Adun pembangkang hanya ditanya sokong Mukhriz atau tidak OLEH ZULKIFLI SULUNG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA Published: 2 February 2016 4:45 PM
Adun Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata beliau ditanya 2 soalan saja sama ada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir atau tidak dan apakah beliau dipaksa mana-mana pihak ketika membuat pendirian itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Februari, 2016.
Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Kedah ditanya 2 soalan saja hari ini, apakah mereka menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal sebagai menteri besar atau tidak dan adakah mereka dipaksa mana-mana pihak ketika membuat pengakuan itu.
"Saya ditanya 2 soalan saja, sokong Mukhriz atau tidak dan apakah saya dipaksa mana-mana pihak ketika membuat pendirian itu," kata Adun Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi kepada The Malaysian Insider sebaik saja selesai menemui ahli Jemaah Pangkuan Sultan Kedah, hari ini.
Phahrolrazi bersama 14 lagi Adun pembangkang di Kedah iaitu 8 daripada PAS, PKR (4) dan DAP (2) dipanggil ke Istana Kedah hari ini selepas Adun BN dipanggil menghadap semalam.
Phahrolrazi berkata, beliau tidak boleh memberitahu apa jawapan diberikannya kepada soalan itu kerana sudah dipersetujui proses seterusnya akan dilakukan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
"Kami sudah berjanji tidak akan memaklumkan kepada mana-mana pihak apa jawapan kami, ia untuk mereka saja," kata Phahrolrazi, satu-satunya Adun Kedah yang menyertai Amanah selepas perpecahan berlaku dalam PAS.
Ahli parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau sendiri tidak tahu apa sikap PAS dalam isu ini.
"Yang saya tahu presiden PAS dalam kenyataan sebelum ini berkata mahu isu ini diselesaikan melalui sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.
"Jika begitu sikap presiden PAS, saya kata kepada Adun PAS yang menghubungi saya, mereka perlu sokong Mukhriz.
"Jika mereka tidak sokong Mukhriz maknanya Umno mempunyai cukup bilangan untuk menukar Mukhriz dan tidak perlu adakah sidang DUN," kata bekas ketua penerangan PAS itu. – 2 Februari, 2016. |