all posts
Jadikan senaman satu budaya

TEMERLOH 22 Jun - Penduduk di sini perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti senaman untuk menjaga kesihatan tanpa perlu berbelanja besar dengan mengambil pil vitamin sebagai makanan tambahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chuan Boon Seong berkata, walaupun semakin ramai rakyat mengambil pil vitamin sebagai makanan tambahan untuk memelihara kesihatan, ia tidak mencukupi tanpa melakukan senaman.

Katanya, dengan menjadikan senaman sebagai budaya, rakyat dapat menjimatkan wang daripada membeli pil vitamin yang mahal harganya.

''Saya berharap penduduk di sini menjadikan senaman sebagai budaya atau amalan rutin kerana ia baik untuk kesihatan dan selalu membuat pemeriksaan kesihatan di hospital," kata Boon Seong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Mini Kebudayaan dan Kesenian Mentakab yang dirasmikan Pegawai Daerah Temerloh, Abu Jamal Nordin.

Menurutnya, rakyat juga digalakkan melakukan pemeriksaan supaya mereka mengetahui tahap kesihatan mereka dari semasa ke semasa serta mengambil langkah-langkah segera untuk mengelak dijangkiti penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Dalam perkembangan lain, Boon Seong memberitahu, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan menaiktaraf pasar malam Mentakab di Jalan Mok Hee Kiang dengan memasang bumbung sepanjang 400 meter di tapak itu supaya lebih tersusun dan menarik.

Katanya, tapak pasar malam Mentakab itu perlu diperindahkan lagi kerana ia menjadi tumpuan orang ramai serta pelancong berikutan keunikannya selain mengelakkan orang ramai daripada hujan.

Selain memasang bumbung, kata beliau, MPT akan menjalankan promosi berterusan untuk mempromosikan bandar Mentakab di kalangan pelancong termasuk mengadakan persembahan kebudayaan.

''Pasar malam Mentakab mempunyai keunikannya tersendiri kerana ia dibuka sepanjang malam setiap hari dan perlu diberi wajah baru serta menjadi lebih segar bagi menarik lebih ramai pelanggan dan pelancong," katany
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-6-2008 09:55 AM | Show all posts
2 beradik lemas di kolam nenek

Oleh HAFIZ ABBAS
[email protected]

Zalina (kiri) bersama kakaknya, Nor Zainab mendukung jenazah dua kanak-kanak yang mati lemas di Hospital Pekan semalam.

PEKAN - Kehilangan dua beradik yang berusia dua dan tiga tahun dari rumah hampir dua jam berakhir dengan mereka ditemui mati terapung di sebuah kolam ikan di Kampung Merchong, sini semalam.

Sebelum mayat Zarifah Liyana Mohd. Zaid Nadwi, 2, dan kakak angkatnya, Nor Amanina Bariah Mohd. Tarmizi, 3, ditemui pukul 1.45 petang, dua budak itu dikatakan mengekori nenek mereka yang mahu membersihkan daun kelapa berhampiran kolam tersebut yang terletak tidak jauh dari rumah.


Sepupu dua beradik itu, Adila Hanie Kamar, 16, yang mencari dua kanak-kanak itu berkata, dia hanya menyedari kehilangan mereka selepas neneknya pulang ke rumah kira-kira pukul 1.30 petang.

"Nenek tak sedar dua beradik itu mengikutinya dari belakang ketika dia pergi ke kolam yang berdekatan dengan sebuah chalet di situ.

"Apabila pulang, nenek hairan dan bertanya kepada kami ke mana Zarifah dan Amanina pergi," katanya ketika ditemui di Hospital Pekan di sini semalam.

Berikutan itu, Adila memberitahu, dia sekeluarga berusaha mencari dua sepupunya itu di sekitar kawasan rumah dan kolam ikan neneknya dengan bantuan penduduk lain.
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2008 10:05 AM | Show all posts
Contohi Johor serah lot rumah

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD


salah sebuah rumah milik peneroka Felda Semenchu, Johor yang terlibat dalam program inap desa.
- Gambar hiasan

BANDAR JENGKA 23 Jun - Kerajaan Pahang perlu mencontohi Johor yang telah menyerahkan lot-lot tapak rumah di tanah kosong rancangan Felda di negeri itu kepada generasi baru bagi membolehkan mereka membina rumah sendiri.

Ketua-ketua peneroka Felda Jengka ketika ditemui menyifatkan, pemberian lot-lot tapak rumah di kawasan tanah kosong kepada generasi baru Felda lebih relevan bagi mengatasi masalah rumah di kalangan masyarakat Felda.

Ketua Kampung Anggerik Jengka Satu, Mohd. Akhir Awang, 53, berkata, walaupun Felda berusaha membangunkan projek perumahan generasi baru Felda di lokasi tertentu tetapi langkah itu tidak dapat mengatasi keperluan rumah di tanah rancangan.

''Felda berhasrat untuk memajukan perumahan di Jengka Satu tetapi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan generasi baru Felda lebih berminat mendirikan sendiri rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Kampung Felda Semarak Jengka 15, Adnan Darus, 53, yang turut menyokong usaha tersebut berkata, banyak kawasan tanah kosong yang terbiar dan tidak produktif di kawasan Felda boleh ditukar syarat tanah kepada kawasan perumahan.

Tambahnya, ramai generasi kedua dan ketiga Felda sudah berkeluarga dan memerlukan rumah kediaman sendiri untuk membesarkan anak masing-masing.

''Jika ramai di kalangan mereka diberi peluang mendirikan rumah di tanah rancangan secara langsung dapat menghalang tenaga produktif berhijrah ke kawasan lain khususnya ke bandar-bandar besar mencari kehidupan baru," katanya.

Ketua Kampung Felda Melati Jengka Sebelas, Abdul Razak Abdul Rahman, 52, berkata, projek perumahan generasi Felda di bawah kendalian agensi itu amat dialu-alukan tetapi secara realitinya tidak ramai berjaya terpilih mendiami rumah berkenaan.

Selain itu tegasnya, tidak semua mereka mampu membeli rumah kos rendah dan sederhana yang berharga antara RM35,000 hingga RM90,000 ditawarkan agensi itu.

''Strategi paling tepat ialah beri lot-lot tapak rumah kepada individu terpilih dan mereka mendirikan rumah di tapak itu dengan reka bentuk dan perbelanjaan sendiri," katanya.

Pengerusi Belia Felda Harapan Baru Jengka Satu, Mohd. Zaharunn Nizam Mahmad, 28, pula memberitahu, tidak ramai golongan muda yang mampu membeli rumah siap yang ditawarkan oleh Felda berikutan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Malah katanya, kebanyakan tanah rancangan lama hanya dihuni oleh warga emas menyebabkan suasana kampung agak muram kerana ramai generasi muda yang produktif lebih gemar berhijrah ke bandar untuk membina keluarga masing-masing.
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2008 10:09 AM | Show all posts
Tanah rancangan Felda kurang program motivasi

KUALA LIPIS 23 Jun - Golongan peneroka Gugusan Felda Sungai Koyan, Jelai di sini mahu program motivasi kepimpinan keluarga dan kecemerlangan anak-anak diadakan dengan lebih kerap di kawasan mereka.

Usaha itu menurut mereka, dapat memberi pendedahan mengenai kaedah terbaru terhadap pendidikan anak-anak di rumah selain merealisasikan pembentukan keluarga bahagia.

Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan menerusi agensi berkaitan memperluaskan lagi program seumpama itu dalam aspek kepimpinan, ekonomi, kerjaya dan jati diri kepada ibu bapa, belia serta pelajar di kawasan Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Koyan Satu, Kholid Hussain berkata, pihaknya meminta lebih ramai cerdik pandai dan pemimpin politik meneruskan usaha meningkatkan taraf pelajaran anak-anak peneroka di Felda dan kampung tradisional di pedalaman Hulu Jelai.

Menurutnya, program motivasi berkenaan amat wajar untuk mengingati semua pihak mengenai tanggungjawab mendidik anak-anak.

''Program ini amat baik dan kita sentiasa digalakkan beringat antara satu sama lain dan mencari jalan meningkatkan kemajuan anak-anak dalam pelajaran dan pembinaan modal insan," katanya.

Beliau ditemui selepas program motivasi ibu bapa dan penjaga pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Felda Sungai Koyan dekat sini baru-baru ini.

Ceramah motivasi disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Mustapha Long dan Ketua Unit Pendidikan Felda Wilayah Mempaga, Shamsiah Majid.

Kholid berkata, pihaknya juga meminta lebih ramai penceramah 'turun padang' untuk memberi pemahaman kepada ibu bapa mengenai pendidikan termasuk modul pembinaan keluarga bahagia.

Pengerusi JKKK Felda Sungai Koyan Dua, Mohd. Zain Zakaria berkata, ibu bapa dan penjaga perlu didedahkan dengan pengetahuan baru mengenai kepimpinan keluarga ketika dunia menghadapi pelbagai cabaran.

''Kita perlu kerap didedahkan panduan untuk mendidik anak-anak dan bertukar pendapat mencari jalan menghadapi ledakan pengaruh negatif yang meruntuhkan akhlak," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta, semua pihak perlu mengukuhkan ikatan kejiranan dan membudayakan sikap tegur-menegur antara satu sama lain.

Bagi seorang suri rumah Felda Sungai Koyan Satu, Kamisah Mohamad, 41, anak-anak perlu diberi perhatian serius dalam semua aspek sama ada di dalam atau luar rumah.

''Ibu bapa adalah orang yang pertama mendidik anak-anak dan memantau kegiatan harian mereka selain kewajiban guru memberi pendidikan formal," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu berharap lebih banyak program kekeluargaan anjuran JKKK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan didedahkan kepada golongan ibu bapa di sini.

Seorang lagi suri rumah dari Felda Sungai Koyan Tiga, Norhani Mohd. Nordin, 58, berkata, ibu bapa kini berhadapan dengan cabaran yang datang daripada pelbagai media termasuk Internet yang memberi impak kepada kelakuan anak-anak.

''Ibu bapa perlu menjadualkan kehidupan harian anak-anak bermula daripada peringkat awal tanpa mengabaikan pendidikan akhlak dan pelajaran serta meluangkan lebih masa mendekatkan diri dengan mereka walaupun sibuk dengan tugas lain," katanya.

Oleh itu, kata ibu kepada 10 orang anak itu, program motivasi boleh memberi rangsangan kepada ibu bapa untuk memperbaiki kaedah mendidik anak-anak.

Sementara itu, Ketua Perkumpulan Wanita (WI) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad berkata, pihaknya kerap mengatur pertemuan dengan golongan wanita Felda dan memberi pengetahuan dalam aspek kekeluargaan terutama pendidikan anak-anak.

''Kami sedaya upaya membantu ibu-ibu menangani masalah mereka dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan anak-anak dan pengurusan kewangan," katanya.

Pertemuan dengan golongan wanita di kawasan Felda, tambah Sapiah, bertujuan berkongsi pandangan selain meningkatkan kemahiran mereka dalam penghasilan produk makanan untuk menambah pendapatan keluarga.
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2008 10:09 AM | Show all posts
Ketua kampung di Pahang mungkin dapat bonus

KUALA LIPIS 23 Jun
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2008 10:10 AM | Show all posts
Peniaga kerepek mampu raih RM1,600 sebulan

KUALA LIPIS 23 Jun - Pahang mensasarkan seramai 200 peniaga kerepek ubi dan pisang di sini memperoleh pendapatan minimum sebanyak RM1,600 sebulan setiap seorang menerusi program pemasaran bersepadu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, peniaga terbabit merupakan ahli koperasi yang terlibat dalam kursus usahawan pengurusan dan pemprosesan kerepek pisang dan ubi.

Beliau berkata, projek tersebut mendapat sokongan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) yang memilih mereka sebagai projek perintis dalam program pemasaran itu.

''Langkah ini untuk mengembangkan sektor pengeluaran kerepak ubi dan pisang kerana ia mendapat pasaran yang baik dan boleh menambah pendapatan peniaga terutama yang tinggal di luar bandar," katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Usahawan Kerepek anjuran Angkasa di sini hari ini.

Seramai 200 peserta terdiri daripada ahli beberapa koperasi di Pahang menyertai bengkel yang berakhir esok.

Hadir sama Naib Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Prof. Dr. Mohd. Ali Baharom.

Menurut Ishak, setiap peniaga menyasarkan pengeluaran antara 40 hingga 50 kilogram kerepek seminggu dengan jualan antara RM8 hingga RM10 sekilogram di kedai, pasar tani, pekan sehari dan ruang pameran anjuran pihak tertentu.

Bekalan bahan mentah untuk kerepek itu. menurutnya diperoleh daripada penanam pisang dan ubi di sekitar daerah ini.

''Ahli koperasi juga digalakkan menanam ubi dan pisang sendiri yang boleh digunakan untuk pemprosesan kerepek kerana dengan cara itu, kosnya lebih murah.

''Kita juga menggalakkan ahli koperasi yang tidak mempunyai tanah memohon sekurang-kurangnya empat hektar tanah tol daripada Pejabat Tanah Daerah masing-masing untuk tanaman pisang dan ubi," katanya.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar meminta Pejabat Tanah Daerah memberi keutamaan permohonan koperasi berkenaan bagi tujuan projek tersebut.

Bagi menjayakan projek berkenaan, beliau berkata, beberapa agensi kerajaan akan memberi bimbingan teknikal, pemasaran dan bantuan kepada peniaga supaya pengeluaran kerepek itu berjaya direalisasikan tidak lama lagi.

''Kita akan meminta kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk ahli koperasi menjalani kursus pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran agar pengeluaran makanan ini lebih berkualiti serta berdaya saing," katanya.

Menurutnya, koperasi di Pahang sepatutnya telah mendominasi pengeluaran kerepek di pasaran kerana mempunyai bekalan bahan mentah yang banyak.
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2008 07:50 AM | Show all posts
Kereta terbabas 2 beradik maut

Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN 24 Jun - Dua beradik berusia satu dan empat tahun maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 82.1 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Bukit Kuin, Maran semalam.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia satu tahun, T. Guruthineswaran, tercampak dari kereta lalu mati di tempat kejadian.

Abangnya, T. Sadiswara, empat tahun, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Bandar Pusat Jengka.

Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd. Najid Jusoh berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama empat lagi saudara mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

"Kereta yang dipandu saudara lelaki mangsa berumur yang 19 tahun itu dikatakan terbabas ke kanan jalan semasa menuruni bukit di tempat kejadian.

"Ia kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan dan berpusing sebelum dirempuh di pintu pemandu oleh sebuah kereta yang datang dari arah belakang," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Mohd. Najid berkata, pemandu kereta terbabit yang cedera parah dan tiga lagi cedera ringan, dirawat di hospital sama.

Beliau memberitahu, kesemua mangsa berasal dari Kapar, Selangor.

"Pemandu serta penumpang tiga buah kereta lagi yang terlibat turut mengalami cedera ringan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2008 07:50 AM | Show all posts
RM1 juta tingkat infrastruktur DUN Jengka

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

BANDAR JENGKA 24 Jun - Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka sepanjang tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan kampung, membina balai raya serta tadika, mendalamkan sungai dan kemudahan lain untuk kegunaan penduduk.

''Peruntukan tambahan juga akan disediakan dari semasa ke semasa dalam pelaksanaan projek awam dan kemudahan asas selari dengan peningkatan sosioekonomi penduduk,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Salman memberitahu, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM390,000 akan digunakan untuk mendalamkan sungai dalam DUN Jengka.

Katanya, kerja-kerja mendalamkan anak sungai merupakan usaha Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengurangkan risiko banjir kilat jika berlaku hujan lebat.

''JPS perlu memastikan kerja- kerja mendalamkan anak-anak sungai dilakukan secara berkala kerana dalam tempoh tertentu ia akan cetek semula akibat proses pemendapan,'' katanya.

Menurut beliau, kerajaan Pusat bersetuju untuk melebarkan Jalan Kampung Awah-Simpang Jengka 8 daripada dua lorong menjadi empat lorong pada tahun ini.

Menurut beliau, jalan itu perlu dilebarkan berikutan pertambahan kenderaan terutama pada musim perayaan.

''Premis-premis perniagaan yang beroperasi di tepi jalan utama itu harus bersiap sedia untuk berpindah ke kawasan lain sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Maran," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, segala projek yang akan dijalankan itu akan memberi impak positif dan keselesaan kepada penduduk yang majoriti terdiri daripada peneroka Felda dan peniaga.

''Sebagai contoh, sebanyak RM250,000 bantuan wang ihsan telah diagihkan kepada 625 warga emas, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) baru-baru ini,'' ujarnya.
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2008 07:51 AM | Show all posts
Lelaki mati lemas tersembam dalam baldi

TEMERLOH 24 Jun - Seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui mati dengan mukanya tersembam dalam baldi di Lorong Datuk Abdullah di Raub, semalam.

Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd. Samsuddin Wan Osman, berkata lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Sivathamby, ditemui orang ramai pada 6.30 petang.

Katanya, dia dipercayai tidak mempunyai tempat tinggal dan sering merayau-rayau di sekitar bandar tersebut.

Wan Mohd. Samsuddin berkata, polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat hari ini meneruskan gerakan mencari Mohd. Faris Akmal Amiruddin, 9, yang hilang selepas mandi bersama tiga saudaranya yang lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Bangau Tanjung, Temerloh, Ahad lepas.

Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata gerakan mencari kini diperluaskan sehingga ke Kampung Durian Tikus dan Kampung Tanjung Kerayong Lebak, 15 kilometer dari tempat kejadian.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, tiga beradik, Badlishah Izhan Rosli, 12; Mohd Taufik, 9; dan Mohd Fadil, 7, mati lemas.

- Bernama
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-6-2008 07:55 AM | Show all posts
Pemandu maut lori terbabas rempuh pokok

KUANTAN Seorang pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok ketika sedang mengelak sebuah motosikal di Kilometer 11, Jalan Pekan-Kuantan, di sini petang semalam.Mangsa, Mohd. Mansur Kaman Kayin, 57, yang berasal dari Jalan Mewah 6, Ampang, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan patah kedua belah kakinya setelah tersepit di dalam lori terbabit.

Bagaimanapun, kelindannya yang tidak kenali dan berumur 51 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahu, manakala penunggang motosikal terbabit yang berumur 19 tahun hanya luka di beberapa bahagian badan apabila terjatuh selepas motosikalnya bergesel dengan lori terbabit.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian pada pukul 6 petang itu, lori mangsa yang membawa muatan penapis air sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pekan.

''Sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal Yamaha Ego dipercayai membuat pusingan U sehingga memasuki laluan mangsa.

''Mangsa yang gagal mengelak, melanggar motosikal itu sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.

''Lori yang dipandu mangsa pula terbabas lalu merempuh sebatang pokok di kiri jalan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, berikutan perlanggaran itu, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam lorinya sebelum mayatnya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Dua lagi mangsa yang cedera, katanya, dibawa ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
Reply

Use magic Report

Post time 27-6-2008 07:51 AM | Show all posts
Peneroka mahu kilang baru

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD


LORI berisi kelapa sawit terpaksa menunggu lama sebelum dapat menjual sawit di kilang Jengka 8, Bandar Jengka, semalam.

BANDAR JENGKA 26 Jun - Felda perlu menyegerakan pembukaan kilang baru memproses buah kelapa sawit bagi mengatasi masalah terpaksa menunggu terlalu lama di kilang sedia ada berikutan kegagalannya menampung jumlah hasil yang dituai.

Peneroka mendakwa, pembukaan kilang Felda Palm Industries bernilai kira-kira RM50 juta di Felda Jengka 21 mampu mengatasi masalah yang wujud di Jengka 8 itu.

Masalah ketidakmampuan kilang Jengka Lapan menerima buat tandan segar (BTS) untuk diproses dengan kadar segera dikatakan mencapai ke tahap yang serius.

Ketua Peneroka Felda Tekam Utara, Abdul Rashid Abas, 52 berkata, Felda Palm Industries Jengka Lapan menerima BTS daripada lebih lapan buah rancangan Felda menyebabkan kilang itu mengehadkan kemasukan hasil tuaian ke kilang.

Keadaan itu katanya, menyebabkan pemandu lori yang membawa BTS terpaksa menunggu di hadapan kilang sejak pukul 7 petang untuk ditimbang dan diproses pada keesokan paginya.

''Keadaan ini berlaku hampir tiga bulan lalu menyebabkan lori yang membawa BTS hanya dapat membawa hasil ke kilang sekali atau dua kali sehari. Ini merugikan kami,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, semalam.

Ketua Kampung Felda Mawar Jengka 10, Jantan Mat Saman, 57, berkata, bagi memastikan BTS dapat diproses ketika ini, pemandu lori terpaksa menghantar hasil pada sebelah petang dan menunggu di hadapan pintu kilang.

Katanya, mereka terpaksa bermalam dalam lori untuk memastikan giliran menghantar BTS ke dalam kilang keesokan paginya berjalan lancar.

''Pemandangan biasa dapat dilihat kira-kira 100 buah lori berbaris menunggu giliran untuk masuk ke kilang memproses pada setiap petang khususnya pada petang hari Jumaat," katanya.

Ketua Kampung Felda Anggerik Jengka Satu, Mohd. Akhir Awang, 53, berkata, ketika ini kilang sedia ada menerima BTS daripada Jengka Satu, Felda Tekam Utara, Felda Sungai Tekam, Felda Jengka 10, Jengka Sebelas, Jengka Lapan, Jengka Sembilan dan Jengka 13.

Menurutnya, keghairahan peneroka menuai hasil dan menghantarnya ke kilang didorong oleh harga komoditi itu yang melonjak melebihi RM730 setan metrik.

'' Masalah ketidakmampuan kilang menerima hasil mengikut kapasiti besar menyebabkan ada buah tidak dapat diangkut ke kilang mengikut masa ditetapkan.

''Ini amat mengecewakan peneroka yang berharap lebih banyak hasil dapat dituai supaya pendapatan mereka selari dengan kenaikan harga komoditi itu," katanya.

Peneroka Felda Kesumba Jengka Sembilan, Mat Jali Jamil, 58, berkata, jalan keluar yang tepat untuk mengatasi masalah kelembapan memproses BTS ialah dengan menyegerakan pembukaan kilang memproses paling moden di Felda Jengka 21.

Tegasnya, Felda perlu mengambil langkah segera untuk menangani masa menunggu yang terlalu lama kerana ia menyebabkan peneroka menanggung kerugian yang besar.

Bagi ketua Kampung Felda Melati Jengka Sebelas, Abdul Razak Abdul Rahman, dia berharap pihak pengurusan segera mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah itu termasuk menaik taraf kilang Jengka Lapan.

Katanya, kelewatan memproses BTS bukan sahaja merugikan peneroka kerana kehilangan pendapatan tetapi kerajaan juga akan turut kehilangan cukai melalui produk yang diproses dan dijual ke luar negara.
Reply

Use magic Report

Post time 27-6-2008 07:51 AM | Show all posts
Banduan terharu bertemu isteri, anak selepas dua tahun

KUANTAN 26 Jun - Tiada apa yang lebih menggembirakan Mohd. Faizal Ahmad, 24, (bukan nama sebenar) selain dapat bertemu isteri dan anak perempuannya setelah dua tahun berpisah kerana menjalani hukuman penjara di Penjara Penor di sini.

Peluang itu digunakan sebaik-baiknya oleh Mohd. Faizal untuk bermesra dengan isterinya, berusia 23 tahun dan anak mereka, dua tahun melalui program Jalinan Kasih anjuran Unit Pemulihan penjara itu di sini hari ini.

''Saya sangat terharu melihat isteri, anak dan keluarga isteri yang sanggup datang dari Bahau, Negeri Sembilan semata-mata untuk bertemu saya. Selama dua tahun ini, saya tak dengar khabar berita dari mereka, saya memang terlalu rindukan keluarga," katanya dalam nada sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pertemuan keluarga itu berlaku dalam suasana hiba apabila Mohd. Faizal yang dihukum penjara selama tujuh tahun diberi peluang bertemu keluarganya selepas dua tahun menjalani hukuman.

Tindakan anaknya yang tidak berhenti menangis setiap kali didukung Mohd. Faizal menambahkan rasa hiba di hati banduan yang berasal dari Felda Keratong itu sehingga dia dilihat mengalirkan air mata beberapa kali.

Isterinya berkata, dia dan keluarga hanya tahu Mohd. Faizal ditempatkan di Penjara Penor dua hari lalu setelah dimaklumkan pihak pengurusan penjara tersebut yang menghubungi keluarganya.

Katanya, dia dengan bantuan ahli keluarga tidak pernah jemu berusaha menjejaki suami sejak dua tahun lalu sejak hilang tanpa khabar berita, namun usaha itu hanya dia-sia.

''Dua tahun saya menanggung derita, terfikir apakah nasib suami tapi saya memang tak tahu di mana dia berada, keluarga mertua pula tak banyak membantu, mujurlah ahli keluarga saya memberi sokongan.

''Saya pernah ke balai-balai polis di Seremban beberapa kali mengikut abang saudara, namun usaha menjejaki suami gagal, sehinggalah pihak penjara menghubungi keluarga dua hari lalu, rindu saya terubat juga hari ini," katanya.

Katanya, dia tidak mendengar khabar berita dari suami ketika anak mereka berusia tiga bulan, namun keluarga mertuanya hanya memberitahu Mohd. Faizal keluar mencari kerja.

Mohd. Faizal merupakan salah seorang daripada 15 banduan penjara itu yang diberi peluang bertemu keluarga melalui program Jalinan Kasih penjara tersebut.

Timbalan Penguasa Penjara Penor, Wan Abdul Rahman Wan Yaman berkata, program tahunan itu dijalankan bagi merapatkan hubungan antara banduan dan keluarga selain memberi peluang kepada mereka merancang masa depan selepas dibebaskan kelak.

Katanya, banduan yang terlibat dipilih berdasarkan kriteria disiplin iaitu yang tidak pernah dikenakan tindakan tata tertib sepanjang menjalani hukuman.

''Setiap banduan diberi masa selama 45 minit untuk bertemu keluarga secara bersemuka, mereka juga boleh memberi hadiah kepada anak-anak dan keluarga begitu juga sebaliknya," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 27-6-2008 07:51 AM | Show all posts
Hotel empat bintang di pinggir Sungai Kuantan

KUANTAN - Sebuah hotel bertaraf empat bintang dan medan selera bernilai RM200 juta akan dibina di pinggir Sungai Kuantan di bawah pembangunan pusat komersiol dan kebudayaan yang akan bermula akhir tahun depan.Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Azizan Ahmad berkata, hotel tersebut akan menyediakan kemudahan 200 buah bilik dan dewan besar.

Ia akan menjadi tarikan baru kepada bandar Kuantan kelak, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPK di sini semalam.

Beliau berkata, projek pusat komersiol itu yang dijangka siap menjelang 2012 bertujuan menggantikan kawasan premis perniagaan di tepi sungai berkenaan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lepas.

Berikutan projek berkenaan, kesemua 75 peniaga di kawasan terbabit telah diarah mengosongkan premis perniagaan masing-masing selewat-lewatnya Ogos ini, katanya.

Azizan berkata, semua peniaga akan dipindahkan ke beberapa lokasi lain sekitar Kuantan yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Berdasarkan persetujuan, MPK dan Pasdec Holdings Berhad akan menyediakan tapak dan kemudahan premis kepada peniaga berkenaan," katanya.

- Bernama
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2025 09:48 PM GMT+8 , Processed in 0.120558 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list