|
|
UiTM Sarawak anjur Siri Telaah bagi memperkasa kepimpinan wanita
Januari 22, 2026, Khamis - 10:12am

Roziah (tengah), Abdul Wahab (empat kiri), Firdaus (empat kanan) merakamkan gambar bersama jemputan lain.
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus komited memperkasa kepimpinan dan pembangunan intelektual wanita menerusi penganjuran Program Siri Telaah: Pawana Ingatan bertajuk “Menakluk Puncak Dunia: Sentuhan Srikandi”.
Berlangsung di Sudut Telaah, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kampus Samarahan 2 pada Rabu, program anjuran PTAR UiTM Cawangan Sarawak itu bertujuan menyemai budaya ilmu serta memberi inspirasi kepimpinan kepada warga universiti dan komuniti wanita di Sarawak.
Siri kali ini menampilkan tokoh kepimpinan wanita negara Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor yang merupakan Naib Canselor wanita pertama universiti awam terbesar di Malaysia.
Beliau berkongsi pengalaman kepimpinan, pemikiran strategik serta inti pati karya penulisan yang menekankan nilai integriti, ketahanan diri dan daya juang tinggi sebagai asas kejayaan wanita dalam pelbagai bidang.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dr. Firdaus Abdullah berkata, inisiatif Siri Telaah Pawana Ingatan merupakan platform wacana intelektual yang penting dalam membincangkan isu semasa serta membedah karya-karya inspirasi tokoh negara.

Peserta serta jemputan Program Siri Telaah: Pawana Ingatan bertajuk “Menakluk Puncak Dunia: Sentuhan Srikandi” merakamkan gambar bersama.
Menurutnya, program seumpama ini berupaya menjadi jambatan idea merentas generasi sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai pusat rujukan ilmu dan pemikiran strategik.
“UiTM Cawangan Sarawak berharap Siri Telaah ini dapat berkembang sebagai jenama intelektual kampus yang berterusan, selain menjadi medium pembentukan pemimpin berwibawa khususnya dalam kalangan wanita,” katanya dalam ucapan aluan.
Hadir sama Pro-Canselor UiTM Datuk Abdul Wahab Aziz bersama isteri Datin Dayang Rosnah Drashid yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Bestari Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah bersama isteri Siti Nur Aisyah Jaafar selaku Pengerusi Persatuan Wanita (PEWANI) UiTM Cawangan Sarawak, serta Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 Profesor Madya Dr. Abdul Razak Abdul Kadir.
Program itu merupakan hasil kerjasama strategik antara PTAR selaku penganjur utama dengan Persatuan Wanita (PEWANI) UiTM Cawangan Sarawak dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sarawak.
Selain warga kampus, program itu turut mendapat sambutan daripada pelbagai wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita sekitar Kuching dan Kota Samarahan.
Antaranya Persatuan Wanita UNIMAS, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Sosial Purplelily Kuching, Persatuan Pembangunan dan Ekonomi Sosial Wanita Asia Pasifik (PPSEAWA) Cawangan Sarawak, PERASA UiTM Sarawak serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Empila.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
APM Daerah Kapit terus pantau kawasan berisiko banjir
Januari 22, 2026, Khamis - 11:12am

Anggota APM melakukan tinjauan paras air Sungai Katibas, di Sungai Ijok, Song. - Gambar APM
KAPIT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kapit terus menjalankan pemantauan berterusan serta melaksanakan tugas rutin di kawasan yang berisiko banjir.
Pemantauan yang dijalankan pada awal pagi tadi melibatkan beberapa lokasi strategik di Daerah Kapit dan Song, termasuk kawasan penempatan penduduk serta terminal bot ekspres yang sering terdedah kepada perubahan paras air sungai.
Hasil pemantauan mendapati paras air sungai di semua lokasi terlibat berada pada tahap normal dan terkawal, selain tiada sebarang insiden bencana atau kecemasan dilaporkan setakat ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kapit Kapten (PA) Frankie John Jawan berkata, pemantauan secara berkala itu merupakan prosedur operasi standard APM bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
“Pemantauan ini adalah sebahagian daripada tugas rutin APM bagi mengenal pasti sebarang perubahan awal keadaan cuaca dan paras air, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat pemantauan dijalankan, keadaan di lapangan adalah stabil dan tidak memerlukan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS).
Tambahnya, semua laluan jalan raya di kawasan terlibat juga masih boleh dilalui oleh kenderaan dan orang awam tanpa sebarang sekatan.
Beliau berkata, pasukan pemantau APM berada dalam keadaan selamat dengan kekuatan anggota mencukupi serta logistik yang berada pada tahap baik dan siap digunakan pada bila-bila masa.
“APM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan boleh diatur gerak dengan segera sekiranya berlaku perubahan cuaca atau peningkatan mendadak paras air sungai,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau keadaan sekeliling, terutama paras air sungai dan parit berhampiran kediaman masing-masing.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar tidak mengambil risiko dengan meredah kawasan berair serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.
Sebarang kecemasan atau maklumat berkaitan bencana boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kapit bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bengkel kereta terbakar, tujuh kenderaan terjejas
Januari 22, 2026, Khamis - 11:29am

Operasi memadam kebakaran bengkel di Jalan Kwong Lee Bank, Kuching, malam tadi, - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Sebuah bengkel kereta di Jalan Kwong Lee Bank di sini terbakar malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 7.27 malam.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan dua unit kedai berstruktur kekal dan sebanyak 60 peratus kerosakan dicatatkan pada unit kedai pertama manakala 30 peratus pada unit kedua.
“Terdapat juga dua buah kenderaan musnah sepenuhnya, dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus selain sebuah forklift (trak angkat susun) turut terbakar sekitar 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dua buah kenderaan lagi berjaya diselamatkan.
Difahamkan, operasi pemadaman yang turut dibantu anggota dari BBP Tabuan Jaya melibatkan 17 anggota serta kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada pili bomba.
“Setelah memastikan tiada lagi risiko api menyala semula, operasi ditamatkan pada jam 9.06 malam dan anggota beredar dari lokasi,” katanya.
Pihak polis turut berada di lokasi bagi membantu kawalan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Suspek kes curi kabel di Trusan penjenayah dan penagih tegar
Januari 22, 2026, Khamis - 3:01pm

Suspek menunjukkan kabel yang dicuri Ahad lepas.
LAWAS: Seorang daripada tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan loji rawatan air Trusan Ahad lepas, didapati mempunyai lima rekod kesalahan dadah dan jenayah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, kesemua suspek yang juga warga tempatan berusia 20 hingga 31 tahun ditahan di rumah mereka di Jalan Trusan.
Katanya, terdahulu satu laporan polis diterima daripada orang awam mengenai kes kecurian kabel itu pada Isnin lepas jam 3.27 petang.
“Kita turut merampas sebahagian gulungan kabel yang telah dibakar dan ada yang belum dibakar, disyaki dilaporkan hilang dengan anggaran kerugian RM46,750,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kesemua suspek menjalani ujian urin serta didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Beliau memberitahu, semakan kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai lima kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Jalan Sundar.
Jelasnya, pemeriksaan badan tidak menjumpai barang salah atau dadah namun hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,”jelasnya.

Kabel dipercayai dicuri di kawasan loji rawatan air Trusan Ahad lepas.
Katanya lagi, dalam operasi berasingan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun ditahan pada Ahad lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian.
“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit dan wang tunai.
“Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing adalah negatif dadah,” ujarnya.
Kes katanya, disiasat mengikut seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Liong memberitahu lagi, dalam kes berasingan enam lelaki tempatan berusia 26 tahun hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian minyak diesel di tapak pembinaan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) di Jalan Lawas Damit yang dilaporkan berlaku pada Sabtu lepas.
“Siasatan awal polis mendapati kegiatan curi diesel dilakukan dengan mengambil minyak diesel dalam tangki jentera berat atau lori dan dimasukkan ke dalam gelen.
“Minyak kemudian dijual kepada pembeli di luar syarikat,” jelasnya.
Liong berkata, hasil ujian air kencing kesemua suspek didapati negatif dadah dan semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau.
Kes tambahnya, disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Wang tunai yang dirampas daripada suspek kes judi dalam talian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program vaksinasi, pelesenan anjing di Rumah Engkabang Angang Sabtu ini
Januari 22, 2026, Khamis - 3:09pm

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Jabatan Veterinar Sarawak Bahagian Bintulu akan mengadakan Program Vaksinasi Anti-Rabies Percuma serta Aktiviti Pelesenan Anjing Peliharaan di Rumah Engkabang Angang, Kilometer 23, Jalan Bintulu-Miri pada Sabtu ini (24 Januari 2026).
Jurucakap penganjur berkata, program itu akan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan syarat penting sebelum hadir ialah anjing peliharaan terbabit mestilah berumur tiga bulan ke atas.
Syarat lain katanya, anjing terbabit juga tidak bunting atau sedang menyusukan anak.
Justeru katanya, pemilik anjing diminta membawa kad pengenalan untuk urusan pendaftaran atau pelesenan dan pastikan anjing yang dibawa dalam keadaan terkawal dengan menggunakan tali penambat.
"Pihak kami menyeru supaya semua pemilik anjing di kawasan Bintulu membawa bersama anjing kesayangan untuk hadir dalam program ini dan bersama-sama menjalankan tanggungjawab bagi mencegah penularan penyakit rabies," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Perkukuh pemantauan, penyelenggaraan kemudahan awam di Miri
Januari 22, 2026, Khamis - 3:15pm

Ling menunjukkan notis MBM mengenai penutupan sementara Menara Utama di Taman Awam Miri semalam.
MIRI: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memperkukuh pemantauan serta melaksanakan penyelenggaraan berkala ke atas kemudahan awam bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan infrastruktur awam di bandar raya ini.
Seruan tersebut dibuat susulan satu insiden kecederaan melibatkan seorang pengunjung di kawasan pavilion Taman Awam Miri baru-baru ini.
Menurut Ling, beliau dimaklumkan mengenai kejadian seorang pengunjung yang terjatuh ke dalam lubang di bahagian pavilion akibat papan lantai kayu yang patah, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
“Aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya selepas melakukan tinjauan di Taman Awam Miri, semalam.
Ling turut menyuarakan kebimbangan bahawa kegagalan melaksanakan penyelenggaraan berkala terhadap taman awam dan kawasan rekreasi berpotensi mengundang kejadian seumpama itu berulang.
Bagaimanapun, hasil tinjauan beliau pada petang semalam mendapati papan kayu yang patah itu telah dibaiki dan kawasan tersebut telah diperiksa serta disahkan selamat untuk digunakan.
Namun begitu, Menara Utama Taman Awam Miri ditutup sementara bagi membolehkan pemeriksaan lanjut serta kerja-kerja baik pulih dijalankan demi memastikan keselamatan pengunjung.
“Saya memohon agar aspek pemantauan dipertingkatkan kerana sememangnya masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam kerja-kerja asas MBM.
"Malah ramai penduduk telah menyuarakan kekecewaan terhadap tahap kebersihan longkang, pemotongan rumput dan kebersihan awam secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berharap insiden berkenaan dapat dijadikan pengajaran agar pemantauan dan penyelenggaraan kemudahan awam di bandar raya Miri dipertingkatkan secara berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang pada masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lagi gangguan air di Rantau Panjang, Teku
Januari 22, 2026, Khamis - 3:35pm
Cetuskan rungutan orang ramai terhadap masalah asas yang masih gagal diselesaikan

WONG
SIBU: Penduduk di kawasan Rantau Panjang dan Teku sekali lagi terpaksa berdepan gangguan bekalan air berulang sejak beberapa hari kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan rungutan orang ramai terhadap masalah asas yang masih gagal diselesaikan.
Susulan itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Sibu Irene Wong Lee Ting menerusi kenyataan hari ini menggesa kerajaan negeri supaya bertindak segera dengan memperuntukkan dana bagi melaksanakan langkah alternatif, termasuk pembinaan loji rawatan air.
Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut baru-baru ini terkesan akibat gangguan bekalan air yang berpanjangan sehingga menjejaskan urusan harian mereka.
Sarawak Water Sdn Bhd (Wilayah Tengah) sebelum ini memaklumkan bahawa kebocoran paip yang menjejaskan tekanan air dikenal pasti sebagai punca gangguan, namun sehingga kini lokasi sebenar kebocoran masih belum dikenal pasti, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam aspek pengurusan dan mekanisme tindak balas.
Beliau menegaskan, masalah bekalan air di kawasan terlibat bukan isu baharu sebaliknya berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.
Penduduk sering berdepan gangguan bekalan air secara tiba-tiba, malah ada kalanya berlarutan sehingga beberapa hari.
"Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup penduduk, malah turut memberi kesan besar terhadap operasi kawasan perindustrian Rantau Panjang, sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi tempatan," ujarnya.
Wong turut mempersoalkan mengapa sehingga kini masih belum wujud penyelesaian yang jelas dan berkesan walaupun masalah tersebut telah berlarutan sekian lama.
Katanya, dengan pembangunan perumahan yang berterusan serta peningkatan permintaan air, kerajaan negeri dilihat gagal merancang infrastruktur bekalan air asas secara seiring, sekali gus menunjukkan keperluan asas rakyat tidak diberi keutamaan sewajarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri wajar segera memperuntukkan dana bagi melaksanakan langkah alternatif jangka pendek, termasuk mencontohi pembinaan loji rawatan air atau dikenali sebagai Sistem ACUTE, seperti yang telah dilaksanakan di Sungai Sadit, Sibu, untuk dibina di Rantau Panjang dan Teku.
Menurutnya, pelaksanaan projek sedemikian memerlukan tempoh pembinaan yang lebih singkat.
Berdasarkan maklumat awam, loji rawatan air di Sungai Sadit berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan dan berkesan mengurangkan masalah bekalan air di kawasan Sadit serta Bawang Assan.
Wong menegaskan bahawa bekalan air dan elektrik yang stabil merupakan keperluan asas rakyat.
Justeru, pembangunan bandar dan ekonomi perlu dilaksanakan seiring dengan jaminan penyediaan infrastruktur asas agar manfaat pembangunan dapat benar-benar dinikmati oleh masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JKM Bintulu cari ibu kandung atau waris kanak-kanak ditinggalkan
Januari 22, 2026, Khamis - 3:46pm

Gambar ketika masih bayi pada 2013 (kiri) dan gambar terkini.
BINTULU: Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu sedang mengesan ibu kandung atau mana-mana waris kepada seorang kanak-kanak yang telah ditinggalkan sejak Mac 2013 bagi membantu urusan perlindungan dan penempatan kanak-kanak berkenaan.
Jurucakapnya berkata, kronologi kes berdasarkan laporan yang diterima, kanak-kanak tersebut telah ditinggalkan oleh ibu kandungnya yang dikenali sebagai Siti di sebuah premis beralamat No. 391, Kampung Sebiew, 97000 Bintulu pada pagi 15 Mac 2013.
Katanya, menurut maklumat awal tarikh lahir kanak-kanak tersebut adalah pada 13 Mac 2013 di Hospital Bintulu dan identiti ibunya merupakan seorang wanita warganegara Malaysia yang dikenali sebagai Siti.
Nama kanak-kanak tersebut ialah Iman Fazri dan kini berumur 12 tahun 10 bulan.
"Situasi kes memperjelaskan ibu kandung telah menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada penjaga dengan alasan untuk penjagaan sementara waktu.
"Bagaimanapun, wanita tersebut gagal dihubungi dan tidak kembali semula untuk menuntut kanak-kanak berkenaan sehingga kini," menurut kenyataan media JKM di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, pihak JKM memohon kerjasama orang awam atau individu yang mengenali penama `Siti' atau mempunyai maklumat mengenai waris terdekat kanak-kanak ini untuk tampil bagi membantu siasatan dan urusan dokumentasi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, memandangkan kanak-kanak ini memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17(1)(e)(i) Akta Kanak-Kanak 2001, satu perintah mahkamah telah diperolehi di mana kanak-kanak tersebut kini ditempatkan dalam jagaan sementara kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut peruntukan Seksyen 19(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 bermula pada 17 Disember 2025.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kestabilan emosi kanak-kanak tersebut terjamin sementara usaha mengesan waris kandung diteruskan.
Tambahnya, JKM memohon kerjasama ibu kandungnya Siti, bapa kandung atau mana-mana waris terdekat yang mempunyai maklumat mengenai latar belakang kanak-kanak itu untuk segera hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu, Lot 506 Jalan Sommervill, Bintulu Town District, 97000 Bintulu atau menghubungi atau berjumpa dengan Pegawai Pelindung Kes Dorethea Bayang di talian 086-332341 atau 086-336494 atau e-mel [email protected].
"Kehadiran waris amat diperlukan bagi tujuan urusan penempatan kekal dan perancangan masa depan kanak-kanak tersebut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya, sambil menambah kerjasama daripada pihak media dan orang awam dalam menyebarkan maklumat itu amatlah dihargai demi kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 26-1-2026 01:03 PM
Lebih 100 peserta jayakan Program #YLE: Ink-Fluence: Penguasaan Kandungan Digital
Januari 22, 2026, Khamis - 3:52pm

Para peserta bersama pihak penganjur dan para penceramah pada Program #YLE: Ink-Fluence: Penguasaan Kandungan Digital di Hab Inovasi Digital TEGAS Bintulu baru-baru ini.
BINTULU: Seramai 40 peserta mengikuti pembelajaran bersemuka dan 100 peserta dalam talian berumur 16 hingga 26 tahun menyertai Program #YLE: Ink-Fluence: Penguasaan Kandungan Digital di Hab Inovasi Digital TEGAS Bintulu baru-baru ini.
Jurucakap penganjur berkata, program sehari itu menghimpunkan golongan belia dalam satu platform pembelajaran dinamik yang menekankan penguasaan penulisan digital dan pengaruh kandungan dalam era teknologi masa kini.
Katanya, program secara hibrid itu mendedahkan peserta dengan pelbagai cabaran interaktif dan simulasi penulisan yang menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI) dan penceritaan strategik bagi menghasilkan kandungan digital berkesan serta memberi impak positif kepada komuniti.
"Bengkel ini dikendalikan oleh dua penceramah berpengalaman iaitu Ahmad Azamuddin Jamil dan Roslan Ismail yang berkongsi kepakaran serta pengalaman sebenar dalam bidang penulisan profesional, komunikasi digital dan pengurusan kandungan berimpak tinggi," ujarnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara fokus utama program itu adalah untuk memperkasa belia dengan keyakinan serta kemahiran penulisan digital khususnya dalam penghasilan cadangan, pembentangan, laporan, artikel dan kandungan media sosial.
Katanya, peserta turut dibimbing dalam membina naratif yang menarik, merangka strategi kandungan berkesan serta memanfaatkan alat digital dan AI untuk penjanaan idea, penyuntingan dan penghasilan kandungan lebih efisien dan beretika.
Menurutnya, program itu juga menekankan aspek komunikasi beretika, keyakinan diri dan keupayaan menghasilkan kandungan yang berfokuskan audiens selari dengan keperluan dunia digital yang semakin kompetitif.
Program tersebut anjuran Belia, Kepimpinan dan Keusahawanan (YLE) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Hab Inovasi Digital TEGAS Bintulu dan sokongan strategik daripada Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Centre for the Advancement of Language Competence (CALC@UPMS) serta Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC@UPMS).
Katanya, enganjuran program tersebut membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam melahirkan generasi belia celik digital, berdaya saing dan bersedia menjadi ejen perubahan yang berpengaruh dalam landskap digital masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bomba selamatkan lelaki dalam insiden kecemasan
Januari 22, 2026, Khamis - 3:56pm
MIRI: Tindakan pantas orang awam dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong berjaya menyelamatkan seorang lelaki dalam satu insiden kecemasan di kawasan pangkalan lama Kampung Muhibbah, Kuala Baram, petang semalam.
Menurut Ketua BBP Lutong Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 petang sebelum sebuah jentera digerakkan pada jam 5.35 petang dan tiba di lokasi kira-kira lapan kilometer dari balai pada jam 5.43 petang.
"Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seorang lelaki dewasa ditemui dalam keadaan lemah dan telah dibantu oleh orang awam di kawasan pangkalan berkenaan.
"Pasukan bomba segera menjalankan penilaian awal dan memberikan bantuan kecemasan dengan meletakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan sementara menunggu ketibaan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam laporan operasi.
Beliau yang juga Komander Operasi berkata, ambulans KKM tiba tidak lama kemudian dan mangsa diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan lanjut.
Operasi dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah jentera FRT Scania itu tamat jam 6.54 petang dan PKO bergerak balik ke balai setelah memastikan semua keadaan selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tun Wan Junaidi terima kunjungan Abang Johari sebelum MMKN
Januari 22, 2026, Khamis - 4:34pm

Tun Wan Junaidi bertukar-tukar pandangan dengan Abang Johari semasa kunjungan hormat Premier terhadap Yang di-Pertua Negeri di kediaman rasminya di Kasuma Resort, Kuching hari ini. - Gambar Astana Negeri
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman rasminya di Kasuma Resort, di sini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Astana Negeri, kunjungan hormat tersebut merupakan keperluan Perlembagaan serta amalan tradisi yang diadakan sebelum berlangsungnya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Semasa pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh mahabbah itu, Tun Wan Junaidi dan Abang Johari telah mengadakan perbincangan secara mendalam tentang agenda pembangunan Sarawak.
Tun Wan Junaidi turut menyampaikan pandangan serta berkongsi pendapat mengenai beberapa isu semasa, termasuk aspek pentadbiran dan ekonomi di wilayah Sarawak.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap dasar dan perancangan berterusan yang dilaksanakan oleh Abang Johari dalam usaha menjadikan Sarawak antara wilayah yang termaju di Malaysia menjelang tahun 2030.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
95 penerima dapat bantuan kebajikan Ahli Parlimen Lanang
Januari 22, 2026, Khamis - 4:44pm

Lau (duduk kanan) bersama para penerima di Pusat Khidmat Parlimen Lanang, baru-baru ini.
SIBU: Seramai 95 penerima telah menerima bantuan kebajikan daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau di sini, baru-baru ini.
Lau memberitahu, pengagihan bantuan kebajikan merangkumi bantuan pendidikan, khairat kematian, bantuan perubatan, manfaat bayi baru lahir serta pelbagai bentuk bantuan lain.
"Saya berharap agihan bantuan ini dapat memberikan kelegaan kepada penerima serta menyemai semangat prihatin dalam kalangan masyarakat," ujarnya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Lau menasihati mereka yang memerlukan rawatan jangka panjang seperti pesakit buah pinggang (dialisis) dan kanser untuk memohon bantuan di Pusat Khidmat Parlimen Lanang yang menyediakannya setiap tahun.
Sementara itu, Lau melancarkan program 'Welcome, Lanang New Born!' sejak September 2024 sebagai sebahagian daripada siri 'Program Sayangi Lanang’.
Di bawah program ini, bayi yang dilahirkan pada atau selepas 16 September 2024 dan salah seorang ibu bapa merupakan pengundi di Parlimen Lanang, layak menerima manfaat tersebut.
"Ibu bapa boleh mengemukakan salinan kad pengenalan dan sijil kelahiran bayi ke Pusat Khidmat Parlimen Lanang dalam tempoh 90 hari selepas kelahiran bagi memohon manfaat tersebut," jelasnya.

Lau (kanan) menyampaikan sumbangan kepada para penerima di Pusat Khidmat Parlimen Lanang, baru-baru ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penambahbaikan untuk penyelesaian jangka pendek isu sistem pembetungan
Januari 22, 2026, Khamis - 4:52pm

Pang (kiri) semasa sesi dialog bersama pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak semalam.
BINTULU: Kajian segera telah dijalankan ke atas aliran balik air sisa dan operasi pengepaman semasa situasi banjir dengan penambahbaikan dilakukan pada prosedur operasi sedia ada untuk tempoh jangka pendek sistem pembetungan di beberapa petempatan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, untuk penyelesaian jangka panjang pihak berkuasa berkaitan sedang giat mengenal pasti pam kekal yang sesuai untuk dipasang di lokasi strategik.
"Pam ini akan membolehkan air sisa disalurkan terus kembali ke saluran pembetungan asal, membantu mengurangkan tekanan pembetungan dengan ketara semasa banjir dan tempoh hujan lebat," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) pada mesyuarat penyelarasan khas menangani isu sistem pembetungan yang menjejaskan Taman Jason, kawasan Komersial J5 dan One Villa atau Golden Villa 2 di sini, semalam.
Pada masa sama Pang merayu orang ramai agar tidak membuang barang yang tidak boleh terurai ke dalam sinki, tandas atau longkang bilik mandi.
"Barang-barang biasa yang menyebabkan sistem pembetungan tersumbat serius adalah minyak masak, gris dan sisa berminyak, lampin, tisu basah dan produk kebersihan," jelasnya.
Beliau berkata, sebaik sahaja barang-barang ini memasuki sistem pembetungan, ia boleh menyebabkan penyumbatan yang teruk, tidak kira betapa cepatnya air sisa dipam keluar, pembuangan yang betul menjadi mustahil dan akhirnya seluruh komuniti menanggung akibatnya.
Katanya, memperbaiki sistem pembetungan bukan sahaja memerlukan tindakan kerajaan, tetapi juga kerjasama awam.
"Saya benar-benar berharap semua orang boleh bermula dengan tabiat harian kecil (membuang sisa barang berkaitan di tempat yang betul) dan bekerjasama untuk melindungi komuniti dan alam sekitar," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Menjaga sistem pembetungan tanggungjawab semua: Pang
Januari 22, 2026, Khamis - 4:54pm

Pang (duduk kiri) bersama JPPS dan penduduk Taman Jason semasa sesi dialog berkaitan isu pembetungan semalam.
BINTULU: Penduduk perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang barang sukar terurai seperti tisu basah, tuala wanita dan lampin ke dalam longkang supaya sistem pembetungan tidak tersumbat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, dalam usaha itu komunikasi dan peringatan yang berkesan dalam larangan pembuangan sisa sukar terurai (dalam tandas, singki atau sistem perparitan) itu akan membawa kepada penyelesaian yang lebih baik.
Katanya, semua pihak perlu berusaha menjadi komuniti yang lebih bersih, selamat dan sihat.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) dan penduduk Taman Jason di sini, kelmarin mengenai masalah pembetungan yang dialami petempatan tersebut semasa banjir baru-baru ini.
Pang berkata, penduduk mengetengahkan kebimbangan tentang air sisa selepas dipam keluar melimpah atas jalan raya menyebabkan pencemaran alam sekitar dan menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam yang serius.
"Ini merupakan isu yang memerlukan penjelasan dan penyelesaian yang konkrit," jelasnya.
Katanya, melalui penglibatan secara bersemuka, penduduk dapat berkongsi masalah sebenar, sementara JPPS memberikan maklumat terkini tentang rancangan untuk menaik taraf sistem pembetungan sedia ada di kawasan tersebut.
"Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses tersebut dan akan terus mengambil tindakan susulan dengan agensi berkaitan," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Enam projek RTP Parlimen Sarikei berjaya disiapkan
Januari 22, 2026, Khamis - 5:48pm

Majlis ringkas penyerahan projek RTP di Parlimen Sarikei yang telah siap hari ini.
SARIKEI: Enam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah berjaya disiapkan di kawasan Parlimen Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek itu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
“Projek tersebut adalah kerja pemasangan cerucuk bagi pembinaan dewan baharu serta pembinaan tembok penahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei.
“Kedua adalah projek menaik taraf dewan sekolah tersebut yang melibatkan kerja menyimen dan mengecat lantai serta pemasangan dua unit papan bola keranjang di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Su Kwong.
“Projek RTP yang ketiga pula adalah kerja mengecat atap tiga blok kelas, mengecat pintu gerbang sekolah serta menaik taraf sistem elektrik daripada fasa tunggal ke tiga fasa bagi SJK Sing Ming,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu kata Huang, projek RTP yang keempat adalah di SJK Kiew Mang yang melibatkan kerja menaik taraf blok baharu sekolah dengan kerja-kerja mengecat bangunan serta pemasangan meter elektrik, jubin serta gril pada pintu dan tingkap.
“Projek RTP yang kelima pula adalah kerja-kerja menaik taraf menurap jalan masuk ke Rumah Austin Chali.
“Projek keenam pula pembinaan jalan simen ke dewan dan pembinaan tempat duduk di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paoh,” kata Huang lagi.
Terdahulu Huang yang diwakili Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat yang diketuai Kapitan Ling Dien Yong telah mengadakan lawatan tapak bagi menyaksikan majlis ringkas penyerahan projek-projek RTP yang telah siap.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei Joviana Joklin, Kaunselor Anthony Suding serta wakil-wakil sekolah dan rumah panjang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sinergi antara agensi tunjang kukuhkan ekosistem kehakiman syariah
Januari 22, 2026, Khamis - 6:09pm

Awang Suhaili menyampaikan ucapan pada Persidangan Mahkamah Terbuka sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak. - Gambar UKAS
KUCHING: Sinergi antara agensi seperti Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Pendakwaan Syariah, Majlis Islam Sarawak serta agensi berkaitan lain menjadi tunjang dalam usaha mengukuhkan ekosistem kehakiman syariah.
Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi berkata, kesepaduan ini penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang, pendakwaan, pengurusan kekeluargaan Islam dan pelaksanaan keputusan mahkamah dapat dilaksanakan secara berkesan dan selari dengan maqasid syariah.
Selain itu katanya, perkongsian amalan baik antara negeri-negeri merupakan satu mekanisme penting dalam memperkukuh dan mematangkan sistem kehakiman syariah secara keseluruhan.
“Setiap negeri mempunyai pengalaman, pendekatan dan kekuatan tersendiri dalam menangani isu perundangan, pentadbiran mahkamah serta pengurusan kes-kes syariah.
“Perbezaan ini, jika dimanfaatkan secara berstruktur dan terbuka, mampu menjadi sumber pembelajaran yang bernilai demi penambahbaikan bersama,” ujar beliau seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Mahkamah Terbuka sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, sinergi seumpama ini membolehkan Mahkamah Syariah menilai keberkesanan dasar, prosedur dan inovasi yang telah dilaksanakan, sama ada dalam aspek pengurusan kes, penggunaan teknologi, latihan kehakiman, pendakwaan, guaman syarie mahupun pendekatan penyelesaian pertikaian secara alternatif.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan keberkesanan sistem kehakiman syariah bergantung kepada kerelevanan kerangka perundangan yang mendasarinya iaitu perlu sentiasa dinilai dan dikemas kini agar selari dengan perkembangan masyarakat dan teknologi tanpa menjejaskan prinsip hukum syarak.
Sementara itu, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali yang diwakili Peguam Kanan Sarawak Profesor Dr Jady Zaidi Hassim memberitahu, Jabatan Peguam Besar Sarawak komited untuk memupuk hubungan kerja yang rapat dan kolaboratif dengan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) terutama dalam membentuk satu ruang perundangan yang semakin perkasa.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama dan kolaboratif tersebut dapat diteruskan dengan sesi-sesi perkongsian ilmu lanjutan sebagai tambah nilai kepada Peguam-Peguam Negeri ingin menambah ilmu perundangan daripada pelbagai aspek kehidupan.
Hadir sama, Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato Mohd Amran Mat Zain, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Sarawak Harizan Hamzah dan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak Ahmad Rithauddeen Rabaie.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu cedera tersepit, treler terbalik di Limbang
Januari 22, 2026, Khamis - 6:11pm
LIMBANG: Seorang pemandu mengalami kecederaan di bahagian tangan apabila tersepit selepas treler yang dipandunya terbalik dalam kemalangan di Jalan Kampung Tabahan di sini, hari ini.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi sejauh 10 kilometer dari balai sebaik menerima laporan kecemasan berhubung insiden itu jam 1.02 petang.
“Setiba pasukan keluaran di lokasi, pemantauan dilakukan dan mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori treler yang terbalik.
“Terdapat seorang mangsa dalam lori tersebut, dalam keadaan mangsa tersepit, sedar dan cedera pada bahagian tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pasukan keluaran operasi bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit tadi dengan melakukan regangan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Limbang untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 1.40 petang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas dilapor hilang selepas keluar dari rumah panjang di Engkilili
Januari 22, 2026, Khamis - 6:24pm

Operasi SAR digerakkan pada hari pertama hari ini. - Gambar JBPM Sarawak
ENGKILILI: Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah rumah panjang di kawasan Trusan Alow, Kampung Bua di sini, awal pagi Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 malam Rabu.
Susulan itu katanya, jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Difahamkan, mangsa keluar dari rumah panjang sekitar jam 1 pagi dan kali terakhir dilihat berhampiran kawasan kediaman penduduk setempat sebelum disedari tidak pulang, menyebabkan laporan polis dibuat.
“Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh ahli keluarga serta penduduk rumah panjang di sekitar kawasan kejadian, namun mangsa gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, operasi SAR hari pertama hari ini dimulakan seawal jam 9 pagi dengan penglibatan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Operasi SAR dibahagikan kepada dua kumpulan melibatkan pencarian di sungai dan darat dengan radius pencarian masing-masing dianggarkan sejauh tiga kilometer ke hilir sungai Batang Lupar dan satu kilometer di kawasan tebing sungai.
“Pencarian diteruskan beberapa kali sepanjang hari, namun sehingga jam 5 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” jelasnya.
Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada jam 9 pagi esok.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kempen derma darah di Masjid An Nur Pujut Tanjung Batu Ahad ini
Januari 22, 2026, Khamis - 6:34pm
MIRI: Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pujut Tanjung Batu (KPTB) akan menganjurkan kempen derma darah bertemakan 'Setitis Darah Sejuta Harapan' pada Ahad ini di Dewan Serba Guna Masjid An-Nur.
Program yang akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat untuk tampil menderma darah sekali gus membantu menambah bekalan darah di hospital dan klinik kerajaan.
Pengerusinya Hamidah Abu berkata, penganjuran kempen berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu pihak hospital tempatan mendapatkan lebih ramai penderma darah, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara ahli jawatankuasa Jiran Wanita KRT dengan penduduk kampung.
Menurutnya, amalan menderma darah merupakan satu perbuatan mulia yang tidak ternilai sumbangannya dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.
“Melalui program ini, kita berharap dapat memupuk rasa simpati dan empati dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain, khususnya melibatkan golongan muda,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen berkenaan atau memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 019-847 0705 atau 016-694 9256.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
STB perkenal sampul duit Tahun Baharu Cina edisi terhad 2026
Januari 22, 2026, Khamis - 6:46pm

STB menyambut Tahun Kuda Api dengan memperkenalkan koleksi angpau edisi terhad tahunan kelapan.
KUCHING: Sempena menyambut Tahun Kuda Api, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkenalkan sampul duit Tahun Baharu Cina edisi terhad 2026, menandakan edisi kelapan tradisi tahunan angpau perayaan STB.
Reka bentuk 2026 berteraskan kuda laut, simbol kekuatan yang tenang, keseimbangan serta hubungan berterusan Sarawak dengan alam semula jadi.
Tahun Kuda Api secara tradisinya dikaitkan dengan semangat, kepantasan dan pergerakan berani ke hadapan, membentuk sebuah tahun yang didorong oleh tindakan, penerokaan dan keyakinan.
Dalam semangat dinamik ini, kuda laut melambangkan ketenangan dan keharmonian, kehadiran yang lembut namun berdaya tahan, mencerminkan pendekatan Sarawak terhadap kepimpinan dan kemajuan, bergerak berani sambil kekal berpijak di bumi dan terhubung dengan tempat asal.
Sebagai maskot rasmi Miri, kuda laut meraikan warisan maritim dan identiti pesisir bandar tersebut, sekali gus menonjolkan kepelbagaian landskap Sarawak yang merangkumi hutan hujan, sungai dan lautan terbuka.
Pemilihannya menggariskan komitmen STB untuk mengetengahkan penceritaan berasaskan tempat yang mencerminkan keunikan dan persekitaran hidup negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, Tahun Kuda Api membawa makna keberanian, momentum dan kepimpinan.
“Dengan menggabungkan tenaga ini bersama simbol kuda laut, kami mencerminkan falsafah pelancongan Sarawak, memimpin dengan keyakinan sambil kekal seimbang, menghormati alam semula jadi dan setia kepada identiti kami,” katanya.
Kini memasuki tahun kelapan, siri angpau Tahun Baharu Cina STB terus menjadi platform kreatif untuk meraikan nilai, lokasi dan kisah Sarawak melalui reka bentuk bermakna.
Edisi tahun ini menggambarkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi yang menetapkan rentak dan hala tuju sendiri.
Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026, Sarawak terus mengetuai dengan pengalaman yang tersendiri, autentik dan berteraskan kelestarian, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai Gerbang ke Borneo.
Sampul duit edisi terhad ini boleh didapati mulai 23 Januari 2026, selagi stok masih ada di Pusat Maklumat Pelawat Sarawak di Kuching, Miri dan Sibu.
Seiring dengan ketibaan Tahun Kuda Api yang membawa semangat pergerakan berani dan penerokaan, Sarawak mengundang para pengunjung untuk menerokai pengalaman yang dibentuk oleh keyakinan, budaya dan hubungan mendalam dengan alam semula jadi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|