TELUK INTAN – Operasi restoran makanan 24 jam dikaji semula terutamanya melibatkan soal pengambilan makanan, keselamatan dan kebersihan yang sukar dikawal memberi risiko kepada kesihatan seseorang.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan menegaskan, operasi restoran makanan selama 24 jam boleh menyebabkan bilangan pelanggan yang tinggi selain perlu menyediakan makanan setiap masa.
Katanya, situasi itu menyebabkan pekerja restoran tidak mempunyai masa untuk membersihkan dapur menyebabkan ia tidak bersih.“Ini memang tidak sihat.
Mungkin kerajaan (negeri) membenarkan dua jenis operasi pada waktu siang dan malam dengan tempoh maksimum 12 jam dan selepas waktu itu harus ditutup.
“Dia kena pilih pukul berapa sampai pukul berapa tetapi beroperasi hanya 12 jam sahaja,” katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Pelancaran War On Sugar Peringkat Negeri Perak dan Program Kesihatan Warga Emas di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini hari ini.
Katanya lagi, waktu operasi restoran 24 jam ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beliau akan membawa perkara itu semasa mesyuarat kerajaan negeri nanti.
Tambahnya, operasi restoran makanan 24 jam turut menggalakkan amalan pemakanan seseorang yang tidak mengikut waktu yang sesuai. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/19/operasi-restoran-makanan-24-jam-dikaji-semula/